Tuesday, June 29, 2010

Rotan


"Tengok ni, Haziq kena rotan hari ni,". Haziq menunjukkan kesan birat di ponggong kepada saya dan mamanya sesampai sahaja di rumah. Kami berdua tidak terkejut kerana sudah mengetahuinya daripada Angahnya.

"Padan muka, semalam lawan cakap mama kan. Tengok dah dapat balasannya." Mama menggunakan peluang itu untuk melepaskan rasa kecewanya kepada Haziq yang menyinggung hati kecilnya semalam. Kata mama, Haziq marah-marah balik dari sekolah semalam kerana mama tidak memasakkan untuknya telur goreng berempah seperti yang dijanjikan sebelumnya. Mama kata Haziq bikin kecoh di dapur dan mogok tidak mahu makan.

Saya tidak enak mendengar Haziq sampai begitu tindakannya terhadap mamanya. Saya memilih untuk tidak menyebelahinya pun walau dia kata mamanya sengaja tidak menunaikan janjinya. Saya nasihatkan Haziq, walau pun mama salah dia tidak sepatutnya bertindak melawan mamanya begitu. "Tidak baik melawan cakap mama tau, berdosa. Haziq perlu minta maaf dengan mama dan janji dengan mama tidak akan buat lagi macam tu".

Saya tahu Haziq tidak minta maaf pun dengan mamanya kerana pagi ini dia masih lagi enggan bercakap dengan mamanya. Haziq dilihat masih mendengus.

Pagi ini Haziq dan beberapa orang lagi rakan kelasnya di panggil guru disiplinnya dan dirotan. Saya harap Haziq belajar sesuatu yang berguna darinya bahawa melawan mama dan ayah juga cepat sahaja balasannya.

Pena Tumpul - Kecut perut tengok Ustaz Jamal pegang rotan bila ngaji Quran


Thursday, June 24, 2010

Peperiksaan

Banyak pihak yang bersuara dalam memberi reaksi balas kepada cadangan supaya UPSR dan PMR dimansuhkan. Pelbagai pandangan yang terpacul. Ada yang bersetuju dan tidak kurang juga yang tidak bersetuju. Namun lebih banyak pandangan yang menjurus supaya cadangan ini dihalusi sebelum sebarang kata putus dibuat. Perlu dilihat perlu tidaknya untuk kedua-dua peperiksaan awam ini diteruskan.

Saya melihat para pelajar sekarang dihimpit dan ditekan untuk memburu "A". Malah di kebanyakan sekolah silibus sudah habis dijelajah pada awal-awal tahun lagi. Selebihnya bulan-bulan yang bersisa diguna untuk membalun habis-habisan soalan-soalan tahun lalu. Para pelajar akan di"dera" semahunya dalam mempersiapkan diri untuk berdepan dengan peperiksaan. Matlamatnya tidak lain, kecuali untuk menghimpun sebanyak "A" yang boleh.

Pantakan terhadap pelajar tidak berakhir di kelas. Setibanya di rumah belum pun kering air basuh tangan selepas makan tengahari, ibu dan bapa sudah mengomel mengingatkan anak supaya tidak lupa mengulangkaji pelajaran. Anak-anak tertekan lagi. Sebelah malamnya pula bergegas pula untuk ke kelas tuisyen. Pelajar terus dilunyai lagi mindanya.

Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan empat aspek insan yang perlu dibangun dalam diri pelajar cuma tinggal falsafah sahaja yang gagal diterjemahkan secara tuntas. Ketika aspek intelek dilanyak habis-habisan, aspek rohani, emosi dan jasmani disisihkan. Lantas yang lahir pelajar yang bukan kepalang hebat inteleknya tetapi gawat emosi, kosong rohani dan layu jasmani. Pelajar gagal dibangunkan secara holistik.

Peperiksaan bukanlah satu-satunya kaedah yang ada untuk mengukur tahap kebolehan pelajar. Adakalanya jumlah "A" yang banyak dikumpul tidak mencerminkan bahawa pelajar itu benar-benar cemerlang. Peperiksaan memberi ruang yang cukup luas kepada pelajar yang rajin dan minat menghafal. Seorang pelajar bukan Melayu khabarnya menghafal seluruh karangan dan berjaya mendapat A untuk subjek Bahasa Melayu. Malah bukan mustahil lagi sekarang kerana menghafal juga, mendapat "A" dalam subjek Pengetahuan Agama Islam amat enteng pada pelajar bukan Melayu.

Peperiksaan perlu diganti dengan kaedah yang lebih baik dan tidak menekan pelajar. Kerja-kerja kursus, projek berinovasi dan kreatif misalnya lebih menarik minat pelajar. Guru-guru yang mengajar di sekolah lebih arif akan tahap kebolehan para pelajarnya dan oleh itu perlu diberi peluang untuk melakukan penilaian. Instrumen yang dibangunkan di peringkat sekolah dilihat lebih menepati matlamat daripada peperiksaan awam itu sendiri.

Sekolah perlu dilihat tempat yang menarik untuk pelajar dan bukan sebaliknya.

Pena Tumpul - Nampak persaingan antara ibu bapa dan para anak-anak adalah mangsanya


Wednesday, June 23, 2010

Kebun


Kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.Kerjaya tukang kebun perlu dinaik taraf sebagai pekerjaan profesional terutama yang melibatkan industri pelancongan di negara ini. Katanya lagi pekerjaan tukang kebun perlu dipandang tinggi dan dihargai kerana kemampuan mereka menghasilkan taman bunga yang indah dan kreatif sehingga mampu menarik pelancong ke negara tersebut.

Lazimnya pekerjaan tukang kebun tidak pernah dipandang tinggi pun. Itu realitinya. Pekerjaan ini tidak pernah menjadi kerjaya pilihan utama pun kecuali sebagai pilihan terakhir. Itu pun kerana kelayakan yang ada tidak memungkinkan untuk memilih kerja yang lebih baik dari itu. Saya sendiri pernah meletakkan Haziq di posisi tukang kebun sekiranya dia malas belajar. Dia pantas menolak kerana kerjaya tukang kebun tidak dipandang tinggi. Dia mahu kerjaya yang lebih baik dari itu. Saya kata kalau begitu, kenalah belajar rajin-rajin dan saya berjaya mengubah sikap malasnya itu namun sedikit kecewa kerana pandangan rendahnya terhadap tukang kebun.

Jadi, kalau ada usaha untuk menaikkan martabat tukang kebun ia sesuatu yang amat dialu-alukan. Dalam kegawatan mendapatkan pekerjaan sekarang tentunya menarik kalau siswazah pun berlumba-lumba untuk menjadi tukang kebun sebagai sumber pendapatan utama. Pastinya sentuhan seorang tukang kebun berilmu tinggi mampu melakarkan lanskap yang lebih menarik berbanding sekarang. Sayangnya negara kita mempunyai banyak taman yang menarik dan berpotensi untuk dijadikan daya tarikan pelancong, tetapi taman-taman ini tidak digunakan dan diselenggara dengan baik.

Oleh itu tukang kebun profesional perlu dilahirkan supaya mereka mampu menyelaras taman yang ada di negara ini dengan lebih berkesan seperti mempunyai kemahiran dan pengetahuan tentang jenis tanaman yang sesuai dan menjadikan taman lebih menarik.

Tugas tukang kebun tidak seharusnya setakat mencabut rumput dan membersihkan daun-daun yang gugur lagi selepas ini.

Pena Tumpul - Suka melakukan kerja-kerja tukang kebun

Friday, June 11, 2010

Bola

Piala Dunia yang menyaksikan 32 pasukan seluruh dunia bertarung untuk merebut kejuaraan bola sepak berprestij ini bermula hari ini. Saya bukanlah peminat fanatik bola. Bermain bola pun sudah lama ditinggalkan selama saya meninggalkan bangku sekolah. Menonton perlawanan bola pun bukan juga sesuatu yang ditunggu-tunggu seperti kebanyakan orang yang gila bola. Keseronokan menonton bola sudah lama diragut bersama-sama dengan persembahan pasukan kebangsaan yang selalu mengecewakan. Kecewa dengan aksi yang memualkan membunuh terus minat saya untuk terpaku di depan tv berbanding ketika zaman kehebatan Shaharudin Abdullah, M.Chandran, Soh Chin Aun, Ali Bakar, Isa Bakar dan ramai lagi yang pernah memeriahkan dunia bola sepak negara.

Selepas era Mokhtar Dahari, dunia bola sepak negara terus suram. Bila Haziq tanya, "Ayah, kenapa ayah tak suka tengok bola?" Jawapan saya mudah. "Dulu melihat perlawanan bola walaupun di layar tv hitam putih amat mengujakan. Ayah dapat rasakan yang mereka semua bermain bermati-matian untuk negara. Pemain dulu memiliki keghairahan, sekarang tiada. Mereka hanya bermain untuk wang!", kata saya pada Haziq lagi.

Malah ada yang berjudi dan bertaruh jutaan ringgit kerana bola juga. Keputusan perlawanan bola pun seolah-olah sudah ditentukan. Ini tidak berlaku pun dulu. Sebab itu juga menonton perlawanan bola sekarang tidak lagi menarik.Ia tidak lebih sebuah persembahan yang membodohkan penonton.

Bersyukurlah saya bukan kaki bola dan juga bukan gila bola. Kalau tidak terpaksalah bersengkang mata di depan tv sepanjang musim piala dunia ini. Kesian Haziq menonton tanpa teman!

Pena Tumpul - Pilih Sepanyol

Tuesday, June 08, 2010

Tolong

Seorang ibu yang menyara hidup keluarganya dengan harapan setinggi langit merayu kepada saya, "Encik Kamil, tolonglah saya dapatkan tempat untuk anak saya di UiTM. Dia minat sangat nak belajar di UiTM." Saya tengok keputusan SPM anaknya dan saya kira cukup layak untuk di pertimbangkan belajar di universiti yang sinonim dengan orang Melayu ini. Entah di mana silapnya permohonannya dahulu ditolak ketika rakan-rakannya yang lain diterima masuk. Ini yang menggusarkannya, kata ibunya. Dia ingin sama belajar dengan mereka termasuk anak saya yang juga diberi peluang untuk belajar di universiti mega ini.

"Saya tidak boleh janji apa-apa. Saya akan majukan permohonan ini ke UiTM Shah Alam dan tengoklah macam mana nanti. Kalau ada rezeki, adalah", saya memberinya sedikit harapan. Saya sedar saya bukan berada di kapasiti yang cukup ampuh untuk menyediakan tempat belajar untuknya. Siapalah saya. Namun jauh di lubuk hati kecil saya, saya amat berharap dapat merealisasikan impian anak ini dan sekaligus menjadikan saya orang yang paling bertuah kalau dapat membantunya.

"Kalau dengan izin Allah, awak dapat belajar di UiTM, saya hendak awak belajar rajin-rajin dan bersungguh-sungguh. Jangan main-main dan ingat UiTM tempat untuk belajar bagai melepas batuk di tangga aja. Saya hendak lihat seawal semester satu aja, keputusan awak menggemparkan dan terus tersenarai dalam Anugerah Dekan!" pesan saya kepadanya.

Anak perempuan berusia 18 tahun ini berjanji untuk tidak menghampakan saya. Saya ingin melihat janji tidak janji tinggal semata-mata. Dia memikul amanah berat ibunya, saya dan juga amanah bangsa dan saya harap dia cukup gigih untuk itu.

Pena Tumpul - UiTM sentiasa dihatiku dan dihati semua orang yang sedar bahawa dia Melayu

Saturday, June 05, 2010

Belanja

Kata orang makanan yang paling sedap sekali ialah bila makanan itu orang yang belanja. Selalunya bila kita tahu bukan kita yang perlu bayar, kita akan minta semahu-mahunya apa yang teragak di rasa. Minta apa sahaja kerana akhirnya yang membayar bukan kita. Sungguh tidak eloknya begitu.

Petang ini, bapa mentua mempelawa saya sekeluarga makan di luar. Agak terkejut juga, kerana beliau bukanlah selalu sangat menawarkan peluang makan "free" begini. Namun kata orang rezeki jangan ditolak kerana peluang makan begini bukan selalu hadirnya. Haji Muda ini memang murah sangat rezekinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sesekali beliau ingin berkongsi rezeki yang dinikmati dengan dua orang anak perempuanya bersekali dengan dua menantunya dan empat orang cucunya yang tidak pernah bertambah bilangannya itu. Keluarga kami memang kecil. Sebab itu, apa sahaja yang didamba cucu-cucu yang berempat ini mudah sahaja ditunaikan.

Di Juara Ikan Bakar, kami melabuhkan punggung. Pada mulanya saya ingin "mengenakan" ayah mentua yang begitu pemurah ini dengan memesan apa sahaja makanan yang terlintas dihati dan teringin di rasa. Saya tahu dia banyak duit. Masa yang terbaik untuk "membelanjakan" duitnya. Niat "jahat" itu tidak berlaku pun. Yang saya tahu saya cuma memesan sepinggan mee hon dan segelas air barli, mama seperti biasa dengan nasi goreng kampungnya dan teh limaunya, Haziq dengan nasi paprik dan milo aisnya, Diko dengan soto goreng tepungnya, Denko dengan kerang rebusnya dan ayah mentua sempat memesan 150 cucuk sate untuk menjamu kami semua. Tawaran ayah mentua untuk beberapa ekor ikan bakar saya tolak justeru saya bukanlah kaki makan pun.

Saya melihat bukan makanan itu yang penting namun peluang untuk bersama sesekali itulah yang lebih penting dalam menjalin hubungan keluarga kecil ini.

Pena Tumpul - Seronok

Friday, June 04, 2010

Pelukan

"Seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat setiap pagi akan panjang umurnya lima tahun."

Itu kata pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah yang didengar lagi celotehnya lewat Sinar FM awal pagi ini. Sekali lagi isteri yang duduk di sebelah tersenyum lebar. Saya tahu kenapa dia tersenyum. Mungkin saya tidak memeluknya seragat yang dianjurkan oleh Dr Fadzilah. berkata, fakta tersebut berdasarkan kajian oleh seorang pakar di Jerman mengenai hubungan antara sentuhan dan tahap kesihatan.Seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh.

"Bagaimanapun, sebagai seorang Islam kita tidak harus lupa ajal dan maut terletak di tangan Allah," katanya. Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan. Jelasnya, selain mempunyai kesan positif dari segi saintifik dan kesihatan sentuhan, pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan sunah Rasulullah s.a.w. Tambah beliau, ada kajian di Amerika Syarikat (AS) juga mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri.

"Oleh itu suami yang inginkan isterinya menurunkan berat badan digalakkan memeluk isterinya lebih kerap," katanya. Isteri senyum lagi penuh makna.

Jelas beliau, hubungan seks dalam penuh rasa kasih sayang juga dapat membantu pasangan untuk awet muda dan berketerampilan menarik. "Wanita yang mempunyai kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk menghiasi diri," kata Fadzilah. Isteri senyum lagi dan saya faham.

Pena Tumpul - Sesekali peluk bantal

Thursday, June 03, 2010

Merajuk

Isteri yang duduk di sisi cepat mencelah apabila Dr Fadzilah Kamsah kata lelaki tidak sepatutnya merajuk. Cuma perempuan sahaja yang layak untuk merajuk. "Dengar tu, abang kan kuat merajuk, mana boleh", katanya.

Saya memilih untuk tidak bersetuju dengan kenyataan pakar motivasi tersohor ini yang didengar lewat Sinar FM awal pagi ini. Lelaki juga punya perasaan dan kerana itu tidak ada sebab mengapa lelaki tidak boleh merajuk. Tetapi tidaklah seteruk wanita rajuknya. Bunyi macam pelik apabila ada lelaki yang merajuk. Namun itulah realiti.Pastinya ada sebab mengapa lelaki merajuk.

Faktor cemburu boleh dilihat sebagai faktor utama kenapa lelaki merajuk. Lelaki dihinggap rasa cemburu apabila ada pihak lain yang cuba mengambilalih tumpuan dan perhatian pasangannya daripada dirinya.Kalau pasangan dilihat begitu mesra berbual dengan kawan-kawan tiba-tiba terbit rasa cemburu ini lalu merajuklah dia. Kadang-kadang kerana begitu asyik dengan pekerjaan sampai terjejas perhatian kepada suami juga boleh buat lelaki cemburu dan macam diisisihkan lalu merajuk lagi. Kalau boleh, tumpuan dan perhatian cuma untuknya sahaja dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain pun!

Merajuk bukan satu masalah kalau ia tidak berlarutan berhari-hari dan senang pula dipujuk. Merajuk menjadi sesuatu yang menyesakkan apabila berpanjangan sehingga menjejaskan hubungan antara pasangan. Malah keadaan menjadi semakin gawat apabila isteri akhirnya turut merajuk. Seeloknya, bila lelaki merajuk, perempuan patut jadi penyejuk dan memujuk lelaki kerana memang itu pun yang dimahukan oleh lelaki.

Bila Dr Fadzilah Kamsah kata lelaki yang suka merajuk bukanlah lelaki yang menjadi idaman wanita, ia tidak semestinya benar kerana saya tahu ada wanita yang amat selesa dengan pasangan yang kuat merajuk!

Pena Tumpul - Merajuk pada yang kasih

Wednesday, June 02, 2010

Senangnya

Dila aka Diko diberitahu oleh mama longnyanya berazam cukup tinggi untuk muncul antara 10 pelajar terbaik dalam peperiksaan setengah tahun yang sedang dihadapinya. Dia mahu menjadi lebih baik daripada Haziq sepupunya. Haziq dan Dila memang bersaing sesama mereka. Kedua-duanya sentiasa sahaja mahu dilihat sentiasa lebih baik. Saya kagum dengan semangat berlumba-lumba yang mereka pamerkan.

Malam tadi Haziq memberitahu saya tentang Dila yang tidak berapa enak didengar. Dila dikatakan tidak bertungkus lumus menyiapkan dirinya untuk peperiksaan itu sebenarnya. Berbanding Haziq yang lebih bersungguh-sungguh, Dila seolah-olah tidak ambil kisah langsung dengan buku-bukunya tetapi dilihat banyak menghabiskan masa depan tv sambil di selang seli dengan kemaruknya terhadap Facebook. Saya hairan kerana ketika dia begitu berazam sangat untuk menggapai kecemerlangan, dia dilihat pula bersantai sahaja. Senangnya dia melakar impian begitu. Tanpa jerih, tanpa usaha.

Saya tidak mahu dia leka begitu kerana tidak ada benda yang cukup mudah untuk diperoleh dengan duduk senang-senang begitu. Saya ceritakan kepadanya dan Haziq juga kisah ini. Saya harap kisah ini boleh menyedarkannya bahawa bukannya senang untuk senang.

Ia kisah Ibrahim Adham, seorang raja yang pada satu malam sedang beristirehat di atas tilam empuk dalam istananya. Baginda bersenang-senang sementara menunggu melelapkan mata apabila tiba-tiba terdengar seseorang sedang bergerak-gerak di atas syiling istananya. Makin lama, makin kuat kedengarannya.”Siapa di atas tu?” bentak Ibrahim Adham.“Saya, pengembala kambing…”Kedengaran satu suara menjawabnya dengan jelas.”Apa yang kau buat di atas atap istanaku?”“Aku mencari kambingku yang hilang,” jawab suara yang tidak kelihatan itu lagi.“Cis, pelik sungguh. Masuk akalkah kau mencari kambing yang hilang di atas atap?”“Begitulah wahai Ibrahim… adalah pelik kalau kau inginkan keredhaan Allah hanya dengan bersenang-senang di atas tilammu yang empuk itu. Itu samalah dengan mencari kambing yang hilang di atas atap!

Diberitakan, selepas insiden itu Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat tanpa memikirkan kesusahan rakyat. Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan takhta kerajaannya kepada orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula mengembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun berjuang mendidik diri, darjat ketaqwaan meningkat hingga terkenallah baginda sebagai seorang waliullah yang tersohor.

Saya katakan pada Dila dan Haziq bahawa tidak ada jalan mudah untuk mendapat kebahagiaan dan kejayaan abadi. Tidak ada ganjaran tanpa ada kesusahan.Hanya kecekalan berdepan dengan segala kegetiran di dunia yang menjanjikan kesenangan yang abadi di syurga.

Pena Tumpul - Harap kedua-duanya sama-sama hebat

Tuesday, June 01, 2010

Kerjarumah


"Kan bagus kalau duduk rumah, buat kerja rumah, masak ke, cuci baju dan kemas rumah, bila mama balik kan senang semua dah siap, Lagi pun itu tugas suami tau!"

Saya bercuti hari ini dan sepanjang hari duduk di rumah. Isteri saya menjangkakan malah mengharapkan bila saya bercuti kerja-kerja rumah boleh saya bereskan. Dia sebenarnya mengusik saya. Membuat kerja-kerja rumah bukanlah asing pada saya. Dari mencuci kain, menyidainya pula dan kemudian mengangkitnya malah melipatnya dan menyusun rapi di almari pakaian tidaklah susah sangat untuk dilunaskan. Saya selalu melihat adalah tidak adil untuk meletakkan beban kerja rumah di atas bahu isteri semata-mata. Sebab itu saya tidak betah hanya sekadar lepas tangan sahaja. Lagi pun seronok kalau rumah yang kita diami kemas dan selesa. Cumanya keghairahan untuk memasak itu memang tidak pernah singgah di hati. Sebabnya memang tidak pandai masak pun. Lagi pun isteri lebih wajar untuk melakukan tugas memasak untuk suaminya.

Melakukan kerja-kerja rumah tidak menjadi kekok sebab sejak kecil pun emak sudah melatih kami adik beradik melakukannya. Emak membahagikan tugas antara kami. Siapa yang patut sapu sampah, cuci pinggan, sapu halaman rumah semuanya emak tentukan. Dan saya melakukannya pula pada anak-anak. Haziq tahu tugasnya. Dia tahu bila dia sepatutnya mencuci bilik air, mengosongkan bakul sampah. Haziq juga sudah sangat biasa untuk sama-sama melipat kain dan sesekali membantu mamanya di dapur. Dan ini meringankan tugas mamanya sekaligus mempersiapkannya untuk berdikari sekiranya berada jauh dari keluarga nanti. Tidak perlulah hendak bergantung harap untuk melakukan sesuatu yang memang boleh dibuatnya sendiri.

Pena Tumpul - Tidak perlu pembantu rumah pun

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails