Wednesday, December 24, 2014

Bah



Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Allah) di tempat kediaman mereka iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan kiri (kepada mereka dikatakan): “ Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”. Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun-kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Sidr. Demikianlah Kami memberi balasan kepada mereka karena kekafiran mereka. Dan kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang-orang yang sangat kafir.”
(Surah Saba’: 15-17)

Air bah yang kini melanda Kelantan dikatakan paling teruk sejak 1967.  Ia dikatakan lebih teruk daripada banjir-banjir sebelumnya. Malah ramai yang tidak menyangka banjir di negeri ini akan seburuk itu.Pahang dan Terengganu juga Perak turut terjejas.  Bahawa kejadian banjir ini adalah fitrah alam tidak siapa yang boleh menafikannya. Lalu, jangan sekali-kali kita menyalahkan Tuhan. Sepatutnya bersyukur dengan apa yang berlaku. Namun yang paling penting mengutip pengajaran daripada kisah-kisah lalu, untuk menguatkan lagi keimanan.

Kita di khatulistiwa ini mengalami cuaca panas dan hujan, yang berlaku tidak menentu. Secara umumnya, musim panas sekitar April hingga September, manakala tengkujuh, pada November hingga Februari. Itulah hukum alam yang telah berlaku secara tetap kepada planet bumi ini. Maka, mahu tidak mahu kita perlu menerima putaran musim yang berlaku akibat daripada faktor alam tersebut. Itu kerja Tuhan. Kita kena akur.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman.” (al-Jaathiyah: 3)

Jauhkanlah daripada menyesali atau menangisi apa yang terjadi kerana memang Allah telah menetapkan semua ini. Kalau kita berasa gembira dengan adanya siang dan malam, angin yang bertiup ketika hari panas, embun yang menyegarkan pagi, pokok yang menyubur selepas hujan, buah yang ranum dan sedia dipetik pada musim panas, bunga-bunga yang menguntum pada musimnya, mengapa hendak dimarahi alam dan Tuhan apabila diturunkan hujan lebat dan banjir?

Allah Maha Adil, maka kita juga perlu bersikap adil kepada-Nya. Allah Maha Penyayang, maka kita akan lihat betapa semua ini berlaku sebagai tanda kasih dan sayang-Nya. Maka, bersikap husnuzanlah (bersangka baik) kepada Allah.

Kita patut bersyukur justeru kalau dilihat dari sudut fakta dan sejarah, kita tidak akan berjumpa nama Malaysia dalam rekod banjir paling buruk dalam sejarah dunia.

Rekod terburuk (yang sempat didokumenkan dalam sejarah manusia, selain banjir besar Nabi Nuh) ialah banjir besar di Yellow River, China pada 1931. Ia memakan sejuta hingga 3.7 juta korban!

Banjir kedua terburuk di planet bumi, juga di Yellow River, pada 1887 yang menyebabkan 900,000 hingga 2 juta nyawa manusia melayang. Ketiga terburuk, masih di Yellow River, pada 1938, bila mana 500,000 hingga 900,000 orang mati lemas dan hilang ditelan bumi. Kira-kira 300 tahun sebelum itu, iaitu pada 1642, seramai 300,000 orang telah terbunuh dalam satu banjir besar, juga di Yellow River!

Kelima, ialah di Sungai Ru, China, pada 1975 (230,000 terkorban). Keenam, banjir di Sungai Yangtze, China (pada 1931, 145,000 orang terbunuh). Bagaimana pula dengan banjir ketujuh terburuk? Ia dicatatkan pada 1099 yang mengorbankan kira-kira 100,00 orang di England dan Holland.

Banjir kelapan terburuk berlaku di Holland pada 1287, memakan korban 500,000 nyawa manakala yang beraku di Sungai Neva, Rusia pada 1824 pula mengorbankan 10,000 orang. Kesepuluh terburuk terjadi di Belanda pada 1421 (10,000 orang meninggal dunia).

Ertinya, enam banjir terburuk berlaku di China. Jumlah korbannya pula ialah 7,275,000 orang!

Bagaimana pula di Malaysia? Setakat ini, banjir paling dahsyat direkodkan berlaku pada 1971. Hampir semua negeri terlibat dan hujan selama seminggu telah menenggelamkan sebahagian besar Kuala Lumpur. Jumlah korban yang direkodkan ialah 57 orang. Saya ingat sangat ketika banjir besar ini saya termasuk dalam parit dan hampir lemas! Air naik begitu pantas. Saya masih juga ingat di dokong Tok Uda (Allahyarhamah) pada malam itu merandai air ke pusat pemindahan. Kampung ancup bila air naik setinggi 13 kaki.

Kita masih beruntung. Jumlah korban tidak seteruk di China yang telah meragut jutaan nyawa. Bersyukur kepada Allah kerana tidak menimpakan ujian yang sebegitu besar kepada kita. Syukur juga kerana kita tidak mempunyai sungai dan muka bumi yang berbahaya seperti di China.

Umumnya semua sudah arif dengan kisah kaum Nabi Nuh dan Saba’ yang ditimpa banjir besar kerana berpaling dari agama Allah, seperti yang tercatat di dalam al-Quran. Ia pengajaran buat kita sebenarnya. Kita perlu mengakui bahawa kita telah berpaling daripada suruhan Allah, yang memerintahkan kita supaya jangan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.

Lalu berhentilah daripada melakukan kerosakan kepada alam. Berhentilah daripada menggondolkan gunung sesuka hati, membuang sampah sarap ke dalam sungai dan parit, atau menebang hutan secara haram, mahupun mengorek pasir dan tebing sungai dengan sewenang-wenangnya tanpa kawalan.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)…” (ar-Ruum: 41)

Moga kita belajar sesuatu yang berguna dari kejadian ini!

Pena Tumpul - Allah Maha Mengetahui

Monday, December 22, 2014

Hujan

Langit di Segamat pagi ini tidak  cerah lagi.  Mendung dan sugul. Matahari pun segan-segan untuk memancarkan sinarnya. Hujan sekejap lebat sekejap renyai, berhenti dan hujan lagi. Fenomena biasa hujung tahun. Air sungai semakin menaik malah sudah ada yang melimpah dan memuntah di bahu jalan. Sejuk dan dingin. Petanda bahawa Segamat bakal banjir lagi.

Nampaknya Segamat sinonim dengan banjir. Segamat sering dikaitkan dengan banjir besar. Beberapa siri banjir besar terdahulu memberi peringatan dan pengajaran cukup berguna kepada warga Segar Amat ini untuk tidak lalai dan alpa. Saya melihat mereka memang sudah belajar dari pengalaman hitam masa lalu. Lori-lori berisi muatan ulang alik memindah barangan ke tempat yang agak selamat. Khabarnya, pengusaha pasar raya juga sudah mula memindahkan malah mengosongkan sedikit demi sedikit barang jualan. Mereka tidak mahu kerugian lagi. Premis-premis perniagaan juga dilihat meletakkan guni-guni pasir sebagai benteng penahan air di depan pintu utama. Satu langkah pencegahan yang bijak walaupun tidak terjamin keberkesanannya. Siapalah kita untuk melawan kehebatan air ciptaan Tuhan!

Di atas segala-galanya mohon kita kepada Allah agar bumi Segamat tidak banjir lagi!

Pena Tumpul- Berat mata yang memandang, beratlah lagi bahu yang memikul

Wednesday, December 17, 2014

Bola

Saya ingat-ingat lupa kali terakhir saya duduk depan tv tanpa ganjak menonton perlawanan bola. Yang pasti ia sudah amat lama. Kehebatan penggila bola berjaga sampai pagi menunggu perlawanan bola di tv tentunya amat menghairankan saya. Saya tidak pernah terpanggil pun untuk bersengkang mata duduk berjam-jam depan tv bersorak sorai bagaikan penonton fanatik yang hilang arah. Sekali sekala bertindak bagaikan jurulatih di depan tv. Hebatnya pukauan sebuah bola bulat ini yang dikerutung 22 pemain dan meralibkan jutaan penonton seluruh dunia.

Semalam saya kecundang bila turut sama menumpang keghairahan, keseronokan, keterujaan bersama Haziq dan isteri untuk satu perlawanan bola yang dinanti jutaan rakyat Malaysia. Saya mempersendakan Haziq dan mamanya yang sejak beberapa minggu lalu dijangkiti demam bola yang tidak kebah-kebah. Dua jam saya berada dalam kasut peminat bola. Saya rasa apa yang mereka pernah dan sudah lama mereka rasa. Rasa seronok berselang seli rasa tertekan, cemas, debar, geram dan sekali sekali sorakan yang tidak terkawal mengasak telinga.

Dua jam saya terpaku di depan tv tidak berbaloi di penghujungnya. Kesebelasan Malaysia tumpas di tangan Thailand. Pemain Malaysia gagal menyaingi ketangkasan pemain muda Thailand lantas tumpas 2-0. Saya melihat corak pemain kita masih lagi corak permainan 20 tahun dulu. Hantaran panjang sudah tidak sesuai lagi sekarang. Corak permainan Thailand yang terkedepan dengan hantaran pendek yang kemas melonglaikan pemain kita.

