Saturday, July 31, 2010

Perlindungan

Seorang rakan mengirim kepada saya cerita yang amat menarik dan wajar dijadikan panduan.Kisah benar ini berlaku di Amerika Syarikat. Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di sana. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus. Soal cerita ini sahih atau tidak bukan isunya kerana pada saya yang pasti Allah sentiasa memberi perlindungan kepada hamba yang ikhlas meminta kepadanya. Kita perlu yakin kepada kebesaranNya dan kehebatan ayat-ayatNya tanpa ragu walau sedikit pun.

Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Disebabkan hari yang agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan berseorangan.

Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia disaat itu.

Masa dia melepasi tempat lelaki itu bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenal pasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.

Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu..

“Why don’t you do anything to me on that night even though you know that I’m alone?” (Kenapa awak tak buat apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa tu?)

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim.” (Tak, awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada dua orang lelaki berjalan dengan awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak kesorangan malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)

Wanita ini rasa amat terkejut bila mendengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

Pena Tumpul - Sedih kisah seorang budak sekolah 10 tahun dirogol "binatang"


Tuesday, July 27, 2010

Tangan

"Kalau banyak sangat tangan, macam inilah jadinya". Itu reaksi seorang juruteknik IlQam apabila melihat peralatan komputer di dewan kuliah yang sudah diubah penyambungan kabelnya. Saya meminta bantuannya untuk segera memeriksa sesuatu yang saya kesan bermasalah sebaik sahaja memulakan kelas pagi ini.Ia menggendalakan saya kira-kira 10 minit. Saya tahu ia masalah biasa yang boleh saya betulkan sendiri pun. Namun saya tidak mahu melakukan apa-apa pun. Biarlah yang lebih arif yang membetulkannya.

Dua hari yang lalu Tok Imam kampung Gudang Garam merungut perkara yang sama. Sistem pembesar suara yang selama ini elok berfungsi sudah mula ada yang tidak kena. Ada tangan-tangan yang pandai-pandai mengusik sana dan sini. Kata Tok Imam, " Dulu semua elok aja, sejak ada tangan yang pandai nak sentuh itu dan ini, dah ada yang rosak"

Sememangnyalah perbuatan banyak tangan ini menyumbang kepada masalah. Begitu juga kereta, kalau lebih daripada satu tangan yang menggunakannya akan adalah yang cela itu dan ini. Sebab itu pemilik kereta lebih bersedia untuk menjadi pemandu kepada keretanya sendiri daripada membenarkan keretanya dipinjam oleh orang lain.

Pena Tumpul - Biar ringan tangan tetapi jangan panjang tangan

Thursday, July 22, 2010

TokUtih

Tok Utih kembali mengadap Ilahi pukul 2 petang ini. Saya sempat bersamanya buat kali terakhir pada hari Raya tahun lalu. Waktu itu beliau sudah amat uzur dan cuma mampu baring sahaja. Matanya sudah tidak seterang dulu. Saya perlu rapat dengannya untuk dikenali. "Ini Kamil ke..." itulah yang biasa terpacul dari mulutnya setiap kali berpeluang menemuinya setahun sekali. Lepas itu seperti biasa TokUtih akan memeluk erat setiap orang yang mendekatinya dan sebuah ciuman singgah di pipi. Begitulah cara TokUtih.

Bila Ani menyampaikan berita sedih ini, saya tidaklah begitu terperanjat kerana TokUtih memang sudah tua benar. Atok Senah, adiknya sudah lama pergi dahulu. TokUtih adalah satu-satunya atok sebelah emak yang masih tinggal dan akhirnya pergi juga meninggalkan kami.

Saya amat terasa kehilangannya dan agak terkilan tidak dapat menziarahi jenazah TokUtih buat kali terakhir.

Pena Tumpul - Masih ada Tok Dolah aja yang sudah 90 tahun usianya

Thursday, July 15, 2010

Wajarkah?

