Skip to main content

Posts

Showing posts from 2011

Lama

Saya ke sebuah kedai yang paling lama di bandar Segamat.Kedai yang terletak di bandar lama ini cuma menjadi tumpuan di hujung tahun. Ketika inilah ibubapa sebok berbelanja untuk peralatan sekolah anak-anak. Kedai ini jadi popular kerana dua benda sahaja iaitu baju dan beg sekolah. Saya memilih untuk ke kedai lama ini untuk membeli beg sekolah Haziq dan bukan di kedai-kedai gah pada nama tetapi harga menjerut leher pembeli. Lagi pun ada kenangan penuh sentimental yang tidak mampu dilupakan bila ke kedai ini.

Saya masih ingat setiap kali menjelang persekolahan almarhum ayah akan bawa saya dan abang ke kedai ini untuk beli beg sekolah baru. Masa dulu beg yang dijual tidaklah banyak jenisnya dan coraknya seperti sekarang. Ayah bukanlah banyak sangat duit pun jadi kami dibelikan beg sekadarnya. Namun saya dan abang berpuas hati dan bersyukur dengan apa pun beg yang ayah pilihkan untuk kami. Kami tidak merengus apatah lagi membantah. Sekurang-kurangnya dapat juga beg baru daripada tiada lan…

Mesra

Seawal pagi ini ada dua perkara yang amat menyukakan hati seorang saya. Ia mungkin kecil pada pandangan orang lain tetapi pada saya ia cukup besar dan bermakna. Lain orang lain pandangannya.

Ketika menunggu isteri menerima ubatnya di Unit Farmasi Poliklinik, mata saya terarah kepada sebuah kotak di bawah kaunter. Ia bukan kotak biasa.  Ia kotak yang memudahkan orang ramai. Selalunya dalam keadaaan cuaca yang sering hujan begini, payung menjadi teman rapat ke sana dan ke mari. Ternyata Unit Farmasi cukup peka dengan kehendak pelanggannya dan menyediakan kotak ini.

Sejurus selepas usai di kaunter ubat, saya dan isteri beredar untuk bersarapan pagi. Kami singgah di sebuah warung yang memang sering menjadi tumpuan di Kg Jawa. Acapkali niat untuk singgah bersarapan di sini, dibatalkan kerana kesesakan yang melampau. Orang selalu ramai di warung ini. Pasti ada yang menjadi tarikannya. Roti canai atau mungkin kuih-kuih yang amat pelbagai atau barangkali harga yang relatif murah.

Dalam keghai…

Doa

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kegundahan hati dan kesedihan,
Dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas,
Dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut dan bakhil,
Dan aku berlindung kepada-Mu dari lilitan hutang dan tekanan orang.

Dalam Tanyalah Ustaz seorang Ustaz berkongsi cerita yang perlu dijadikan iktibar.Pada suatu hari, Rasulullah masuk ke masjid, lalu baginda melihat seorang lelaki Ansar bernama Abu Umamah sedang termenung, pada wajahnya tergambar kedukaan.

Kemudian baginda Rasul bertanya; "Apa yang engkau buat di sini pada waku begini, wahai Abu Umamah?"

Abu Umamah menjelaskan; "Aku sedang bingung kerana terlalu banyak hutang, ya Rasulullah."

"Sukakah engkau aku ajarkan satu bacaan yang dapat melangsaikan hutang-hutangmu dan melenyapkan duka dan kesedihanmu?;

"Bacalah setiap pagi dan petang bacaan ini," kata baginda Rasul.
Abu Umamah berkata; "Doa tersebut aku amalkan dan akhirnya Allah menyelesaika…

Aurat

“Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik. Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat… perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat"
Saya melihat dalam kelas, dua atau tiga orang siswi yang sekejap bertudung sekejap tidak. Ada hari-hari mereka bertudung dan ada harinya juga mereka dilihat tanpa tudung di kepala. Saya melontarkan persoalan secara jujur untuk mendapatkan jawapan.

Ada yang menerimanya secara terbuka dan ada yang kurang senang isu ini ditimbulkan. Justeru itu yang seorang ini mengeluarkan kenyataan di atas. Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun saya sedar pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas.
“Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?” tanya saya lembut. “Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.” Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada…

Jumud

Saya tidak pernah tahu adanya jawatan sebagai peniup kaca dalam sektor awam. Jawatan ini antara yang tersenarai dalam beberapa lagi jawatan yang akan dijumudkan.Dalam lain perkataan akan dimansuhkan bermula tahun depan. Tiada lagi pengambilan baru. Penghapusan jawatan jumud adalah antara transformasi yang dilakukan dalam sektor awam yang dianggap cukup besar anggotanya melebihi satu juta kakitangan.

Saya melihat ia memang satu langkah yang tepat pada masanya dalam usaha untuk meningkatkan imej perkhidmatan awam yang selama ini sering dipandang serong. Perkhidmatan awam selalu dikatakan tidak cekap, dan berlakunya pertindihan tugas, pembaziran sumber manusia akibat lebihan kakitangan. Ia dilihat memang ada benarnya dakwaan sedemikian. Tidak keterlaluan kalau dikatakan ada yang cuma goyang kaki pun di tempat kerja!

Selain penjumudan jawatan, berlaku juga penjenaman semula pada jawatan-jawatan tertentu. Jawatan atenden atau amah sebelum ini kini dapat nama baru iaitu Pembantu Perawatan K…

Makan

Dalam perjalanan balik dari Melaka saya sempat singgah di salah sebuah kedai makan di Tangkak. Kata orang kedai yang satu ini memang luar biasa mee bandungnya. Sementara menunggu mee bandung yang dipesan tersaji di atas meja, saya berceloteh tentang cara makan yang berbeza di kalangan pelbagai kaum dan bangsa.

