Skip to main content

Harapan

Rencana ini disiarkan dalam hari ini .

MINGGU ini pastinya amat bermakna bagi 30,757 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf dengannya yang mula mendaftar sebagai pelajar universiti selepas ditawarkan oleh kerajaan untuk mengikuti program diploma serta persediaan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik kali ini. Jumlah ini meningkat 17.2 peratus atau 5,281 tempat berbanding 25,476 yang ditawarkan mengikuti program berkenaan di semua 20 IPTA tahun lalu.

Peningkatan jumlah pelajar yang dita- warkan tempat di IPTA kali ini jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan mutu pendidikan di negara ini sejajar dengan sasaran Kementerian Pengajian Tinggi untuk melihat sejumlah 50 peratus mereka yang berusia 17 hingga 23 memiliki pendidikan tinggi menjelang 2020.

Difahamkan, selain 20 IPTA yang mempunyai lebih 382,000 pelajar, negara juga mempunyai 37 kolej swasta bertaraf universiti, selain 487 institusi pengajian tinggi swasta bertaraf kolej dengan kira-kira 365,000 penuntut. Kerajaan juga menubuhkan 37 kolej komuniti induk dan 19 cawangannya serta 24 politeknik, menjadikan jumlah keseluruhan IPT awam dan swasta di negara ini 605, antara yang tertinggi di kalangan negara membangun.

Kerajaan sedar bahawa pelajar di segenap peringkat dari sekolah rendah hingga universiti merupakan aset atau modal insan yang perlu dibangunkan bagi memacu negara ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang cemerlang acuan kita sendiri.

Seorang sarjana pernah berkata, sebuah negara yang gagal dalam membangunkan modal insannya secara berkesan sebenarnya gagal dalam membangunkan negaranya. Begitulah pentingnya pembangunan modal insan – ungkapan yang sering diberikan perhatian oleh Perdana Menteri kita yang begitu komited untuk melahirkan insan berkualiti seiring dengan kepesatan pembangunan negara.

Malah hasrat murni dan kesungguhan kerajaan dinyatakan dengan jelas dalam pelan pembangunan RMK-9 yang memberi penekanan lebih besar dalam pelaburan modal insan berbanding pembangunan fizikal.

Selain daripada pengukuhan institusi keluarga, sebagai kesinambungan dalam misi membangunkan modal insan ini, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi juga memikul tanggungjawab yang amat penting Selain menyediakan lebih banyak peluang pendidikan di segenap peringkat dari sekolah rendah hingga ke universiti, tumpuan yang lebih tentunya perlu diberikan dalam melahirkan insan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berakhlak tinggi dan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni.

Sememangnya tanggungjawab guru dan mereka yang terlibat secara langsung dalam menyampaikan ilmu pengetahuan semakin berat sekarang. Tentunya tidak sukar untuk melahirkan ramai pelajar secemerlang Nur Amalina yang pernah menggemparkan kita dahulu kalau hendak dibandingkan dengan hasrat kita untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi inteleknya tetapi dalam masa yang sama luhur budi dan akhlaknya.

Kita tentunya tidak mahu melihat insan yang kaya ilmu tetapi miskin dari segi akh- lak dan etikanya. Rupa bentuk insan begini diterjemahkan di depan mata kita dalam pelbagai laku dan keadaan. Jenayah kolar putih, perbuatan tidak bertanggungjawab yang merosakkan alam sekitar, segala bentuk penyelewengan, tidak berintegriti, pecah amanah, rasuah dan sebagainya dilakukan oleh mereka yang dikatakan berilmu ini.

Lebih malang lagi sekiranya kita bukan sahaja gagal melahirkan insan yang dangkal mindanya malah luntur akhlaknya. Perlakuan vandalisme, lumba haram atau mat rempit, penyakit sosial yang semakin berleluasa di kalangan remaja adalah manifestasi kepada kegagalan kita dalam membangunkan modal insan yang diimpikan.

Memupuk

Seperti yang ditegaskan oleh Abdullah tiga langkah penting perlu diberikan perhatian dalam membangunkan modal insan; iaitu dengan meningkatkan kapasiti dan penguasaan ilmu pengetahuan diikuti dengan memperkasakan keupayaan dalam sains, penyelidikan dan inovasi dan tidak dilupakan juga usaha untuk memupuk budaya masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai-nilai murni.

Jika kita benar-benar serius untuk membangunkan modal insan mengikut acuan kita, pendidikan itu sendiri selayaknya dilihat dari perspektif yang lebih terarah tujuan dan matlamatnya. Pendidikan tidak lagi seharusnya dilihat setakat pemerolehan ilmu pengetahuan tetapi turut menekankan juga soal pemurnian minda, nilai dan tingkahlaku. Ini tentunya sejajar dengan hasrat kita untuk membangunkan insan yang holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai mo- ral dan etika yang utuh.

Di peringkat universiti misalnya , penekanan kepada bentuk pendidikan dan latihan yang memenuhi keperluan majikan yang juga merupakan teras kepada Dasar Pembangunan Insan sewajarnya diberikan perhatian supaya ia dapat dicapai. Pendidikan di universiti tentunya tidak terhenti setakat mengeluarkan graduan yang gah pencapaiannya di atas kertas tetapi juga laku di pasaran dan mampu menawan hati majikan untuk mengambil mereka sebagai pekerja.

Fenomena pengangguran di kalangan graduan yang agak meruncing dewasa ini sewajarnya membuka mata kita semua untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada dalam kaedah pendidikan di universiti sekarang.

Maklum balas daripada pihak majikan mendapati bahawa sebilangan besar graduan yang tidak laku di pasaran pekerjaan berpunca daripada kegagalan mereka dalam berkomunikasi selain kurang kompeten dalam Bahasa Inggeris apatah lagi dalam bahasa ketiga yang semakin diperlukan sekarang.

Penekanan dalam menyediakan graduan yang mampu berdaya saing dalam pasaran pekerjaan dan sekali gus memenuhi keperluan majikan sepatutnya menjadi misi paling penting dalam merencanakan pembangunan modal insan graduan. Kemahiran yang menitikberatkan soal berkomunikasi dan “soft skills” di samping pembinaan budaya usahawan supaya graduan kita cukup kreatif untuk mencipta pekerjaan dan tidak terlalu sangat bergantung kepada kerajaan juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

Sesungguhnya dalam memacu kearah sebuah negara maju menjelang 2020 tugas membangunkan modal insan bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi mengikut acuan kita sendiri. Matlamat ini hanya boleh dicapai melalui kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.

Menjadi semaju Amerka Syarikat misalnya tidak sukar sangat untuk kita capai tetapi untuk tidak sampai mengorbankan nilai-nilai akhlak yang mulia dan menjerumuskan etika itulah yang lebih sukar.


Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w