Wednesday, October 31, 2012

Lesen

Hampir tiga bulan saya memandu tanpa lesen rupanya.Saya tidak menyedari pun bahawa lesen memandu saya telah tamat tempohnya awal Ogos lalu. Cuai atau terlepas pandang atau mungkin juga mengingati tarikh tamat sah lesen tidaklah sangat penting berbanding mengingati perkara lain.

Saya mungkin akan terus memandu di jalan raya berbekalkan lesen tamat tempoh sebebasnya kalaulah tidak diminta untuk menyerahkannya bersekali dengan kad pengenalan untuk difotokopi dalam satu permohonan baru-baru ini.

Memandu tanpa lesen yang sah adalah satu kesalahan. Nasib menyebelahi saya, sepanjang tempoh itu sejauh Johor Bahru dan Kuala Lumpur saya tidak terserempak dengan sebarang sekatan jalanraya pun pihak berkuasa.Sesuatu yang lazim saya lihat sejak memandu, tidak pernah pun saya diminta menunjukkan lesen memandu. Bukan sekali malah berkali-kali. Adakalanya terfikir juga, kalau begini memandu tanpa lesen tidaklah merisaukan pun kerana kebarangkalian untuk diperiksa lesen sangat-sangat rendah!

Mungkin ada betulnya kata orang, kalau kita tidak tahu sesuatu, kita tidak rasa risau. Kalaulah kita tahu memang lesen kita sudah tamat tempohnya, mana mungkin kita sebegitu berani dan yakin memandu di jalan raya. Kalau masih berani juga, kita menempah malang tentunya.

Tahu dan tidak tahu memang besar implikasinya dalam hidup kita seharian. Ada mereka yang sengaja mengelak diri dari berjumpa doktor untuk diperiksa status kesihatannya dengan alasan bila sudah tahu akan merisaukan diri tidak tentu hala. Misalnya bila sudah diketahui tinggi tahap gulanya dalam darah, akan mulalah risau tidak menentu kerana itu petanda kencing manis yang sudah mula menghinggap tubuh. Risau hendak makan makanan manis dan sebagainya. Kalau sudah disahkan mengidap darah tinggi pula, lain pula yang digusar dan digundah gulanakan.

Kata seorang doktor yang saya temui, memang inilah yang dipamerkan oleh orang kita. Takut tahu dan lebih selesa untuk tidak tahu.

Walau apa pun, ingatlah "better late than never"!

Pena Tumpul - Tarikh tamat lesen sama dengan tarikh lahir, bagus untuk elak lupa

Tuesday, October 30, 2012

Doa

"Doa orang tua untuk anaknya bagaikan doa nabi untuk umatnya."
                                                                                                     (Hadis direkodkan oleh ad-Dailami)

Buku Dahsyatnya Doa Ibu sudah berkali-kali saya belek dan baca setiap kali berkunjung ke kedai buku. Namun tidak cukup kuat auranya menarik saya untuk membelinya. Saya ke perpustakaan pagi ini dan suasana agak lengang. Peluang untuk saya "menggeledah" semahu-mahunya buku-buku yang dikira agak baru terdampar di rak. Satu demi satu buku baru saya pegang dan belek sambil baca sepintas lalu, namun tiada sebuah buku pun yang benar-benar menarik hati saya untuk membaca sesantainya. Barangkali kesan menonton drama Melayu "Hilangnya doa seorang Ibu" masih kuat terasa, mata saya terpaku kepada buku ini. Saya capai, pinjam dan baca tanpa henti. Sangat menarik. Sangat menginsafkan. Sarat dengan pengajaran buat anak-anak yang cukup sedar yang dirinya masih punya seorang ibu.

Saya sangat terpaut dengan sebuah kisah yang dipaparkan dalam buku dan ingin saya kongsikan di sini. Ia memberitahu kita betapa dahsyatnya doa ibu. Sangat dahsyat.

Ada dua orang adik-beradik iaitu Amin (abang) dan Adi (adik). Amin sangat baik sejak kecil sehingga dewasa. Dia tidak pernah melakukan sebarang perkara jahat mahupun maksiat. Ibu bapa, keluarga serta masyarakat sangat menyayangi Amin.Adi pula sangat nakal sejak kecil. Apabila dewasa Adi menjadi individu yang jahat. Dia pernah dipenjarakan tetapi tidak pernah insaf. Hidupnya sering bergelumang dengan maksiat. Melihat perangai Adi yang teruk ini, ibunya sering berdoa agar Allah memberikan Adi hidayah dan kembali ke jalan lurus. 

