Monday, June 19, 2017

83

Masjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan tidak ketinggalan YB Datuk Othman Jais. Kunjungan paling ramai sejak masjid yang bernilai 1.08 juta ini siap dibina lima bulan lalu.

Kunjungan ini menarik kerana selain dari berbuka puasa bersama kami turut sama solat berjamaah solat Maghrib, Isyak dan seterusnya Tarawih. Sempat juga Hj Borhan selaku Pegawai Daerah berucap sepatah dua untuk yang hadir.

Yang lebih menarik ialah tazkirah ringkas tapi cukup signifikan oleh Ustaz yang tidak pernah dikenali pun sebelum ini. Dia bercakap tentang pencarian Lailatul Qadr yang masih diberi kita peluang bersama beberapa hari Ramadan yang berbaki, sepuluh malam terakhir tentunya. Dia suruh pulun. Beriktikaf di rumah Allah seawal 1 pagi sehingga ke Subuh. Ada masjid di sekitar Segamat yang sudah membuatnya. Tidak mampu 1 pagi, mulakan pada 3 pagi, tidak mampu juga, bersolat jemaah Isyak dan Subuh di malam-malam penghujung ini.

Kata Ustaz alangkah ruginya kalau kita melepaskan begitu sahaja satu malam, yang pahalanya lebih dari umur kita hidup. Beramal di malam lailatul Qadar, laksana beribadah seribu bulan yang bersamaan 83 tahun, 3 bulan 3 hari.... Umur kita pun belum tentu sampai begitu. Ini janji Allah. Anugerah pada umat Muhammad s.a.w. Umur kita pendek.Kalau ada yang lebih itu subsidi. Umur umat nabi Nuh 950 tahun. Tetapi amalan kita di satu malam Qadar ini seolah beramal 83 tahun!

Pena Tumpul - Semoga diberikan kekuatan dan kemampuan

Tuesday, June 06, 2017

Lauk

Dari awal pagi lagi isteri sudah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak akan memasak hari ini. Periuk belanga dan kuali digantung. Kami bercadang untuk merasa pelbagai lauk pauk yang khabarnya melimpah ruah di peragakan di bazar Ramadan. Pastinya banyak pilihan dan versi.

Lepas satu bazar, satu bazar dikunjungi tidak kami temui sejenis lauk yang benar-benar memenuhi piawai. Pada saya sebarang lauk yang ingin dibeli wajar menepati piawai yang kami telah tetapkan. Selain daripada yang disyariatkan bahawa makanan perlu halal dan baik, saya kira soal rasa dan harga juga perlu diberikan perhatian. Soal halal mungkin tiada diragukan justeru penjual adalah rata-ratanya Muslim.

Saya mencari lauk masakan kampung dan saya gagal menemui mana-mana gerai pun yang memenuhi citarasa saya dan isteri. Lauk masakan kampung ada tarikannya. Tidak nampak sangat minyaknya dan tidak juga berlumuran dengan santan pekat kuahnya. Di bazar, lauk-lauk yang dijual kebanyakannya sangat berminyak. Fizikalnya pun kelihatan semacam sudah dikitar semula. Keras dan hitam kelihatannya. Kitaran semula bukan tidak mungkin dilakukan penjaja kerana mahu untung.

Akhirnya saya membuang masa di bazar hanya untuk membawa pulang tahu sumbat yang sudah hampir basi dan baki-baki sambal petai yang saya rasa nampak kampung masakannya.

Di hujung santapan berbuka, isteri mengadu sakit kepala. Tidak lama selepas itu saya pula diserang sakit kepala. "Ini mesti banyak bubuh ajinomoto ni", rungut isteri. Saya sekadar mengangguk.

Ternyata, tindakan menggantung periuk hari ini tidak berbaloi!

Pena Tumpul - Masak sendiri ternyata satu-satunya pilihan terbaik yang ada

Monday, June 05, 2017



Saya solat Jumaat di Masjid Bandar Putra yang permai. Hafiz dan Hadif juga bersolat sama. Saya Hafiz khusyuk meneliti setiap yang diungkapkan oleh khatib dalam khutbahnya.

 Usai saja solat saya diajukan dengan soalan tentang takwa. Saban minggu khatib dalam khutbahnya mengingatkan mengenai ketakwaan kepada Allah. Persoalannya, adakah kita faham erti takwa? Mungkin inilah juga yang melingkari kotak fikiran Hafiz. Beliau memerlukan pencerahan dari saya tentang takwa.

 Saya buat sedikit rujukan untuk menjawab soalan Hafiz. Mungkin tidaklah cukup komprehensif tetapi saya kira cukup untuk menjawab persoalannya. 

Dalam bahasa Arab, perkataan ‘takwa’ berasal dari kata kerja ‘ittaqa’ bermaksdu ‘berwaspada dan berjaga-jaga’ atau ‘takut kepada Allah dan menjauhi segala larangan-Nya’. Jelaslah, takwa bukan saja membawa maksud takut kepada Allah, malah menjadikannya pelindung dan pemelihara kita daripada sebarang perkara buruk dan bahaya. Ketinggian tahap takwa amat jelas apabila ia dijadikan ukuran kepada pemilihan hamba Allah S.W.T yang dipandang mulia di sisi-Nya.

 Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

 Saya sangat tertarik pandangan Sayyidina Ali bin Abi Thalib tentang apa itu taqwa. Beliau menjelaskan bahwa taqwa itu adalah

1. Takut (kepada Allah) yang diiringi rasa cinta, bukan takut kerana adanya neraka.

2. Beramal dengan apa yang diturunkan yakni Al-quran iaitu bagaimana Al-quran menjadi pedoman dalam kehidupan sehari-hari seorang manusia.

3. Redha dengan yang sedikit, ini berkaitan dengan rezeki. Bila mendapat rezeki yang banyak, siapa pun akan redha tapi bagaimana bila sedikit? Yang perlu disedari adalah bahawa rezeki tidak semata-mata wang ringgit dan harta.

4. Orang yang menyiapkan diri untuk “perjalanan panjang”, maksudnya adalah hidup sesudah mati.

Hafiz puas hati dan mengangguk. Persoalannya selama ini barangkali telah terungkai.

