Sunday, July 31, 2011

Universiti

Ramadan bertandang lagi membawa khabar amat gembira untuk semua umat yang bertakwa. Bulan untuk beribadat. Ganjaran pahala dariNya berlipat-lipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Di corong radio, Ustaz berkongsi ilmu yang amat bermanafaat. Puasa sebagai adat atau ibadat? 

 Falsafah puasa yang selaras dengan al-Quran dan sunah perlu difahami benar-benar bagi mengelakkan amalan berpuasa tidak lebih hanya sebagai adat tahunan sahaja. Dan jika ini berlaku, ia memang merugikan.

Kata Ustaz, martabat puasa jatuh kepada tahap adat jika:  

* Menyempitkan skop puasa hanya dengan menahan makan dan minum pada siang hari sahaja. Sedang mata, hati dan lidah tidak ditahan daripada melakukan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan  minumannya. (riwayat Al-Bukhari)

* Berpuasa pada siang hari sahaja daripada melakukan dosa dan maksiat. Selepas berbuka segala kegiatan maksiat seperti mengumpat, merokok, mencaci, melakukan zina mata diteruskan seperti biasa.

* Berlebih menyediakan juadah berbuka puasa sehingga melakukan pembaziran. Allah berfirman, "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara kepada syaitan. (al-Isra':27)

* Berlebih makan ketika berbuka sehingga meletihkan badan dan menghalang daripada melakukan ibadah di malamnya. Sikap bersederhana Rasulullah s.a.w di dalam berbuka puasa perlu dicontohi sebagaimana maksud  hadis: Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. (riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi)

* Malas menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat seperti melakukan solat tarawih, solat malam dan sebagainya.

* Terdorong untuk bersolat tarawih hanya kerana sandaran kepada hadis palsu yang menyatakan kelebihan bersolat tarawih pada setiap malam. Untuk itu, pihak berkuasa agama perlu menghindarkan penyebaran hadis ini daripada berleluasa seperti tahun-tahun terdahulu.

* Mengabaikan ibadah malam bermula dengan solat  berjemaah maghrib, isyak dan tarawih kerana sibuk menonton televisyen atau kerana urusan-urusan lain.

* Malas bekerja dan tidak produktif semasa berpuasa  dengan alasan keletihan. Bayangkan bagaimana nabi s.a.w dan para sahabat berperang Badar dengan nisbah 300 melawan 1,000  orang.

* Malas membaca al-Quran atau hanya mengehadkan bacaan pada surah Yasin sahaja. Sedangkan baginda s.a.w senantiasa menyemak dan  mengkhatamkan al-Quran sekali di dalam bulan Ramadan dengan Jibril   a.s.

* Malas berdoa sedangkan doa orang yang puasa akan dimakbul oleh Allah berdasarkan sabda nabi s.a.w : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibn Majah).  

* Mengabai serta meninggalkan peluang beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya.

* Tidak bersedih dengan berakhirnya bulan Ramadan. Juga tidak bimbang sekiranya tidak dapat bertemu Ramadan yang akan datang.

* Memiliki kepercayaan-kepercayaan karut tentang kepulangan roh orang yang telah mati pada bulan Ramadan. Sedangkan kepercayaan tersebut adalah bertentangan dengan konsep roh dan alam barzakh (al-Mukminun:  99-100)

* Kepercayaan kepada perlunya menyalakan pelita pada malam 7 likur. Akibat kepercayaan ini Islam telah terfitnah dengan tohmahan  pihak tertentu yang mengatakan malaikat orang Islam rabun malam. Oleh sebab itu, pelita perlu dinyalakan sebagai panduan kepada para malaikat yang turun membawa  berkat.

* Tidak menunaikan sembahyang fardu ketika berpuasa atau hanya bersolat pada bulan Ramadan sahaja. Sabda nabi s.a.w : Beza di antara seorang Muslim dengan syirik serta kekufuran adalah meninggalkan solat. (riwayat  Muslim). Menurut sebahagian ulama salaf, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum kafir. Maka sudah pasti amalan puasa orang yang kafir tidak akan diterima oleh Allah.

* Memusnahkan pahala puasa sebulan dengan sambutan hari raya yang melampau sehingga melakukan maksiat.

Ini adalah di antara beberapa kesalahan yang biasa  dilakukan oleh umat Islam semasa menjalankan ibadat puasa yang telah merendahkan martabat bulan Ramadan. Oleh itu, kita perlu menghindarkan perkara-perkara tersebut demi menjamin pahala yang berganda di bulan ini.

Ini berdasarkan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lepas. (riwayat al-Bukhari)

Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk beribadah dibulan yang berganda-ganda pahalanya ini!
Pena Tumpul - Masuk Universiti Ramadan

Tuesday, July 26, 2011

Kemampuan

Kata Ustaz, jangan berkira sangat kalau hendak bersedekah. Begitu juga dianjurkan untuk bersedekah dan memberi mengikut kemampuan. Kalau  besar kemampuan kita, sepatutnyalah kuantiti sedekah pun perlu besar berbanding dengan mereka yang kecil kemampuannya.

Dalam program bual bicara Tanyalah Ustaz itu, beliau menyampaikan kisah yang cukup menarik ini.

Pada suatu hari, di zaman kerajaan Nabi Sulaiman..Nabi Sulaiman a.s menitahkan seluruh rakyat jelatanya yang terdiri bukan saja manusia; bahkan jin dan haiwan juga membawa sedekah atau hadiah ke istana Nabi Sulaiman. Maka berbondong-bondonglah rakyat Nabi Sulaiman datang dengan  membawa sedekah atau hadiah masing-masing.

Si Gajah membawa kerbau sebagai hadiah, si Kerbau membawa kambing sebagai hadiah, Si Kambing membawa ayam sebagai hadiah, Si Ayam membawa belalang sebagai hadiah, si Belalang membawa semut sebagai hadiah. Maka berbarislah haiwan-haiwan ini untuk mempersembahkan hadiah masing-masing. Kebetulan Si Gajah berbaris di sebelah Si Belalang. Menjelinglah Si Gajah akan hadiah Si Belalang, seraya berkata, "Hai Belalang..semut je kau bawa? Tengok aku ni haa...kerbau!!"

Maka terdengarlah oleh Nabi Sulaiman a.s akan sindiran Si Gajah terhadap Belalang, maka bersabda baginda, " Berilah sedekah/hadiah sesuai dengan kemampuanmu.."

Maksudnya, sesuai sangat lah..Si Gajah yang berbadan sasa membawa kerbau sebagai hadiah dan sesuai lah Si Belalang membawa semut. Kalau Si gajah membawa semut, itu kedekut namanya dan kalau Si Belalang membawa kerbau,tentulah ada yang tidak kena di mana-mana. Tidak mungkin Si Belalang membawa kerbau, dengan saiznya yang amat-amat kecil itu!

Pengajarannya, berilah hadiah atau sedekah semampu kita. Jangan terlampau kedekut dan  jangan pula terlampau murah hati sehingga menyusahkan diri sendiri.

Kalau sekadar seringgit yang kita mampu, memadailah justeru bukan kuantiti itu yang penting tetapi kualiti ikhlas itulah yang lebih penting lagi!


Pena Tumpul - Ukur baju badan sendiri

Monday, July 25, 2011

Jam

Saya menyuruh Haziq menyiapkan 10 soalan Matematik dalam masa satu jam. Soalan-soalan yang perlu dicari jawapannya tidaklah sukar sangat untuk diselesaikan. Berdasarkan faktor itu, saya berkeyakinan tinggi Haziq tidak ada masalah untuk melakukannya. Namun andaian saya silap. Dia awal-awal menyatakan bahawa soalan yang diberikan itu cukup sukar untuk disiapkan dalam tempoh yang saya tetapkan.

"Sudah menyerah sebelum berjuang, macam mana ni?", saya sedikit terkejut dan agak kecewa juga dengan responnya begitu. Dia sepatutnya mencuba dahulu sebelum menyatakan tidak mampu melakukannya. Saya memberinya semangat dan jangan selalu sangat menyerah kalah begitu. Saya meninggalkannya sendirian dengan harapan dia akan mengubah pendiriannya.

Tidak sampai pun satu jam, Haziq mendatangi saya. Dia buat saya terkejut dengan apa yang dipersembahkannya kepada saya. Bukan 10 soalan yang mampu diselesaikannya malah lebih daripada itu. Soalan yang dianggapnya sukar di peringkat awal tadi kini berubah menjadi sangat senang rupanya andai pemikiran dan sikap diubah dalam melihatnya.

Untuk memantapkan lagi semangat dan mengikis sikap menyerah kalah sebelum berjuangnya itu saya berkongsi dengannya kisah yang agak menarik ini.

Kisah seorang pembuat jam tangan tengah dengan jam yang dibuatnya. Dia bertanya kepada jam,“Wahai jam, apakah kamu sanggup untuk berdetik paling tidak 31,104,000 kali dalam setahun?”

“Ha?,” kata jam terperanjat, “Sebanyak itu? Mana sanggup saya?”

“Bagaimana kalau 86,400 kali dalam sehari?” tanya si tukang jam.
“Lapan puluh enam ribu empat ratus kali? Dengan jarum yang halus dan kecil seperti ini?” jawab jam penuh keraguan.

“Bagaimana kalau 3,600 kali dalam satu jam?” ujar pembuat jam itu terus mendesak jamnya.

“Dalam satu jam harus berdetik 3,600 kali? Banyak sekali itu !”. Jam masih meragui kemampuan dirinya.

Pembuat jam itu dengan penuh kesabaran kemudian berbicara kepada si jam. "Kalau begitu, sanggupkah kamu berdetik satu kali setiap detik?”

“Satu kali dalam satu detik? Ah..kalau begini, aku sanggup!” kata jam dengan penuh berkobar-kobar.

Pembuat  jam tersenyum dan segera menyudahkan jam tersebut. Setelah selesai dibuat, jam itu pun berdetik satu kali dalam setiap detiknya. Tanpa terasa, detik demi detik terus berlalu dan jam itu memang luar biasa kemampuannya  kerana ternyata genap setahun penuh dia telah berdetik tanpa henti.sebanyak 31,104,000 kali !

Begitulah, ada kalanya kita ragu-ragu dengan segala tugas pekerjaan yang begitu terasa berat. Namun sebenarnya kalau kita sudah mula melakukannya, kita ternyata memang mampu pun. Malah yang pada awalnya kita anggap mustahil sekali  untuk dilakukan!


Pena Tumpul -  Pakai jam murah

Friday, July 22, 2011

Plaster

Saya singgah makan di sebuah warung tepi jalan dalam perjalanan balik dari Melaka petang ini. Tiada petunjuk untuk saya membuat keputusan memilih warung yang sebenarnya agak banyak di sepanjang jalan. Malah ada yang cuma sebelah menyebelah. Saya kebetulan berhenti di depan deretan beberapa buah warung.Saya perlu membuat pilihan gerai yang mana satu. Asas pemilihan saya mudah. Masuk ke gerai yang ramai orang.

Lazimnya bila ramai orang pasti ada faktor penariknya. Mungkin masakannya sedap. Mungkin juga harganya yang berpatutan. Mungkin juga pesanan yang pantas diurus. Mungkin juga layanan yang baik dan menarik.

Namun begitu adakalanya faktor masakan yang sedap dan memenuhi selera mengatasi faktor lain yang sebenarnya lebih penting lagi dari sekadar sedap. Justeru itu kita lihat ada gerai yang kelihatannya kotor dan tidak begitu terurus, namun pelanggan tetap berpusu-pusu masuk dan tidak kesah berderet panjang. Gerai makanan kotor tetapi tidak mematahkan selera pelanggan.

Saya sendiri pernah mengalami pengalaman yang memualkan makan di gerai-gerai begini.Masakan memang cukup sedap tetapi aspek kebersihan dikesampingkan. Antaranya kuku yang panjang dan kotor. Sejak hari itu, saya sudah tidak masuk ke gerai itu lagi. Pengalaman kawan-kawan juga menarik. Ada yang menceritakan pernah terserempak dengan plaster luka dalam mee bandung.

Saya melihat dalam memilih gerai makanan, faktor ramai orang semata-mata tidak wajar dijadikan ukuran bahawa gerai itu baik serba-serbinya. 3P perlu diberikan perhatian. Persekitaran yang bersih dan segar serta menyamankan hati dan perasaan. Peralatan juga perlu bersih. Penyediaan makanan juga perlu turut bersih.
Bila segalanya bersih makanan yang dinikmati juga bersih lahir dan juga batin.

Kata orang ada juga gerai yang amal ilmu hitam untuk tarik pelanggan. Guna kemenyan sebesar lengan. Kalau kita tinggi ilmu tentang ini semua, kita boleh melihat makhluk betanduk bertenggek di atas pinggan makanan kita. Betul ke? Wallahu 'aklam.

Pena Tumpul -  Tengok dapor

Sunday, July 17, 2011

Gila

Man dan Min adalah dua orang pesakit mental. Suatu hari ketika berjalan-jalan di tepi kolam renang, Min terjatuh dan hampir lemas. Kesian Min yang terkapai-kapai meminta pertolongan kerana dia memang tidak pandai berenang pun. Tanpa membuang masa Man terjun dan cuba menyelamatkan Min walaupun dia sendiri tidak tahu berenang. Min berjaya diselamatkan setelah diberikan bantuan pernafasan oleh Man.

Keesokan harinya Man dipanggil oleh Lembaga Hospital yang kebetulan bersidang untuk menimbangkan kemungkinan Man dibenarkan keluar daripada hospital.

"Man, saya ada berita baik untuk awak. Berita tak baik pun ada juga. Saya beritau yang baik dulu. Sebagai menghargai jasa awak menyelamatkan nyawa kawan awak Min dari mati lemas semalam, awak akan dibenarkan keluar dari hospital ini dan balik semula ke pangkuan keluarga awak dan bergaul dengan masyarakat. Berita yang tak sedap didengar ialah Min yang awak selamatkan semalam telah dijumpai mati tergantung di dalam bilik mandi tidak lama selepas awak membantunya. Dia dipercayai menggantung dirinya sendiri", kata Pengarah hospital itu.

"Dia bukan menggantung dirinya. Saya yang menggantungnya supaya kering"!, kata Man. Pengarah hospital termangu-mangu.Hasratnya untuk membebaskan Man yang disangkanya sudah tidak lagi gila juga tenggelam bersama kegilaan Man.

Pena Tumpul -Selalunya orang gila tidak mengaku dirinya gila

Tuesday, July 12, 2011

Sebab

Bagi pasangan yang sedang asyik berkasih sayang dan saling mencintai lafaz kasih dan cinta selalunya tidak cukup kuat untuk meyakinkan pasangan. Justeru itulah kata-kata seperti, "Kalau sayang dan cinta apa tandanya" kerap bermain dibibir. Malah akan terkeluarlah dari mulut jawapan yang bunyinya cukup mustahil untuk dilakukan. "Kalau tidak percaya, belahlah hati". Begitu juga ungkapan yang cukup indah didengar namun amat mustahil untuk dilaksana seperti "Kalau hati sudah sayang, lautan api sanggup ku renangi"

Namun begitu, jawapan-jawapan begini masih tidak dapat memuaskan hati pun. Dialog ringkas antara pasangan ini mungkin dapat menjelaskan segala-galanya.

Dara: Kenapa awak suka saya, sayang saya?Kenapa awak amat mencintai saya? Saya ingin tahu sebabnya.
Uda : Saya tidak tahu bagaimana ingin menyatakannya. Namun saya memang benar-benar menyayangi awak.
Dara:Kalau anda sendiri tidak tahu mengapa awak amat mencintai saya, adalah mustahil untuk mengatakan yang awak memang benar-benar mencintai saya. Awak cuma omong-omong kosong saja.

Dara terus mendesak Uda sehinggalah menyatakan , "Baiklah, saya sayang dan cinta awak sebab awak memang cantik, suara yang memukau, awak begitu mengambil berat tentang saya, awak begitu penyayang, senyuman awak yang amat menggoda dan memikat, awak juga amat faham tentang kehendak saya.
Dara tersenyum lebar mendengar penjelasan Uda. Riang hatinya tidak terkira. Yakinlah dia bahawa Uda memang amat mencintainya jiwa dan raga.

Malang tidak pernah siapa menduga, beberapa hari kemudian Dara terlibat dalam kemalangan dan koma. . Uda yang dilanda hiba kemudiannya meletakkan sekeping warkah di sisi Dara yang ditulis begini,
 

"Sayangku,
Kerana suaramu yang merdu aku mencintaimu, namun kini suaramu tidak kedengaran lagi, Oleh itu perlukah aku terus mencintai mu lagi?

Kerana perhatianmu terhadapku membuatku amat mencintaimu, namun kini aku tidak mendapatkannya lagi daripadamu. Oleh itu wajarkah untuk aku terus mencintaimu lagi?
Kerana senyumanmu juga menerbitkan rasa sayangku padamu, namun kini kau sudah tidak mampu senyum lagi.
Kalaulah cinta dan sayang itu perlukan sebab,tentulah sekarang ini saya tiada lagi sebab untuk mencintai awak lagi. Perlukah cinta itu bersebab? Sebenarnya tidak perlu awak tanya kenapa saya mencintai awak. Kerana cinta saya pada awak tidak pernah berubah. Dan cinta memang tidak perlu pada apa-apa sebab pun".

Cinta tidak perlu diucap namun terpamer dalam tindakan. Memadailah begitu.

Pena Tumpul - Cinta Kasih Sayang
 
 


Friday, July 08, 2011

Telefon

Sehari suntuk saya tanpa telefon bimbit hari ini. Tiada panggilan masuk dan tiada juga panggilan keluar yang boleh dibuat. Tiada "gangguan". Seronok juga walau pun terasa macam ada sesuatu yang kurang.Puncanya hanya kerana kecuaian. Tanpa usul periksa saya merendamkan seluar saya bersama-sama pakaian yang lain ke dalam mesin basuh. Bukan saya tidak pernah membasuh sebelum ini. Paling tidak saya kira telefon bimbit telah berendam air selama 30 minit.

Saya melakukan seperti mana yang ramai orang pernah kata sekiranya telefon dimasuki air. Saya menjemurnya untuk mengeringkanya. Telefon tetap tidak berfungsi. Mungkin hayatnya sudah berakhir. Sedikit sesal kerana telefon ini agak mahal sekurang-kurangnya pada pandangan saya. Saya tidak bercadang untuk membeli telefon yang agak mahal lagi buat masa ini. Rasanya amat memadai memiliki sebuah telefon yang membolehkan saya menghubungi dan dihubungi. Memang itu pun asasnya dalam penggunaan telefon bimbit ini bila ia mula-mula diperkenalkan dulu. Bentuk yang mudah. Tiada kamera. Tidak meriah dan tidak ceria.

Telefon harga sekitar RM50 jadilah!

Pena Tumpul - Cari telefon kalis air

Sunday, July 03, 2011

Buruk

Apalah yang ada pada kain buruk, sekadar dijadikan pengelap lantai yang kotor. Sudah menjadi lumrah dunia, sesuatu yang fizikalnya buruk dan dipandang buruk akan disisih dan dibuang. Rupa dan wajah yang buruk kerap menjadi cacian dan cemuhan orang. Orang tua pula sering dianggap bagai Quran buruk, dibaca tidak boleh, dilakukan sebarangan berdosa pula. Begitulah nasib kalau yang dulunya baru tetapi akhirnya bertukar buruk setelah beberapa waktu berlalu.

Petang ini datang pemungut besi buruk. Saya ke belakang rumah dan di bawah pokok sudah lama tersadai beberapa buah kerusi, tingkat pinggan, serta zing-zing  dan tin-tin yang sudah buruk dan berkarat. Pucuk dicita ulam mendatang kerana saya memang sudah lama menunggu kedatangan peraih besi buruk ini untuk membersihkan pandangan yang menyemakkan mata ini.

"125 kilogram semuanya", kata peraih tersebut. Banyak juga. Tidak saya menjangka seberat itu. Namun dalam bentuknya yang sudah buruk itu berapalah sangat nilainya berbanding bila saya membelinya dalam bentuk yang masih baru dan bersinar-sinar dahulu. Yang buruk tetap buruk dan nilainya cuma sepadan dengan sifatnya yang buruk itu.

Beginilah hidup kita yang bagai besi buruk itu juga. Kita pernah baru dan muda dulu tetapi sampai satu masa kita akan jadi tua dan buruk.

Pena Tumpul - Suka kuih batang buruk

83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...