Suatu hari, Adi memberitahu ibu dan Amin yang dia ingin memulakan perniagaan. Dia meminta sebahagian harta peninggalan arwah ayahnya. Ibunya dan Amin berasa lega kerana mereka sangka Adi sudah berubah dan ingin bertaubat. Rupa-rupanya tidak, Adi ingin membuka sebuah rumah pelacuran. Ibu dan abangnya enggan memberikan dokumen harta pusaka tersebut.Pada waktu malam, Adi cuba mencuri dokumen itu tetapi dihalang oleh ibunya. Adi menendang ibunya. Dalam kesakitan, ibunya berdoa lagi agar Adi kembali ke jalan yang diredhai Allah. Tanpa bantuan ibu dan abangnya, Adi berjaya juga membuka sebuah rumah pelacuran. 

Lain pulanya yang berlaku pada Amin. Selepas kejadian itu, Amin tiba-tiba mendengar satu suara halus yang membandingkan dirinya dengan Adi. Suara itu berkata: "Sejak kecil sehingga sekarang, engkau asyik beribadah, tidak pernah merasai nikmat dunia. Lihat adik kamu, sentiasa ada wanita sekeliling pinggang. Apa kata kamu kunjungi rumah pelacuran adikmu. Sekali sahaja. Selepas itu, bertaubatlah. Allah pasti menerima taubatmu kerana Allah Maha Penyayang." Amin berazam untuk pergi ke rumah pelacuran adiknya pada malam itu selepas solat Maghrib.

Dalam masa yang sama, Adi yang berada di rumah pelacurannya mula terfikir: "Sampai bila aku perlu hidup dalam maksiat. Semua orang membenci aku. Jika berterusan begini, pasti aku akan masuk neraka dan abangku sudah tentu akan masuk syurga. Aku tak masuk terus hidup dalam maksiat. Aku perlu berubah. Malam ini juga, aku akan ke masjid untuk solat bersama-sama abangku."

Pada malam itu, Amin dan Adi meneruskan niat masing-masing. Disebabkan mereka tidak melalui jalan yang sama, mereka tidak berselisih.Adi pun meninggalkan rumah pelacurannya. Amin pula selepas pulang dari solat Maghrib, terus menyalin pakaian dan menuju ke rumah pelacuran. Tiba di sana, dia tidak berjumpa dengan adiknya. Semua orang tidak tahu di mana Adi. Akhirnya, Amin berjumpa dengan Mira, seorang pelacur yang pernah menggodanya dahulu. Mira menyambutnya dengan mesra dan akhirnya mereka berdua tenggelam dalam maksiat. Sementara itu, Adi yang telah tiba di masjid tercari-cari abangnya. Dia tidak menemui Amin. Malahan semua orang di masjid tidak tahu di mana Amin. Adi pun terus mendirikan solat dan melakukan wirid kerana benar-benar ingin bertaubat.

Tiba-tiba berlaku satu gempa bumi yang kuat. Semua orang dalam masjid itu bertempiaran lari keluar kecuali Adi yang begitu kusyuk berwirid.Banyak bangunan yang runtuh akibat gempa bumi itu. Keesokan harinya, orang ramai sibuk mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan. Mereka terjumpa mayat Adi sedang memeluk Al-Quran. Di runtuhan rumah pelacuran pula, mereka terjumpa mayat Amin serta Mira dalam keadaan yang memalukan. Orang ramai kehairanan melihat Adi yang mati di masjid dan Amin pula di rumah pelacuran.Ibu mereka menangis melihat keadaan anak-anaknya, lebih-lebih lagi keadaan mayat Amin. 

Barulah dia tersedar, selama ini dia tidak pernah mendoakan Amin kerana menganggapnya anak yang soleh dan tidak memerlukan doanya lagi. Dia silap sebenarnya.

Pengajarannya, wahai ibu doakanlah kesemua anak-anakmu. Kalau ada 10 orang anak, doakan untuk kesemuanya. Walaupun perangai anak-anak ada yang baik dan ada yang buruk, janganlah lupa mendoakan mereka. Doakanlah yang terbaik untuk anak-anak. Dan jika marahkan anak-anak, berhati-hati dengan ayat yang keluar dari mulut kita. Apa yang kita katakan adalah doa. Jangan sampai tersalah doa, buruk padahnya!

