Wednesday, November 27, 2013

Pertunangan

Saya tidak ingat tarikh yang tepat bila saya bertunang. Kalau ingat pun, ia sekitar tahun 1987, kira-kira 26 tahun yang lalu. Majlis itu sangat-sangat sederhana saya kira. Saya hanya mengharapkan Pak Alang saya, isterinya dan anaknya mewakili saya dan ibu bapa saya untuk meminang. Hantaran pun ala kadar  sahaja. Saya tidak turut serta pun dalam rombongan yang cuma sebuah kereta itu sahaja. Saya tahu persiapan di pihak perempuan juga ala kadar.
 
 Sekarang ini keadaan sudah sangat berbeza. Orang ramai memilih untuk mengikut apa yang ramai orang lain buat, walau pun ia tidak perlu pun. Saya melihat majlis pertunangan sudah macam majlis perkahwinan. Pakai baju macam pengantin. Siap dengan mekap tebalnya. Lagi dahsyat siap dengan pelamin dan hantaran lagi. Kemudian ada pula sesi fotografi dengan pasangan. Posing pulak sudah macam sudah sah suami isteri gamaknya!

Lepas tu, kecoh.. Kecoh sekalian alam. "Aku dah bertunang.. Aku dah jadi milik dia. Tak ada siapa boleh rampas dia dari aku. She's mine! He's mine!".. Belum tentu perempuan yang dipuja tu akan jadi isteri kita akhirnya. Juga belum tentu lelaki yang kita benci tu bukan suami kita di penghujungnya nanti. Belum tentu tunang kita itu akan jadi pasangan hidup kita. Tidak ada sesiapa pun yang tahu siapa jodoh sebenar mereka pun. Kerana jodoh itu rahsia Allah!


Perlukah nak hebohkan majlis pertunangan? Kita sebaik-baiknya merahsiakan pertunangan. Bersederhana kan lebih bagus. Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan. Boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama' menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik.

Merahsiakan pertunangan juga menjadikan kita terkawal dari berkelakuan seperti sepasang suami isteri kerana hakikatnya seorang lelaki dan perempuan yang bertunang, masih lagi orang yang asing.

Dan satu lagi, lelaki tidak perlu turut serta pun dalam rombongan meminang!

Pena Tumpul - Ikut sahajalah

Tuesday, November 26, 2013

Tabir

Adakalanya kita merasakan apa yang kita buat seolah-olah tidak dihargai oleh orang lain. Kerja yang kita lakukan tidak dipandang orang apatah lagi untuk dinilai. Kita rasakan segala yang kita buat macam sia-sia sahaja. Kita yang bermati-matian melakukannya, orang lain yang sekadar menyumbang sedikit pula yang yang diberikan penghargaan tinggi melangit. Bak kata pepatah orang tua, lembu punya susu sapi pula yang dapat nama. Selalunya begitulah yang terjadi, yang di belakang tabir tidak disanjung seperti dijunjungnya mereka yang di depan tabir.

Saya ingin berkongsi kisah yang cukup menarik ini. Kisah seekor lembu yang menjadi mangsa di tangan tuannya sendiri. Bukan kerana  ia tidak baik. Bukan juga kerana ia tidak berguna. Tetapi hanya kerana ia tidak dilihat baik dan sangat bernilai di mata tuannya berbanding rakannya seekor kuda.

Alkisah, kuda ini diserang sejeni penyakit yang melumpuhkan pergerakannya. Setelah diperiksa, doktor haiwan mencadangkan kuda ini dibunuh sahaja sekiranya tidak pulih dalam tiga hari. Alasannya, ada kemungkinan akan merebak kepada binatang yang lain pula. Lembu terdengar perbualan doktor itu dengan tuannya. Dia tidak mahu kawannya ini mati sebelum berjuang. Dalam masa tiga hari itu dia bermati-matian memberi semangat kepada kuda untuk terus hidup. Dia melakukannya tanpa putus asa dan akhirnya di hari ketiga kuda itu boleh bingkas dan tangkas berlari. Ini dilihat dengan sangat terkejut oleh tuannya dan doktor haiwan itu. Dalam keseronokan itu dia berkata, "Saya akan buat kenduri besar meraikan kegembiraan ini dan sembelih lembu itu"

Begitulah nasib malang si lembu yang usahanya tidak dilihat apatah lagi dihargai pun. Di tempat kerja, ada kalangan kita yang senasib dengan lembu itu. Ada orang yang tidak menilai kerja kita hanya kerana kita berselindung di balik tabir!

