Saturday, February 27, 2010

Belasungkawa

Saya mendapat khabar sedih pagi ini. Tok Uda dijemput Ilahi di usia 80an. Allahyarhamah Jaharah bt Montok adalah adik kepada Atok Dolah. Sebagai atok saudara, Tok Uda memang amat rapat dengan kami. Malah kami amat senang dengannya.Beliau mudah diajak berbual, mudah mesra dan kami sebagai cucu cukup selesa dengannya. Kini segalanya tinggal kenangan dan bakal terpahat dalam sejarah keluarga kami.

Saya secara peribadinya sudah mula rapat dengan Tok Uda sejak kecil lagi. Kata emak, saya sentiasa merengek minta di dokong oleh Tok Uda. Setiap kali berpeluang bersama Tok Uda, selalunya Tok Uda tidak berhenti mengungkit kisah silam saya yang begitu rapat dengannya. Saya cuma mampu tertawa mendengar Tok Uda bercerita. Kata Tok Uda, ketika banjir besar 1971 dulu, Tok Udalah yang mendokong saya merandai air menuju ke pusat pemindahan. Air dikatakan naik mendadak malam itu. Kisah yang satu inilah tidak pernah lekang dari mulut Tok Uda dijadikan bahan cerita setiap kali kami bersama.

Saya jumpa Tok Uda buat kali terakhir Hari raya yang lalu. Tok Uda sudah nampak sangat uzurnya. Dia cuma mampu mengesot dan sudah tidak cukup kuat untuk berdiri lagi. Tok Uda sudah kelihatan begitu payah untuk mesra macam dulu lagi. Tiada lagi jenaka lucu dari Tok Uda.
"Entahlah, atok pun tak tahu, raya tahun depan..ada ke tidak lagi", rintihan Tok Uda menyentap hati kecil kami.Beberapa bulan yang lalu, Tok Uda dilaporkan sudah kembali pulih dan sudah boleh berjalan semula. Selepas itu tiada lagi khabar baru tentang Tok Uda. Tok Uda pastinya cukup gembira duduk di rumah barunya. (nota: Tok Uda dikurniakan rumah PPRT).

Hari ini pukul 7 pagi Tok Uda meninggalkan kami buat selama-lamanya. Meninggalkan Atok Dolah dan Atok Usu. Kami akan merindukan gelak tawa dan gurau senda Tok Uda.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Tok Uda, Amin..

Pena Tumpul - Rindu ketupat palas Tok Uda

Saturday, February 20, 2010

Tangkas

Bila Haziq bercerita tentang keghairahannya berada di posisi penjaga gol seusainya bermain bola, emak tiba-tiba menyampuk. "Haziq ni ikut aruah atok dia, kalau main bola mesti nak jaga gol". Cakap emak memang ada betulnya. Saya masih ingat menyaksikan ayah beraksi penuh bergaya menjaga pintu gol dari dibolosi oleh bola tendangan pihak lawan. Pemain lawan acapkali didengar mengeluh kerana sukarnya menyumbatkan gol justeru ketangkasan ayah dalam menangkis setiap serangan bola yang datang. Itulah kehebatan ayah seorang penjaga gol yang pernah digeruni satu ketika dulu.

Saya tidak dipilih untuk mewarisi bakat yang ayah miliki. Saya tidak juga sangat cenderung dalam permainan ini walaupun pernah cuba-cuba bermain ketika di sekolah dahulu. Kini Haziq dilihat memiliki kecenderungan yang bukan sedikit terhadap bola.
Saya dan isteri cukup bimbang kerana tumpuannya sekarang sepatutnya bukan pada bola tetapi pada PMR yang bakal dihadapinya.

Pena Tumpul - Sedang memikirkan kaedah terbaik untuk mengekang kemaruknya pada bola Piala Dunia Jun ini

Friday, February 19, 2010

Turi


Kata orang sedap tidaknya masakan bergantung kepada siapa yang memasaknya. Tengahari ini ketika bersembang dengan isteri, emak dan Kak Long di dapor sempat saya berbicara tentang masakan siapa yang paling sedap. Antara masakan emak, Kak Long dan isteri. Tentunya tidak adil untuk membandingkan masakan isteri dengan Kak Long apatah lagi dengan emak sendiri. Namun masing-masing punyai kehebatan sendiri.