Pena Tumpul - Sangat sedar emak memang sentiasa mendoakan saya dan semua anak-anaknya juga

Monday, October 29, 2012

Korban


لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." (Al-Hajj:37)

Hajat emak untuk melakukan ibadah korban tertunai juga setelah tertangguh agak lama. Emak berjaya menterjemahkan rasa syukur atas segala nikmat yang diberiNya dengan tumbangnya seekor lembu berharga RM2400 pagi Sabtu lalu. Syukur atas nikmat makan dan minum, kesihatan dan segalanya. Saya hadir dan menyaksikan dengan mata kepala sendiri istiadat penyembelihan dari awal sehingga usai. Ibadat korban ini memang sangat simbolik dan tidak terbatas pada haiwan yang dikorbankan itu. Tidak juga pada darah mengalir yang kita lihat itu. Indahnya Islam menganjurkan umatnya bersatu melalui platform korban ini. Amatlah mustahil untuk seorang melakukan kerja penyembelihan haiwan berkaki empat ini berbanding dengan mudahnya menyembelih seekor ayam. Ia memerlukan kesepakatan.

Saya turut membantu walaupun tidak terlibat secara langsung dalam kerja melapah. Melapah adalah aktiviti paling penting dalam ibadat korban ini. Bukan semua orang boleh melakukannya dengan baik kecuali mereka yang benar-benar mahir dan ditambah dengan pengalaman juga. Tersalah potong buruk padahnya. Ada kemungkinan seluruh daging jadi pahit andai tercemar dengan cairan limpa. Begitu juga kemungkinan bercampur najis sekiranya perut yang ditoreh.

Kerja-kerja memotong, menimbang dan membungkus daging tidak sukar dilakukan dan saya memilih untuk melakukannya. Begitu juga membantu memegang tali yang mengikat kaki-kaki haiwan ini. Cukuplah. Daging-daging selesai diagih menjelang tengahari dan emak nampak gembira tanda syukur bukan kepalang pastinya kerana yang dihajat sudah ditunai.

Sebelah malamnya, lazatnya menikmati sup tulang masakan Pak Itam!

Pena Tumpul - Berkorban rasa

Sunday, October 28, 2012

Mulut

Kata orang tua-tua, kerana pulut santan binasa; kerana mulut badan binasa. Ia membawa mesej yang sangat jelas iaitu berhati-hatilah dalam menggunakan mulut nikmat Tuhan ini. Mulut selalunya dikaitkan dengan percakapan dan tutur bicara. Ada orang yang cakap lepas ikut sedap mulut tanpa mengambil kira perasaan orang yang menerima atau mendengarnya.

Pelbagai istilah yang dikaitkan dengan mulut ini. Antara yang kerap sangat didengar ialah mulut laser, mulut longkang dan tidak sayang mulut. Ia tentunya merujuk kepada aspek negatif mulut. Mulut laser yang tidak berhenti bercakap dan bisa panahannya bagaikan laser. Begitu juga mulut yang berbau longkang juga merujuk kepada mulut yang gemar menghamburkan kata-kata kurang baik dan tidak enak didengar atau lebih tepat mulut busuk. Bagi mereka yang sangat celupar ini dan tidak berkira-kira dalam melontarkan kata-kata sering disindir dengan ungkapan tidak sayang mulut.

Malam ini saya berjaya dipaksa untuk terpaku di depan tv menonton sebuah drama Melayu. Memang saya sangat selektif dalam menonton rancangan tv lebih-lebih lagi drama Melayu. Kalau tiada mesej yang kuat dan berimpak tinggi, saya tidak akan membuang masa hampir dua jam begitu sahaja di perbodohkan oleh pengarah dan pelakon-pelakonnya. Saya sangat tertarik dengan jodol cerita ini. Hilangnya doa seorang ibu memang ada pengajarannya. Saya kira jodol Mulut lebih sesuai untuk drama ini kerana memang mulut isu pokoknya.

Ia berkisar kisah seorang usahawan wanita yang sangat berjaya. Juga seorang yang taat solat, suka berderma juga. Cuma wanita yang berwatak Laila ini agak bongkak dan suka menghina abang, adik malah suaminya sendiri justeru kedudukannya itu. Mulutnya bagaikan tidak terkawal memaculkan kata-kata yang mengguris hati insan-insan penting dalam hidupnya ini. Kekayaan wang ringgit yang dimilikinya bagaikan tiket untuknya mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati. Untuk meminjam wangnya, abang dan adiknya perlu dimaki hamun dahulu olehnya.