Pena Tumpul -  Saya bukan Ustaz.

Sunday, June 04, 2017

Terjah

Kari daging rusa masakan emak mertua, sedap!
Petang semalam berbuka dengan penuh nikmat dan menyelerakan kari daging rusa masakan emak mentua.Seingat saya kali terakhir mencicip daging ini kira-kira 30 tahun lalu. Atok Dolah yang masih sasa perkasa waktu itu diberi rezeki bila jeratnya mengena. Atok Dolah memang suka berburu. Tanggal Rabu 4 April 1979 Atok Dolah membawa pulang seekor rusa. Kebetulan pada hari yang sama, adik bongsu saya dilahirkan. Ramai yang berkata, rezeki anak baru lahir itu. Sedapnya masakan kari Atok Senah masa itu.

Petang ini pula, isteri mengambil keputusan untuk menggantung periuk belanga di dapur. Tiada sebarang aktiviti memasak berlaku. Haziq  mencadangkan untuk makan di mana-mana kedai makan di luar sahaja. Isteri pun sangat setuju. Namun saya tidak melihatnya sebagai cadangan yang baik. Ketika hampir setengah jam mendekati waktu berbuka, saya suarakan supaya berbuka di rumah emak sahaja. Kami bercadang untuk terjah sahaja dan tidak perlu beritahu emak bahawa kami ingin berbuka bersama emak. Kami singgah sebentar di Param (nota: singkatan untuk Pasar Ramadan) dan membeli apa yang patut.

Sesampai di rumah emak, saya lantas bertanyakan emak sama ada cukup tidaknya nasi yang emak tanak bagi menampung saya tiga beranak. Emak kata, tiada masalah. Bagus. Walaupun cuma gulai sadin masak lemak yang emak masak, namun ia sangat-sangat menyelerakan malah lebih enak daripada kari daging rusa yang saya kecapi semalam. Betul kata orang, tiada siapa yang boleh menandingi air tangan emak sendiri.

Emak kata dia tidak sangat berkeinginan untuk menjamah nasi. Rezeki emak pastinya, bila emak gembira bukan kepalang bila lempeng yang kami beli menjadi kesukaan emak.

Pena Tumpul - Hari ini berbuka di mana pula, rumah atok barangkali?

Tuesday, May 23, 2017

Terkenang-kenang

Teringat satu ketika dulu di kampung bila Ramadan tiba. Ramadhan disambut penuh meriah. Ketika zaman kanak-kanak. Berbuka di surau bersama teman dan kemudian menunggu moreh sambil bermain kejar-kejar. Ketika itu fikiran kanak-kanak kita hanya dapat menjangkau – puasa tak boleh makan-minum, berbuka, bersahur, ada solat terawih, baca Quran dan kemudian hari raya! Alangkah indahnya.

Setelah tahun demi tahun berlalu, bila kita digamit usia, pengertian tentang Ramadan makin mendalam.Ramadan bukan lagi tradisi yang datang dan pergi tanpa isi. Kita diterjah pertanyaan, sampai bila rutin itu perlu berlalu tanpa berkesan pada jiwa?

Dulu-dulu, ketika Ramadhan datang, badan masih bertenaga, namun ilmu hanya setakat di permukaan. Puasa hanya pada sah dan batal. Kini Ramadan datang, ilmu mula menyelam, namun tenaga semakin kurang. Tidak segagah dulu. Kesihatan mula terjejas. Ingin bertindak, tapi terbatas. Ya, Allah… bagaimana Ramadhan ku kali ini?

Saya melihat anak-anak ketawa dengan gurau sendanya. Mereka belum mengerti perlumbaan usia dan amal. Saya melihat diri saya dalam diri mereka berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Pena Tumpul -  Melihat diri



Tuesday, April 11, 2017

50sen

Dulu sekitar 70an, saya cuma dibekalkan 50 sen sahaja sebagai belanja sekolah. Waktu itu harga makanan dan minuman di kantin tidaklah sangat mahal seperti sekarang. Dengan duit sebanyak itu, dapatlah saya membeli sepinggan kecil mee goreng dan segelas air sirap. Cukuplah untuk atas perut. Saya tidak pernah merungut pun dengan pemberian ayah. Saya sedar itu sejumlah itu sahajalah yang ayah mampu
Saya ingin berkongsi sebuah kisah yang saya kira boleh dijadikan iktibar dan manafaat. Kisah ini mungkin benar dan mungkin juga tidak. Pun begitu, mesejnya sangat jelas.  
Kringggg..loceng rehat berbunyi.

"Teriiimaaaa kaaaaasih cikgu!",
Semua pelajar beredar ke kantin. Tapi seorang pelajar ini tak keluar untuk rehat.
Awak tak rehat ke Alif? ujar saya kepada pelajar ni. "Tak cikgu". jawab Aif ringkas.
"Kenapa Alif tak rehat? Jawab Alif "Mak saya beri 50 sen sehari cikgu. Kat kantin 50 sen ini dapat beli nugget aja sekeping. Malu la cikgu beratur panjang2 dapat beli nugget saja. Jadi saya kumpul duit hari ini untuk makan hari esok. Jadi saya dapat la makan nugget 50 sen dan air sirap 50 sen. Saya ke kantin hari Selasa dan Khamis saja cikgu " kata Alif tertunduk malu.

Perasaan saya mula bercampur baur, sedih sebak. Ketika kos hidup sangat tinggi, masih ada pelajar yang membawa 50 sen ke sekolah. Ramai di antara kita memandang 50 sen jumlah yang kecil sedangkan bagi pelajar ini 50 sen sangat besar ertinya.

Saya tanya lagi, "Kalau hari Jumaat awak tak pergi kantin la ye?
"Oh hari Jumaat duit 50 sen ni saya sedekah masa bacaan yasiin, cikgu" jawab Alif dengan bersahaja. "Mak saya kata kalau kita sedekah, rezeki kita akan bertambah.."ujar Alif lagi.

Mata saya dah berkaca.Saya terkejut dan bertambah sebak. Dah la duit ada 50 sen,siap boleh sedekah pulak. Terpukul sungguh saya, bayangkan duit 50 sen yang diberi untuk makan, dia infakkan 50 sen untuk tabung sekolah setiap Jumaat semasa bacaan yasiin. 
Mungkin kisah ini nampak simple namun bagi saya ia memberi seribu pengajaran. Mungkin Allah sengaja temukan saya dengan pelajar ini supaya melebihkan sedekah dan berinfak.