Pena Tumpul - Memang suka di belakang tabir


Tuesday, November 19, 2013

Ubi

Bila balik kampung saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menikmati sajian masakan kampung yang disediakan oleh nenek dan Mak Utih. Walapun arus permodenan bergerak pantas, nenek nampaknya masih selesa dengan dapor kayunya. Satu sudut khas disediakan untuk itu sekiranya nenek diminta oleh anak cucunya yang balik mengunjunginya sekali-kala untuk memasak menggunakan dapor kayu. Memang tidak dinafikan nasi yang dihasilkan dari atas dapor kayu begitu beraroma dan enak berbanding tanakan dapor jenis moden.

Selain daripada menikmati lauk ikan lais masak asam pedas belimbing dan berulamkan ulam raja, nenek turut mengajak saya dan Aman sama-sama mencabut ubi kayu yang ditanamnya sendiri. Berpeluh juga..hendak mengeluarkannya. Namun, penat kami berbaloi. Kami menikmati ubi rebus nenek dengan enaknya bersama sambal tumis ikan bilis yang tidak dapat digambarkan kesedapannya. Makin sedap bila diiringi hujan lebat yang mencurah-curah membasahi bumi. Mahu sahaja dihabiskan satu periuk ubi rebus nenek!


Dan awal pagi ini lewat corong radio Ustaz bercerita tentang ubi. Seorang tua dari Parit Sulong yang menjual ubi kayu ditemuinya di pasar tani. Katanya setiap kali dia menjual ubi kepada pelanggannya dia akan melebihkan sebanyak satu kilo. Ditanya kenapa dia berbuat begitu, jawapannya cukup mudah, "Saya tidak menjual tanah, saya cuma jual ubi" Mulia betul hatinya. Khabarnya semua anaknya belajar di luar negara. Berkat rezekinya.

Ramai ke macam Wak ini?


Pena Tumpul -Ingin tengok penjual durian jual isi sahaja

Monday, November 18, 2013

Bercampur

Haziq bertanya kepada saya tentang sekular. Dia tidak faham dan mahu saya menjelaskannya. Saya mahu dia faham tanpa sukar. Pendekatan terbaik ialah dengan menggunakan analogi.

Saya percaya kita semua pernah melukis.Bila melukis kita akan bermain dengan warna. Begitu juga bila kita mengecat. Kita akan mencampur warna dan cat selalunya. Mencampurkan warna merah dengan putih misalnya dan kemudiannya warna air tersebut bertukar menjadi warna merah jambu.

Begitu juga bila kita buat air teh. Mencampurkan susu, gula dan teh dan akhirnya sejug air terhasil. Andainya  kamu disuruh mengasingkan kembali semua campuran tersebut, mampukah kamu mengasingkannya? Mengasingkan warna merah dan putih dari warna air merah jambu yang telah tersedia? Mengasingkan warna-warna cat? Atau barangkali mengasingkan susu dan gula dari air teh tersebut, mampukah kamu mengasingkannya?

Itulah analogi saya tentang kehidupan ini. Semuanya bercampur sehinggakan kita tidak mampu mengasingkan di antara jahiliyyah dan Islam. Segalanya suram. Tiada garis atau sempadan di antara jahiliyyah dan Islam. Saya tidak mampu melihat kesyumulan Islam. Saya melihat sekularisme yang membarah.

Pena Tumpul - Ada TV3, ada OasisAstro,  ada TVHijrah juga, kenapa begitu?

Sunday, November 17, 2013

Mengalah

Saya mengisi minyak di sebuah stesyen minyak yang agak sibuk. Secara kebetulan pelanggan yang beratur agak ramai. Saya berada di celah-celah barisan itu. Di depan saya menunggu giliran seorang lelaki yang agak berusia sekitar lewat 60an. Di belakang kaunter pula ada seorang wanita yang kelihatan berusia namun tidak pandai pula saya untuk mengagak usianya.