Roda tidak selalunya di atas. Ada masanya akan ke bawah juga. Keceluparan mulutnya membawa padah.Tuhan maha kaya. Tuhan ingin menyedarkannya. Secara tiba-tiba dia diserang penyakit misteri. Mulutnya terkunci. Bernanah. Busuk. Balasan Tuhan pastinya.

Doa ibu memulihkannya. Dasyatnya doa seorang ibu. Boleh jadi baik dan buruk juga. Jadi, jangan sakiti hati ibu. Jaga mulut juga!

Pena Tumpul- Tahu doa ibu memang hebat

Friday, October 26, 2012

Pemurah

Kata seorang ustaz, AlQuran ini kaya dan begitu pemurah. Kita nak apa pun, kita akan dapat. Kita boleh sahaja nak buat air jampi dengan Quran. Kita boleh cari ayat Quran dan kaitkan dengan sains. Fasal gempa bumi pun, ada yang boleh kaitkan masa kejadian dengan ayat Quran. Macam-macam lagi yang orang dapat dari Quran. Ada yang baca dan dapat pahala. Ada yang buat majlis khatam Quran dan dapat pahala. Quran ini sangat pemurah dan manusia memperolehi pelbagai perkara dari Quran.

Ada satu analogi. Cuba bayangkan ada seorang manusia yang sangat kaya dan pemurah di dunia ini. Kita pun minta dari dia sikat, pemadam, pensel, botol air dan macam-macam lagi. Dia pun beri sahaja kita. Benda-benda yang kita minta itu sangatlah merepek tapi kita dapat. Sedangkan kekayaan orang itu lebih lagi dan kita ini pada hakikatnya tidak tahu pun hakikat sejauh mana kekayaan orang itu dan kita tidak tahu apa yang perlu kita minta.

Begitulah dengan Quran. Kadangkala kita hanya dapat melihat benda-benda yang kecil sahaja dari Quran. Disebabkan Quran ini begitu pemurah, kita dapat sahaja benda yang kita minta itu. Tapi hakikatnya ada perkara besar lagi yang Quran nak sampaikan kat kita. Kalaulah Quran itu hanya perlu dibaca, sudah lama sahabat-sahabat Rasulullah SAW jadi qari semata-mata. Kalau Quran itu hanya digunakan untuk menjampi, sahabat-sahabat Rasulullah SAW pasti terkenal sebagai tukang jampi. Andai Quran itu terkenal dengan sains, pastinya sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah saintis yang terkemuka.

Tapi Quran datang untuk mengubah individu. Quran datang untuk membersihkan lumpuh-lumpuh jahiliah. Setelah mengubah diri, kita perlu melangkah untuk membaiki dunia ini pula.

Bacalah Quran dan fahami maknanya!

Pena Tumpul - Biar satu atau dua ayat sehari yang dibaca namun faham isinya







Thursday, October 25, 2012

Guruh

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun". (Quran 17:44)

Ku dengar bunyi guruh
Dentumannya datang dari langit
Adakah langit membawa khabar?
Adakah guruh cuba menyedarkan?
Aku ingin mengetahui rahsia langit
Hatiku membuak untuk menyelongkarnya
Akhirnya aku sedar
Tidak mungkin manusia berdaya
Kerana diri hanyalah hamba

Wednesday, October 24, 2012

Tekanan

Senang jadi Hadif, tidak tertekan pun
Sana sini orang sibuk bercakap tentang tekanan yang pelbagai bentuk dan saiznya. Ada yang tertekan kerana kerja yang tidak pernah habis-habis. Tekanan kewangan juga kerana kuasa beli makin merosot sedangkan harga barang semakin naik.

Di jalan raya lain pula tekanannya. Tekanan dengan hiruk pikuk kenderaan dan berlumba dengan pemandu yang sentiasa hendak cepat. Yang memandu lambat macam kura-kura akan dipasak dengan bunyi hon yang membingitkan. Bagi yang belajar lain pula tekanannya lebih-lebih lagi yang mendepani peperiksaan yang penting dalam hidup seorang pelajar. Tekanan dari ayah dan ibu yang menuntut kejayaan yang adakalanya bagai tidak tertanggung.

Tekanan menjadikan kita sangat letih dan penat sebenarnya. Justeru itu saya sukakan kepenatan. Penat yang akan membuatkan tidur menjadi nikmat berharga. Cuma kadangkala saya seboleh-bolehnya ingin mengelak tekanan yang cukup terbeban di batu jemala.

Tetapi bukankah tekanan itu baik? Bukankah tekanan yang membawa kita kepada Allah? Bukankah tekanan yang membuat kita menangis hiba pada Allah?

Bukankah tekanan yang membuatkan rakyat Palestin berjuang, mengharapkan syurga Tuhan, dan mengharapkan syahid, sehinggakan setiap rumah mahukan seorang syuhada di rumah mereka? Bukankah tekanan juga yang membuat kita bersungguh-sungguh dalam menghasilkan yang terbaik?

Mari kita beranalogi. Cuba tekankan gabus ke paras terdalam sebiji gelas yang berisi air. Gabus itu terlantun bukan? Tekanan yang akan membuatkan kita membuat sesuatu yang tidak mampu difikirkan.

Saat membaca Mathurat, pasti diri tersentak setiap kali membaca petikan ayat dari Surah Al Baqarah. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ". (Surah Al Qasas: 77)

Dunia itu untuk memercu seorang hamba kepada TuhanNya. Menanam  amal di sini untuk menuainya di akhirat.

Pena Tumpul - Berhati-hati dengan paras tekanan darah

Monday, October 22, 2012

Menyusu

Sekarang ini bukan luar biasa lagi untuk kita dengar dan lihat kisah benar anak-anak yang kurang menghormati ibubapanya. Anak-anak yang derhaka kepada ibu bapa juga sering kita dengar. Derhaka dipamerkan dalam pelbagai bentuk. Mendengus dan merungut sehingga mengecilkan hati pun sudah dikira derhaka. Kata-kata yang terpacul dari mulut dan sampai mengguriskan hati ibu bapa juga sudah dikira derhaka. Kalau itu pun sudah dikira derhaka, apatah lagi dengan tindakan-tindakan yang lebih agresif dari itu yang dilihat kerap berlaku sekarang.

Fenomena Tenggang bentuk baru makin menular dalam masyarakat sekarang. Kes-kes ibubapa yang disisih oleh anak-anak juga bukan luar biasa lagi kini. Begitu juga kisah ibubapa yang dilayan bagai orang gaji oleh anak sendiri. Tidak kurang juga ibubapa yang menahan rasa perbuatan anak-anak yang enggan pulang menemui mereka di kampung. Tiada tanya khabar tentang ibu dan bapa. Juga menanggung rindu untuk bermesra dengan cucu-cucu sekali sekala. Malah ada yang lebih rela menghantar ibu dan bapa ke rumah orang tua untuk dijaga makan pakainya dan terus dibiar di situ tanpa kunjung dan berita.

Saya tertarik bila seorang Ustaz yang saya sempat tonton di TV pagi ini mengutarakan sesuatu yang sangat menarik dan sangat wajar untuk difikirkan bersama. Saya yakin kita pernah disusu ibu. Susu ibu sendiri, selain dari susu botol. Ketika disusui bagaimana kedudukan kita dan ibu. Kita memandang wajah ibu dan ibu memandang wajah kita juga. Saling berpandang penuh kasih sayang dan rahmah. Ia jalinan naluri dan rasa dua insan yang sangat erat. Sangat mengesankan. Waktu itu kita mungkin tidak tahu apa-apa. Namun itulah kebenarannya. Kita menyusu susu ibu di atas ribaan ibu yang mencurahkan kasih dan sayang. Lihat pula bagaimana lembu menyusui anaknya. Bagaimana kedudukan anak dan ibu. Ia berlaku di celah kangkang ibu lembu. Si anak lembu tidak melihat wajah ibunya begitu juga si ibu yang tidak melihat anaknya ketika penyusuan itu berlaku.

Jadi, kalau si anak lembu tidak patuh kepada ibunya, ia boleh diterima. Namun, kalau anak tidak mengenang jasa ibunya yang menyusuinya yang meribanya dengan pandangan kasih sayang juga, ia tidak dapat diterima langsung!

Pena Tumpul - Di usia begini minum susu Omega pula

Wednesday, October 17, 2012

Cikgu

Siapakah yang bakal mendidik anak-anak ini  nanti?
Bukan semua orang boleh jadi guru atau cikgu yang baik. Kelayakan yang sangat cemerlang dari sudut akademik bukan faktor penentunya juga. Bila ada cakap-cakap bahawa mereka yang mendapat 9A dalam SPM akan diberikan keutamaan dalam pemilihan calon guru pelatih pada masa akan datang ini, saya melihatnya sebagai satu cadangan yang agak sukar untuk diterima.