Bagaimana pula dengan kita? Mampukah kita istiqomah bersedekah setiap hari Jumaat?

Pena Tumpul - Milik kita belum tentu rezeki kita
 

Tuesday, April 04, 2017

Pendam

Hari ini adalah ulang tahun ke 39 perkahwinan Pak Itam dan Mak Itam. Ketika mereka dijabkabulkan dulu saya di usia 11 tahun. Selain tarikh ulangtahun perkahwinan sendiri, saya tidak pernah mengingat tarikh-tarikh ulangtahun perkahwinan sesiapa pun. Istemewanya perkahwinan Pak Itam dan Mak Itam dalam hidup saya kerana Mak Itam mendahului Mak Ngah, Mak Utih, Mak Andak, Mak Cik dan Mak Usu melangsaikan status daranya.

Pak Itam juga berkesan dalam hidup saya. Ada banyak kenangan manis yang terpahat diingatan dan tidak mungkin dilupakan sampai bila pun. Saya bagai posmen penghubung cinta kasih Mak Itam dan Pak Itam. Pak Itam "memperalatkan" saya untuk memancing Mak Itam. Saya memang cukup rapat dengan Mak Itam. Saya seronok walaupun ketika itu cuma membonceng di atas basikal tua Pak Itam di ayak Pak Itam ke sana sini. Antara yang masih tebal dalam ingatan ialah bila setiap hujung bulan Pak Itam akan membawa saya dengan basikalnya sejauh 10 km untuk menonton filem-filem hindustan wayang pacak.

Hari ini Pak Itam sudah berusia lebih 67 tahun dan masih kekal bahagia dengan Mak Itam. Pak Itam masih kelakar macam dulu seperti yang saya kenal hampir empat dekad lalu. Pak Itam suka berkongsi cerita hidupnya setiap kali berkesempatan bertemu. Bila saya ke rumahnya petang ini, Pak Itam berkongsi kisah hidupnya yang amat mengguris perasaan.

Ia cuma tentang kisah ikan tenggiri yang dimasak asam pedas kegemaran Pak Itam dan Mak Itam. Kata Pak Itam bertahun-tahun gulai ini menjadi kegemaran mereka berdua dalam susah dan senang. Dan mereka tahu kegemaran masing-masing. Pak Itam menyukai bahagian tengah ikan sementara Mak Itam pula cukup senang dengan ekor dan kepala ikan.

Kata Pak Itam, dia gagal mengenali dan memahami kesukaan Mak Itam. Dia selalu menyangka bahawa dia cukup bahagia setiap kali melihat Mak Itam cukup berselera dengan ekor dan kepala ikan. Pak Itam silap.

Pada satu malam ketika berdua-duaan di meja makan malam, Mak Itam bersuara, "Saya nak beritau abang sesuatu", tutur Mak Itam tersekat-sekat menahan sedih. "Kalau abang bertahun-tahun saya memendam rasa menahan keinginan untuk merasai sesuatu yang amat saya suka yang tidak pernah saya dapat pun sampai sekarang", tambah Mak Itam lagi.

"Beritahu abang apa dia", tanya Pak Itam. "Kalau abang nak tau saya bukanlah suka sangat ekor dan kepala ikan itu, tetapi saya lebih suka bahagian badan ikan itu, tetapi saya tak nak kecilkan hati abang, jadi saya pendamkan ajalah, kata Mak Itam.

Pak Itam amat terkejut dan cukup terharu mendengar kata Mak Itam. Mak Itam juga sama terkejut bila Pak Itam memberitahunya bahawa bukan bahagian tengah ikan yang digemarinya tetapi ekor dan kepala ikan. Namun demi kasihnya kepada Mak Itam yang disalahsangkanya suka ekor dan kepala ikan, Pak Itam berkorban menahan rasa bertahun-tahun.

Kita selalu ingat kita kenal benar insan paling rapat dalam lingkungan kita, tetapi adakalnya kita silap!

Pena Tumpul - Suka kari kepala ikan

Monday, April 03, 2017

Peperiksaan

Peperiksaan sering menggentarkan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak bersedia untuk berdepan dengannya. Ia bagaikan beban yang cukup menekan seluruh jiwa raga dan perasaan. Jiwa lapang tidak terperi sebaik sahaja peperiksaan selesai dihadapi. Pelbagai reaksi dan perlakuan dipamer seusai kertas terakhir.

Ada yang menjerit sekuat hati melaung perkataan "merdeka". Begitulah kuatnya belenggu peperiksaan yang tidak ada seorang pelajar pun boleh lari daripadanya.

Bermula dari hari ini dan tiga minggu mendatang,  warga siswa UiTM  bertarung lagi di medan peperiksaan.setelah lebih kurang 15 minggu menimba ilmu dalam dewan kuliah, mencari maklumat dalam perpustakaan selain daripada menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh para pensyarah.

Saya mendoakan agar semuanya akan berjaya dengan cemerlang.

Pena Tumpul -Tunggu peperiksaan dihapuskan dan digantikan dengan kaedah penilaian yang lebih praktikal dan berkesan




Sunday, February 12, 2017

Marah

Semua orang pernah marah. Malah kena marah juga. Kalau ada yang berkata bahawa dia tidak pernah marah itu satu pembohongan yang besar. Dan kalau ada yang mendakwa bahawa dia tidak pernah kena marah, itu juga satu penipuan hebat. Secara semulajadinya, manusia dijadikan Allah untuk memiliki pelbagai emosi. Marah juga emosi yang dialami oleh setiap manusia. Cuma yang membezakan antara mereka yang marah, ialah bagaimana perasaan marah ini berjaya kita bendung. Ada orang yang mudah sangat nak marah dan cepat melenting setiap kali emosi marahnya dijentik. Cepat marah walau kerana sebab yang sangat kecil.

Marah yang gagal dikawal bukan sahaja boleh memakan diri malah dalam keadaan ekstrim boleh sampai membunuh orang lain. Saya yakin tidak ada satu hari pun dalam kehidupan kita berlalu tanpa sedikit perasaan marah pun. Marah mungkin tidak dimanifestasi secara terbuka namun dipendam dalam hati. Itu pun tetap marah juga. Pagi ini saya juga marah. Marah kerana sebab yang mungkin kecil pada orang lain tetapi besar pada saya. Saya marah bila sampah dibiar bersepah sedangkan bakul sampah tercongok di depan mata. Saya tidak melampiaskan kemarahan itu pada orang lain tetapi merungut marah. Haziq juga marah pagi ini kerana bolanya dicuri. Mama juga tidak terkecuali. Mama sedikit marah kerana terpaksa membersihkan tahi kucing yang bukan peliharaannya pun. Mama di dengar membebel tidak tentu hala. Semalam ketika di atas jalanraya seorang penonggan motosikal menjerit-jerit marah ke arah seorang pemandu kereta yang hampir menghimpitnya.

Ada yang kata marah tanda sayang. Bak kata orang marah-marah sayang. Anak yang tidak elok lakunya ditegur dan dimarah. Kalau tidak sayang, lantaklah apa yang hendak dibuatnya. Tidak perlu ambil peduli. Tidak perlu ambil kisah dan tidak perlu ambil hirau juga. Haziq yang kadangkalanya liat untuk "study" selalu dimarahi malah dileter oleh mamanya. Marah kerana sayang sang mama untuk melihat anaknya ini cemerlang dalam setiap peperiksaan yang dihadapinya.

 Saya juga marah namun dengan cara yang paling tersendiri. Saya tidak perlu tinggi suara. Tidak juga perlu berleter. Saya cuma kata begini,"Pilih satu antara dua, nak kerja senang dapat duit banyak atau nak kerja susah tapi dapat duit pun tidak juga banyak! Garis pemisah antara keduanya ialah cemerlang dalam pelajaran. Begitulah lazimnya. Diluar kelaziman tanpa cemerlang dalam pelajaran pun ada yang bisa senang lumayan. Kerja tidak susah pun dapat banyak duit juga. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi, teruk-teruk namun lebih senang daripada yang punyai ijazah berjela.

Jangan marahkan pijat kelambu dibakar sudahlah, nanti di baham nyamuk pula, bukankah menyusahkan diri sendiri!

Pena Tumpul - Mama marah lagi kerana tidak tolong dia lipat kain

Wednesday, January 25, 2017

Ganjaran

Ketika berkunjung ke sebuah kedai buku mata saya terpaku kepada sebuah buku yang memaparkan tajuk yang sangat memukau. Saya ambil dan terus menyelak dari laman ke laman. Dia dimuatkan dengan 25 kisah yang cukup menarik dan bermesej mendidik. Saya lantas membaca salah satu kisah yang menjadi judul buku berharga RM14 ini.

Ia kisah yang patut dikongsi. Seusai membaca kisah ini, saya tidak berfikir panjang untuk memiliki buku ini. Saya hamparkan kisah ini untuk bacaan semua di ruangan ini sebagai pengajaran. Mana tahu, asbab membaca kisah ini, kita akan terdorong untuk solat berjemaah di masjid dan sekaligus menawan saf paling depan dan paling hampir dengan imam untuk mengaut ganjaran yang paling banyak yang Tuhan bagi untuk yang solat berjemaah di masjid.

Beginilah kisahnya. Hari ini ramai sungguh orang di masjid, sungguh pelik ku rasa. ku lihat semua orang kampung berada di masjid. Din Misai, Zainal Rimau, Draman Panjang, semua ada kat masjid.sekali lagi rasa hairan ku bertambah.bukankah ni waktu solat subuh? Tak pernah-pernah masjid tua ni dipenuhi orang ramai di waktu subuh. Kalau solat jumaat tu, tahulah aku. Ni waktu subuh pun penuh! FULL HOUSE! Apa dah jadi nih!

Aku cuba masuk dalam masjid tua itu melalui pintu utama. Berasak-asak orang kampung di situ. aku beralih ke pintu kecil di tepi masjid, jua berasak-rasak di situ. tiba-tiba aku melihat beberapa orang anggota polis mengawal pintu kecil itu! Uish... apa dah jadi ni? Tak pernah aku lihat pintu masjid dikawal polis. Dekat Mekah pernah la aku tengok! Apa dah jadi nih? Sampai waktu subuh pun berasak-asak nak masuk. Waktu subuh semalam tak ada pulak macam ni. Bahkan makmum yang mari lambat pun masih sempat bertahayat akhir dengan imam dan masih lagi dapat saf pertama... Apa dah jadi nih?

Aku meninjau-ninjau kelompok yang berebut-rebut tersebut. Tiba-tiba ternampak kelibat yang aku kenali, Ahmad Bustaman kawan sekolah ku dulu. Dia makmum yang setia kat masjid nih. dia selalu menghadiri solat jemaah 5 waktu kat di masjid ni. nampaknya dia pun menghadapi masalah yang sama seperti aku. Lalu aku mencuit bahunya dan dia berpaling. Aku bertanya "Mat, apa cerita ni?" Ahmad Bustaman menggeleng kepala sambil berkata "Aku tak tahu. Pelik sungguh solat subuh pagi ni! Ramai sangat orang kampung! Tua muda, kecil besar, lelaki perempuan, semua datang. Aku tak faham la. Kalau macam ni, kul 3.30 pagi tadi dah kena keluar untuk solat subuh ni!" Wah detik hatiku. Nak solat subuh kena datang 2 jam lebih awal! Uish.. uish..

Tak lama kemudian, terdengar suara bilal melaungkan iqamah. dan selepas beberapa ketika, masalah berhimpit-himpit pun selesai. Semua pun dapat masuk dalam saf sama ada dalam masjid ataupun di sebelah luar masjid, dan tempatku untuk subuh kali ini, dipenjuru saf yang terakhir, di sebelah Ahmad Bustaman berhampiran selipar-selipar jemaah masjid. Nak buat macamana, dah semua berebut-rebut. Dan suatu lagi yang pelik pada solat subuh hari ni, sejadah di pasang sampai ke sof terakhir. Biasa satu sof depan je.

Aku membetulkan saf sambil menunggu imam mengangkat takbiratul ihram. Tak lama kemudian, bunyi riuh rendah kat depan. Aku bertanya orang di saf depan. Orang di depanku menggeleng kepala.. Erm, ku tetap menunggu imam memulakan solat subuh. Tak lama kemudian tersebar berita rupanya Zainal Rimau bertelagah dengan tuan imam. Zainal Rimau nak jadi imam solat subuh hari ni. Pelik sungguh! Bila pulak Zainal Rimau begitu teruja dalam bab-bab solat ni. Kalau dulu-dulu solat jumaat pun tak pernah lihat kelibat Zainal Rimau ni. Akhirnya dengan campur tangan anggota polis, tugas tuan imam diserahkan kepada imam 1 masjid iaitu Tok Khatib Malik.

Kemudian terdengar imam melaungkan takbiratul ihram, dan masjid pun bergema dengan suara jemaah subuh kali ini.

Selesai solat, semua jemaah menyelak sejadah dan mengambil sesuatu di bawah sejadah dan aku pun menyelak sejadah ku. Oh... ada duit rupanya! Di bawah sejadah ku hanya terdapat syiling dua puluh sen. Ahmad Bustaman pun mendapat syiling dua puluh sen jugak. Ku jenguk makmum yang berada di saf hadapan ku. di tangannya terdapat syiling 50 sen. Katanya makin depan sof, makin tinggi nilai duit di bawah sejadah. dan semua beredar. Semasa sampai kat pintu pagar, aku terdengar orang berkata rupanya Zainal Rimau bergaduh nak jadi imam sebab duit di bawah sejadah imam ada RM1000 ringgit. Manakala di bawah tikar sejadah saf yang paling depan ada RM500 ringgit untuk setiap orang di saf tersebut. Oh! Sekarang baru ku tahu kenapa subuh kali ini pelik sangat! Tu yang orang gila-gila datang masjid subuh ni, ada duit bawah tikar sejadah!

Sedang aku berjalan keluar dari masjid tiba-tiba terdengar suara ayah sayup-sayup memangil aku. "Man! Man! Bangun! dah nak subuh ni. Bilal Din dah baca Tarahim dah tu!"

La... aku bermimpi rupanya! Oh! Alangkah indahnya kalau mimpiku benar-benar menjadi kenyataan! Eh! aku kena cepat bersiap nak pegi solat subuh ni! Aku tak nak dapat 20 sen je! Aku nak dapat paling tidak RM500!

Pena Tumpul - Ganjaran pahala dari Allah tiada taranya hatta seisi dunia

Saturday, January 14, 2017

Doa

Tidak ada orang yang tidak berdoa. Semua orang berdoa tidak kira baik atau pun tidak baik. Orang hendak mencuri pun masih sempat berdoa. Selepas solat kita berdoa dan itu sangat pasti. Doa adalah pengharapan kita kepada Pencipta. Kalau ada masalah kita berdoa kepadaNya. Ketika ditimpa susah padaNya jugalah kita selalunya berdoa.Kita meminta daripadanya dengan berdoa sesuai dengan sifatNya yang sentiasa mendengar rintihan hambaNya. Justeru itu doa dikira sebagai otak ibadah.

Ustaz Kazim merungkaikan tentang doa ini. Antara yang menarik perhatian ialah tentang cara kita bila berdoa. Cara kita menadah tangan. Kalau kita perhati di kalangan kita, pelbagai yang kita nampak. Ada yang meletak tangan di atas paha. Tidak kurang juga yang merapatkan tangan ke mulut. Ada juga ketika doa dipanjatkan dan diaminkan, sempat juga berbual tanda tidak sungguh-sungguh dalam berdoa. Sepatutnya kedua-dua tapak tangan perlu dirapatkan sehingga tercantum satu. Permohonan doa adalah pengharapan kita kepadaNya dan oleh itu tidaklah boleh dibuat sambil lewa sahaja. Kata Ustaz, doa yang dipohon kepadanya seeloknya difahami dan tidaklah perlu berjela panjangnya. Tuhan sangat tahu apa kita mahu. Doa juga tidak sampai didengar semacam mengarahNya.

Pun begitu ada yang lebih menarik lagi tentang doa ini yang saya dapat dari bicara ilmu ini. Dikhabarkan,kali pertama bumi diciptakan, bumi selalu bergoyang, bergoncang dan tidak berputar dengan stabil malah tidak berputar pada paksinya. Pekara ini merungsingkan para malaikat lalu para malaikat menghadap Allah.

“Wahai Rabb Yang Maha Mengetahui, mengapa bumi ini bergoyang?” tanya para malaikat.
“Kerana belum dipaku.”jawab Allah singkat.
“Lalu, bagaimana Engkau memaku bumi Wahai Rabb?” tanya malaikat lagi.
 “Aku akan menciptakan gunung-ganang.” Jawab Allah. Setelah itu, Allah terus menciptakan gunung-ganang di berbagai belahan bumi. Apa yang terjadi adalah sememangnya benar setelah diciptakannya gunung-ganang, bumi pun diam kemudian berputar sesuai paksinya. Maka kemudian gunung dikenali sebagai paku bumi yag diciptakan Allah SWT. Paku merupakan benda keras yang terbuat dari besi.

Setelah Allah menciptakan paku bumi iaitu gunung-ganang, kemudian para malaikat pun bertanya lagi;
Ya Rabb, adakah yang lebih kuat dari paku?
“Ada!” Jawab Allah. “Iaitu api, yang dengan panasnya dapat melelehkan besi.”
“Adakah yang lebih kuat lagi selain api, Ya Rabb?” tanya malaikat.
“Ada! Yakni air yang dapat memadamkan api.” jawab Allah lagi.
“Jadi Ya Rabb, adakah yang lebih kuat dari air?” sambung malaikat.
Ada! iaitu angin, yang kerananya dapat membawa air ke mana pun ia berhembus.” jawab Allah lagi.
Tapi Ya Rabb, adakah yang lebih kuat daripada semua itu (gunung, api, air dan angin)?” Malaikat bertanya lagi.
“Ada! iaitu nafas hambaKu yang berdoa kepadaKu. Kerana sesungguhnya doa itu mampu mengubah takdirKu.”

