Thursday, December 30, 2010

Jelmaan


Menyaksikan perlawanan bola malam tadi memang menyeronokkan. Selain daripada keupayaan pasukan negara membentengi asakan demi asakan pasukan lawan yang kemaruk gol, tumpuan terpaku kepada kehebatan Fahmi penjaga gol dari Kelantan ini.

Saya melihat tanpa Fahmi sebagai penjaga gol, pasukan negara mungkin tumpas lebih teruk daripada itu, bukan setakat dua gol yang terbolos itu. Bukan calang-calang penjaga gol yang boleh menyekat kemaraan bola ke dalam pintu gol dari sepakan penalti. Tetapi Fahmi berjaya melakukannya. Bahkan cubaan demi cubaan yang bahaya juga berjaya ditangkisnya. Satu persembahan yang cukup memukau yang dipamerkan oleh anak muda berusia 21 tahun ini.

Melihat kehebatan Fahmi, mengingatkan saya kepada dua nama besar dalam lagenda bola sepak negara. Dua nama yang tidak boleh dilupakan hingga kini, tentunya Arumugam yang mendapat jolokan bertangan panjang dan juga Chow Chee Kiong yang pernah hebat sekitar 70an dahulu. Selepas mereka berdua, pasukan bola sepak negara ketandusan penjaga gol yang benar-benar boleh dibanggakan.

Pujian juga perlu diberikan kepada Safee Salleh, penjaring gol terbanyak yang dikatakan sebagai jelmaan Supermokh. Kalau tidak sehebat Mokhtar Dahari pun, pemain muda ini juga memang mempamerkan permainan yang amat membanggakan.

Ketika seluruh negara yang sudah lama mengidam kejuaraan daripada pasukan bola, cuti umum satu hari tentunya cukup berbaloi dan bermakna sebagai hadiah mengiringi kejayaan amat berprestij ini!

Pena Tumpul - Syabas (Datuk) Rajagopal

Tuesday, December 28, 2010

Cicak

Mantoba bercerita tentang satu lagi bisnes yang boleh buat duit. Dia pernah bercerita tentang kayu gaharu yang didakwanya mampu memberi pulangan yang luar biasa. Berpuli-puli dia cuba meyakinkan saya untuk turut serta. Seperti cubaannya yang gagal meyakinkan saya dengan gaharunya dulu, saya juga tidak mudah tertarik dengan cerita cicaknya kali ini.

Katanya cicak tokek atau gecko boleh mencecah harga hingga puluhan ribu ringgit. Mudahnya untuk dapat duit kalaulah betul begitu pun. Namun selalunya yang dikata tidak semudah yang dilaku. Kalau semuanya begitu mudah, pastinya sudah ramai yang jadi kaya raya dengan pelbagai lagi cerita menarik tentang lintah, cacing, keli yang juga dilaporkan boleh menunaikan impian mereka yang ingin kaya cepat.

Hebat sangatkah cicak tokek ini? Saya terus menyelongkar maklumat tentang reptilia ini. Fakta tentangnya memang menarik.Ia didapati mengandungi suatu zat aktif yang mempunyai sifat theurapetik. Zat aktif tersebut yang masih dalam tahap ujian klinikal tahap 1telah menunjukkan hasil yang signifikan.Zat aktif yang diberi dengan nama IUPAC Tri-heksipentafenikol ini mempunyai sifat yang boleh merencatkan pertumbuhan sel kanser selain melawan HIV dan H1N1 viral.

Tidak hairanlah mengapa cicak besar ini menjadi buruan mereka yang ingin kaya cepat. Ia amat bernilai tinggi seperti sarang burung walit yang juga boleh memberi pulangan yang lumayan.

Tetapi, ia bukannya senang!

Pena Tumpul - Sekali kena, dua kali tahu

Monday, December 27, 2010

Bola


Saya menyaksikan Haziq dan mamanya bersorak kegirangan meraikan kehebatan Malaysia menundukkan Indonesia dalam perlawanan bola beberapa hari lalu. Saya tidaklah teruja sangat kerana secara peribadinya minat saya pada bola tidaklah sangat tinggi. Tetapi bila diheret sama oleh Haziq saya tidak berupaya menolaknya.

Saya melihat prestasi pemain bola negara kini memang boleh dibanggakan. Suntikan jurulatih Rajagopal memang berkesan menyembuhkan penyakit yang melanda pasukan negara sejak berdekad lalu. Percaturan dengan meletakkan pemain muda juga berbaloi. Persembahan mereka jelas tidak mengecewakan. Sumbatan tiga gol yang membolosi pintu gol lawan ketika semua cemas tanpa sebarang gol di waktu 45 minit awal permainan benar-benar mengejutkan.

Namun, jangan terlalu selesa sangat dengan kemenangan ini. Keselesaan bakal mengundang kecundang. Saya masih ingat bagaimana pasukan bola negara tumpas di tangan Indonesia dalam perlawanan ulangan di tempat sendiri walaupun menang di perlawanan pertama. Saya harap ia tidak berlaku dalam perlawanan kali ini atau kita bakal menerima nasib yang sama sewaktu bertemu Indonesia dalam Piala Tiger 2004 dahulu. Segalanya kerana terlalu yakin akan menang.

Belajarlah dari kesilapan masa lalu dan belasah Indonesia!

Pena Tumpul - Tertarik dengan Khairul Fahmi penjaga gol yang bagaikan bertangan magnet

Friday, December 24, 2010

Penduduk


Kalau ada yang masih beranggapan bahawa bilangan perempuan melebihi bilangan lelaki ia sebenarnya tidak tepat langsung. Hasil banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 yang telah dilaksanakan pada 6 Julai hingga 22 Ogos 2010 yang lalu mendedahkan penemuan yang amat menarik. Bilangan penduduk lelaki di negara ini sekarang 14,112,667 orang manakala perempuan pula 13,453,154 orang.

Ratio jantina secara keseluruhan pula menyaksikan bahawa kini ia adalah 105 lelaki bagi setiap 100 wanita. Jumlah penduduk pula 27.6 juta orang. Dengan kadar pertumbuhan 2.7% dalam tempoh 10 tahun (2000-2010) hasrat negara untuk mencapai 70 juta penduduk menjelang 2010 bagaikan amat jauh dari jangkauan.

Statistik tidak pernah berbohong berbanding pandangan mata kasar dan persepsi orang ramai. Kalau benar lelaki memang lebih ramai bilangannya dari wanita, di mana mereka? Yang pasti mereka tidak dilihat ramai di mana-mana pun. Bilangan lelaki semakin menyusut di pusat pengajian tinggi. Malah di mana-mana kelompok yang ditemui pun wanita tetap mendominasi. Hatta di sektor guna tenaga kerja pun kaum wanita jugalah yang terus dilihat menenggelamkan kehadiran kaum lelaki.

Mereka bersembunyikah? Surarumah barangkali.

Pena Tumpul - Adik-beradik emak pun semuanya perempuan

Wednesday, December 22, 2010

Renyok


"Ini mee rebus ke?, saya bertanya kepada seorang penjual wanita ini. "Ini mee goreng!!!!, keras sekali nadanya. Saya tau ia memang bernada keras. "Berapa semua?, saya tanya lagi. "Tiga ringgit. Jawapannya kurang jelas kerana dia dilihat acuh tidak acuh pun. Saya bertanya pada Haziq untuk kepastian. Haziq pun tidak jelas. Saya bertanya lagi, "Berapa ya,? " Kali ini dengan nada tingggi dia kata, "Tiga ringgit!!!

Saya hampir meletakkan sahaja dua bungkus mee goreng yang saya beli daripada sebuah gerai di pasar malam kalau hati yang diikut dan diturut. Saya ingin memberi pengajaran kepada seorang penjual ini bahawa setiap pelanggan perlu dihormati dan dilayan dengan baik.

Berurusan dengan pelanggan bagai acuh tak acuh. Hendak tak hendak. Ditambah pula dengan wajah masam mencuka. Gamaknya bagai ada sesuatu yang mengganggu diri sendiri lantas dipamerkan pula kepada pelanggan yang tidak tahu apa-apa. Mudahnya melampiaskan masalah yang bersarang dalam diri kepada orang lain. Ia sesuatu yang amat tidak adil.

Saya selalu percaya dalam apa keadaan sekali pun pelanggan jangan sampai diheret sama dalam masalah diri sendiri. Biar marah sehebat mana sekali pun jangan sesekali disuakan kepada pelanggan. Itu bukan urusan pelanggan. Pelanggan cuma berkunjung ke gerai dengan satu tujuan iaitu membeli sesuatu dan ia dibayar. Ia bukan percuma. Merenyokkan muka di depan pelanggan suatu perbuatan yang amat mengecilkan hati pelanggan.

Saya harap insiden menyakitkan hati ini terpencil sifatnya.

Pena Tumpul - Pelanggan selalu betul

Tuesday, December 21, 2010

Milo


Macam-macam cara dilakukan kalau hendak untung lebih. Dalam keghairahan dan kehalobaan itu, sudah barang pasti penggunalah yang menjadi mangsanya. Persoalan yang sering kami utarakan terjawab juga.


Milo yang tidak berasa Milo seperti sebelumnya rupanya bukan Milo asli. Ada segelintir yang tidak bertanggungjawab dan hendak kaya cepat memasukkan bahan serupa Milo atau koko tiruan dalam tin Milo kosong. Kemudian godak air Milo dan hidangkan kepada pelanggan. Pandainya mengaut untung dengan mengeksploitasi pengguna yang ditipu hidup-hidup selama ini.


Peniaga kedai makanan ini memang banyak muslihatnya. Tentang air Milo ini pun, lain peniaga lain rasanya. Di sebuah warung saya menjumpai secawan Milo yang amat jalang dan nipis. Pastinya Milo yang diguna amat sedikit kuantitinya justeru hendak untung lebih. Di sebuah warung yang lain pula, segelas Milo sesedap rasa dan elok pekat Milonya. Namun harga tetap sama. Itu baru secawan atau segelas air Milo.


Saya selalu berpandangan, berniaga perlu disekalikan hasrat untuk untung yang berpatutan dan juga rasa tanggungjawab kepada pengguna.


Pena Tumpul - Jelak dengan peniaga cekik darah






Monday, December 20, 2010

Pembantu



Dari Abu Hurairah r.a katanya, Fatimah meminta kepada Nabi s.a.w seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab Nabi s.a.w : “Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah engkau kutunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur”. (Muslim)


Islam sebenarnya menganjurkan bahawa seorang wanita tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah keluarga. Isteri sepatutnya duduk di rumah mencurahkan perhatian kepada urusan rumahtangga, mendidik anak-anak dan membesarkan mereka. Ini bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: Rasulullah bersabda, “Isteri bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga suaminya”. (Bukhari & Muslim)

Pun begitu, tuntutan semasa memerlukan golongan isteri juga keluar rumah berganding bahu mencari nafkah untuk membantu suami menyara keluarga. Oleh yang demikian komitmen selaku seorang isteri, ibu dan juga seorang pekerja kepada majikan tidak dinafikan mengundang rasa penat yang tidak tertanggung secara sendirian. Oleh itu ramai antara para isteri yang bekerja menginginkan adanya seorang pembantu rumah untuk menolong mereka menguruskan rumahtangga. Ada rasionalnya juga tuntutan itu.

Namun begitu masalah ini boleh diselesaikan tanpa pembantu rumah pun. Seorang suami yang faham keletihan isteri selalunya tidak berat tulang menolong serta bertolak-ansur dalam meringankan tugas isteri di rumah. Banyak kerja yang boleh dibereskan andai pasangan sanggup berkorban untuk sebuah rumahtangga yang bahagia. Tiada masam-masam muka.

Molek juga kalau si isteri mengamalkan petua yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w seperti dalam hadis di atas kerana dengan menyebut nama Allah dengan berzikir kepadanya jiwa akan terasa tenang, hilang keserabutan dan keletihan. Bukankah itu lebih baik daripada memiliki seorang pembantu rumah.

Semua kerja rumah boleh dibuat sendiri sebenarnya maka tidak perlu sangat pembantu rumah pun!

Pena Tumpul - Saling bantu membantu

Wednesday, December 15, 2010

Puasa


Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)

Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)

Semoga diberi kekuatan untuk melaksanakannya.

Pena Tumpul - Terima kasih Ustaz Zaharuddin

Monday, December 13, 2010

Tetamu

"لِّلَّهِ ما فِي السَّمَاواتِ وَمَا فِي الأَرْضِ Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah." (AlBaqarah:284)

Dunia ini bukan milik kita. Ayat di atas menegaskan bahawa pemilik dan pencipta dunia dan segala isinya adalah Allah. Justeru itu Allah sahaja yang berhak mengaturnya, bahkan Allah sahaja yang berhak membuat jalan. Lalu tentulah tidak kena sama sekali kalau ada yang mendabik dada berkata, "Biarkan saya lakukan dengan cara saya, orang lain tidak berhak campur". Betulkah begitu? Sudah tentu ia bukan begitu. Kita yang hidup di muka bumi milikNya ini tidak berhak pun untuk membuat jalan hidup sendiri. Yang pasti kita hanya dituntut untuk mengikut jalan yang telah ditentukanNya.

Tidak sukar pun untuk memahaminya. Ia mudah difaham dengan pengalaman yang pernah kita lalui. Anak kita menemui RM10 di tepi jalan. Ia bertanya., " Bolehkah saya belanjakan duit ini?" Saya pasti jawapan begini akan kita ungkapkan, " Tidak boleh. Duit itu bukan hak kamu sebab itu kamu tidak berhak menggunakannya!

Bumi, lautan, haiwan, segala tumbuhan, bukit, gunung, sungai dan segala isinya bukan kita yang menciptanya. Ia hak Allah. Siapa kita untuk mengatur dunia ini sesuka hati kita. Kita terang-terang bukan pembuat dan penciptanya.


Kita hanya tetamu senja di bumi milikNya. Sebagai tetamu yang bertandang ke rumah kita misalnya, amatlah tidak wajar untuk tetamu ini membuat sesuka hatinya. Selesakah kita melihat tetamu ini wewenangnya mengubah susunan perabot, mengguna peralatan rumah tanpa izin kita sebagai tuan rumah. Begitulah kita yang bertandang sebentar dibumiNya.

Tetamu perlu beradab dengan tuan rumah, seperti mana perlunya manusia beradab dengan Tuan punya dunia ini.

Kita tidak berhak membuat jalan tetapi hanya mengurus dan mentadbir mengikut jalan yang telah disediakanNya!

Pena Tumpul - Berperang dengan "tetamu" yang tidak diundang saban malam,merah kena gigit

Sunday, December 12, 2010

Memilih


"Sikap memilih yang senang-senang dan enak-enak sahaja daripada sunah perlu diperbetulkan"


Sambil marah-marah Pak Ya bercakap tentang pengalamannya menunggu sehingga berjam-jam akan kedatangan seorang yang telah dipertanggungjawabkan untuk menikahkan anak saudaranya. Upacara yang sepatutnya berlangsung sekitar jam tiga petang tidak seperti yang telah dirancang dan ditetapkan. Seperti biasa soal masa tidak begitu sangat diberikan perhatian oleh orang kita. Dalam banyak keadaan ketepatan masa sering dilihat enteng.

Darjah kemarahannya tidaklah tinggi sangat kalau dia bukan berurusan dengan seorang pegawai dari Jabatan Agama ini. Umum selalunya mengharapkan betapa kepimpinan melalui teladan diterjemahkan dengan baik dalam setiap tindakan mereka. Ia membawa imej Islam dan perlu dilihat begitu oleh orang ramai. Tidak boleh diambil mudah kerana ia akan memberi implikasi negatif kepada orang ramai tentang kita orang Islam dan sekaligus orang Melayu.

Pernah seorang Ustaz berbicara panjang lebar pengalamannya menunggu seorang penceramah yang datang lewat hampir sejam. Berjubah dan lengkap dengan serban. Berimej Islam. Dalam ceramah yang berdegar-degar itu dia bercakap tentang pentingnya mengikut sunah Rasulullah.
Anehnya tidak sedikit pun dia menyentuh tentang Rasulullah yang begitu mengambil berat tentang masa dan menepatinya.


Kata Ustaz lagi alangkah baiknya jika sunah menepati masa ini dilaksanakan oleh ustaz yang memakai serban dan jubah itu. Tetapi ia tidak begitu.

Selalunya, kita cenderung melihat dari sudut-sudut tertentu yang kita sendiri punya kepentingan. Yang "sesuai" dengan selera dan kecenderungan kita, itu yang diutamakan. Manakala yang perlukan kita bersusah payah, kita pinggirkan, seolah-olah itu bukan sunah.

Sebab itulah makan kismis yang didoakan dilihat lebih penting daripada berusaha menelaaah pelajaran dan memberi tumpuan ketika belajar. Salah memberi keutamaan dalam mengikut sunah!

Pena Tumpul -Potong kuku pun ikut sunah





Friday, December 10, 2010

Peringatan


Sejak beberapa hari yang lalu menelusuri jalan masuk ke UiTM Segamat perhatian kita pastinya akan tertumpu kepada papan-papan tanda di kiri jalan masuk dan keluar. Ia bukan papan tanda biasa-biasa. Papan tanda ini menyedarkan kita agar tidak sangat lalai untuk mengingatiNya saban masa. Ia amat bagus dan terima kasih kepada yang menelurkan usaha mencacakkan papan tanda ini.

Allah berfirman;
الذّينَ ءَامنُوا وتَطمَئنّ قُلوبهُم بِذِكرِ الله أَلَا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنّ القُلُوبُ
(سورة الرعد : 28)

"Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah. Ketahuilah dengan dzikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Papan tanda begini memang sudah sangat biasa kita lihat dicacak di tepi-tepi jalan terutamanya di lokasi-lokasi menghampiri masjid. Saya percaya sesiapa pun yang terpandang papan tanda ini akan terdorong hatinya untuk melafazkan kalimah-kalimah suci ini dan berzikrullah.

Malah dilaporkan di tempat-tempat dicacakkan papan tanda begini kadar kemalangan jalanraya yang sebelumnya agak tinggi didapati menurun. Namun sejauh mana wujud kaitan berikut tidak pula dapat dipastikan. Walau apa pun yang pasti, tidak rugi pun untuk mengingatiNya setiap masa dan tempat. Besar ganjaran dan fadilatnya.

Pena Tumpul - Perlu disedarkan selalu

Wednesday, December 08, 2010

Belasah

Dua hari berturut-turut saya "membelasah" tubuh badan saya. Saya ingin memberi sedikit ruang kepada minda untuk berehat pula. Sudah teruk diasak. Kata orang tua badan jangan dimanjakan sangat. Nanti manai, lemah dan tidak bermaya. Sesekali perlu dibelasah.

Tidak susah pun. Lihat sekitar rumah. Rumput-rumput tebal dan panjang. Saya perlu "mengerjakan" rumput-rumput itu. Dua jam saya menghepong mesin rumput menulusuri keliling rumah. Memang penat namun kesannya melegakan. Tiada lagi kemuncup yang menyemakkan mata. Paling penting peluh membasahi seluruh badan. Amat menyegarkan. Kegiatan paling mudah dan murah untuk mengeluarkan peluh.

Pokok-pokok yang memagari keliling rumah nampak tidak menarik. Daun-daun dan dahan-dahan yang tidak perlu wajar dicantas. Saya memerah keringat dan membanting tulang empat kerat saya. Memang memenatkan malah cukup melengohkan. Namun hati diulit puas kerana pandangan sekeliling tidak lagi memualkan.

Pena Tumpul - Suka buat sendiri

Tuesday, December 07, 2010

Roda (Revisited)

"Hidup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti."

Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.''Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu .

Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis.

Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis . Suami yang baru itu menjawab dengan tenang : ''Demi ALLAH akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu.

Pena Tumpul - Semuanya di bayar tunai sekarang

Sunday, December 05, 2010

Hijrah

Doa Akhir Tahun
Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.


Doa Awal Tahun
Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Pena Tumpul - Mengharap perubahan lebih baik

Saturday, December 04, 2010

Tujuan


Petang ini saya sengaja mencabut tiang gol dan biarkan Haziq dan kawan-kawanya bermain di padang tanpa tiang ini. Saya ingin mengajarnya satu perkara yang cukup penting dalam hidupnya. Haziq agak pelik dan mahukan penjelasan tetapi saya tidak akan menjelaskan apa-apa pun. Selepas beberapa minit saya memanggilnya dan mendapatkan reaksinya bermain tanpa tiang gol.


"Ajik tak tahu nak bawa bola ke mana. Nak sepak dalam gol, tiang tak ada. Bawa ajalah bola dan rebut-rebut bersama yang lain" katanya. Dia memberi jawapan yang amat saya harapkan. Mudah bagi saya untuk menjelaskan tujuan saya membiarkan dia bermain tanpa tiang gol tadi. Sememangnya bermain tanpa tiang gol akan mencetuskan beberapa kecelaruan. Bagaimana kemenangan hendak dikira? Ke mana bola hendak dibawa oleh pemain? Di mana pula posisi penjaga gawang?


Saya melihat betapa huru-haranya Haziq dan kawannya bermain tanpa tiang gol. Nampak sangat bodoh. Dalam konteks kehidupan kita sebagai manusia begitulah kita kalau di mukabumi tanpa tujuan. Tidak ubah pun seperti mereka yang bermain bola tanpa tiang gol. Aimless, meaningless dan emptiness. Ia tidak menjurus kita ke mana-mana pun. Dalam banyak keadaan menjurus kepada kebosanan, kekecewaan, tekanan dan ketegangan yang melampau. Ia tidak pernah berakhir dengan sesesuatu yang amat-amat pasti pun! Ia akan berubah dan berubah.


Saya harap Haziq tidak membuang masa lagi dalam menghabiskan hari-hari cuti yang masih berbaki. Saya mahu dia lebih terarah.


Pena Tumpul - Guna dua pokok nyior jadi tiang gol main bola masa kecil-kecil dulu

Wednesday, December 01, 2010

Pilihan

"Anak ibarat kain putih, coraknya pilihan kita"

Petang ini Hafiz menunjukkan saya dan isteri tadikanya. Saya tidak memintanya tetapi dia yang bersungguh-sungguh untuk itu. Dia teruja sangat. "Inilah sekolah Hafiz. Cikgu dia baik. Hafiz suka sekolah ni". Dia belum bersekolah pun lagi di Tadika Khalifah Bestari ini. Dia dibawa ayahnya mendaftar di tadika itu dua hari lalu. Sesuatu yang baru pastinya menyeronokkannya dan suka pula untuk dikongsinya dengan Pak Uda dan Mak Udanya ini. Begitulah gelagat anak kecil. Cukup seronok dengan dunia yang baru dilaluinya.

Pada saya ayahnya tidak salah dalam memilih tadika ini untuk anak sulungnya ini. Ia baik untuk pembentukan seeorang Hafiz yang diinginkan. Luarannya Islamik. Dalamnya juga pasti begitu.Saya lihat kurikulumnya. Lengkap dan menyeluruh. Dunia dan akhirat. Ia baik untuk Hafiz. Kata ibunya dia hendak Hafiz pandai membaca, mahir bahasa Inggeris dan pandai solat. Dan boleh juga hafal doa-doa. Saya rasa semua ibu dan bapa ingin anaknya terdidik begitu akhirnya. Ibunya tidak salah mahukan Hafiz begitu.Itu hasrat yang amat baik.

Memilih tadika yang sesuai memang sangat penting dan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Silap perhitungan anak-anak yang merasai kesannya nanti. Bukan lagi luar biasa sekarang ibu bapa tidak begitu kisah melaburkan wang yang banyak untuk pendidikan awal anak-anak mereka. Malah dikatakan perhatian kepada pendidikan di peringkat yang amat kritikal ini perlu dilihat lebih penting daripada pendidikan di peringkat universiti itu sendiri. Silap di muara bahananya akan terasa sehingga di hilir sungai.

Namun tidak ramai yang sedar pun tentang ini. Lalu pemilihan tadika yang sesuai untuk anak tidak menjadi begitu penting. Asal ada sahaja!

Pena Tumpul - Ingin lihat budak banyak mulut ini jadi Hafiz

Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...