Saturday, April 30, 2011

Jagung

"Umur baru setahun jagung, tapi caranya mengalahkan pokok getah tua yang tunggu masa untuk ditebang"
Pak Itam yang masih punya sekitar dua tahun berbaki sebelum bersara melahirkan rasa kurang selesanya dengan beberapa orang pekerja yang baru melaporkan diri di jabatannya. Saya terserempak dengan Pak Itam di pasar tani pagi ini. Sempat juga dia meluahkan rasa hatinya.

Pak Itam cuma seorang kerani biasa namun cukup kaya dengan pengalaman. Setelah lebih 30 tahun bekerja saya tahu Pak Itam memang cukup arif dan cukup masak dengan selok belok tugasnya. Saya kenal benar dengan cara Pak Itam. Mudah diajak berbicara dan tidak lokek ilmu.

Saya faham perasaan Pak Itam. Di ambang persaraannya, Pak Itam pastinya dibungkam dengan pelbagai perasaan. Rasa seperti dipinggirkan dan tidak diperlukan. Pak Itam rasa dirinya tidak ubah seperti Quran buruk saja. Pak Itam yang didewasakan dengan mesin taip dan mesin cetak guna stensil dan dakwat hitam yang menyelekehkan tentunya tidak "sewaktu" dengan pegawai-pegawai muda yang dilahirkan di zaman komputer dan mesin fotokopi. Pandangan dua generasi ini sememangnya berbeza. Beza dalam cara bekerja.

Namun saya melihat ini tidaklah bermakna perasaan pekerja seperti Pak Itam sampai tidak dihormati. Pandangannya masih perlu didengar dan diberikan perhatian.

Saya juga melihat darah yang baru setampuk pinang, ubun-ubun masih lembik namun berlagak bagaikan macam tahu semua!

Pena Tumpul - Tiada yang lama tiada yang baru

Friday, April 29, 2011

Tabiat

"Apabila ada yang kata kita hendak "buang tabiat" bila kita dilihat melakukan sesuatu yang diluar kebiasaan kita, jawablah bahawa kita sebenarnya hendak "tambah tabiat"

Syahrul Nizam Junaini memberi saranan ini dalam bukunya Seni Bahasa Badan apabila beliau membicarakan tentang hebatnya kuasa sentuhan. Kata beliau, sentuhan adalah elemen bahasa badan yang lebih mujarab daripada batu gemala hikmat. Walaupun ungkapan begini sudah saya dengar banyak kali dilontarkan oleh pembicara motivasi namun ia tidaklah sampai saya begitu sangat teruja untuk melakukannya. Saya sering melihatnya sebagai biasa-biasa sahaja.

Namun sejak beberapa pagi lalu saya menterjemahkannya dalam tindakan saya. Saya melakukan sesuatu yang diluar dari tabiat saya. Saya berfikir berkali-kali sebelum mengambil keputusan melakukannya. Bukan saya kekok untuk melakukannya. Bukan juga kerana malu. Tidak juga kerana tidak biasa melakukannya sebelum ini. Saya cuma khuatir tindakan "luar tabii" saya ini disalah ertikan. Takut juga kalau saya dilihat macam buang tebiat. Orang kita selesa dengan menyebutnya sebagai tebiat dan bukan tabiat. Kekhuatiran beginilah yang membalun perasaan saya.

Saya ingin merasai sendiri sejauh mana berhikmatnya kuasa sentuhan ini. Saya peluk isteri saya. Kemas dan erat. Anehnya dia tidak terkejut pun. Isteri senyum. Saya ikhlas memberi dan dia pula rela menerima. Kami lekat bagai magnet buat seketika. Bersatu.

Kuasa sentuhan memang berimpak tinggi!

Pena Tumpul - Hajat hati nak peluk gunung apakan daya tangan tak sampai

Thursday, April 28, 2011

Susu

Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak sekolah yang sedang membesar cukup menarik perhatian sekarang. Kata pakar perubatan masalah ini sepatutnya boleh dibendung andainya bayi dibesarkan dengan susu ibu dan bukan susu lembu.