Marilah kita gunakan kehebatan doa untuk mengubah nasib kita!

Pena Tumpul - Berdoalah dan bukan membaca doa

Wednesday, January 11, 2017

Tulisan

Ketika mengawas peperiksaan pagi ini mata saya sempat mencuri pandang tulisan pelajar ketika memuntahkan idea di kertas jawapan. Saya tidak berminat dengan jawapan yang diberi tapi lebih teruja untuk mengamati bentuk tulisan yang dihasilkan. Ada tulisan yang besar dan mudah dibaca.

Tidak kurang tulisan yang begitu kecil saiznya malah lebih terok lagi kelihatan begitu kelam dan memaksa mata bekerja keras untuk membaca dan memahaminya. Terdapat juga tulisan bagaikan cakar ayam dan bersimpang-siur di atas kertas.

Ternyata pelajar tidak memberi penekanan kepada tulisan. Pelajar semacam tidak menyedari bahawa tulisan tangan yang terpapar di atas kertas jawapan begitu besar pengaruhnya dalam memancing minat pensyarah untuk memeriksanya. Saya sendiri mengakui betapa tulisan pelajar begitu mempengaruhi saya dalam memberikan penilaian. Kesukaran dalam memahami apa yang ditulis hanya akan mengundang impak yang negatif. Kekaburan bakal memualkan pemeriksa lalu memberi kesan dalam permarkahan. Sebab itu, saya sering kali menasihatkan pelajar saya supaya menggunakan pena yang terang dakwatnya. Kalau boleh tulislah besar-besar untuk memudahkan pemeriksa berusia macam saya.

Tulisan tidak semestinya cantik, tetapi biarlah kemas dan selesa dibaca. Kata orang tulisan mencerminkan peribadi sipenulisnya.

Ada yang mengambil positif saranan saya maka beruntunglah dia. Bagi yang tidak, terimalah padahnya!

Pena Tumpul - Suka tulisan jawi juga



Tuesday, January 10, 2017

Mengumpat

Saya mengintai pameran buku di ruang legar dan terus tertarik kepada sebuah buku lantas membelinya. Buku yang diberi judul 50 sup Champion Reseipi Rasulullah menyajikan kisah-kisah silam dan kini untuk cicipan dan pengajaran. Selepas helai demi helai dibaca saya sangat tertarik dengan kisah yang dipaparkan di halaman 49 buku ini. 

Ia kisah seorang nabi telah bermimpi menerima perintah berbunyi: "Esok engkau keluar dari rumah waktu pagi menghala ke barat. Engkau hendaklah membuat lima perkara. Yang pertama engkau jumpa, makanlah. Kedua, engkau sembunyikan. Ketiga, engkau terimalah. Keempat, jangan putuskan harapan. Kelima, larilah daripadanya."

Esok harinya nabi itu pun keluar menuju ke barat. Yang pertama ditemuinya ialah sebuah bukit berwarna hitam. Dia kebingungan. "Sungguh aneh, aku diperintah memakan apa yang pertama aku temui." Dengan bertawakal kepada Allah, dia menuju ke bukit tersebut untuk memakannya. Tiba-tiba bukit itu menjadi kecil sebesar roti. Maka nabi itu pun memakannya. Rasanya sungguh manis seperti madu. Dia pun mengucap syukur kepada Allah.

Selepas itu bertemu pula sebuah mangkuk emas. Lantas dia menggali lubang untuk menyembunyikannya. Apabila mahu berangkat, mangkuk itu terkeluar semula. Lalu di tanamkannya kembali. Tetapi ia terkeluar juga, sehingga tiga kali berturut-turut. Nabi itu berkata, "Aku telah melaksanakan perintah-Mu," sebelum meneruskan perjalanannya.

Sejurus kemudian dia terserempak dengan seekor burung kecil dikejar seekor helang. Burung kecil itu merayu, "Wahai nabi Allah, tolonglah aku." Dia berasa simpati. Diambilnya burung itu lalu memasukkannya ke dalam bajunya. Helang itu datang menghampirinya dan berkata, "Wahai nabi Allah. Aku sangat lapar. Aku telah mengejar burung itu sejak pagi lagi. Janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Teringat akan mimpinya, dia lalu memotong sedikit daging pehanya buat mengganti rezeki helang itu.

Dengan pehanya yang luka, Nabi itu meneruskan perjalanan demi menunaikan perintah Allah. Sebentar kemudian, dia terlintas dengan satu bangkai yang amat busuk. Tergesa-gesa dia lari kerana tidak tahan akan baunya.

Setelah kembali, pada malam harinya nabi itu berdoa: "Ya Allah, Aku telahpun melaksanakan sepertimana yang diarahkan. Maka tolonglah jelaskan apakah ertinya semua ini."

Ketika tidur dia bermimpi lagi. Allah memberitahu:
"Yang pertama engkau makan, ialah marah. Mulanya besar, tetapi jika bersabar dan dapat mengawalnya, ia akan menjadi lebih manis daripada madu."

" Kedua , amal kebaikan , walaupun disembunyikan, ia tetap akan nampak jua."

" Ketiga , jika sudah menerima amanah , janganlah khianat kepadanya."

" Keempat , jika orang meminta padamu, usahakanlah menunaikan hajatnya meskipun engkau sendiri berhajat."

" Kelima , yang busuk itu ialah ghibah (mengumpat atau mendedah keaiban orang lain). Larilah dari mereka yang membuat ghibah."

Tidak dapat dinafikan, kelima-lima perkara yang dikisahkan tadi sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan harian kita. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang lain. Memang menjadi tabiat kita suka mengata hal orang lain. Dalam sebuah hadis ada dinyatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lantas dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang engkau berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dahulu".

Maka Allah berkata, "Ini adalah pahala orang yang mengumpat tentang dirimu"

Pastinya diam itu lebih baik!

Pena Tumpul - Tengok PM makin sehat dan berseri-seri

Monday, January 09, 2017

Masjid


Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat- sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
   
Ustaz Syed Norhisham ketika berbicara di Radio IKIM pagi ini  menganjurkan ayat di atas dijadikan panduan dalam memilih mereka yang sepatutnya menganggotai JKuasa Masjid. Bukan semua orang layak mengepalai pentadbiran masjid. AJK yang dipilih berdasarkan kriteria ini pastinya menyumbang kepada pengurusan masjid yang berkesan.

Bila ada masjid tidak mesra jamaah dan golongan  muda tidak terpanggil untuk ke masjid ia sebenarnya ada kaitan dengan kegagalan AJK Masjid memainkan peranan yang sewajarnya.

Khabarnya ada juga masjid yang banyak duit namun tidak membelanjakannya untuk program yang memakmurkan masjid. Sumbangan dan derma orang ramai sepatutnya dimanafaatkan untuk mereka juga. Walaupun tidak salah duit diguna untuk menceriakan fizikal masjid tetapi jangan sampai diabaikan soal program memakmurkan masjid. Bila ada program untuk jamaah, pasti masjid akan sesak dengan jamaah.

Saya bersyukur melihat perubahan yang sedang berlaku di Masjid Kampung Gudang Garam. Kuliah-kuliah sudah mula diadakan walaupun tidak sekerap mana. Bilangan jumaah sedikit bertambah walau tidaklah ramai sangat. Ia perubahan yang positif dan tentunya memakan masa untuk menuju perubahan yang lebih baik seterusnya.

Pena Tumpul - Betulkan niat

Sunday, January 08, 2017

Menguap


"Logik kita tidak semestinya sama dengan syariat Allah. Sering kali apa yang kita fikirkan patut, tidak patut pada pandangan Allah"

Dalam apa juga keadaan, seorang Islam tidak boleh memandai-mandai dalam membuat keputusan. Baik kita sebagai isteri, suami, pemimpin ataupun rakyat, wajib merujuk kepada syariat dalam setiap perlakuan, keputusan dan pertimbangan. Kita sebenarnya tidak boleh memilih untuk bebas dari syariat.

Seperti kata seorang Ustaz yang didengar berbicara tentangnya pagi ini, pada setiap sekecil-kecil perkara hingga kepada sebesar-besarnya, hukum syariat yang lima - wajib (halal), haram, sunat, makruh dan harus sentiasa memantau kita.

Dia menggunakan contoh. Satu contoh yang sangat kecil. Bagi sesetengah orang, menguap hanyalah soal remeh. Tetapi sebenarnya tidak begitu. Menguap itu pun tertakluk pada lima hukum. Menguap boleh jadi wajib, boleh jadi haram, sunat, makruh atau harus. Bagaimana ya?

Menguap jadi wajib sekiranya dengan tidak menguap boleh memudaratkan tuan punya badan. Katalah kita terlalu mengantuk... menguap adalah tindakan biologi seseorang yang mengantuk. Tetapi oleh kerana kita malu (di khalayak ramai atau di majlis-majlis tertentu), kita menahan diri untuk menguap sehingga ke tahap yang boleh memudaratkan (jatuh pengsan atau sakit kepala). Maka ketika itu wajib kita menguap. Wajib ertinya, perlu menguap dan diberi pahala. Sekiranya tidak menguap jatuh dosa.

Menguap jatuh haram sekiranya kita pura-pura menguap untuk menyakitkan hati orang lain. Katalah semasa mendengar satu ceramah, kita bosan dan benci pada penceramahnya. Lalu kita pura-pura menguap untuk ‘memberitahu’ penceramah kita benci atau bosan. Menguap ketika itu menjadi isyarat untuk ‘menghalau’ atau menyuruh si penceramah sakit hati dan berhenti. Pada waktu itu, menguap jatuh haram. Dibuat berdosa, ditinggalkan berpahala.

Menguap hukumnya sunat jika dilakukan mengikut sunnah Rasulullah, yakni dengan menutup mulut dan membaca taawwuz. Ketika itu berdoa kelihatan sopan dan tertib sekali. Bukan sahaja indah dipandang mata manusia, tetapi disukai oleh Allh. Dengan menguap seperti, hukumnya sunat. Sangat digalakkan dan diberi pahala.

Menguap hukumnya harus dalam mana-mana posisi tubuh. Harus menguap dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring. Tidak semestinya menguap mesti dalam keadaan duduk. Ertinya, boleh menguap dengan ‘gaya bebas’. Harus hukumnya.

Menguap jatuh makruh sekiranya dilakukan tanpa sopan misalnya membuka mulut lebar-lebar tanpa menutupnya. Hingga dengan itu kelihatan begitu buruk dan cela dipandang orang. Allah tidak suka cara menguap begitu. Kebencian Allah ke atas perkara-perkara makruh, walaupun tidak berdosa, tetapi elok sangat ditinggalkan. Malah, jika ditinggalkan berpahala pula.

Ketika kita ingin bebas kita sebenarnya terbabas!

Pena Tumpul - Sangap atau menguap?

Wednesday, January 04, 2017

Usir

Saya mengusir keluar seorang pelajar lelaki ketika saya menyampaikan kuliah  "Organizational Behaviour" awal pagi ini. Pelajar ini menangkurkan kepalanya di atas meja dan tidor. Saya amat sakit hati dengan perlakuan begini. Pada saya mesej yang disampaikan tanpa lisan lebih mengguris hati. Pelajar ini tidak menghormati saya yang sedang bercakap di depan. Ketika pelajar-pelajar lain nampaknya semacam tekun mendengar dia wewenang sahaja tidor.

"You, the boy who is sleeping, you get out of my class right now. I dont want to see you here.!" Dia bangun tersipu dan meninggalkan kelas. Kuliah saya yang sepatutnya tamat sekitar 9.50 pagi saya tamatkan 20 minit lebih awal. Saya beritahu para pelajar bahawa saya sudah hilang "mood" untuk meneruskan kuliah saya. Saya amat tersentuh. Saya sudah berdepan dengan keadaan begini banyak kali namun saya boleh bertahan. Tetapi pagi ini kesabaran saya bagaikan cuba dicabar.

Pertemuan kali pertama yang saya harapkan lebih daripada memuaskan sebaliknya amat mengecewakan. Kehadiran pelajar lelaki tidak sampai pun 10 orang! Dan yang datang bagaikan dipaksa untuk datang.

"Pelajar seperti kamu datang dan pergi silih berganti. Saya tetap disini. Kalau kamu fikir kamu sudah pandai dan tidak perlu datang ke kelas, terpulang. Saya tidak rugi apa-apa!" Kesabaran saya memang sudah tidak dapat dibendung lagi apabila letusan perkataan yang agak pedas saya hamburkan untuk hinggap ke telinga mereka. Pada saya kehadiran walau seorang pelajar yang murni niatnya dan sepenuh hati lebih baik daripada kehadiran ratusan pelajar tetapi hati bercelaru dan menerawang entah ke mana dan cuma menyakitkan hati sahaja.

Kesabaran saya tidak dapat dibendung lagi.

Pena Tumpul - Geram

Tuesday, January 03, 2017

Ikhlas


Adakalanya dirasakan mengikhlaskan niat dalam sebarang urusan merupakan perkara yang paling sukar untuk dilakukan. Kadang-kadang, sebagai contoh, hati berperang dengan perasaan; patutkah kita bersedekah dekat masjid lepas solat? Orang ramai, kawan pula duduk sebelah, nanti dikata macam nak menunjuk pada orang yang kita baik, walaupun jauh di lubuk hati kita sememangnya amat ikhlas melakukannya!

Walaupun bisikan tu datang sekejap sahaja, namun ia sempat mengganggu niat dan keikhlasan kita. Dugaan yang kecil sangat. Itu belum lagi bila berkaitan dengan hal-hal kekeluargaan. Ikhlas tidak kita berbakti pada adik-adik, bantu emak dan ayah? Ia menerjah sekali sekala. Mampukah kita membuang perasaan itu jauh-jauh?

Ada yang menyarankan agar diteruskan sahaja amalan baik kita walaupun hati kita masih “berperang” antara ikhlas ataupun tidak. Jangan tunggu, hati benar-benar ikhlas baru nak dilaksanakan kebaikan. Justeru ikhlas juga dicapai bertahap, melalui jalan mujahadah. Bila rasa yang negatif “menyerang” tepis, datang lagi tepis… singgah sekejap di hati tidak mengapa, tetapi jangan biarkan rasa negatif itu menetap lama.

Seperti yang selalu disebut orang, seperti kita belajar naik basikal masa kecil-kecil dulu. Bukankah kita pernah jatuh, bukan sekali, malah berkali-kali… Apa jadi kalau kita terus berhenti belajar kerana takut jatuh? Insya-Allah, kalau begitulah, sampai hari ini kita tidak pandai naik basikal. Betul tak? Tapi kerana kita terus belajar walaupun jatuh berkali-kali, hari ini kita dah pandai naik basikal. Mudah, namun perlu beserta sabar.

Pagi ini lewat ceremah di corong radio, saya sempat mendengar seorang Ustaz  berkongsi kisah yang cukup menarik tentang ikhlas.
Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas,” kata seorang guru kepada muridnya.
Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“Mari kita ke pasar!”

Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan. Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
Cukup?”
“Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
“Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?
“Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?”
“Ya, ya…” kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.
“Banyak beli barang,” tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
“Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli,” bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
“Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,” kata orang yang lain.

Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
“Oh, letih sungguh… apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?”
Tak buat apa-apa.”
“Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,” balas anak murid.
“Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas…”
“Bagaimana?” tanya anak murid itu kehairanan.

“Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal.”
“Dengan memikul batu-batu ini?”
Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu…”
“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
“Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat…”
“Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar murid itu.

Ramainya manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang!

Pena Tumpul - Hanya kita yang tahu kita ikhlas atau tidak

Sunday, January 01, 2017

Azam

Tahun baru menjelma lagi. Pantasnya masa beredar. Pejam celik, 365 hari sudah kita lalui tanpa kita sedari.  Selain daripada umur yang sudah meningkat, kita mungkin terkenang apakah kejayaan yang telah kita kecapi sepanjang tahun 2016 lalu. Kalau azam 2016 sudah tercapai, Alhamdulillah. Kita bersyukur. Namun jangan hanya bersyukur, perlu juga difikirkan bagaimana kejayaan itu boleh diulangi. Jika ia tidak boleh diulangi, ia akan jadi kejayaan tidak sengaja. Kejayaan tidak sengaja selalunya tidak kekal dan jarang dapat dinikmati dalam jangka masa yang panjang.

Saya percaya ramai akan berbicara tentang azam tahun baru. Saya juga ada  azam. Semua orang ada azam.Saya cuma ingin luahkan tentang satu perkara sahaja iaitu tentang ‘pendekatan’.Jika kita mahu makan nasi, ada banyak caranya, Kita boleh masak, kita boleh beli atau kita boleh minta sesiapa berikan. Dalam tiga cara ini pula ada cara-cara lain yang tersendiri pula. Jika kita mahu masak, kita boleh masak pakai dapur kayu, masak pakai periuk elektrik atau pakai periuk kukus. Jika kita mahu masak guna periuk elektrik pula, kadang-kadang kita tidak ada periuk tersebut. Adakah usaha masak nasi akan gagal? Tidak juga. Mungkin boleh pinjam periuk nasi elektrik saudara mara atau jiran sebelah. Pendek kata, bagi setiap pilihan yang kita buat, ada bermacam-macam lagi pilihan lain yang wujud. Pelbagai pendekatan juga.Kalau pendekatan yang satu tidak membuahkan hasil, kita cuba pendekatan yang lain. Kita tidak perlu terikat dengan satu pendekatan saban tahun.

Jadi, hari ini, lihat semula senarai azam tahun 2016 kita. Cuba kita sama-sama fikirkan, adakah kita masih terfikir untuk gunakan cara yang biasa kita lakukan? Adakah kita berani lakukan sesuatu yang ‘completely different’. Apakah sesuatu yang dinamakan ‘completely different’? Ia adalah sesuatu yang mungkin kita tidak pernah lakukan sebelum ini. Ia juga mungkin sesuatu yang kita tidak berani lakukan sebelum ini. Namun untuk azam tercapai, ia mesti dilakukan juga.

Saya ucapkan selamat berjaya mencapai azam tahun 2017. Semoga tahun ini membawa lebih berkat, rahmat dan ketenangan dalam hati-hati kita semua.

Pena Tumpul - Azam nak jadi insan lebih baik dan lebih baik

83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...