Tuesday, July 29, 2008

Gurauan Baginda


Rasulullah SAW bergaul dengan semua orang. Baginda menerima hamba, orang buta, dan anak-anak. Baginda bergurau dengan anak kecil, bermain-main dengan mereka, bersenda gurau dengan orang tua. Akan tetapi Baginda tidak berkata kecuali yang benar saja.

Suatu hari seorang perempuan datang kepada beliau lalu berkata,

"Ya Rasulullah! Naikkan saya ke atas unta", katanya.

"Aku akan naikkan engkau ke atas anak unta", kata Rasulullah SAW.

"Ia tidak mampu", kata perempuan itu.

"Tidak, aku akan naikkan engkau ke atas anak unta".

"Ia tidak mampu".

Para sahabat yang berada di situ berkata,

"bukankah unta itu juga anak unta?"

Datang seorang perempuan lain, dia memberitahu Rasulullah SAW,

"Ya Rasulullah, suamiku jatuh sakit. Dia memanggilmu".

"Semoga suamimu yang dalam matanya putih", kata Rasulullah SAW.

Perempuan itu kembali ke rumahnya. Dan dia pun membuka mata suaminya. Suaminya bertanya dengan keheranan, "kenapa kamu ini?".

"Rasulullah memberitahu bahwa dalam matamu putih", kata isterinya menerangkan. "Bukankah semua mata ada warna putih?" kata suaminya.

Seorang perempuan lain berkata kepada Rasulullah SAW,

"Ya Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar aku dimasukkan ke dalam syurga". "Wahai ummi fulan, syurga tidak dimasuki oleh orang tua".

Perempuan itu lalu menangis.

Rasulullah menjelaskan, "tidakkah kamu membaca firman Allah ini,

Serta kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta kami jadikan mereka senantiasa perawan (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya".

Para sahabat Rasulullah SAW suka tertawa tapi iman di dalam hati mereka bagai gunung yang teguh. Na'im adalah seorang sahabat yang paling suka bergurau dan tertawa. Mendengar kata-kata dan melihat gelagatnya, Rasulullah turut tersenyum.

Wallahuallam...

Saturday, July 26, 2008

Insentif


PUTRAJAYA 25 Julai - Kerajaan bersetuju supaya semua pensyarah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang mempunyai kelayakan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dinaikkan ke gred 51.

Mengikut Skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti, mereka sepatutnya hanya dilantik ke gred 45.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, calon-calon yang mempunyai Ph.D dianggap mempunyai kecemerlangan yang tinggi dalam memperkasakan kualiti pengajaran dan pembelajaran di IPTA.

Pada masa sama, kata beliau, bagi calon-calon dari industri yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang tertentu juga boleh dilantik terus ke gred 51 untuk berkhidmat sebagai pensyarah.

"Ini supaya mereka dapat bersama-sama membantu meningkatkan kecemerlangan di IPTA.

"Kesemua keputusan ini terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang akan dikemukakan kepada Kabinet minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara 2007 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, semua IPTA wajar memastikan kenaikan gred untuk pensyarah berkelulusan Ph.D itu dilaksanakan dengan segera.

"Ini supaya matlamat Pelan Strategi Pendidikan Tinggi Negara dalam memperkasakan IPTA dapat direalisasikan melalui pengambilan tenaga akademik yang berkualiti, berpengetahuan dan berpengalaman luas," katanya.