Saya terdengar lelaki itu berkata dengan perlahan, "Duit baki lima ringgit yang awak kembalikan ini koyak di bucu," Wanita tersebut pantas menjawab dan didengar agak kasar, "Ada orang bayar guna duit koyak. Nasiblah orang yang dapat duit tu. Salah orang lain takkan kita nak tanggung"

Lelaki itu menjawab dengan rasional, "Tak apa..nanti saya guna untuk bayar parking. Mungkin boleh terima". Dia berlalu sambil wajah menguntum senyum. Mungkin pada fikirannya tidak perlu melayan kerenah orang dalam emosi.

Pada saya lelaki itu bertindak tepat. Dia tidak bertegang leher dengan wanita itu yang tidak akan sudahnya. Tidak perlu untuk menang pun dalam pertikaman lidah yang tidak berfaedah itu. Ia hanya membazir waktu. Saya melihat inilah kelebihan orang lelaki berbanding wanita. Lelaki mudah mengalah. Dan mengalah itu pun pastinya bersebab. Lelaki tidak mahu diheret dalam perbalahan kata yang tiada penyelesaian. Kata orang banyak cakap nanti akan menelurkan sesuatu yang lebih tidak baik daripada isu remeh itu sendiri. Lelaki juga lazimnya berfikiran logik dan rasional berbanding wanita yang suka membebel dan suka pula bermain emosi.

Pun begitu, walaupun lelaki memang mudah mengalah, namun bertempat juga!

Pena Tumpul - Selalu mengalah dengan diam sahaja

Saturday, November 16, 2013

Perpisahan

Lokman mendaftar sebagai pelajar IPTA hari ini. Bersama-sama ibu dan ayahnya serta ahli
keluarga yang lain saya diajak sama untuk menghantarnya ke UiTM Jengka. Saya diajak kerana kononnya saya agak arif tentang arah haluan ke sana. Saya pernah bersemayam di bumi Jengka lebih kurang 20 tahun yang lalu. Jengka bukanlah tempat yang menarik untuk didiami. Jengka tidak seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Pada mulanya Lokman agak keberatan untuk ke Jengka. Saya tahu dia enggan kerana dua sebab utama. Sains Sukan bukanlah minatnya pun. Dia lebih cenderung kepada IT. Kedua, dia tidak pernah bercenggang dengan ayah dan ibunya. Jadi, perantauannya kali ini adalah yang pertama dalam hidupnya setelah 17 tahun hidup di bawah ketiak ayah dan ibunya.

Khabarnya, ibunya memujuknya dengan memenuhi satu-satunya permintaannya yang lama tertangguh. Lokman dapat juga memiliki handphone baru yang sangat diidamkannya selama ini. Kedua-dua anak dan ibu menang. Anak berjaya dipujuk dan ibu pula berjaya memujuk.

Saya melihat Lokman cukup kuat menahan kesedihannya. Dia tidak menangis pun. Cuma dia lebih banyak berdiam. Keletah anak saudaranya, Akif yang comel juga gagal untuk membuat dia senyum apa tah lagi ketawa. Saya paling banyak mengusiknya, malah mengusik ibunya juga yang saya faham benar cukup rapat dengan teruna bongsunya ini. Lepas satu, satu anak-anaknya meninggalkannya. Bermula dengan anaknya yang sulung, yang kedua, yang ketiga dan akhirnya yang ke empat. Tak apalah, merantau untuk masa depan yang lebih baik dan gemilang. Apa pun yang membungkam di hati terima sahajalah. Lagi pun, perjalanan masa sekarang tidaklah lama mana pun sekarang. Pantas sangat beredar.

Saya ingat emak pernah menangis 30 tahun yang lalu sekembalinya dari menghantar saya belajar dulu. Kata arwah ayah, emak tidak dapat menahan rasa sedihnya melihat saya tiada seperti selalu. Ia pengalaman yang bakal di tempuh kita semua. Tidak dapat tidak.

