Wednesday, July 31, 2013

Pelita

Sejak dua tiga hari lalu, Haziq meminta saya memasang pelita di laman rumah. Saya sebenarnya tidak teruja sangat untuk itu. Sewaktu kecil dahulu keseronokan memasang pelita memang luar biasa. Beberapa hari selepas puasa berlalu kami sudah mula sibuk mengutip tin-tin susu lama untuk dijadikan pelita. Kalau tiada tin, kadang-kadang botol pun jadi. Sumbunya pula sama ada tali guni atau pun cebisan kain buruk. Penuh satu laman rumah dengan pelita yang terang benderang. Masa itu harga minyak tanah murah dan senang pula didapati. Satu botol besar cuma 20 sen sahaja. Cukuplah untuk kegunaan selama semalam.

Hari ini segalanya begitu mudah. Tidak perlu susah-susah lagi untuk buat pelita. Pelita yang sudah siap untuk diguna kini dijual dan mudah didapati. Malah siap dengan pancangnya sekali maka tidak perlulah bersusah payah meredah belukar mencari anak-anak kayu untuk dijadikan tiang pelita. Cuma yang tidak seronoknya sekarang, harga minyak tanah sudah semakin mahal malah sukar pula didapati dijual di kedai. Ada yang menggunakan disel kerana ia bukan sahaja murah dan senang diperolehi.

Malam ini saya percaya Haziq akan terserlah kegembiraannya kerana beberapa buah pelita telah saya beli dan tinggal untuk dinyalakan sahaja. Dan saya lebih selesa dengan pelita letrik yang bukan sahaja tidak mengotorkan tangan dengan minyak tetapi mudah pula dinyalakan. Namun kesannya mungkin berbeza dan itulah yang Haziq mahukan dari pelitanya yang tidak ada pada pelita berkuasa letrik!

Pena Tumpul - Teringat masa kecil main kejar-kejar di celah-celah kesuraman pelita, seronok!

Tuesday, July 30, 2013

Insaf

"Waktu ayah dulu,peti ais mahal sangat dan tak mampu nak beli. Kedai pula jauh dari rumah. Sampai rumah air batu tinggal air aja. Jadi, kalau nak sangat airbatu di bulan puasa, atok kau suruh ayah masukkan air dalam botol kemudian rendam dalam sungai, dari pagi sampai petang, bila nak berbuka baru ambil....itulah air batu kami.."

Kata-kata yang menyentap rasa ini acapkali ayah luahkan kepada kami adik beradik bila tiba bulan puasa khususnya di saat-saat berbuka. Perasaan saya bercampur baur. Rasa lucu dengan gurauan ayah. Terselit juga rasa sedih justeru daifnya kehidupan ayah dulu yang sekaligus menyemai bibit keinsafan dihati. Kami bersyukur kerana setiap kali berbuka ayah mampu buat kami gembira dengan makanan enak dan tentunya airbatu penghilang dahaga yang tidak perlu susah-susah untuk kami perolehi seperti waktu ayah dahulu. Bak kata orang tua semuanya mudah sampai ke lutut.

Gurauan ayah begitu sudah amat lama tidak saya dengar. Ia hilang bersama-sama pemergian ayah (AlFatihah) buat selama-lamanya 14 tahun yang lalu. Tengahari semalam saya mengimbau kembali kenangan itu dengan Haziq yang tiba-tiba merungut di meja makan kerana kehausannya tidak dilerai dengan minuman air batu seperti selalu. Bekalan elektrik terputus dan logiknya peti sejuk gagal berfungsi. Saya kongsikan kesengsaraan atoknya dulu. Saya lihat matanya semacam bergenang. Segelas air suam didepannya diminum semahunya dan mamanya cuma mampu tersenyum memerhatikan gelagat anak lelakinya itu.Mungkinkah selepas ini Haziq tidak perlu lagi ais dalam minumannya? Harap begitulah.

Saya pantas berfikir, mengimbau kesusahan masa lalu adalah kaedah terbaik untuk mendidik Haziq supaya tidak mudah lupa bahawa dia sangat bertuah kerana dilahirkan dengan sudu emas di mulutnya.

Pena Tumpul - Tinggal kenangan

Monday, July 29, 2013

Balik

"Hidup, jangan tidak aja"

Bila saya ziarah atok petang ini, atok kelihatan agak uzur. Langkahnya pendek-pendek. Pandangan berbalam-balam. Pendengaran sudah tidak jelas lagi. Di usia 93 tahun, atok sebenarnya dianugerah usia yang panjang. Tidak ramai yang boleh mencecah usia begitu. Kalau mahu bercakap dengan atok, perlu cakap kuat-kuat. Dia sudah tidak kenal sangat dengan mereka yang pernah rapat dalam hidupnya.

Bila emak tanya tentang keadaannya, itulah jawapan yang terpacul dari mulut atok. Katanya dia masih dipinjam nyawa untuk terus hidup walaupun hidup tidaklah sesehat dan senikmat dulu. Satu demi satu nikmat ditarik. Nikmat yang Tuhan pinjamkan bila sampai ketikanya akan ditarik juga. Makan sudah tidak seselera dulu. Tidor pun sudah tidak senyenyak dulu. Kata nenek, atok bagaikan tidak tidor sepanjang malam. Dia resah di pembaringan. Atok akan berlegar seluas rumah melayan matanya yang tidak mahu tidor. Sesekali dia akan ke bilik air untuk membasahkan badannya.Begitulah atok sejak beberapa bulan yang lalu.

Pun begitu, di siang hari, khabarnya atok menggagahkan dirinya menghayun cangkul. Saya tahu atok tidak selesa untuk diam sahaja. Di kala sehatnya, atok memang tidak duduk diam. Penat di kebun, atok ke sungai melihat lukahnya, kemudian ke hutan berburu. Sebab itu, bila atok sudah tidak sehat dan muda lela macam dulu, atok resah. Dia sudah tidak dapat buat apa yang suka dibuatnya dulu.

Atok sudah sepatutnya berihat!

Pena Tumpul - Atok kerap kata nak balik dan bertanyakan emaknya yang telah sangat lama tiada, apa maknaya





Sunday, July 28, 2013

Gantung

Sejak semalam isteri awal-awal lagi memberitahu yang dia tidak akan masak apa-apa untuk sajian berbuka petang itu. Mesejnya cukup jelas - dia enggan ke dapor seperti hari-hari sebelumnya. Mungkin letih kerana beban tugas yang berat pada hari itu agaknya. Saya akur. Bagilah peluang sekali-sekala untuk dia berehat dan mengeringkan tangannya. Isteri gantung periuk dan kuali. Singki tidak basah hari ini.


Saya khabarkan berita ini pada Haziq. Dia agak girang kerana hasratnya untuk berbuka di luar tercapai juga. Berbuka di mana? Berbuka di hotel tidak terlintas langsung di kepala saya. Bukan sahaja mahal tetapi secara peribadinya berbuka di hotel bukan cara saya. Pada saya berbuka di hotel untuk mereka yang banyak duit. Mungkin saya silap dengan pandangan itu namun tak apalah.

Akhirnya saya memilih untuk berbuka di sebuah kedai makan terletak di Kg Jawa yang sudah amat biasa kami  kunjungi. Haziq tidak membantah langsung, begitu juga mama.Haziq memesan nasi paprik kegemarannya selain sekeping roti telur, "fresh orange" dan tidak ketinggalan buah melaka kegemarannya. Isteri pula selesa dengan nasi goreng kampung dan segelas besar air perahan karot susu dan sedikit kastard jagung. Cukuplah, katanya. Saya juga tidak kesah sangat soal makan dan cukup berpuas hati dengan nasi paprik, milo panas dan juga menjamah sedikit buah melaka.

Kami bersyukur dengan nikmat berbuka petang semalam. Dan cukup kenyang dengan RM23.70. Alhamdulillah!

Pena Tumpul - Selalu percaya makan untuk hidup

Saturday, July 27, 2013

Berbuka

Sudah menjadi tradisi sekurang-kurangnya sekali saya akan berbuka puasa di rumah atok di kampung. Teringin juga hendak merasai masakan nenek baru selain daripada bersembang dengan atok yang telah agak lama tidak saya kunjungi. Saya, isteri, Haziq, Aman, Ani dan emak dan Utih sampai di rumah atok kira-kira 20 minit sebelum masuk waktu berbuka.

Suasana menjadi riuh rendah dengan sorak sorai Hafiz dan jerit tangis Hadif. Namun cukup menyeronokkan. Atok Dolah, 93 tahun jelas terpancar kegembiraannya melihat kedatangan kami. Mak Utih yang tidak menduga kedatangan kami kelihatannya agak terkejut dan bergegas menyajikan hidangan. Ada gulai rebung rencah udang (sedapnya!). Pucuk ubi campur telur itik masak kuning selain kerang rebus dan pelbagai juadah lain yang sempat kami beli di bazar dalam perjalanan ke rumah atok.

Tentunya tidak sesuai bertandang ke rumah orang sekadar tangan kosong. Yang menariknya bila nenek menghidangkan ikan tongkol masak kormak. Amat sedap dan menyelerakan. Saya lantas menyarankan isteri mendekati nenek untuk mendapatkan resipinya. Nenek tidak keberatan berkongsi dengan cucunya.


Nenek sempat juga menunjukkan kepada kami hasil kraftangan terbarunya, gubahan bunga dari perca kain terbuang. Kreatifnya nenek baru ini. Kata Mak Utih nenek sibuk dengan kuih rayanya. Senang sikit Mak Utih sejak hadirnya nenek baru dalam hidup atok semenjak pemergian Atok Senah kira-kira 3 tahun yang lalu. Sempat juga kami merasa kuih koya dan kapit buatan nenek. Sebelum balik nenek sempat beraksi dengan baju barunya disamping atok. Saya kagum dengan atok yang masih larat untuk berpuasa di usia yang amat lanjut begitu, cuma katanya tidak berpeluang untuk ke masjid dek penglihatannya yang agak terjejas khususnya di waktu malam.

Pena Tumpul -Seronok makan bersila

Friday, July 26, 2013

Quran


Di hari ke 17 berpuasa, pengisian Ramadan dengan membaca AlQuran berjaya diamalkan seperti yang dirancang. Berdasarkan perkiraan mudah, dengan 22 muka surat sehari (4.5 muka surat selepas setiap solat Fardu) dengan izin Allah saya seharusnya mampu khatam di penghujung Ramadan nanti. Namun hari ini saya menyoal diri sendiri. Sudah cukup sempurnakah cara saya mendekati AlQuran ? Mengapa perlu bergolot-golot? Bagaimana dengan isi kandungannya? Adakah difahami dan dihayati?Persoalan-persoalan ini tidak pernah saya tanyakan selama ini. Kalau pun menyinggah cuma dibiarkan berlalu tanpa usaha untuk memperbaiki di mana kurangnya. Saya tentunya tidak mahu menjadi seperti seorang penjual sayur, yang tergesa-gesa serta mahu segera menyelesaikan jualannya. Saya tidak mahu membaca Quran dengan tergesa-gesa tanpa tadabbur justeru Allah berfirman dalam Surah Sad:29,
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. (Surah Sad:29)

Firman Allah lagi dalam (Surah ar-Ra'ad, ayat: 28 )

" Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir Allah dan ketahuilah dengan zikir Allah itu tenang tenteramlah hati manusia." Saya merujuk kepada Tafsir Pimpinan Rahman dan dijelaskan bahawa zikir Allah itu tidak lain adalah AlQuran, sebesar-besar mukjizat yang tiada tolok bandingnya.

Pena Tumpul - Tertarik dengan ceramah Dr Fatma El Zahraa Mohd Ramadhan dalam AlRayyan

Thursday, July 25, 2013

Lembik

Saya menyuarakan hasrat untuk menebas rumput dan lalang yang semakin panjang di laman rumah ayah mentua dan mengajak Haziq ikut sama. Saya tahu ayah mentua saya tidaklah cukup kuat lagi untuk melakukan kerja-kerja begitu. Haziq menyangkal hasrat saya. Sebab yang diberikannya sangat mudah. Dia khuatir saya akan keletihan dan kehausan di bulan puasa ini lebih-lebih lagi cuaca yang agak panas. Saya menghargai perhatian dan pandangannya terhadap saya.

Pun begitu, saya perlu membetulkan fahamannya tentang bulan Ramadan yang sedikit tidak betul itu.Bulan Ramadan tidak sedikit pun menafikan keperluan untuk kita melakukan kerja seperti bulan-bulan yang lain. Malah di bulan Ramadanlah kita perlu lebih bersemangat untuk bekerja agar ia dapat memberi mesej yang betul kepada orang bukan Islam bahawa Islam itu tidak menganjurkan penganutnya untuk melebihkan rehat daripada bekerja. Islam tidak mempamerkan umat yang lembik dan tidak bermaya sepanjang bulan di siang hari berpuasa.  Lebih menarik, Rasulullah dan sahabat-sahabatnya menyertai perang menentang kafirun yang hampir 80% terjadi dalam bulan puasa.

Haziq mudah faham dan sama-sama melibas parang panjang membantu saya dan dia tidak penat pun!

Pena Tumpul - Siang seharusnya garang bak singa dan beramal bak rahib di sebelah malamnya pula




Wednesday, July 24, 2013

Nafsu

Saya ke bazar petang ini. Ramadan kali ini saya secara sengaja tidak mahu begitu kerap ke bazar berbanding dulu-dulu..Saya mahu mendidik nafsu saya. Juga tidak mahu membiarkan nafsu menguasai akal dan fikiran saya. Mengunjungi bazar mendedahkan saya kepada runtunan nafsu yang tidak terkawal. Semua yang dilihat ingin dibeli. Ketika lapar begitu, apa sahaja yang dilihat semuanya sedap hatta seketul ayam goreng yang mungkin tidak habis dijual semalam.

Ketika saya begitu berkira-kira dan amat berhati-hati membeli, ironisnya saya membiarkan Haziq membeli sesuka hatinya. Saya tidak mahu menyekatnya. Belilah selagi teragak dan teringin. Saya ingin dia belajar sesuatu semasa berbuka nanti.

Semasa berbuka Haziq menyaksikan dirinya sendiri dipermainkan oleh nafsu tamaknya di bazar tadi. Setelah meneguk bergelas-gelas air cincau yang disediakan oleh mamanya dan dua pinggan nasi goreng paprik yang diberi oleh atoknya, dia sudah tidak berupaya untuk menyentuh dan menjamah segala juadah yang dibelinya tadi. Mudahnya nafsu memainkan kita. Jahatnya nafsu ini.

Benarlah kisah ketika Allah menciptakan akal dan nafsu. Karakter yang cukup berbeza antara keduanya. Yang satu taat setia dan yang satu lagi degil sukar mendengar kata. Kepada akal, Allah berfirman, “Wahai akal mengadaplah engkau.” Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “Wahai akal berbaliklah engkau!”, lalu akal pun berbalik.Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : “Wahai akal! Siapakah aku?”. Lalu akal pun berkata, “Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah.” Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau.”

Bila Allah S.W.T menciptakan nafsu, Dia berfirman kepadanya yang bermaksud : “Wahai nafsu, mengadaplah kamu!”. Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : “Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Lalu nafsu berkata, “Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau.”

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan mencampakkannya ke dalam neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Lalu nafsu berkata, “Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.” Nafsu masih degil. Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu’ selama 100 tahun.

Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, ” Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku.” Setelah dihumban dalam penjara lapar barulah nafsu akan layu dan tunduk.

Kalau ingin menundukkan nafsu, berpuasa adalah cara terbaik!

Pena Tumpul - Cari buah melaka sahaja

Tuesday, July 23, 2013

Kontot

"Penggunaan perkataan kontot merosakkan keindahan bahasa, justeru mutu sastera"

Saya sedang membaca laman ke laman buku Teknik Surah Yusuf. Saya tidak pernah tahu bahawa dalam penulisan kreatif pun kita dituntut untuk menggunakan perkataan yang lengkap dan sempurna. Saya selalu berandaian penulisan kreatif membenarkan apa sahaja bentuk bahasa, hatta bahasa basahan sekali pun dan sekaligus memberi laluan kepada penggunaan perkataan kontot.

Di kalangan penutur Bahasa Melayu, penggunaan bahasa basahan yang sifatnya kontot-kontot bukanlah asing. Penggunaannya diterima pakai secara meluas dan ia dikesan diguna secara wewenangnya dalam penulisan kreatif. Penggunaannya pastinya tidak lain kecuali untuk mewujudkan kesan semulajadi, bahawa begitulah perkataan yang digunakan dalam pertuturan seharian.

Nak, dah, ni, tu, mau, ke, saja adalah contoh perkataan kontot yang kerap ditemui dan digunakan dalam penulisan bagi menggantikan hendak, sudah, ini, itu, mahu, kah dan sahaja. Dalam pertuturan seharian, tentunya didengar janggal kalau seorang anak berkata begini kepada emaknya, " Emak, saya lapar dan hendak makan nasi". Sebaliknya akan didengar lebih baik dan asli kalau begini yang dituturkan, " Mak, ada  nasik tak, laparlah"

Tidak menggunakan perkataan kontot cuma sebahagian sahaja tuntutan menulis Teknik Surah Yusuf. Baharu sekelumit. Menulis bukan mudah rupanya.

Penggunaan bahasa dalam SMS lagi mengharubirukan!

Pena Tumpul - Pengunaan bahasa sekerat belut sekerat ular lagilah memualkan

Monday, July 22, 2013

Ujian

Kesabaran saya diuji di bulan yang mulia dan penuh barakah ini. Puasa mendidik kita supaya bersabar sebenarnya. Ujian yang saya hadapi tidaklah getir sangat pun. Namun begitu, ia cukup memualkan dan merentap hati kecil saya.

Saya melihat perlakuan biadab di depan mata. Saya menahan kesabaran saya lebih dari satu jam setengah menyaksikan sambil membiarkan ia berlaku. Saya tidak mahu menegur, apatah lagi menyuarakan rasa tidak senang hati dan marah-marah. Saya mengambil pendirian untuk membiarkan sahaja dan saya bangga dengan diri saya kerana mampu bertahan dengan kerenah tidak beradab itu.

Berbual-bual ketika seseorang sedang menyampaikan sesuatu di depan bukanlah perlakuan yang sopan. Dan ia semakin tidak sopan bila ia dilakukan oleh mereka yang dikatakan berakhlak dan berilmu relatif tinggi daripada orang lain.  

Di hujung episod yang menyenakkan perasaan ini saya hanya katakan "Saya sangat kecewa dengan perbuatan kamu".

Pena Tumpul - Sabar


Sunday, July 21, 2013

Pengampunan

Fasa pertama Ramadan (1 - 10 Ramadan),syahrurrahmah (permulaannya rahmat) baru berlalu. Kini bermula fasa kedua, syahrul magfirah (pertengahaannya pengampunan) untuk 10 hari berikutnya sebelum munculnya Fasa Ketiga. Bagaimana dengan Fasa pertama yang telah kita lalui. Adakah kita merasakan kesannya dalam diri.Persoalan-persoalan ini mungkin boleh kita ajukan kepada diri sendiri bagi melihat dan melihat sejauh mana impaknya 10 hari yang berlalu.
  • Adakah dengan datangnya ramadhan kita ikhlas beribadah?
  • Adakah kita hanya sekadar raikannya sahaja?
  • Adakah dengan ramadhan kita sudah berubah, dari selalu bersangka buruk kepada bersangka baik?
  • Adakah kita dapat tahan mulut kita dari bercakap kosong?
  • Adakah kita dapat jaga mata kita dari tengok benda yang sia-sia?
  • Adakah kita betul-betul beribadah semata kerana kita beriman kepada-Nya dan mengharapkan sepenuh ganjaran hanya dari-Nya.

  • Melalui pembacaan, dijelaskan bahawa dalam fasa kedua ini Allah SWT. menerima dan memberi pengampunan kepada hamba-hamba-Nya yang merayu , berdoa dan memohon keampunan dari-Nya. Sayangnya kalau kita tidak merebut kesempatan ini untuk memohon ampun kepadaNya.

    Apakah ada tanda-tanda atau kesan dari fasa kedua ini yang telah memberi kesan pada kita? Ada beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan pastinya. Tanda Allah SWT menerima dan mengampuni hamba-hamba-Nya ialah kita merasakan dalam hati tidak mahu lagi melakukan dosa-dosa samaada besar atau kecil, menginsafi akan kesalahan-kesalahan lama yang ia telah lakukan dan terus merasai seronok dengan amal ibadah, zikrullah dan amal soleh. Masya Allah.

    Dalam hati dan jiwa kita merasai bahawa hidup didunia hanya sementara dan kehidupan dihari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Didalam fikiran terbayang-bayang kehidupan di syurga yang penuh nikmat dan juga azab neraka yang amat dahsyat sekali. Perasaan ini akan menjadi sebagai pendorong dan motivasi untuk kita terus meningkatkan amal soleh dan meninggalkan amal yang ditegah.

    Ya Allah, ampunkanlah bagiku amalan yang telah kukerjakan dan apa yang akan kukerjakan, sesuatu yang aku sembunyikan dan sesuatu yang aku nyatakan, sesuatu yang tidak sengaja kulakukan dan sesuatu yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah yang terawal dan Engkau yang terakhir, tiada Tuhan selain Engkau.Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada azab api neraka dan azab kubur dan fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal.Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada dosa dan hutang. Ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar dan tidaklah dapat mengampunkan aku melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada-Mu dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Aku memohon keampunanMu!"

    Pena Tumpul - Sentiasa berdoa agar Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan-ramadan yang lalu

    Saturday, July 20, 2013

    Meliko

    Orang-orang lama memang kaya dengan istilah-istilah lama. Bila sesekali berbual, terselit juga sepatah dua perkataan yang sangat asing bunyinya.Generasi sekarang yang dilabelkan sebagai Gen Y kebanyakannya memang tidak biasa mendengar perkataan lama ini dituturkan apa tah lagi untuk menggunakannya dalam tuturan harian.

    Beberapa minit sebelum berbuka, di hamparan hidangan berbuka puasa sekonyong-konyong ayah mertua bertanyakan cucunya tentang kolenya. Diko termangu-mangu dan tidak tahu apa yang dinyatakan oleh Tokyahnya. Perkataan "kole" memang sangat asing dalam kamus tuturnya. Haziq juga tidak tahu. Denko juga tidak tahu. Ringkasnya, anak-anak Gen Y memang tidak tahu apa itu kole. Mereka cuma kenal cawan dan gelas. Kole juga bekas air seperti cawan dan gelas, cuma ia dibuat daripada ayan.

    Saya ingat waktu kecil di kampung dulu, penggunaan kole sangat meluas. Kole digunakan terutamanya oleh kanak-kanak atas alasan keselamatan. Kole ini kalau jatuh ke lantai simen tidak pecah berbanding cawan dan gelas. Sekarang ini, bukan lagi mudah didapati. Di rumah pun, kole sukar kelihatan di dapur. Sebab itu, anak-anak sekarang tidak tahu apa itu kole kerana kole memang tidak pernah mereka lihat pun.

    Ketika Diko baru tahu apa itu kole, saya pula masih tercari-cari kenapa perkataan Meliko digunakan oleh ayah mertua untuk satu majlis khatam alQuran dalam bulan Ramadan ini dalam tempoh beberapa hari dari sekarang. Kenapa Meliko dan bukan Malam Tujuh Likur, tiada kaitankah antara keduanya?

    Pena Tumpul- Sedang cari makna pahpalis

    Tuesday, July 16, 2013

    Topi

    Haziq mengadu topi keledarnya hilang.Nasibnya baik kerana dia hampir kehilangan motosikalnya. Kejadian ini berlaku di luar kawasan sekolah. Haziq silap perhitungan dengan mengambil keputusan meletakkan motorsikalnya di tempat yang tidak sepatutnya. Dia berfikiran motorsikalnya akan selamat dari sebarang cubaan untuk dicuri.

    Haziq tidak berseorangan dalam beranggapan semua orang adalah sangat baik dan boleh dipercayai. Semua orang tidak akan berani mengusik hak milik orang lain apatah lagi memilikinya secara paksa juga pandangan yang silap. Bukan semua manusia berfikir seperti yang kita fikirkan. Kalau kita baik tidak semestinya semua orang lain pun akan baik juga. Itu pandangan dan anggapan yang sangat silap. Saya harap Haziq akan belajar sesuatu dari kesilapannya itu.

    Kalaulah semua orang di maya pada baik-baik belaka, tidak perlu rasanya syurga dan neraka!

    Pena Tumpul - Percaya semua orang

    Monday, July 15, 2013

    Ayah

    Adakalanya sebagai anak kita sering mengabaikan sesuatu yang kecil yang dilakukan oleh ayah kita, namun memiliki makna yang begitu besar. Tanpa kita sedari di dalamnya terdapat kasih sayang, cinta, pengorbanan dan tanggungjawab yang sangat mendalam.

    Saya ada cerita yang menarik untuk dikongsi bersama. Saya mendengarnya dari seorang tokoh motivasi lewat corong radio awal pagi ini. Kisah ini sangat meruntun rasa.

    Waktu petang bila pulang dari kerja seorang suami melihat isteri yang tertidur kepenatan kerana kerja rumah. Suami mencium kening isterinya dan bertanya, ‘Sayang, sudah solat Asar  ke belum?’ Isterinya terbangun dengan hati gerang menjawab pertanyaan suami, "Sudah bang"

    Isterinya beranjak dari tempat tidur mengambil piring yang tertutup, Petang itu isterinya memasak kesukaan  suami. Piring itu dibukanya, ada sepotong kepala ayam yang untuknya.

    Suami memakannya dengan lahap dan menghabiskan. Isterinya bertanya, "Abang, kenapa suka makan kepala ayam padahal saya dan anak-anak tidak suka langsung kepala ayam."

    Suaminya menjawab, ‘Sebab itulah abang pilih kepala ayam supaya awak dan anak-anak dapat makan bahagian lain yang lebih sedap"

    Mendengar jawaban  suaminya, air mata isteri bergenang. Jawapan suaminya merentap lubuk hatinya tidak terhingga. Dia tidak pernah terfikir pun sampai begitu sekali rasa kasih sayang suaminya terhadap dirinya dan anak-anaknya.

    Sepotong kepala ayam begitu indahnya sebagai wujud kasih sayang yang tulus kecintaan suami terhadap dirinya dan anak-anak.

    Pena Tumpul - Jangan makan bontot ayam nanti mulut tak reti diam

    Tuesday, July 09, 2013

    Rakaat

    ''Dalam hidup ini kita perlu menekankan soal kualiti dan bukannya kuantiti semata-mata, bagi yang 20 rakaat tetapi kalau tidak ada kualiti, lebih baik buat lapan tapi berkualiti manakala ada juga buat lapan tetapi tidak ada kualiti, lebih baik buat 20. ''Sama seperti orang makan nasi suka lauk banyak tidak semestinya berkualiti, jadi lebih baik makan nasi dengan lauk berkhasiat meskipun sedikit kuantitinya".

    Itu kata Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid bila mengulas tentang segelintir masyarakat Islam yang masih lagi berbalah soal jumlah rakaat sembahyang tarawih.

    Lapan atau 20 rakaat? Setiap kali Ramadan, persoalan ini tidak dapat dielakkan untuk difikirkan. Saya ingat ketika saya mula berpuasa di zaman sekolah rendah dahulu, saya tidak pernah diberitahu pun bahawa sembahyang sunat muakad ini juga diamalkan sebanyak 8 rakaat. Yang saya tahu waktu itu saya dengan tekun melakukannya sebanyak 20 rakaat seperti mana majoriti yang lain. Saya gembira melakukannya tanpa banyak soal.

    Pembacaan dan pergaulan mula menyaksikan saya mengetahui bahawa sembahyang yang datang setahun sekali ini juga ada versi 8 rakaatnya. Sejak itu saya bertelagah, antara 8 dan 20.Kedua-dua versi tiada salahnya. Saya mengambil pendirian ia bukan soal banyak atau tidaknya rakaat, tetapi kualiti sembahyang tarawih yang kita lakukan saban malam di bulan suci dan penuh keberkatan ini.

    Seperti kata Prof Zuhdi lagi persoalan tentang tarawih adalah perkara khilafiah, dan perselisihan pendapat mengenai perkara itu tidak akan selesai sampai kiamat. Dikisahkan bahawa semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras.

    Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini? Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”

    Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.
    Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.

    Kita diberi pilihan, tepuk dada tanya iman. Syariat atau sekadar budaya.

    Pena Tumpul - Memilih 20 rakaat

    Friday, July 05, 2013

    Bertudung


    "Memakai tudung itu pakej. Keinginan untuk bertudung perlu selari dengan hasrat untuk mempamerkan akhlak yang baik sebagai seorang wanita"

    Itu kata Dr Fadzilah Kamsah dalam rancangan kelolaannya "Selami Jiwa" yang sempat saya tonton beberapa malam lalu. Terpaku saya seketika melihat penampilan Catriona Noorhayati Ross (Cat) selepas bertudung. Cantik dan menarik. Secara peribadi saya memang meminati pelakon berdarah Scottish ini. Lenggok tuturnya lembut dan menarik.

    Sesekali disulami sebak, Cat menceritakan bahawa dia mula tergerak hati untuk bertudung apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC dan semasa mencuba tudung sambil melihat wajahnya di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga dia bergenang air mata. Sejak itu Cat bertekad untuk bertudung dan akan kekal begitu hingga ke akhir hayat. Saya melihat pengakuan yang sangat jujur dari Cat lewat rancangan setengah jam di Astro Oasis ini.

    Bila dikhabarkan UiTM Segamat akan memberi tudung percuma sepanjang Ramadan ini kepada pelajar wanita yang masih tidak bertudung, pada saya ia sangat menarik. Tidak dinafikan masih ada segelintir mereka yang memilih untuk tidak bertudung. Pastinya mereka punya alasan sendiri untuk mempamerkan mahkota mereka. Mungkin nampak cantik dengan rambut yang tidak bertutup. Mungkin menunggu masa yang sesuai. Pun begitu diharapkan pemberian tudung percuma ini permulaan ke arah yang lebih baik. Walaupun dilihat bagai paksaan, ia tentunya lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa langsung.

    Tertarik saya bila Dr Fadzilah kata segelintir yang bertudung namun masih mendedahkan yang lain. Ia bukan sangat luar biasa pun untuk kita lihat sekarang. Bertudung namun memakai baju pendek menampakkan lengan malah berskirt. Bertudung namun berseluar ketat yang pastinya tidak selari dengan penampilan wanita yang bertudung. Di situlah yang tidak kenanya.

    Sekarang ini, ramai yang bertudung sebab fesyen. Mungkin ikut kawan juga. Mungkin sebab emak paksa. Malah yang lebih menarik lagi tudung yang pelbagai corak, jenama dan model. Tudung telah melalui evolusi yang cukup hebat dan pantas. Ia baik kerana ia memberi nilai tambah kepada tudung dan sekaligus menarik lebih ramai golongan muda untuk bertudung, walau apa pun motif dan niatnya.

    Niat bertudung mungkin kelihatan sudah lari jauh namun saya melihat ia tentunya lebih baik daripada tidak bertudung langsung!

    Pena Tumpul - Sarankan isteri buka kedai tudung terpakai

    Thursday, July 04, 2013

    Kesan

    Kuatnya kesan bahasa badan. Tanpa suara yang terdengar, dia menyampaikan mesej yang cukup jelas kepada yang menerimanya. Yang menerima rasa tersinggung, terguris dan tercalar hatinya.

    Persoalan yang tidak pernah terjawab sejak bertahun akhirnya dijawab sendiri oleh Man Kidul. Sebabnya hanya kerana bahasa badan yang dipamerkan. Bila berkunjung ke rumah Husin Lempoyang hari raya lalu, Man Kidul memerhatikan bahasa badan yang dipamerkan oleh abang iparnya itu. Kata Man Kidul, Husin Lempoyang memcebikkan bibirnya sambil mengalihkan pandangannya ke arah lain sewaktu menerima kunjungannya anak beranak. Senyum pula senyum pahit.

    Kata Man Kidul dia mengesan secara sedar bahasa badan Husin Lempoyang. Perbualan tidak rancak seperti selalu. Ditanya sepatah dijawablah sepatah. Tiada langsung kemesraan. Man Kidul yang menerima mesej bisu ini rasa cukup terguris hatinya. Kata Man Kidul kesannya begitu mendalam. Sejak hari itulah Man Kidul bertekad untuk tidak datang-datang lagi ke rumah Husin Lempoyang walau dibentang permaidani merah dan dijemput dengan kereta mewah.

    Kadang-kadang bahasa badan berkemungkinan disalahtafsir. Jika ini berlaku, ia memang satu tragedi. Husin Lempoyang mungkin tidak berniat pun untuk mengguris hati Man Kidul. Dalam kesibukan melayan ramai tetamu yang lain, Husin Lempoyang tanpa disedari membiarkan bahasa badannya memanipulasi lisannya. Keadaan menjadi parah apabila Man Kidul begitu "sensitif" sehingga melihatnya sebagai sesuatu yang merobekkan hatinya. Dan ia berlaku serta tidak boleh lagi ditarik balik. Hati sudah terluka.

    Justeru itu, jangan percaya melulu dengan bahasa badan. Ia menyumbang kepada silap perhitungan yang natijahnya merugikan kepada kedua-dua pihak.Bermuka masam dikata sombong.Yang bermuka manis pula dikata baik dan peramah. Betulkah begitu? Kerana salah tafsir tentang bahasa badan, hubungan yang terjalin baik berakhir dengan kesakitan hati yang berpanjangan.

    Khabarnya Man Kidul rela berpatah arang dengan Husin Lempoyang!

    Pena Tumpul - Tahu bila perlu angkat punggung kalau berkunjung ke rumah orang, tuan rumah asyik menguap dan tengok jam di dinding

    Wednesday, July 03, 2013

    Kotor

    Khabarnya sepasang suami isteri berpindah ke rumah baru. Mereka sibuk mengemas rumah baru tersebut. Esoknya, sedarnya si isteri dari tidur, dia melihat rumah sebelah melalui tingkap rumahnya. Dilihat seorang wanita tua sedang minyidai kain di ampaian, kain yang disidai di ampaian tersebut kelihatan kotor. Terlintas dalam hatinya, mengapakah wanita tua ini tidak membasuh baju sehingga bersih.

    Hari kedua, si isteri terasa ingin melihat keluar lagi. Diwaktu yang sama, dia memandang ke luar melalui tingkap yang sama. Apa yang dilihat wanita tua itu menyidai pakaian, pakaian yang disidai masih kotor. Terdetik dalam hatinya, bagaimana wanita yang sudah tua dan berpengalaman ini membasuh baju. Dia memberitahu suaminya akan hal itu, namun suaminya diam sahaja.

    Hari ketiga, si isteri ini bangun lagi, dia melihat keluar rumah melalui tingkap yang sama. Dilihat wanita tua itu sedang minyidai baju, tetapi kali ini baju itu bersih! Terdetik dalam hatinya, tentu wanita ini sudah mempunyai kemahiran membasuh baju yang betul, ataupun menggunakan sabun yang betul-betul berkesan.

    "Bang, sayang tengok mak cik tu dah basuh baju dengan bersihnya la, dah tiga hari sayang perhatikan, bersih jugak akhirnya,".

    Suaminya dengan selamba menjawab,
    "Erm, takdela sayang, pagi tadi abang bangun awal sikit, cuci tingkap yang sayang guna untuk tengok mak cik tu".

    Isteri terpukul dan terdiam. Begitulah adakalanya kita mudah dan pantas untuk mencari cacat cela orang lain. Kita tidak sedar bahawa kesalahan itu sebenarnya datang dari diri kita sendiri.

    Pena Tumpul - Kadang-kadang lupa lap cermin mata

    Tuesday, July 02, 2013

    Bogel

    Jujurnya saya tidak pernah setuju  dengan sebarang tindakan oleh sesiapa pun memalukan seorang yang lain di hadapan orang lain, walau apa pun sebab dan tujuannya. Sebabnya satu saja, semua orang tidak kira siapa pun mereka ada harga diri. Siapalah kita untuk memalukan orang lain. Kita tiada hak itu pun. Cuma Pencipta kita sahaja yang ada hak itu dan hak itu pun tidak digunakan wewenangnya.

    Saya mentadabbur Surah Al Haqqah dan menemui ayat ini. Bersekali saya menulusuri bicara Syed Qutb. Saya terpana dan ia mencekik segala rasa hati saya. "Pada hari itu kamu dihadapkan kepada Allah, tiada satu pun dari rahsia kamu yang tersembunyi". (Surah AlHaqqah: 18)

    Kata Syed Qutb pula, "Pada hari itu segala-galanya terdedah, badan  terdedah, jiwa terdedah, amalan terdedah, dan untung nasib terdedah. Gugurlah segala tabir yang melindungi rahsia-rahsia. Bogellah segala jiwa dan segala jasad, ketaralah segala yang tersembunyi. Setiap orang kehilangan daya tipu helah, kehilangan daya tadbir dan kehilangan perasaan. Terbukalah segala tembelang yang selama ini ditabiri hingga kepada dirinya sendiri. Alangkah malunya kepada khalayak yang ramai. Kepada Allah segala rahsia adalah terbuka kepadaNya di setiap waktu, tetapi mungkin manusia tidak menyedari hakikat ini dengan kesedaran yang sungguh-sungguh kerana tertipu dengan tabir-tabir dunia. Kini barulah dia menyedari dengan sempurna apabila ia terdedah pada hari kiamat. Segala sesuatu jelas di alam buana. Bumi dilebur dan diratakan hingga ia tidak dapat melindungi suatu apa.

    Langit juga turut pecah terbelah dan hancur hingga tidak dapat melindungi  suatu apa pun. Segala jasad bertelanjang bulat tiada dilindungi seurat benang pun, segala jiwa terbuka tanpa suatu tabir pun dan tidak lagi mengandung apa-apa rahsia.Tetapi yang lebih dahsyat dari kehancuran bumi, gunung ganang dan langit ialah berdirinya manusia dengan jasad yang bogel, dengan jiwa dan perasaan yang bogel, dengan sejarah hidup yang bogel dan dengan amalan yang bogel lahir dan batin di hadapan perhimpunan raksasa makhluk Allah dari manusia, jin dan malaikat di bawah naungan kebesaran Allah dan 'Arasy-nya yang terjunjung tinggi di atas segala-galanya.

    Tabiat manusia memang rencam dan canggih. Di dalam jiwanya terdapat berbagai-bagai liku dan lorong sempit tempat dia menyimpan perasaan-perasaan dan keinginan-keinginan, tempat dia menyembunyikan salah silap, angan-angan dan rahsia-rahsianya.

    Manusia lebih pintar melindungkan dirinya dari binatang siput yang dicucuk dengan jarum, di mana ia pantas menyorokkan kepalanya ke dalam sarungya dan menutupkan dirinya dengan serapat-rapatnya, tetapi manusia akan bertindak lebih pantas dan pintar dari siput itu lagi, apabila ia merasa ada mata sedang melihat, memerhati dan mengetahui sesuatu rahsia yang disembunyikannya selama ini atau apabila ia sedar ada mata sempat melihat suatu lorong atau liku sulit dari dirinya. Dia akan merasa amat pedih dan cemas apabila ia sedar ada orang mengetahui hal dirinya ketika ia berada di dalam keadaan-keadaan persendirian dengan perasaannya.

    Tetapi apakah yang dapat dibuat oleh manusia pada hari kiamat kelak apabila tubuh badan, fikiran, perasaan, niat dan hatinya terdedah belaka dari segala suatu yang dapat melindunginya. Bagaimana ia dapat menyembunyikan dirinya di bawah 'Arasy Allah yang Maha Kuasa di hadapan perhimpunan raksasa yang tidak bertabir itu.Ini adalah satu keadaan yang lebih dahsyat dan lebih pahit dari segala-galanya.

    Saya bertanya diri sendiri, " Mungkin ke semua orang rasa tidak malu sebab semuanya berdepan dengan nasib yang sama?" Mana mungkin tidak malu. Kita pasti malu, pasti dengan seseorang yang begitu kita hormati barangkali!

    Pena Tumpul - Siapa pun kita, bos ke kita tidak punya hak untuk mengaibkan orang lain

    Monday, July 01, 2013

    Lebat

    Setelah beberapa hari dilanda jerebu, hujan yang lebat selebatnya meladungkan seluruh tanah Segamat petang ini. Kilat sabung menyabung beserta dentuman guruh dan panahan kilat yang mengecutkan perut.

    Rumah Pak Mentua turut terjejas. Beberapa keping zing lama tertanggal namun tidak sampai terbang. Pelepah kelapa bersimpang siur merentangi jalan. Daun-daun bertebaran. Batu-batu melonggok di atas jalan dibawa air hujan yang deras dari atas bukit.

    Namun syukur kepadaNya atas nikmat hujan yang tidak terhingga yang bukan sahaja membasuh kotoran dan habuk tapi juga karat-karat dosa yang mungkin terampai di mana-mana.

    Ini baru sedikit ujianNya. Kegoncangan yang diceritakan dalam surah Az-Zalzalah pastinya lebih hebat dari ini!


    Pena Tumpul - Nyamannnya beradu dalam cuaca begini

    Menjerit

    " Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...