Semua orang tahu khasiat susu ibu. Islam pun mengiktiraf manafaat susu ibu ini malah amat menganjurkannya. Ia cukup baik untuk pertumbuhan bayi yang sihat. Ia ada kaitan dengan perkembangan bayi dari sudut fisiloginya, minda, psikologi dan juga perwatakannya. Ringkasnya, bayi yang membesar dengan susu ibu logiknya akan sempurna tumbesarannya serba serbi.

Saya tidak tahu sama ada saya membesar dengan susu ibu. Tidak pernah terlintas pula untuk bertanya emak soalan ini. Namun mengambil kira, emak saya yang tidak bekerja selain hampir tiadanya susu tiruan waktu itu, saya yakin susu ibulah yang banyak menyumbang kepada pembesaran saya.

Di sekitar lewat 60an dan lewat 70an dulu, susu tepung berformula dengan pelbagai jenama hampir tidak ada. Kalau pun ada, orang ramai tidaklah pula terdedah kepada pelbagai iklan yang membujuk rasa seperti sekarang.

Saya masih ingat kalau pun ada susu yang saya teguk masa itu cuma susu pekat. Dan Susu Cap Junjung cukup popular masa itu. Bila susu habis, tin yang kosong selalu emak gunakan untuk isi kuah. Kadang-kadang jadi pot untuk menyukat beras.

 "Lekaslah Besar, Anakku sayang, Minumlah Susu Cap Junjung..".Jingle alunan Jamaludin Alias ini  masih segar dalam ingatan didengar melalui peti radio besar arwah ayah.

Pena Tumpul - Bila Islam menganjurkan mengupah ibu susuan pastinya susu ibu memang tiada tolok bandingnya

Friday, April 22, 2011

Bekal

Khabarnya ada pengusaha kantin yang bising-bising kerana peraturan baru tentang apa yang boleh dijual dan tidak boleh dijual mulai bulan Mei ini. Nasi lemak dan segala jenis mee antara yang tersenarai. Nasi lemak dikatakan tidak akan dibenar dijual begitu kerap sampai hampir setiap hari seperti sekarang. Ia bakal diselang selikan dengan makanan lain yang mempunyai nilai permakanan dan kesihatan yang tinggi berbanding nasi lemak.

Saya melihat langkah kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran untuk membendung masalah kegemukan tahap tinggi atau pun obesiti cukup murni.

Memang baik membenterasnya di peringkat umur persekolahan. Justeru kalau dibiarkan, natijahnya sepuluh dan 20 tahun akan datang kita bakal menyaksikan warga pelapis negara yang tidak sehat. Warga yang berisiko dihinggp penyakit negara maju seperti jantung, darah tinggi, kencing manis, kanser dan sebagainya. Sekarang ini pun penyakit-penyakit inilah yang menjadi pembunuh senyap sebahagian besar mereka yang masih muda dan masih produktif.

Berpuluh-puluh tahun dahulu, zaman atok-atok kita jarang amat didengar kematian dikaitkan dengan penyakit-penyakit ini. Saya melihat faktor makanan sebagai penyumbang kepada taraf kesihatan dan jangkahayat dan tentunya tanpa menafikan kudrat dan iradatNya.

Nasi lemak tidak patut disalahkan kewujudannya. Nasi lemak tidak dapat dipisahkan dengan orang Melayu. Nasi lemak telah dan sedang mengalami evolusi yang cukup hebat dan menarik. Nasi lemak di awal kewujudannya dibungkus dalam daun pisang dan sambal tumis yang di tumbuk lumat. Itu saja. Nasi lemak dalam penampilan awalnya tidaklah "membahayakan". Namun sekarang, nasi lemak ditampilkan dalam pelbagai versi dan ramuan. Lahirlah nasi lemak ayam, nasi lemak daging, nasi lemak kari ayam dan pelbagai lagi ramuan tambahan berperisa tiruan yang menyumbang kepada kegemukan. Nasi lemak daun pisang tidaklah diburu sangat pun kalau masih dengan sambal itu sahaja.

Tabiat pemakanan sepatutnya dibentuk dari rumah lagi. Saya masih ingat betapa emak saya hampir saban pagi menyediakan sarapan pagi untuk saya. Paling tidak nasi goreng. Saya tidak nampak emak mencampurkan benda-benda yang meragukan untuk santapan anak-anaknya. Perisa tiruan jauh sekali. Saya tidak segan bawa bekalan hasil air tangan emak.

Ketika rakan yang lain berpusu-pusu ke kantin saya melabukan punggung di bawah pokok dan  membuka mangkuk tingkat!

Pena Tumpul - Banyaknya makanan segera macam menyumbang kepada kematian yang juga segera

Thursday, April 21, 2011

5:50

Allah memberi kesempatan lagi kepada saya untuk meraikan ulang tahun keputeraan yang ke 50. Istemewanya masih lagi berkongsi kegembiraan itu bersama Hafiz yang juga lahir pada tarikh yang sama. Bezanya saya 50 dan Hafiz 5 tahun.

Menyambut hari lahir bagaikan tidak lengkap tanpa kek. Saban tahun saya tidak perlu susah-susah untuk kek itu. Ani, ibu Hafiz cukup pemurah menyediakan kek yang boleh tahan besarnya. Emak masih tahu kesukaan saya. Mee kari dan buah melaka. Tiada siapa boleh lawan mee kari dan buah melaka buatan emak. Agak ramai yang datang meraikan, termasuk Atok Dolah yang menggagahkan dirinya di usia 90 tahun.

 Atok Dolah sempat bercerita tentang rakan-rakan sebayanya yang telah lama dijemput Ilahi. Dia menyebut Tok Sentol, Tok Ghani dan beberapa nama yang saya kira sudah lama benar pergi. Atok bersyukur kerana dikurniakan usia yang luar biasa panjangnya itu. Saya lihat Atok nampak sangat uzurnya.

Sesuatu yang tidak dapat disangkal bahawa panjang pendek umur manusia tidak sama. Kita datang ke dunia ibarat menaiki bas dengan destinasi yang berbeza. Tidak semestinya yang naik dahulu akan turun dahulu. Begitulah juga sebaliknya. Tidak semestinya yang naik kemudian akan turun kemudian. Ada kalanya yang naik dahulu akan turun kemudian dan ada yang naik kemudian tetapi turun terlebih dahulu.

Namun begitu panjang atau pendek usia bukanlah penting. Lebih penting dari itu tentunya bagaimana kita menggunakan nikmat usia yang dianugerahkanNya selaras dengan tujuanNya menghidupkan kita di maya pada ini.

Terima Kasih semua dan syukur kepadaNya. Pantasnya masa berjalan!

Pena Tumpul - Anehnya perjalanan masa, namun lebih aneh manusia yang melalaikannya

Wednesday, April 20, 2011

Jemput

Banyaknya pilihan sarapan yang ada. Malah tidak kurang banyaknya juga gerai-gerai yang boleh dilabuhkan punggung untuk sarapan pagi. Hampir semua warong ada nasi lemak. Kalau ke restoren mamak pula, roti canai dan pelbagai jenis roti lagi memang tidak boleh dilepaskan.Bukan masalah untuk menjejak warong bagi bersarapan pagi di bandar Segamat ini.

Setiap gerai ada kekuatannya sendiri-sendiri. Ada yang hebat dengan nasi lemaknya, sambal yang sedap. Tidak semua gerai yang jual nasi lemak sedap sambalnya. Kalau nak sambal yang sedap, pergi ke warong Pak Daud di Kg Tengah. Sambal itulah kekuatannya. Lambat sedikit, hampalah jawapannya. Cukup laris. Kalau nak rasa nasi goreng kampung yang sedap, kunjungi gerai Bakar bomba di Jalan Temenggong yang mula dibuka petang membawalah ke malam. Nasi paprik dirasa sedap di Restoran di Taman Bendahara. Mee Bandong pula di gerai Idayu di Bandar Putra.

Sedapnya makanan pun tidak bermakna kalau perlu menunggu lama. Ada sebuah restoran di persimpangan lampu isyarat yang saya kira agak pantas penyediaannya. Makanan pun tidak kurang sedapnya.

