Sunday, June 24, 2012

Cita-cita

Hafiz ditanya cita-citanya dan beliau pantas menjawab mahu jadi pensyarah. Sebelum ini bila saban kali diajukan soalan yang sama cita-citanya sering bertukar. Kanak-kanak memang begitu, tidak akan tetap pendiriannya. Sekejap mahu jadi bomba, sekejap mahu jadi askar, sekejap mahu jadi polis. Cita-citanya berubah kerana orang yang dilihat sekitarnya. Cita-cita akan terus bertukar ganti sehinggalah peringkat dewasa dicapai atau lebih tepat lagi seusai tamat belajar.

"Hafiz nak jadi pensyarah kerana ayah suruh jadi macam Uda. Ayah tak bagi jadi doktor kerana kerja doktor susah". Kata-kata ayahnya itu mungkin betul kerana sebagai penolong pegawai perubatan, ayahnya terlibat secara langsung dengan kerja-kerja doktor dan melihat sendiri betapa tidak mudahnya jadi doktor. Kerja yang tidak tentu masa. Sejak itu Hafiz membunuh terus cita-citanya untuk jadi doktor. Memang, bukan mudah pun untuk mencapai cita-cita tersebut. Perlu komitmen yang sangat tinggi dalam pelajaran. Justeru itu cita-cita untuk jadi doktor cuma sekadar luahan kata pada kebanyakan kita sewaktu sekolah dulu. Rakan se kelas hampir tidak ada pun yang menjadi doktor.

Bila Hafiz tidak lepas dari mulut untuk jadi bomba satu masa lalu, dia sebenarnya sangat dipengaruhi oleh Tok Usunya seorang bomba. Katanya, dia suka uniform bomba dan juga boleh naik lori bomba dan padam api rumah yang terbakar. Cita-cita itu tidak lama lekat di kepalanya bila dia bertukar pula kepada cita-cita untuk menjadi pensyarah.

Adakah Hafiz akan kekal bertahan dengan cita-cita barunya ini atau akan terus bertukar lagi?

Pena Tumpul - Ada cita-cita yang tidak tertunai lagi

Friday, June 22, 2012

Israkmikraj

“Dan Tiadalah KAMI menjadikan (pada malam Mikraj) yang telah KAMI perlihatkan kepadamu melainkan sebagai suatu ujian bagi manusia; dan(demikian juga kami jadikan) pokok yang yang di laknat di dalam al-Quran; dan KAMI beri mereka takut(dengan berbagai-bagai amaran) maka semua itu tidak menambahkan keimanan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau”   (Surah Al Israk:60)

Ustaz Hanafiah memulakan ceramah Israk Mikrajnya dengan ayat ini. Pengkisahan perjalanan Nabi Muhammad yang berlangsung dalam tempoh semalam sudah selalu sangat kita dengar. Jalan ceritanya sudah kita tahu pun. Misalnya Nabi dipertontonkan dengan sekumpulan manusia yang menghentak kepala ke batu berulang-ulang kali kerana tidak solat. Begitu juga tentang solat lima waktu yang mula difardukan untuk umat Muhammad. Ustaz Hanafiah yang didatangkan khas dari Jabatan Mufti Johor memilih untuk tidak berbicara tentang Israk Mikraj dari perspektif pengkisahan ini. 


Ustaz ini mengajak mereka yang hadir di Dataran Segamat malam ini untuk melihat Israk Mikraj berasaskan tiga perkara pokok iaitu maklumat, alamat dan isyarat. Pada saya, ia amat menarik. Israk Mikraj memang sarat dengan maklumat, alamat dan isyarat sebenarnya. Ambil pengajaran dari ketiga-tiganya. Bahawa air zam-zam digunakan untuk membasuh hati Nabi Muhammad dan hasilnya lahir hati yang penuh Iman dan Hikmah sebagai persediaan sebelum di mikrajkan. 


Saya harap saya dapat sesuatu yang berharga dari ceramah ini walaupun tidak dinafikan pendekatannya dilihat gagal "menyelesakan" yang hadir selama hampir dua jam itu. Menyampaikan isi ceramah dan memancing pendengar dan penonton adalah dua kemahiran yang perlu dimiliki oleh seorang penceramah yang mahu dilihat berjaya. Ada penceramah yang sarat dengan isi namun gagal "bermesra" dengan mereka yang terpanggil untuk hadir mendengar ceramahnya. Ada pula yang cukup "mesra" dengan hadirin namun gagal pula memberi sesuatu yang diharapkan mereka.


Pena Tumpul - Berkali-kali menguap, ceramah yang tidak menarik atau mengantuk?



Thursday, June 21, 2012

Sesal

"Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna"

Saya selalu kagum dengan ungkapan peribahasa Melayu lama. Kebanyakannya masih relevan dalam konteks kehidupan masa sekarang. Selalunya peribahasa ini sarat dengan nasihat yang cuba disampaikan secara halus dan lembut namun makna yang terselindung di sebaliknya cukup mendalam. Seperti peribahasa ini, ia mempunyai mesej yang sangat jelas dan wajar dijadikan panduan dalam kehidupan.

Jarang sangat kita dengar orang yang sesal dahulu. Selalunya, orang akan sesal kemudian. Menyesal sambil meratapi kesalahan yang telah dilakukan memang tiada gunanya lagi. Ibarat kata orang tua-tua lagi, nasi sudah menjadi bubur. Justeru itu sebelum melakukan sesuatu, fikir semasak-masaknya baik buruknya sesuatu yang ingin dilakukan. Kalau banyak buruk daripada yang baik, langkah yang terbaik ialah untuk melakukannya.

Diko memilih untuk merasa sesal kemudian. Dia menyatakan rasa keciwa kerana keputusan peperiksaannya kali ini merudum teruk. Dia tidak pernah mempamerkan pencapaian seteruk itu. Dia mengaku tidak sangat bertungkus lumus dalam pelajarannya berbanding dulu. Dia dilihat banyak menghabiskan waktunya untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah pun. Nasihat demi demi nasihat yang dipasak ke telinganya tidak diendah langsung. Haziq juga terjebak sama dalam situasi yang sama. Dia juga tidak memilih untuk sesal dahulu. Natijahnya, dia sangat menyesal. Namun, apalah gunanya menyesal kemudian.

Mereka berdua masih ada ruang dan peluang untuk berjuang cemerlang!

Pena Tumpul - Sentiasa menaruh harapan dan memberi peluang

Wednesday, June 20, 2012

Jepun

Pelajar Darjah Empat ini khabarnya lebih berminat kepada Bahasa Jepun daripada Bahasa Inggeris.Dia acapkali mendapat markah yang sangat rendah malah gagal juga dalam subjek Bahasa Inggeris. Denko sebenarnya obses dengan katun Jepun dan apa sahaja yang berkaitan dengan Jepun. Sebut sahaja program katun Jepun di tv, dia pasti tahu. Begitulah kuatnya pengaruh katun dari Jepun ini kepada Denko. Nama Denko ini pun ada unsur Jepun sebenarnya. Sengaja saya memanggilnya begitu dan dia kelihatannya selesa dengan panggilan itu.

Kegilaannya terhadap katun Jepun ini menggusarkan bukan sahaja mamanya malah kedua-dua atoknya juga. Tumpuannya terhadap pelajaran terjejas. Dia lebih fasih mengingati watak-watak dalam katun yang ditontonnya. Malah, sudah mampu memahami Bahasa Jepun dan paling luar biasa bertutur sedikit-sedikit dalam bahasa ini. Satu pencapaian yang agak luar biasa. Ia sebenarnya tidak mustahil pun kalau saban ketika terdedah dengan bahasa tersebut walaupun mediumnya cuma katun. Pun begitu, apa yang lebih menggusarkan kami, minat luar biasanya terhadap produk Jepun melekakannya terhadap Bahasa Inggeris. Minatnya hampir tiada langsung terhadap bahasa kedua yang sangat penting ini. Amat sukar untuk mendengarnya menggunakan perkataan bahasa ini apatah lagi bertutur. Bahasa Inggeris memang sangat asing pada Denko.

Pena Tumpul - Denko simpan cita-cita  belajar di Jepun seperti bapanya




Thursday, June 14, 2012

Tukang

Saya ingin berkongsi cerita yang sangat menarik ini. Cerita ini mungkin sudah kita baca berulang kali di mana-mana. Selalunya kisah yang kita baca akan berkesan di hati kita buat sementara sahaja sehinggalah kita membacanya semula.

Ia tentang seorang tukang rumah yang sangat mahir dan lama pengalamannya yang mengambil keputusan untuk tidak mahu lagi bertukang tetapi mahu menghabiskan sisa hidupnya bersama keluarga. Pak Atan menyuarakan hasratnya kepada majikannya walaupun majikannya itu amat berat melepaskannya.

Pun begitu sebelum melepaskan Pak Atan, majikan itu mahu melihat sentuhan terakhir Pak Atan sebagai tukang yang amat dikaguminya sepanjang 40 tahun bekerja dengannya. Pak Atan bersetuju memenuhi permintaan majikannya. Dalam keghairahan untuk menamatkan kerjanya sebagai tukang rumah, Pak Atan sebenarnya tidak sangat menumpukan segala usaha dan tenaganya dalam membuat rumah terakhirnya itu. Dia bagai bina tidak bina dan hendak tak hendak melakukannya. Alatan yang digunakan pun bagai tangkap muat sahaja. Hasilnya, lahirlah sebuah rumah yang paling buruk pernah dibuatnya. Malang sekali kariernya sebagai tukang rumah diakhiri dengan hasil kerja yang amat mengeciwakan!

Seusai membuatnya, Pak Atan memberitahu majikannya dan menujukkan rumah yang dihasilkannya. Tanpa diduganya pun, Pak Atan diberikan kunci rumah tersebut sambil majikan itu berkata kepadanya, "Pak Atan, terimalah rumah ini sebagai hadiah istemewa daripada saya"

Alangkah terkejutnya Pak Atan. Kalaulah dia tahu bahawa rumah terakhir yang dibinanya itu adalah miliknya, pastinya dia akan menghasilkan yang terbaik mungkin!

Begitulah juga hidup kita di dunia ini. Kita sebenarnya sangat tahu bahawa Tuhan menjanjikan kita syurga kalau baik amalan kita di dunia ini. Malangnya kita buat macam tidak tahu sahaja. Kita adakalanya lupa dunia ini medan bercucuk tanam dan hasilnya akan kita tuai di sana nanti.

Pena Tumpul - Tukang tulis dan sampai sahaja

Tuesday, June 12, 2012

Melangak



Pagi ini dalam perjalanan ke bilik kuliah saya bertembung dan ditahan oleh beberapa orang pelajar yang nampak melangak. Mereka bertanya kepada saya lokasi bilik kuliah yang tercatat di jadual kelasnya. Saya memberinya sedikit arahan yang boleh membimbingnya untuk sampai ke bilik yang dicari.

Tidak salah bertanya kerana kata orang tua-tua, segan bertanya sesat jalan, malu berkayuh perahu hanyut dan lebih malang lagi kalau malu makan, laparlah jawabnya. Isunya bukan soal bertanya itu. Cuma pada saya ia sedikit menghairankan. Hampir seminggu pelajar baru ini diorientasikan untuk menyiapkan diri mereka sebagai siswa di kampus ini. Saya percaya antara yang ditekankan ialah maklumat tentang lokasi blok-blok kuliah. Jadi, kalau ada pelajar yang masih lagi melangak mencari bilik kuliah pasti ada yang tidak kena. Saya cenderung untuk menyalahkan segelintir pelajar ini kerana saya sangat yakin maklumat ini memang sudah didedahkan kepada mereka sewaktu minggu orientasi. Mungkin mereka tidak cukup peka dengan maklumat yang disampaikan.

Papan tanda arah dalam kampus saya kira amat membantu bagi mereka yang sedar peranan papan tanda ini. Pun begitu tidak kurang juga adanya papan tanda yang mengelirukan.

Pena Tumpul - Guna GPS

Monday, June 11, 2012

Palsu


Anak dara sunti yang berusia awal belasan tahun ini suka sangat untuk kelihatan cantik. Bahawa agak banyak duit yang telah dibelanjakannya pada aksesori kecantikan bukan rahsia lagi di kalangan kami. Tok Maknya memang tahu benar hal ini. Dia mencuba pelbagai jenama krim kecantikan untuk menyerikan lagi mukanya sekaligus menyembunyikan jerawatnya. Pernah juga menggayakan pelbagai jenis tudung berfesyen untuk dilihat anggun juga. Paling terbaharu dan menggemparkan kami Diko dalam diam-diam menggunakan kanta lekap untuk mencantikkan bebola matanya. Tidak hairanlah hari itu saya lihat ada yang luar biasa dalam projeksi wajahnya. Lain daripada hari-hari biasa.

Khabarnya kanta lekap itu dijual secara terbuka dengan harga RM25 sahaja. Mudahnya dijual tanpa jaminan doktor dari segi keselamatan dan inilah yang menggusarkan mamanya. Saya katakan pada Diko bersenang-senanglah dengan apa yang ada. Mata yang cantik yang Tuhan berikan tidak perlulah diubah -ubah lagi. Kalau memang bukan mata biru terimalah seadanya. Apa yang Tuhan cipta sudah cukup cantik pun. Yang palsu dan dibuat manusia selalunya akan ada cacat celanya dan juga tidak bertahan lama. Apa pun yang palsu tidak akan pernah sama dengan yang tulin hasil ciptaanNya. Mampukah kaki palsu menandingi kesempurnaan dan kehebatan kaki ciptaanNya? Gigi palsu, bulu mata palsu, hidung palsu memang buat kita nampak cantik di mata orang namun siapalah kita untuk menandingi keindahan ciptaanNya.


Pena Tumpul - Tahu Diko dipengaruhi kawannya, kalau tidak dia tidak begitu

Wednesday, June 06, 2012

Rempit

Kalau macam ni bagaimana?
Saya sebenarnya berfikir banyak kali sebelum mengambil keputusan untuk memenuhi bukan sahaja permintaan tetapi rayuan Haziq untuk memiliki sebuah motosikal awal tahun lalu. Saya tahu dengan adanya motosikal itu, saya tidak perlu lagi bergegas dengan masa untuk menghantarnya ke sekolah, juga menjemputnya. Saya mahu segalanya mudah. Dia senang dan saya juga senang. Pun begitu, saya juga risau satu perkara. Memiliki motor bermakna dia sudah ada kemudahan untuk merempit. Walaupun saya tahu dia tidak akan cenderung ke arah itu, namun ia tidak mustahil berlaku lebih-lebih lagi kalau pengaruh kawan mengatasi nasihat ibu bapa sendiri. Saya perlu ada rasa curiga begitu.  Segalanya mungkin bila motosikal sudah berada di tangan anak remaja.

Apa yang saya lihat dalam perjalanan merentas lebuh raya ke Johor Bahru petang ini amat menyenakkan perut saya. Cukup menggusarkan. Memualkan juga. Ia bukan pemandangan luar biasa lagi melihat sekumpulan anak muda belia beraksi ala akrobat di atas jalanraya. Saya sudah melihatnya acap kali. Meniarap di atas motor dengan kelajuan yang bukan sedikit, apa tujuannya? Mahu menjadi raja jalan raya pastinya. Anehnya, tiada siapa pun yang cukup berani untuk menghalang aksi yang meloyakan ini. Lorong yang disediakan sengaja tidak digunakan tetapi mencelah-celah pula tanpa sopan di antara kenderaan. Ini menyusahkan pemandu yang lain. Bayangkan sedikit kesilapan dalam mengemudi motor bakal mencetuskan petaka kepada orang lain juga. Tidak terfikirkah mereka implikasi tindakan mereka itu?

Aksi mat rempit ini memaparkan bahawa mereka sengaja tidak menghormati peraturan dan undang-undang jalanraya. Ia memberi gambaran buruk kepada pemandu asing yang memandu di lebuhraya kita. Pada mereka lebuhraya negara ini tidak selamat malah menakutkan dan memang itu pun yang kita alami sendiri.


Bilalah agaknya isu rempit ini mahu selesai?

Pena Tumpul - Khabarnya mat rempit ini memang tidak boleh ditegur, buruk padahnya kalau ada yang berani menghalang mereka

Sunday, June 03, 2012

Jati

Melayu jatuh bukan kerana orang lain tetapi kerana orang Melayu juga. Kerajaan Melayu Melaka jatuh dulu kerana ada parasit Melayu yang bersekongkol dengan orang luar. Orang Portugis menggunakan Medaliar dan Kitul untuk menyelinap ke Melaka, menggoyahkan perpaduan pembesar Melaka dan akhirnya Melaka berjaya ditumpaskan dan jatuh ke pangkuan Portugis.

Setelah lebih kurang 500 tahun, sejarah macam berulang kembali. Medaliar dan Kitul lahir semula dalam bentuk baru namun peranannya hampir sama. Peranan mereka bagai gunting dalam lipatan dan musuh dalam sekam. Hasrat mereka tidak lain kecuali untuk meruntuhkan bangsa sendiri. Juga khabarnya ingin menghapuskan institusi raja dan seterusnya menjadikan negara yang telah lebih 50 tahun merdeka ini sebagai republik.

Ini adalah antara inti ucapan yang membakar semangat seorang Melayu seperti saya. Dr Hasan Ali selaku Presiden Jati meniupkan api kemarakan orang Melayu ketika berceramah di Dataran Segamat malam ini. Katanya orang Melayu perlu bingkas dan berjuang atas tiga jalur utama yang membentengi dan memberi kekuatan kepada maruah orang Melayu Islam. Beliau menyebutnya sebagai Jalur Tiga (JATI) iaitu Islam, Melayu dan Raja. Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Raja itu Melayu dan Melayu itu Raja. Ketiga-tiga unsur ini tidak boleh dipisahkan sebenarnya. Di mana letaknya kekuatan dan ketuanan orang Melayu lagi tanpa Raja. Sebagai sebuah negara Republik nanti, Melayu dan Islam usah diharap akan diberikan kedudukan yang istemewa lagi. Lihatlah negara jiran kita di seberang Tambak dan juga Indonesia. Di mana kedudukan orang Melayu di Singapura?

Untuk kuasa orang akan buat apa saja, hatta menggadai maruah bangsa sendiri!

Pena Tumpul - Apalah ertinya kalau menang sorak namun kampung tergadai, belajarlah dari cerita Pak Kaduk

Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...