Wednesday, November 30, 2016

Tatang

Selalu sangat saya dengar orang tua-tua kata tidak elok makan nasi tatang.Namun tiada pula diberikan sebab kenapa tidak elok makan cara begitu. Makan bertatang bermaksud makan tanpa meja. Tangan kanan memegang makanan manakala yang kiri untuk memegang makanan. Pada saya ia tidak cukup menyelesakan. Tiada kepuasan dalam menikmati makanan.

Saya menghadiri majlis perkahwinan di Terengganu, Amat simple dan santai. Tidak perlu banyak balai tetamu. Cuma dua sahaja. Satu untuk tetamu lelaki dan satu lagi untuk wanita. Tidak memerlukan kawasan yang sangat luas pun. Tidak perlu berhabisan untuk sebuah majlis yang akan berlangsung setakat beberapa jam sahaja. Asalkan tetamu dapat makan dan minum, sudah dikira memadai rasanya. Soal-soal lain yang tidak sangat menyumbang kepada kesempurnaan majlis tidaklah sangat penting pun. Soal tiang balai perlu dibalut dengan kain warna apa juga bukan penting.

Dalam perjalanan balik ke Segamat, saya mencanangkan supaya idea jimat cermat ini diaplikasikan di tempat sendiri. Rata-rata orang sebelah selatan termasuk Johor dilihat agak berlebihan dalam soal-soal kulit ini. Sanggup berbelanja bukan kepalang besarnya. Malah tidak perlu pun dan adakalanya menjurus kepada pembaziran kalau tidak kena gayanya. Saya kata elok malah perlu kalau guna pinggan dan gelas pakai buang. Jimat dan tidak perlu susah-susah dan penat-penat hendak basuh. Mudah dan pantas.

Namun ada kekangannya. Orang kita suka buat apa yang ramai orang lain buat. Juga suka fikir apa orang lain kata. Juga amat sukar untuk membuat kelainan! Setujukah mereka?

Pena Tumpul - Suka makan bersila

Tuesday, November 01, 2016

Minyak

Harga minyak naik 15 sen seliter hari ini. Ramai terkejut. Juga melenting. Mengomel sana sini. Kereta atau apa sahaja bentuk kenderaan yang dimiliki perlu digerakkan tidak kira setinggi mana pun harga bahan bakar di pam minyak, sama ada untuk ke tempat kerja atau apa pun tujuannya.

Pilihan yang ada mungkin bertukar kepada kereta yang berkuasa kuda lebih rendah atau pun gunakan sahaja motosikal. Penggunaan basikal mungkin boleh difikirkan tertakluk kepada keadaan dan kesesuaian. Menonggang basikal ke tempat kerja tentunya bakal mengundang ejekan, seolah-olah macam tidak mampu atau kedekut sangat. Namun, dalam mendepani krisis bahan bakar yang semakin meruncing sekarang, kita perlu lebih praktikal. Saya sendiri lebih selesa dengan "Jaguh" saya, cuma sesekali bila cuaca tidak mengizinkan berkereta ke tempat kerja.

Saya memilih untuk bersikap rasional walaupun kecewa dengan kenaikan yang begitu tinggi dan mendadak ini.Merungut, mengomel, mengeluh, memberontak apa tah lagi menyuarakan rasa geram dan berang dengan berdemonstrasi tidak akan menyelesaikan masalah.

Cuma apa yang diharapkan tidak akan berlaku kesan rantaian ekoran kenaikan harga minyak. Sudah acap kali kenaikan harga minyak akan dibontoti oleh kenaikan barang keperluan dan juga perkhidmatan. Walau pun kerajaan tidak habis-habis memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan namun ia tidak lebih sekadar cakap-cakap kosong yang tidak serupa bikin. Yang pasti pengusaha kenderaan awam seperti bas, teksi, bas sekolah bakal merengek meminta tambang dinaikkan. Harga barang akan naik mendadak secara senyap dan licik. Minyak naik akan jadi alasan paling popular untuk setiap kenaikan. Dalam kemelut ini pengguna akan terus menjadi mangsa yang tertekan dan terbelenggu sementara peniaga-peniaga lintah darat akan terus mengaut keuntungan yang berlipat-lipat ganda. Jangan biarkan ini berlaku. Kerajaan yang diberi amanah oleh rakyat untuk mengurus negara perlu melakukan sesuatu yang paling terbaik dan berkesan untuk membenteras kehalobaan dan kegelojohan pihak yang mengambil kesempatan ini.

Kerajaan perlu tegas. Jangan bertindak bagai melepas batuk di tangga dan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Pendapatan yang dibawa pulang setiap bulan tidak akan membawa makna apa-apa kalau kuasa beli pengguna semakin menyusut akibat di ratah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Kesan rantaian perlu dibendung secara serius. Roti canai naik, kenapa? Sebab tepung naik. kenapa tepung naik? Sebab kos pengangkutan naik. Kenapa kos pengangkutan naik? Itu minyak sudah naik. Percayalah, inilah yang akan berlaku nanti sekiranya kerajaan tidak tegas dalam menangani masalah kenaikan minyak ini.

Rakyat mungkin boleh menerima kenaikan harga minyak tetapi mungkin tidak dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain. 

Takut ada yang naik minyak kerana minyak naik!

Pena Tumpul - Naik basikal tua

Wednesday, October 12, 2016

Kepandaian

Adakalanya kita merasakan yang kita lebih pandai sehingga memandang rendah kebolehan orang lain. Saya ingin berkongsi satu cerita yang saya baca dari majalah Solusi. Ceritanya memang menarik dan boleh dijadikan iktibar.

Satu hari seorang profesor bijak pandai sedang menyeberang sebatang sungai yang luas dengan sebuah sampan yang didayung oleh seorang pakcik pendayung.

Di tengah perjalanan, berlaku sebuah dialog antara mereka berdua.

Profesor : Kamu pandai menulis dan membaca ??
Pendayung sampan : Tidak tuan, saya buta huruf.
Profesor : Oh, kamu sudah kehilangan separuh daripada kehidupan kamu. Orang buta huruf telah hilang separuh keupayaan untuk hidup dengan berjaya.

Sampan terus bergerak meredah sungai yang luas itu. Sejurus kemudian,


Profesor : Kamu ada buat simpanan wang untuk masa depan ??
Pendayung sampan : Tiada tuan, pendapatan saya cukup-cukup makan.
Profesor : Kalau begitu, kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang tidak menyimpan wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti.

Sampan terus bergerak. Tiba-tiba, sampan itu terlanggar bucu sebuah batu dan bocor. Air mula memasuki sampan.

Mereka berdua bergegas mengambil apa jua bekas untuk mencedok air keluar dari sampan. Namun usaha mereka tidak berhasil kerana air begitu deras masuk. Tenyata sampan itu akan tenggelam !!

Dalam keadaan cemas itu, si pendayung bertanya.

Pendayung sampan : Tuan! tuan pandai berenang ??

Profesor : Er, er, saya tidak tahu berenang. (panik)
Pendayung sampan : Kalau begitu, tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!!.


Harus diingat Allah tidak jadikan manusia ini bodoh, tetapi Dia jadikan setiap orang mempunyai kepandaian yang berlainan. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jadi, tiada manusia yang bodoh, yang ada hanya kepandaian yang berbeza.

Jadi, janganlah kita perlekehkan orang lain, kerana di satu masa nanti kita akan amat memerlukannya!

Pena Tumpul - Pandai cerita sahaja

Tuesday, October 11, 2016

Asyura

''Tiada hari yang afdal berpuasa melebihi hari-hari di bulan Ramadhan dan hari Asyura."
-HR Bukhari & Muslim-

"Sesungguhnya Asyura adalah hari-hari Allah."

-HR Muslim-

Hari Asyura merupakan salah satu hari kebesaran yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab, 'Asyara' yang bermaksud sepuluh. Ini kerana hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram. Bagi tahun ini 1433 H, kita bakal merayakan Hari Asyura pada esok hari, 6 Disember 2011 (Selasa).

Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad s.a.w.
Di Malaysia, amalan yang menjadi adat umat Islam adalah melakukan gotong-royong menyediakan Bubur Asyura.

Menurut sejarah , Nabi Muhammad s.a.w. melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian/

Dari Ibnu Abbas r.a. berkata, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (HR Bukhari)

Dari Saidatina Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim)

Juga Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.

Sejarah peristiwa yang pernah berlaku ketika 10 Muharram:
  • Hari pertama Allah menciptakan alam.
  • Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
  • Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  • Allah menjadikan 'Arasy.
  • Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  • Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  • Nabi Adam a.s. dicipta.
  • Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
  • Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
  • Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
  • Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
  • Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
  • Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
  • Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
  • Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
  • Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
  • Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
  • Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  • Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
  • Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  • Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
  • Saidina Hussein ibni Ali telah syahid di Karbala.
Perkara Yang Sunat Dilakukan Pada Hari Asyura
  • Melapangkan masa / belanja anak , suami & isteri2
  • Memuliakan fakir miskin
  • Menahan marah
  • Memandu/menunjukkan orang sesat
  • Menyapu / mengusap kepala anak yatim
  • Bersedekah
  • Memelihara kehormatan diri
  • Mandi Sunat - Lafaz niat : 'Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala'
  • Bercelak
  • Membaca surah Al-Ikhlas (Qulhuwallah) hingga akhir seribu kali
  • Sembahyang sunat empat rakaat - Lafaz niat : 'Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala'
  • Membaca 'hasbiyallahhu wani'mal wakil wa ni'mal maula wa ni'mannasiiru' (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung)
  • Menjamu orang berbuka puasa
  • Puasa - Niat : 'Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala 

  • Pena Tumpul - Peringatan buat diri

Sifat

Saya dengar di corong radio pagi ini, seorang Ustazah bercakap tentang enam sifat wanita yang mana jika wanita memiliki salah satu dari sifat ini dinasihati dijauhi atau dilarang daripada lelaki untuk mengambilnya sebagai isteri.

