Friday, June 21, 2013

Rugi

"Ala, ruginya tak tengok bola semalam. Terlupa nak set jam".

Haziq menyatakan rasa ruginya kerana terlepas menonton bola di tv malam tadi. Saya melihat Haziq silap meletak rugi pada tempatnya.Terlepas menonton perlawanan bola merugikan? Perlu difikirkan sama ada "rugi" tersebut memberi manaafat atau tidak kepada kita.

Rugi di dunia mungkin boleh dicari, namun rugi di akhirat sangat berbeza. Apabila kehidupan ini dibiarkan berlalu tanpa ada bekalan yang cukup untuk dibawa pada hari perhitungan, itulah rugi yang sebenar. MengadapNya dengan tangan kosong dan tanpa bekal yang menucukupi itulah rugi malah memalukan!

"Sayangnya hari ini hujan pula. Tak dapat pergi dengar ceramah ustaz, ruginya!"

Rugi yang sebenarnya ialah apabila kita terlupa menambah nilai kebaikan buat diri kita. Dunia adalah tempat bercucuk tanam pohon kebaikan, manakala akhirat tempat kita menuai segala kebaikan. Sebenarnya juga tidak rugi pun kita bersusah payah untuk kesenangan di akhirat kelak. Secara zahir kita mungkin "rugi" masa dan tenaga kerana tiada wang ringgit yang yang dapat dipegang dan tiada pangkat yang dapat menjulang nama kita. Namun bukankah itu hanya dunia semata?

Justeru itu tidaklah rugi untuk berkorban apa-apa yang ada di dunia supaya kita tidak rugi di akhirat nanti. Kita perlu bijak melawan dan menundukkan nafsu yang sentiasa menghasut kepada perkara yang memang buat kita rugi!

Pena Tumpul - Ada untung ada rugi


Wednesday, June 19, 2013

Penilaian

Saya makan bersama isteri, Haziq dan Hafiz di sebuah restoran malam tadi. Sedang kami menikmati hidangan, sekonyong-konyong masuk seorang budak dalam lingkungan belasan tahun. Dia memang menarik perhatian saya. Pakaiannya agak lusuh dan kelihatan bertampal di sana sini. Nampak sangat daif. Hafiz yang tidak tahu apa-apa pantas bersuara, "Bang Ngah,teruk ya baju budak tu, sian dia".Haziq tidak berkata sepatah pun tetapi tekun menyantap nasi goreng pataya kegemarannya. 

Budak lelaki itu dihampiri pelayan dan diberikan menu untuknya membuat pilihan. Saya nampak pelayan tersebut hairan mengapa budak itu berani masuk ke dalam restoran itu. Dia pastinya beranggapan budak itu tidak mampu membayar makanan yang ada berdasarkan penampilannya itu.

Saya dengar dia bertanya kepada pelayan itu,“Berapa harga ais krim strawberry dan cokelat?”Pelayan itu didengar menjawab, "RM20.00"


Budak itu menyeluk koceknya dan mengeluarkan beberapa keping siling dan mengiranya. Setelah itu dia  bertanya lagi, “Kalau aiskerim biasa aja berapa?"

Pelayan mengerutkan kening sambil berkata, “RM10.00”
Sekali lagi saya lihat budak itu mengira wang silingnya dan bertanya lagi,“Kalau beli separuh aja berapa?"
Saya lihat pelayan mula marah dengan budak itu dan menjawab, "RM5.00"

Budak itu tersenyum dan akhirnya membeli ais kerim separuh aja. Saya lihat budak itu bukan kepalang gembiranya menikmati aiskerim itu sehingga habis. Sejurus selepas itu pelayan datang kepadanya dan menyerahkan bil yang perlu dibayar.

"Semuanya lima ringgit kan“ ujar budak itu dan menghulurkan beberapa keping wang siling kepada pelayan itu. Saya nampak pelayan merenyok kerana perlu mengira wang siling itu.

Kedaifan budak lelaki tidak menarik perhatian saya sangat sebenarnya. Bila dia mengeluarkan sekeping wang kertas RM20 dan memberikannya kepada pelayan itu sebagai tip lebih menarik perhatian saya. Dia sepatutnya boleh menikmati aiskerim yang diidamnya kalau dia mahu. Pelayan tidak menolak rezeki yang diberi, namun wajahnya menampakkan rasa malu dan sesal juga.

Begitulah permainan dunia.Ada kalanya kita tidak sewajarnya melihat apa yang melekat pada tubuh seseorang saja sebagai penilaian. Bukan hal yang bagus untuk meremehkan seseorang kerana melihat penilaian dari luar. Kita tidak akan tahu suatu hari nanti, seseorang yang kita remehkan boleh menjadi penghantar rezeki buat kita tanpa kita duga.