Tanpa menafikan bahawa kelayakan akademik yang bagus itu memang penting, jangan pula sampai kita lupa bahawa satu-satunya yang paling mendasar dalam menyumbang kepada guru yang berkesan ialah kecintaan yang bukan kepalang kepada kerjaya guru itu sendiri. Adalah satu kesilapan besar kalau dikatakan mereka yang cemerlang akademiknya bakal jadi guru yang sangat baik. 

Ketika makan tengahari di luar tadi, saya terserempak dengan bekas guru dan pernah mengajar saya. Pada saya dia seorang guru yang baik dan terserlah keguruannya. Dia sendiri kurang bersetuju dengan dasar pemilihan calon guru yang dicadangkan itu. Dia berkongsi pengalaman menjadi guru yang dikendongnya sejak 1964 lagi itu. Katanya dia sudah bergelumang dengan pelbagai jenis guru dengan kelayakan yang berbeza dari SPM, STPM, pemegang ijazah malah sarjana juga.

Cikgu yang saya kagumi ini sangat sebati dengan kerjaya gurunya ini. Di usia emas ini pun, dia masih lagi mengajar di sekolah swasta.  

"Saya suka dan seronok dengan kerja saya. Saya mahu terus mengajar selagi mampu. Guru adalah darah daging saya". Itu jawapannya bila saya tanya kenapa tidak duduk rumah sahaja dan berehat.


Guru yang baik tidak dibuat-buat. Ia terbit dari rasa cinta yang mendalam terhadap apa yang dibuat. Katanya, anak murid kita akan tahu sama ada kita benar-benar suka untuk mengajar mereka. Mereka akan pamerkan dengan jalinan hormat yang tidak perlu kita tagih dan paksa. Kalau guru tidak mampu mewujudkan jalinan emosi dengan anak muridnya, setinggi mana pun kelayakannya, tidak akan membantu sedikit pun!

Kelayakan cemerlang di kertas tidak sangat perlu pun sekiranya guru sangat berkobar semangatnya untuk mendalami dan memahami apa yang dimahukan oleh anak muridnya. Bukan apa yang kita mahu itu yang penting tetapi apa yang anak murid itu inginkan itulah yang lebih penting lagi.

Hanya guru yang sangat cinta dengan apa yang dibuatnya sahaja boleh melahirkan pelajar yang kita impikan.

Pena Tumpul -  Mengajar bukan sekadar melepas batuk di tangga!

Tuesday, October 16, 2012

Khianat

Saya tersentak campur geram membaca laporan yang sangat memualkan oleh Ketua Audit Negara baru-baru ini bahawa kantin di sekolah berasrama penuh, sekolah menengah teknik/vokasional, teknikal dan sekolah agama bantuan kerajaan menyajikan daging kerbau beku yang diimport dan bukannya daging lembu segar seperti dalam kontrak yang dipersetujui. Saya rasa umum bersetuju bahawa ini adalah perbuatan khianat dan penipuan yang amat keterlaluan.

Mengikut kontrak, kontraktor hendaklah memastikan bahan makanan seperti bahan mentah dan bahan kering yang digunakan berkualiti, halal, tidak luput tarikh guna, mengikut spesifikasi, jenama dan tertakluk kepada akta makanan yang sedang berkuatkuasa. Daging lembu atau ayam mestilah bermutu dan disahkan halal oleh pihak berkuasa manakala ikan hendaklah dalam keadaan segar. Namun peraturan yang termaktub tidak dipatuhi.


Khabarnya, pengusaha kantin tidak menggunakan Horlicks seperti yang dinyatakan dalam kontrak, tetapi sebaliknya menggunakan Coco Tiger. Mereka tidak menggunakan minyak masak jenama Pisau seperti dalam kontrak tetapi menggunakan bukan minyak masak Mibo.Bagi kicap pula, mereka sepatutnya menggunakan kicap cap Kipas dan cap Ayam. Tetapi mereka menggunakan kicap cap Angsa Mas. Tidak sukar untuk mencari jawapan kenapa ini berlaku. Ia tentunya terbit dari rasa tamak haloba untuk untung besar sehingga memangsakan kanak-kanak sekolah yang memerlukan makanan yang bukan sahaja berkhasiat tetapi tinggi mutunya. Harapkan pagar, pagar makan padi gamaknya!