Saya tanya Haziq mengapa dia memilih untuk makan menggunakan tangan walaupun dia boleh makan dengan sudu dan garfu kalau dia mahu. Katanya makan guna tangan lebih nikmat dan mudah lebih-lebih lagi kalau makan nasi dengan pelbagai lauk. Biasanya orang Melayu lebih selesa makan pakai tangan.

Apakah rasionalnya dan kenapa orang Melayu makan dengan tangan? Saya mengajukan soalan ini kepada Haziq dan dia tidak mampu menjawabnya. Saya pernah terbaca asal usul orang kita makan guna tangan ini.  Soalan ini dijawab dengan mudah di akhir abad ke 19 oleh seorang kerabat diraja Kedah yang menetap di Selangor bernama Tengku Kudin.

Ia berlaku di akhir abad ke 19. Seorang kerabat di r…

Kewujudan

Dalam ceramahnya, Ustaz Zahazan bercerita tentang kebijaksanaan Imam Abu Hanifah menangkis hujah orang kafir yang memang tidak pernah percaya tentang wujudnya Tuhan. Ia cerita yang menarik untuk dikongsi bersama.

Pada suatu hari, Imam Abu Hanifah di soal oleh seorang kafir berkaitan bukti kewujudan Tuhan.Beliau lantas menjawab akan menjawab soalan itu pada sebelah petang di sebuah pulau.

Pada petang itu, orang kafir itu berada di pulau itu pada masa yang di janjikan. Namun, Imam Abu Hanifah belum sampai-sampai. Apabila Imam Abu Hanifah tiba di hadapan orang kafir itu, dia terus menuduh beliau dengan menyatakan keburukan orang Islam yang mengaku agama mulia tetapi penganutnya tidak tahu menepati masa. Imam Abu Hanifah menerangkan sebab beliau terlewat. Beliau tidak menemui sebarang perahu atau sampan yang membolehkannya menyeberangi sungai tadi.

Dia menceritakan kepada orang kafir itu apa yang berlaku. "Ketika saya sedang berfikir tentang jalan penyelesaian masalah itu, saya t…

Malas

Pada suatu masa dahulu, ada sebuah kampung di mana semua rakyatnya amat rajin belaka dan  tidak ada yang malas pun Jadi pada suatu hari, Rajanya membuat pengumuman hendak mencari seorang yang malas. Semasa perhimpunan itu, adalah seorang lelaki mengaku "saya adalah yang paling malas"
Raja pun bertanya, "Apa tahap malas awak?"

Lalu jawab lelaki tersebut, "Kalau saya hendak makan,ada orang yang menyuapkan saya".
Tiba-tiba datang seorang lelaki lagi, "Saya lebih malas lagi dari dia tuanku".

Tuanku pun bertanya kepadanya, "Sampai mana pulak tahap malas awak?"

Maka jawabnya, "Kalau saya makanpun, sampai ada orang tolong kunyahkan".
Maka Raja pun terdiam. Sekonyong-konyong datang seorang budak lelaki  kepadanya sambil
berkata, "saya adalah yang paling malas Tuanku".

Raja pun bertanya,"Bagaimana pula tahap kemalasan awak?"

Budak itu pun menjawab,  "Nak cerita  pun saya  malas"....

Pena Tumpul- Ada orang…

Tamak

Rumah sebuah ini sepatutnya sudah dilanyak bersama dua tiga biji rumah yang lain apabila kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh jentolak beberapa minggu lalu. Rumah milik Pak Atan di Jalan Muar ini turut terbabit untuk memberi laluan kepada projek jalan raya baru Segamat-Tangkak.

Malangnya nasib Pak Atan. Bila saya berkesempatan bertemu dengannya semalam, Pak Atan mempamerkan wajah seribu kehampaan. Dia sepatutnya menerima sejumlah pampasan seperti orang lain yang diambil tanahnya oleh kerajaan. Namun kerana kesilapan yang dilakukannya berpuluh tahun lalu, hari ini dia menerima padahnya. Sifat haloba berserta dengki yang bersarang di hati anak angkatnya merumitkan keadaan. Segalanya tersangkut dan terbantut. Si anak seolah-olah mahu membolot setiap sen pampasan yang bakal diperoleh dan menafikan hak Pak Atan sebagai pemilik rumah usang ini. Benar, Pak Atan secara sah sudah memindahmilikkan tanah itu kepada anak angkatnya dulu, namun itu tidak bermakna Pak Atan harus diketepikan begitu…

Raja

Saya masih ingat ditanya oleh Cikgu Husin guru tawarikh ( dulu tidak dipanggil sejarah) negara yang paling ramai raja memerintah di dunia ini. Saya tidak dapat menjawab soalan itu malah seluruh kelas darjah Lima(A) gagal memberikan jawapan yang tepat. Saya yakin semua tahu jawapannya kerana ia tidak lain negara kita sendiri. Itulah uniknya sistem pemerintahan raja berparlimen negara kita. Yang diPertuan Agung  (YDPA)yang menjadi payung kepada kerajaan Persekutuan selain daripada Raja-Raja Melayu yang menaungi kerajaan negeri kecuali di empat negeri yang tiada raja termasuk Melaka.

Hari ini negara memiliki YDPA yang baru menggantikan Tengku Mizan yang kembali semula bersemayam di kerajaan Terengganu. Tuanku Abdul Halim Sultan Kedah mencipta sejarah negara kerana dilantik buat kali kedua sebagai YDPA dan ini tidak pernah berlaku pada mana-mana raja pun sebelum ini. saya masih ingat ketika baginda menjadi YDPA sekitar 1974, kami pelajar sekolah diminta beratur di hadapan stesyen keretapi…

Lalat

Lazimnya seorang penceramah yang baik akan memanipulasikan apa sahaja yang kelihatan di pandangannya untuk dijadikan penyendal ceramah. Dewan Karyawan di kunjungi lalat-lalat yang tidak pernah diundang dan kehadiran serangga ini memang tidak menyelesakan.

Ustaz Zahazan yang dijemput berceramah membawa cerita tentang lalat. Dia mempersembahkan sebuah hadis nabi yang cukup elok untuk dijadikan iktibar.

 Rasulullah  bersabda “ Seorang lelaki telah masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki lain masuk neraka kerana seekor lalat. Sahabat bertanya “ Bagaimana boleh berlaku ya Rasulallah : Baginda  bersabda : Dua orang lelaki telah melalui perkampungan satu kaum yang memiliki berhala. Setiap orang yang melalui berhala tidak akan dibenarkan lalu kecuali jika melakukan korban untuk berhala berkenaan. Dua orang tadi ditahan lalu dikatakan kepada mereka berkorbanlah. Berkata seorang dari mereka kami tidak memiliki sesuatu untuk dikorbankan. Lalu berkata penjaga berhala ” berkor…

Selam

Lucu juga bila dengar cerita ada kapal selam yang tidak boleh menyelam. Kalau kapal selam tidak boleh menyelam rasanya tidak wajarlah dipanggil kapal selam. Lebih melucukan lagi bila cerita ini disebarkan oleh seorang pemimpin tertinggi sebuah negeri yang tidak tahu apa-apa pun tentang kapal selam.

Memang menjadi amalan biasa di kalangan kita untuk bercakap tentang sesuatu yang kita tidak tahu pun. Ibarat seorang doktor hendak bercakap tentang kejuruteraan. Tentulah tidak kena pada tempatnya. Begitu juga seorang peguam hendak menunjuk pandai dalam aspek seni bina bangunan misalnya, juga memang tidak masuk akal. Begitu juga bila seorang yang tidak cukup arif pun tentang hukum hakam agama berlagak macam lebih pandai daripada seorang ustaz.

Jadi, soal kapal selam boleh menyelam atau tidak bukanlah tugas seorang ahli politik untuk sebok-sebok tentangnya. Biarlah orang yang arif tentangnya bercakap tentangnya. Soal-soal anak-anak buah dan kebajikan mereka itulah yang patut dijaga dan diber…

Perubahan

"Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” 



Hadis di atas sudah selalu sangat kita baca dan dengar. Sudah ramai orang yang mengungkapkanya dan diselitkan dalam ceramah khususnya oleh Ustaz dan pakar motivasi. Saya mendengarnya lagi tengahari ini dilontarkan oleh seorang lagi Ustaz lewat corong radio. Namun kali ini impaknya amat berbeza. Ia begitu berkesan kerana cara ia disampaikan amat menarik oleh penyampainya yang juga menarik.

Hadis ini disandarkan bila dia bercakap tentang perubahan sempena Hijrah. Semua orang sebok bercakap tentang perlunya perubahan diri. Kalau tidak baik akan berubah jadi baik. Kalau sudah baik bertekad pula untuk jadi lebih baik. Menariknya bila Ustaz melihat perubahan itu dalam dimensi yang lebih realistik dan…

Menangis

Seorang pelajar perempuan tiba-tiba sebak dan berair matanya. Dia menangis tanpa saya ketahui sebabnya. Saya takut kalau ada kata-kata yang saya lontarkan kepadanya menyentuh dan menyiat perasaannya lalu dia menangis. Dia datang ke bilik saya meminta nasihat. Sebagai penasihat akademiknya, saya perlu bersedia untuk memberikan pandangan dan sekaligus menyelesaikan masalahnya.

Dia gagal dalam satu subjek penting semester lalu dan perlu mendudukinya semula. Saya menasihatkannya supaya mengulanginya pada semester ini ketika dia pula berkeras untuk menangguhkannya pada dua semester berikutnya. Saya katakan kepadanya bahawa niatnya itu bukanlah cukup baik untuk dilakukan. Namun dia punya alasan sendiri yang tidak cukup kuat pun. Ingin bertarung bermati-matian untuk mencapai keputusan yang terbaik dalam tujuh subjek lain yang diambilnya dan melupakan sementara subjek yang dia gagal itu.

Saya nampak dia tiba-tiba menangis bila saya bertanyakan sebab kegagalannya dalam subjek yang tidak susah …

66

Ayah mentua diraikan ulang tahun kelahirannya malam ini. Dia berusia 66 tahun, dan masih sihat. Beliau cukup disenangi untuk diakrabi oleh insan-insan disekelilingnya lebih-lebih lagi cucu-cucunya yang cuma empat orang itu. Apa sahaja kemahuan mereka, tidak pernah dihampakan. Tuan Haji Muda yang juga seorang Imam memang tidak banyak cakap. Saya sendiri yang juga tidak banyak cakap memang kurang berpeluang untuk bercakap dengannya.

Selalunya dalam meraikan majlis begini, ucapan "selamat panjang umur" selalu kita dengar walau pun ucapan "selamat pendek umur" yang lebih wajar diucapkan, kerana semakin bertambah umur kita, ia juga bermakna umur kita sebenarnya makin pendek.

Saya dan isteri menghadiahkannya sebuah kitab. Saya mahu dia bukan sahaja cukup lancar dalam melafazkan doa-doa yang dibacanya setiap kali selesai mengepalai solat tetapi juga turut memahami apa yang diungkapkan. Kelihatannya beliau memang cukup senang menerima hadiah kami yang tidak seberapanya itu…

Masa

Masa diperlekehkan lagi untuk kesekian kalinya. Sudah acap kali mesyuarat yang sepatutnya bermula pada waktu yang telah ditetapkan lewat dan tertunda. Gejala ini berlaku hanya kerana masa tidak diberikan kedudukan yang sewajarnya. Kelihatannya kita tidak sangat menghargai masa. Sudah begitu cara kita orang Melayu barangkali. Sesuatu yang sudah cukup sebati dalam diri memang amat sukar untuk dikikis. Justeru itulah dalam masyarakat kita, masa tidak pernah tepat sifatnya sehingga ungkapan-ungkapan seperti "lepas zohor" dan sebagainya di jadikan sandaran untuk menentukan masa. Lepas zohor itu boleh sahaja sepanjang waktu selepasnya sehinggalah masuk waktu asar. Bukankah sukar begitu?


Ironisnya, ketika Islam mengaitkan ibadat-ibadatnya dengan masa seperti solat lima waktu misalnya, kita tidak pula belajar dan menghayati masa dari ibadat yang kita lakukan itu. Ia tidak kita terjemahkan dalam kehidupan kita. Sepatutnya jika kita mengamalkan ajaran Islam secara total, maka masa k…

Bencana

Di ruangan motivasi pagi lewat TV3 hari ini  seorang Ustaz bercakap tentang bencana. Bukan bencana alam tetapi bencana amal. Bencana yang berlaku berpunca dari amalan yang kita lakukan. Amat menarik bila penceramah ini berkongsi gambaran yang diberikan oleh Rasulullah tentang wujudnya tiga golongan manusia dalam masyarakat. Ia digambarkan dalam sebuah perumpamaan yang cukup menarik untuk diteliti.

Sebuah bahtera yang belayar di lautan luas, di mana penumpang di bahagian bawahnya amat memerlukan air. Maka berlakulah perbincangan di kalangan penumpang-penumpang di tingkat bawah:

Penumpang #1: Aku tak kira. Bila aku dahaga aku mesti dapatkan air untuk diminum. Orang di tingkat atas memang tak pernah fikirkan keadaan kita di bawah ni.

Penumpang #2: Apa yang kecoh-kecoh ni. Kenapa tidak kau mintak saja dari penumpang di bahagian atas untuk dapatkan air untuk kamu.

Penumpang #1: Aaahh. Mereka bukannya kisah tentang keadaan kita. Takkan dilayannya permintaan kita ni. Lebih baik aku…

Menyampaikan

"Diri sendiri pun masih tidak betul ada hati nak nasihat orang dan ajak orang buat baik. Nak tulis fasal agama macam Ustaz"

Sesekali saya dibalun oleh perasaan begini. Saya amat sedar saya bukan Ustaz. Logiknya, atas kesedaran itu saya tidak selayaknya untuk menulis dan bercakap sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Ustaz. Pun begitu niat untuk berkongsi dan seterusnya menyampaikan apa yang saya rasa kepada orang lain, saya abaikan apa yang berlegar dalam fikiran itu. Sekurang-kurangnya sebagai peringatan untuk diri sendiri.

Hari ini saya mendapat kekuatan baru setelah mendengar bicara seorang Ustaz lewat corong radio pagi ini. Katanya, dakwah bukan hanya sekadar berceramah di masjid. Perbualan antara dua orang sahabat di kedai kopi tentang Allah dan hari akhirat adakalanya lebih berkesan daripada ceramah seorang ustaz dalam majlis ilmu.

Ustaz ini memetik kata-kata ulama hebat Hasan al-Basri bahawa syaitan sedang menjalankan tipudayanya membisikkan kata-kata sehing…

Tandas

Gara-gara tandas yang terlalu bersih, saya menahan diri saya untuk melunaskan hajat saya yang tersimpan lama. Tidak tergamak rasanya untuk mengotorkannya walaupun hakikatnya tandas memang ditugaskan untuk menerima benda-benda yang lahiriahnya memang kotor.

Rasa begini tidak pernah saya alami di mana-mana tandas pun sebelum ini. Lazimnya, tandas bukanlah tempat yang teruja sangat untuk kita lama di dalamnya. Tandas cukup sinonim dengan bau yang kurang selesa, memualkan dan tidak bersih. Dalam keadaan yang ekstrim ada tandas yang amat meloyakan dan menjijikkan.

Bila saya dan pelajar-pelajar ke Jabatan Ketua Menteri Melaka hari ini, tandasnya teramat bersih. Saya bagaikan masuk sebuah bilik aromaterapi. Bau yang wangi menusuk hidung dan menjalar setiap penjuru tandas. Ada bunga. Saya tidak rasa saya berada dalam tandas pun.

Justeru terlalu bersih, saya tidak sampai hati untuk menggunakannya!

Pena Tumpul - Teringat guna tandas kampung masa kecil dulu, eeeeee gelinya

Dunia

Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Khabarnya, ramai yang mengira bahawa kehidupan di dunia adalah segala-galanya dan sudah amat sempurna. Justeru dunia dianggap sebagai tempat untuk meraih kesenangan dengan limpahan harta kekayaan. Seolah-olah dunia adalah medan keseronokan berpanjangan yang tiada akhirannya.

Saya menemui ayat ini bila membaca terjemahan surah Taha dan ia menarik perhatian saya untuk mentadaburnya. Ia benar-benar memberi kesan. Bahawa kita jangan terpesona dan terdorong kepada keseronokan dunia sebagaimana yang ditunjukkan oleh kafirun. Kita lihat golongan kafirun ini mengumpul harta semahunya kita juga mahu buat macam mereka. Mereka berseronok melakukan perbuatan yang dilarang kita j…

Ayat

Khabarnya, bila saya baca dua ayat ini, saya memikirkan sesuatu.Saya bertanya diri sendiri pelbagai soalan.Kenapa Allah rakamkan dialog ini? Kenapa perbualan ini dirakamkan di dalam Quran dan akan dibaca sehingga hari kiamat? Apa relevannya ayat ini dengan kita yang hidup di zaman ini? Apa yang ada pada tongkat? Adakah ayat ini mahu menceritakan faedah-faedah tongkat? Apa yang ayat ini cuba sampaikan pada kita sebenarnya?

Ayat ini menceritakan betapa girangnnya seorang hamba saat dapat berbicara pada RabbNya. Adakah Allah tidak tahu apa yang ada di tangan Nabi Musa? Allah Maha Mengetahui. Tapi Dia masih bertanya, mahu mendengar segala cerita hambaNya.

Dan Nabi Musa terlalu teruja dengan Allah. Allah cuma tanya dia apa yang ada di tangannya. Cukuplah dengan jawapan tongkat. Tapi sebab dia nak memanjang-manjang perbualannya dengan Allah, dia ceritakan kegunaan tongkatnya. Dia menghargai setiap saat bersama Rabbnya. Ayat ini sangat kelakar juga. Sebabnya Nabi Musa berfikir dan b…

9jam

Khabarnya, guru dijadikan bahan ujikaji lagi. Khabarnya mulai sesi persekolahan tahun depan kira-kira 5 ribu guru dari 104 buah sekolah akan dijadikan perintis projek kerja 9 jam. Ini bermakna waktu rasmi guru berada di sekolah akan lebih lama berbanding sekarang. Dalam keadaan guru yang sudah sedia terbeban sekarang dan kerja tidak kira waktu perlukah ianya dilaksanakan? Apa rasionalnya?


Umum menyedari bahawa di atas kertas saja guru dilihat  habis kerja setengah hari. Namun hakikatnya hanya guru yang benar-benar tahu bahawa mereka sebenarnya bekerja melewati tempoh itu. Tidak keterlaluan dikatakan ada yang menyantak ke pukul 1 atau 2  pagi baru dapat melelapkan mata. Latihan murid yang perlu disemak, kerja-kerja perkeranian yang perlu dibereskan. Tidak kurang juga yang diminta untuk ke sekolah walaupun mereka sepatutnya menikmati cuti yang telah diperuntukkan.

Saya melihat cadangan ini tidak sesuai untuk diteruskan sekiranya ia dilihat dalam konteks masalah demi masalah yang tid…

Ubun

"Ayam sabung jantan yang agresif dan liar pun boleh melentok dan tunduk bila diusap ubun-ubunnya"

Khabarnya, Ustaz Zul Ramli berkongsi cerita seorang pemain ayam sabung menundukkan ayamnya bila berbicara tentang tips menangani anak-anak yang agak nakal dan sukar mendengar kata. Tidak dinafikan mendidik anak sekarang bukan sangat mudah. Perlu ada ilmu bagi menangkis segala cabaran yang datang dari segenap penjuru bak peluru. Anak-anak semakin keliru dan ibubapa pula kian bercelaru. 

Jadi, kalau ayam pun boleh dijinakkan dengan mengusap ubun-ubunnya, apatah lagi anak-anak yang kita lahirkan dan membesar hasil didikan kita sendiri. Tentunya tidak sukar sangat untuk melakukannya.

Ustaz mengesyorkan supaya dibaca surah Al-Fatihah sebanyak tujuh kali selain daripada Surah Taha ayat 1 hingga 5 dan dihembuskan pada ubun-ubun anak.

Selain itu, untuk membantu anak supaya lebih mudah belajar kita digalakkan untuk membaca zikir Ya Latif tidak kiralah berapa kali pun diikuti ayat 19 da…

Pengawasan

Sesampai sahaja di rumah lewat petang ini, isteri merungut lagi. Masalah air lagi. Hairannya saya. Segalanya sudah ditukar baru. Lazimnya sesuatu yang baru cukup luar biasa prestasinya. Ibarat kereta yang baru tentunya akan meluncur laju tanpa senggot berbanding kereta lama. Begitu juga saluran paip yang lama jika diganti baru, air yang lalu pasti deras dan tidak sangkut-sangkut. Namun ia tidak begitu halnya. Air masih lagi kecil dan paling tidak memuaskan hati bila tiada langsung air yang keluar dari paip. Dimana silapnya?

Saya memuji tindakan SAJ menukar paip baru. Ia langkah terbaik bagi mengatasi masalah yang sudah menghantui beberapa buah rumah di kampung ini sejak bertahun-tahun. Namun ada sesuatu yang saya lihat tidak sepatutnya dilakukan oleh SAJ. Sepanjang kerja dilakukan kontraktor yang dipertanggungjawabkan dibiarkan lepas bebas tanpa pengawasan. Saya mengharapkan sekurang-kurangnya ditempatkan seorang petugas dari SAJ untuk mengawal selia kerja-kerja yang dilakukan. Pelba…

Selumar

Musim kahwin tiba lagi. Hari ini saya ke Kampung Lubuk Selumar memenuhi satu undangan daripada tiga undangan yang diterima. Saya lebih tertarik untuk hadir satu jemputan itu sahaja. Saya ingin melihat sendiri kampung yang selama ini saya dengar sahaja namanya. Kampung ini sebuah kampung kecil dan khabarnya antara kampung yang terjejas teruk setiap kali banjir melanda.

Rumah mempelai di kelilingi dengan deretan pokok getah. Cemburunya saya. Dengan harga getah yang agak memberangsangkan sekarang pastinya hasil yang diperolehi oleh Pak Latif bukan sedikit.Khabarnya ada yang mampu meraih hingga ribuan ringgit sebulan.

Saya pula masih lagi terkial-kial mencari benih getah sana sini yang sentiasa kehabisan bagai goreng pisang panas. Berebut-rebut orang menanam pokok getah sekarang. Seorang kenalan rapat nekad melepaskan kerja yang sudah dimilikinya berpuluh tahun untuk terlibat sepenuh masa menoreh getah. Lumayan katanya. Pemilik kebun getah dikatakan cukup liat untuk menjualnya walau pun d…

Konvo

Hafiz mengakhiri persekolahannya lebih kurang setahun di Tadika Khalifahku Bistari dalam satu majlis konvo ringkas pagi ini. Hafiz berusia lima tahun dan akan belajar satu tahun lagi di tadika sebelum graduasi tahun depan. Kali ini Hafiz cuma berpuashati dengan menerima hadiah sebuah kotak yang berisi alat tulis.

Atoknya memang cukup gusar dengan sikap Hafiz terhadap pelajarannya. Hafiz dikatakan tidak bersungguh-sungguh dan tidak sangat berminat dengan pelajaran. Dia lebih berminat untuk bermain dan menghabiskan banyak masa dengan menonton katun. Bila Hafiz gagal mendapat tiga tempat teratas dalam kelasnya, atoknya memang marah sangat. Atoknya tidak berhenti mengomel melemparkan kemarahan kepada ibunya. Bukan Hafiz tidak bijak. Dia cuma kurang memberikan lebih tumpuan kepada pelajarannya berbanding dengan tumpuannya kepada perkara lain. Itulah yang membangkitkan kerisauan atoknya.

Hafiz makin menaikkan rasa marah atoknya bila seusai majlis, Hafiz merengek-rengek untuk mainan lagi. Ma…

11.11.11

Tarikh ini memang menarik. Ia menarik kerana angka 1 muncul sebanyak enam kali secara berturut. Itu sahaja. Selainnya ia sama sahaja dengan tarikh-tarikh lain. Tarikh begini  muncul 100 tahun sekali dan pernah muncul ratusan tahun sebelum ini. 11.11.1911, 11.11.1811 dan akan muncul 100 tahun lagi dari sekarang 11.11.2111. Di mana kita waktu itu. Hanya Allah yang lebih mengetahui. Setahun dari sekarang pastinya ramai yang menunggu kemunculan 12.12.12 pula. Tarikh ini pastinya akan lebih meletup lagi berbanding 11.11.11 kerana untuk bertemu deretan angka begini lagi, ia bukan lagi setahun selepas itu tetapi 2.2.2022. Lama lagi tu!

Khabarnya, ramai pasangan mempelai mengabadikan momen indah ini pada tarikh yang dianggap istemewa ini. Anak bongsu Mak Long juga memilih tarikh ini untuk diijabkabulkan. Sempat juga saya menyebokkan diri bertandang ke rumah baru Mak Long setelah hampir lima tahun tidak ke sana.

Tidak kurang juga ada pasangan yang sangat-sangat berharap agar cahaya mata mereka…

Katun

Kanak-kanak selalu dikaitkan dengan katun. Pun begitu ada juga yang bukan kanak-kanak pun minat katun. Adakalanya penggila katun di kalangan kanak-kanak ini boleh  duduk terpaku depan tv sampai lupa makan. Di kalangan mereka yang bersekolah, candu terhadap program katun memberi impak yang bukan sedikit kepada pelajarannya. Kerja sekolah diabaikan apatah lagi langsung tidak kisah pun untuk mengulangkaji pelajaran. Masa dihabiskan dengan menonton katun.

Kimi yang belajar di darjah dua memang penggila katun.Tanya sahaja program katun yang ada di tv dia tidak teragak-agak pun menyebutnya. Kata emaknya, kemabukan Kimi terhadap katun sudah sampai ke tahap membimbangkan. Dia tidak mengendahkan kerja sekolahnya lagi. Sepanjang masa dibuai dengan katun. Makan dengan katun, baca buku pun sambil tengok katun. Kalau remote control sudah berada di tangannya, jangan harap yang lain untuk menonton program selain katun. Khabarnya, Kimi sudah dipanggil acap kali kerana gagal menyiapkan kerja sekolahny…

Sembunyi

Haziq didapati mengambil jalan paling mudah membersihkan biliknya. Segalanya terbongkar pagi ini bila isteri yang kebetulan masih bercuti punyai banyak masa terluang di rumah untuk ops bersih dalam rumah. Mamanya  melaporkan kepada saya menemui banyaknya sampah dan khazanah lama yang sepatutnya dibuang di bilik anak bujang ini.

Segalanya disumbat bulat-bulat di bawah katil. Cebisan akhbar lama yang barangkali menjadi mangsa sang tikus bertimbun bersama-sama habuk yang menyesakkan rongga hidung. Begitu keluhan isteri yang kelihatannya amat kecewa dengan tindakan jalan pintas Haziq.

Saya mengingatkan Haziq supaya tidak mengambil jalan mudah dan singkat begitu. Benar, bilik nampak cantik dan kemas tetapi menyembunyikan sampah dari pandangan bukanlah perbuatan yang terpuji. Sampah perlu dikeluarkan dan dibuang malah dinyahkan terus. Sampah tidak sepatutnya dibiarkan terus berada dalam bilik apatah lagi disembunyikan.

Haziq faham. Saya membawanya lebih jauh. Saya katakan padanya supaya ja…

Lancang

Seorang orang penting yang mewakili sebuah parti politik yang ketara rasisnya menghamburkan kenyataan yang cukup lancang. Kalau parti dokongannya memerintah negara, saiz perkhidmatan awam akan dikecilkan. Kenapa perkhidmatan awam yang menjadi sasarannya? Tidak sukar pun untuk mencari jawapannya.

Umum mengetahui bahawa orang Melayulah yang paling ramai dalam sektor ini. Mengecilkan saiz perkhidmatan awam bermakna orang Melayulah juga yang akan dicantas nanti. Soalnya kenapa sektor ini yang dijadikan sasaran. Mengeluarkan kenyataan sebelum sebarang kajian dibuat adalah satu tindakan yang didorong oleh motif politik semata-mata. Boleh sahaja dilihat sebagai satu cubaan untuk meraih undi bukan Melayu kerana rata-rata menyedari bahawa bilangan bukan Melayu memang amat sedikit dalam sektor perkhidmatan awam.

Janganlah cuba menyalahkan orang Melayu kalau memang betul ramai orang Melayu yang makan gaji dalam sektor awam. Pelbagai cara dan insentif yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk mena…

Korban

Saya dan Haziq sempat melihat sendiri seekor lembu dikorbankan seusai sahaja solat sunat aidil adha. Haziq memang tidak pernah menyaksikannya sebelum ini. Sengaja saya membawanya bersama supaya dia dapat belajar falsafah di sebalik ibadat korban itu. Saya menyegarkan semula fahamannya tentang korban. Secara mudah, ibadat korban ini ialah perlakuan simbolik yang memanifestasikan ketaaatan dan ketakwaan hamba kepada Penciptanya. Bahawa cinta kepada Allah mengatasi segala cinta yang lain. Cinta Nabi Ibrahim kepada Allah mengatasi cintanya kepada anaknya sendiri Ismail.

Saya ingin menguji ketaatan Haziq pada perintah ayahnya. Secara berseloroh saya berkata, "Kalau ayah sembelih Haziq, sanggup tak? Haziq cepat meningkah, "Ayah ni, saya bukan Nabi Ismail yang sememangnya cukup patuh kepada perintah ayahnya Nabi Ibrahim. Saya tak layak langsung pun untuk dibandingkan dengan mereka. Mereka hamba yang amat patuh kepada perintah Allah".

Ibadat korban dan kisah Ibrahim yang diperi…

Jambatan

Khabarnya perjalanan untuk ke Desaru dari Johor Bahru cuma memakan masa 45 minit sahaja berbanding lebih kurang dua jam sebelum ini. Saya ketinggalan keretapi rupanya. Seorang rakan lama yang duduk di Felda Air Tawar memberitahu lebuh raya yang dibina menjadikan segalanya cepat sekarang telah dibuka untuk kegunaan orang awam Jun lalu.

Seingat saya kali terakhir saya ke Desaru ialah lebih kurang lima tahun yang lalu. Perjalanan masa itu memang membosankan dan meletihkan. Memang jauh dan melalui beberapa buah rancangan Felda sepanjang jalan sebelum sampai ke Desaru. Bermula dengan Felda Pasak, Air Tawar, Semencu, Adela dan banyak lagi. Justeru itu hasrat untuk ke Desaru selalunya terkubur begitu sahaja.  Rasa macam tidak berbaloi. Begitu juga hasrat untuk bersantai di perkampungan nelayan Tanjung Balau juga tinggal hasrat. Khabarnya ada jambatan sehebat Jambatan merentangi Sungai Johor. Dari atas jambatan ini dikatakan juga kita boleh melihat keindahan Teluk Sengat.

Perjalanan yang sele…

Benih

"Wahai anakku, marilah kita tambah air dalam susu ini sebelum kita jual pada esok pagi"

Seorang ibu yang miskin dan anak gadisnya menyara hidup dengan menjual susu. Anak gadis tidak bersetuju dengan saranan ibunya. Sebabnya mudah. Katanya Umar bin Khattab melarang buat begitu. Ibu pula berkata Umar tidak tahu apa yang mereka buat. Namun anak gadis ini membalas dengan berkata kalau Umar tidak tahu, Tuhan Umar tahu.

Perbualan dua beranak dari pondok buruk itu didengar oleh Umar yang memang suka meronda di waktu malam untuk mendengar dan melihat rakyat di bawah pimpinannya. Kata-kata anak gadis itu betul-betul menyentuh hati Umar. Mahu sahaja dia berjumpa dengan anak gadis yang berhati mulia itu. Namun kerana malam telah larut dan tidak sesuai untuk menemuinya, dia memerintahkan pembantunya memangkah tanda X pada pintu pondok itu. Dia bercadang untuk menemui gadis berhati mulia ini pada siangnya.

Umar bin Khattab bergegas pulang dan memanggil anaknya Asim untuk menikahi gadi…

Aurat

Yani memberitahu yang dia disaman oleh sebuah syarikat pengeluar syampu kerana dikatakan melanggar perjanjian yang termaktub dalam kontrak yang ditandanganinya. Yani pula mengambil tindakan menyaman balas kerana tidak berpuas hati dengan tindakan saman yang dikenakan itu. Dia cukup yakin yang dia tidak melanggar perjanjian pun.

Fasal perjanjian yang menjadi titik bengik ialah soal menanggalkan tudung. Sebelum bersetuju untuk diterima sebagai model sambilan syampu syarikat tersebut Yani sudah diberikan jaminan permintaannya untuk tidak diarahkan menanggalkan tudung semasa sesi penggambaran iklan akan dipenuhi. Yani bersetuju dan menandantanganinya.

Pada mulanya segalanya berjalan dengan baik seperti yang telah dipersetujui bersama. Masalah timbul bila sewaktu penggambaran Yani diarahkan mendedahkan cuma bahagian lehernya sahaja tetapi tidak sampai menanggalkan tudung. Yani juga diminta memakai pakaian yang ketat sehingga boleh menampakkan bentuk tubuhnya. Di sinilah bermulanya polemik…

Pilihan

Isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik tidak pernah selesai. Pelbagai pihak menyuarakan pandangan. Ada yang bersetuju ia wajar diteruskan. Ada juga yang berpandangan ia perlu dihentikan. Masing-masing ada hujah yang mahu dipertahankan, tidak kiralah apa motifnya samada politik atau bukan politik. Namun yang paling penting janganlah setiap kali kemelut ini berlaku, pelajarlah yang jadi mangsanya. Ibarat gajah sama gajah yang berjuang, pelanduk pula yang mati tersepit di tengah-tengah.

Apa pun pendirian yang diambil dan cuba dipertahankan tetap ada baik dan buruknya. Tidak ada satu pun yang boleh memuaskan hati semua pihak seperti tidak adanya sejenis ubat yang boleh merawat seribu satu penyakit. Namun, saya selalu melihat, jalan yang terbaik adalah dengan mengambil jalan tengah. Tiada siapa yang menang semua dan tidak juga ada yang kalah semua. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan sampai putus dan tepung tidak pula sampai berserakan. Jangan sam…

Luluh

Seorang ibu menerima dengan rasa luluh pemergian cukup menyayat hati anak lelaki tunggal kesayangannya. Kematian Azam bukan sahaja diratapi ibunya malah rakan-rakan sekerjanya. Nabil kehilangan seorang rakan yang amat baik manakala Nordin dan Julie dilihat sesal bukan kepalang kerana sering menyakat Azam.