Pena Tumpul - Terharu

Friday, June 14, 2013

Pendosa

Saya menegur Haziq yang bercerita sesuatu yang tidak baik tentang kawannya. Bahawa kawannya
memang kerap mencuri, tidak hormat ayah dan ibunya, tidak pernah solat dan sebagainya walaupun benar namun dia tidak seharusnya dilihat begitu.Haziq tidak sewajarnya menilai kawannya begitu kerana dia tidak berlaku adil kepada kawannya.

Walaupun kita relatif lebih baik berbanding dengan orang lain, kita tidak seharusnya merasa diri kita sudah sempurna.Jangan ingat hari ini kita beriman, esok lusa kita pasti beriman lagi. Hati kita ini di hujung kekuasaanNya bagi membalikkannya. Justeru itu kita kena jaga iman kita baik-baik, begitu juga iman kawan-kawan kita dan bukannya membiarkan mereka dalam lubang kehinaan selama-lamanya.

Saya pernah terbaca sebuah berkisah yang berkaitan dengan bolak balik iman ini. Kisah ini mengajar kita bahawa langit tidak selalunya cerah. Ada ketikanya akan mendung juga.Ia kisah berkenaan seorang alim memandang hina kepada seorang Nasrani yang dilanggarnya secara tidak sengaja sambil mengatakan bahawa lelaki itu adalah ahli neraka.Orang Nasrani itu marah sambil berkata, "Apakah kamu yang memegang neraka? Saksikan bahawasaNya aku ini naik saksi bahawa Allah itu Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Dia dan Muhammad itu rasulNya". Kemudian orang Nasrani itu meninggalkan orang alim tersebut.

Orang alim meneruskan perjalanan, akhirnya dia melalui sebuah rumah. Keluar dari rumah itu gadis yang cantik hingga memikat dirinya. Dia segera bertemu ayah perempuan itu, meminta dikahwinkan dengannya. Rupanya keluarga itu adalah keluarga Nasrani. Ayah kepada perempuan itu berkata, "Sekiranya kamu mahu mengahwini anakku, masuklah dalam agamaku ini dan bekerjalah sebagai penternak khinzirku selama beberapa bulan".

Oleh kerana hatinya sudah sawan dengan perempuan itu, tanpa sedar lelaki alim tadi bersetuju. Pada satu ketika lelaki Nasrani yang sudah memeluk Islam tadi melalui kembali jalan itu dan terserempak dengan lelaki alim tadi yang sedang menggembala khinzir.

"Apa yang sudah berlaku kepada kamu, wahai Muslim?" Orang alim tadi menjawab, "Kerana aku menghinamu, Allah menukarkan kedudukan kita".

Janganlah kita menghina pendosa. Kita sepatutnya mendekati mereka. Membimbing mereka juga. Kita tidak tahu bagaimana kita suatu masa nanti.

Pena Tumpul - Allah Maha Pengampun

Wednesday, June 12, 2013

Kreatif

Saya membeli majalah Solusi edisi terbaru. Antara ruangan yang cepat menangkap perhatian saya ialah ruangan angguk geleng di halaman akhir majalah. Ia menyajikan cerita yang menarik namun tersirat pengajaran. Saya tertarik dengan kisah anggur, epal dan air. Ia tentang kebijaksanaan seorang Ustaz dalam mematahkan hujah lawannya, seorang profesor.

Ada seorang profesor yang skeptikal terhadap ustaz-ustaz. Pada pandangannya, semua ustaz kolot dan mempunyai tahap intelek kelas ketiga. Hanya pandai mengajar dan berceramah.

Selalunya dia akan berkawan dengan ustaz hanya untuk mengenakan mereka. Setakat ni dah lebih 20 orang ustaz berjaya dikenakan olehnya..

Kali ni profesor bertemu lagi dengan seorang ustaz..Lalu berlakulah pertikaman lidah antara mereka berdua.

Profesor : Saya sangat suka anggur. Salahkah saya suka memakan anggur?
Ustaz : Tentunya tidak..
Profesor : Kalau saya makan anggur dan epal?
Ustaz : Tiada masalah..
Profesor : Bagaimana pula jika anggur dan epal itu saya kunyah-kunyah, kemudian saya telan sambil minum air?
Ustaz : Ikut suka hati kamulah..
Profesor : Baiklah, jika semua itu tidak salah, kenapa kita tidak boleh minum arak? Bukankah arak itu asalnya campuran anggur atau epal dengan air semata-mata?

Dalam hati si profesor tersebut tersebut berkata : "Kali ni seorang ustaz lagi terkena!"

Ustaz : Hmm..kalau begitu, cuba tuan jawab pula soalan saya nih.. Saya curahkan air ke atas tuan, agaknya sakit tak?
Profesor : Ah, tidaklah!
Ustaz : Bagaimana kalau saya renjis-renjis sedikit tanah, sakit tak?
Profesor : Tentulah tak rasa apa-apa, ustaz. Mungkin kotor sahaja..
Ustaz : Kalau begitu, bolehlah saya hempapkan sebiji bata atas kepala awak. Tentu tak sakit.
Profesor : Bata?! Tentulah sakit ustaz!
Ustaz : Bukankah bata itu asalnya campuran tanah liat dan air sahaja?