Kecewa!

Pena Tumpul - Mana pemain muda kita?

Monday, December 15, 2014

Kembali

Satu demi satu bintang yang pernah menyinar dalam dunia filem negara kembali menemui Penciptanya. Awal pagi ini kita kehilangan sebutir lagi bintang dengan perginya Seniman Mustafa Maarof di usia 79 tahun. Seniman yang bersuara lunak dan lembut dalam filem lakonannya ini adalah sebarisan pelakon era hitam putih yang sangat menarik perhatian saya. Saya tidak dapat menahan rasa sedih bila mendengar berita kematiannya pagi ini.

Antara filem lakonan beliau yang sangat memberi kesan ialah watak yang dibawanya sebagai Deli dalam Seri Mersing berganding dengan Nordin Ahmad. Penampilannya dalam Sultan Mahmud mangkat dijulang juga bersama dengan Nordin Ahmad sangat menarik. Kekuatannya terletak pada kelunakan suaranya, lembut namun tegas. Tidak ramai pelakon memiliki suara lunak sepertinya. Lakonannya dalam Naga Tasik Chini juga tidak kurang hebatnya.

Saya melihat bintang-bintang era filem hitam putih bagaikan sudah tiada lagi yang tinggal malah boleh dibilang dengan jari. Antara yang masih tinggal ialah Rosnani, Wahid Satay, Mat Sentol, Dayang Sofia,Suraya Harun dan beberapa lagi. Hanya filem mereka sahaja yang tinggal untuk tatapan kita mengimbau kenangan lalu.

AlFatihah untuk Mustafa Maarof!

Pena Tumpul - Suka tonton filem lama dan tidak pernah jemu

Tuesday, December 02, 2014

Hilang

Sejak beberapa hari minggu kebelakangan kecenderungan untuk menulis walau pun sebaris dua di blog ini dirasa amat sukar dan berat sekali. Banyaknya yang ingin dicoretkan namun saya dibelenggu rasa yang sukar untuk dijelaskan. Saya tidak tahu entah di mana tersangkutnya semangat yang dulu. Rasa malas. Lesu dan tidak bermaya. Ranap dan punah. Kosong dan hambar. Pelbagai.  Menujah rasa dan membelasah minda.

Sama ada saya kehilangan sesuatu atau sedang mencari sesuatu, itu tidak pasti.

Pena Tumpul -  Hanya Jauhari yang mengenal manikam

Monday, December 01, 2014

Jujur

Sikap jujur dalam tindakan dan usaha merupakan sikap yang amat bermakna. Kejujuran memberikan kekuatan biar pun memberi kesusahan kepada diri sendiri. Kisah seorang kanak-kanak ini yang dipanggil Denkoyang terpilih untuk menjadi pengganti maharaja  boleh membuatkan kita berfikir betapa pentingnya kejujuran.

Ceritanya begini. Seorang maharaja di negara sebelah Timur semakin meningkat umur dan sudah sampai masanya untuk memilih pengganti yang layak bagi memerintah kerajaannya. Baginda membuat keputusan untuk membuka pencalonan kepada rakyatnya di seluruh negara dan tidak mempedulikan penolong atau anak-anaknya sendiri. Maharaja ini mahu melakukan sesuatu yang berbeza!

Pada suatu hari, baginda memanggil anak-anak muda yang pintar, cerdas dan terpilih datang ke taman istana kerana mahu melihat bakal-bakal pewaris takhta. Katanya,“Sudah sampai masanya beta turun dari takhta dan memilih maharaja yang baru. Beta telah merancang untuk memilih salah seorang daripada kamu yang ada di sini, wahai anak-anak muda.”

Kanak-kanak ini terkejut termasuklah Denko.

Tetapi maharaja meneruskan titahnya, “Beta akan memberi anak benih kepada kamu semua pada hari ini ... sangat istimewa. Beta mahu kamu menanam biji benih ini, siram dengan air dan jaga betul-betul. Setahun dari sekarang, kamu datang semula ke sini. Beta akan memilih tanaman yang kamu bawa dan beta juga akan memilih salah seorang daripada kamu untuk menjadi maharaja.”

Seorang kanak-kanak yang bernama Denko ini sangat seronok menerima bijih daripada maharaja dan pulang ke rumah lalu menceritakan kepada ibunya apa yang harus dilakukan.

Ibu menyediakan pasu bunga dan mencari tanah yang sesuai untuk mempastikan biji benih ini dapat tumbuh dengan baik.

Setiap hari Denko akan menyiram pasu bunga dan hatinya sentiasa teruja untuk melihat biji benih tadi tumbuh.Tiga minggu telah berlalu, kawan-kawannya yang lain mula bercakap mengenai biji benih masing-masing yang mula tumbuh. Denko sentiasa memeriksa biji benihnya tetapi tidak ada tanda-tanda hendak membesar atau mengeluarkan tunas. Tiga minggu, empat minggu, lima minggu telah berlalu tetapi tidak ada apa-apa.Sehingga sekarang, rakan-rakannya yang lain bercakap tentang pokok masing-masing yang telah membesar, merimbun dan sangat cantik tetapi Denko telah menyalahkan dirinya kerana membunuh biji benih maharaja. Dia menyesal.

Enam bulan berlalu,Denko masih terkial-kial dan berasa malu dengan rakan-rakan setiap kali ditanya apa yang berlaku pada pokoknya. Denko diam sahaja tetapi terus berharap ada pokok yang akan tumbuh nanti.

Sampai genap setahun, anak-anak muda yang diberi tugasan oleh maharaja perlu kembali mengadap baginda untuk mempersembahkan hasil masing-masing. Denko memberitahu ibunya yang dia keberatan untuk pergi kerana pasu bunganya kosong, biji benih tak mahu hidup!

Seorang ibu yang baik menasihati anaknya. “Pergilah, awak mesti jujur dan beritahu apa yang telah berlaku”.  Denko tahu ibunya betul lalu dia mengambil pasu bunga dan beredar ke istana maharaja.

Apabila Denko sampai ke taman istana, dia terkejut kerana melihat pelbagai jenis pokok yang berwarna-warni. Cantik dan menarik.Denko meletakkan pasu bunganya yang kosong.

Kah! Kah! Kah! Semua rakannya ketawa. Mana pokoknya?

Denko menundukkan kepala dan mulai risau apabila maharaja berangkat untuk melihat hasil bakal maharaja, pemegang amanah negara. Dia memilih untuk berada di belakang rakan-rakannya yang lain kerana takut maharaja murka.

Apabila berada di hadapan pokok bakal maharaja, baginda terkejut. “Pokok apa yang telah kamu tanam ni, macam-macam jenis. Tapi tak mengapa. Hari ini beta akan memilih bakal pengganti beta.”

Semua pasu bunga bakal maharaja ada pokok masing-masing kecuali Denko.Dari celah-celah rakan-rakannya, Denko dipanggil ke hadapan oleh Maharaja.

Hati Denko semakin bergetar. “Mahu aku dibunuhnya kerana aku telah gagal!”

“Siapa nama kamu?” tanya Maharaja.

"Denko" Ketika ini rakan-rakannya mula ketawa. Lucu.

Maharaja mula merah mukanya dan meminta semua sekali diam. Bukan masanya untuk berjenaka dan bergelak ketawa.

Baginda melihat ke arah Denkodan membuat pengumuman kepada yang hadir.“Inilah maharaja yang baru, namanya Denko!”

Denko  tidak percaya. Macam mana dia boleh menjadi maharaja? Biji benihnya tak pernah tumbuh?

Maharaja seorang yang bijak. “Setahun yang lalu, beta telah memberi setiap orang bakal pengganti beta sebiji benih. Beta menyuruh kamu menjaga biji benih ini dengan baik, menyiramnya dan bawa balik kepada beta pada hari ini. Tetapi tahukah kamu apa jenis biji benih tersebut? Ia telah dimasak dengan air panas dan tidak akan tumbuh. Apabila kamu dapati biji benih ini tidak tumbuh, kamu gantikan dengan yang lain. Jadi, pada hari ini hanya Ling seorang yang berani membawa pasu bunga kosong kepada beta. Oleh itu, beta memilih Ling sebagai maharaja baru!”



Bersikap jujur memang sangat berbaloi buat Denko!


Pena Tumpul - Jika menanam kejujuran, kita akan mendapat kepercayaan.

Sunday, November 30, 2014

Ragam


Di luar lingkaran bilik kuliah, banyak yang saya tidak tahu tentang pelajar. Umumnya, pengetahuan saya tentang pelajar berlegar dalam konteks yang terlepas dari daerah peribadi. Saya perlu sangat peduli tentang kehadiran pelajar ke kelas selain memastikan segala tugasan yang diberi dilunaskan. Selebihnya mengharapkan ilmu yang dititis sempurna tercerna dan akhirnya dimanifestasi cemerlang di slip keputusan peperiksaan. Itu sahaja. Saya tidak pernah dijolok minat untuk mengetahui lebih daripada itu apatah lagi yang menyangkut peribadi.Saya tidak perlu untuk peduli dan endah pun.

Namun hari ini menyaksikan saya berdepan dengan dua orang pelajar yang menemui saya bercakap tentang peribadi selain seorang lagi yang meninggalkan saya dalam keraguan dan persoalan yang tidak terjawab sampai kini. Seorang pelajar ini marayu-rayu meminta belas diberi lebih masa untuk menyiapkan tugasannya. Dia mempersembahkan bahan bukti yang cukup bodoh dan membodohkan. Surat yang menerangkan masalah yang dihadapinya yang kononnya difaksimilikan oleh bapanya dari negeri bawah bayu dan ditulis oleh bapanya dipamer sebagai bukti. Dia tidak cukup bijak bila surat itu tiada bukti ia difakskan! Dan dia hendak mempersembahkan kepada seorang lagi pensyarah. Saya kata, jangan jadi bodoh dan membodohkan untuk kali kedua! Saya memberinya peluang. Selesai.

Namun kisah seorang pelajar ini meruntun hati. Pelajar perempuan yang menginap di luar kampus ini bekerja separuh masa untuk menampung perbelanjaan hariannya. Saya puji sikapnya dan kehebatannya melakukan dua peranan itu kerana tidak ramai yang mampu berbuat begitu.

Pelajar perempuan yang seorang lagi ini perlu hadir menemui saya dalam satu sesi "mock job interview". Berpakaian kemas dan sepatutnya. Saya mempersepsinya sebagai agak sosial sekurang-kurangnya dari pakaiannya ke kelas. Dia petah berbahasa orang putih. Saya kagum dan bangga. Anehnya, saya terhidu bau asap rokok yang datang entah dari mana. Saya tidak merokok. Saya bermonolog: mungkin wangian beraroma baru atau hidung ini yang tersumbat.Saya bersangka baik.

Saya masih dibaluti persoalan yang tidak lagi terjawab.

Pena Tumpul - Saya harap kisah-kisah itu terpencil

Wednesday, November 26, 2014

Klang

Saya selalu percaya pengajaran dan pembelajaran tidak hanya terhad dalam lingkungan bilik kuliah semata-mata. Sesekali para pelajar perlu diberi ruang dan peluang untuk mengembangkan sayapnya dan meluaskan pandangannya. Sekaligus menterjemahkan apa yang diperoleh dalam kelas dalam bentuk amalan dan tindakan di lapangan.

Saya berkesempatan turun padang bersama lebih 100 orang pelajar menawarkan khidmat tenaga secara sukarela di Majlis Perbandaran Klang (MPK). Aktiviti yang dilakukan memang menyeronokkan. Kami sama-sama menanam bunga di Pengkalan Batu selain daripada mengecat gerai-gerai yang disewakan oleh MPK.

Saya lihat ada juga yang kekok memegang cangkul. Malah tidak tahu buat batas juga. Ini tidaklah menghairankan sangat kerana remaja kini bukan macam zaman remaja kita. Mereka mungkin tidak pernah ada peluang untuk "menanam" di laman rumah. Barangkali tiada laman atau semuanya dilakukan oleh tukang kebun. Mereka tidak boleh disalahkan kerana mereka lahir ketika aktiviti "bermain tanah" tidak begitu penting berbanding bermain dengan papan kekunci komputer. Mereka mungkin lebih selesa berkebun di dunia maya seperti "Farmville" agaknya.

Pun begitu saya sangat puas hati dan bangga dengan kesungguhan mereka. Cukup bekerjasama juga. Ia mencerminkan watak peribadi mereka. Memang inilah yang hendak dibentuk pun dalam subjek "Personal Development and Ethics" ini. Membentuk semangat setiakawan, jati diri, tanggungjawab dan nilai-nilai murni yang luhur. 

Sehari bersama MPK makin seronok bila layanan juga hebat dan makanan juga sedap!

Pena Tumpul - Seronok juga dapat jumpa Khairul Azhar staf MPK yang pernah popular dalam sitcom Santan Berlada tidak lama dulu

Tuesday, November 25, 2014

Soalan

Saya ingin berkongsi anekdot yang sangat menarik ini yang saya petik dari sebuah majalah.Ia tentang soalan yang diajukan kepada seorang ulamak berkaitan iman. Soalan ini benar-benar mencabar minda dan bukan calang-calang hendak diberikan jawapannya.

Dalam satu majlis ilmu,ada yang bertanya soalan kepada seorang ulamak,"Kalau Allah Maha Pencipta,mampukah Allah mencipta satu batu yang Dia sendiri tidak mampu mengangkatnya?"

Ulamak hebat ini sangat bijak menjawab dengan bertanya semula kepada orang yang bertanya soalan tadi,"John seorang lelaki. Dia melahirkan seorang anak. Anaknya lelaki atau perempuan?"

"Err.,lelaki", jawab si penanya dengan ragu-ragu. Ulamak itu membalas jawapan penanya itu, "Hei, ini John yang melahirkan! Dia lelaki. Jadi anaknya lelaki atau perempuan?"  "Err..perempuan," jawab sipenanya masih keliru.  Semua yang hadir ketawa.

Ulamak ini menempelak sipenanya itu, "John seorang lelaki,dia tidak melahirkan anak. Soalan pun tidak logik. Mana mungkin ada jawapan yang betul untuk soalan begitu".

Pena Tumpul - Suka cara Ustaz Kazim jawab soalan

Tuesday, November 18, 2014

Singki

Saya selalunya tidak dapat bertahan lama setiap kali melihat singki yang penuh dengan pinggan mangkuk yang tersadai minta dibasuh. Lantas, selalunya juga saya tidak akan menunggu orang lain untuk menyelesaikannya. Saya percaya semua orang baik lelaki atau pun perempuan suka apabila melihat singki dapurnya kosong sewaktu mereka masuk ke dapur. Singki yang penuh dengan pinggan, mangkuk yang belum dicuci membuatkan sehabagian besar daripada kita tertekan kerana ia memang menyemakkan mata yang memandang.

Memandang singki yang kosong memang sangat menenangkan. Begitu juga rumah yang hanya, ada barangan keperluan untuk hidup membuatkan kita juga tenang dan tidak berserabut fikiran. Sebenarnya banyak barangan yang menambah stres yang sudah berjaya memasuki ke dalam rumah kita gara-gara sudah dikuasai sindrom takut nanti apa orang lain kata.

Barangan hiasan, almari pinggan mangkuk di ruang tamu, hiasan dalam bilik dan barangan yang tidak perlu di dapur adalah kos-kos yang membuatkan duit sebahagian daripada kita semakin berkurangan dan membebankan hidup kita. Kadang-kadang dibeli untuk sekadar perhiasan dan jarang digunakan pun.

Rumah yang sedap mata memandang, adalah rumah yang umpama singki dapur yang kebanyakan masa adalah dalam keadaan kosong kecuali sewaktu memasak dan sebagainya.


Pena Tumpul - Suka cuci pinggan kerana tidak suka singki penuh








Monday, November 17, 2014

Jawapan

Kenapa cat biru? Kenapa tidak warna lain?

Kita pastinya sering tertanya mengapa terjadi itu dan ini. Kenapa juga sesuatu itu begitu dan tidak begini. Kenapa ada orang yang senang dan ada juga yang susah. Kita tidak perlu pergi jauh untuk menjawab segala persoalan yang bermain di kepala itu sebenarnya. Baca tafsir AlQuran dan di dalamnya Allah sudah siapkan jawapan untuk kita. Allah telah menyediakan jawapan-jawapan itu sejak 1400 tahun yang lalu lagi kerana    Maha Mengetahui perangai hambaNya yang suka bertanya soalan yang sama.

Antara soalan-soalan yang selalu sangat kita tanya ialah soalan-soalan di bawah ini.


 Soalan 1: Kenapa Aku Diuji?
Al Quran Menjawab:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan , kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut ayat 2-3).

Soalan 2 : Kenapa Aku Tidak Dapat Apa Yang Aku Idam-Idamkan?
Al Quran Menjawab: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah al-Baqarah ayat 216)

Soalan 3: Kenapa Ujian Seberat Ini?
Al Quran Menjawab: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
(Surah al-Baqarah ayat 286)

Soalan 4: Kenapa Kita Rasa Kecewa?
Al Quran Menjawab: "Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman".
(Surah Ali Imran ayat 139)

Soalan 5: Bagaimana Harus Aku Hadapi Kesusahan Ini?
Al Quran Menjawab: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat , dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".
(Surah al-Baqarah ayat 45)

Soalan 6: Kepada Siapa Aku Berharap?
Al Quran Menjawab: "Cukuplah Allah bagiku , tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal".
(Surah at-Taubah ayat 129)

Soalan 7: Apa Yang Aku Dapat Daripada Semua Ujian Ini?
Al Quran Menjawab: "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin , diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka".
(Surah at-Taubah ayat 111)

Soalan 8: Aku Tidak tahan dengan ujian ini!
Al Quran Menjawab: "...dan janganlah kamu ber putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".
(Surah Yusuf ayat 87)

Soalan 9: Sampai bila aku Akan Merana?  
Al Quran Menjawab: "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan". (Surah al-Insyirah ayat 5-6)


Firman Allah maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".
(Surah Al-Hadid ayat 22)

Dalam Ayat yang lain Allah berfirman maksudnya :
"Tidak luput daripada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). "
(Surah Yunus ayat 61)


Pena Tumpul - Terus mencari jawapan lagi dalam kita suci ini

Saturday, November 08, 2014

Gagap

Lawak pendek namun tersirat pengajaran singgah di kantong  e-mail saya pagi ini. Cukup menarik
untuk dikongsikan. Bahawa apa pun kekurangan yang kita miliki sebenarnya ia adalah kelebihan dan kekuatan, bergantung bagaimana kita memanipulasinya.

Satu hari ada seorang lelaki gagap memohon jawatan menjadi jurujual buku…
Pa..pa…g.gi..en..en..cik

“Ya encik? Ada apa?”
“S..ss..saya….mmm..mmmahu mminnn takkk..kerrr..ja..ja..ja..watan jjjjjjuru jjjjual ennn..en..cikk,”

Yang normal, handsome dan cantik pun susah nak menjualnya..Awak yakin boleh jadi jurujual??”

Bbb..bb.boleh ennn..cikk,” jawabnya penuh yakin.

Dia berjaya memperolehi jawatan itu. Esoknya, belum sampai setengah hari, dia berjaya menjual 10 buku. Petang dibekalkan 20 buah buku,pun habis terjual semuanya.Begitulah seterusnya sampai buku tersebut laris dijual bagai goreng pisang panas.

Pada malam penyampaian anugerah,lelaki gagap tadi mendedahkan rahsia kejayaannya menjual buku.

“BiiaaSs…ssa jjjer, ss…saya cc..ccum…cuma… Ss..sa..saya..cc..cuma..tt..ta..tanya ssaja ke bbaa..kal pem…pemm..beli, An…anda mma..ma..hu bb…bbbeli..bbu..bu..ku ini atau… mma..mma..ma..hu..ss..sa..saaa ya ya …ba….. baca…. kan….. ??”

Dalam kelemahan ada kekuatan rupanya!

Pena Tumpul -Teringat ada jalan Siamang Gagap di Seremban

Saturday, October 18, 2014

Malaikat


"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik"

Sebuah kisah yang amat menyentuh rasa singgah di kantung e-mail saya hari ini. Saya melihat ia cukup menarik untuk dikongsi dan dijadikan iktibar. Kisah ini mungkin berlaku dalam perjalanan hidup kita namun tanpa sedar kita mungkin tidak mengendahkannya.

Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"
Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"


Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini"
Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"
"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.

"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut.

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu"
Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
"Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat".

"Itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Saya tak perlukan itu lagi".
"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"
Rahmat Allah tidak pernah kita duga dan jangka hadirnya!
Pena Tumpul - Sesekali dapat email sampah juga

Saturday, September 27, 2014

Bocor

Cuti hujung minggu yang pada perancangannya untuk dimanafaatkan bagi menanda kertas jawapan peperiksaan dan membersihkan kawasan rumah dipinggirkan buat sementara apabila teringat permintaan emak yang telah acapkali menyuruh saya membaiki atap rumah yang bocor. Tuntutan untuk membaikinya lebih mendesak berikutan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini ditambah lagi dengan hujan lebat yang mencurah-curah.

Dengan berbekalkan semangat suka melakukan sendiri saya menaiki atap rumah dan menghabiskan masa lebih kurang dua jam menampal dan meggantikan paku yang sudah longgar. Berpeluh juga duduk di atas atap lebih-lebih lagi melakukannya ketika cuaca panas terik. Namun keringat dan tenaga yang keluar berbaloi juga kerana selepas itu emak menyediakan sajian kegemaran saya iaitu rojak.


Saya berbesar hati dapat memenuhi permintaan emak pada hari ini. Pada saya, selagi kita boleh melakukannya sendiri, tidak perlulah kita mengupah orang untuk melakukannya kerana upahnya tentunya bukan sedikit. Kalau setakat paip bocor, pendawaian yang mudah rasanya kita sendiri mampu melakukannya!

Pena Tumpur - Kalau soalan peperiksaan bocor, itu tanda hati yang bocor

Friday, September 12, 2014

Photoshop

Hidung kemek boleh dijadikan mancung. Bibir pucat boleh diserikan. Muka yang kasar menggerutu boleh bertukar licin. Pendek kata wajah yang tidak nampak cantik dan tidak menarik boleh sahaja ditransformasikan untuk menjadi lebih cantik. Segalanya mungkin dengan bantuan perisian canggih dalam dunia teknologi digital kini.

Saya mengikuti bengkel sehari Photoshop hari ini dan didedahkan dengan teknik memanipulasikan gambar ini. Teknik "super-impose" menarik perhatian ramai peserta. Biasa kita lihat dan dengar bagaimana ramai yang menjadi mangsa apabila gambar mereka dieksploitasikan untuk tujuan tertentu melalui kaedah ini. Muka orang lain ditepekkan pada tubuh orang lain. Tanpa penilitian yang rapi dan kemahiran dalam perisian ini, gambar yang dihasilkan tidak nampak celanya pun. Di sinilah kita menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab. Justeru kita perlu berhati-hati bila memuat naik gambar milik kita di mana-mana laman sosial yang makin ramai pengikutnya sekarang.

Kalau ada artis yang di luar kedut sana dan sini tetapi  nampak licin mukanya di kulit majalah, jangan tertipu!

Pena Tumpul  - Segalanya mungkin dengan Photoshop

Monday, September 01, 2014

Tanyalah


“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya kami menciptakan kamu
untuk bermain –main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami ,maka maha suci ALLAH raja yang sebenarnya tiada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia” - (Surah AlMukminun : 115-116)

Petikan ayat suci Alquran ini diungkapkan oleh Ustaz Abu Hasan Din lewat program interaktif "Tanyalah Ustaz" di TV9 awal pagi ini. Beliau berbicara tentang solat dan sekali gus melayan pelbagai permasalahan bersangkutan dengan ibadat paling penting ini. Yang samar-samar menjadi jelas, yang ragu dan keliru tidak lagi bercelaru hasil huraian hebat Ustaz Abu Hasan. Saya kira program ini amat bermanafaat untuk dilepaskan begitu sahaja.

Selama sejam tanpa ganjak di depan tv saya sempat menghadam kupasan menarik tentang kepentingan solat. Tentang mereka yang dianugerah nikmat kesenangan oleh Allah namun enggan mengucapkan rasa syukur dengan mengingkari perintah supaya bersolat. Sengaja Allah memberi mereka nikmat kekayaan melimpah ruah dengan harapan mereka akan sedar dan bersyukur kepadaNya dengan mempamerkan perhambaan mereka dalam solat namun masih ada yang terus ingkar tetapi Allah lipat gandakan lagi kesenangan di dunia ini malangnya golongan yang meninggalkan solat ini tidak menyedarinya dan jadilah mereka golongan yang senang didunia tetapi sengsara di akhirat. Tentunya Allah tidak menjadikan hambanya di muka bumi ini sia-sia sahaja sebagaimana kita menanam sepohon rambutan yang diharapkan memberi hasil kepada kita pada akhirnya, buah yang ranum pastinya. Begitu juga harapan Allah terhadap hamba yang diciptaNya agar sujud tunduk kepadaNya. Namun Allah tidak sekejam manusia yang lazimnya akan mencantas tanaman yang tidak mendatangkan hasil! Analogi yang cukup menarik daripada Ustaz Abu Hasan Din.

Bahawa ada segelintir yang kelihatan sihat namun memilih untuk solat secara duduk juga turut ditegur beliau sacara sinis. Seorang yang masih mampu untuk berjalan ke masjid tentunya dilihat aneh untuk solat secara duduk sepenuhnya. Sepatutnya solat duduk akan lebih baik dimulakan dengan berdiri takbiratul ikhram dan disempurnakan secara duduk sehingga ke akhirnya. Persoalan muwafik dan masbuk yang kelihatannya remeh juga tidak terlepas dari perbincangan menarik tentang solat ini.

Ternyata kotak ajaib ini sumber ilmu yang paling berkesan melangkaui fungsi hiburan semata-mata.

Pena Tumpul - Malu bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar





Sunday, August 24, 2014

Derhaka

Saya tidak menyangka Haziq akan bertanya soalan begini kepada saya seusai sahaja solat Maghrib di masjid Gudang Garam tadi. "Ayah, Haziq tengok ada orang tu tidak pernah sembahyang pun, solat Jumaat tidak pernah tapi hidup dia senang pun. Pakai kereta mewah. Ada orang yang lain pulak, sembahyang tidak tinggal, suka tolong orang tapi tengok pakai basikal buruk aja. Tuhan tidak adil kan"

Saya cepat meningkah. Saya katakan kepadanya tidak timbul isu Tuhan itu adil atau tidak pada hambanya. Tidak wajar baginya untuk membuat telahan begitu. Saya faham Haziq bukan cukup arif untuk melihat di sebalik apa yang terpampang di depan matanya. Sebelum ini saya pun tercari-cari jawapan kepada apa yang kita sering lihat ini . Ia tinggal tidak berjawab pun sehinggalah seorang Ustaz yang tidak lokek ilmu ini membicarakannya tidak berapa lama dahulu.

Kata Ustaz ini, Allah menganugerahkan kelebihan dan keistemewaan kepada umat manusia dalam pelbagai bentuk seperti yang dikehendakinya. Ada diantara anugerah itu bukan kerana Allah menyayangi mereka pun tetapi lebih merupakan tanda kebencian sahaja.Dengan kata lain, Allah mahu mereka menjadi lebih sesat melalui kelebihan itu dan akhirnya tergolong di kalangan kaum yang tidak mendapat hidayah-Nya.

Itulah“istidraj". Ia merupakan anugerah Allah kepada hamba yang tidak diredai-Nya dan nikmat tersebut datang dalam pelbagai bentuk antaranya kuasa, kemewahan harta benda, kedudukan di sisi masyarakat, pengaruh serta pangkat.Istidraj hanya untuk golongan yang derhaka kepada Allah. Sebaliknya mereka yang menggunakan kelebihan sama ada kuasa, kemewahan, pengaruh dan pangkat ke jalan Allah, pasti beroleh kejayaan di dunia serta akhirat.

Manusia derhaka adalah mereka yang tidak mahu menunaikan suruhan Allah dan sering melanggar larangan-Nya. Mereka enggan menunaikan kewajipan sebagai hamba dan lebih malang, gemar memperlecehkan hukum agama. Mereka juga cenderung melakukan maksiat dan menzalimi orang lain.Golongan ini akan jauh daripada hidayah Allah. Mereka langsung tidak patuh dengan suruhan Allah.Mereka enggan bersolat dan mereka terlalu sayangkan harta hingga mengingkari suruhan menunaikan zakat walaupun mereka diberikan pelbagai bentuk kemewahan.

Rasullullah SAW pernah bersabda: “Apabila kamu melihat Allah Taala memberi nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”
Apabila berada pada kedudukan itu mereka masih mahu menaiki satu lagi anak tangga tetapi malangnya mereka akan jatuh kerana tiada lagi anak tangga selepas itu ,” kata Ustaz lagi yang merujuk kepada ketamakan golongan istidraj ini. Contoh manusia istidraj ialah Firaun, Haman, Qarun, Namrud dan Abu Jahal. Kesemua mereka diberikan kelebihan, kenikmatan dan kemewahan tetapi mereka mengingkari Allah. Akhirnya, mereka dibinasakan oleh Allah dan mati dalam keadaan yang amat hina.

Haziq nampaknya amat faham malah berdoa supaya tidak sampai tergolong dalam golongan istidraj yang derhaka ini. Saya kata padanya jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah dia katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj.

Pena Tumpul -Kekayaan boleh dicari namun demi keredaanNya

Tuesday, August 19, 2014

Buruk


Seorang peraih barang-barang buruk berhenti di depan rumah bertanyakan jika ada barang buruk yang boleh dijual. Sasaran utamanya ialah besi buruk walaupun dia juga mencari plastik buruk. Pucuk dicita ulam mendatang. Besi buruk memang sudah lama terdampar di belakang rumah. Di guna tidak boleh, hendak dibuang sayang pula. Akhirnya, nasib besi buruk yang tidak menentu terbela juga di tangan peraih besi buruk.

Haziq paling gembira kerana hasil jualan barangan buruk ini milik dia sepenuhnya. Dia ingin menambah sesuatu pada motornya. Tidak sangka barangan buruk pun masih lagi bernilai rupa di mata orang lain. Buruk pada kita tidak semestinya pada orang lain. Hodoh di mata kita tetapi mungkin sangat cantik di mata orang lain pula.

Kain buruk pun masih ada nilainya, sekurang-kurangnya buat mengesat air mata.

Pena Tumpul - Biar buruk dipandang mata, hati yang suci menjadi sanjungan

Monday, August 04, 2014

Hipokrit


"Baiknya budak ni, sesuai benar dijadikan menantu", kata Pak Lurah yang cukup tertawan dengan anak muda yang berkunjung ke rumahnya hari raya lepas. Huluran salamya tersusun rapi penuh beradab.Mudahnya terpesona tanpa disedari pun oleh Pak Lurah itu cuma sekadar lakonan paling hebat Mantoba untuk memikat anak gadisnya. Si kucing biang sedang berlagak alim rupanya!

Rasulullah saw bersabda :
"Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas " [Hadith Sahih Riwayat Muslim]

Sifat munafik ini boleh sahaja dikaitkan dengan sifat hipokrit (seperti sejenis binatang sesumpah) atau sifat talam dua muka atau musang berbulu ayam atau berpura-pura jujur Seorang yang bersifat telunjuk lurus kelingking berkait atau pepat di luar runcing di dalam. Bercakap manis namun bohong dan dusta semata-mata. Mulut manis bak gula namun jauh di sudut hati pahit bagai hempedu. Pandai sangat menyusun kata-kata sehingga orang boleh percaya dan termakan dengan kata-katanya. Juga cukup hebat dalam berjanji tetapi senangnya pula untuk memungkirinya. Kalau berbalah, sentiasa berhasrat untuk menang walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah. Malah kata-kata yang dihamburkan cukup kesat dan disulami dengan ungkapan carut yang tidak cukup enak didengar.

Dalam bahasa yang paling mudah untuk difahami cakap tidak serupa bikin. Lain yang dicakap lain pula yang dibuat. Di depan kita pijak semut pun tak mati, namun di belakang gajah yang sebesar itu pun penyek dihempapnya. Zahirnya memikat, batinnya menyengat. Berkawan dengan orang hipokrit begini kena cukup waspada. Ada kemungkinan besar kita akan ditikam dari belakang untuk memenuhi agenda tersembunyinya.

"Hati busukkkkkk!", begitu kata-kata P.Ramlee lewat filem Anak Bapak.

Pena Tumpul - Pernah terkena

Friday, July 25, 2014

Sayu

Emak menyatakan rasa sedih dan sayunya sebaik sahaja kami selesai berbuka puasa malam tadi. Kesedihan emak bersebab kerana Ramadan semakin hampir untuk berlalu dan mengucapkan selamat tinggal. Hari-hari yang berbaki untuk berpuasa semakin menguncup. Tetamu yang mulia ini akan pergi dan pasti akan kembali lagi.

Setiap kali Ramadan berarak pergi, setiap kali itulah emak begitu sejak beberapa Ramadan yang lalu. Emak kata, arwah ayah yang sudah 10 tahun meninggalkan kami juga selalu sedih begitu setiap kali Ramadan berada di penghujungnya.

Emak tidak keseorangan sebenarnya.Saya juga berkongsi rasa dengan emak. Malah sesiapa pun yang merasai kelazatan berpuasa akan berasa sayu begitu. Seperti kata Ustaz, kalau terbit rasa sayu bukan kepalang untuk berpisah dengan Ramadan itu tanda peningkatan iman berlaku dalam diri.

Seperti seorang kekasih, Ramadan memang selalu diharap-harap kedatangannya. Rasanya tak ingin berpisah sekalipun cuma sedetik. Begitulah Ramadhan seperti digambarkan sebuah hadits yang diriwayatkan Ibnu Khuzaimah, "Andaikan tiap hamba mengetahui apa yang ada dalam Ramadhan, maka ia bakal berharap satu tahun itu puasa terus."

Ramadan ini akan pergi, namun yang pergi giliran purnama; bukan rasa dan maknanya. Semoga semuanya masih di jiwa yang sentiasa merindui barakah dan maghfirahnya.

Pena Tumpul - Apakah kita berjaya atau sekadar menumpang gembira di pinggiran kebesaranNya?

Wednesday, July 16, 2014

Jin

Berdasarkan pembacaan, saya suka untuk berkongsi cara bagaimana untuk kita mengesan jin laknatuallah yang berada didalam tubuh badan kita. Tahukah anda jin mengalir didalam tubuh badan kita mengikut saluran darah Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu berjalan pada aliran darah manusia" 

Jin yang masuk ke dalam pembuluh darah terus ke otak dan melalui otak, jin boleh mempengaruhi bahagian mana saja kerana jin sudah menguasai otak. Ini dibuktikan oleh perubatan bahawa para pesakit yang tidak sedarkan diri memiliki gelombang otak yang sangat halus dan aneh.Cara bagaimana untuk kita mengesan jin didalam tubuh kita, pegang dinadi sebelah kiri  dan baca doa ini:

1. Mengucap Dua Kalimah Syahadah 1x
2. Selawat Keatas Nabi 3x
3. Surah Al-Fatihah 1x
4. Ayat Kursi 3x
5. Zikir Lailahaillallah 100 x.

Sekiranya semasa membaca ayat-ayat diatas badan terasa seperti di bawah itu tandanya tubuh badan kita dihuni jin laknatuallah, Disarankan dapatkan rawatan di pusat rawatan Islam.
 

1.Bergetar/mengigil
2.Panas
3.Pening.
4.Muntah
5.Terasa benda bergerak-gerak di badan.
6.Mengantuk.

 Jangan Lakukan Berseorangan Dirumah kerana ia mengundang padah!


Pena Tumpul- Peringatan buat diri sendiri

Monday, July 14, 2014

Imam


Saya rasa agak tidak sihat sejurus sahaja selepas berbuka puasa petang tadi. Saya sudah membayangkan bahawa saya tidak cukup gagah secara fizikalnya untuk bersama-sama isteri dan Haziq ke masjid untuk menunaikan solat sunat Terawih secara berjamaah seperti malam-malam sebelumnya.

Saya cadangkan kepada isteri supaya ke masjid bersama Haziq sementara saya akan melakukannya secara sendirian di rumah. Isteri kurang setuju dan lebih berkeinginan untuk melakukannya secara berjemaah di rumah dan pastinya saya adalah imamnya. Bukan luar biasa pun bagi saya untuk mengimamkan solat jemaah di rumah. Yang luarbiasanya apabila Haziq berkata bahawa saya begitu lambat dalam bacaan solat.Begitu bertertib. Haziq mengadu terangguk-anguk menjadi makmum di belakang. Mengantuk katanya ditambah lagi dengan tempo bacaan yang agak lambat. Haziq tentunya mengharapkan tempo bacaan saya menyamai imam setengah-setengah masjid yang pernah diikutinya saban malam berterawih sekurang-kurangnya dari segi "kelajuan"nya. Anak lelaki saya yang faham benar dengan cara pembacaan saya awal-awal lagi sudah mengingatkan saya supaya tidak terlalu lambat sangat.

Saya faham Haziq masih belum cukup mengerti tentang perlunya solat dilakukan secara yang amat bertertib begitu, tidak kira solat fardu mahu pun sunat. Saya ceritakan kepadanya bagaimana Rasullulah memberikan penekanan kepada pentingnya menjaga tertib dalam solat.

Suatu ketika Rasulullah SAW berada di dalam Masjid Nabawi, Madinah. Selepas menunaikan solat, beliau menghadap para sahabat untuk bersilaturahim dan memberikan tausiyah. Tiba-tiba, masuklah seorang pemuda ke dalam masjid, lalu melaksanakan solat dengan cepat.
Setelah selesai, pemuda itu segera menghadap Rasulullah SAW dan mengucapkan salam. Rasul berkata kepada pemuda itu, "Sahabatku, engkau tadi belum solat!" Betapa terkejut pemuda itu mendengar perkataan Rasulullah SAW.Dia pun kembali ke tempat solat dan mengulangi solatnya. Seperti sebelumnya dia melaksanakan solat dengan sangat cepat. Rasulullah SAW tersenyum melihat "gaya" solat seperti itu.

Setelah melaksanakan solat untuk kedua kalinya, dia kembali mendatangi Rasulullah SAW. Begitu dekat, beliau berkata kepada pemuda itu, "Sahabatku, tolong ulangi solatmu! Engkau tadi belum solat."

Bertambah terkejut pemuda itu. Dia merasa telah melaksanakan solat ikut tertib solat. Meskipun demikian, dengan senang hati dia menuruti perintah Rasulullah SAW. Tentunya dengan gaya solat yang sama.

Namun seperti biasa Rasulullah SAW menyuruh pemuda itu mengulangi solatnya kembali. Kerana kebingungan, dia pun berkata, "Wahai Rasulullah, demi Allah yang telah mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat melaksanakan solat dengan lebih baik lagi.

Kerana itu, ajarilah aku!" "Sahabatku," kata Rasulullah SAW dengan tersenyum,"Jika engkau berdiri untuk melaksanakan solat, maka bertakbirlah, kemudian bacalah Al-Fatihah dan surah dalam Alquran yang engkau rasakan paling mudah.

Lalu, rukuklah dengan tenang (thumaninah), lalu bangunlah hingga engkau berdiri tegak. Selepas itu, sujudlah dengan tenang, kemudian bangunlah hingga engkau duduk dengan tenang. Lakukanlah seperti itu pada setiap solatmu."

Kisah dari Mahmud bin Rabi Al Anshari dan diriwayatkan Imam Bukhari dalam Shahih-nya ini memberikan gambaran bahawa solat tidak cukup sekadar gerakannya saja, tapi harus dilakukan dengan tumaninah, tenang, dan khusyuk.

Kekhusyukan rohani akan sukar dicapai, apabila fizikal (tubuh) tidak khusyuk kerana dilakukan dengan cepat dan terburu-buru. Sebab dengan terlalu cepat, seseorang akan sulit menghayati setiap bacaan, tata gerak tubuh menjadi tidak sempurna, dan jalinan komunikasi dengan Allah menjadi kurang optimal.

Bila hal ini dilakukan berterusan, maka peranan solat sebagai pencegah perbuatan keji dan mungkar sama sekali tidak berfungsi. Oleh sebab itu benarlah apabila Rasulullah SAW mengganggap "tidak solat" bagi orang yang melakukan solat dengan cepat (tidak tumaninah). Haziq nampak faham dan saya harap dia tidak lagi bergolot-golot dalam solatnya.

Pena Tumpul - Khusyuk mendengar bacaan imam masjid Lubuk Batu seorang Hafiz


Bersahur


Bangun sahur memang meliatkan bagi setengah orang lebih-lebih lagi di kalangan kanak-kanak yang baru berjinak-jinak dengan amalan berpuasa. Bahawa bangun untuk makan ketika sedang tidur nyenyak adalah sebab utama mengapa bangun sahur itu menyusahkan. Justeru mengelak daripada bangun sahur, ada yang mengambil jalan senang dengan makan lewat malam sebelum tidor.

Haziq tiba-tiba begitu liat untuk dikejutkan pagi ini sehingga memaksa saya menyiramkan air dimukanya. Sejak awal puasa lagi, dia mencadangkan supaya dia dibenarkan makan sebelum tidor dan tidak perlu dikejutkan untuk sahur. Malah mengambil jalan mudah untuk tidak bersahur langsung. Saya membantah cadangannya dengan alasan bersyariat. Sahur bukan sekadar bangun makan namun punya hikmah tersendiri. Sahur membezakan amalan berpuasa umat Islam dengan puasa ahlul-kitab. Sahur ada keberkatan walaupun dengan seteguk air sekiranya tidak cukup lalu untuk menelan makanan lain yang dikira berat.

Haziq bersetuju dan berjanji tidak akan liat lagi pada esoknya.

Pena Tumpul - Sahur segelas air kosong, tiga ulas kurma dan beberapa keping roti sahaja

Monday, June 23, 2014

Tebang

Saya akhirnya mengambil keputusan menebang kesemua pokok durian tua yang sudah berpuluh-puluh tahun menghuni dusun di belakang rumah. Sebabnya amat mudah. Pokok-pokok tua ini sudah lama tidak berbuah. Kalau pun berbuah, boleh dibilang dengan jari. Yang pasti sudah agak lama tidak berbuah lebat seperti dulu-dulu.

Bila pokok-pokok ini berbuah lebat dulu, hampir seluruh keluarga jauh dan dekat merasai nikmatnya. Malah sehingga berlebihan dan terpaksa di tolak kepada peraih durian walaupun dengan harga yang amat rendah. Begitulah nasib durian, bila sudah tidak berbuah. Memang tidak dapat dinafikan sejak durian pelbagai klon baru diperkenal, durian tua bagai merajuk tidak mahu berbuah. Walaupun durian klon baru ini memang cepat dan selalu berbuah namun kebanyakan pencinta raja buah ini selalunya akan lebih tertarik kepada durian dari pokok-pokok tua ini. Salah satu sebabnya ialah isinya yang sedap berbanding durian klon.

Saya tidaklah ralat sangat melihat cuma tunggul-tunggul durian sahaja yang tinggal sekarang. Tidak ramai yang kemaruk durian sekarang berbanding dulu kerana durian dikatakan tidaklah cukup baik untuk kesihatan. Dengan harganya yang semakin merosot sekarang, durian tentunya masih mampu boleh dibeli sebiji dua. Itu pun bukanlah untuk dimakan mentah-mentah tetapi dijadikan santan dan dimakan pula bersama pulut. Durian lebih enak dinikmati begitu.

Durian Segamat tetap nombor satu!

Pena Tumpul - Tanam pokok getah lagi bagus

Sunday, June 22, 2014

Urusan

Saya melihat Haziq cukup leka dengan kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya yang menuntut saya untuk menegurnya. Dia kelihatan berpuli-puli menyiapkan timbunan kerja yang sepatutnya dilakukannya secara konsisten dan bukannya di saat-saat akhir begitu. Kelekaannya itu amat menganggu hati seorang saya. Dia melewatkan solatnya. Dia seolah-olah lupa bahawa melakukan solat itu sebenarnya mengatasi kerja sekolah yang hendak dibereskannya itu.

Saya berkongsi dengannya selingkar kisah yang menarik dan amat wajar dijadikan panduan. Kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang pernah dinyatakan dalam sejarah bahawa zaman pemerintahannya merupakan zaman yang paling aman dan makmur.

Zamannya tidak ada orang yang miskin pun sehingga wang zakat melimpah ruah lalu dibelanjakan untuk mengahwinkan lelaki yang tidak mampu berkahwin. Tiada jenayah juga.  Jika gerai ditinggalkan tanpa penjaga, maka tetap tidak akan ada pencuri yang mencuri kedai. Zamannya tiada berlaku rompakan dan rakyat di bawah pemerintahannya semuanya taat dan baik tanpa sengketa.

Apa rahsianya? Apabila ditanya kepada Saidina Umar Abdul Aziz, dia berkata "Aku menyelesaikan urusan aku dengan Allah terlebih dahulu, maka Allah menyelesaikan urusanku dengan rakyat dan kerajaanku”

Itu rupanya rahsianya. Dia menundukkan dan menyelesaikan urusannya dengan Allah, Pemilik segala-galanya, Apa kata kita selesaikan urusan kita denganNya takkan Allah Yang Maha Berkuasa tidak boleh menyelesaikan urusan kehidupan kita, jika kita telah menyelesaikan urusan kita denganNya?

Seusai bercerita Haziq bergegas meninggalkan urusan peribadinya dan melakukakan urusannya dengan Allah yang belum selesai.

Pena Tumpul - Urusan dunia memang tidak akan pernah selesai

Sunday, June 01, 2014

Bebel

Mama membebel hari ini setelah agak lama tidak begitu. Haziq yang menjadi sasarannya.
Sebabnya amat kecil pun. Haziq tidak cukup rajin untuk mencuci pinggan sendiri selepas makan. Dia sebaliknya membiarkannya di dalam singki. Mamanya pula agak letih barangkali dengan pelbagai kerja lagi rumah yang perlu dibuat. Banyaknya kain baju yang perlu dibasuh. Lantai yang perlu di mob.

Saya lihat Haziq terkebil-kebil dibebel mamanya. Salah dia juga tidak begitu ringan tangan buat mana yang patut sementara cuti sekolah ini. Semuanya perlu disuruh. Bagai pahat yang perlu ditukul. Saya sudah lama faham cara isteri. Kalau dia membebel, saya amat tahu saya perlu banyak diam.

Semua orang tahu golongan isteri memang terkenal dengan sikap suka membebel atau berleter, tidak kira pagi, petang, siang mahu pun malam. Dan semua orang tahu juga suami paling tidak suka bila isteri mula membebel. Kadangkala bebelan golongan ini tidak berpadanan pun dengan perkara yang dibebelkan itu. Benda kecil sangat pun. Seorang ustaz ini di dengar lewat corong radio bercerita tentang isteri yang membebel ini.

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a., terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh. Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak pun dia membebel, sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak juga membebel.

Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel. Dia pun marah balik isterinya kerana membebel. Si isteri pula menjawab. Si suami mula meninggikan suara.
Dari situlah mereka bertengkar dan bergaduh saban hari. Lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya sudah melampau. Memandangkan keadaan rumahtangga mereka semakin parah, si suami pun mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya.

Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar membalas. Mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya. Katanya dalam hati, kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku.

Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang ke mari?” Si suami tadi menjawab,
“Aku datang hendak mengadu hal isteri aku, tapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu.”
Saidina Umar tersenyum lalu berkata, “Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”
Begitulah kisahnya. Sebagai suami, kita perlu memainkan peranan “senyap”. Senyap bukan bererti pengecut. Tidak menegur dengan kata-kata juga tidak bererti penakut. Isteri yang menjawab bukan isteri derhaka. Isteri yang memarahi suami juga bukan dipanggil derhaka. Begitu juga jika berleter, membebel, merajuk, dan sebagainya, juga bukan derhaka.

Namun isteri perlu juga ingat. Suami adalah pemimpin, perlu dihormati.

Pena Tumpul - Pasang telinga kuali bila isteri membebel

Tuesday, May 27, 2014

Ajaib

Kisah tentang Israk Mikraj sudah berulang-ulang kali kita dengar dan baca. Banyak episod
ajaib dan aneh berlaku dalam peristiwa 27 Rejab ini. Namun pernahkah kita bertanya di mana sebenarnya kebesaran peristiwa Israk kepada kita umat Muhammad?  Menurut para ulama, perkara yang paling besar dan signifikan dalam peristiwa ini ialah penganugerahan solat.

Justeru, solat hakikatnya ialah mikraj orang mukmin. Ketika solat, roh kita "bertemu" Allah serta berinteraksi dan berkomunikasi denganNya melalui kalimah tasbih, tahmid, takbir dan ayat-ayat al-Quran yang suci. Ketika solat sebenarnya, kita hamba yang hina dina ini dan penuh segala kekurangan dimuliakan dengan diberi peluang dan kesempatan bertemu Allah yang Maha Mulia dan Maha Sempurna.

Sebab itu, solat adalah kepala ibadah, pemisah antara iman dan kufur serta amalan yang akan ditanya dulu di Masyar. Jika baik solat kita, baiklah yang lain-lain. Jika buruk solat kita, buruklah yang lain juga. Bukan setakat menunai solat tetapi solat perlu ditunai dengan betul dan sempurna dan bukan asal solat sahaja.

Seharusnya, peristiwa Israk Mikraj tidak hanya dilihat dari sudut keajaiban semata-mata untuk dikagumi dan dijadikan nostalgia semata-mata tanpa mengaitkannya dengan perjalanan hidup kita. sebagai seorang mukmin. Perjalanan langit ini perlu kita bumikan kerana memang itulah pun tujuan peristiwa itu dijadikan Allah.

Kita tahu Nabi Muhammad melihat sekumpulan orang yang memecahkan kepalanya kemudian setelah sembuh dihantuknya lagi kerana balasan tidak solat, namun apakah kita mengambil pengajaran darinya atau setakat cerita yang tinggal cerita nostalgik tanpa kesan. Inilah yang perlu kita perbetulkan.

Pena Tumpul - Peringatan untuk diri sendiri yang lupa

Sunday, May 25, 2014

Pengurus

Dua orang pelajar perempuan tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata. Cerita dan bual bicara saya tidak sedih pun, namun menusuk hati dua orang pelajar ini. Saya mengajar kelas ini perkara yang sangat asas iaitu "Fundamentals of Management". Secara mudah pengurusan bermaksud bagaimana kita mengendalikan atau mentadbirkan sumber-sumber di sekeliling kita secara berkesan dengan tujuan mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Saya tidak mahu mereka pening-pening kepala menyelongkar organisasi yang besar-besar pun. Saya mahu mereka melihat diri mereka sebagai pengurus dan kecekapan mereka dalam mengurus segala sumber yang sangat dekat dengan mereka. Mereka menyatakannya satu persatu dan senarainya sangat banyak. Diri mereka sendiri adalah sumber yang sebenarnya perlu diurus dengan baik dan cekap. Anggota-anggota di batang tubuh mereka juga perlu diurus. Bagaimana mata, telinga, hidung, tangan, perut dan sebagainya diurus sebaiknya untuk digunakan bagi tujuan yang juga baik di hujungnya.

Selepas melihat batang tubuh, saya suruh mereka menyatakan orang-orang penting dalam hidup mereka. Pastinya ayah dan ibu tidak tertinggal daripada disebutkan. Kedua insan tentunya sangat-sangat penting dalam hidup mereka. Tanpa mereka berdua ini, mana mungkin mereka akan lahir ke dunia ini. Tanpa belaian dan kasih sayang dua orang ini, mana mungkin mereka akan menikmati hidup seperti sekarang. Saya pesan pada mereka selagi ayah dan ibu masih ada, hormatilah mereka dan jangan sekali-kali menyakitkan hati mereka. Kedua-dua orang penting dalam hidup mereka ini sangat perlu mereka uruskan dengan baik. Mereka adalah sumber yang tidak ternilai harganya.

Saya katakan kepada mereka beruntungnya mereka yang masih punyai ayah dan ibu ketika saya pula sudah lama kehilangan seorang ayah. Ketika inilah dua orang pelajar yang sudah tidak punya ayah dan ibu lagi membungkam sedih dan seterusnya mengalirkan air mata tanpa dipinta. 

Saya faham perasaan dua orang pelajar ini. Mereka sayu mengenangkan insan tersayang dalam hidup mereka yang sudah tidak bersama mereka lagi.

Pena Tumpul - Turut sedih

Friday, May 23, 2014

Kuku

Haziq ditegur oleh mamanya kerana membiarkan kukunya agak panjang dari sepatutnya. Mamanya yang agak kecewa tidak tunggu lama untuk memendekkan kuku-kuku yang katanya menyakitkan mata memandang. Haziq tiada pilihan melainkan membiarkan mamanya memotong dengan rakus kuku-kukunya.  

Kadang-kadang saya hairan mengapa kedapatan segelintir yang suka menyimpan kuku panjang. Dari apa yang pernah saya baca, dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang khinzir lembut sikit, jika kesemua jejari kita menyimpan kuku yang panjang.... bayangkanlah dosa yang telah kita tanggung untuk kesemua khinzir-khinzir tersebut.... potonglah kuku anda.

Kebenarannya jangan ada niat untuk simpan kuku panjang, walaupun hanya 1 mm atau pun hanya jari kelingking.. Bagi orang Islam adalah tidak sesuai berkuku panjang atas apa alasan sekalipun kerana ia tidak membayangkan kesucian dan ia juga bukan budaya kita apatah lagi menggunakan tangan untuk beristinjak. Khabarnya,orang Melayu yang berkuku panjang biasanya mempunyai anak yang bodoh atau pun degil dan suka melepak sebab diberi makan bahan kotor yang berada di kuku jari emaknya semasa menyediakan makanan seperti memerah santan kelapa, membuat cokodok pisang, menguli tepong, dll. Apa ilmu pun yang di ajar tidak akan boleh diterima masuk ke dalam kepala. Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Selain itu,kuku panjang mempunyai sejenis kuman seperti yang terdapat dalam najis
manusia, iaitu E-Coli. Kuman tersebut tidak akan hilang walaupun kita mencuci tangan dengan sabun. Oleh itu, sentiasalah berkuku pendek untuk kesihatan dan kebersihan diri sendiri.

Nasihat Nabi Muhammad Saw. kepada Saidina Ali.,sesudah bernikah dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan, Nabi Muhammad Saw. berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin pakailah di jari manis atau jari kelingking (anak jari) dan jangan memakai pada jari tengah atau jari telunjuk.

Nabi Muhammad melarang memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah kerana meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka di zaman Nabi Lut.

Pena Tumpul - Kadangkala isteri potongkan kuku

Saturday, May 17, 2014

Berbalut

Tidak lengkap rasanya kalau ke JB tidak singgah sebentar di Badan Bookstore, gedung buku yang saya kira terbesar di kotaraya ini. Isteri sudah faham benar kemestian saya yang satu ini. Saya tidak mahu ketinggalan sebarang tajuk buku baru yang mungkin sudah terbit di pasaran khususnya terbitan PTS dan Telaga Biru. Sejak beberapa bulan lalu, tumpuan saya kini lebih kepada buku-buku Telaga Biru justeru judulnya yang menggamit minda selain persembahan kulit yang cukup memukau perhatian.

Sepanjang 45 minit saya sempat menelusuri beberapa judul buku yang khabarnya begitu laris di pasaran bak goreng pisang panas. Antara yang sempat dilayan sepintas lalu Pesan Hati Untuk Hati,  Cepatnya masa dirasa beredar. Keinginan untuk membaca keseluruhan buku-buku tersebut tidak dapat saya bendung. Saya perlu memiliki ketiga-tiga buku tersebut. Begitulah kuatnya tarikan buku-buku Telaga Biru sehinggakan saya tidak pernah keluar dengan tangan kosong sekurang-kurangnya satu judul buku.

Telaga Biru  memang hebat menawan hati pembaca justeru itu saya tidak pernah terserempak buku-buku terbitannya (saya harap saya tidak silap) dibalut kemas dengan plastik membiarkan pembaca berteka-teki dan melayan perasaan dengan judul-judulnya seperti mana yang pernah saya temui di gedung buku yang mempunyai rangkaian hampir di seluruh negara. Kedai buku tidak perlu wujud atas dasar menjual dan membuat untung semata-mata seperti mana perniagaan yang lain. Buku-buku bukan untuk dipamer tetapi untuk dibaca. Saya sendiri tidak pernah akan singgah lama di mana-mana gedung buku yang tidak mesra pembaca, malah tidak teruja pun untuk membeli walau satu judul pun! Saya selalu percaya peluang yang diberi untuk mengimbas dan mengutip maklumat/ilmu sekadar sempat buku-buku yang terdapat di gedung buku pastinya akan berakhir dengan keinginan untuk memiliki buku tersebut.

Bahawa buku-buku yang diulit silih berganti pengunjung yang keluar masuk mungkin akan "cedera" perlu dilihat tidak lebih penting daripada penjanaan minda pembaca hasil sumbangan peniaga buku yang tidak bercakap soal penjanaan keuntungan semata-mata.

Pena Tumpul - Kubuku buku

Monday, May 12, 2014

9119

"Nafsu yang besar menidakkan kemampuan. Akal lah yang menghalang keinginan itu"
Saya menonton program bual bicara Astro Oasis. Sembang bersama Dr Masitah mengupas isu yang cukup menarik. Ia tentang lelaki yang dikatakan mempunyai 9 akal, 1 nafsu berbanding  perempuan yang memiliki 1 akal, 9 nafsu. Ringkasnya 9119. Betulkah begitu? Sejauh mana benarnya dakwaan ini? Berasaskah? Fikirkanlah sendiri.

Kalaulah 9119 ini diterima dan dijadikan asas dalam menilai lelaki dan wanita ia seolah-olah merendahkan darjat wanita. Mana tidaknya, wanita dilihat lebih bernafsu dari berakal! Namun janganlah sekali-kali menyempitkan fikiran kita tentang nafsu. Ia tidak terbatas dalam ruang lingkup tentang seksual semata-mata. Nafsu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh. Ia lebih bertumpu kepada soal-soal yang melibatkan emosi. Justeru tidak menghairankan kaum Hawa memang sentiasa emosional berbanding Adam. Mudah marah, merajuk.

Juga nafsu wanita macam tiada hadnya. Hendak itu dan hendak ini. Mahu beli itu dan beli ini. Ini tentunya berlawanan dengan lelaki yang lebih "berakal" dari "bernafsu" atau rasionalnya mendominasi emosionalnya. Tindakan dan keputusan yang diambil oleh mereka tidak dipengaruhi oleh nafsu. Bijak mengurus emosi.

Lihat sahaja bagaimana dua jantina berbeza ini mengurus rumah tangga. Contoh yang paling mudah dalam soal talak. Allah berikan kuasa talak kepada suami kerana lelaki boleh membuat pertimbangan yang betul dan berfikir jauh sebelum menjatuhkan talak kepada isteri. Allah tidak beri kepada isteri kerana wanita susah untuk berfikir panjang dengan apa tindakan yang mereka buat. Jika kuasa talak diberi kepada isteri, tidak mustahil sudah banyak kes cerai di Malaysia. Bukankah hal ini nyata lebih jelas bahawa lelaki mempunyai lebih banyak akal berbanding wanita?

Lelaki lebih banyak menggunakan akal daripada perasaan dan emosi manakala wanita sebaliknya. Ini semua fitrah yang telah dijadikan Allah kepada kaum Adam dan Hawa. Mana tidaknya, wanita diberi tugas biologi yang sangat berbeza berbanding lelaki. Wanita diberi tugas mengandung, menyusu, menjaga anak dan tugas-tugas lain. Perasaan dan emosi mempunyai nilai yang tinggi dan amat diperlukan sekali untuk mewujudkan kasih sayang, sedangkan akal mengalahkan perasaan dan kasih sayang. Selalunya apabila seorang bapa memarahi anaknya, si ibulah yang menenangkan keadaan dan memberikan belaian kasih sayang kepada si anak. Kekurangan akal pada kaum hawa bukan satu penghinaan malah ia satu kelebihan yang patut dibanggakan oleh wanita dengan fitrah femininnya.

Pun begitu, saya cukup tertarik dengan satu kisah pendek yang disampaikan oleh seorang panel undangan Dr Masitah.Elok juga untuk renungan bersama.

Kisah Imam Hasan Al-Basri dan anak muridnya Rabiah Adawiyah. Pada suatu hari, Imam Hasan Al-Basri bersama dua orang sahabatnya pergi ke rumah Rabiah Adawiyah untuk meminangnya untuk salah seorang daripada mereka. Niat murni mereka disambut baik oleh Rabiah. Rabiah akan menjawab sama ada beliau bersetuju atau tidak dengan pinangan itu jika soalannya dijawab.

Lalu Rabiah bertanya kepada mereka, ”Berapakah nafsu bagi lelaki dan berapakah nafsu bagi wanita?”. Lantas Imam Hasan Al-Basri menjawab, ”Lelaki mempunyai satu nafsu dan wanita mempunyai 9 nafsu”.

Rabiah tersenyum lalu berkata, “Jika benar apa yang kamu katakan sebentar tadi, kenapa kamu tidak boleh menahan nafsumu meskipun kamu mempunyai satu nafsu sahaja dan kenapa aku boleh menahan nafsuku meskipun aku mempunyai 9 nafsu?”.

Mendengar kata-kata daripada Rabiah itu, mereka pun tunduk malu dan sedih lalu meminta diri untuk pulang dalam keadaan yang kecewa dan janggutnya basah terkena air matanya yang mengalir keluar.

Walau apa pun, lelaki dan wanita saling memerlukan seperti nafsu dan akal yang yang tidak dapat dipisahkan.

Pena Tumpul - Sesekali merajuk juga

Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...