Ini bukan cerita benar. Ia hanya secebis kisah masyarakat yang dipaparkan melalui sebuah drama dan sempat saya tonton malam tadi. Cerita yang cukup menarik. Berjodolkan "Tiada lagi" berkisar tentang seorang eksekutif muda, Azam yang tidak pandai hendak membantah. Dia cukup baik sehingga semua orang di sekelilingnya mengambil kesempatan atas dirinya kecuali ibunya sendiri dan teman paling rapatnya, Nabil. Di tempat kerja dia dibuli oleh Nordin dan Julie semahunya. Dia jadi begitu kerana ibunya mendidiknya begitu. Dia terlalu baik untuk berkata "tidak". Dia juga amat susah untuk menolak permintaan orang. Di satu peringkat, ibunya menjadi begitu risau dan kecewa mel…

Solat

Buku ini menarik perhatian saya di Ekspo Buku Islam. Khabarnya antara buku yang terlaris di [pasaran. Saya membelinya kerana saya lapar. Tajuknya sudah cukup memukau. Saya tidak boleh terlalu yakin bahawa solat saya selama ini sudah cukup sempurna. Pasti ada sesuatu yang boleh saya ceduk dari buku ini dalam memantapkan lagi kualiti solat saya.

Saya meninjau sekali lalu isi kandungannya. Tidak banyak berbeza dengan buku tentang solat yang pernah saya baca sebelum ini. Lantas, di mana kelebihannya buku ini? Tidak kenal maka tak cinta.  Saya baca lebih teliti dan saya mulai menemui kelainan buku ini.
Rasulullah ada bersabda: "Solatlah sebagaimana engkau melihat aku solat"                                                               Riwayat al-Bukhari)
Namun realitinya sekarang apa yang kita lihat semacam tidak selari dengan hadis tadi.  Setiap individu yang bersolat ada gayanya yang tersendiri.  Ada yang angkat takbir paras bahu, ada yang sampai paras telinga dan macam-macam …

Lapar

Kalau makan nasi rasanya tidak sukar sangat untuk kenyang pun. Nasi ialah makanan jasad. Apa pun yang kita makan untuk jasad atau batang tubuh lazimnya tidak jadi apa-apa pun. Nasi berlauk kari kepala ikan mungkin sedap setakat di tekak untuk beberapa ketika sahaja. Kemudian meluncur laju masuk ke dalam perut. Singgah buat beberapa ketika dan akhirnya akan keluar dari jasad dalam bentuk yang cukup memualkan. Lepas itu kita akan lapar lagi dan makan lagi. Begitulah seterusnya. Kita telah melakukannya begitu lama. Rasa lapar dan makan dan buang.


Pun begitu, bukan jasad sahaja yang lapar. Minda kita juga lapar. Rohani kita juga sangat lapar. Minda yang lapar tidak meminta nasi. Tidak juga meminta lauk yang lazat. Minda yang lapar mendambakan ilmu yang bermanafaat dan bukan yang memudaratkan. Makanan minda ialah buku. Buku yang bermanafaat menyihatkan minda dan sekaligus menjadi makanan rohani juga. 

Bila saya ke Ekspo Buku Islam di Stesyen Sentral Kuala Lumpur pagi ini, saya melihat ramain…

Sendok

Ada bayi yang dilahirkan dengan sendok emas di tangan. Kalau betul berlaku begitu ia pastinya sesuatu yang menakjubkan. Namun realitinya tidak begitu. Ia adalah perumpamaan yang menerangkan  kesenangan dan kemewahan sedang menunggu kelahiran bayi itu.

Memang tidak dinafikan ada bayi yang dilahirkan senang dan mewah. Segalanya begitu mudah padanya dan ia membesar dengan kemewahan yang diwarisi sejak lahir itu. Membesarlah ia tanpa perlu melalui pahit getir. Segala yang diminta senang ditunai dan sudah tersedia di depan mata. Tidak perlu susah-susah. Bagai anak emas. Ia ditatang bagai minyak yang penuh. Tidak boleh tumpah sedikit pun. Tidak boleh susah sedikit pun. Segalanya perlu senang. Terkucil sedikit, bagai terang disambar kegelapan.

Berbeza pula dengan bayi yang menyapa alam dengan cuma sendok kayu di tangan. Tidak banyak kerenah. Lebih dia kenal erti kehidupan. Bahawa tidak ada sesuatu pun di dunia ini yang boleh diperolehi dengan begitu mudah. Ia membesar dengan keringat dan sem…

Doa

Saya dengar Ustaz Zahazan kata bagusnya diamalkan doa ini setiap pagi dan petang.
بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم Bismillahillazi la yadhurru ma'asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama'ie wa huas sami'un alim

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ
Maksud Hadis
Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa, "Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." sebanyak tiga (3) kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika waktu subuh sebanyak tiga (3) kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan…

Teknologi

Pak Yem memang tidak tahu apa-apa pun tentang komputer. Umurnya sudah lebih 60 tahun. Dia tidak dlilahirkan di zaman komputer di mana semua maklumat cuma terletak di hujung jari. Pak Yem cuma terdedah dengan tv, radio dan juga suratkhabar. Ini sahaja sumber maklumat Pak Yem.

Bukan Pak Yem tidak pernah kenal komputer. Dia cuma tidak pernah ada peluang untuk berjinak dengan komputer. Petang ini bila saya memberinya kesempatan itu, dia seronok bukan kepalang. Kebetulan pula waktu itu saya sedang berkomunikasi secara online dengan sepupu yang sedang menjalani latihan industri selama enam bulan di Perancis. Hadif tidak dapat pulang untuk turut sama meraikan perkahwinan adik perempuannya. Saya berikan Pak Yem peluang untuk berbual dengan Hadif. Pak Yem hairan dalam jarak yang jauh begitu perbualannya dengan anak saudaranya dirasakan begitu dekat. Bukan sahaja suara yang dapat didengar malah rupa wajah juga boleh dilihat. "Best betul kmputer ni", kata Pak Yem.

Pak Yem dilihat maca…