Namun ada yang lebih menarik daripada itu. Sebuah warong ini saya dapati dikerutung ketika terang-terang tanah bukan kerana nasi lemaknya. Bukan juga kerana segala mee gorengnya. Bukan juga kerana lontongnya. Jauh sekali kerana roti canainya. Saya dan isteri juga bagai kemaruk dengan warong ini. Pagi-pagi sudah merencana minda. Warong ini harap-harap dibuka kerana saya dan isteri memburu jemputnya.

Jemputnya sedap, garing dicicah dengan sambal ikan bilis!

Pena Tumpul - Berharap ada warong yang jual ubi rebus panas-panas lepas ini

Tuesday, April 19, 2011

Tanya

"Kalau kita menyoal kita kelihatan 'bodoh' 5 minit, tetapi kalau kita tidak menyoal, kita akan bodoh selama-lamanya"

Saya ungkapkan kata-kata ini kepada Haziq sebelum meninggalkannya di kelas tuisyen Matematiknya malam tadi. Kalau di sekolah dia mungkin tidak cukup berpeluang untuk bertanya soalan. Malu dengan kawan, katanya. Jadi saya kata, di kelas tuisyen inilah dia perlu lebih banyak bertanya. Bertanya untuk melangsaikan keraguan dan memecahkan kebuntuan yang bersarang di kepala. Biarlah kita nampak macam bodoh dengan soalan-soalan yang ditanya sedangkan hakikatnya kitalah yang menuai manafaatnya. Kata orang tua-tua, malu bertanya sesat jalan. Malu makan perut lapar dan kalau malu berkayuh, perahu hanyut.

Pagi ini banyaknya soalan yang ditanya oleh Haziq kepada saya. Dia mula sedar perlunya bertanya barangkali. Seusai solat Subuh bertalu-talu soalan tentang solat yang diajukannya.

"Betul ke solat boleh buat kita jadi baik". Saya tanya dia semula kenapa soalan itu ditanya. Adakah dia tidak jadi baik dengan solat yang dikerjakannya.

"Tidak, Haziq ok rasanya. Cuma ada kawan tu walaupun dia kata dia solat tetapi suka sakitkan hati orang dan baru dua tiga hari lepas dia ditangkap ketika merokok dalam tandas. Bukankah itu tidak baik?

Berkualiti juga soalannya. Saya beritahu dia kawannya begitu kerana barangkali ada yang tidak kena dengan solatnya. Solat yang tidak buat kita jadi baik perlu diperbaiki. Selepas ia dibaiki, Insya Allah akan jadi baik lakunya. Kena sentiasa usaha untuk menaikkan kualiti solat.

Dia bertanya lagi, "Bagaimana nak baiki solat?" Dia terus mengasak saya. Solat mesti sempurna pada rukun fi'li dan qaulinya. Sempurna pada rukuk, sujud dan sebagainya. Betul bacaannya. Hati kena hadir bersama. Bukan main buat aja dan mahu cepat habis. Kata orang sembahyang patuk ayam.

Haziq terus bertanya. Dia diserang kemaruk bertanya. Kali ini tentang sukarnya untuk khusyuk. Saya faham semua orang menghadapinya.

"Kalau tak khusyuk, macam tak berguna solat kita kan". Saya setuju dengannya. Namun begitu kalau nak khusyuk, solat perlu dilakukan dahulu dan perlahan-lahan mutunya ditingkatkan. Kena sabar. Memang makan masa kerana untuk jadi baik selalunya memang lambat.

"Cukuplah tu, sambung lain kali. Nanti lewat pula ke sekolah". tiba-tiba mamanya mencelah. Memang sudah lambat dari biasa pun. Tetapi, saya gembira Haziq sudah suka bertanya. Itu baik untuk dia dan saya juga.

Pena Tumpul - Membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata











Friday, April 15, 2011

JBM1125B

Tidak ada apa yang lebih menggembirakan selain daripada diberi kesempatan untuk mencecah usia 50 tahun ini. Setahun lagi umur bertambah meninggalkan sisa-sisa usia yang terus berkurang. Setinggi-tinggi rasa syukur dipanjatkan kepadaNya kerana nikmat yang tidak terhingga. Nikmat usia yang diberkati. Nikmat kesihatan dan juga nikmat kebahagiaan di samping keluarga.

Pagi ini nikmatnya melimpah lagi. Tanpa saya duga dan jangka sekumpulan pelajar-pelajar yang saya kasihi menyajikan juadah yang amat menyelerakan. Ada mee goreng. Kek cokelat pun ada. Malah yang lebih menariknya ada pulut kuning bersama kari yang cukup sedap. Saya makan bersama mereka bagaikan satu keluarga. Saya amat terharu dengan mereka. Tiada kata yang dapat saya ucapkan untuk menyatakan betapa saya amat sangat berbangga dengan mereka.

Saya akan sentiasa mengingati mereka setiap kali melihat hadiah yang diberi meniti hari-hari berlalu saat demi saat!

Pena Tumpul - Semoga mereka berjaya cemerlang dalam peperiksaan yang mendatang

Sunday, April 10, 2011

Hukum

Mantoba yang sudah hampir 10 tahun bekerja melahirkan rasa kurang selesanya dengan beberapa orang pekerja baru di tempat kerjanya. Kata Mantoba, mereka ini belum sampai pun setahun bekerja.Namun lagak dan gayanya bagaikan sudah bertahun-tahun. Sudah memandai-mandai walaupun belum cukup sangat pandai. Pekerja lebih lama tidak diumpamakan.

Tidak sabar-sabar hendak naik ke atas. Darah baru setampuk pinang. Masih setahun jagung. Ubun-ubun masih lembik. Belum duduk sudah berlunjur. Belum merangkak sudah berlari. Ular lidi nak jadi naga. Ia berlaku di mana-mana organisasi pun.

Ustaz Umar berkisah tentang anak murid kesayangan Imam Abu Hanifah iaitu Abu Yusuf. Setelah merasakan dirinya pandai sangat Abu Yusuf meninggalkan majlis Abu Hanifah dan membuka majlisnya sendiri. Abu Hanifah tidak setuju dengan apa yang dilakukan oleh Abu Yusuf. Dia menghantar seorang ke majlis Abu Yusuf untuk mengujinya dengan beberapa permasalahan. Ternyata ilmu Abu Yusuf masih lagi dangkal kerana gagal mengutarakan jawapan yang sebenarnya. Abu Yusuf sedar kekurangannya dan perlu mendalami ilmunya lalu kembali semula ke majlis ilmu gurunya, Abu Hanifah.

Sebuah kesempurnaan dan kematangan dicapai melalui tahap dan proses yang panjang. Seekor ulat misalnya menghabiskan masa berhari-hari dalam kepompong sebelum menjadi rama-rama yang cantik. Setitis air mani menghabiskan masa berbulan-bulan di dalam rahim sebelum keluar sebagai bayi yang comel.

Kismis pun bermula dengan anggur dan tidak terus menjadi kismis! Itu hukumnya.

Pena Tumpul - Kayu tua

Saturday, April 09, 2011

Palsu

Banyaknya yang tiruan dan palsu sekarang. Ada rambut palsu, gigi palsu, bulu mata palsu. Bukan itu sahaja, orang palsu pun ada. Entah-entah dalam kehidupan kita sekarang, lebih banyak yang palsu daripada yang tulin dan asli.

Bila heboh fasal telor tiruan yang khabarnya ia di kesan di Pulau Pinang ia tidaklah memeranjatkan sangat. Mungkin juga kehadiran telur ini di kalangan kita sudah lama, cuma kita yang tidak menyedarinya. Banyaknya kepandaian orang sekarang sehingga telur pun boleh dipalsukan. Motifnya tentu tidak lain kecuali untuk untuk banyak dan cepat. Yang menjadi mangsanya ialah orang ramai.

Teknologi pembuatan telur palsu ini tidak tahulah entah dari mana datangnya. Namun di China, dilaporkan pembikinan telur palsu ini sudah bertapak agak lama. Ada kemungkinan ia datang dari China yang memang cukup bijak menghasilkan barang-barang palsu dan murah. Sementelah lagi sejak beberapa tahun lalu, kemunculan kedai dua ringgit di serata pelusuk bagaikan cendawan di musim hujan.

Sekali pandang macam telur asli tanpa kita sedari bahawa bahannya seratus peratus bahan kimia yang mungkin membahayakan kesihatan. Kulit telur diperbuat daripada lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala kuning telur dan putih telur menggunakan bahan daripada natrium alginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan.

Namun berapa pandai pun manusia, tidaklah sampai mampu menandingi keaslian telur ciptaan Tuhan. Kita boleh mengenal telur tiruan sebenarnya. Selepas telur dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur dan ini adalah telur tiruan.Kulit telur tiruan agak berkilat berbanding telur sebenar, tetapi tidak begitu ketara. Selain itu, apabila isentuh dengan tangan, ia terasa agak kasar berbanding telur sebenar. Apabila telur tiruan digoncang ia akan berbunyi kerana air berlebihan daripada bahan pepejal.

Telur sebenar agak berbau seperti daging mentah tetapi telur tiruan tidak berbau begini. Ketuk-ketuk sedikit telur itu. Telur sebenar berbunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan. Selepas memecahkan telur tiruan, kuning telur dan putih telur akan cair bersama. Ini disebabkan kuning telur dan putih telur dihasilkan daripada bahan mentah yang sama. Ketika menggoreng telur tiruan, kuning telur akan mengembang tanpa disentuh.

Selepas ini kenalah lebih berhati-hati bila memberi barangan makanan apatah lagi bila berkira-kira untuk makan luar. Menakutkan!

Pena Tumpul - Ingin bela ayam kampung

Friday, April 08, 2011

Pisang

Pokok pisang bukan kuat sangat pun. Sekali tumbuk dan kalau tepat sasarannya ia pasti menyembah bumi. Kalau penumbuk tidak cukup kuat guna parang dan tetak tepat ke batangnya, tumbanglah ia. Itulah yang kita lihat pada pokok pisang ini. Lemah dan mudah ditewaskan.

Tiga hari lalu saya tebang pokok pisang yang tumbuh meliar dalam kebun. Bukan itu sahaja diracun juga. Bergelimpangan batang-batang pisang. Hati puas. Saya berjaya menamatkan riwayatnya. Saya fikir saya menang.

Saya memang selalu silap tentang pokok pisang ini. Cepatnya ia bangkit kembali. Petang ini saya melihat pada tunggul yang terdedah ada pulur baru warna hijau muda terjulur. Pisang belum tewas lagi rupanya.

Dari dulu pun memang begitu cara pisang. Cincanglah walau sebanyak mana sekalipun, sebanyak itu jugalah pulurnya menghulur keluar kemudian.

Degil betul pokok pisang. Di pancung dan dicincang masih bangkit semula. Malah kalau dibakar pun tunggul yang tinggal, pisang tetap tumbuh semula. Begitulah kentalnya semangat juang yang dipamerkan oleh pisang. Pada pokok pisang rupanya ada prinsip yang lebih keras daripada besi.

Hebatnya kejadian Tuhan. Selemah-lemah pokok pisang itu pun, ada sesuatu yang boleh kita pelajari. Ia boleh menjadi guru kepada kita.

Alam terbentang luas. Pelbagai kejadian Tuhan dan banyaknya ilmu yang tersirat dalam siratan alam ini!

Pena Tumpul - Pernah duduk atas batang pisang dan takut sekali

Wednesday, April 06, 2011

Praktik

Banyaknya yang kita belajar melalui apa yang kita baca, dengar dan lihat. Ilmu tentang sesuatu boleh dipelajari secara formal dan juga tidak formal. Ia diperolehi seawal di sekolah dan setinggi universiti. Di dengar juga melalui cakap-cakap orang. Luasnya ruang dan peluang untuk belajar sesuatu. Tiada batasannya. Kemunculan media baru seperti internet menyemarakkan lagi pencarian ilmu ini.

Namun ada yang kelihatan kurang. Selalunya banyak yang kita tahu tetapi setakat itu sahajalah. Ia tidak sering sangat dikuti dengan menterjemahkannya dalam tindakan dan perbuatan. Kita begitu mendalam di teori namun amat dangkal di praktiknya. Ia tidak sepatutnya begitu. Teori dan praktis perlu berjalan seiring.

Ilmu tanpa amal tidak ada ertinya. Ibarat pokok tanpa buah. Daun sahaja yang lebat dan akhirnya kering layu tanpa boleh dimanafaatkan pun. Banyaknya buku resipi yang dimiliki dan pengetahuan tentang cara masak itu dan ini tidak menyumbang apa-apa selagi tidak diterjemahkan dalam bentuk hidangan yang lazat di meja makan. Begitu juga berpuluh-puluh buku tentang fotografi tidak akan menjadikan kita seorang jurugambar yang baik selagi kita tidak mengamalkan apa yang kita tahu itu.

Teringat saya cerita kawan saya yang beria-ia benar ingin belajar berenang. Saya melihat banyaknya buku mengenai berenang yang dibacanya tidak henti-henti. Hebatnya ilmu berenang yang dimilikinya sehinggakan segala gaya berenang diketahuinya. Namun, dia masih tidak tahu berenang pun.Ilmu yang diperoleh dari buku tidak membantunya untuk berenang. Saya saran dia supaya berguru tetapi tidak juga membantu kerana ia masih lagi berkisar tentang teori sedangkan praktisnya tiada.

Saya bawa dia ke kolam renang dan di sana telah menunggu seorang guru renang. Kata orang guru renang ini memang luar biasa. Saya ingin melihat kawan saya betul-betul berenang hari itu.

Tanpa saya jangka, sesampai sahaja di tepi kolam, ditolaknya kawan saya ke dalam kolam itu. Kawan saya cuma minta tolong dan kesian saya melihatnya. Namun sesuatu yang aneh berlaku. Dalam keadaan terdesaknya, saya kira, saya melihat dia mempraktikkan ilmu yang dipelajarinya selama ini. Dia terapung dan sudah mula tahu berenang!

Pena Tumpul -  Sedang baca Syamail Muhammadiyah



Monday, April 04, 2011

Dengar

"Ruku' dan sujud tidak perlu dalam solat....",

Adakalanya kita cepat sangat membuat kesimpulan sebelum mendengar sampai habis apa yang kita dengar. Belum habis lagi cakap orang yang kita dengar, kita cepat memintas. Hasilnya berlakulah salah tafsir, kekeliruan dan kekecuhan yang tidak sepatutnya berlaku pun. Bukan itu sahaja, sesuatu yang kecil akan dibesar-besarkan, yang pendek akan dipanjangkan yang tiada akan ditokok tambah.

Kenyataan di atas itu saya percaya pastinya amat mengelirukan dan boleh menimbulkan keraguan yang bukan sedikit. Itu kenyataan Abu Nawas.Ia menerima padah. Kenyataan ini telah menyusahkan dirinya dan sekaligus membangkitkan kemarahan orang ramai. Malah  Khalifah Harun al-Rasyid marah besar pada Abu Nawas dan ingin menghukum mati Abu Nawas setelah menerima laporan bahwa Abu Nawas mengeluarkan fatwa: tidak mau ruku’ dan sujud dalam salat. Ini ditambah lagi dengan hasutan para pegawainya yang berkata Abu Nawas memang patut dihukum. Dan ini memang selalu berlaku pun di kalangan kita.

Di depan Harun AlRasyid keraguan diperjelaskan. Kekeliruan diperbetulkan. Dia memberitahu baginda bahawa berita yang sampai ke telinganya sebenarnya tidak lengkap. Belum habis. Sebab itulah dia dilihat seolah-olah menyatakan sesuatu yang salah. Bukan itu pun niatnya.

Kata Abu Nawas, memang benar dia ada menyatakan tidak perlunya sujud dan ruku' dalam solat. Namun dia belum sempat menghabiskan kenyataannya bahawa solat jenazah memang tidak perlu ruku' dan sujud. Dan inilah yang tidak didengar orang ramai itu.

