Skip to main content

Euphemism



"Budak ini dari tadi asyik merabak aja, kebulur atau berak agaknya, yang emaknya pula tidak habis-habis melengkar dan memuta!"

Kenyataan di atas kalau hinggap di telinga, pastinya tidak begitu enak sangat untuk didengar justeru terselit kata-kata yang agak kasar dan kepada setengah orang mungkin tidak difahami pun. Namun dalam percakapan seharian, sesekali kenyataan begini terpacul juga justeru mesej yang ingin disampaikan lebih berkesan cara begini.

Dalam konteks penggunaan bahasa, kita sebenarnya diberi pilihan untuk menyatakan sesuatu dengan cara yang lebih sopan khususnya bila merujuk kepada perkara yang kurang manis dan mengaibkan. Euphemism yang merujuk kepada penggunaan istilah dan pernyataan yang lebih enak di dengar bukanlah perkara baru dalam masyarakat kita khususnya di kalangan orang Melayu. Di kalangan penutur Bahasa Inggeris pun, euphemism di gunakan dan terima secara meluas justeru kesantunan istilah yang diungkap tidak akan ada pihak yang terguris hati dan tersinggung rasa.

Perkataan meninggal dunia tentunya lebih enak didengar daripada kata-kata seperti mati, mampus ataupun kojol. Malah lebih enak lagi kalau perkataan kembali kerahmatullah diungkapkan. Tentunya lebih enak mendengar ungkapan , "Jenazah sudah dikebumikan" daripada "mayat sudah ditanam". Perkataan meradak, kencing, berak, merabak, membuta juga sering kita dengar dilontarkan di kalangan orang kita khususnya dalam percakapan harian.

Di kalangan penutur Bahasa Inggeris, euphemism digunakan agak meluas dan ketara sehingga dilihat adakalanya melucukan. Janji enak didengar dan tidak mengguris hati sesiapa. Misalnya, ungkapan "sanitation engineer" di gunakan untuk merujuk kepada seseorang yang realitinya cuma "garbage collector". Penggunaan "washroom" malah bertukar kepada "restroom" begitu meluas bagi menggantikan "toilet" yang kononnya tidak begitu enak didengar itu. Di kalangan kita pula tidak adakah perkataan yang lebih manis daripada "jamban" dan "tandas", walaupun ada sesekali kita dengar istilah "bilik termenung" dihamburkan.

Saya melihat unsur euphimism ini terpancar jelas di kalangan orang Melayu melalui kata bidalan, kiasan, perumpamaan, simpulan bahasa, peribahasa malah dalam pantun juga. Cukup indah, menarik dan bersopan. Bayangkanlah kalau pihak lelaki yang meminang perempuan tanpa kias ibarat dan perumpamaan terus mengungkapkan begini, " Saya datang ni hendak pinang anak perempuan awak untuk anak lelaki saya". Bukankah lebih manis begini" Khabarnya, ada bunga yang sedang mekar dan harum berkembang di jambangan taman mahligai saudara. Apalah kiranya, diizinkan kami menyuntingnya untuk kumbang di taman kami?" Tentunya akan lebih terserlah budaya luhur orang Melayu sekiranya disulam dengan pantun dan gurindam seloka!

Di dalam simpulan bahasa mahu pun peribahasa misalnya, penggunaan kata-kata yang manis, enak, lembut memang ketara. Namun disebaliknya, tersirat maksud yang mendalam dan menberi kesan yang bukan kepalang kepada yang mendengarnya. Bak kata orang siapa yang makan cili dia yang terasa pedas dan yang makan nangka akan kena getahnya. Sekadar menyebut beberapa contoh, " bak enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'' tentunya merujuk kepada mereka yang bersikap mementingkan diri, "bagai mencurah air ke daun keladi" akan menjadikan mereka yang degil dan tidak menerima nasihat tentunya lebih terasa dikiaskan begitu.

Namun begitu, euphimism tidak selalunya sesuai dan berkesan lebih-lebih lagi apabila soal mesej menjadi kepentingan lebih daripada soal menjaga hati dan perasaan. Justeru itu apabila Datuk Seri Rais Yatim mencadangkan supaya istilah selsema babi digunakan semula menggantikan H1N1 ianya amat wajar. Umum mengakui alasan untuk menjaga hati kelompok tertentu istilah babi yang tidak enak didengar itu dielakkan daripada digunakan. Sesekali istilah "khinzir" diketengahkan namun tidak popular justeru umum lebih mengenali babi daripada khinzir.

Dalam era ledakan maklumat yang bergerak terlalu pantas, soal menjaga hati dan perasaan tidak lagi sepenting daripada mesej yang ingin disampaikan!

Pena Tumpul - Teringat cerita lucu, seorang penumpang bas Melayu yang ditanya oleh kondaktar bas India tetapi enggan menyatakan tempat tujuannya kerana tempat itu ialah Tanjung.......di Melaka.

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...