Pena Tumpul - Lihat Neng Yatimah di Jengka

Thursday, November 14, 2013

Kucing

 “Pada setiap yang mempunyai hati yang basah (haiwan) terdapat pahala (dalam berbuat baik kepadanya).    Riwayat Muslim

Sejak beberapa hari yang lalu beberapa ekor kucing singgah di Teratak Kasih. Kehadirannya memang tidak diundang pun apatah lagi dijangkakan. Saya tahu kucing-kucing ini secara sengaja ditinggalkan di depan rumah saya. Saya pernah terserempak sebuah kereta berhenti di depan pintu pagar di kala malam bulan mengambang dan melepaskan sesuatu dari keretanya. Pastinya kucing dan saya tidak menolak kehadiran haiwan ini.

Pagi ini, menjengol dua ekor lagi anak kucing. Berbulu puteh dan tidak sangat terurus. Kusut masai. Mengiau-ngiau tanpa henti. Saya tahu dua ekor kucing ini sangat lapar lantas mengurus masalahnya cepat-cepat. Sejak kehadiran dua ekor anak kucing awal bulan lalu, Haziq menyuarakan rasa kurang senangnya. Isteri juga sedikit tidak setuju bila saya kata kucing-kucing jalanan itu dibela sahaja. Masalahnya cuma satu sahaja- kucing tidak berdisiplin dalam menguruskan pembuangan sisa toksiknya. Saya setuju dengan mereka namun tidak pula sampai mahu mengusir semula kucing-kucing itu. Saya mengambil keputusan membela kucing-kucing itu.

Saya selalu percaya, kucing-kucing itu ada rezekinya di Teratak Kasih. Saya tidak berhak menolak kehadirannya. Ia ujian buat saya dan seisi penghuni Teratak Kasih.

Pena Tumpul - Tahu Junjungan Baginda suka kucing

Monday, November 11, 2013

Tekanan


Saya mendengar celoteh isteri tentang tekanan kerja yang dihadapinya di sekolah..Saya cuma menjadi pendengar setianya. Bukan sangat soal kerja itu yang menekannya tetapi Guru Besarnya yang tidak kenal letih berceloteh dan mengganggu konsentrasinya. Ia bagai isu yang tidak pernah selesai.

Bukan rahsia lagi bahawa kerjaya guru dikatakan paling hebat menghadapi tekanan berbanding kerjaya yang lain. Tekanan datang dari semua arah. Atas dan bawah. Kiri dan kanan. 360 darjah.

Menjadi guru tidaklah sangat bermasalah sekiranya tumpuan hanya diberikan kepada bidang tugas paling hakiki iaitu mengajar dan mendidik anak murid. Sepatutnya begitulah. Namun ia tidak begitu. Guru telah, sedang dan akan terus diletakkan di atas batu jemalanya beban dan tanggungjawab yang tidak cukup larat untuk ditanggung lagi. Guru bagaikan seorang pelakon yang melakonkan pelbagai watak. Diluar dari tugas mengajar dalam kelas itu sendiri, guru diminta melakukan pelbagai tugas secara paksarela sehingga adakalanya mengkesampingkan tugas hakiki itu sendiri.

Guru juga kerani. Juga seorang buruh di bawah mentari di padang bila diperlukan menyediakan garisan untuk temasya sukan sekolah. Guru juga sesekali jadi pemandu teksi membawa murid menyertai acara yang di anjurkan di peringkat daerah. Guru juga jadi ayah dan ibu kedua di sekolah. Hebatnya seorang guru. Dimanipulasi dan dieksploitasi semahunya.

Tekanan tentunya tidak terhad pada kerjaya guru semata-mata. Tekanan berlaku di mana-mana kerja pun. Cuma yang penting diberikan perhatian ialah bagaimana tekanan itu dapat di uruskan dengan baik.Dalam banyak keadaan, tekanan berlaku kerana pihak atas yang memang sangat suka untuk menekan pihak yang di bawah

Ada ketua yang cuma pandai mengurus tetapi tidak bijak memimpin. Mengurus dan memimpin adalah dua perkara yang berbeza walaupun macam nampak sama. Mengurus adalah merancang, mengarah dan memantau dan lebih menjurus kepada perkara-perkara yang melibatkan keputusan, hasil dan prestasi kerja.

Manakala  memimpin lebih kepada sentuhan kemanusiaan (human touch), kekitaan, kaunseling, rundingan, meningkatkan motivasi pekerja. Memimpin mengurus dengan hati.

Organisasi yang selesa iklim kerjanya dan disayangi pekerja selalunya menawarkan keseronokan kepada pekerjanya. Bukan luar biasa kalau ada organisasi yang menyediakan bilik muzik, bilik riadah dan kafetaria yang cukup selesa untuk menambat hati pekerjanya.

Pekerja adalah manusia biasa. Ada perasaan. Mereka bukan mesin. Mereka perlu dilayan penuh bermaruah.

Pena Tumpul - Pernah jadi guru dan memang membebankan

Saturday, November 09, 2013

Cermin

Pagi ini saya mengusik isteri saya yang suka sangat bercermin. Setiap kali berdandan, dia tidak pernah puas dengan melihat satu cermin yang ada di bilik utama. Di depan cermin, dia akan membelek-belek wajahnya dan membetulkan tudungnya. "Dah cantik tu", saya menyergahnya.

Kemudian dia akan beredar ke bilik kedua, juga membelek apa yang patut. Begitu juga di bilik yang ketiga dan akhirnya tamat di bilik yang ke empat. Saya jangkakan ia selesai di situ. Saya silap. Sebaik sahaja melabuhkan ponggongnya di kereta, cermin kereta dijadikan mangsa. Begitulah wanita yang memang sangat akrab dengan cermin. 

Ada kisah yang menarik tentang cermin ini. Ia tentang sepasang suami isteri orang asli yang tinggal di atas pokok ( dua tingkat dan mewah lagi) dalam hutan. Kerja suaminya mencari makanan seperti memburu atau memetik buah - buahan hutan. Manakala isteri pule hanya duduk mengemas di rumah sahaja.Suatu hari sedang suami mencari makanan di hutan, tiba - tiba beliau terjumpa cermin. Si suami membawa balik cermin itu dan menyimpan cermin tersebut di tingkat atas tanpa pengetahuan isterinya.Setiap hari, sebelum beliau keluar mencari makanan, beliau akan masuk ke dalam bilik dan melihat cerminya.

 Isterinya merasa pelik melihat telatah suaminya itu. Maka, disiasatlah bilik atas yang selalu dimasuki suaminya. Bimbang jika suaminya menyimpan perempuan lain di bilik tersebut tanpa pengetahuannya.Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik itu, isterinya ternampak cermin suaminya. Oleh kerana, beliau tidak tahu fungsi cermin itu, Jadi beliau ingat orang di dalam cermin adalah perempuan simpanan suaminya.

Beliau berlari sambil menangis dan meraung mencari emaknya.Maka emak beliau sendiri ingin melihat perempuan yang kononnya disembunyikan oleh menantunya itu. Lalu emaknya masuk ke dalam bilik tersebut. Kemudian keluar dari bilik sambil ketawa terbahak - bahak.

"Apa teruk benar suami kau tu. Kalau ya pun nak kahwin lain, carilah perempuan yang elok sedikit. Ini tidak.... Aku nengok perempuan kat dalam bilik itu...... Dah lah tua...!!!! Hodoh pulak tu...!!!!", kata emaknya sambil ketawa terbahak-bahak.

Si isteri yang tidak mengerti termangu-mangu dan terkebil-kebil, kasihan!

Pena Tumpul - Cermin diri

Friday, November 08, 2013

Pendekatan

Saya melihat Hafiz dan Hadif  dua orang kanak-kanak yang bijak. Beza umur mereka cuma setahun sahaja. Hafiz berusia 9 tahun dan Hadif 8 tahun. Tiada banyak perbezaan antara mereka. Kedua-duanya mudah mesra, ringan tangan dan amat senang di dekati. Kalau ada pun perbezaan, Hadif dilihat lebih petah bercakap berbanding abangnya yang sedikit pendiam. Dengan Hafiz, bila ditanya sepatah, dijawab sepatah. Disuruh satu, dibuat satu. Ini berbeza dengan Hadif yang kelihatannya lebih aktif dan adakalanya terlalu proaktif. Tindakannya akan melangkaui apa yang sekadar disuruh sahaja. Kalau disuruh satu, dia akan buat lebih dari satu.Hadif cukup inkuisitif dan "curious".

Saya selalu mendengar Hafiz merungut kerana ayahnya lebih banyak menyuruh Hadif melakukan sesuatu dan diberikan perhatian yang istemewa.Malah sering diberikan hadiah oleh ayahnya. Hafiz rasa macam disisih dan tidak diperlukan.

Petang ini saya menguji kedua-duanya. Saya ingin Hafiz mencari jawapannya sendiri mengapa ia dilayan begitu oleh ayahnya.

Saya lihat atoknya ada dalam bilik. Saya ingin ke pasar malam dan saya tahu setiap kali ke pasar malam atok mereka tidak pernah lupa untuk menyuruh saya membelikan sesuatu untuknya. Saya menugaskan Hafiz dahulu untuk bertanya atoknya.

"Fiz, tanya atok, kalau atok nak kirim kat Uda apa-apa. Uda nak pergi pasar malam ni", saya kata pada Hafiz.

Setelah bertanya kepada atoknya, Hafiz datang kepada saya dan berkata, "Atok nak putu bambu"
Saya suruh tanya lagi, " Tanya kat atok, nak berapa banyak"
Sekali lagi Hafiz mendapatkan saya dan beritahu, "Atok nak tiga ringgit"
Hafiz saya suruh tanya atoknya buat kali ketiga. "Atok nak apa lagi?"
Kali ini Hafiz beritahu saya, "Atok nak air katira"

Sampai pula giliran Hadif untuk saya bertanya kepada atoknya. Secara sengaja saya arahkan Hadif supaya menunggu di dalam biliknya ketika saya berurusan dengan Hafiz tadi.

Saya tugaskan Hadif bertanya kepada atoknya soalan yang sama seperti Hafiz sebelumnya. "Dif, tanya atok kalau atok nak suruh Uda beli apa-apa kat pasar malam. Uda nak pergi sekejap lagi"


Seusai bertanya atoknya, Hafiz meluru ke arah saya dan berkata, " Atok suruh beli putu bambu tiga ringgit dan air katira. Kalau tak ada putu bambu atok suruh beli putu piring".

Saya tidak perlu menjelaskan apa-apa kepada Hafiz. Dia sudah mendapat jawapannya. Saya lihat Hafiz berlalu pergi membawa diri. Saya faham perasaannya.

Pena Tumpul - Tidak banyak cakap 

Wednesday, November 06, 2013

Gaji

Kerajaan memberi jaminan akan menilai skim perkhidmatan pensyarah institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang ketinggalan berbanding penjawat awam lain.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata perbincangan teliti mengenai cadangan itu akan dilakukan sebelum dikemukakan ke peringkat lebih tinggi untuk diputuskan.
“Kita akan bentangkan kepada pihak atasan untuk perhatian sewajarnya,” katanya ketika diminta mengulas desakan Majlis Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) supaya ia dikaji semula kerana tidak pernah ditambah baik sejak lebih 10 tahun lalu.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wilayah, di sini semalam.

Dalam pembentangan Bajet 2014 bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 81 skim perkhidmatan awam akan diberi penambahbaikan, berkuat kuasa Januari 2014.

Sebelum itu, 86 skim perkhidmatan dikaji bagi memastikan kadar gaji minimum dan elaun penjawat awam sentiasa selaras dengan kenaikan kos sara hidup semasa.

Sebelum ini MACC yang mewakili kira-kira 30,000 pensyarah IPTA mendesak kerajaan mengkaji skim itu dengan memperkenalkan kenaikan pangkat pensyarah dan tenaga pengajar dibuat berdasarkan tempoh perkhidmatan, bukan berdasarkan merit.

Pengerusi MAAC, Prof Dr Mohd Idrus Mohd Masirin, berkata ia sudah berlarutan lebih 10 tahun dan skim gaji pensyarah masih di takuk lama tanpa penambahbaikan.

Beliau dilaporkan berkata, tidak semua pensyarah melakukan kajian serta menghasilkan inovasi untuk dijadikan merit dalam proses kenaikan pangkat dan gaji.

Pena Tumpul - Bagus

Monday, November 04, 2013

Zarah


Dan barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, tetap akan dihitung. Dan barangsiapa yanng melakukan kejahatan walau sebesar zarah, tetap akan dihitung” (Alzalzalah)

"Ayah, apa itu zarah? Haziq mengajukan pertanyaan tersebut bila dia berjumpa istilah itu di dua ayat terakhir surah Zalzalah.Dia memerlukan penjelasan. Bagaimana agaknya sebesar zarah itu? Adakah sebesar bola? Adakah sebesar pasir?Atau sekecil debu dan habuk yang berterbangan yang tidak terlihat oleh mata kasar? Sememangnya sebesar zarah itu memerlukan beberapa kali pembesaran mikroskop.

Di mata yang Esa, baik buruk amalan hambanya walau sebesar zarah sekalipun tidak terlepas dari hitungannya. Yang tidak baik adalah dosa walau sekecil mana pun begitu juga yang baik adalah pahala. Justeru, kita perlu berhati-hati agar tidak terdorong untuk melakukan dosa walau sekecil mana pun sifatnya. Saya kongsikan dengannya cerita seorang alim yang sentiasa membawa lilin bersamanya. Bila dia rasa ingin berbuat dosa, maka akan dia nyalakan lilin itu, lalu menyuakan jarinya kepada api lilin. Bila panasnya tidak tertahan, dan kulitnya hampir terbakar, dia menarik semula jarinya itu, lantas berkata, “ Wahai diri, jika engkau tidak mampu menahan api dunia ini, maka janganlah kau bermimpi hendak menyentuh api neraka nanti…

Ketika mamanya sedang sebok menyediakan sajian tengahari di dapor, saya cadangkannya membantu dimana perlu dan Allah tidak akan lupa menghitungnya nanti walau sekecil mana pun. Haziq bergegas ke dapor meraih kebaikan. Mudahnya.

Pena Tumpul - Syukur

Sunday, November 03, 2013

Tutur

Setiap tutur kata itu adalah doa. Justeru itu berhati-hatilah sebelum menuturkan kata-kata. Timbang dan fikir dulu. Kalau baik yang keluar, baiklah kesan dan hasilnya, begitulah juga sebaliknya. Kata pepatah, terlajak perahu masih boleh diundur, namun kalau kata yang terlajak buruk padahnya.Oleh itu banyakkan kata-kata yang positf dan kurangkan tutur kata yang berbau negatif. Kata-kata yang positif akan mencetuskan situasi, perasaan dan tindakan yang juga positif.

Cerita yang saya dengar dari seorang Ustazah melalui corong radio pagi ini rasanya elok dijadikan panduan. Kisah yang mungkin kita sendiri pernah mengalaminya. Kisah dua orang sepupu Hafiz dan Hadif yang cukup rapat bagaikan adik beradik dan tinggal berjiran. Suatu petang mereka memanjat pokok jambu air yang sedang masak ranum di laman rumah mereka. Kedua-duanya cukup pandai memanjat sehingga sampai di dahan yang agak tinggi.

Ibu Hafiz yang kebetulan baru memberi ayam makan di belakang rumah ternampak anaknya dan Hadif di atas pokok itu.

"Hafiz, buat apa di atas pokok tu? Nanti jatuh. Kan ada banyak kerengga tu," jerit ibu Hafiz. Mendengar jeritan ibunya, Hafiz hilang keseimbangan dan ketika cuba memaut dahan yang berdekatan, dia terpegang sarang kerengga.

Hafiz tidak bernasib baik dan jatuh. Hadif panik dan juga hilang keseimbangan. Bapa Hadif yang mendengar jeritan ibu Hafiz bergegas ke jendela. "Hati-hati Hadif! Pegang dahan tu kuat-kuat!"

Hadif berjaya berpaut kuat dan bertindak segera dari pokok. Hadif turun dengan selamat.

Hebatnya impak apa yang kita tuturkan!

Pena Tumpul - Kerana mulut badan binasa

Saturday, November 02, 2013

Kotor

Hasrat untuk mandi manda sambil bersantai di tiga buah pantai saya kuburkan sahaja. Saya dan keluarga termasuk mentua ke pantai Desaru, Tanjung Balau dan Teluk Godek Air Papan sekaligus hari ini. Dari rumah semuanya kelihatan seronok benar lebih-lebih lagi Haziq yang kepingin sangat untuk mandi air laut. Namun kegembiraan bertukar kehampaan yang tidak dapat disembunyikan dari wajah masing-masing.

Jejakan kami di pasir pantai di sambut oleh pemandangan yang menyerabutkan dan memualkan. Pantai Desaru bukan sahaja kotor dan bertebaran sampah sarapnya malah dikatakan tandus dengan kemudahan untuk pengunjung. Gerai-gerai makanan yang bagai tidak terurus dan tidak nampak bersih lantas tidak cukup menggamit kami untuk duduk menghilang lapar dan dahaga. Tempat untuk bersantai melamparkan hidangan yang kami bawa sendiri juga cukup terhad dan tidak juga bersih. Kami cuma singgah tidak sampai pun 15 minit di pantai yang dikatakan cukup gah ini. Tidak sanggup rasanya untuk berlama-lama di pantai yang tidak mesra pengunjung ini!

Lantas saya mencadangkan berhijrah ke pantai Tanjung Balau yang jauhnya sekitar 20 minit dari pantai Desaru. Kami bernasib baik kerana Tanjung Balau tidak mengecewakan. Banyak tempat bersantai untuk kami duduk dan sekali menghamparkan hidangan yang telah sudah tidak tahan untuk kami kecapi lagi. Laparnya bila disapa angin pantai yang sejuk dan nyaman. Pantainya juga agak bersih. Paling menarik tidak sangat sesak dengan pengunjung. Namun hasrat untuk mandi terbantut lagi kerana ombak kuat membalun pantai bersekali dengan rengekan hujan yang tiada petanda untuk berhenti.

Sekonyong-konyong Haziq mencadangkan bergerak pula ke Air Papan dan lebih kurang satu jam lebih kami sampai dengan harapan menggunung yang menunggu masa untuk diratakan. Harapan berkecai lagi. Kemolekan pantai Air Papan yang selalu digembar-gemburkan hanya sekadar indah dari rupa. Pantai tidak terurus dan agak kotor yang membunuh selera kami untuk berlama-lama apatah lagi untuk mandi.

Kami beralih arah ke Johor Bahru meninggalkan pantai-pantai yang tidak menyebelahi kemahuan kami!

Pena Tumpul - Cantik dalam gambar sahaja rupa-rupanya

Friday, November 01, 2013

Telur



-->Setiap Jumaat saya tidak perlu bergesa-gesa ke tempat kerja berbanding hari-hari lain yang lazimnya menyaksikan saya sudah berada di kabin A130 seawal 7.00 pagi. Pagi Jumaat memberi saya sedikit ruang untuk "berleceh" dan peluang untuk berkudapan secara santai bersama isteri. Pastinya bukan di rumah justeru isteri tidak punya banyak masa untuk menyediakan sarapan pagi kecuali di hujung minggu.
Restoran mamak kami singgahi pagi ini untuk sekeping roti canai yang sudah lama tidak dinikmati. Tersimpan hasrat untuk roti telur juga namun cepat-cepat dilenyapkan justeru antara kami berdua tidak ada yang cukup berani atau sangat ringan mulut untuk bertanya begini kepada penebar roti, " Telur ni basuh ke?" Isteri enggan. Saya juga keberatan. Biarkan tepung di uli dengan telur-telurnya, biarkan, biarkan! Mengapa perlu sibuk-sibuk bertanyakan soalan begitu?

Bahawa telur ayam atau telur apa sekalipun keluar dari lubang dubur yang juga tempat keluar najis dan binatang-binatang ini tidak pernah membersihkan najis atau dubur mereka menjadikan soalan ini penting. Bahawa kadang-kadang kita dapat lihat najis ayam masih terlekat pada telur ayam membuatkan pertanyaan ini juga perlu disuarakan. Bahawa sudah begitu jelasnya terdapat najis pada kulit telur ayam sama ada hukmi atau aini membuatkan pertanyaan ini semakin amat terlalu penting.

Bahawa telur yang tidak dibasuh terlebih dahulu sebelum digunakan akan mengakibatkan seluruh masakan atau makanan tersebut dikira bernajis dan najis adalah haram dimakan menjadikan pertanyaaan ini cukup penting, amat penting, terlalu penting dan penting sepenting-pentingnya.

Justeru malu bertanya dan dihinggap rasa syak, zan dan waham yang bukan kepalang, saya dan isteri cuma mampu berpuas hati dengan sekeping roti canai dan sepiring kuah dal. Cukuplah.

Pena Tumpul - Jangan jadi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung

Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...