Thursday, July 24, 2008

Kembali


Besan emak yang pernah kami lawati ketika terlantar sakit di Batu Pahat pada 22Jun yang lalu dikhabarkan telah kembali menemui Ilahi pada pukul 1.30 pagi ini. Saya menerima berita sedih itu pada pagi ini dari Kak Long, menantu kepada Allahyarhamah Mak Edah. Malangnya saya tidak dapat menghadiri upacara pengkebumian jenazah yang dimaklumkan selamat disemadikan pada jam 10 pagi ini. Emak kehilangan besannya yang pertama, manakala Lokman sudah kehilangan tiga orang atok. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

Saturday, July 19, 2008

Lalat

Orang memandang bahawa lalat datang hanya untuk mengganggu ketenteraman mereka, tapi di sebalik itu ada juga hikmahnya. Diceritakan bahawa pada suatu hari ketika Khalifah Al-Mansur sedang sibuk menyelesaikan kerja-kerjanya datang seekor lalat hinggap di bahagian mukanya. Dengan cepat Al-Mansur menghalaunya, lalat itupun terbang. Sebentar kemudian lalat itu datang lagi dan Al-Mansur segera menepisnya. Begitulah seterusnya lalat berkali-kali pula Al-Mansur menepisnya.

Sehingga akhirnya, Al-Mansur merasa kesal kerana kerja-kerjanya terganggu hanya kerana gara-gara seekor lalat yang tidak mempunyai apa-apa erti.

Dia berfikiran : "Kalau macam ini lalat itu betul-betul merosak, tak ada gunanya langsung. "Kemudian Al-Mansur bertanya kepada Jakfar Shadiq : "Wahai Jakfar! Untuk apa Allah menciptakan lalat?
"agar dengan itu Allah dapat menunjukkan kehinaan orang-orang yang sombong dan membanggakan diri."Jawab Jakfar Shadiq.

Mendengar jawapan itu,Al-Mansur diam. Dengan jawapan itu pula Al-Mansur sedar bahawa walaupun dirinya seorang kepala negara yang disanjung dan dijunjung oleh rakyat, tetapi ternyata dia sebenarnya tidak ada ertinya bagi seekor lalat.

Friday, July 18, 2008

Gelagat




Adif dan Hafiz terus membesar dan makin nakal juga. Emak yang tidak setangkas dulu tentunya tidak larat lagi melayan keletah dua cucunya ini. Gambar-gambar ini menjelaskan segala-galanya.

Nostalgik


Lagu-lagu yang dialunkan lewat corong radio Klasik Nasional memang menggamit memori dan mengimbau kenangan lalu. Antara penyanyi awal 70an yang mendapat tempat dihati peminat ialah J.Mizan yang terkenal dengan keunikan suaranya.Beliau yang kini berumur 55 tahun sudah tidak aktif menyanyi lagi apatah lagi merakamkan lagu baru di piring hitam. Namun lagu-lagunya kekal segar untuk didengar. Banyak lagu-lagunya yang menyentuh perasaan. Antaranya lagu dibawah ini.

MELATI DI TAPAL BATAS
Engkau gadis muda jelita
bagai sekuntum melati
engkau sumbangkan jiwa raga
di tapal batas bekasi

Engkau dinamakan srikandi
pendekar putri sejati
engkau turut jejak pemuda
turut mengawal negara

Oh pendekar putri yang cantik
dengarlah panggilan ibu
sawah ladang rindu menanti
akan sumbangan baktimu

Duhai putri muda remaja
suntingan kampung halaman
kembali kepangkuan bunda
berbakti kita di ladang

Thursday, July 17, 2008

Merokok

Dalam perjalanan menghantar anak ke SMK Gemereh, hampir setiap pagi saya terserempak dengan sekumpulan pelajar yang berpakaian sekolah singgah terlebih dahulu di perkarangan sebuah rumah untuk merokok sebelum masuk sekolah. Fenomena ini semakin bertambah serius apabila saban hari bilangan yang merokok semakin bertambah. Tanpa segan silu mereka menghembuskan asap rokok ke udara di tengah ibu bapa yang lalu lalang memerhatikan gelagat mereka.

Gejala ini perlu dicegah dari awal, kerana kebanyakan penagih dadah berpunca dari rokok. Cegah dari parah, insya-Allah dengan langkah awal yang kita laksanakan, akan menjadikan pelajar-pelajar kita, pelajar yang berkualiti cemerlang, gemilang dan terbilang. Jangan salahkan guru dan kerajaan sahaja. Tetapi nilai dahulu peranan kita sebagai anggota masyarakat, peranan kita sebagai ibu-bapa, melihat dan memantau perkembangan anak-anak kita, generasi muda kita yang diibaratkan sebagai kain putih, ibu-bapalah yang akan mencorakkan warna kehidupan anak-anaknya.

Lebih menyedihkan, kini wujud pula trend baru, pelajar perempuan malah ada yang bertudung sudah tidak segan silu merokok di tempat awam.

Menteri Pelajaran, Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein pernah berkata baru-baru ini, walaupun peratusan pelajar sekolah rendah dan menengah yang dikenal pasti merokok di dalam kawasan sekolah adalah kecil, iaitu hanya 0.0009 peratus daripada jumlah pelajar di sekolah negara, namun kementerian tetap memandang serius dan telah mengambil langkah bagi menangani masalah tersebut.

Walaupun begitu, satu kajian harus dilaksanakan, mengapa pelajar merokok? Dato' Sri Hisham juga menyifatkan pengaruh persekitaran dari kalangan ahli keluarga yang lebih dewasa menghisap rokok adalah faktor utama yang dikenal pasti punca remaja merokok. Perlakuan orang dewasa itu akan dicontohi oleh golongan remaja yang mempunyai naluri ingin mencuba.

Selain pengaruh persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan keinginan untuk diiktiraf sebagai individu yang telah dewasa khususnya di kalangan golongan awal remaja adalah faktor yang mempengaruhi pelajar terlibat dalam salah laku ini.

Monday, July 14, 2008

Durian


Musim durian datang lagi. Setelah beberapa tahun tidak berbuah, mungkin faktor cuaca yang tidak menentu- hujan dan panas silih berganti,tahun ini durian berbuah, walaupun tidak banyak. Namun cukup untuk makan sendiri dan juga buat saudara mara yang ingin merasai nikmat makan durian terus dari pokok. Saya sendiri bukanlah penggemar durian. Namun kalau dibuat santan dan dimakan dengan pulut atau roti tidak pula menolak. Isteri saya sebaliknya penggemar durian nombor satu. Balik dari kerja pokok durian menjadi sasaran utamanya mengutip buah durian yang gugur. Berbanding berpuluh-puluh tahun dahulu, harga durian sekarang memang jatuh merudum. Durian pun berbuah tidak tentu musimnya, kadang-kadang berlambak di pasaran hampir sepanjang tahun. Namun penggemar durian biasanya akan mencari durian kampung dan kalau di Segamat, durian yang paling sedap dikatakan datang dari Gudang Garam. Kalau tak percaya, rasa sendiri baru tahu.

Sunday, July 13, 2008

Kesihatan

Sejak Jumaat 4hbJulai lalu saya diserang demam yang agak luar biasa juga beratnya. Suhu tubuh mendadak naik sehingga 38 darjah celcius. Begitu panas. Sesekali menggigil. Saya dinasihatkan bercuti oleh doktor. Suhu yang tidak tentu dan begitu meningkat pada waktu malam diselang seli dengan batuk menjadikan saya tidak selesa. Fikiran terasa tumpul. Hilang semangat untuk menulis walaupun sebaris untuk blog ini. Tidak berselera untuk makan. Sehingga waktu ini pun, badan masih terasa lemah. Namun demi tanggungjawab dan amanah, saya gagahi juga masuk ke kelas menyampaikan kuliah kepada para pelajar. Baru hari ini semangat bagaikan pulih kembali dan diberikan kekuatan untuk mencoret sebaris dua. Petang ini sempat juga membersihkan rumput yang sudah semakin panjang di kebun - lebih-lebih lagi di sekitar beberapa batang pokok durian yang sudah mula menggugurkan buahnya. Kalau sudah semak sangat nanti, tidak jumpa pula buah durian yang gugur.

Thursday, July 03, 2008

Bengkel OBE

Bengkel OBE dan MQA yang melibatkan semua staf akademik dianjurkan oleh JK Kualiti Akademik UiTM Johor diadakan pagi ini. Prof Dr. Titik Khawa Abd Rahman dari Shah Alam telah diundang untuk menyampaikan ceramah. Setelah melayari beberapa laman web saya dapati OBE lebih banyak diaplikasikan dalam program kejuruteraan. Difahamkan pendekatan OBE akan dilaksanakan di seluruh kampus UiTM mulai 2009.

Outcome-Based Education (OBE) atau Pembelajaran Berasaskan Hasil(PBH) adalah falsafah pendidikan yang berasaskan kepada penilaian yang mengiktiraf dan menitikberatkan kemajuan yang dicapai oleh individu pelajar.

Pendekatan OBE merupakan pendekatan yang amat dinamik justeru ia melibatkan perubahan struktur kursus selaras dengan keperluan silibus dan perubahan pelajar. Pendekatan ini bertujuan ke arah pengajaran, pembelajaran dan kaedah penilaian yang lebih efektif. Secara ringkasnya, OBE menjawab persoalan-persoalan berikut:
  • Apa yang perlu pelajar belajar?
  • Apa yang pengajar mahu pelajarnya belajar?
  • Bagaimana apa yang dipelajari oleh pelajar memberi kesan terhadap hasil pendidikan?
  • Bagaimana pengajar boleh memastikan pelajar mempelajari apa yang sepatutnya dipelajari?

Kenangan



Bila terkenang masa lalu rasa terharu
Segalanya masih kekal dalam kenangan
Tiba di persimpangan jalan berpisah jauh
Sekian lama di rantau bersendirian

Tiada lagi seruling senja mendayu
Tiada lagi ketawa riang bersama
Bila sepi mengusik hati
Semuanya kini dalam kenangan

Aku kirimkan restu pada ayah dan bonda
Budi dan jasamu tetap dalam kenangan
Teman seiring jalan kini jauh dariku
Kemesraan kita tetap dalam kenangan

Tiada lagi suara ombak di pantai
Tiada lagi bayu teberau membelai

Di saat sepi begini
Semuanya kini dalam kenangan

Bila masanya tiba nanti aku kembali
Pasti ada yang berubah dan tiada lagi
Dan bila kutinggalkan lagi kampung halaman
Segalanya abadi dalam kenangan

Wednesday, July 02, 2008

Getah

Minggu lepas Pak Atan, 82, yang menetap di rumah pinggiran jalan besar di Batu 7, begitu gerang bercerita tentang harga getah yang memberangsangkan sekarang. Dengan harga getah skrap dijual pada RM4.50 sekilo Pak Atan yang memiliki lebih kurang 3 ekar kebun getah adakalanya berupaya memperoleh sehingga RM100 sehari. Pendapatan yang memang lumayan dinikmati penoreh getah sejak permintaan dunia terhadap bahan ini meningkat beberapa tahun kebelakangan ini. Bila harga getah merudum sehingga ke paras kurang daripada RM1 sekilo, ramai pekebun kecil yang mengeluh dan beralih kepada penanaman koko. Pak Atan bergantung sepenuhnya kepada hasil getahnya untuk menyara isteri dan seorang anak perempuannya yang masih belajar. Semalam lain pula ceritanya.Menurut anaknya Pak Atan naik berang pula bila beberapa kilo getah yang dicadang untuk dijualnya hilang dicuri orang. Senangnya mencari jalan pintas untuk meneruskan hidup sekarang ini. Bersenang lenang di atas keringat dan penat jerih orang lain. Ratusan ringgit juga nilainya.Kesian Pak Atan!

Harapan

Rencana ini disiarkan dalam hari ini .

MINGGU ini pastinya amat bermakna bagi 30,757 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf dengannya yang mula mendaftar sebagai pelajar universiti selepas ditawarkan oleh kerajaan untuk mengikuti program diploma serta persediaan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik kali ini. Jumlah ini meningkat 17.2 peratus atau 5,281 tempat berbanding 25,476 yang ditawarkan mengikuti program berkenaan di semua 20 IPTA tahun lalu.

Peningkatan jumlah pelajar yang dita- warkan tempat di IPTA kali ini jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan mutu pendidikan di negara ini sejajar dengan sasaran Kementerian Pengajian Tinggi untuk melihat sejumlah 50 peratus mereka yang berusia 17 hingga 23 memiliki pendidikan tinggi menjelang 2020.

Difahamkan, selain 20 IPTA yang mempunyai lebih 382,000 pelajar, negara juga mempunyai 37 kolej swasta bertaraf universiti, selain 487 institusi pengajian tinggi swasta bertaraf kolej dengan kira-kira 365,000 penuntut. Kerajaan juga menubuhkan 37 kolej komuniti induk dan 19 cawangannya serta 24 politeknik, menjadikan jumlah keseluruhan IPT awam dan swasta di negara ini 605, antara yang tertinggi di kalangan negara membangun.

Kerajaan sedar bahawa pelajar di segenap peringkat dari sekolah rendah hingga universiti merupakan aset atau modal insan yang perlu dibangunkan bagi memacu negara ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang cemerlang acuan kita sendiri.

Seorang sarjana pernah berkata, sebuah negara yang gagal dalam membangunkan modal insannya secara berkesan sebenarnya gagal dalam membangunkan negaranya. Begitulah pentingnya pembangunan modal insan – ungkapan yang sering diberikan perhatian oleh Perdana Menteri kita yang begitu komited untuk melahirkan insan berkualiti seiring dengan kepesatan pembangunan negara.

Malah hasrat murni dan kesungguhan kerajaan dinyatakan dengan jelas dalam pelan pembangunan RMK-9 yang memberi penekanan lebih besar dalam pelaburan modal insan berbanding pembangunan fizikal.

Selain daripada pengukuhan institusi keluarga, sebagai kesinambungan dalam misi membangunkan modal insan ini, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi juga memikul tanggungjawab yang amat penting Selain menyediakan lebih banyak peluang pendidikan di segenap peringkat dari sekolah rendah hingga ke universiti, tumpuan yang lebih tentunya perlu diberikan dalam melahirkan insan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berakhlak tinggi dan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni.

Sememangnya tanggungjawab guru dan mereka yang terlibat secara langsung dalam menyampaikan ilmu pengetahuan semakin berat sekarang. Tentunya tidak sukar untuk melahirkan ramai pelajar secemerlang Nur Amalina yang pernah menggemparkan kita dahulu kalau hendak dibandingkan dengan hasrat kita untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi inteleknya tetapi dalam masa yang sama luhur budi dan akhlaknya.

Kita tentunya tidak mahu melihat insan yang kaya ilmu tetapi miskin dari segi akh- lak dan etikanya. Rupa bentuk insan begini diterjemahkan di depan mata kita dalam pelbagai laku dan keadaan. Jenayah kolar putih, perbuatan tidak bertanggungjawab yang merosakkan alam sekitar, segala bentuk penyelewengan, tidak berintegriti, pecah amanah, rasuah dan sebagainya dilakukan oleh mereka yang dikatakan berilmu ini.

Lebih malang lagi sekiranya kita bukan sahaja gagal melahirkan insan yang dangkal mindanya malah luntur akhlaknya. Perlakuan vandalisme, lumba haram atau mat rempit, penyakit sosial yang semakin berleluasa di kalangan remaja adalah manifestasi kepada kegagalan kita dalam membangunkan modal insan yang diimpikan.

Memupuk

Seperti yang ditegaskan oleh Abdullah tiga langkah penting perlu diberikan perhatian dalam membangunkan modal insan; iaitu dengan meningkatkan kapasiti dan penguasaan ilmu pengetahuan diikuti dengan memperkasakan keupayaan dalam sains, penyelidikan dan inovasi dan tidak dilupakan juga usaha untuk memupuk budaya masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai-nilai murni.

Jika kita benar-benar serius untuk membangunkan modal insan mengikut acuan kita, pendidikan itu sendiri selayaknya dilihat dari perspektif yang lebih terarah tujuan dan matlamatnya. Pendidikan tidak lagi seharusnya dilihat setakat pemerolehan ilmu pengetahuan tetapi turut menekankan juga soal pemurnian minda, nilai dan tingkahlaku. Ini tentunya sejajar dengan hasrat kita untuk membangunkan insan yang holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai mo- ral dan etika yang utuh.

Di peringkat universiti misalnya , penekanan kepada bentuk pendidikan dan latihan yang memenuhi keperluan majikan yang juga merupakan teras kepada Dasar Pembangunan Insan sewajarnya diberikan perhatian supaya ia dapat dicapai. Pendidikan di universiti tentunya tidak terhenti setakat mengeluarkan graduan yang gah pencapaiannya di atas kertas tetapi juga laku di pasaran dan mampu menawan hati majikan untuk mengambil mereka sebagai pekerja.

Fenomena pengangguran di kalangan graduan yang agak meruncing dewasa ini sewajarnya membuka mata kita semua untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada dalam kaedah pendidikan di universiti sekarang.

Maklum balas daripada pihak majikan mendapati bahawa sebilangan besar graduan yang tidak laku di pasaran pekerjaan berpunca daripada kegagalan mereka dalam berkomunikasi selain kurang kompeten dalam Bahasa Inggeris apatah lagi dalam bahasa ketiga yang semakin diperlukan sekarang.

Penekanan dalam menyediakan graduan yang mampu berdaya saing dalam pasaran pekerjaan dan sekali gus memenuhi keperluan majikan sepatutnya menjadi misi paling penting dalam merencanakan pembangunan modal insan graduan. Kemahiran yang menitikberatkan soal berkomunikasi dan “soft skills” di samping pembinaan budaya usahawan supaya graduan kita cukup kreatif untuk mencipta pekerjaan dan tidak terlalu sangat bergantung kepada kerajaan juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

Sesungguhnya dalam memacu kearah sebuah negara maju menjelang 2020 tugas membangunkan modal insan bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi mengikut acuan kita sendiri. Matlamat ini hanya boleh dicapai melalui kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.

Menjadi semaju Amerka Syarikat misalnya tidak sukar sangat untuk kita capai tetapi untuk tidak sampai mengorbankan nilai-nilai akhlak yang mulia dan menjerumuskan etika itulah yang lebih sukar.


Tuesday, July 01, 2008

Duit

Berapa pun jumlahnya, duit
tetap bernilai pada setiap orang. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Tidak hairanlah, ketika saya ke Pejabat Pos untuk menuntut rebet petrol, barisan yang beratur begitu panjang sehingga muntah keluar pejabat pos. Saya sendiri mengambil masa hampir sejam untuk mendapatkan habuan bernilai RM775. Namun apa yang pasti sekarang, nilai RM50 sekarang tentunya jauh lebih rendah nilainya daripada dahulu. Duit semakin susut nilainya namun manusia tidak henti-henti dan jemu memburunya. Semua orang suka duit, namun ada juga yang benci duit. Seperti kata M.Nasir dalam liriknya ini:

Ada yang panggil ringgit
Ada yang panggil dollar

Ada yang panggil baht

Ada yang panggil rupiah

Semua ini duit

Bikin orang belit

Duit! Duit!
Di mana kau duit Duit! Duit!
Hutangku membukit

Ada yang benci duit

Ada yang cinta duit
(bikin perut buncit)
Skandal sana sini

Punca juga duit
Cari duit halal
Agar jangan kesal
Duit!
Duit beli duit
Duit!
Buat beli cinta

Ramai orang yang berkata
Duit punca banyak dosa

Jangan sampai makan rasuah

Nanti bangsa jadi musnah

Zaman ini zaman duit

Tak ada duit diri tercepit

Tapi jangan jadi hamba duit

Nanti musnah diri sendiri



Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...