Dengar betul-betul dulu. Biar tentu matannya.

Pena Tumpul - Tahu kenapa kita diberi lebih telinga daripada mulut

Saturday, April 02, 2011

Model


Guru mereka nanti bagaimana?
 Tanpa dijangka saya terserempak dengan Pak Man di sebuah kedai makan. Lalu kami makan tengahari bersama sambil Pak Man tidak henti-henti bercerita tentang pengalaman lalunya. Pak Man adalah cikgu pencen dan pernah rapat dengan arwah ayah. Mereka sama-sama bersekolah Inggeris.

Sekonyong-konyong masuk dua murid sekolah, lelaki dan perempuan. Berpakaian sekolah. Lagaknya bagai belangkas. Lelaki tanpa silu merokok. Pak Man mengeluh panjang dan nampak sesal dan kecewa. Dua orang anak Melayu berfe'el begitu di depannya. Saya berkongsi rasa dengan Pak Man. Pak Man mula bercerita tentang zaman sekolahnya dulu. Guru-guru ditakuti juga dihormati. Kebanyakan guru masa Pak Man dan arwah ayah adalah orang putih dan guru-guru India yang mendapat pendidikan British.

 Kata Pak Man, ibu bapa waktu itu tidak pernah melenting kalau anak mereka dihukum malah dirotan kerana melanggar peraturan sekolah. Ia jauh berbeza dengan sekarang. Usahkan dirotan, ditegur sedikit si anak, alamat perang besarlah antara guru dan bapa. Kata Pak Man bentuk disiplin yang dilaluinya di sekolah memang menyumbang kepada pembentukan dirinya. Hasilnya ialah lahirnya anak-anak lepasan sekolah yang baik dan tidak menyusahkan mana-mana pihak.

Guru dulu juga kata Pak Man model paling baik pada muridnya. Tidak seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Tidak juga cakap tidak serupa bikin. Rotan mungkin sebagai alat namun di atas segalannya itu, guru sendiri perlu mempamerkan karekter yang baik, disegani dan dihormati di mata anak didiknya. Guru cukup bersedia di dalam kelas untuk mengajar dan cukup masak dengan apa yang diajarnya. Itu guru dulu kata Pak Man.

Sekarang, kata Pak Man, lain senarionya. Walaupun bukan semua, guru bukan lagi model terbaik pada pelajar. Kadang-kadang masuk kelas lambat dan entah apa-apa lagi. Ini bukan contoh yang baik. Menghukum pelajar kerana merokok tetapi di masa yang sama pelajar terserempak dengan guru merokok di kawasan sekolah!

Pak Man agak emosional waktu itu tetapi saya tahu dia sayang anak bangsanya.

Pena Tumpul - Guru kencing sambil duduk, murid pun kencing sambil duduk juga

Friday, April 01, 2011

Bila


"Pada tahun berapakah Tuhan kamu dilahirkan?", tanya ilmuan kafir itu.


Abu Hanifah yang rendah hati menjawab soalan itu dengan tenang.

"Allah tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan"


Ilmuan tidak cukup puas hati dengan jawapan yang diberikan lantas bertanya lagi.

"Kalau memang Allah tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan, lalu pada tahun berapa Dia ada?


"Dia ada sebelum segala sesuatu ada", tegas Abu Hanifah.

"Boleh beri contoh yang lebih konkrit tak", tanya ilmuan bongkak ini lagi.


Abu Hanifah tangkas memberi jawapan. "Tuan tahu tentang nombor kan"

"Ya, sudah tentu saya tahu", jelas ilmuan ini angkuh.


"Apakah angka sebelum angka satu?"

"Tidak ada ", jawab ilmuan kafir.


"Sudah terang lagi bersuluh. Memang pasti tidak ada angka yang mendahului angka satu. Lalu, mengapa Tuan hairan bahawa sebelum Allah itu tidak ada sesuatu pun yang mendahuluiNya?" jelas Abu Hanifah.


Ilmuan itu termangu dan terpukul lagi.


Pena Tumpul - Tidak perlu ragu


Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...