Pagi ini seorang pelajar menemui saya untuk bertukar kumpulan kelasnya sekarang. Pelajar perempuan ini adalah mentee saya. Sebagai mentornya saya mendengar dengan penuh tanggungjawab alasan untuknya bertukar kumpulan itu.

"Saya tidak selesa kerana pensyarah ini bercakap fasal agama dalam kelas". Itu sahaja alasannya. Mudah sangat alasannya. Saya katakan padanya apa salahnya pun kalau ada pensyarah yang cenderung untuk bercakap fasal agama kepada pelajarnya. Ia bagus untuk pelajar kerana makanan rohani juga sama penting dengan makanan minda. Lalu apa masalahnya.

Masalahnya pensyarah ini bukan Islam. Pelajar ini menyebut nama pensyarah yang membuatnya tidak selesa itu. Katanya ada beberapa orang lagi rakannya juga sedang berhasrat untuk bertukar kumpulan juga atas alasan yang sama itu.

Saya tidak kata apa-apa. Itu permintaannya.Saya memilih untuk tidak cepat membuat "judgement" sendiri. Cuma saya bertanya diri, "Wajarkah tindakan kedua-duanya- bertukar kelas dan bercakap tentang agama ketika kita amat sedar kita bukan cukup kredibel pun untuk itu".

Pena Tumpul - Sedar bukan semua pelajar senang dengan kita

Sunday, July 11, 2010

Banci

"Ada pakai ketuhar gelombang mikro tak?" Soalan ini antara beberapa soalan yang diajukan oleh dua orang pembanci ketika berkunjung ke rumah lewat pagi ini. Tidak sampai pun 10 minit sesi soal jawab selesai.

Banci ini mengingatkan saya kepada banci pada tahun 1970. Saya tinggal di kampung dan belajar dalam darjah tiga. Kala itu banci bagaikan hari raya. Cukup meriah. Saya duduk di sisi emak membantunya menjawab soalan-soalan yang diajukan. Seronok sangat. Lepas itu mengikut pula akak Zaharah yang membanci ke beberapa buah rumah yang lain. Waktu itu saya tidak tahu sangat pun mengapa banci ini perlu dilakukan. Yang saya tahu cuma tanya-tanya soalan. Itu sahaja. Saya tanya emak kenapa perlu banci tetapi emak tidak tahu sangat. Kali ini Haziq bertanya soalan yang sama pada saya.

Saya beritahu dia, zaman saya dulu ada orang datang ke rumah dan tanya beberapa soalan tentang berapa orang tinggal dalam rumah, berapa orang kanak-kanak yang ada, berapa ramai orang dewasa , berapa orang yang kerja, ada air atau elektrik dan beberapa soalan lagi yang saya pun dah lupa.

Kemudian orang tu akan lekat satu kertas sebesar buku 555 pada dinding depan rumah. Saya anggap kertas tersebut sebagai tanda, rumah ini telah dibanci. Kadang-kadang kertas tersebut bertukar warna dan pudar tidak boleh dibaca tetapi masih lagi tersemat di dinding rumah sehingga bertahun-tahun.

Saya bagi tahu dia, data-data yang dikumpulkan ini membolehkan kerajaan tahu secara purata jumlah penduduk negara, pekerjaan penduduk , pendapatan isi rumah dan kemudahan asas. Bila dah tahu, senang untuk buat perbelanjaan negara dan perancangan penyediaan kemudahan penduduk. Data tentang kanak-kanak membolehkan kerajaan merancang pembinaan sekolah baru untuk sesuatu tempat.

Pena Tumpul - Harap data banci mengubah kampung ini sebelum banci 2020 pula


Saturday, July 10, 2010

Bola

Bola Piala Dunia hampir ke penghujungnya. Belanda akan berentap dengan Sepanyol di perlawanan akhir. Saya penyokong Sepanyol dan mengharapkan aksi hebat pasukan yang cuma tumpas sekali dengan Switzerland ini. Pada saya perlawanan ini menarik kerana kedua-dua pasukan tidak pernah sekali pun menjulang trofi Piala Dunia empat tahun sekali ini. Haziq pula berkeyakinan besar pasukan pilihannya Belanda akan membunuh impian Sepanyol dan merangkul trofi berprestij itu dalam perlawanan yang dinanti-nanti oleh semua peminat bola seluruh dunia.

Haziq tidak gembira kerana perlawanan akhir ini dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 pagi Isnin. Dia berkeras untuk tidak ketinggalan menonton pertarungan ini walaupun saya membantah hasratnya itu. Saya tidak mahu dia melebihkan bola daripada yang lain lebih-lebih lagi pelajarannya. Pun begitu saya sedang menimbangkan cadangannya agar dibenarkan tidor seawal 8 malam dan bangun 6 jam selepas itu dan menonton pasukan pilihannya beraksi. Beria-ia betul dia. Kalau sudah gila bola begitulah!

Khabarnya kerana bola macam-macam cerita dalam rumahtangga yang didengar. Ada pasangan yang perang kecil kerana bola. Menariknya, kajian yang dijalankan oleh The Star-Adidas Loudest Noise Survey.Staying menemukan beberapa dapatan menarik gara-gara gila bola.

Daripada sejumlah 3,135 orang yang terlibat dalam kajian ini, 61% mengatakan berjaga sehingga 230 pagi, 32% menonton perlawanan 730 malam dan 1030 malam manakala 7% tidak menonton langsung pun! Dan yang menonton kesemua perlawanan pun tidaklah besar sangat pun jumlahnya cuma sekitar 17% sahaja.

Malah tidak ramai pun mereka yang bekerja sampai mengambil cuti rehat atau sakit pun - cuma sekitar 7% sahaja!

Pena Tumpul - Sepanyol menang!

Wednesday, July 07, 2010

Fruity

Fruity expressions

HAVE you been working hard to improve your English? Do you see your efforts bearing fruit?

Are you familiar with some of these “fruit” expressions which can add colour and richness to your language?

1. Bears fruit: If your effort bears fruit it is successful and produces good results.

Your years of nurturing will bear fruit, and you will be proud parents.

2. Forbidden fruit: A source of pleasure that involves breaking a rule or doing something you are not supposed to do.

They enjoyed the forbidden fruit of an extra-marital affair.

3. First fruit: The first fruits of a project or activity are the earliest results or profits.

His good durian harvest is the first fruit of his horticultural projects.

4. Apple of someone’s eye: Someone who is beloved.

John is the apple of his mother’s eye.

5. Apple pie order: Perfect order.

Her house is always in apple pie order.

6. Apple polishing: Doing things to gain the support or favour of someone.

The students in the last class are good in apple polishing.

7. Going bananas: Behaving in a crazy way or becoming extremely angry.

He is going bananas over racing cars.

8. Banana republics: Small, poor countries.

More aid should be given to banana republics.

9. Peaches and cream: If you say a girl has a peaches and cream complexion, you mean she has clear, smooth skin.

Her peaches and cream complexion gives her a healthy glow.

10. Peach or peachy: Something described as peachy is very nice.

Everything is her life is just peachy.

11. Cherry- pick: If you cherry-pick people or things, they choose the best from a group, often in a way considered unfair.

She cherry-picks the smart girls to be prefects.

12. Plum: A plum job is a good one which many people would like.

He got a plum job with a shipping company.

13. Pear-shaped: If a situation goes pear-shaped, bad things start happening.

His project to renovate his factory has gone pear-shaped.

Pena Tumpul - Like Soursop or Durian Belanda

Tuesday, July 06, 2010

Menyusahkan

Penggunaan komputer sepatutnya menyenangkan bukan menyusahkan. Namun ia tidak selalunya begitu. Komputer berkesan sekiranya ia dikendalikan dengan cekap. Paling penting perlu sentiasa kemas kini dari segi data dan maklumatnya.

