Wednesday, December 28, 2011

Lama

Saya ke sebuah kedai yang paling lama di bandar Segamat.Kedai yang terletak di bandar lama ini cuma menjadi tumpuan di hujung tahun. Ketika inilah ibubapa sebok berbelanja untuk peralatan sekolah anak-anak. Kedai ini jadi popular kerana dua benda sahaja iaitu baju dan beg sekolah. Saya memilih untuk ke kedai lama ini untuk membeli beg sekolah Haziq dan bukan di kedai-kedai gah pada nama tetapi harga menjerut leher pembeli. Lagi pun ada kenangan penuh sentimental yang tidak mampu dilupakan bila ke kedai ini.

Saya masih ingat setiap kali menjelang persekolahan almarhum ayah akan bawa saya dan abang ke kedai ini untuk beli beg sekolah baru. Masa dulu beg yang dijual tidaklah banyak jenisnya dan coraknya seperti sekarang. Ayah bukanlah banyak sangat duit pun jadi kami dibelikan beg sekadarnya. Namun saya dan abang berpuas hati dan bersyukur dengan apa pun beg yang ayah pilihkan untuk kami. Kami tidak merengus apatah lagi membantah. Sekurang-kurangnya dapat juga beg baru daripada tiada langsung. Setelah 30 tahun berlalu kedai ini masih ada lagi walaupun tidaklah ramai yang mengunjunginya macam dulu. Tauke kedainya masih lagi sama cuma sudah makin tua.

Bila saya tanya kepada tauke Ong mengapa dia tidak berpindah sahaja ke kedai yang baru yang tumbuh macam cendawan di sekitar bandar ini, dia cuma kata dia lebih senang untuk terus berniaga di situ. Murah sewanya walau kurang pembeli. Saya setuju bila dia kata kemunculan kedai-kedai gaya baru seperti Mall dan Kipmart walaupun merancakkan perniagaan dan memberi lebih pilihan kepada orang ramai selalunya kedai-kedai begini tidak akan bertahan lama. Sewa ruang niaga yang ditanggung oleh peniaga selalunya akan diserap senyap-senyap kepada pembeli. Barang akan dijual lebih mahal. Akhirnya orang ramai akan berbalik kepada kedai-kedai lama juga.

Dengan kuasa beli yang tidak sekuat mana di Segamat ini, saya pesimis selama mana gedung-gedung besar ini akan kekal bertahan?

Pena Tumpul - Beli di gerai tepi jalan sahaja

Tuesday, December 27, 2011

Mesra

Seawal pagi ini ada dua perkara yang amat menyukakan hati seorang saya. Ia mungkin kecil pada pandangan orang lain tetapi pada saya ia cukup besar dan bermakna. Lain orang lain pandangannya.

Ketika menunggu isteri menerima ubatnya di Unit Farmasi Poliklinik, mata saya terarah kepada sebuah kotak di bawah kaunter. Ia bukan kotak biasa.  Ia kotak yang memudahkan orang ramai. Selalunya dalam keadaaan cuaca yang sering hujan begini, payung menjadi teman rapat ke sana dan ke mari. Ternyata Unit Farmasi cukup peka dengan kehendak pelanggannya dan menyediakan kotak ini.

Sejurus selepas usai di kaunter ubat, saya dan isteri beredar untuk bersarapan pagi. Kami singgah di sebuah warung yang memang sering menjadi tumpuan di Kg Jawa. Acapkali niat untuk singgah bersarapan di sini, dibatalkan kerana kesesakan yang melampau. Orang selalu ramai di warung ini. Pasti ada yang menjadi tarikannya. Roti canai atau mungkin kuih-kuih yang amat pelbagai atau barangkali harga yang relatif murah.

Dalam keghairahan untuk bersarapan di sini dan keinginan membuak-buak isteri untuk menikmati roti canai dan keterujaan saya untuk merasa lepat ubi, saya tidak sedar bahawa tiada tempat duduk rupanya. Bukan juga tidak ada sebenarnya, cuma tiada meja yang betul-betul kosong. Seorang lelaki yang mesra alam dan mesra orang tentunya tiba-tiba menawarkan meja yang sudah ditaklukinya kepada saya. Gembiranya hati bukan kepalang. Ia amat-amat menyentuh hati seorang saya.


Pena Tumpul - Makan tiga biji lepat ubi....sedap 

Monday, December 26, 2011

Doa

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kegundahan hati dan kesedihan,
Dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas,
Dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut dan bakhil,
Dan aku berlindung kepada-Mu dari lilitan hutang dan tekanan orang.

Dalam Tanyalah Ustaz seorang Ustaz berkongsi cerita yang perlu dijadikan iktibar.Pada suatu hari, Rasulullah masuk ke masjid, lalu baginda melihat seorang lelaki Ansar bernama Abu Umamah sedang termenung, pada wajahnya tergambar kedukaan.

Kemudian baginda Rasul bertanya; "Apa yang engkau buat di sini pada waku begini, wahai Abu Umamah?"

Abu Umamah menjelaskan; "Aku sedang bingung kerana terlalu banyak hutang, ya Rasulullah."

"Sukakah engkau aku ajarkan satu bacaan yang dapat melangsaikan hutang-hutangmu dan melenyapkan duka dan kesedihanmu?;

"Bacalah setiap pagi dan petang bacaan ini," kata baginda Rasul.

Abu Umamah berkata; "Doa tersebut aku amalkan dan akhirnya Allah menyelesaikan hutang-hutangku, begitu juga kesusahanku."


Pena Tumpul - Baca pagi dan petang

Friday, December 23, 2011

Aurat


“Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik. Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat… perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat"
  
Saya melihat dalam kelas, dua atau tiga orang siswi yang sekejap bertudung sekejap tidak. Ada hari-hari mereka bertudung dan ada harinya juga mereka dilihat tanpa tudung di kepala. Saya melontarkan persoalan secara jujur untuk mendapatkan jawapan.

Ada yang menerimanya secara terbuka dan ada yang kurang senang isu ini ditimbulkan. Justeru itu yang seorang ini mengeluarkan kenyataan di atas. Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun saya sedar pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas.

“Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?” tanya saya lembut.
“Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.” Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak.”, jelasnya yakin.

Saya tahu dia ingin mempertahankan dirinya yang kebetulan tidak bertudung pada hari itu. Saya tidak bersetuju sepenuhnya dengan jawapannya itu. Ia separuh betul.

”Kalau dia wanita yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut… ya dia ‘baik’ di sudut itu. Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di sudut yang lain. Dia ‘tidak baik’ di sudut berpakaian, kerana hukum menutup aurat telah termaktub dalam Quran"

Dia nampak  muram. Nampaknya dia belum berpuas hati. Saya menusuknya dengan hujah yang memujuk.  Jika benar-benar hati seseorang wanita itu baik, insyaAllah lambat laun dia akan menutup aurat juga. Hadis riwayat Bukhari misalnya ada mengisahkan seorang wanita pelacur berbangsa Yahudi yang telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Atas sebab sifat belas kasihannya itu dia mendapat hidayah lalu menjadi wanita yang solehah.
Jika seorang wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat. Ini kerana Allah menilai pada hati. Jika hati itu baik, lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya jadi baik.
 
Perubahan luaran adalah gambaran perubahan hati. Sebab itu kita lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya tudungnya semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian berubah kepada memakai baju T sendat dan  lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja.Kualiti hatinya mungkin merosot. Sebaliknya yang tidak menutup aurat akhirnya perlahan-lahan meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik.

Saya ingin melihat perubahan itu dalam pertemuan-pertemuan seterusnya. Naik atau turun. Atau tidak naik dan tidak juga turun. 

Pena Tumpul - Melihat bertudung itu lebih menjurus kepada fesyen


Tuesday, December 20, 2011

Jumud

Saya tidak pernah tahu adanya jawatan sebagai peniup kaca dalam sektor awam. Jawatan ini antara yang tersenarai dalam beberapa lagi jawatan yang akan dijumudkan.Dalam lain perkataan akan dimansuhkan bermula tahun depan. Tiada lagi pengambilan baru. Penghapusan jawatan jumud adalah antara transformasi yang dilakukan dalam sektor awam yang dianggap cukup besar anggotanya melebihi satu juta kakitangan.

Saya melihat ia memang satu langkah yang tepat pada masanya dalam usaha untuk meningkatkan imej perkhidmatan awam yang selama ini sering dipandang serong. Perkhidmatan awam selalu dikatakan tidak cekap, dan berlakunya pertindihan tugas, pembaziran sumber manusia akibat lebihan kakitangan. Ia dilihat memang ada benarnya dakwaan sedemikian. Tidak keterlaluan kalau dikatakan ada yang cuma goyang kaki pun di tempat kerja!

Selain penjumudan jawatan, berlaku juga penjenaman semula pada jawatan-jawatan tertentu. Jawatan atenden atau amah sebelum ini kini dapat nama baru iaitu Pembantu Perawatan Kesihatan. Hebat namanya dan sekaligus melonjakkan semangat kerja kepada penjawatnya.

Ketika ada yang keluh kesah dengan tawaran baru ini dan teragak-agak untuk membuat pilihan, saya tidak menunggu lama untuk membuat pilihan. Tidak sukar untuk membuat pilihan pun kalau kita sedar bahawa ia bukanlah segala-galanya pun!

Pena Tumpul - Bakal pencen pada 16.4.2021, Insya Allah

Sunday, December 18, 2011

Makan

Dalam perjalanan balik dari Melaka saya sempat singgah di salah sebuah kedai makan di Tangkak. Kata orang kedai yang satu ini memang luar biasa mee bandungnya. Sementara menunggu mee bandung yang dipesan tersaji di atas meja, saya berceloteh tentang cara makan yang berbeza di kalangan pelbagai kaum dan bangsa.

Saya tanya Haziq mengapa dia memilih untuk makan menggunakan tangan walaupun dia boleh makan dengan sudu dan garfu kalau dia mahu. Katanya makan guna tangan lebih nikmat dan mudah lebih-lebih lagi kalau makan nasi dengan pelbagai lauk. Biasanya orang Melayu lebih selesa makan pakai tangan.

Apakah rasionalnya dan kenapa orang Melayu makan dengan tangan? Saya mengajukan soalan ini kepada Haziq dan dia tidak mampu menjawabnya. Saya pernah terbaca asal usul orang kita makan guna tangan ini.  Soalan ini dijawab dengan mudah di akhir abad ke 19 oleh seorang kerabat diraja Kedah yang menetap di Selangor bernama Tengku Kudin.

Ia berlaku di akhir abad ke 19. Seorang kerabat di raja Kedah Tengku Kudin diceritakan pada suatu hari menghadiri jamuan di rumah Residen British. Ketika semua tetamu jemputan telah bersedia untuk menghadapi hidangan, Tengku Kudin tiba-tiba bangun menuju ke arah paip air dan membasuh tangannya. Tanpa menghiraukan orang lain semuanya menggunakan sudu dan garfu, beliau dengan selamba menyuap makanan ke mulutnya dengan tangannya.

Telatah Tengku Kudin ini diperhatikan oleh seorang wanita Inggeris yang kebetulan duduk di sisinya. Merasa tertarik dengan perlakuan Tengku Kudin itu wanita tersebut lantas bertanya: "Kenapa anda makan dengan tangan ? Bukankah menggunakan sudu dan garfu itu lebih bersih dan lebih sopan ?"

Dengan selamba Tengku Kudin menjawab lantang dan dapat didengari oleh orang lain.
Katanya,"Saya makan dengan menggunakan tangan saya sekurang-kurangnya ada tiga sebab.
Pertama,saya tau tangan saya lebih bersih dari sudu dan garfu sebab saya sendiri yang membasuhnya dan bukan orang lain. Sudu dan garfu itu dibasuh oleh orang lain yang belum tentu cukup bersih.
Kedua,saya yakin tangan saya lebih bersih kerana tangan saya hanya saya seorang saja yang menggunakannya dan tidak pernah dipinjam oleh orang lain, sedangkan sudu dan garfu itu ramai yang pernah menggunakannya. Ketiga, saya percaya tangan saya lebih bersih kerana ia tidak pernah jatuh dalam longkang!

Jawapan Tengkun Kudin ini menjadikan semua orang yang mendengarnya terlopong. Kalau sebelum itu ada antara mereka yang tersenyum sinis melihat Tengku Kudin menyuap makanannya dengan tangan tapi selepas itu masing-masing mengangguk mungkin kerana memikirkan ada logiknya jawapan tersebut.



Kita jangan lekas menghina atau memandang jijik perlakuan orang lain yang berlainan dengan budaya kita. Masing-masing ada rasionalnya kenapa mereka berbuat begitu.

Pena Tumpul -  Lebih suka pakai tangan


Friday, December 16, 2011

Kewujudan

Dalam ceramahnya, Ustaz Zahazan bercerita tentang kebijaksanaan Imam Abu Hanifah menangkis hujah orang kafir yang memang tidak pernah percaya tentang wujudnya Tuhan. Ia cerita yang menarik untuk dikongsi bersama.

Pada suatu hari, Imam Abu Hanifah di soal oleh seorang kafir berkaitan bukti kewujudan Tuhan.Beliau lantas menjawab akan menjawab soalan itu pada sebelah petang di sebuah pulau.

Pada petang itu, orang kafir itu berada di pulau itu pada masa yang di janjikan. Namun, Imam Abu Hanifah belum sampai-sampai. Apabila Imam Abu Hanifah tiba di hadapan orang kafir itu, dia terus menuduh beliau dengan menyatakan keburukan orang Islam yang mengaku agama mulia tetapi penganutnya tidak tahu menepati masa. Imam Abu Hanifah menerangkan sebab beliau terlewat. Beliau tidak menemui sebarang perahu atau sampan yang membolehkannya menyeberangi sungai tadi.

Dia menceritakan kepada orang kafir itu apa yang berlaku. "Ketika saya sedang berfikir tentang jalan penyelesaian masalah itu, saya terlihat sebatang pokok tumbang secara tiba-tiba. Batang pokok itu tiba-tiba membelah menjadi kepingan papan dan kemudian tersusun sendiri menghasilkan sebuah perahu. Lalu saya gunakan perahu itu untuk menyeberangi sungai", katanya panjang lebar.

Orang kafir itu dan sekalian yang mendengar perbualan mereka lantas ketawa berdekah-dekah mengejek cerita Imam Abu Hanifah.
"Mana mungkin  sebuah perahu dapat terjadi sendiri?," katanya.
 "Engkau tidak percaya ceritaku?" soal Imam Abu Hanifah.

Iman Abu Hanifah berkata lagi,"Bagaimana pula aku mampu percaya ceritamu yang Tuhan itu tiada dan alam semesta ini terjadi sendiri, sedangkan  kewujudan sebuah perahu dengan sendirinya pun kau tidak percaya? Mana yang lebih mudah, mencipta perahu ataupun bumi, langit dan alam segala isinya?"

Orang kafir itu terdiam mengetahui dia terperangkap dengan kata-katanya sendiri.

Pena Tumpul - Ustaz Zahazan memang kaya dengan cerita dan itulah yang buat beliau menarik

Thursday, December 15, 2011

Malas

Pada suatu masa dahulu, ada sebuah kampung di mana semua rakyatnya amat rajin belaka dan  tidak ada yang malas pun Jadi pada suatu hari, Rajanya membuat pengumuman hendak mencari seorang yang malas. Semasa perhimpunan itu, adalah seorang lelaki mengaku "saya adalah yang paling malas"
Raja pun bertanya, "Apa tahap malas awak?"

Lalu jawab lelaki tersebut, "Kalau saya hendak makan,ada orang yang menyuapkan saya".
Tiba-tiba datang seorang lelaki lagi, "Saya lebih malas lagi dari dia tuanku".

Tuanku pun bertanya kepadanya, "Sampai mana pulak tahap malas awak?"

Maka jawabnya, "Kalau saya makanpun, sampai ada orang tolong kunyahkan".
Maka Raja pun terdiam. Sekonyong-konyong datang seorang budak lelaki  kepadanya sambil
berkata, "saya adalah yang paling malas Tuanku".

Raja pun bertanya,"Bagaimana pula tahap kemalasan awak?"

Budak itu pun menjawab,  "Nak cerita  pun saya  malas"....

Pena Tumpul- Ada orang nak  makan pun malas

Wednesday, December 14, 2011

Tamak

Rumah sebuah ini sepatutnya sudah dilanyak bersama dua tiga biji rumah yang lain apabila kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh jentolak beberapa minggu lalu. Rumah milik Pak Atan di Jalan Muar ini turut terbabit untuk memberi laluan kepada projek jalan raya baru Segamat-Tangkak.

Malangnya nasib Pak Atan. Bila saya berkesempatan bertemu dengannya semalam, Pak Atan mempamerkan wajah seribu kehampaan. Dia sepatutnya menerima sejumlah pampasan seperti orang lain yang diambil tanahnya oleh kerajaan. Namun kerana kesilapan yang dilakukannya berpuluh tahun lalu, hari ini dia menerima padahnya. Sifat haloba berserta dengki yang bersarang di hati anak angkatnya merumitkan keadaan. Segalanya tersangkut dan terbantut. Si anak seolah-olah mahu membolot setiap sen pampasan yang bakal diperoleh dan menafikan hak Pak Atan sebagai pemilik rumah usang ini. Benar, Pak Atan secara sah sudah memindahmilikkan tanah itu kepada anak angkatnya dulu, namun itu tidak bermakna Pak Atan harus diketepikan begitu sahaja. Pertelagahan yang tidak berkesudahan sampai kini itulah yang menyebabkan rumah sebuah ini terus gah di tengah-tengah cebisan runtuhan rumah-rumah yang lain.

Pak Atan cuma mampu berdoa agar atas nama ehsan anak angkatnya tidak mengabaikannya!

Pena Tumpul - Orang tamak selalu rugi

Tuesday, December 13, 2011

Raja

Saya masih ingat ditanya oleh Cikgu Husin guru tawarikh ( dulu tidak dipanggil sejarah) negara yang paling ramai raja memerintah di dunia ini. Saya tidak dapat menjawab soalan itu malah seluruh kelas darjah Lima(A) gagal memberikan jawapan yang tepat. Saya yakin semua tahu jawapannya kerana ia tidak lain negara kita sendiri. Itulah uniknya sistem pemerintahan raja berparlimen negara kita. Yang diPertuan Agung  (YDPA)yang menjadi payung kepada kerajaan Persekutuan selain daripada Raja-Raja Melayu yang menaungi kerajaan negeri kecuali di empat negeri yang tiada raja termasuk Melaka.

Hari ini negara memiliki YDPA yang baru menggantikan Tengku Mizan yang kembali semula bersemayam di kerajaan Terengganu. Tuanku Abdul Halim Sultan Kedah mencipta sejarah negara kerana dilantik buat kali kedua sebagai YDPA dan ini tidak pernah berlaku pada mana-mana raja pun sebelum ini. saya masih ingat ketika baginda menjadi YDPA sekitar 1974, kami pelajar sekolah diminta beratur di hadapan stesyen keretapi Batu Anam melambai-lambaikan bendera ke arah keretapi yang membawa rombongan di raja ke Selatan tanah air. Saya ingat saya hampir pitam kerana lamanya menunggu di bawah panahan terik mentari. Ia memang sukar untuk dilupakan. Kami teruja sangat hendak melihat wajah YDPA dari dekat walaupun sekilas.

Setelah hampir 40 tahun berlalu, kini baginda kembali bertakhta lagi. Secara peribadi saya mengkagumi personaliti YDPA yang ke 14 ini. Tutur kata kemas dan teratur. Penampilan kacak bergaya dan gerak langkah tertib bersopan. 

Dirgahayu Tuanku!

Pena Tumpul - Suka dengar titah baginda dalam bahasa baku itu

Friday, December 09, 2011

Lalat

Lazimnya seorang penceramah yang baik akan memanipulasikan apa sahaja yang kelihatan di pandangannya untuk dijadikan penyendal ceramah. Dewan Karyawan di kunjungi lalat-lalat yang tidak pernah diundang dan kehadiran serangga ini memang tidak menyelesakan.

Ustaz Zahazan yang dijemput berceramah membawa cerita tentang lalat. Dia mempersembahkan sebuah hadis nabi yang cukup elok untuk dijadikan iktibar.

 Rasulullah  bersabda “ Seorang lelaki telah masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki lain masuk neraka kerana seekor lalat. Sahabat bertanya “ Bagaimana boleh berlaku ya Rasulallah : Baginda  bersabda : Dua orang lelaki telah melalui perkampungan satu kaum yang memiliki berhala. Setiap orang yang melalui berhala tidak akan dibenarkan lalu kecuali jika melakukan korban untuk berhala berkenaan. Dua orang tadi ditahan lalu dikatakan kepada mereka berkorbanlah. Berkata seorang dari mereka kami tidak memiliki sesuatu untuk dikorbankan. Lalu berkata penjaga berhala ” berkorbanlah walaupun seekor lalat". Lalu lelaki ini mengorbankan seekor lalat, lalu dia pun dibenarkan lalu. Kepada seorang lelaki yang lain , ia berkata “ aku tidak akan mengorbankan sesuatu selain kepada Allah, lalu mereka memancung kepalanya maka masuklah dia kedalam syurga.” (HR Imam Ahmad)

Begitulah kisah lalat yang menjadi mukadimah ceramah Ustaz Zahazan yang memang ramai pengikut dan peminatnya termasuk seorang saya. Melihat dan mendengarnya berbicara secara "live" tidak ada bezanya melihatnya di kaca tv dan mendengarnya dicorong radio. Bersahaja dan menarik gaya penyampaiannya.Sesekali deraian ketawa menggamatkan dewan bila Ustaz ini berkongsi cerita yang melucukan namun terkandung nasihat.

Dua jam dirasakan begitu cepat berlalu!

Pena Tumpul - Ada sesiapa yang mahu jemput Ustaz Badlishah pula lepas ni, pasti hebat

Thursday, December 08, 2011

Selam

Lucu juga bila dengar cerita ada kapal selam yang tidak boleh menyelam. Kalau kapal selam tidak boleh menyelam rasanya tidak wajarlah dipanggil kapal selam. Lebih melucukan lagi bila cerita ini disebarkan oleh seorang pemimpin tertinggi sebuah negeri yang tidak tahu apa-apa pun tentang kapal selam.

Memang menjadi amalan biasa di kalangan kita untuk bercakap tentang sesuatu yang kita tidak tahu pun. Ibarat seorang doktor hendak bercakap tentang kejuruteraan. Tentulah tidak kena pada tempatnya. Begitu juga seorang peguam hendak menunjuk pandai dalam aspek seni bina bangunan misalnya, juga memang tidak masuk akal. Begitu juga bila seorang yang tidak cukup arif pun tentang hukum hakam agama berlagak macam lebih pandai daripada seorang ustaz.

Jadi, soal kapal selam boleh menyelam atau tidak bukanlah tugas seorang ahli politik untuk sebok-sebok tentangnya. Biarlah orang yang arif tentangnya bercakap tentangnya. Soal-soal anak-anak buah dan kebajikan mereka itulah yang patut dijaga dan diberikan perhatian. Susah payah dan pahit getir mereka perlu didengar dan diselesaikan di mana patut. Itulah yang lebih penting lagi daripada soal kapal selam yang tidak boleh menyelam itu. 

Pena Tumpul - Suka tonton "Voyage to the bottom of the sea" masa kecil-kecil dulu

Wednesday, December 07, 2011

Perubahan

"Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” 



Hadis di atas sudah selalu sangat kita baca dan dengar. Sudah ramai orang yang mengungkapkanya dan diselitkan dalam ceramah khususnya oleh Ustaz dan pakar motivasi. Saya mendengarnya lagi tengahari ini dilontarkan oleh seorang lagi Ustaz lewat corong radio. Namun kali ini impaknya amat berbeza. Ia begitu berkesan kerana cara ia disampaikan amat menarik oleh penyampainya yang juga menarik.

Hadis ini disandarkan bila dia bercakap tentang perubahan sempena Hijrah. Semua orang sebok bercakap tentang perlunya perubahan diri. Kalau tidak baik akan berubah jadi baik. Kalau sudah baik bertekad pula untuk jadi lebih baik. Menariknya bila Ustaz melihat perubahan itu dalam dimensi yang lebih realistik dan tercapai dek tangan.

Bak kata Ustaz perubahan yang ingin dilakukan perlu mengambil kira tiga perkara. Lakukan dan mulakan dengan yang kecil-kecil dan tidak perlulah bercakap tentang perubahan yang besar-besar. Tidak usahlah sebok-sebok hendak menyelesaikan masalah umat Palestin sedangkan masalah diri sendiri dan keluarga sendiri pun masih cungkang kelalak. Jangan juga sebok mencari kesalahan orang lain sedangkan diri sendiri belumlah sangat elok pun serba serbinya. Betulkan dan ubah diri sendiri sebelum ribut-ribut hendak membetulkan orang lain. Dan jangan ditangguh perubahan yang ingin dilakukan. Bukan sekejap lagi, bukan juga esok, bukan juga bulan depan tetapi lakukan sekarang.

Kalau semalam kita mampu baca 10 ayat Quran bersekali dengan terjemahan dan tafsirannya, sepatutnya hari ini perlu lebih banyak dari itu dan bukannya kurang daripada itu.

Perubahan perlu ada kayu pengukurnya!

Pena Tumpul - Sedang berubah

Tuesday, December 06, 2011

Menangis

Seorang pelajar perempuan tiba-tiba sebak dan berair matanya. Dia menangis tanpa saya ketahui sebabnya. Saya takut kalau ada kata-kata yang saya lontarkan kepadanya menyentuh dan menyiat perasaannya lalu dia menangis. Dia datang ke bilik saya meminta nasihat. Sebagai penasihat akademiknya, saya perlu bersedia untuk memberikan pandangan dan sekaligus menyelesaikan masalahnya.

Dia gagal dalam satu subjek penting semester lalu dan perlu mendudukinya semula. Saya menasihatkannya supaya mengulanginya pada semester ini ketika dia pula berkeras untuk menangguhkannya pada dua semester berikutnya. Saya katakan kepadanya bahawa niatnya itu bukanlah cukup baik untuk dilakukan. Namun dia punya alasan sendiri yang tidak cukup kuat pun. Ingin bertarung bermati-matian untuk mencapai keputusan yang terbaik dalam tujuh subjek lain yang diambilnya dan melupakan sementara subjek yang dia gagal itu.

Saya nampak dia tiba-tiba menangis bila saya bertanyakan sebab kegagalannya dalam subjek yang tidak susah sangat pun. "Ini mesti kamu ada masalah ni, cuba beritahu saya", saya cuba mencungkil jawapan darinya.

Ketika itulah saya lihat dia mula menangis sambil terpacul dari mulutnya, "Ayah dan emak saya sebok dan tidak pernah ada masa nak tanya fasal pelajaran saya".

Saya katakan kepadanya adalah tidak adil untuk menyalahkan orang lain kalau kita tahu bahawa kita juga menyumbang kepada kegagalan itu. Sekali lagi dia memberi jawapan tanpa diminta. "Saya salah pilih kawan dulu. Semester ini saya nak lebih fokus dalam study", katanya bersungguh. 

Dia kelihatan lebih yakin berbanding awal pertemuan. Saya bangga dapat menolongnya menyelesaikan masalahnya dan melihatnya beredar mencicirkan masalah yang dikendongnya!

Pena Tumpul - Jangan menambah masalah

Saturday, December 03, 2011

66

Ayah mentua diraikan ulang tahun kelahirannya malam ini. Dia berusia 66 tahun, dan masih sihat. Beliau cukup disenangi untuk diakrabi oleh insan-insan disekelilingnya lebih-lebih lagi cucu-cucunya yang cuma empat orang itu. Apa sahaja kemahuan mereka, tidak pernah dihampakan. Tuan Haji Muda yang juga seorang Imam memang tidak banyak cakap. Saya sendiri yang juga tidak banyak cakap memang kurang berpeluang untuk bercakap dengannya.

Selalunya dalam meraikan majlis begini, ucapan "selamat panjang umur" selalu kita dengar walau pun ucapan "selamat pendek umur" yang lebih wajar diucapkan, kerana semakin bertambah umur kita, ia juga bermakna umur kita sebenarnya makin pendek.

Saya dan isteri menghadiahkannya sebuah kitab. Saya mahu dia bukan sahaja cukup lancar dalam melafazkan doa-doa yang dibacanya setiap kali selesai mengepalai solat tetapi juga turut memahami apa yang diungkapkan. Kelihatannya beliau memang cukup senang menerima hadiah kami yang tidak seberapanya itu.Biar rendah harganya namun tinggi impaknya. Itulah yang kami harapkan.

Cucu-cucunya memang nakal dan sengaja mengusik nendanya pada malam ini. Atoknya diminta supaya memotong kek yang terpacak di atasnya beberapa batang lilin yang tidak sempat dinyalakan kerana dimarahi oleh Mak Mentua yang memang tidak senang cara begitu.

Mak Mentua pula sengaja mengusik saya bila saya di suruh baca doa untuk kesejahteraan  kami anak beranak lebih-lebih lagi buat ayah mentua yang diraikan.

Pena Tumpul - Sedapnya cendol Mak Mentua

Friday, December 02, 2011

Masa

Masa diperlekehkan lagi untuk kesekian kalinya. Sudah acap kali mesyuarat yang sepatutnya bermula pada waktu yang telah ditetapkan lewat dan tertunda. Gejala ini berlaku hanya kerana masa tidak diberikan kedudukan yang sewajarnya. Kelihatannya kita tidak sangat menghargai masa. Sudah begitu cara kita orang Melayu barangkali. Sesuatu yang sudah cukup sebati dalam diri memang amat sukar untuk dikikis. Justeru itulah dalam masyarakat kita, masa tidak pernah tepat sifatnya sehingga ungkapan-ungkapan seperti "lepas zohor" dan sebagainya di jadikan sandaran untuk menentukan masa. Lepas zohor itu boleh sahaja sepanjang waktu selepasnya sehinggalah masuk waktu asar. Bukankah sukar begitu?


Ironisnya, ketika Islam mengaitkan ibadat-ibadatnya dengan masa seperti solat lima waktu misalnya, kita tidak pula belajar dan menghayati masa dari ibadat yang kita lakukan itu. Ia tidak kita terjemahkan dalam kehidupan kita. Sepatutnya jika kita mengamalkan ajaran Islam secara total, maka masa kita akan terurus secara automatik. Misalnya, waktu solat. Jika dijaga dengan baik, hidup akan terdisiplin dengan sendirinya. Begitu juga dengan pengurusan masa. Bayangkan, jika kita bersembahyang lima kali dalam sehari, maka dengan sendirinya kita akan sentiasa mengawasi masa. Mana mungkin orang yang benar-benar menjaga solat lima waktu, terlalai dalam hidupnya?


Begitu juga dengan zakat, puasa dan haji semuanya mempunyai had masa bagi pelaksanaannya. Tegasnya, apabila seseorang itu menjaga solat, puasa, zakat dan hajinya maka seluruh persoalan hidupnya akan terurus dengan baik.

Sayangnya, masa dibiarkan berlalu begitu sahaja dan kita tidak risau pun!

Pena Tumpul - Masa yang lepas tidak akan kembali

Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...