Perbuatan menyeleweng dan menipu untuk untung lebih ini bukan berlaku di sekolah sahaja, malah di mana-mana pun selagi ada ruang dan peluang. Dalam sektor pembinaan, barang-barang yang tidak berkualiti dan menepati spesifikasi digunakan. Kalau ia melibatkan kemudahan awam, orang ramailah yang menanggung padahnya. Contoh paling mudah dan dekat, masuk sahaja ke dalam tandas awam dan lihat pintu yang digunakan, pamnya juga, rata-rata amat rendah kualitinya. Dengan penggunaan bertahap berat hampir setiap waktu, akal yang waras akan menolak mentah-mentah bahawa kualiti yang digunakan perlu selaras dengan tahap penggunaan dan bukannya yang mudah rosak dan tidak lama hayatnya. Namun inilah yang berlaku akibat mahu untung lebih!

Berhentilah menghimpun wang dengan mengkhianati orang lain. Tidak rasa bersalah dan berdosa kah?

Pena Tumpul - Kata orang kalau nak kumpul duit banyak jadilah kontraktor, betul ke?





Wednesday, October 10, 2012

Estetika

"Puisi yang baik ialah puisi yang sarat dengan nilai estetikanya dan puisi bukan sekadar wacana maklumat"

Itu kata Prof. Madya Dr Arbak Othman ketika berbicara tentang puisi di hari kedua bicara sastera. Sekonyong-konyong mendengar itu, hati saya sedikit terpukul. Hati juga berbolak balik. Tiba-tiba rasa kerdil juga berada di tengah-tengah kelompok "sasterawan" ini.

Saya bermonolog membelasah diri semahunya. Sejurus selepas bicaranya saya akan mendeklamasi sajak yang saya pilih sendiri. Kalau betullah sajak itu perlu tinggi nilai estetikanya, saya rasa saya telah memilih sebuah sajak yang tidak memenuhi kriteria itu. Sajak "Akasara Merdeka" pada firasat saya sangat mudah difahami. Tidak perlu perah-perah otak untuk menyingkap mesej yang cuba disampaikan oleh pencetusnya Wadiletta SA. Ia bukan sajak kabur. Penggunaan metafora amat minima. Keyakinan saya direntap terus.

Saya tewas sebelum berjuang. Ia kelemahan saya yang saya sendiri tidak dapat menerimanya.Saya menarik diri di saat-saat akhir. Saya kecewa sebenarnya, ketika saya sangat berkobar-kobar untuk menyampaikan sajak yang sangat-sangat sinis ini, saya dibunuh oleh kenyataan yang sedikit itu.

Isteri saya turut kecewa dengan tahap keyakinan saya.

Pena Tumpul - Kalaulah kelemahan ini kekuatan buat saya, saya terima



Tuesday, October 09, 2012

Sasterawang

Sasterawan atau sasterawang? Persoalan yang sangat menarik untuk dibincangkan. Ia tercetus dalam forum bicara sastera hari ini. Saya sempat bersama mengikuti forum ini yang disertai oleh panelis yang tidak kurang hebatnya. Ada pemuisi Shapiai Ramly, penggiat teater Rahimah Muda dan juga Cikgu Talib novelis Saga. Zaid Aktar yang cukup popular dengan Salju Sakinahnya juga ada.

Mengapa sasterawang? Ia tentunya sangat berkait dengan motif keterlibatan kita ke dalam kancah sastera. Mengapa kita berkarya, adakah ia didorong oleh rasa cinta kita kepada sastera itu sendiri. Atau mungkin kita menulis untuk wang. Kalau menulis semata-mata untuk wang, indikatornya sangat jelas. Nilai sastera di dalam sesebuah karya dikesampingkan asalkan nilai komersialnya berada di kedudukan nombor satu. Justeru bila melihat lambakan karya-karya yang bagaikan cendawan tumbuh di musim hujan kini, timbul keraguan kenapa ia dihasilkan. Sesekali berkesempatan membelek novel-novel yang sangat banyak judulnya di kedai-kedai buku, nilai estetikanya macam dibenamkan. Temanya juga tidak lari dari soal cinta yang diolah dalam pelbagai bentuk dan rupa. Khalayak sasar pembacanya bukan mengira sangat soal harganya asalkan ia menyentuh tema cinta yang pastinya sangat dekat dalam kehidupan mereka, selain tema yang berkisar kebobrokan rumah tangga. Usah dicari soal kemanusiaan sejagat dalam novel-novel seperti ini, kita tidak akan menjumpainya seperti kita membaca novel-novel seperti Keluarga Gerilya, Ranjau Sepanjang Jalan dan sebagainya. Pembaca sekarang lebih terdodoi dengan tema-tema segar dan wangi, bukan tema yang menyelinap daerah-daerah hanyir dan gersang.

Karya yang bagus bukan lagi kerana nilai sasteranya yang tinggi lagi. Karya yang bagus ialah karya yang diulang cetak berkali-kali justeru tingginya permintaan dari pembaca. Karya sastera yang semurni mana pun nilai estetikanya akan berkulatlah di pelosok rak menunggu pembaca.

Sasterawan berkaryawan, sasterawang pula  berkaryawang!

Pena Tumpul - Baca Desa Pingitan karya Ibrahim Omar berkali-kali



Monday, October 08, 2012

Pemimpin


Haziq meluahkan kehairanannya kenapa ramai sangat yang berebut-rebut mahu dipilih sebagai pemimpin. Perebutan berlaku di segenap peringkat namun paling hebat di tampuk negara. Mudah sangatkah untuk jadi pemimpin. Adakah semua orang boleh jadi pemimpin? Apakah sifat yang perlu ada seorang pemimpin? Soalan-soalan itu ditujahnya kepada saya.

Saya beritahu dia,salah satu sifat yang perlu dimiliki seorang pemimpin ialah amanah tanpa mengabaikan juga sifat-sifat adil dan bijaksana. Saya mengambil Khalifah Umar Abdul Aziz pemerintah dari Bani Umaiyah sebagai model pemimpin yang sangat amanah.

Diriwayatkan bahawa ketika sedang sibuk bekerja yang membabitkan urusan pemerintahan negara, Umar terdengar ada orang mengetuk pintu ruang kerjanya. Setelah dibuka dia melihat anaknya berdiri di depan pintu. Anaknya ingin membincangkan halnya dengan bapanya. Mendengar tujuan anaknya itu, Khalifah Umar terus meniup lampu minyak yang berada di meja kerjanya. Sudah pasti ruangan menjadi gelap.

Anak Umar hairan lalu bertanya kepada bapanya mengapa lampu itu dipadamkan. Jawapan Umar mengandung amanah dalam dirinya. Lampu minyak itu milik negara dan menggunakan minyak negara juga. Jadi, lampu milik negara perlu diguna untuk soal negara sahaja bukan untuk urusan peribadi mahu pun keluarga.

Pemimpin kita bagaimana? Amanahkah mereka kepada orang-orang yang dipimpinnya?

Pena Tumpul - Jadi pemimpin bukan untuk tembolok sendiri sahaja

Sunday, October 07, 2012

Melayu

Usman Awang adalah antara sasterawan yang sangat saya kagumi karyanya. Sajaknya yang bertajuk Guru Oh Guru sangat menarik. Sajak berjudul Melayu ini juga menarik. Secara sinis Usman Awang bercerita tentang sifat orang Melayu.

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "


Pena Tumpul - Sajaknya "Ke Makam Bonda" juga begitu mengesankan



Thursday, October 04, 2012

Memuliakan

Seorang rakan saya mencoretkan di dinding Facebooknya dan ia menarik perhatian saya. Apa yang diceritakannya tidaklah luar biasa sangat pun, namun impaknya agak besar. Dia menganggap apa yang di alaminya itu sebagai ujian Allah kerana kecuaiannya.

Laptopnya tertinggal sebaik sahaja menjayakan kursus tiga hari di Putrajaya International Conference Centre (PICC). Menurutnya, setiap hari dia berusaha memuliakan para pekerja umum iaitu tukang sapu dan pelayan yang menguruskan makan minum peserta yang menyertai kursus yang dikendalikannya. Inilah amalannya setiap kali, memuliakan pekerja yang bertugas tidak kira apa pun kedudukan mereka, hatta seorang tukang sapu sekali pun. Rakan saya berpandangan mereka yang bertugas adalah bakal ahli syurga kerana sentiasa membekalkan makanan untuk taman-taman syurga (majlis ilmu).

Beberapa minit selepas majlis, ketika sedang memandu menuju ke Shah Alam, telefonnya berdering. Dua orang pekerja wanita yang dimuliakannya tadi memaklumkan yang dia tertinggal laptopnya di dalam dewan. Rupa-rupanya dia hanya mengambil wayar laptop sahaja.Dia dapat laptopnya kembali.

Saya fikir, dia tidak mungkin dapat laptopnya semula, sekiranya dia tidak ambil endah akan kehadiran pekerja wanita itu tadi apatah lagi memuliakannya begitu.

Tidak rugi memuliakan orang lain sebenarnya, dan ia tidak sukar untuk dilakukan pun!

Pena Tumpul - Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya

83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...