Kalau wanita yang memiliki sifat-sifat buruk ini diambil menjadi isteri nescaya ia akan mendatangkan masalah kepada si suami.
1. Al Nananah  
- wanita yang banyak mengomel itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga   semua tidak kena dan tidak berpuas hati. Buruk sungguh sifat wanita seperti ini.

2. Al Manah 
- wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Biasanya wanita ini bekerja berkedudukan tinggi dan bergaji besar. Ini antara sifat buruk wanita yang terkutuk.

3. Al Manaqah 
- wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Wanita sebegini yang mengkufuri nikmat perkahwinan. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya. (Saya teringat satu masalah dulu wujud kumpulan pencari suami bergelar datuk. Dalam kumpulan ini ada beberapa orang wanita yang sudah beristeri yang juga turut berminat untuk mendapatkan suami bergelar datuk dan berkedudukan).

4. Al Hudaqah - wanita yang suka ikut nafsunya. Wanita sebegini memeningkan kepala lelaki. Dia tenguk apa saja dia mahu. Dia suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain. Suka menunjuk-nujuk. Wanita inilah yang menjadikan suami dulu handsome sekarang suah botak.

5. Al Basaqah 
- wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghias diri bukan untuk sumainya tetapi untuk ditunjuk-tujukkan kepada dunia. Suka melawa. Wangnya dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. Kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua dalam kumpulan itu, orang lain tidak boleh mengatasi dirinya.

6. Al Salaqah 
- wanita yang mulut becok, banyak cakap. Selalu ada ditempat kenduri atau majlis-majlis keramaian. Selalunya wanita ini cuba memonopolikan majlis. Kebecohan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi, hanya tukang sibuk dan komen saja.

Pena Tumpul - Tidak tahan wanita suka berleter

Monday, October 10, 2016

Cerewet

Sering kita dengar suara-suara dari kaum Hawa tentang sukarnya menemui lelaki yang berkualiti sekarang. Dengan nisbah yang agak tinggi antara bilangan lelaki dan perempuan, proses untuk mencari pasangan yang sesuai menjadi semakin rumit. Lalu, tidak hairanlah ada wanita yang memilih untuk kekal bujang justeru lelaki yang diidam hati tidak ditemui.

Bila berbicara tentang mencari calon suami saya suka untuk berkongsi cerita yang agak lucu ini. Cerita ini tidak mungkin benar, namun tidak mustahil ia pasti berlaku nanti andainya proses mencari calon suami menjadi semakin payah. Pun begitu ada mesej untuk kaum Hawa, bahawa jangan terlalu cerewet memilih calon suami.

Ada kedai menjual suami. Enam tingkat dan setiap tingkat mempamerkan calon suami dengan ciri-ciri tertentu. Khabarnya, semakin tinggi tingkat yang, semakin bertambahlah ciri-ciri suami yang dipamerkan.Namun ada peraturan yang perlu dipatuhi. Boleh masuk bermula dengan tingkat 1 tetapi sekiranya tidak berkenan dengan ciri-ciri calon suami yang dipamerkan, boleh terus naik ke tingkat 2 dan seterusnya sehinggalah ke tingkat yang ke 6. Dan, sekiranya masih gagal menemui calon yang diidamkan, tidak dibenarkan berpatah balik tetapi terus keluar dengan tangan kosong. Inilah yang menariknya!

Seorang wanita mencuba nasibnya. Dia masuk. Di pintu tingkat 1, dia membaca ini, 
Tingkat 1: Lelaki-lelaki ini punya pekerjaan. 
"Ok jugak ni, sekurang-kurangnya lebih baik daripada teman aku dulu yang langsung tak ada kerja, tapi kalau naik tingkat 2 pastinya lain pula", fikir wanita itu. Lalu dia naik ke tingkat 2 dan membaca,
 Tingkat 2: Lelaki-lelaki ini punya pekerjaan dan sangat suka kanak-kanak.
"Ini lagi bagus, tetapi kalau terus naik tingkat 3 cam ne lak", katanya. Wanita itu naik ke tingkat 3 dan membaca ini pula,
Tingkat 3: Lelaki-lelaki ini ada pekerjaan, suka kanak-kanak dan tampan serta menarik.
"Ermm, ini lebih baik daripada yang tadi," katanya. Namun dia masih terdorong untuk ke tingkat seterusnya. Di tingkat 4 dia membaca ini pula,
Tingkat 4: Lelaki-lelaki ini ada pekerjaan, suka kanak-kanak, tampan dan menarik serta suka buat kerja-kerja rumah.
"Wau!", jerit wanita itu. "Bagus betul ni. Tetapi kalau naik tingkat atas pasti lebih bagus lagi". Dia naik ke tingkat berikutnya dan membaca ini pula,
Tingkat 5: Lelaki-lelaki ini ada pekerjaan, suka kanak-kanak, tampan dan menarik, suka buat kerja-kerja rumah dan amat romantik juga. 

Wanita ini tidak berhenti di tingkat 5. Dia masih ingin terus ke tingkat 6 dan melihat apakah yang ditawarkan di tingkat paling atas itu. Dia terkedu bila membaca sesuatu yang tidak dijangkanya ini,
Tingkat 6: Anda adalah pelawat yang 3,456,789,019 ke tingkat ini.

Tingkat 6 kosong. Tiada lelaki seorang pun. Tingkat ini diwujudkan hanya untuk membuktikan bahawa wanita memang cerewet dan sukar dipenuhi kehendak hatinya.


Betulkah wanita memang cerewet dalam memilih bakal suami?


Pena Tumpul - Tidak cerewet cuma teliti dan berhati-hati

Wednesday, October 05, 2016

Titik

Saya disuntik semangat pagi ini bila mendengar bicara motivasi lewat corong radio pagi ini. Ia tentang diri kita yang adakalanya sukar untuk percaya pada diri sendiri dan akan kebolehan diri sendiri. Kurang percaya kepada kebolehan diri sendiri adalah kelemahan saya paling ketara. Kurang yakin. Acapkali saya ditempelak oleh isteri dan anak sendiri kerana kelemahan saya ini.

Tidak dinafikan percaya adalah sebuah perasaan hati. Orang yang mempunyai rasa percaya kepada diri tidak akan terus putus asa dan tidak mudah menyerah sebelum mencuba. Kata pakar motivasi ini orang yang kurang percaya pada diri selalunya cepat membuat keputusan bahawa dia tidak mampu melakukan sesuatu sebelum melakukannya pun. Banyak juga peluang yang ditolak kerana tebalnya kurang rasa percaya pada diri. Sebelum berusaha kita sudah dikalahkan oleh diri kita sendiri awal-awal lagi. Bukan kerana faktor dari luar pun.

Kisah ini menarik untuk dijadikan panduan dalam menjana rasa percaya yang semakin menipis dalam diri kita. Mantoba sangat rajin bekerja, dan sangat bertanggung jawab. Namun dia mempunyai satu kekurangan, iaitu dia merasakan tidak mempunyai harapan apa pun terhadap kehidupannya. Dia melihat dunia ini dengan pandangan kelam tanpa harapan langsung.

Pada suatu hari semua kawan-kawan sekerjanya bergegas untuk merayakan hari ulang tahun kelahiran bos mereka. Mereka semua pergi dengan cepat dan tergesa-gesa. Dengan tidak sengaja Mantoba yang sedang bekerja terkunci di sebuah bilik sejuk kontena pengangkutan ais yang belum sempat dibetulkan. Mantoba menjerit, memukul pintu dengan kuat sambil meminta tolong, namun hampa kerana kesemua rakannya sudah pun pergi merayakan ulang tahun kelahiran bosnya. Maka tidak ada yang mendengar jeritan pertolongannya.

Tangannya sudah merah dan bengkak-bengkak memukul pintu itu, suaranya sudah serak akibat menjerit kuat, tetapi tetap tidak ada orang yang mempedulikannya. Akhirnya dia terduduk di dalam sambil menghelakan nafas yang panjang.

Semakin dia berfikir semakin dia merasa takut, dalam hatinya berkata: Dalam kontena sejuk pengangkut ais suhunya pasti di bawah kosong darjah, kalau dia tidak segera keluar dari situ, pasti akan mati kesejukan. Dia memaksakan diri dengan tangan yang gementar kesejukan, mencari secarik kertas dan sebatang pen, menuliskan surat wasiatnya.

Keesokan harinya, semua petugas pun datang bekerja. Apabila mereka membuka pintu bilik sejuk dalam kontena pengangkut ais tersebut, mereka sangat terkejut menemui Mantoba yang terbaring di dalam. Mereka segera menghantar Mantoba ke hospital untuk rawatan, tetapi malangnya Mantoba sudah tidak bernyawa lagi. Tetapi yang lebih mengejutkan bekalan elektrik ke bilik sejuk untuk menghidupkan mesin itu tidak dibuka, dan dalam bilik kontena yang besar itu sebenanya cukup oksigen di dalamnya untuk Mantoba terus bernyawa. Dan yang paling menghairankan mereka,  suhu dalam bilik itu cuma 28 C saja. Tetapi Mantoba mati “kesejukan”!

Mantoba bukanlah mati kerana suhu dalam kontena terlalu rendah tetapi dia mati kerana ada titik ais di dalam hatinya.

Mantoba sudah menghukum dirinya dengan hukuman mati!

Pena Tumpul -Percaya semua orang

Thursday, September 29, 2016

Penipuan

"Jualan murah itu tipu aja"

Haziq mengesahkan secara rasminya apa yang saya kata selama ini tentang jualan murah. Kita tertipu sebenarnya oleh gimik jualan murah yang menggoda dan mempesona.

Kata Haziq yang bekerja secara sambilan di bahagian pakaian di salah sebuah pasaraya mendedahkan kebenaran apa yang berlaku. Harga asal barangan di naikkan, kemudian dipotong sehingga 70%. Kita melihat seolah-olah betul berlaku penurunan harga yang sangat menggemparkan sedangkan sebenarnya kadar potongannya amatlah kecil atau mungkin tiada penurunan langsung. Ada kemungkinan kita membayar harga asal atau kalau nasib tidak baik kita mungkin membayar lebih dari harga yang sepatutnya. Ada kemungkinan potongan tidaklah sampai 70% pun seperti yang dipamerkan. Ia mungkin sekitar 10% sahaja.

Saya percaya ramai yang sedar akan hal ini. Namun, tarikan potongan itu sangat kuat dan kita tidak mampu menolaknya lebih-lebih lagi kalau barangan itu memang sangat kita nanti-nantikan ketikanya untuk dijual dengan harga yang istemewa. Peniaga memang sangat licik dalam memikat pembeli. Tujuan peniaga hanya satu, iaitu untuk memindahkan wang dari kocek kita ke kocek mereka.

Kita ingat kita pengguna yang bijak tetapi rupa-rupanya pengguna yang sudah dipijak!

Pena Tumpul - Beli baju murah sahaja

Wednesday, September 28, 2016

Menjerit

Gambar hiasan sahaja
"Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan"  (Surah al Fathir ayat 37)

Saya membaca ayat ini selepas solat Subuh pagi  dan berhenti lama untuk memahaminya lebih mendalam. Maksudnya tidak sukar untuk difahami pun.Allah menggambarkan keadaan mereka yang kufur ingkar dengan risalah yang dibawa oleh utusanNya dan mendustakan ayat-ayatNya. Justeru mereka enggan patuh kepada perintahNya malah melakukan pula apa yang ditegahNya, Tuhan menghumban mereka ke dalam neraka Jahannam.

Betullah kata bidalan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sekian lama umur Tuhan pinjamkan di dunia, tidak mahu dimanafaat sebaiknya tetapi dibazirkan untuk melakukan sesuatu yang Tuhan murka. Bukan kita tidak diperingatkan, tetapi kita yang menzalimi diri kita sendiri. Lantas, wajarlah kita menerima balasannya di atas perbuatan zalim kita sendiri.

Menjerit dan merayulah, ia sudah tidak berguna lagi waktu itu!

Pena Tumpul - Insaf

Monday, September 12, 2016

Talipinggang

"Uda, boleh tak abang ngan adik nak pakai tali pinggang"

Tanpa disuruh pun, dua anak kecil ini meminta izin untuk mengenakan talipinggang keselamatan sebaik sahaja melabuhkan ponggong di kerusi belakang. Memiliki kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan di jalan raya di usia 5 dan 6 tahun pada saya agak luar biasa. Lebih luar biasa lagi, sepanjang perjalanan lebih kurang dua jam, talipinggang itu tidak pernah dibebaskan pun dari batang tubuh kedua-duanya kecuali bila berhenti sekejap di hentian lebuh raya.

Benarlah kata orang, kanak-kanak amat mudah menerima sesuatu yang diajarkan kepadanya. Tidak banyak soal jawabnya. Tiada juga alasan. Justeru itu saya melihat, peringkat usia kanak-kanak begini adalah waktu yang sesuai dan berkesan untuk diberikan didikan tentang pentingnya berhemah di jalan raya. Kurikulum yang bersangkutan dengan keselamatan di jalan raya wajar diperkenalkan seawal pra- sekolah lagi. Tanamkan sikap supaya menjadi pengguna jalan raya yang bersopan dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. Saya percaya kalau langkah ini dilaksanakan, dalam tempoh beberapa tahun akan datang kita bakal melahirkan pengguna jalanraya yang kita harapkan.  Tiada samseng di jalanraya, tiada juga mat rempit dan segala bentuk perlakuan yang memualkan yang kita saksikan di jalanraya kita sekarang. Tinggi sangat harapan itu tetapi ia bukanlah tidak boleh kita lakukannya pun kerana pilihan di tangan kita.

Lagi pun, buluh memang perlu dilentur sewaktu rebungnya!

Pena Tumpul - Bergesa memakai tali pinggang bila nampak sekatan jalan raya

Wednesday, September 07, 2016

Kaya

"Dari kecik sampai nak masuk kubur, tak pernah rasa senang, kaya jauh sekali"

Luahan ini terpacul dari mulut seorang penduduk kampung yang berjumpa Ketua Kampung petang ini. Secara kebetulan saya duduk bersantai bersama sambil minum petang bersama isteri. Ketika disulami dengan hujan yang turun hampir saban petang, berbual makin seronok sambil makan jemput ikan bilis buatan tangan mak mentua.

Bila bercakap tentang kaya, kita selalunya akan membayangkan memiliki wang berjuta-juta. Ada juga yang membayangkan wang yang sarat dalam bank, malah berjalan dengan dompet tebal yang berisi wang beribu sebagai kaya.

Namun kekayaan itu bukan sahaja terletak pada wang ringgit semata-mata. Kaya itu pelbagai. Mempunyai keluarga yang bahagia dan menyayangi antara satu sama lain juga satu kekayaan besar. Tidak ada nilainya punyai wang yang membukit andai tidak rasa bahagia ketika bersama-sama keluarga. Kaya dengan sahabat juga lebih besar nilainya daripada kaya wang ringgit. Saya mempunyai seorang kawan yang tidak mempunyai pendapatan yang lumayan. Hidupnya sederhana. Namun hidupnya sangat lancar kerana beliau kaya dengan kawan yang sedia membantunya setiap masa. Cemburu juga saya dengan kekayaannya itu!

Ada satu lagi jenis kaya yang adakalanya sering kita pinggirkan nilainya. Kaya ilmu menaikkan martabat kita dalam masyarakat. Mereka yang kaya ilmu sering dipandang mulia dan dihormati lebih-lebih lagi jika ilmu itu sedia dikongsi dan bermanafaat kepada orang lain. Tidak sukar pun untuk memiliki kaya yang satu ini. Syaratnya kita sanggup berusaha untuk belajar dan mengorbankan yang lain.

Kalau boleh, elakkan kaya hutang!

Pena Tumpul - Cukup makan pakai sahaja, syukurlah



Tuesday, September 06, 2016

Gred

Dalam perjalanan ke tempat kerja pagi ini, saya tertarik dengan titisan ilmu yang disampaikan oleh seorang Ustaz lewat corong radio. Ia sangat menarik dan wajar diberikan perhatian. Katanya, bila kita menduduki ujian atau peperiksaan, selalunya perkara yang menjadi tumpuan kita ialah apakah nilai gred yang bakal kita dapat nanti. Setelah berusaha keras menyiapkan diri untuk berdepan dengannya, kita tentunya mengharapkan gred yang terbaik. Pastinya kita mendambakan gred A atau paling kurang pun gred B. Gred C,D,E apatah lagi Gred F tidak tersenarai pun dalam keinginan kita.


Pun begitu adakah kita juga meletakkan nilai yang sama dalam ibadat solat kita. Adakah pernah kita memberi gred pada solat yang yang kita dirikan selama ini. Pagi ini, lewat corong radio saya tertarik dengan tazkirah yang disampaikan oleh seorang Ustaz. Mungkin kita pernah mengetahuinya dulu dan mungkin telah mengubah perspektif kita dalam menilai kualiti solat kita atau tidak peduli langsung pun.

Kata Ustaz, ada 5 gred solat.
 * Gred E
Bila azan, kita biasanya buat tak tahu, kalau tengah memasak terus memasak, yang tengah berFB terus berFB, sedang tengok tv terus tengok tv dan seumpamanya.

* Gred D
Bila azan berkumandang kita cepat-cepat  perlahankan tv, perlahankan radio tetapi lepas azan usai kita tetap meneruskan aktiviti.dan tidak bersedia untuk solat lagi.

* Gred C
Bila azan berkumandang, kita tidak tunggu-tunggu lagi malah terus mengambil wudhu' dan solat.

* Gred B
Bila azan , terus berwudhu' tetapi tentunya lebih baik dari yang tadi kerana kita menuju ke masjid  mahupun ke surau untuk solat berjamaah.

* Gred A
Bila azan, kita sudah pun berada di masjid dalam keadaan berwudhu' dan menunggu serta bersedia untuk solat.

Apa gred solat kita ya?Gred A, B atau barangkali E.Kita nilailah sendiri.


Pena Tumpul -Masa untuk  menilai diri

Tuesday, August 16, 2016

Persepsi

Saya sengaja tunjukkan imej ini pada Haziq dan mahu dia secara jujur menyatakan apa yang dia nampak. Jangkaan awal saya tidak meleset bila Haziq nampak lampu yang sedang menyala dan tidak nampak yang lain ketika orang lain (barangkali) nampak lebih dari sekadar lampu itu sahaja.

Saya percaya Haziq masih dangkal pengalaman dan terbatas horizonnya untuk nampak lebih dari yang mampu dilihatnya itu. Dan saya juga percaya Haziq melihat dari kacamatanya dan bukan kacamata orang lain sebagaimana orang lain yang tidak melihatnya dari kacamata saya. Persepsi ramai orang tidak pernah akan bertemu di satu titik persamaan. Pengalaman membentuk persepsi. Minda juga membina persepsi, baik atau buruk, positif mahu pun negatif. Persepsi juga bagai garis halus yang memisahkan antara kebenaran dan kepalsuan. Persepsi juga menggamit hati kita untuk menerima dan menolak kenyataan. Persepsi juga membezakan seseorang sama ada melihat kemenangan atau pun kekalahan. Seorang yang sebenarnya baik akan dilihat tidak baik hanya kerana persepsi kita yang melampau. Seorang pekerja yang dedikasi dan cemerlang juga adakalanya terjebak menjadi mangsa persepsi majikan yang salah tafsir dan membuat keputusan di bawah pengaruh orang lain.

Persepsi lahir berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan perspektif bagaimana sesuatu perkara itu dilihat. Ia tidak ubah seperti kisah "Enam orang Buta dengan Seekor Gajah". Pelbagai tafsiran mengikut kehendak, kepentingan dan pengalaman sendiri. Lalu, gajah dikata tali oleh si buta pertama kerana memegang belalainya, dikatakan dinding kerana kebetulan memegang badannya, dikatakan tiang kerana kaki yang dapat dipegang malah ada yang dikatakan daun kerana berpeluang memegang telinganya sahaja. Kita sepatutnya melihat seekor gajah dan bukannya melihat bahagian gajah secara terpisah!

Allah ada berfirman,” Dan sesunguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari Jin dan Manusia,mereka mempunyai hati,tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah,dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu sebagai ternak,bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai” (S:ala’araf:7;179)

Kalaulah kita dapat memandang dengan mata hati dan melihat kebenaran.

Pena Tumpul - Mual dengan perang persepsi yang makin mengganas di media sosial



Monday, August 15, 2016

Warak

Gambar sekadar hiasan
Adakalanya kita sangat mementingkan kuantiti sehingga tidak memberi penekanan kepada kualiti.Saya ingin berkongsi kisah yang sangat menarik ini yang sangat bagus untuk dijadikan pengajaran.Kisah ini mungkin rekaan namun ia ada mesej yang tersirat.

Ada seorang wanita yang sangat cantik orangnya ingin bernikah. Dia terlalu menginginkan seorang suami yang sangat warak. Jadi, dia pun membuat hebahan yang dia sudi menerima mana-mana jejaka yang ingin menikahinya tetapi dengan syarat lelaki itu harus berpuasa sepanjang tahun, mampu khatam Al Quran setiap hari dan harus beribadah sepanjang malam.

Tidak ada seorang pun lelaki yang sanggup menerima ketiga-tiga syarat itu kecuali seorang jejaka yang sederhana perwatakan dan penampilannya..Akhirnya, bernikahlah jua wanita itu dengan lelaki itu. Selepas malam pertama perkahwinan mereka, si isteri perhatikan bahawa suaminya langsung tidak membaca AlQuran, tidak berpuasa apatah lagi berjaga malam untuk bermunajat kepada Allah.

Setelah sebulan berkahwin, akhirnya wanita itu tidak dapat menahan kesabarannya lagi. Dia menganggap suaminya itu menipunya. Maka dia pun membuat permohonan cerai di mahkamah sambil menyatakan alasan telah ditipu oleh suaminya.

Di mahkamah, Tuan Hakim pun bertanya kepada lelaki itu, "kamu ingat apa syarat-syarat nikah yang isteri kamu letakkan?" "Ingat, yang arif. Puasa sepanjang tahun, solat malam setiap hari, khatam Quran setiap hari," jawabnya dengan nada lembut. Hakim bertanya lagi, "Adakah kamu melaksanakan syarat-syarat itu?" Dengan tenang pemuda itu menjawab, "Ya".

Jawab Tuan Hakim, "Kamu berbohong! Isteri kamu kata kamu tak buat. Macam mana ni?" Pemuda itu tetap bertegas dengan mengatakan bahawa beliau telah melaksanakan kesemua syarat yang diberikan. Tuan Hakim, pun bertanya lagi, "Adakah kamu mengkhatam alQuran setiap hari?" Pemuda itu mengiyakan soalan itu. Dengan wajah kebingungan, Tuan Hakim bertanya, "Bagaimanakah kamu melakukannya?" Dengan tenang pemuda itu menjawab, "Aku membaca surah al Ikhlas tiga kali sehari. Menurut Nabi Muhammad membaca surah al Ikhlas tiga kali menyamai dengan membaca seluruh alQuran"

Tuan Hakim tertarik dengan jawapan yang diberikan, lantas bertanya soalan yang kedua. "Bagaimanakah pula kamu berpuasa sepanjang tahun?" Pemuda itu menjawab, "Aku berpuasa di sepanjang bulan Ramadan dan meneruskan berpuasa selama enam hari di bulan Syawal. Menurut Nabi Muhammad dengan menjaga puasa di sepanjang bulan Ramadan dan enam hari di bulan Syawal, ia seumpama berpuasa sepanjang tahun."

Tuan Hakim diam membisu kerana dia tidak boleh menyangkal kesemua hujah yang yang diberikan oleh lelaki itu, Akhirnya beliau menanyakan soalan terakhir. "Bagaimanakah pula kamu berjaga malam untuk bermunajat kepada Allah, sedangkan isteri kamu melihat kamu tidur?"

Tuan Hakim menyangkakan bahawa lelaki itu tidak dapat menjawab soalan ini. Namun, dengan tenang lelaki itu menjawab, ":Aku bersolat Isyak berjemaaah dan pada keesokan paginya, aku bersolat Subuh secara berjemaa, ia seumpama berjaga sepanjang malam untuk bermunajat kepada Allah"

Dia berkata kepada pemuda itu dan isterinya, "Pergilah kamu berdua. Tidak ada sebarang kesilapan dengan perkahwinan ini.

Pena Tumpul- Nasihat buat diri


Tuesday, August 02, 2016

Solat

Saya sempat dengar seorang Ustaz berbicara tentang solat lewat radio pagi ini. Sangat menarik dan saya ingin berkongsinya di sini. Semua tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar dan malahan lebih hina daripada khinzir. Ustaz menceritakan kisah betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa.

 Begini kisahnya, pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia bernazar kalau dia dapat anak, dia akan minum air kencing anjing hitam.  Allah kurniakan isteri lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila sudah dapat anak, lelaki ini pun mula runsing dengan nazarnya untuk minum air kencing anjing hitam. Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tidak payah dibuat namun kena denda (dam) atau sedekah. Tetapi kalau zaman Nabi Musa, barangsiapa bernazar walaupun haram tetap kena laksanakan nazar itu

Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak tadi, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya. Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tidak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam. Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tu Lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi.

Lihatlah, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi.

Menyentuh bab air tangan ini, selalu kita suka makan masakan ibu; isteri kita. Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat kerana kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan, nasi dan sebagainya. Anak-anak, suami pula yang akan makan makanan yang dimasak. Tergamakkah kita membiarkan suami dan anak-anak gelap hati minum air tangan kita yang tinggalkan solat.

Bagaimana pula dengan kita yang suka mengunjungi kedai-kedai makan yang tidak sangat kita tahu sama ada pemiliknya solat atau tidak. Kita makan bekas air tangan dia. Gelaplah hati kita, mungkin sebab itu kita liat hendak buat kerja-kerja yang baik.

Jadi, jangan sesekali tinggal solat. Jangan sampai rasa nak buat, buat. Nak tinggal, tinggal. Kita langsung tiada alasan untuk tidak menunaikan solat, kerana di tempat kita tiada masalah pun untuk menunaikan solat. Masjid banyak. Surau pun banyak. Sepanjang lebuhraya pun ada RR. Di stesyen minyak pun ada.Di negara-negara luar, ada yang terpaksa solat di tepi jalan!

Pena Tumpul - Peringatan buat diri sendiri

Wednesday, July 27, 2016

27

"Solat berjamaah melebihi solat bersendirian berbanding dengan 27 darjat" 
       (al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini sudah amat biasa kita dengar apabila soal kelebihan solat berjamaah dibincangkan. Sejujurnya saya sendiri tidak pernah menyoal apakah yang dikatakan sebagai kelebihan 27 kali ganda itu. Lalu, ia tinggal tanpa jawapan. 

Bila Ustaz Zahazan berbicara tentang solat ini, beliau mencadangkan buku ini. Inilah kelebihan Ustaz Zahazan yang gemar mengesyorkan buku-buku baru untuk dibaca dalam mendalami ilmu. Saya mendapatkan buku ini dan beberapa persoalan tentang solat jamaah ini terjawab juga.

Dari buku Solat Berjamaah ini saya memetik, kata-kata al-Hafiz Imam Ibnu Hajar mengenai kelebihan yang terdapat pada solat berjemaah yang tidak terdapat pada solat bersendirian sebagaimana berikut iaitu:

1. Menjawab seruan muazzin dengan niat ingin menunaikan solat fardhu secara berjemaah
2. Bersegera datang (ke masjid) untuk solat berjemaah pada awal waktu
3. Berjalan ke masjid dengan tenang
4. Membaca doa ketika memasuki masjid
5. Solat sunat Tahiyyatul masjid setelah memasukinya
6. Menunggu didirikan solat berjemaah
7. Para malaikat akan mendoakan keampunan dan rahmat untuknya
8. Para malaikat menjadi saksi bagi mereka
9. Menjawab Iqamah
10. Terselamat daripada gangguan syaitan ketika dia melarikan diri sewaktu Iqamah
11. Berdiri di dalam saf sambil menanti Takbiratul Ihram Imam atau menanti untuk bersama-sama Imam di dalam melakukan perbuatan rukun dan sunat
12. Mendapat Takbiratul 'Uula bersama-sama imam
13. Membetulkan saf-saf solat dan memenuhkan ruangan-ruangannya yang kosong
14. Menjawab ucapan imam ketika dia menyebut Sami'allahu liman hamidah
15. Pada kebiasaannya seseorang akan terselamat daripada terlupa ketika solat berjemaah, dapat meningatkan imam apabila dia terlupa (rukun atau sunat Ab'adh) dengan mengucap tasbih dan mengingatkan imam kepada mana-mana ayat al-Quran yang dia terlupa ketika membacanya
16. Memperolehi rasa khusyuk dalam solat dan pada kebiasaannya akan terselamat daripada perkara-perkara melalaikan ketika solat
17. Pada kebiasannya, (solat berjemaah) mengelokkan keadaan solat (seseorang)
18. Para malaikat berhimpun mengerumuni mereka yang solat berjemaah
19. Memahirkan kebolehan dalam tajwid al-Quran, di samping mempelajari rukun-rukun solat dan sunat-sunat Ab'adhnya
20. Dapat menzahirkan syiar-syiar Islam
21. Menyusahkan dan menyulitkan syaitan melakukan godaan dengan sebab penyatuan dan tolong menolong yang wujud ketika melakukan ibadah dan ketaatan kepad Allah Taala. Juga dapat menyuntik semangat kecergasan kepada ahli jemaah yang diselubungi perasaan malas
22. Terselamat diri daripada sifat munafik dan terselamat daripada prasangka buruk orang lain yang beranggapan bahawa dia telah meninggalkan solat fardhu
23. Menjawab salam imam
24. Para jemaah saling mendapat manfaat di antara satu sama lain ketika berdoa dan berzikir dan orang yang sedikit keberkatannya akan menumpang keberkatan orang lain yang lebih sempurna daripada dirinya
25.Tertegaknya sistem persaudaraan di antara jiran tetangga dan berjaya mendisiplinkan diri dengan waktu-waktu solat
26. Memerhati dengan khusyuk bacaan imam dan mendengarnya
27. Mengucap perkataan Aamin besama-sama imam supaya ianya berlaku serentak dengan Aamin yang diucapkan oleh para Malaikat

Dalam buku ini juga saya menemukan kisah  Abdullah bin Umar al-Qawariri yang tidak pernah tertinggal solat fardhu berjemaah sehinggalah pada suatu malam beliau telah didatangi tetamu. Dengan sebab sibuk melayan mereka, maka beliau telah terlepas daripada menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid. Namun begitu beliau pergi juga ke masjid dengan niat untuk solat berjemaah, tetapi setibanya dia di sana, dia dapati masjid sudah pun berkunci. Dia pulang ke rumah dengan perasaan penuh kecewa. Hatinya berbisik dan teringatkan sabda Rasulullah tentang kelebihan solat berjemaah sebanyak 27 kali ganda itu.

Oleh itu, dia pun melakukan solat Isyak pada malam itu sebanyak 27 kali dan selepas itu dia pun tidur. Di dalam tidur dia bermimpi melihat dirinya sedang menunggang kuda bersama-sama orang kampungnya. Tetapi yang peliknya mereka berada di hadapannya dan dia pula berada di belakang mereka. Dia telah memacu kudanya selaju-lajunya. Puas dia melakukannya tetapi dia tidak dapat mengejar mereka pun.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka berpaling ke arahnya sambil berkata: "Engkau hanya memenatkan kudamu sahaja! Engkau tidak akan dapat mengejar kami". Lantas dia bertanya kepadanya: "Mengapa?" Jawabnya : "Kerana malam tadi kami solat Isyak secara berjemaah, sedangkan engkau hanya melakukannya bersendirian." Selepas dialog itu dia terus terjaga dari tidurnya dengan perasaan penuh kesedihan.

Pena Tumpul -  Mengingatkan diri sendiri yang alpa


Monday, July 18, 2016

Penceramah

Bukan mudah sebenarnya bagi seorang penceramah untuk memikat kesetiaan pendengar melayani ceramah yang disampaikannya. Saya teringat kisah seorang penceramah menyaksikan dan menyedari seorang demi seorang meninggalkan dewan ketika dia sedang berceramah. Saya sendiri walaupun sudah bertahun-tahun berdepan dengan khalayak dari kelompok pelajar masih lagi kurang berjaya untuk mengekalkan kesetiaan mereka bersama saya selepas 30 minit berlalu.

Penceramah yang sudah mula gelisah ini  memikirkan hadirin mungkin tidak tertarik dengan cara penyampaiannya tetapi tidak kerana ceramahnya. Namun dia masih mampu tersenyum pahit kerana ada seorang lagi yang masih kekal tekun mendengar celotehnya. Sebaik sahaja selesai menyampaikan ceramahnya,dia mendapatkan seorang hadirin yang masih setia itu lalu bertanya, "Kenapa anda masih di sini dan tidak menuruti mereka yang lain itu?. "Lepas ini giliran saya pula untuk berucap", balasnya selamba. Penceramah sekali lagi senyum pahit.

Bukan tugas yang mudah bagi seorang penceramah untuk meruntun minat dan kesetiaan khalayaknya terus terpaku tanpa rasa bosan mendengar celoteh yang disampaikannya. Kesukaran berganda sekiranya ceramah berlarutan sehingga satu jam atau lebih dari itu. Menurut kajian, khalayak cuma mampu bertahan untuk terus memberikan tumpuan sekitar lima minit pertama sahaja. Selebihnya fikiran mereka sudah mula menerawang entah ke mana. Pergerakan masa dirasakan amat lambat dan sesekali melihat jam mengharapkan ceramah yang dihadiri habis cepat. Ketika para hadirin keluh kesah dan resah gelisah, penceramah pula ligat berfikir cara terbaik untuk memikat hati dan memancing fikiran para hadirin yang mungkin cuma tinggal jasad sahaja di depannya.

Penceramah yang hebat dan berkarisma menjadikan dua jam ceramah bagaikan 10 minit pada khalayaknya. Di tangan penceramah begini, masa dirasakan amat pantas berlalu. Tidak semua penceramah berupaya melakukannya. Ada yang berjaya pada mulanya namun kian diabaikan khalayak di pertengahannya. Justeru itu, penceramah yang baik perlu tahu siapa khalayaknya terlebih dahulu. Khalayak yang datang dengan pelbagai latarbelakang pastinya menuntut persediaan yang bukan sedikit dipihak penceramah. Kalau tidak, penceramah bakal kecewa dengan pelbagai bahasa tubuh yang dipamerkan oleh khalayak dan ini memang menyakitkan.

Pena Tumpul - Perlu ada unsur humor dalam ceramah

Tuesday, June 21, 2016

Buta

Kisah pendek ini sangat menarik untuk dibaca dan sekali gus dijadikan iktibar. Ia menuntut kepada keperluan bahawa seseorang itu perlu dilihat kemas, menarik dan tidak selekeh agar tidak disalah anggap oleh orang lain.

Ia kisah seorang profesor yang sangat disegani yang lazimnya selekeh penampilannya namun dihormati orang yang mengenalinya kerana ilmunya.

Suatu hari dia singgah di sebuah restoran. Setelah duduk di sebuah meja barulah dia sedar bahawa dia terlupa membawa cermin matanya. Seorang pelayan restoran datang dan menghulurkan kad menu kepadanya.

"Adik boleh tolong bacakan untuk saya apa menu yang ada?" Profesor itu tidak boleh membaca tanpa cermin matanya.

"Maaf Pak Cik, saya juga buta huruf seperti Pak Cik"! jawab pelayan itu.


Malang sungguh nasib Profesor itu, sudahlah ketinggalan cermin matanya menyebabkannya tidak boleh membaca menu yang diberi, ditambah pula dianggap buta huruf!

Pena Tumpul - Suka pakai simple

Saturday, June 18, 2016

Bazar

Setelah beberapa hari puasa saya baru terdorong untuk ke bazar petang ini. Seperti yang diduga, saya menyaksikan bazar yang sesak dengan lautan manusia. Sebab itu, saya tidak sangat berminat untuk ke bazar. Kereta-kereta memenuhi hampir setiap ruang yang boleh di isi. Menyedari sukarnya untuk mencari ruang kosong, saya mengambil keputusan berlalu tanpa singgah pun. Lagi pun saya bukanlah terdorong sangat untuk sama-sama bersesak dalam keadaan yang cukup tidak selesa itu.

Kelihatannya bazar begitu sinonim dengan kehadiran Ramadan. Ramadan ditandai dengan bazar-bazar yang terus bertambah bilangannya saban tahun. Ironisnya, bulan yang dianjurkan berjimat cermat dan mengurangkan makan, berlaku pula sebaliknya.Tidak ubah bagai pesta juadah.Saya melihat kepada perlunya senario ini diubah. Tidak perlu banyak sangat gerai pun. Lebih elok kalau diwujudkan gerai-gerai yang khusus untuk memudahkan pembeli. Misalnya satu gerai khusus menjual aneka kuih, gerai khusus untuk minuman, gerai khusus untuk nasi ayam dan sebagainya. Saya percaya ada gerai yang jarang dikunjungi pun atau paling malang tidak dikunjungi langsung. Pembeli selalunya tahu gerai yang menawarkan makanan yang terbaik untuk mereka.

Tidak dinafikan memang kita dianjurkan untuk berniaga namun janganlah sampai berniaga tanpa kemahiran dan pengalaman. Berniaga kerana melihat orang buat untung besar berniaga di bulan ini.Jangan sampai bazar jadi bazir!

Pena Tumpul - Cari buah melaka dan air katira sahaja

Saturday, May 28, 2016

Letih

Memang sangat meletihkan. Malah menuntut tumpuan dan penggunaan masa yang bukan sedikit. Tidak kurang ongkos yang turut perlu dilaburkan dan dileburkan. Pun begitu, Alhamdulillah berkat sabar dan muafakat suku sakat, majlis perkahwinan dilangsungkan dengan jayanya. Walau pun tidak seratus peratus sempurna, namun keseluruhannya berjalan dengan baik. Cuaca pun baik.

Khabarnya kuey teow sentuhan tangan Along menjadi tumpuan jemputan yang datang berbanding dengan menu utama yang disediakan. Dah jemu dengan nasi minyak dan kari daging agaknya lantas kuey teow menjadi sasaran selera. Rata-rata memuji keenakan luar biasa kuey teow yang tidak pernah mereka rasa sebelum ini.

Letih namun puas kerana segalanya selesai dengan baik. Pahat pun tidak berbunyi.

Pena Tumpul - Mahalnya harga sebuah perkahwinan sekarang!


Monday, May 16, 2016

Guru


Saya ingin mendedikasikan ucapan hari guru kepada semua guru yang pernah mendidik saya. Saya selalu percaya tanpa didikan mereka walau sekelumit pun saya tidak berada dalam kedudukan sekarang.

Mereka semua menyumbang kepada pembangunan seorang insan seperti saya. Ada di kalangan mereka yang masih terpahat segar dalam ingatan dan tidak kurang pula yang cuma sipi-sipi menyinggah di fikiran.

Seawal darjah satu ditahun 1968, saya masih ingat beberapa nama seperti Cikgu Ibrahim yang mengajar Matematik (dulu Kira-Kira)dan juga Cikgu Yakob yang tidak jemu-jemu mengasah lidah Melayu kami supaya tidak kekok bertutur dalam bahasa orang putih!

Guru-guru yang garang selalunya meninggalkan kesan ingatan yang mendalam kepada anak muridnya. Masih segar dalam ingatan saya di tempeleng di hadapan kelas bersama empat rakan baik saya oleh Cikgu Rahim, guru disiplin ketika saya berada dalam Tingkatan Satu. Sebabnya hanya kerana kami berlima menyeberang ke kantin sekolah rendah! Cikgu Zaidan yang mengajar Bahasa Malaysia terus segar dalam ingatan kerana dia sering membuat kami tidak kering gusi dengan cerita-cerita lucunya di dalam kelas.

Ustazah Siti Aminah yang tidak pernah kedekut memberi 100 peratus untuk setiap kali ujian Pengetahuan Agama Islam saya, Mr Lee Min Chong, guru Bahasa Inggeris yang membuat saya penat menjadi jurutulisnya, Mr Chin yang kurang fasih Bahasa Melayunya, Mr Gurdial Singh yang buat kami keletihan dengan begitu banyak soalan Matematik yang perlu disiapkan setiap hari, Mr Chok Ah Peng guru Sejarah yang malas masuk kelas.

Saya juga tidak mampu untuk menyisihkan nama-nama seperti Cikgu Siti Rahmah, guru Bahasa Malaysia Tingkatan Empat yang kaya idea, Cikgu Ismail Werdani yang sekali-kali terserempak, Cikgu Laham yang tidak tahu di mana gerangan kini setelah 30 tahun tanpa berita, Mr Choo , Mr See, Mrs Khoo. Dua tahun di Tingkatan Enam menemukan saya dengan guru-guru seperti En Zainaldin, En Azman, En Mubin, En Hamid, En Ramli.

Di universiti pertama, saya mula mengenali guru-guru "besar" seperti Dr Safar Hashim, Asiah Sarji, Dr Hood, Rustam A.Sani,Raja Ahmad Alauddin dan ramai lagi. Siapa pun mereka sekolah rendah hingga ke menara gading, mereka sebenarnya menyumbang dalam kehidupan seorang saya. Terima kasih yang tidak terhingga buat mereka semua walau dimana pun mereka berada sekarang.

Pena Tumpul -Berguru kepalang ajar ibarat bunga kembang tak jadi

Monday, May 09, 2016

Motor

Adakalanya memandu di lebuh raya sangat-sangat menyesakkan. Bukan sahaja kerana jalan itu sendiri yang sesak dengan kenderaan yang bertali arus tetapi cara segelintir pemandu menggayakan mesinnya juga menyesakkan mata dan hati.

 Saya memilih untuk bersetuju dengan kebanyakan orang yang pernah terserempak dengan penunggang motor besar berkuasa tinggi bahawa mereka memang meresahkan pemandu yang lain. Mereka tidak menggunakan lorong motor yang disediakan tetapi lebih selesa menggunakan lorong untuk kenderaan lain.

Petang ini saya melangsar di lebuh raya menuju ke Johor Bahru dan bertembung dengan sekumpulan penunggang ini yang berlagak bagai pembuli jalan.

Saya memotong sebuah lori yang sangat perlahan pergerakannya bagai siput. Pun begitu dalam proses memotong itu, saya tidaklah mampu untuk meluncur laju. Dalam keadaan sukar memotong itulah sebuah motor besar ini meluncur laju juga cuba memotong di lorong yang sama. Sudah pastilah penunggang motor ini merasakan pergerakannya rasa tersekat oleh kereta saya. Dan, ini tidak membuat dia selesa.

Saya tahu dia tidak selesa dengan saya .Dia memotong saya sambil memperlahankan motornya. Dia memandang saya dan ingin memberitahu saya bahawa dia 'diganggu" perjalanannya tadi.

Adakah lebuhraya milik mereka sehingga kita sentiasa perlu memberi laluan kepada mereka bak raja? Mereka tidak disamankah kerana kelajuan melampau mereka itu?

Pena Tumpul- Kenakan tol untuk motor juga

Sunday, May 08, 2016

Kekurangan

Saya ingin berkongsi sesuatu yang saya dengar lewat corong radio awal pagi ini. Ia kisah suami isteri yang baru melangsungkan perkahwinan. Selang beberapa bulan, isteri mencadangkan kepada suaminya untuk menyatakan kekurangan yang ada pada diri masing-masing supaya boleh diperbaiki bagi mengekalkan kebahagiaan rumah tangga yang baru mereka bina.


Mereka mulai memikirkan hal-hal dari pasangannya yang tidak mereka sukai dan berjanji tidak akan tersinggung jika pasangannya mencatat hal-hal yang kurang baik sebab hal tersebut untuk kebaikkan mereka bersama juga.

Mereka sepakat untuk berpisah bilik tidor buat semalam dan mencatat apa yang terlintas dalam benak mereka masing-masing. Keesokan paginya ketika sarapan, mereka membentangkan apa yang telah mereka catat dan tulis.

Isteri memulakanya.Banyak sekali yang ditulisnya. Ketika isteri membacakannya, dia melihat  airmata suaminya mulai mengalir. Mungkin sangat terharu atau tersinggung. Banyak sangat yang tidak baik tentang dirinya yang tidak disukai oleh isterinya.

 Ketika tiba giliran suami untuk mempersembahkan apa yang telah ditulisnya tentang isterinya, dengan suara perlahan suami berkata “Abang tidak mencatat sesuatupun di kertas ini. Abang rasa awak sudah sempurna, dan abang tidak ingin merubahnya pun. Awak cantik dan baik buat abang. Tidak ada satu pun yang kurang"  

Isteri tersentak dan tersentuh oleh pernyataan dan ungkapan cinta serta isi hati suaminya. Bahawa suaminya menerimanya dirinya seadanya Ia tunduk dan menangis.

Begitulah, pandangan masing-masing terhadap pasangan. Lain dan berbeza dalam melihat pasangan. Memang tidak dinafikan dalam hidup berumahtangga ini, acapkali kita merasa dikecewakan malah hati juga. Sepatutnya tidak perlulah kita menghabiskan waktu memikirkan hal- hal tersebut dan membesar-besarkannya pun. Hidup ini penuh dengan keindahan, kesukacitaan dan pengharapan. Mengapa harus menghabiskan waktu memikirkan sisi yang buruk, mengecewakan dan menyakitkan jika kita bisa menemukan banyak hal-hal yang indah di sekeliling kita ? 

Saya percaya kita akan menjadi orang yang berbahagia jika kita mampu melihat dan bersyukur untuk hal-hal yang baik dan mencuba melupakan yang buruk.

 Pena Tumpul - Saling faham itu penting

Saturday, May 07, 2016

Terowong

Kalaulah masa boleh diputar balik ia pastinya menarik. Berada semula di masa kita masih kanak-kanak saya kira paling menyeronokkan. Begitu juga masa bersekolah yang masih muda remaja. Namun, ia mustahil untuk berlaku pun. Masa tidak akan pernah berundur semula. Sesaat berlalu tidak akan boleh di ulang kembali hadirnya. 28hb Februari 2011 jam 11.59 malam misalnya datang cuma sekali dan tidak akan muncul lagi dalam kalendar kehidupan kita.

Acapkali juga kita mendengar orang berkata kalaulah saya diberi peluang untuk berada di zaman muda kembali saya tidak akan buat apa yang pernah saya buat dahulu lebih-lebih lagi yang bersangkut dengan amalan dan perbuatan. Tentang pengabdian kita padaNya dan ketaatan kita kepadaNya juga. Kita dengar orang berazam untuk buat yang baik-baik sahaja andai masa itu hadir kembali. Dan ia memang tidak akan berlaku pun. Barang yang telah lepas di masa lalu memang tidak perlu untuk dikenang pun. Cuma Tuhan memberi kita peluang untuk belajar dan mengkoreksi dari masa silam dan melakukan yang terbaik untuk masa-masa mendatang yang masih berbaki.

Di Cameron Highlands saya tertarik dengan Muzium Terowong Masa dan tidak melepaskan peluang untuk melihat apa yang ada di dalam. Memang menarik. Artifek yang dipamerkan menggamit kenangan masa lalu yang sukar dilupakan. Basikal tua mengingatkan saya kenangan jatuh beberapa kali dalam selut dan lumpur sehingga calar dan berdarah lutut menunggang basikal Miyata arwah ayah. Telefon lama dail pusing juga mengingatkan saya mengguna telefon awam bergayut berjam-jam dengan bayaran 10 sen berbual dengan kekasih hati yang menjadi teman hidup saya sekarang. Mesin air batu guna tangan pula terus menarik ingatan saya kepada Pak Ngah Hasan yang sering dikunjungi kedainya kerana air batu kepalnya itu. Begitu juga seterika lama guna kayu arang dan lampu cemeni. Semuanya menarik!

Pena Tumpul - Masa merubah segalanya

Friday, May 06, 2016

Kuli

Saya selalu kagum dengan kegigihan bekerja yang dipamerkan oleh para pekerja dari seberang yang pernah saya jumpa. Mereka dilihat seolah tidak kenal erti penat lelah. Bahang mentari mungkin terasa dingin salju pada mereka. Saya mendekati mereka pagi ini yang secara kebetulan sudah lebih seminggu menyiapkan kerja-kerja renovasi rumah.

"Cari makan pak, di tempat saya susah kerja. Kalau ada pun, upahnya amat kecil" kata Edi. "Saya perlu mengongkosi adik beradik saya yang masih belajar". "Lagipun saya sudah biasa kerja teruk begini. Kami memang tidak diajar untuk duduk goyang kaki begitu, tapi kena kerja keras".

Saya percaya itu jawapan paling jujur dari Edi. Kalau mereka sanggup bersabung nyawa meredah lautan dan ombak untuk sampai ke sini, apalah sangat panahan mentari itu. Kalau mereka sudah biasa bertempiaran lari dari dicekup pihak berkuasa apalah sangat bekerja teruk begitu.

Saya ingin merasai kepayahan mereka. Kerja membengkok besi bukan kerja yang mudah. Perlu himpunan tenaga. Kemudian membentuknya menjadi rangka-rangka struktur binaan. Saya mencubanya dan cuma mampu bertahan tidak sampai pun setengah jam. Ia memang meletihkan. Ia memberi jawapan mengapa tidak ramai anak-anak tempatan yang bersedia untuk bekerja begini. Kerja ini memenatkan. Juga mengotorkan. Gaji yang diperoleh tidak pula setimpal dengan tenaga yang dileburkan. Glamour jauh sekali.

Yang pasti kita tidak tandus peluang kerja tetapi kita cukup ramai mereka yang memilih kerja.

Pena Tumpul - Sudah cukup penat memotong rumput hari ini

Thursday, May 05, 2016

Sedekah

Adakalanya kita sangat berkira-kira untuk bersedekah malah memilih pula orang yang hendak kita bersedekah. Lebih malang lagi kalau kita memikirkan apakah ganjaran semerta yang kita perolehi dari sedekah yang kita berikan itu.

Petang ini saya membawa Hafiz jalan-jalan di taman permainan. Setelah penat berkejaran Haifiz mengadu kehausan dan mengajak saya ke sebuah kedai cendol berdekatan. Seorang wanita tua yang uzur menarik perhatian saya dan Hafiz. Ada mangkok usang di tangannya dan kelihatan beberapa keping duit siling serta wang kertas seringgit. Tanpa disuruh Hafiz memasukkan seringgit dalam mangkok wanita itu. Pun begitu Hafiz dihinggap keraguan tentang wanita tua itu sama ada dia benar-benar daif dan memang tiada pilihan lain untuk mencari rezeki selain mengemis begitu.

"Betul ke orang tu memang tak daya, entah-entah dia pura-pura jadi macam tu sedangkan dia banyak duit" Hafiz menyatakan keraguannya. Saya nasihatkannya agar jangan cepat buruk sangka.Sedekah yang diberi hendaklah ikhlas. Beri sahaja dan selebihnya biarlah Allah yang menghitungnya.Bukan urusan kita untuk mempersoalkannya lagi.

Saya cerita kepadanya kisah seorang yang  mengumpulkan hartanya yang banyak untuk bersedekah namun secara sembunyi-sembunyi. Dia kumpulkan wang sampai berjumlah sekian ribu dinar dalam setahun. Sesudah wang terkumpul, dia pergi keluar rumah pada malam hari. Dilihatnya ada seorang wanita tidur di kaki lima.. Sambil menutup wajahnya, agar tidak diketahui, ia memberikan bungkusan wang itu dan lari, supaya tidak diketahui. Pada esok harinya di kampung itu gempar tentang seorang pelacur mendapatkan bungkusan wang yang diberikan oleh orang yang tidak dikenali. Orang yang bersedekah itu terkejut kerana telah memberi pada orang yang salah. Wanita yang diberikan sedekahnya itu ripanya seorang pelacur.

Namun dia tidak putus asa, Dikumpulkannya lagi  ribu dinar. Kali ini dia tidak mahu tertipu lagi. Pada suatu malam, kembali ia beraksi. Dilihatnya seorang laki-laki yang sedang duduk diam disuatu tempat yang gelap.  Dilemparkannya bungkusan wang  sedekah itu, lalu ia bergegas lari.Esok pagi hari gempar lagi. Si laki-laki yang dikenal sebagi pencuri mendapat sebungkus wang  Malam itu dia tengah menyusun strategi sendirian untuk mencuri. Nyatanya , belum sempat melakukan aksinya, dia mendapat wang yang banyak yang disedekahkan itu.

Pemberi sedekah buat silap lagi kerana memberi wangnya kepada seorang pencuri dan dia menyesal bukan kepalang.Namun dia tetap tak putus asa. Dia kumpul lagi wang sedekah sampai setahun berikutnya. Pada waktu yang telah dipersiapkannya, kembali dia melaksanakan niat baiknya untuk ketiga kalinya. Malam itu dia melihat seorang orang tua tengah tertatih-tatih. Dilemparkan wang itu, kepada orang tua itu. Esok pagi  terjadi kegemparan lagi, seperti tahun-tahun sebelumnya. Orang tua itu rupanya orang kaya yang amat kedekut dalam kampung itu.

Pemberi sedekah sangat kecewa kerana telah gagal selama tiga kali dalam niatnya bersedekah itu. Dua puluh tahun kemudian. Allah SWT membuka rahasia perbuatan orang tersebut, dengan tersampaikannya kabar kepadanya tentang dua orang bersaudara yang menjadi ulama besar. Murid keduanya mencapai puluhan ribu orang, dan si pelaku sedekah puluhan tahun yang lalu termasuk orang yang mengaji dengan ke dua ulama adik kakak itu. Ternyata, dua ulama bersaudara itu adalah anak seorang pelacur yang dulu diberi sedekah secara sembunyi-sembunyi itu. Si perempuan ini melacur untuk menafkahi anaknya. Ketika mendapatkan sedekah dari pemberi sedekah itu,wanita itu bertaubat dan menggunakan wang itu untuk menyekolahkan kedua anaknya hingga menjadi alim dan menjadi ulama besar. Air mata si pemberi sedekah pun mengalir. Ternyata yang diberikannya puluhan tahun yang lalu. Allah jadikan balasan yang berlipat ganda dengan lahirnya dua ulama soleh bersaudara yang diikuti oleh puluhan ribu orang yang belajar kepada keduanya. Inilah balsan keiklahsan seseorang.

Tidak lama kemudian dia mendengar cerita tentang seorang wali  soleh yang wafat, dan jenazahnya dihantar oleh ribuan orang. Siapa wali yang soleh itu? Ternyata waliyullah itu dulunya adalah pencuri yang diberikan sedekah sembunyi-sembunyinya itu. Dia telah menggunakan wang itu untuk memperbaiki dirinya dan bertaubat kepada Allah dan menjadi hamba yang soleh. Si pemberi sedekah amat terharu.

Dan khabarnya, orang ketiga yang menerima sedekahnya berubah menjadi dermawan dan telah menyerahkan seluruh hartanya bagi baitul maal dan  anak yatim. Itu dilakukan oleh si orang tua yang kedekut setelah dia merasa malu dengan perbuatannya itu.

Hafiz dilihat terpegun dengan cerita yang saya sampaikan dan berkata, "Lepas ni Apis nak sedekah kepada semua orang miskin". Saya amat bangga.

Pena Tumpul- Tidak rugi bersedekah.

Wednesday, May 04, 2016

Berlagak

Saya ingin berkongsi salah satu kisah yang mencuit hati  yang sempat saya baca dalam majalah Solusi. Ia mungkin cerita rekaan namun ada pengajaran yang boleh kita ambil.

Ia mengisahkan seekor anak katak yang melihat seekor kerbau buat pertama kali dalam hidupnya. Anak katak ini ingin memberitahu apa yang dilihatnya kepada bapanya. Lantas ia pulang ke pangkuan ayahnya dengan tercungap-cungap dan berkata, ''Ayah, saya baru pulang daripada bermain di sawah pado, Saya jumpa seekor binatang namanya kerbau... '' ''Ah, apa nak dihairankan?'' kata bapa katak walaupun sebenarnya dia sendiri tidak pernah melihat kerbau. ''Kerbau itu sangat besar ayah... ''Ah, ada sebesar ini?'' tanya bapa katak sambil mengembungkan perutnya. ''Tak ayah, lebih besar lagi.'' ''Ada sebesar ini?'' kata bapa katak membesarkan lagi perutnya.

Anak katak menggeleng-gelengkan kepalanya. Bapa katak bertambah geram dan marah. ''Ada sebesar ini?'' Perutnya menjadi sangat besar sehingga nafasnya tercungap-cungap. Anak katak terus menidakkannya. Perut bapa katak dikembungkan lagi. Begitulah berlaku berulang-ulang kali hingga... Pop! Perut bapa katak meletup. Bapa katak pun mati. Anaknya kebingungan, mengapa ayahnya sanggup mati hanya kerana hendak menandingi kebesaran''seekor kerbau. :

Begitulah,dalam kehidupan ini adakalanya ada orang yang sanggup berlagak kaya sehingga menjadikan diri papa. Tidak kurang juga ada yang begitu beria-ria ingin mempromosi atau menunjuk-nunjuk kekayannya, padahal ahli bijakpandai pernah mengungkapkan, jika seseorang perlu memberitahu orang lain yang dia kaya, dia sebenarnya tidak kaya. Misalnya perlukah Bill Gates memberitahu dunia yang dia kaya? Ironinya, ramai si kaya 'jadi-jadian' yang menanggung hutang secara diam-diam atau hidup menjadi penipu (conman) sepanjang zaman atau terpaksa mati sebagai seorang miskin pada akhir hayat.

Pena Tumpul - Biar nampak papa tapi kaya

Tuesday, May 03, 2016

Dengki

Saya ingin berkongsi cerita yang amat menarik ini. Ia ada pengajaran berguna. Sesuatu yang tidak boleh disanggah, sikap dengki, cemburu dan irihati seringkali bersarang di hati manusia. Manusia tidak suka melihat orang lain lebih dari mereka dan mengharapkan mereka lebih dari orang lain. Mereka juga suka melihat nikmat orang lain hilang. Di penghujungnya, sikap ini sebenarnya cuma merugikan diri kita sendiri.
 Tiga orang budak hitam berjalan-jalan di atas pasir di persisiran sebuah pantai. Tiba-tiba seorang dari mereka tertendang sebiji botol. Beliaupun mengambil botol tersebut. Botol tersebut tertutup rapat dengan penutup gabus. Kesemua mereka kehairanan dan tertanya-tanya apa yang ada di dalam botol tersebut. Lalu salah seorang dari mereka pun membukanya. Terbuka sahaja botol tersebut, keluarlah seekor jin yang amat besar.

Jin tersebut ketawa-terbahak-bahak lalu berkata " Siapakah engkau hai manusia yang telah membebaskan aku? Aku telah terkurung dalam botol ini selama 20 tahun. Dalam masa terkurung aku telah bersumpah akan menyempurnakan 3 hajat sesiapa yang membebaskan aku dari botol ini.. Nah! Sekarang kamu semua pintalah apa-apa, akan aku tunaikan permintaanmu"

Ketiga-tiga budak hitam itu mulanya terkejut tetapi bergembira apabila jin tersebut menawarkan untuk menunaikan permintaan mereka. Jin pun berkata kepada budak yang pertama, " Pintalah!" Budak hitam pertama pun berkata . "Tukarkanlah aku menjadi putih supaya aku kelihatan cantik" Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih. Jin pun berkata kepada budak hitam kedua,"Pintalah!".

Budak hitam kedua pun berkata ." Tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan cantik, lebih putih dan cantik daripada budak yang pertama". Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih dan cantik lebih daripada budak yang pertama.

Jin pun berkata kepada budak hitam ketiga, "Pintalah!". Budak hitam ketiga pun berkata ."Tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan cantik, lebih putih dan cantik daripada budak yang pertama dan kedua".

Jin pun berkata. " Tidak, permintaan itu tidak dapat aku perkenankan. Pintalah yang lain..." Budak hitam ketiga kehairanan dan terfikir-fikir apa yang mahu dipintanya.

Setelah lama berfikir, budak hitam ketiga pun berkata " Kalau begitu, aku pinta kau hitamkan kembali rakan aku yang dua orang itu" Lalu jin pun tunaikan permintaannya. Kembalilah asal hitam kedua-duanya. Jin pun berlalu dari situ dan ketiga-tiga mereka tercengang-cengang dan tidak memperolehi sesuatu apa pun.

Pena Tumpul - Suka lagu 10 budak hitam



Monday, May 02, 2016

Tulisan

Hadif tidak dapat mengawal perasaan tidak puas hatinya gara-gara mamanya tidak menurut kemahuannya. Ibunya tidak membelikannya sepasang kasut bola seperti yang dijanjikan. Bukan ibunya sengaja tidak mahu memenuhi kehendaknya tetapi ibunya telah membelikannya kasut bola tidak sampai sebulan yang lalu pun. Ibunya yang tidak berpuas hati kerana Hadif tidak cukup cermat dengan barang kepunyaannya.

Saya katakan pada Hadif supaya tidak bertindak marah-marah begitu lebih-lebih lagi pada ibunya. Seingat saya ibunya tidak pernah menghampakan setiap keinginannya selama ini. Jadi, adalah amat tidak adil untuk Hadif melayan ibunya begitu. Saya beritahunya supaya ingat segala kebaikan ibunya padanya sebelum ini.

Saya ceritakan kesah ini padanya yang saya kira memang ada kaitan dengan apa yang Hadif lalui ini. Lagi pun saya selalu percaya cerita boleh membangkitkan rasa sedar.

Ia kisah dua orang pemuda yang menelusuri padang pasir. Di pertengahan jalan, berlaku pertengkaran dan salah seorang daripadanya menampar pemuda yang seorang lagi. Pemuda yang ditampar merakamkan kejadian tersebut dengan melakarkannya begini di atas pasir: Kawan saya menampar saya hari ini.

Selepas beberapa ketika mereka berdua ternampak sebuah kawasan berair dan mandi di dalamnya. Tiba-tiba pemuda yang ditampar tadi hampir lemas namun berjaya diselamatkan. Dia sungguh berasa terhutang budi kepada kawannya yang kini telah menyelamatkan nyawanya. Seperti biasa dia merakamkan kejadian itu lagi dan menulisnya begini tetapi bukan di atas pasir sebaliknya di atas batu: Kawan saya menyelamatkan nyawa saya hari ini.

Sampai di sini saya bertanya kepada Hadif kenapa pemuda dalam ceritaitu  menulis di atas batu dan bukan di atas pasir seperti sebelumnya. " Pasir tak de", kata Hadif.. Bukan itu sebab sebenarnya. Dia ada kaitannya dengan cerita Hadif yang tidak dapat kasut bola tadi. Kita selalunya cenderung untuk melupakan setiap kebaikan yang pernah dilakukan hanya kerana satu keburukan dan kejahatan. Kerana sedikit kesilapan, segala yang baik-baik dulu akan terhakis begitu sahaja. Bukankah tidak adil begitu. Sepatutnya yang baik itulah yang perlu kita kenang manakala yang tidak baik itu seeloknya dilupakan sahaja. Ibarat tulisan di atas pasir yang mudah terhakis berbanding di atas batu yang akan kekal terpahat sepanjang zaman.

Yang baik biar di batu dan yang tidak baik biar di pasir! Dan Hadif faham. Malam itu saya lihat dia merapati ibunya dan meminta maaf tetapi meminta kasut bola dari saya pula. Pandainya Hadif!

Pena Tumpul - Suka bina istana pasir


Sunday, May 01, 2016

Jengka

Saya ke Jengka hari ini untuk memenuhi undangan majlis perkahwinan anak perempuan seorang kawan lama.Walaupun perjalanan agak jauh dan memakan masa sekitar 2 jam lebih, undangan ini tidak mampu saya tolak kerana Cikgu Latif adalah rakan paling baik yang pernah saya ada ketika merantau di Jengka dulu.

Setelah sekian lama tidak bersua, pertemuan yang berlangsung tidak sampai pun sejam tetap membuahkan rasa gembira bukan kepalang. Saya dan isteri akur dengan kesibukannya dan isteri melayan tetamu yang datang, sementelah lagi ini adalah majlis perkahwinan pertamanya. Tetamu berjujai datang. Pun begitu hati puas kerana dapat menunaikan permintaannya.

Pena Tumpul - Berselera makan sambal tempoyak

Saturday, April 16, 2016

55/10

Saya bersyukur menggunung tinggi kerana Tuhan memberi saya kesempatan untuk terus menghirup udara segarnya di usia keramat 55 tahun.Sekali lagi saya menyambutnya bersama anak saudara lelaki, Hafiz yang berkongsi tarikh lahir yang sama. Kali ini majlis di sambut sederhana berbanding sebelumnya.

Ada kek sumbangan Ani, ibu Hafiz yang tidak pernah gagal menyediakannya saban tahun. Selebihnya menjamu ayam goreng di restoren segera. Majlis yang sangat ringkas namun amat besar maknanya dalam kehidupan seorang saya dan anak saudara yang kian membesar ini. Tanpa Hafiz tidak mungkin hari lahir saya akan diraikan setiap tahun begini. Kelahiran Hafiz menjadikan hari lahir saya penting.

Emak sempat mendoakan agar anak lelakinya ini terus diberkati usia dan dikurniakan rezeki serta kesihatan yang baik. Hafiz pula didoakan supaya jadi anak yang baik dan taat. Saya terharu dapat menyambutnya lagi bersama emak dan isteri serta sebahagian adik beradik, Nasir dan Noi yang mampu bersama.

Pena Tumpul - Terharu

83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...