Dalam mesyuarat PDP pagi ini soal Penasihat Akademik yang tidak berkesan dibangkitkan. Soal Penasihat Akademik ini sejak mula-mula di wujudkan dulu sampai sekarang semacam gagal berperanan sebagai jambatan penghubung antara pensyarah dan pelajar. Mentor cuma diburu menteenya hanya untuk urusan validasi saja, walaupun itu bukan satu-satunya tujuan ia diwujudkan. Sepatutnya mentor boleh ditemui untuk apa sahaja hatta yang melibatkan soal peribadi sekali pun. Sebab itu sampai kini Penasihat Akademik terus dipertikaikan keberkesanannya.

Seorang ini yang celupar mulut terkejut kerana ada anak buahnya sudah bertukar "bapak" (nota: Dia menggunakan perkataan bapak). Dan saya adalah bapak baru itu. Berlaku percanggahan pandangan. Saya mendengar dan melihat. Malas nak bersuara. Seorang lagi mencadangkan supaya saya diminta mengeluarkan senarai pelajar tersebut dari senarai mentee saya kerana kata dia pelajar itu pastinya bukan mentee saya. Saya tidak perlu bersuara kerana ia cuma mengundang sesuatu yang tiada kata putus. Di bengkel AIMS minggu lalu saya secara sedar memasukkan sejumlah 34 orang mentee baru dalam senarai saya. Dan senarai itu datangnya dari orang yang berautoriti pun. Setelah memasukkannya saya diminta mengeluarkannya pula. Satu arahan bodoh!

Saya tahu masalah tersebut timbul kerana mereka yang sepatutnya mengemaskinikan data dalam komputer tidak melakukannya. Kalau tidak mana mungkin senarai pelajar yang sudah lama tamat pengajiannya masih lagi tersenarai sebagai mentee saya. Itu adalah senarai tahun 2006 tetapi masih tersimpan di dalam ISIS!

Fikirlah dahulu sebelum bersuara kalau tidak, lebih baik diam sahaja daripada menyakitkan hati orang lain!

Pena Tumpul - Orang bijak bercakap kerana ada sesuatu yang ingin dibicarakan; sementara orang bodoh bercakap kerana dia rasa perlu untuk bercakap

Sunday, July 04, 2010

Buli

Saya ingat pernah dibuli di minggu pertama menjejak kaki di UKM hampir tiga dekad lalu. Antara yang masih segar di ingatan- di suruh meniup air panas dalam gelas sehingga sejuk. Saya dipaksa berbuat begitu oleh kawan sebilik saya bersama tiga orang rakannya. Minggu Orientasi baru selesai dan perlu berdepan pula dengan kerenah "roommate" yang sentiasa menunggu peluang untuk membuli pelajar baru.

Saya tiada kuasa untuk membantah. Saya tahu kalau saya cuba membantah saya akan diperlakukan dengan lebih agresif lagi. Mahu tidak mahu dengan berat hati, ikut sajalah. Namun dalam hati memberontak dan rasa hendak melawan saja. Pun begitu kalau saya cuba melawan, saya tetap di pihak yang kalah. Saya tidak akan untung apa-apa. Saya sudah sedia berdepan dengan kerenah perlakuan buli yang tidak bertamadun yang bakal saya hadapi di universiti. Itu lumrah.

Berbanding sekarang, buli dulu lebih agresif. Dua orang rakan saya pula khabarnya disuruh meniup lampu kalimantang sehingga padam. Bukankah tidak masuk dek akal begitu? Kesian mereka kerana sampai berpeluh namun yang ditiup tidak juga padam-padam. Lebih menyakitkan hati pelajar "senior" yang mengeluarkan perintah bodoh ini ketawa terbahak-bahak menyaksikan perlakuan itu.

Namun begitu, selepas itu saya dan rakan sebilik menjadi rakan yang paling rapat dan paling banyak membantu saya. Dan saya masih lagi berhubung dengannya sekali-sekala.

Pena Tumpul - Ingin buli balik tetapi tidak berdaya

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails