IKLAN2

PENGIKUT

Monday, February 20, 2012

Urusan

Saya melihat Haziq cukup leka dengan kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya yang menuntut saya untuk menegurnya. Dia kelihatan berpuli-puli menyiapkan timbunan kerja yang sepatutnya dilakukannya secara konsisten dan bukannya di saat-saat akhir begitu. Kelekaannya itu amat menganggu hati seorang saya. Dia melewatkan solatnya. Dia seolah-olah lupa bahawa melakukan solat itu sebenarnya mengatasi kerja sekolah yang hendak dibereskannya itu.

Saya berkongsi dengannya selingkar kisah yang menarik dan amat wajar dijadikan panduan. Kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang pernah dinyatakan dalam sejarah bahawa zaman pemerintahannya merupakan zaman yang paling aman dan makmur.

Zamannya tidak ada orang yang miskin pun sehingga wang zakat melimpah ruah lalu dibelanjakan untuk mengahwinkan lelaki yang tidak mampu berkahwin. Tiada jenayah juga.  Jika gerai ditinggalkan tanpa penjaga, maka tetap tidak akan ada pencuri yang mencuri kedai. Zamannya tiada berlaku rompakan dan rakyat di bawah pemerintahannya semuanya taat dan baik tanpa sengketa.

Apa rahsianya? Apabila ditanya kepada Saidina Umar Abdul Aziz, dia berkata "Aku menyelesaikan urusan aku dengan Allah terlebih dahulu, maka Allah menyelesaikan urusanku dengan rakyat dan kerajaanku”

Itu rupanya rahsianya. Dia menundukkan dan menyelesaikan urusannya dengan Allah, Pemilik segala-galanya, Apa kata kita selesaikan urusan kita denganNya takkan Allah Yang Maha Berkuasa tidak boleh menyelesaikan urusan kehidupan kita, jika kita telah menyelesaikan urusan kita denganNya?

Seusai bercerita Haziq bergegas meninggalkan urusan peribadinya dan melakukakan urusannya dengan Allah yang belum selesai.

Pena Tumpul - Urusan dunia memang tidak akan pernah selesai

Sunday, February 19, 2012

Pupus

Rencana ini disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini dan juga blog Khairy Jamaludin dan juga portal SMDBD Segamat.

KE MANA perginya pelajar lelaki? Pertanyaan ini memang kerap saya lontarkan dalam semua kelas yang saya masuki pada setiap kali semester baru bermula. Soalan ini tidak dapat saya elak- kan kerana senario beginilah yang menangkap perhatian saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Umumnya, daripada sejumlah 30 pelajar di dalam sesebuah kelas misalnya, yang pasti 70 peratus pelajar perempuan dan selebihnya lelaki, malah ada ketikanya tiada pelajar lelaki langsung?

Dengan nada sinis dan nakal segelintir pelajar perempuan yang mendominasi bilangan pelajar dalam kelas pantas menjawab bahawa lelaki lebih bertumpu di pusat serenti. Namun, adakah itu jawapan sebenarnya. Mungkin ada sedikit kebenarannya justeru lelaki memang majoriti di sana.

Beberapa orang pelajar lelaki yang be- rat untuk bersetuju dengan pandangan nakal ini melahirkan rasa bosan dan tidak begitu selesa dengan sistem pendidikan negara yang didakwanya tidak praktikal.

Sistem persekolahan bermula dari sekolah rendah yang disogokkan dengan 'belajar setakat hendak lulus periksa" se- lain daripada pembelajaran yang lebih tertumpu kepada membaca dan hafal dilihat tidak relevan dan tidak memenuhi minat mereka.

Kaedah pembelajaran lelaki sebenarnya lebih menjurus kepada hands on dan tidak setakat membaca dan menghafal yang seterusnya dimuntahkan dalam kertas jawapan peperiksaan. Selepas itu, dalam banyak keadaan apa yang dipelajari selama empat tahun di universiti sebenarnya tidak membantu langsung dalam pemilihan dan perkembangan kerjaya mereka.

Justeru itu, kebanyakan penuntut lelaki mencari jalan keluar dengan memilih bidang pekerjaan atau melanjutkan pengajian di institusi lain seperti Institut Kemahiran, Institut Latihan Perindustrian (ILP), politeknik dan sebagainya.

Ini disokong oleh fakta bahawa bilangan pelajar lelaki yang mengikuti pengajian vokasional atau teknikal di Politeknik dan Kolej Komuniti mewakili 60 peratus. Menyedari keadaan ini, Kementerian Pengajian Tinggi sepatutnya membina lebih banyak institusi serupa ini agar dapat memenuhi keperluan pelajar lelaki.

Bagaimanapun, ini tentunya berbeza dengan pelajar perempuan yang kelihatannya lebih berminat serta tekun untuk membaca dan menghafal segala fakta dan teori yang terkandung dalam buku teks. Walaupun dianggap kes terpencil, namun pelajar yang hebat dalam akademik tidak dinafikan banyak yang gagal dalam mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam dunia pekerjaan sebenar. Kaedah pembelajaran "kakaktua" ini bukanlah sesuai lagi dalam keadaan sekarang.

Apabila isu kekurangan penuntut lelaki di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini ditimbulkan sekali lagi oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sul- tan Idris (UPSI), Prof. Dr. Aminah Ayob jurang perbezaan yang semakin melebar memang sudah dijangka kerana sejak tempoh lima tahun lalu, dominasi penuntut perempuan di IPTA memang sudah ketara.

Cuma apa yang lebih mengejutkan kini ialah trend penguasaan pelajar lelaki da- lam bidang teknikal termasuk kejuruteraan di universiti awam kian merosot tetapi didominasi pula oleh pelajar perempuan.

FenomenaFakta bahawa bilangan lelaki yang memang lebih sedikit berbanding perempuan di negara ini sekarang walaupun boleh diterima sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada fenomena ini, faktor- faktor lain yang berkait rapat sewajarnya dikenal pasti dan seterusnya ditangani.

Meletakkan pelajar lelaki dalam kelompok yang bermasalah sosial tentunya tidak adil justeru bilangan mereka yang terbabit dalam jenayah dan penagihan dadah begitu kecil jika dibandingkan dengan penduduk negara ini yang berjumlah 26 juta orang.

Masalah keluarga yang kurang berkemampuan untuk membiayai pengajian universiti selain daripada tekad pelajar lelaki yang lebih cenderung untuk mencari pekerjaan bagi menanggung adik beradik yang lain juga turut menyumbang kepada keadaan ini.

Pandangan sebahagian besar ibu bapa bahawa anak perempuan wajar mempunyai kerjaya yang boleh memperuntukkan lebih masa dengan keluarga juga turut menyumbang kepada jurang perbezaan ini. Justeru itu anak-anak perempuan digalakkan untuk memilih bidang yang bersifat akademik dan tidak menghairankan jumlah mereka terus meningkat di universiti.

Malah ada pandangan yang menyatakan sistem meritokerasi yang di amalkan sejak beberapa tahun lalu menjadi punca kepada jurang yang semakin melebar ini. Walaupun ada saranan supaya sistem kuota digunapakai bagi membendung fenomena ini, namun ia bukanlah langkah terbaik.

Membenarkan pelajar lelaki masuk ke IPTA atas alasan menyempitkan jurang dengan mengorbankan aspek kualti dan minat hanya akan meruntuhkan imej universiti sebagai penjana graduan cemerlang dan berkualiti.

Kecemerlangan pelajar perempuan seharusnya menyuntik semangat kepada pelajar lelaki untuk bersaing secara sihat, bukan mempertikaikan pemilihan jumlah pelajar perempuan yang ramai di IPTA. Persaingan secara sihat untuk mendapat tempat di mana-mana IPT harus diteruskan kalau kita mahu melahirkan modal insan yang benar-benar cemerlang.

Namun begitu apa yang digusarkan ialah masalah ini jika dibiarkan berlarutan bakal melahirkan masalah ketidakseimbangan dari segi pekerjaan pula. Ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai IPT terus berlaku.

Suka tidak suka dan mahu tidak mahu satu hari nanti wanita yang berkerjaya tinggi akan berkahwin dengan mana-mana lelaki yang lebih rendah taraf kerjayanya hatta termasuk mereka yang tidak bekerja.

Akhirnya, akan berlaku fenomena lelaki duduk di rumah menjaga anak dan rumah tangga manakala wanita keluar bekerja. Fenomena ini telah pun berlaku sekarang walaupun kelihatannya tidak manis dan menyalahi adat.

Kalau tidak pun bilangan wanita yang berjawatan tinggi akan semakin ramai kekal bujang kerana tidak menemui lelaki yang setaraf dengan mereka dan fenomena ini sedang berlaku dengan pesatnya!

Saturday, February 18, 2012

Photoshop

Hidung kemek boleh dijadikan mancung. Bibir pucat boleh diserikan. Muka yang kasar menggerutu boleh bertukar licin. Pendek kata wajah yang tidak nampak cantik dan tidak menarik boleh sahaja ditransformasikan untuk menjadi lebih cantik. Segalanya mungkin dengan bantuan perisian canggih dalam dunia teknologi digital kini.

Saya mengikuti bengkel sehari Photoshop hari ini dan didedahkan dengan teknik memanipulasikan gambar ini. Teknik "super-impose" menarik perhatian ramai peserta. Biasa kita lihat dan dengar bagaimana ramai yang menjadi mangsa apabila gambar mereka dieksploitasikan untuk tujuan tertentu melalui kaedah ini. Muka orang lain ditepekkan pada tubuh orang lain. Tanpa penilitian yang rapi dan kemahiran dalam perisian ini, gambar yang dihasilkan tidak nampak celanya pun. Di sinilah kita menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab. Justeru kita perlu berhati-hati bila memuat naik gambar milik kita di mana-mana laman sosial yang makin ramai pengikutnya sekarang.

Kalau ada artis yang di luar kedut sana dan sini tetapi  nampak licin mukanya di kulit majalah, jangan tertipu!

Pena Tumpul  - Segalanya mungkin dengan Photoshop

Thursday, February 16, 2012

Hadang

Petang ini saya melihat untuk kesekian kalinya lagi sebuah kereta ini di letak menghadang sebuah kereta lain. Saya yakin ia dilakukan secara sengaja oleh pemilik kereta ini. Sebabnya cukup mudah untuk ditelah. Kereta lain itu didapati "menceroboh" petak letak kereta yang "dikhaskan" untuk keretanya. Saya kira ia sebagai tanda protes atau pun ingin memberitahu kepada penceroboh tadi supaya jangan senang-senang meletak kereta di petak yang terang-terang bukan miliknya. Barangkali ingin menyampaikan mesej yang cukup jelas bahawa dia tidak suka petak letak keretanya diceroboh orang lain.

Saya menggelengkan kepala menyaksikan adegan yang tidak sepatutnya dilihat di sebuah menara gading yang dihuni mereka yang berilmu dan bertamadun. Adalah salah menceroboh petak kereta yang telah dikhaskan untuk pemilik kereta tertentu. Saya bersetuju bahawa pemilik kereta yang menceroboh itu memang patut disalahkan malah patut menerbitkan rasa marah orang lain lebih-lebih lagi "pemunya" petak tersebut. Sesiapa pun akan marah tetapi lebih wajar kalau tidak marah langsung untuk perkara yang remeh begitu. Namun melampiaskan rasa marah dengan tindakan yang lebih kurang ajar daripada penceroboh tadi mengundang persepsi yang cuma merendahkan harga diri kita. Sudah acapkali saya melihat insiden menghadang kereta begini dilakukan oleh pemilik kereta yang rasa dirinya amat istemewa. Apalah salahnya bertolak ansur. Tidak perlulah hendak berlagak sangat. Mual saya melihat adegan-adegan begini.

Banyak lagi cara yang lebih berhikmah boleh dilakukan lalu kenapalah cara yang tidak bertamadun itu yang dipilih!

Pena Tumpul - Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya

Wednesday, February 15, 2012

Cuka

 ” Sebaik-baik hidangan makanan ialah KHAL. Ya Allah berkatilah pada KHAL, sesungguhnya KHAL adalah makanan nabi-nabi terdahulu sebelum aku dan jangan terputus KHAL dalam suatu rumah.” (Hadis Muslim 2052, Ibnu Majah 3318)

Saya mendengar ceramah Ustaz Hanafiah Abd Razak dari Pejabat Mufti Johor yang diundang khas dalam sambutan Maulidur Rasul pagi ini. Ada beberapa perkara yang menarik hati saya. Di awalnya Ustaz tidak menyentuh sedikit pun tentang Nabi besar kita. Ustaz banyak bercerita tentang umur umat Muhammad akhir zaman yang semakin rapuh dan tidak sempat tua. Kata Ustaz salah satu penyebabnya ialah angkara syaitan durjana.

