Thursday, May 30, 2013

Petir

Petir dan kilat sekarang luar biasa impaknya. Angin juga bertiup kencang. Kesan daripada ribut petir dan kilat sabung menyabung, bekalan letrik juga terjejas. Deretan tiga buah bilik tidak berfungsi lampu dan kipasnya. Ia berlaku sejurus selepas petir dan kilat yang kuat. Saya menggunakan khidmat juruletrik untuk mengenal pasti apa yang berlaku. Hasilnya dia mendapati ia berpunca daripada sistem pendawaian yang tidak menurut spesifikasi. Khabarnya banyak juga rumah yang terbabit dan dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan yang mendesak mahu cepat.

Saya yang buat-buat tidak dengar dengan dentuman petir dan cahaya kilat ketika memesin rumput petang ini dimarahi isteri dan bapa mentua. Katanya ada yang menerima padah kerana tindakan berani itu. Saya cuma mampu menahan telinga sahaja dipasak leteran isteri yang bertalu-talu. Saya tahu memang bahaya pun. 

Pagi ini bila sampai di tempat kerja, saya terkejut melihat sebatang pokok yang agak besar juga tumbang kerana tercabut akarnya dari bumi. Bayangkan betapa kuatnya ribut ciptaanNya. Ia menimpa laluan pejalan kaki. Kerosakannya agak teruk juga. Saya memang selalu meletakkan kereta di situ. Bayangkanlah kalau kereta ada disitu. Tuhan sentiasa melindungi hambaNya!

Di mana Haziq ketika kilat sabung menyabung itu? Masih di padang bola kah?

Pena Tumpul - Semoga kita berfikir dengan apa yang diturunkanNya

Tuesday, May 28, 2013

Pemimpin


Pemimpin yang hebat tahu bila sepatutnya dia berundur. Dia akan meninggalkan lapangan tanpa dipaksa. Pun begitu tidak ramai pemimpin yang berbuat begitu. Lebih ramai yang akan terus melekat bagaikan mahu menunggu selama-lamanya hingga hujung nyawa. Pemimpin yang liat begini selalunya memandang sepi pelbagai isyarat yang dipamerkan oleh orang ramai terhadapnya. Pemimpin begini akan dilihat bagai syok sendiri merasai diri masih disukai sedangkan ramai yang lebih suka agar dia berundur sahaja.


David Heenan,dalam bukunya  Leaving on Top: Graceful Exits for Leaders, menyebut tentang empat jenis pemimpin; yang bertahan sepanjang zaman dan tidak perlu untuk berundur pun, yang sudah tua bangka tetapi masih liat untuk berundur, yang pernah keluar dan masuk balik kerana rasa cukup hebat dan pemimpin yang sedia untuk berundur di waktu yang betul.

Di kalangan kita, pemimpin yang liat untuk berundur memang ramai, tidak kira sama ada dalam politik atau dalam bidang sukan. Dalam persatuan sukan misalnya, ada pemimpin yang sudah berdekad-dekad meneraju dan tidak tahu untuk berundur sehingga mata yang memandang pun sudah jemu.

Kita bercakap tentang perlunya berubah dan mengubah namun di kalangan pemimpin politik pun ada yang tidak mahu berundur walaupun sudah bertanding dalam pilihanraya sejak 1969 lagi tanpa jemu. Malah, terpilih lagi dalam pilihanraya lepas.

Barangkali, perlu ditetapkan umur persaraan untuk Wakil Rakyat juga seperti mana mereka yang bekerja. Tidak perlulah untuk menunggu lama sangat untuk berundur sehingga menjelakkan. Fikirkan orang muda yang lebih berkemampuan dan boleh diharapkan untuk membawa perubahan.


Jangan beri tempat untuk mereka yang mabuk kuasa!

Pena Tumpul - Memimpin rumahtangga sahaja

Sunday, May 26, 2013

Melayu

Saya melihat setiap kaum berhak memperjuangkan kaumnya. Dalam hubungan ini ia tidak wajar dilihat sebagai rasis. Saya membaca sebuah rencana yang ditulis oleh seorang ilmuan berketurunan China yang beragama Islam. Keras dan tegas juga. Ironisnya, sebagai orang China dia lebih Melayu daripada orang Melayu. Dia secara terbuka mengajak orang Melayu supaya jangan sampai takut untuk berjuang fasal hak orang Melayu hanya kerana takut dianggap rasis. KeMelayuan saya melonjak tinggi selepas membaca rencana yang ditulis oleh  Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah ini.

KETEGASAN Menteri Pendidikan mengenai kedudukan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), beberapa hari lalu menarik perhatian saya. Kerajaan berpendirian, jika UEC mahu diiktiraf, mereka mesti melakukan pengubahsuaian dan perubahan selaras dengan dasar pendidikan negara dan berpandukan kepada undang-undang dalam Akta Pendidikan Negara. Ini keputusan yang tepat, adil dan sangat bertoleransi. Jika ada tidak bersetuju, carilah negara lain yang boleh bersetuju.

Beginilah sepatutnya cara seseorang negarawan bertindak. Tanpa rasa takut. Cukuplah kita menjadi ahli politik hebat menjelang dan ketika pilihan raya. Apabila telah menang, tibalah masanya bertindak sebagai negarawan. Melihat kepada kepentingan semua, berbanding bangsa, dengan berpaksikan kepada perlembagaan.

Isu pendidikan Cina acap kali dan telah lama dibangkitkan oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dan sekutunya yang lain seperti seperti Jiao Zong, Dong Jiao Zong, Hua Zong dan berbagai Zong lagi. Nasihat saya, tidak perlu layan permintaan mereka lagi. Sudahlah. Kita sudah beri lebih daripada mencukupi. Apa balasannya?


Tidak keterlaluan saya katakan, selagi kita tidak penuhi permintaan mereka, sehingga kucing bertanduk pun mereka akan terus desak dan tuntut. Segelintir Cina tidak akan berpuas hati selagi mana kita tidak memenuhi segala tuntutan kecinaannya. Mungkin tulisan ini terlalu ekstrem, tetapi inilah hakikatnya untuk memahami budaya politik Cina.

Kita selalu mengajak orang lain keluar daripada kepompong rasis. Persoalannya, adakah orang Melayu sahaja yang perlu keluar dari sikap rasis? Kalau Melayu tidak fikir untuk Melayu, adakah orang lain yang diharapkan berfikir untuk masa depan Melayu. Adakah kita mengharapkan orang Cina berfikir untuk Melayu? Jika ada Alhamdulillah. Ia baik untuk pembinaan negara bangsa.
Realiti yang ada, pantang ada sedikit dikaitkan dengan Melayu, akan ditentang habis. Jika diasimilasikan atau disekutukan dengan orang putih, tidak mengapa? Dengan Melayu pantang sekali. Inilah sikap rasis ultra kiasu.

Sebab itulah, ketika majlis angkat sumpah Exco, pembukaan Sidang Parlimen atau DUN, atau apa jua majlis rasmi yang melibatkan raja, tidak ada seorang pun yang memakai pakaian kebangsaan (baju Melayu). Rata-ratanya memakaikan blazer dan tali leher. Sehingga pakai songkok pun mereka tidak mahu.
Seolah-olah memakai pakaian kebangsaan ini satu penghinaan. Walhal, apa salah, ‘berkorban’ seketika, bukannya tiap-tiap hari, lima tahun sekali atau mungkin setiap kali penggal persidangan Parlimen atau DUN. Hina sangatkah memakai pakaian ini? Sudah sampainya kita wajibkan pemakaian tersebut. Jangan terlalu memberi kebebasan atas nama demokrasi, kita juga yang akan rugi nanti.
Bayangkan jika pakaian etnik masing-masing dibenarkan dalam majlis-majlis sebegini, maka meriahlah, berwarna-warnilah majlis rasmi tersebut seolah-olah pesta pakaian, bukan majlis rasmi. Tidak ada seorang pun kalangan mereka yang akan memakai pakaian kebangsaan. Sedangkan pakaian kebangsaan adalah untuk semua, bukan untuk orang Melayu. Samalah juga pemahaman sekolah kebangsaan untuk semua, bukan untuk orang Melayu.

Saya yakin selepas ini, untuk meraikan orang lain atau memastikan lebih ramai bukan Melayu menyertai, sekolah kebangsaan akan menjadi lebih liberal dan terbuka. Tidak mustahil, ada identiti penting Melayu akan tercabut. Ini tidak termasuk menunaikan janji-janji PRU-13 baru-baru ini untuk menambah sekolah, memberikan tanah dan banyak lagi tawaran sebagai alasan untuk memancing undi mereka kononnya.
Apakah akan berlaku suatu hari, demi untuk meraikan semua, kita yang berubah menjadi mereka, bukannya mereka yang sepatutnya berubah menjadi kita. Semua dasar mesti disesuaikan untuk mereka, bukan mereka menyesuaikan dengan sesuatu dasar kebangsaan.

Kita mempunyai dasar yang baik, seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya. Bila tiba kepada pelaksanaan, selagi sesuatu bangsa itu tidak diraikan, selagi itulah dasar tersebut tidak diterima.

Ultra kiasu selalu berhujah, UEC telah diiktiraf di seluruh dunia, kenapa tidak di Malaysia? Jawapannya, kerana diiktiraf dunialah, menjadikan perangai mereka sanggup menterbalikkan jalur gemilang sebagai protes kepada kemenangan UMNO BN dalam PRU-13 baru-baru ini. Kebanyakan mereka adalah lulusan UEC. Apakah jenis manusia sebegini yang ingin kita lahirkan.


Banyak negara lain yang tidak tahu berbahasa Cina, negara tersebut tetap maju dan urusan dengan negara China berjalan seperti biasa. Pendek kata, isu bahasa bukan isu hidup mati kemajuan sesebuah negara. Iran begitu aktif berhubung dengan negara China, tidak pula kedengaran, kerajaan Iran mewajibkan rakyat belajar bahasa Cina.

Sebelum PRU-13, Perdana Menteri buat pertama kalinya dalam sejarah telah menjemput Dong Zong untuk berbincang tentang pengiktirafan UEC. PM menyarankan keperluan pelajar dari sekolah aliran Cina untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu kredit kertas Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta dengan UEC, sebagai satu syarat untuk memohon memasuki IPTA. Tawaran sebegini pun sukar diterima? Apa lagi yang Cina mahu? Saya fikir persoalan ini tidak keterlaluan. Ketika kerajaan mula berlembut, adakah budi dibalas?

Permintaan PM ini terlampau kecil jika dilihat kelulusan membenarkan sekolah vernakular beroperasi secina-cinanya. Kenapa tidak dihargai toleransi ini? Mereka tetap bersangka buruk. Pada mereka, jika diberikan penekanan kepada BM, ia akan meninggalkan kesan kepada Pengajaran dan Pembelajaran bahasa Cina. Pendek kata, mereka mahu penguasaan Mandarin secina-cinanya.

Kehendak mereka tidak mengapa gagal BM, asalnya lulus mata pelajaran lain yang semua diajar dalam Mandarin sebagai kelayakan untuk memasuki IPTA.Sekarang ini pun, kesan daripada sekolah vernakular, berlaku polarisasi di kampus yang amat ketara. Pergilah ke IPTA. Jangan banding dengan IPTS, kerana majoriti mereka begitu ramai. Pergilah melihat Kolej New Era Kajang yang dipunyai sendiri oleh Dong Jiao Zong dan lulusan UEC mereka. Itupun kerajaan dalam kempen baru-baru ini mahu memberikan pengiktirafan sebagai universiti penuh beberapa kolej Cina di Pulau Pinang. Dengan tawaran ini, adakah mereka simpati dengan kerajaan?

Saya mohon kepada kerajaan sebelum memberikan apa jua kelulusan kepada sekolah atau universiti perkauman ini, buatlah kajian terlebih dahulu. Beri kami geran untuk membuat kajian seperti ini. Ini tidak, sudah kajian tidak dibuat, asyik menyerang orang lain.

Misalnya, kontroversi kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah dan Tan Sri Abdul Rahman Arshad, menyeru kerajaan agar menghapuskan sekolah vernakular atas alasan ia menggugat perpaduan dan punca sokongan kepada pembangkang meningkat, harus dilihat secara positif. Kedua tokoh ini bersependapat sekolah vernakular menjadi punca perkauman semakin meluas di kalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara. Mereka turut mencadangkan kerajaan mengikut langkah negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang menerima pakai penggunaan bahasa tunggal dalam dasar pendidikan mereka.

Sehingga kini, parti pembangkang dan ultra kiasu tidak habis-habis mengecam kenyataan yang dikatakan tidak bertanggungjawab kedua-dua tokoh tersebut dan menegaskan Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam undang-undang tertinggi negara.

Kenapa harus mangsakan tokoh ini? Buatlah penyelidikan terlebih dahulu untuk melihat kebenarannya. Fikirkan agenda nasional, daripada agenda bangsa. Ultra kiasu menyuruh kita berhenti bercakap soal rasis. Tindak-tanduk mereka lebih rasis daripada orang rasis.

Tidakkah kita sedar kerajaan telah membantu SJKC sehingga menenggelamkan sekolah agama. Persoalannya, adakah guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan ini mengundi UMNO BN? SJKC sebenarnya menjadi lubuk melahirkan lebih ramai ultra kiasu, jika tidak dipantau daripada sekarang.


Ingatan saya kepada orang Melayu, jangan menjadi terlalu liberal dan bersekongkol dengan ultra kiasu. Misalnya, pendirian seorang Ketua Pegawai Eksekutif Melayu. Beliau dengan lantang berkata “I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan‘s editorial stance. Nasihat saya, jaga baik-baik syarikat tambang murah itu. Tidak perlu campur perkara di luar bidang. Kalau tak tahu lebih baik diam. Fikirkan bagaimana cara untuk memanjangkan skirt dan menutup dada pramugari Melayu di syarikat penerbangan murah itu.

Baru-baru ini saya naik muak melihat layanan mereka terhadap Sir Richard Branson, pengasas/pengerusi Virgin Group, yang terpaksa berpakaian pramugari perempuan, anjuran syarikat penerbangan tersebut. Pramugari Melayu dipaksa melayan beliau termasuk mencukur bulu kakinya. Tertanya-tanya saya ke mana hala tuju anak-anak Melayu yang bekerja di sini. Apakah mereka akan menjadi Melayu atau apa?
Sebahagian pramugari Melayu disuruh berlakon seperti kartun mencelup rambut dengan warna putih dan berpakaian seksi semata-mata meraikan orang putih tersebut. Nasihat saya kepada Melayu celup ini, selamatkanlah Melayu-Melayu di sini daripada hancur dan hilang identiti. Majlis tersebut diakhiri dengan mandi arak. Cuba lihat YouTube mereka.

Saya menyeru agar orang Pas menonton sama, kerana dalam Harakah online, saya terbaca Pas begitu memuji Melayu celup ini hanya kerana bermusuh dengan Utusan dan UMNO BN. Nasihat saya kepada Pas, berhati-hati, nanti makan diri. Sokong seseorang bukan kerana marah kepada UMNO. Sokongan hendaklah berasaskan kepada apa yang benar, apa yang salah. Itu baru nama perjuangan Islam. Jika tidak, Pas sama sahaja dengan yang lain.

Ingatlah! Tatkala orang lain semakin kuat Cinanya (atau Indianya), adakah orang Melayu perlu menjadi semakin menjadi liberal atau cair bagi menunjukkan bahawa kita tidak rasis. Jika ini berlaku, Melayu tidak berlaku adil kepada bangsanya sendiri. Melayu telah menjadi pengkhianat kepada bangsanya sendiri. Jangan biarkan hati Melayu mati kerana terlalu meraikan orang lain.

Pena Tumpul - Ada Melayu yang malu mengaku Melayu

Saturday, May 25, 2013

Durian


Sudah agak lama juga saya tidak melihat durian di dusun lebat buahnya. Hari cuti begini saya tidak biarkan berlalu begitu. Saya ke dusun sebentar. Durian tidak sangat menjadi. Musim-musim lalu menyaksikan fenomena buah sekejap lekat sekejap tidak. Bunga-bunga durian yang kelihatan banyak berakhir dengan cuma sebiji dua yang melekat atau dalam banyak keadaan tidak melekat langsung. Saya bukan penggemar durian berbanding isteri yang boleh disifatkan sebagai "hantu" durian. Bila isteri mengupas durian saya tidak pernah rasa terpanggil untuk mendekatinya malah perlu dipaksa untuk menjamah seulas dua. Bagi saya lebih nikmat kalau pulut dimakan bersama santan durian.

Bila durian berbuah agak lebat kali ini, saya lihat isteri bukan kepalang terujanya. Dengan beberapa batang pokok durian saka yang ada, saya kira cukup banyak untuk makan raja buah ini semahu-mahunya dan sepuasnya. Mungkin juga sampai tak larat nak makan. Saya pun tidak bercadang hendak menjualnya kerana dengan harga yang semakin merosot berapalah sangat yang bakal diperolehi. Melihat buah lebat begitu isteri pula awal-awal lagi sudah menyatakan keengganan untuk mengutip buah di bawah pokok seperti dahulu. Tidak cukup rajin katanya.

Peraih buah-buahan di kampung kami Hisham menemui saya dan menyatakan hasratnya untuk memajak durian kami musim ini. Saya dan isteri pantas bersetuju kerana ia menyenangkan kerja kami. Daripada membiarkan buah durian yang tinggal di bawah pokok tidak berkutip nanti, lebih baik dilepaskan sahaja kepada yang bersedia untuk itu.Namun isteri tidak melepaskan semuanya. Ada sebatang pokok yang ditinggalkan menanti kehadiran penggila durian kampung di kalangan adik beradik kami.

Kata kaki durian, durian Gudang Garam antara durian yang terbaik di Segamat!

Pena Tumpul - Bercadang nak tanam gaharu yang khabarnya tinggi pulangannya




Friday, May 24, 2013

22Kasih

Diam tak diam sudah 22 tahun saya dan isteri  melayari  hidup berumah tangga.Tanggal 24.5.91 mengesahkan hubungan kami sebagai suami isteri setelah empat tahun diberi peluang untuk kenal hati dan budi sebelum mengakhirinya dengan perkahwinan penuh restu keluarga. 

Alam berumahtangga memang tidak lari dari menongkah arus ujian. Memang itu pun asam garam dan pahit manis hidup bersama. Semakin dewasa usia perkahwinan, semakin banyak dan hebat ujian yang menggugah hati. Kemantapan rumahtangga tidak semata-matanya bergantung pada cinta seperti di awal-awal perkahwinan dahulu. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi perlu disempurnakan oleh tanggungjawab. Cinta memang hebat tetapi ia tidak dapat menandingi tanggungjawab. Cinta yang lebih hebat ialah cinta yang ditunjangi tanggungjawab.


Kata orang, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan jadi semakin becok tetapi lelaki sebaliknya jadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai-selesai. Manakala lelaki yang dulunya, ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (ada kalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah.Betul kah begitu? Tanyalah diri dan pengalaman yang dilalui akan memberikan jawapannya.

Jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin “bisu”. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata bila berdepan dengan suami. Suami apatah lagi, jika di luar rumah pun sudah semakin pendiam di dalam rumah lebih-lebih lagi.

Pernahkah kita kehilangan kata-kata apabila bertemu dengan isteri atau suami? Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan lagi. Lalu rumah tangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Seolah-olah sudah tidak ada apa lagi yang boleh dikongsi.
Kekadang perasaan itu datang kerana kerap kali apabila suami bersuara hendak meluahkan masalah, isteri membalasnya dengan selamba. Ah, masalah aku lebih besar. Atau terdetik di hati, balik-balik yang itu juga. Bosan. Begitu juga bagi pihak suami, sudah lali mendengar “siaran ulangan” yang kerap diperdengarkan isteri.Macam tiada cerita baru!


Inilah cerita orang lama. Berbeza dengan  “orang baru” yang masih berbulan madu, ketika itu segala-galanya indah sahaja. Perkara yang kecil pun boleh menjadi topik perbualan yang berjela-jela. Sejak senja melabuh tirainya hingga terkuak mentari pagi, cerita tidak habis-habis lagi. Tetapi ini cerita orang lama yang usia perkahwinannya sudah memakan puluhan tahun.

Apakah kehilangan kata-kata menunjukkan kehilangan cinta? Mana yang lebih tepat, cinta yang melahirkan kata-kata atau kata-kata yang melahirkan cinta? Bagi saya, kedua-duanya betul dan patut dipraktikkan. Benar, sewaktu mula bercinta dahulu, cintalah yang melahirkan kata-kata, tetapi apabila cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat kita bercinta bukan hanya sekali tetapi kita perlu bercinta berkali-kali.

Apa maksudnya? Maksudnya, kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (isteri kita). Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan luahan kata-kata yang baik. Jangan membisu, jangan menjadi tuli. Sentiasa jadi lidah yang menuturkan kata-kata yang baik dan telinga yang sentiasa terbuka mendengarnya.

Kata bijak pandai, the first duty of love is to hear – tugas cinta yang pertama ialah untuk mendengar. Itu betul, tetapi jika tidak ada apa yang hendak diperkatakan apa pula yang hendak kita dengarkan? Jadi untuk menjadi pendengar, mesti ada “penuturnya”. Kata-kata yang baik umpama sedekah, kita mesti ringan mulut untuk memulakannya. Ada kalanya berdiam diri tidak terpuji, apatah lagi jika sudah ke tahap menimbulkan sangsi.


Pena Tumpul - Susah senang diharungi bersama

Tuesday, May 21, 2013

Turun

Mantoba menyuarakan hasrat untuk beli kereta baru sebagai kereta keduanya. Dia meminta pandangan saya jenis kereta yang sesuai. Sudah tentu saya mencadangkannya kereta kedua tidak semestinya besar dan tidak lebih mahal daripada kereta pertama. Tambahan lagi, dia tidak punya keluarga besar. Lantas kereta kecil dikira memadai. Pilihan yang ada tentunya sama ada Viva atau Myvi. Kedua-dua kereta ini tidaklah mahal dan penggunaan minyaknya menjimatkan.

Dia menyuarakan hasrat ini beberapa hari sebelum pilihanraya. Saya nasihatkannya supaya menangguhkan dahulu keinginannya itu sehinggalah selesai pilihanraya. Ia tentunya berkaitan dengan janji sebuah gabungan parti-parti politik untuk menurunkan harga jualan kereta seandainya berjaya memegang tampok pemerintahan negara. Khabarnya harga kereta akan turun mendadak sekiranya kuasa berpindah tangan. Namun ia tidak berlaku. Janji yang ditabur hancur lebur.

Saya melihat mudahnya bercakap daripada membuat atau easier said than done. Menurunkan harga kereta bukan seperti menurunkan harga ikan bilis. Ia bukan mudah. Pihak yang berjanji tidak pula menyatakan kereta mana satu yang mereka akan turunkan harganya, adakah kereta model import seperti Mercedes Benz, Toyota Camry dan lain-lainnya ataupun kereta tempatan buatan Malaysia keluaran Proton seperti Saga, Persona, Wira, Preve, Inspira atau keluaran Produa iaitu Myvy, Savy, Viva, Alza.

Mungkinkah yang akan diturunkan cuma kereta lembu!

Pena Tumpul - Menanam tebu di tepi bibir

Friday, May 17, 2013

Saksi

"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksian kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan". (Yaasin:65)

Saya menyertai bengkel "High Impact Presentation Skills" selama dua hari dan belajar sedikit ilmu baru untuk berucap di depan khalayak Selebihnya banyak menjurus kepada borak-borak kosong yang berlaku secara santai sekali. Tiada banyak yang baru pun kecuali pengulangan beberapa perkara yang sudah lama diketahui namun diolah dalam bentuk baru.

 Pun begitu ada sesuatu yang sangat menarik perhatian saya walaupun ia juga bukan ilmu baru. Namun ada ada nilai tambahnya. Ia tentang pentingnya komunikasi tanpa lisan dalam mencapai komunikasi berimpak tinggi. Dalam kebanyakan penyampaian kepentingan bahasa badan selain dari mulut sering dikesampingkan.

Ketika saya disuntik dengan penceramah bahawa perkataan yang terlontar dari mulut bukan satu-satunya bentuk komunikasi yang ada, saya sekonyong-konyong mengaitkannya dengan firman Allah yang termaktub dalam surah di atas itu. Benarnya peringatan Allah itu dan ia selari dengan pandangan penceramah bahawa anggota tangan tidak pandai berbohong seperti mana kehebatan mulut berbohong. Katanya, cara kita mempamerkan tangan boleh dijadikan isyarat sama ada kita berbohong atau sebaliknya. Justeru itu, di hadapanNya nanti, mulut kita akan dikunci kerana mulut pastinya berbohong. Allah cuma membenarkan tangan dan kaki sahaja untuk menjelaskan segala-galanya kerana dua anggota ini tidak pandai berbohong.

Ketika kita sangat mengantuk mulut kita boleh sahaja berkata, "saya masih segar lagi, tak mengantuk pun lagi" tetapi kita tidak mungkin boleh menahan mata kita untuk terlelap sekali sekala.

Berhati-hatilah supaya apa yang kita cakap selari dengan apa yang kita buat atau kita bakal tertangkap kerana menipu!

Pena Tumpul - Kurang bercakap


Tuesday, May 07, 2013

Hadang

Petang ini saya melihat untuk kesekian kalinya lagi sebuah kereta ini di letak menghadang sebuah kereta lain. Saya yakin ia dilakukan secara sengaja oleh pemilik kereta ini. Sebabnya cukup mudah untuk ditelah. Kereta lain itu didapati "menceroboh" petak letak kereta yang "dikhaskan" untuk keretanya. Saya kira ia sebagai tanda protes atau pun ingin memberitahu kepada penceroboh tadi supaya jangan senang-senang meletak kereta di petak yang terang-terang bukan miliknya. Barangkali ingin menyampaikan mesej yang cukup jelas bahawa dia tidak suka petak letak keretanya diceroboh orang lain.

Saya menggelengkan kepala menyaksikan adegan yang tidak sepatutnya dilihat di sebuah menara gading yang dihuni mereka yang berilmu dan bertamadun. Adalah salah menceroboh petak kereta yang telah dikhaskan untuk pemilik kereta tertentu. Saya bersetuju bahawa pemilik kereta yang menceroboh itu memang patut disalahkan malah patut menerbitkan rasa marah orang lain lebih-lebih lagi "pemunya" petak tersebut. Sesiapa pun akan marah tetapi lebih wajar kalau tidak marah langsung untuk perkara yang remeh begitu. Namun melampiaskan rasa marah dengan tindakan yang lebih kurang ajar daripada penceroboh tadi mengundang persepsi yang cuma merendahkan harga diri kita. Sudah acapkali saya melihat insiden menghadang kereta begini dilakukan oleh pemilik kereta yang rasa dirinya amat istemewa. Apalah salahnya bertolak ansur. Tidak perlulah hendak berlagak sangat. Mual saya melihat adegan-adegan begini.

Banyak lagi cara yang lebih berhikmah boleh dilakukan lalu kenapalah cara yang tidak bertamadun itu yang dipilih!

Pena Tumpul - Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya

50sen

D ulu sekitar 70an, saya cuma dibekalkan 50 sen sahaja sebagai belanja sekolah. Waktu itu harga makanan dan minuman di kantin tidaklah sa...