Thursday, January 31, 2008

Hari Q

UiTM mengadakan hari Q hari ini. Seperti biasa staf yang dilihat cemerlang dalam tugas dikurniakan anugerah sewajarnya. Begitu juga yang sudah lama mencurah bakti di Uitm ini. Tahniah kepada yang berjaya semoga bekerja lebih kuat lagi. Diam tak diam sudah 10 tahun saya berkhidmat di universiti ini. Penuh dengan pengalaman pahit manis dan pelbagai cabaran yang ditempuhi dalam mendidik anak-anak bangsa.

Monday, January 28, 2008

Kembali bertugas

Semalam pada hari Isnin saya tidak datang bertugas. Kurang sedap badan. Ke Klinik Zohar dan mencadangkan saya supaya berihat sehari. Saya akur. Usia semakin meningkat dan datang bersamanya kesihatan yang kian merosot.Permakanan perlu diberikan perhatian dan kalau boleh banyakkan senaman.

Thursday, January 24, 2008

Sembilan tahun tanpa kasih Ayah

Hari ini genap sembilan tahun ayahku yang tercinta meninggalkan saya sekeluarga buat selama-lamanya menyahut seruan Ilahi. Ayah kembali kerahmatullah pada tanggal 24Januari 1998 akibat kanser darah. Menurut kata doktor "multiple miloma". Seluruh ahli keluarga sedih atas kematiannya. Ayah amat disenangi oleh semua. Ayah tidak banyak cakap, namun begitu tegas dalam mendidik kami 7 beradik. Terkilan juga hati kami semua justeru ayah tidak dapat melihat kejayaan kami apatalah lagi mengecap nikmat hasil didikan dan kasih sayangnya selama ini. Namun itu sudah ketentuan Ilahi dan kami redha dengan pemergiannya. Semoga roh ayah akan sentiasa dirahmati Allah dan ditempatkan bersama dengan roh para mukmin, Amin...

Thursday, January 10, 2008

Sindrom "Yes Boss"

Orang kita sememangnya begitu berat untuk tidak bersetuju apatah lagi mengatakan “tidak” “tidak boleh” lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan bosnya. Itulah dilemma orang kita (lebih-lebih lagi orang Melayu) sebenarnya. Kesan penjajahan Barat boleh dilihat menyumbang kepada sindrom pak turut ini. Orang Melayu telah dididik untuk sentiasa patuh kepada arahan ketuanya dulu yang rata-ratanya orang putih.

Apa sahaja yang keluar dari mulut bos semuanya dianggap betul walaupun jauh
di sudut hati memberontak tidak setuju namun kerana terlalu patuh kepada bos semuanya di diamkan sahaja.

Amalan ini semakin dikukuhkan lagi dengan budaya kita yang tidak merestui sebarang bentuk tindakan dan tuturkata yang dilihat sebagai cuba untuk melawan bos.
Mengengkari kata-kata bos akan dicap sebagai kurang ajar dan dilihat seolah-olah hendak berlagak pandai daripada bos.

Setuju atau tidak setuju terpaksa ditelan walaupun pahit bak hempedu dan masam bak cuka. Membantah bermakna menjerat diri. Kedudukan bagaikan telur di hujung tanduk menuntut lebih baik bersetuju sahaja atau paling tidak pun berdiam diri sahaja.
Justeru diri yang bagaikan mentimun dengan durian. Di golek luka, menggolek pun luka.

Sindrom “Ya Bos” “OK Bos” “No Problem Bos” “Tanggung Beres Bos” yang telah bersemadi terus menebal dan sukar untuk dikikis lagi. Kita semakin selesa dengan amalan ini yang sudah menjadi semacam budaya ini.

Kita terus beranggapan selagi apa yang kita lakukan “menyedapkan hati” bos, dan bos pula tidak sampai menggugat periuk nasi kita, biarkan sahajalah seperti Si Luncai terjun dengan labu-labunya.- biarkan! biarkan!

Lagi pun tidak semua bos mudah menerima teguran dan pandangan orang bawahannya. Tidak kurang yang melenting bila sebarang idea yang mereka hamburkan tidak dipersetujui dan tidak disenangi oleh orang di bawahnya. Pada golongan bos sebegini, idea mereka sahaja yang dianggap betul – bertepatanlah dengan ungkapan “Bos selalunya betul!”
Kalau ada seorang dua orang bawahan yang agak lantang dan celupar sedikit, terus sahaja dianggap devian malah dianggap sebagai kambing hitam dalam organisasi tersebut.

Budaya “ya bos” ini terus subur di tempat kerja lebih-lebih lagi dalam iklim autokratik. Pandangan orang bawahan selalunya dipandang sepi dan kalau pun diterima akan disejukbekukan atau diperam sahaja.

Justeru ingin menjaga hati bos juga, orang kita selalunya lebih rela memendam rasa dan memakan diri. Melanggar pantang orang kita, untuk menyanggah kata-kata tuannya. Yang penting hati dan perasaan bos perlu dijaga jangan sampai terguris hatinya dek kata-kata kita yang mungkin agak keterlaluan. Lalu berlakulah selepas itu di depan lain, di belakang lain. Rumah dah siap tapi pahat masih terus kedengaran berbunyi.

Di depan bos, kita bersetuju separuh mati tetapi sebaliknya di belakang bos kita mengutuk tidak henti. Itulah budaya orang kita. Biar manis dipandang mata tetapi di dalam hati memberontak dan meronta.

Tengoklah sendiri bila tidak lama dulu ada menteri yang melenting apabila kementeriannya tidak habis-habisan ditegur dan sampai sanggup pula agar jangan diusik kementeriannya!

Kalau gejala ini dibiarkan berlaku amat dikuathiri, orang kita akan terus diselubungi rasa takut untuk bersuara dan melontarkan apa yang terpendam di dalam dada. Orang kita akan dihinggapi sindrom takut menegur bosnya. Yang tidak kena dirasa akan dilihat selesa dan yang tidak sedap di pandang mata akan dibiarkan membiak tumbuh melata.

Projek-projek yang pernah menggemparkan kita dahulu seperti MRR2 sepatutnya tidak sampai begitu kesudahannya sekiranya ada pihak yang tampil ke muka sebelum projek itu dijadikan nyata. Di peringkat awal, sebelum projek dilulus untuk dilaksana,kalau ada pihak yang lebih tulus untuk mencetus, MRR2 akan tertegak tanpa orang ramai menanggung duka nestapa.

Jom ayuh kita keluar dari kepompong “ya bos” yang merugikan dan sudah tidak relevan lagi dalam era globalisasi yang menuntut percambahan idea yang tangkas dan tuntas. Saranan Timbalan Perdana Menteri menjadi petunjuk cukup jelas bahawa beliau mahu amalan “ya bos” ini dinyahkan dalam konteks hubungan tuan dan orang bawahannya. Kita mahu lebih ramai Hang Nadim dilahirkan untuk menjadi pemacu dalam menjayakan misi nasional RMK9. Namun perlu diingat jangan pula sampai kita membunuh Hang Nadim hanya kerana dia dilihat lebih bijak daripada kita!

Thursday, January 03, 2008

Haziq melangkah ke Sekolah Menengah

Hari ini, Selasa satu pengalaman baru buat anak nombor dua saya, Haziq. Mula mendaftar sebagai pelajar SMK Gemereh. Pagi-pagi lagi sudah bangun, teruja benar dia. Sudah lama bercuti barangkali. lalu semangat untuk kesekolah semula begitu membara. Pencapaian UPSRnya sederhana sahaja, lantas tidak perlulah sampai keluar daerah bersekolah asrama penuh misalnya. Namun bersyukur dengan apa yang diperoleh, kerana perjalanan dihadapan masih panjang. Saya beritahu dia..berusaha lebih keras untuk mencapai kejayaan.

Yang pasti..dia amat gembira bertemu rakan barunya dan juga cikgu baru.
Selamat belajar Haziq semoga cita-cita mu ingin menjadi seorang arkitek akan terlaksana.

Tuesday, January 01, 2008

selamat tahun baru

Tahun baru selalunya dikaitkan dengan pelbagai azam baru. Saya juga tidak terkecuali sebok merancang azam baru tahun ini. Paling utama dalam senarai ialah berazam untuk menjadi insan yang lebih baik daripada tahun lalu. Baik dalam serbaserbi- akhlak, amalan dan ketaatan kepada yang Esa.

Selain itu tersemat juga tekad untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada. Kelemahan yang mungkin merugikan diri sendiri selama ini.Ingin menambahkan ilmu, meluaskan pembacaan juga termasuk dalam senarai yang tidak pasti terlarat hendak dilaksanakan atau tidak. Hasrat untuk menulis buku yang telah tertangguh sekian lama juga juga dimasukkan sama dalam azam tahun baru kali ini. Saya berhasrat untuk menulis sekurang-kurangnya satu muka dalam sehari. Mampukah saya?

Untuk menambat minat saya melihat meluahkan segala yang terbuku dihati dan tersemat diminda dicurahkan semahu-mahunya melalui blog yang baru saya berjinak-jinak dengannya. Saya harap azam tidak akan tinggal azam...Insya Allah.

83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...