Selepas itu, si profesor menjadi anak murid terdekat ustaz tersebut. Dia belajar dan menghayati keindahan syariat Islam dan kehebatan ulama.


Ada pengajaran yang boleh kita dapat di sini.Menjadi seorang pendakwah perlu kreatif berhadapan orang yang akan diberi dakwah. Barulah bukan pendakwah yang terkena, sebaliknya orang yang akan tertarik kepada dakwah yang disampaikan.

Pena Tumpul - Suka gaya penyampaian Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Monday, June 03, 2013

Diskriminasi



Seorang sahabat lama yang ditemui hari ini bercerita panjang tentang pengalaman kerjanya di salah sebuah syarikat milik orang China. Katanya hampir 10 tahun dia bekerja di syarikat itu. Saya kagum kerana dia dianugerah kekuatan, keberanian dan keyakinan untuk bekerja di sektor swasta ketika ramai yang lain memilih jalan selamat dan selesa dengan bekerja di jabatan kerajaan atau pun sekurang-kurangnya di syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Tidak ramai orang Melayu sepertinya.

Dia menyuarakan rasa terkilannya kerana orang Melayu seolah-olah tidak diberi kepercayaan untuk memegang jawatan tertinggi seperti CEO di syarikat besar milik hartawan China. Melayu memang tidak bekemampuan atau berkelayakankah atau sememangnya Melayu tidak diberi tempat di syarikat milik mereka? Adakah memang mereka mengamalkan diskriminasi?

Menurutnya, yang pernah bertugas di Bahagian Sumber Manusia, sekiranya dilakukan tinjauan terhadap syarikat-syarikat milik orang China, rata-ratanya orang Melayu cuma layak diberikan jawatan budak pejabat, penyambut tetamu, pencuci, pengawal keselamatan, kerani dan kalau ada pun seorang atau dua orang pengurus.

Tindakan mereka untuk menyekat penembusan orang Melayu dalam syarikat mereka sangat mudah. Dalam iklan jawatan kosong atau pun kalau bernasib baik dipanggil untuk temuduga, ditekankan bahawa syarikat mereka hanya akan menerima orang Melayu yang boleh berbahasa Mandarin. Perlukah kelayakan bahasa itu atau cuma satu helah untuk menghalang kemasukan orang bukan China dalam syarikat mereka?

Kita melihat diskriminasi dilakukan terhadap orang Melayu ketika kita sendiri dididik untuk beramalan baik kepada semua orang, bermurah hati tanpa mengira keturunan. Hasilnya tidak seperti yang kita taburkan dan kita cuma mampu memendam kesakitan dalam diam.


Tidak hairanlah kenapa ramai orang Melayu yang lebih selesa bekerja di sektor awam atau pun GLC milik orang kaya Melayu. Jadi, kalau ada pihak sana yang bising-bising kenapa ramainya orang Melayu yang bekerja dengan kerajaan, tanyalah diri sendiri kenapa ia begitu kerana jawapannya memang sudah ada.

Pena Tumpul - Kerja dengan orang Melayu

Saturday, June 01, 2013

Mata

Masa kecil-kecil dulu emak ayah selalu marah-marah kalau anak tonton TV pada jarak dekat, sebab boleh rosakkan mata kononnya. Saya pun memang suka duduk rapat depan tv lebih-lebih lagi kalau cerita katun. Duduk jauh-jauh tidak rasa seronok lebih-lebih lagi kalau saiz tv agak kecil. Lantas kata-kata emak ayah bagaikan tidak diendah sahaja.

Namun,menurut Akademi Oftalmologi Amerika (AAO), anak-anak menjadi lebih fokus apabila tonton TV pada jarak dekat tanpa mengalami sakit mata, berbanding orang dewasa. Hal yang harus dititikberatkan ialah betulkan tabiat duduk sewaktu di depan TV atau memegang bahan bacaan yang berdekatan. Walaubagaimanapun, kekerapan menonton TV terlalu lama sedikit sebanyak memang boleh menjejaskan penglihatan. Namun ia bukanlah satu-satunya faktor penyebab kerana faktor genetik juga turut menyumbang.

Hafiz yang masuk usia tujuh tahun mengadu tidak nampak dengan jelas tulisan di papan hitam dalam kelasnya. Dia mengadu kepada ibunya dan setelah dilakukan pemeriksaan doktor, Hafiz mengalami sedikit kerosakan di matanya dan Hafiz tiada lain pilihan kecuali berkaca mata. Atoknya mengusiknya pula seperti mana dia mengusik saya dahulu. Memang Hafiz suka tengok tv dekat-dekat.

Pun begitu, Hafiz nampak comel dengan cermin matanya!

Pena Tumpul - Pakai cermin mata sejak Tingkatan Dua


Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...