Syaitan memang licik permainannya. Kata Ustaz syaitan menyerang manusia melalui hembusan dan ludahnya. Kita perlu berhati-hati agar tidak sampai terkena hembusan dan ludahan syaitan ini. Hembusan syaitan ibarat angin yang menyelinap dalam tubuh manusia dan seterusnya menyerang organ-organ tertentu. Angin ini berwarna merah yang dalam bahasa Arabnya disebut ahmar.

Ustaz berpesan supaya kita berhati-hati dengan permakanan kita. Apa yang dimakan dan adab makan perlu dijaga agar syaitan tidak masuk dalam tubuh kita. Jangan makan susu dengan ikan misalnya. Ia bukan kombinasi yang baik. Seperti juga santan dalam ikan dan ayam yang memang suka sangat campurkan bersekali dalam menu kita. Ketika kita menjadikan garam sebagai bahan asas dalam makanan kita sekarang, Nabi pula menganjurkan kita agar garam itu tidak lebih hanya sekadar bahan cicah yang dikesamping sahaja. Hasilnya banyaknya penyakit yang menimpa umat akhir zaman kini sering dikaitkan dengan garam!
   
Pun begitu ada satu lagi yang menarik dan input yang berguna saya cerna dari Ustaz yang suka berseloroh ini. Cuka atau pun khal  bagaikan tidak wujud dalam menu harian kita. Kalau ada pun cuma sesekali dicampurkan dalam acar buah, jeruk atau rojak. Selebihnya cuka tidak dirasakan perlu hadirnya. Tanpa kita sedari cuka sebenarnya   dikatakan mempunyai banyak khasat sejak dulu lagi malah digunakan sebagai tonik kesihatan sejak beribu tahun dahulu oleh masyarakat Gerik dan Mesir

Dilaporkan, pengambilan cuka sebanyak satu sudu teh dikatakan mampu melambatkan rasa lapar kerana ia akan melambatkan proses pencernaan zat tepung. Bau cuka mungkin kurang disenangi tetapi khasiatnya banyak termasuk mencegah dan menyembuhkan pelbagai penyakit seperti kanser, jantung, arthritis, alergi, gangguan pencernaan serta memecahkan molekul lemak sekaligus membantu menurunkan berat badan. Kajian juga menunjukkan orang yang mengambil dua sudu teh cuka epal setiap hari selama lapan minggu dapat meningkatkan tahap kolestrol jenis baik HDL (High Density Lipoprotein).

Malah bagi umat Islam, cuka adalah makanan sunnah Nabi Muhammad SAW dan Rasulullah diberitakan memakan roti bercicahkan cuka dan minum cuka bercampur air sejam sebelum makan.

Patutlah rojak yang arwah nenek buat dulu sedap, rupanya dia campur cuka!

Pena Tumpul - Jangan sampai makan cuka getah nanti lain jadinya

Monday, February 13, 2012

Mata

 Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".
   

Saya meminta Haziq mengeluarkan sehelai kertas kosong. Saya mahu dia menulis seluruh nikmat Allah berikan kepadanya. Saya memberinya masa lebih kurang 10 minit. Banyaknya yang dia tulis. Nikmat mata, hidung, telinga, hati, mulut, limpa, kaki, tangan, rambut, kulit. Juga ditulisnya nikmat hidup, nikmat udara, bumi, tumbuhan yang pelbagai jenisnya, haiwan yang bermacam, makan, minum, teknologi, harta, keluarga, kebahagiaan, kesedihan, nikmat tidor. Banyaknya yang ditulis dalam waktu terbatas itu. Namun nikmat Allah bukan mampu untuk kita tulis satu persatu pun. Tidak terkira. Tiada siapa yang mampu pun!

Saya mahu mengingatkan Haziq siapa Pencipta dan Pemberi nikmat-nikmat yang sedang dirasainya sekarang. Ketika saya melihat dia sedikit lalai dalam mengingatiNya saya mahu dia sedar semula. Saya harap dia amat sedar dan saya mahu dia belajar menghargai nikmatNya dengan tidak lupa kepadaNya.

Saya ingin berkongsi cerita yang saya kira ada pengajarannya tentang nikmat Tuhan. Ia berkisar pada kisah seorang hamba Allah yang ingin membayar nikmat-nikmat Allah kepadanya. Direkodkan bahawa hamba ini telah beribadah selama 80 tahun tanpa henti. Dia bertapa di atas gunung dan menumpukan seluruh hidupnya dengan solat, puasa, qiamullail, membaca Quran, berzikir dan sebagainya. Demikianlah kehidupannya sampailah pada satu hari, lelaki itu meninggal dunia dan kembali ke hadrat Allah.

Apabila dia berdiri di depan Allah, Allah menyatakan kepadanya, "Masuklah ke dalam syurgaKu dengan rahmatKu"

Lelaki itu enggan. Lelaki itu berkata, "Ya Allah, masukkan aku ke syurgaMu dengan amalku. Hitunglah amalku aku hendak masuk syurga dengan amalku"

Allah menghitung amal lelaki itu. Bila dihitung amal ibadah 80 tahunnya itu, dia hanya mampu membayar sebelah matanya sahaja. Tidak termasuk bulu kening, kaki, tangan dan yang banyak-banyak itu lagi.

Alangkah banyak dan banyak dan banyaknya nikmat Allah dan kita tidak mampu untuk membayar pun. Lalu, siapalah kita untuk sering melupakanNya ketika Dia tidak pernah melupakan hambaNya!

Pena Tumpul - Kerdilnya saya

Sunday, February 12, 2012

Cukup

Acapkali dalam situasi tertentu kita mengeluh tidak cukup. Wang tidak cukup dalam poket untuk menampung hidup. Juga makanan yang tidak cukup untuk diagih-agihkan dalam keluarga yang besar. Ketika tiba-tiba datang tetamu tanpa dijangka adakah nasi yang ditanak cukup atau perlu ditanak lagi. Risaunya kita kalau segalanya macam tidak cukup.

Mendengar ceramah seorang Ustaz yang bercerita tentang Junjungan Nabi kita dalam sambutan maulid pagi ini ada satu yang menarik hati saya. Ustaz ini berkongsi  kisah yang berlaku semasa Peperangan Khandaq.

Ketika kaum muslimin membina parit sebagai kubu menyekat kemaraan musuh, mereka telah bertungkus lumus bekerja. Mereka juga menggali parit itu dalam keadaan panas dan lapar. Kebanyakan kaum muslimin mengikat perut mereka dengan batu, bagi mengurangkan rasa lapar mereka. Malah, ada beberapa orang sahabat, yang kelaparan, sempat mengadu kepada Rasulullah. Namun mereka tidak mengadu dengan bicara, mereka sambil tersenyum mengangkat baju mereka, menunjukkan pada tubuh mereka ada seketul batu yang diikat pada perut sebagai tanda lapar. Rasulullah turut tersenyum, lalu mengangkat baju baginda, dan terpamerlah dua biji batu yang terikat pada perut baginda, sebagai tanda baginda juga kelaparan, malah lebih lapar lagi.

Akhirnya, ada seorang sahabat yang kasihan melihat Rasulullah, dia pun terus pulang ke rumah. Dia bertanya kepada isterinya, apakah yang ada untuk dimasak. Isterinya memberitahu, seekor kambing dan roti. Maka sahabat itu menyuruh isterinya masak, kerana dia ingin menjemput Rasulullah untuk makan bersama mereka. Isterinya sempat berpesan kepada suaminya, supaya memberitahu Rasulullah yang makanan hanya ada sedikit, tidak cukup untuk seluruh tentera muslimin. Jika hendak membawa sahabat, maka bawalah hanya dua tiga orang.

Tentera muslimin yang turut serta di dalam peperangan Khandaq ini adalah seramai 3000 orang.Sahabat ini pergi bertemu dengan Rasulullah dan berbisik kepada baginda,Ya Rasulullah, di rumahku ada sedikit makanan. Aku ingin mengajak kau makan bersamaku. Ajaklah dua tiga orang bersamamu”

Rasulullah tersenyum dan bertanya, “ Apakah yang kau sediakan?” “ Kambing, kuah dan roti', kata sahabat ini. Kemudian Rasulullah berpesan kepada sahabat itu supaya tidak mengangkat penutup periuk yang digunakan untuk memasak kambing itu. Sahabat itu pun melangkah pergi. 

Baru sahaja beberapa tapak, dia mendengar Rasulullah melaung kepada seluruh sahabat yang sedang menggali parit. "Wahai semua muslimin, hari ini ada seorang sahabat yang ingin menjamu kalian”
Sahabat itu amat terkejut dengan pemberitahuan Rasulullah, maka dia terus berlari pulang ke rumah dan memberitahu isterinya. Isterinya sedikit runsing, namun isterinya berkata, "Itu adalah Rasulullah, dia tahu apa yang dia lakukan”

Rasulullah pergi ke periuk tempat memasak kambing itu, dan membaca doa, kemudian dia membuka sedikit periuk. Dia mengarahkan para sahabat untuk beratur, dan mengambil roti, kemudian menyeluk tangan ke dalam periuk untuk mencubit daging dan mencecah kuah. 3000 orang sahabat berbuat demikian, satu persatu, makan sehingga kenyang semuanya. Bila semua sudah selesai, Rasulullah bertanya, adakah mereka telah kenyang? Semua menjawab ya.

Sahabat tuan rumah dan isterinya melihat keadaan itu hampir sahaja tidak percaya kerana mereka tahu kuah kambing di dalam periuk itu teramat sedikit, hanya cukup untuk empat atau lima orang.

Kemudian Rasulullah S.A.W. membuka tudung periuk itu, dan makan. Alangkah terkejutnya sahabat tuan rumah dan isterinya apabila melihat kuah daging itu langsung tidak berkurang walaupun sedikit. Ajaibnya!

Begitulah Allah Pemilik Rezeki yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia suka. Kenapa kita tidak memperhambakan diri kepada Pemilik dan Pemberi Rezeki ini? Atau kita merasakan diri kita boleh memberikan rezeki kepada diri sendiri?

Pena Tumpul - Banyak tidak semestinya cukup dan sedikit tidak semestinya tidak cukup

Saturday, February 11, 2012

Kiamat


Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
   


Kata Ustaz Dr Daniel dalam Tanyalah Ustaz Tv9, umat Islam tidak boleh dan tidak perlu terpengaruh dengan dakyah Barat bahawa Kiamat akan berlaku pada 2012. Mempercayainya jelas syirik. Kita wajib percaya kepada hari Kiamat tetapi tidak sampai percaya bila Kiamat itu akan berlaku. Itu urusan Allah. Lantas beliau mengutarakan ayat di atas sebagai panduan.

Suatu hari seorang lelaki Arab Badwi datang bertanya kepada Nabi: “Bilakah hari kiamat?” Ketika itu Nabi sedang berucap, dan tidak mengendahkan soalan itu. Namun setelah tamat berucap Nabi berkata:

“Manakah orang yang bertanya mengenai hari kiamat tadi?” Lelaki itu berkata: “Aku wahai Rasul Allah”. Nabi menjawab: “(Kiamat akan datang) Apabila amanah telah disia-siakan”

Orang itu bertanya lagi mendapatkan penjelasan: “Bagaimanakah mensia-siakan amanah itu?” Nabi menjawab: “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (Maksud Hadis Bukhari dan Ahmad)

Hadis ini dan juga banyak hadis menjelaskan bahawa Nabi sendiri tidak mengetahui bila hari kiamat akan berlaku secara tepat.

Bahkan malaikat yang bertugas meniup sangkakala (trumpet) ketika hari kiamat juga tidak mengetahui bilakah hari kiamat. Nabi menjelaskan dalam satu hadis malaikat Israfil tertunggu-tunggu arahan daripada Allah untuk meniup sangkakala.

“Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang, sementara Malaikat Israfil telah meletakkan trumpet ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya –
(Hadis Tirmizi)

Jelas berdasarkan bukti daripada al-Quran dan Sunnah, tiada siapa mengetahui bila terjadinya kiamat melainkan Tuhan yang mencipta alam ini, Allah.

Pena Tumpul - Bukan bila kiamat itu yang perlu kita fikirkan tetapi amalan kita yang lebih wajar difikirkan

Friday, February 10, 2012

Melabel

"Awak memang tidak berguna. Tidak berhati perut dan awak kejam"

Salah satu perkara yang kita lakukan yang membuat orang benci hendak bercakap-cakap dan berbual-bual dengan kita adalah perbuatan memberi cap atau memberi label. Ayat-ayat di atas adalah antara contoh yang biasa kita dengar.

Melabel adalah tuduhan yang mengandungi  unsur di mana kita mengatakan seseorang itu mempunyai sifat yang negatif terhadap diri kita. Ini bermakna seolah-olah kita boleh nampak apa yang ada dalam kepalanya dan dapat membaca apa yang ada dalam hatinya. Hebatnya kita kalau itu boleh kita lakukan. Namun ia mustahil boleh dilakukan. Tidak ada orang yang tahu apa yang ada dalam kepala dan hati orang lain, sekali pun antara suami dan isteri.

Kita selalunya mudah dan pantas melabel berdasarkan apa yang kita lihat dan dengar walaupun hanya sekali. Misalnya, bila sekali suami tidak membelikan isteri sesuatu yang diminta dengan pantas dilabelkan begini oleh isteri kepada suami, "Abang kedekut". Bukankah lebih baik dinyatakan sahaja apa yang terjadi masa itu dengan si isteri berkata begini, "Saya kecewa abang tidak belikan saya pasu yang saya minta itu" Begitu juga bila sesekali orang dikesan berbohong dengan kita dengan pantas kita akan label dia, "Awak pembohong". Jangan melabel begitu tetapi katalah, "Saya tidak percaya cakap awak"

Jangan juga menilai suami secara negatif. Tidak elok begitu. Mungkin kita pernah terdengar terpacul dari mulut
isteri begini, "Abang ni busuklah". Bukankah elok dikata begini, "Abang belum mandi ya!"

Jangan sampai orang lain tidak seronok berbual dengan kita kerana kita pantas melabel!

Pena Tumpul - Kerana kurang bercakap dan pendiam sering di label sombong





Thursday, February 9, 2012

Kucing

"Entah sapalah yang buang kucing kat sini."

Kata-kata begitu sering terpacul setiap kali kelibat binatang kaki empat ini dilihat berkeliaran di kawasan rumah.Tidak dinafikan ada kalangan kita yang memang tidak senang dengan kehadiran kucing ini. Sebabnya mudah. Kucing bertabiat mengeluarkan bahan buangannya merata-rata dan ini merimaskan. Selain itu tabiat kucing yang suka bertenggek di atas kereta dan ini juga tidak menyenangkan. Takut kereta calar kononnya. Selebihnya kucing tidak pernah bawa masalah besar pun.

Saya bukanlah penggemar kucing dan tidak juga sampai tidak suka pada kucing. Kucing tidak merensakan saya selagi ia bersih dan "berdisiplin".


Perlu diingat bahawa Nabi kita menyanjung mereka yang sayang kucing. Diceritakan dalam suatu peristiwa  seorang sahabat nabi bernama Abdul Rahman bin Sakhr menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau yang dalam perjalanannya menuju ke Masjid Nabawi, berasa kasihan kepada anak kucing itu, lalu mengambil dan meletaknya dalam baju besar beliau.

Apabila sampainya di masjid, baginda Nabi bertanya Abdul Rahman, apa yang ada dalam bajunya? Ia menjawab, "Anak kucing yang kehilangan ibu, aku mengambilnya kerana kasihan padanya"'

Lalu baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan Abu Hurairah (bapa kucing). Gelaran bapa kucing tidak sedikit pun menjejaskan maruah dan reputasi Abdul Rahman, malah inilah gelaran yang paling disukai tatkala namanya disebut, kerana nabi sendiri yang memberi gelaran itu. Selain itu juga, gelaran Abu Hurairah mengingatkan beliau kepada suatu amal soleh yang pernah dilakukannya menerusi pembelaan seekor anak kucing.

Ada fakta menarik tentang kelebihan membela kucing. Kajian yang pernah dilakukan di Universiti Atlanta misalnya terhadap pesakit-pesakit darah tinggi mendapati keluarga yang membela kucing lebih rendah tekanan darahnya berbanding keluarga yang tidak memeliharanya. Malah dikatakan boleh mengurangkan stres juga.

Jangan buang kucing lagi!

Pena Tumpul - Kucing sekarang takut tikus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails