Skip to main content

Berita

Tiga minggu yang lalu saya ada menyuarakan pandangan bercampur kekecewaan dan kehairanan betapa Segamat kurang malah tidak langsung mendapat perhatian media khususnya media cetak dalam laporan berita akhbar perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Berbanding dengan daerah-daerah lain seperti Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar, Pontian dan Mersing, Segamat semacam dipinggirkan dan sekali gus mencerminkan tidak ada sebarang peristiwa penting atau kejadian yang berlaku di daerah ini yang boleh dilaporkan dan seterusnya disiarkan di dada akhbar untuk tatapan pembaca. Ketika Encik Manja Mat Dom giat menulis dahulu hampir saban hari berita dari Segamat dipaparkan di dada akhbar Utusan Malaysia, begitu juga halnya dengan peranan yang dimainkan oleh Encik Paiman (Allahyarham) untuk meletakkan Segamat sebaris dengan daerah-daerah lain lewat Metro dan Berita Harian. Namun kini Segamat seolah-olah tidak wujud di persada Johor. Saya melihat keadaan ini tidak sewajarnya di biarkan terus-terusan berlaku, lantas saya mengambil inisiatif menghubungi Ketua Biro Utusan Johor Bahru Encik Lokman Haziq Abdullah mendapatkan pandangannya dan sekaligus menyuarakan hasrat untuk menjadi pemberita sambilan "stringer" dan beliau tidak keberatan. Saya katakan kepadanya keinginan yang begitu tinggi untuk menggilap balik kemahiran melapor dan menulis berita yang telah sekian lama saya tinggalkan sejak lewat awal 90an dulu ketika bersama Berita Harian Johor juga sebagai "stringer". Pengalaman selama 2 tahun dibawah Ibrahim Yahya (sekarang Datuk dan kini merupakan Ketua Pengarah Penyiaran) masih tebal dalam ingatan. Saya masih ingat di mana setiap teks berita yang telah ditaip menggunakan mesin taip ( komputer masih asing ketika itu) perlu dihantar segera ke pejabat Berita Harian dengan menggunakan telefon dengan membaca setiap patah perkataan sehingga selesai. Kini keadaan telah amat jauh berubah. Perhubungan menjadi amat pantas dengan ledakan teknologi maklumat yang menjadikan urusan penghantaran berita menjadi begitu mudah. Email mempercepatkan segala-galanya. Kesah tentang pendatang Vietnam yang menyapu habis anjing dan kucing jalanan untuk makanan mereka merupakan tugasan pertama saya tentang Segamat dan pelbagai isi cerita tentang para penghuninya.

Pena Tumpul - Sepatutnya menjadi wartawan sejak dahulu lagi

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Drama

S aya menonton drama yang boleh dikatakan menarik lewat TV2. Kebun Getah Tok Ayah membawa tema cerita yang sudah biasa sangat di angkat dan dipaparkan cuma pendekatannya dilihat menarik dan berkesan. Suasana kampung menguatkan lagi drama ini. Ia mengisahkan suami berusia terpikat dengan wanita muda hingga mengabaikan keluarga. Ia bukanlah isu baru pun dalam masyarakat kita. Meskipun sedar impak yang bakal diterima atas tindakan mereka itu namun sang suami nekad untuk mengecap bahagia bersama isteri muda yang belum tentu menjamin kebahagian berkekalan lama.Keseronokan mengulit bahagia bersama teman baru ‘membutakan mata’ mereka soal tanggunjawab terhadap isteri dan anak-anak yang terbiar tanpa pembelaan. Malah terus luput daripada ingatan tentang kenangan manis yang pernah dilalui bersama. Kisah bermula dengan babak-babak ketenangan hidup Tok Ayah sekeluarga bersama isteri dikenali sebagai Lijah dan anak tunggalnya, Adam. Begitu pun situasi tenang mula berkocak setelah kehadi...