Masakan emak tanpa ragu amat sedap pada saya. Sentuhan tangan emak tidak pernah mengecewakan. Emak juga cukup mengerti masakan kegemaran anaknya. Emak tahu saya penggemar masakan berkari. Gulai kari daging lembu emak sampai kini tiada tolok bandingnya. Kuih bakar emak juga paling sedap. Begitu juga mee kari yang sesekali emak buat bila diminta. Cukup menyelerakan. Kak Long tiada tandingan pada mee hailamnya. Pagi tadi habis satu loyang kami kerjakan kuih kosui yang dia buat. Saya, isteri, emak, Haziq dan Luqman menghabiskan kuih ini bagaikan orang kemaruk.

Tiba-tiba Haziq mencelah, "Paprik mama sedap. Mana-mana kedai makan pun tak boleh lawan!" Haziq tidak mahu mamanya dicicirkan dari senarai "tukang masak" yang sama hebat seperti atoknya dan maklongnya. Kak Long menghulurkan sepinggan ubi rebus. Makan ubi rebus lebih nikmat apabila dicicah dengan sambal tumis cili hijau digoreng kering-kering sampai mersik. Saya teringat pada Mak Itam yang sambal tumisnya yang sampai kini masih berada di tangga paling atas. Kata Kak Long, sambal peria cili padi masakan Mak Ngah cukup sedap sehingga setiap kali berkunjung ke rumah Mak Ngah, masakan yang satu ini tidak pernah tertinggal di meja makannya. Dua minggu yang lepas bila ke rumah Mak Utih, saya dan isteri tidak dihampakan dengan gulai ayam masak berkunyit campur serai. Memang itu pun kehebatan Mak Utih. Saya jarang berpeluang merasai masakan Mak Andak dan Mak Usu. Namun yang pasti, masakan emak-emak saudara ini memang sedap dan memenuhi selera orang kampung seperti saya.

Tengahari ini ada urap pucuk ubi kayu dan masak lemak putih pucuk turi masakan emak. Alahai, sedapnya!

Pena Tumpul - Tidak pandai masak


Sunday, February 14, 2010

Babi

Tok Pah mengadu rumahnya di masuki babi hutan. Ia tidak menghairankan kerana rumah Tok Pah memang di kelilingi belukar. Khabarnya, Tok Pah seorang nenek tunggal sedang bersantai di anjung rumahnya bila seekor anak babi ini menceroboh masuk ke dapurnya. Tok Pah lupa menutup kemas pintu dapurnya. Kata Tok Pah sebelum ini pun dia kerap juga terlupa menutup pintu dapurnya namun tidak pula sampai mengundang seekor babi liar untuk "berpesta" di dapurnya.

Saya tidak menyalahkan babi hutan itu dan tidak juga Tok Pah. Babi hutan "memberontak" kerana jajahannya diceroboh. Habitatnya diganggu. Saya melihat sedikit demi sedikit kawasan hutan diterangkan bagi memberi laluan kepada pembangunan. Babi ini bagaikan tiada tempat untuk berlindung lagi. Justeru lapar, babi ini tidak punya pilihan lalu mengganas. Khabarnya anak-anak getah yang baru hendak membesar, ubi kayu tanaman orang-orang kampung menjadi makanan babi-babi ini.

Dua hari yang lepas seorang budak sekolah cedera teruk kerana terlanggar babi yang melintas. Saya juga hampir-hampir terjebak dalam kemalangan dengan babi yang lalu-lalang di awal-awal pagi ini.

Inilah harga yang perlu kita bayar untuk sebuah pembangunan.

Pena Tumpul - Babi memang tidak faham peraturan jalanraya jadi jangan salahkan mereka

Thursday, February 11, 2010

Kebebasan

Bila saya menjengah emak di rumah Mantoba semalam, Hafiz dilihat sedang bermain-main dengan sebuah vas bunga yang agak mahal juga. Saya agak hairan kenapa ayahnya membenarkannya bermain dengan vas itu. Pastinya Mantoba tidak berupaya membantah kemahuan Hafiz, saya fikir. Saya nampak dia memasukkan sesuatu dalam vas itu. Kereta mainan "diecast"nya barangkali. Hafiz memasukkan tangannya ke dalam vas bunga. Dia ingin mengeluarkan semula mainan tersebut. Tetapi dia tidak dapat menariknya keluar. Hafiz menangis dan menarik perhatian kami semua. Ayahnya mencuba membantu sekuat tenaga menarik tangan anaknya dari vas bunga, namun gagal. Setelah beberapa kali mencuba dan gagal, akhirnya kami berfikir untuk memecahkan saja vas bunga yang mahal itu. Namun terpaksa memikirkannya semula. Vas itu agak mahal untuk dipecahkan sia-sia begitu.

Tapi tiba-tiba, si ayah mendapat idea, "Hafiz, kita cuba sekali lagi. Lepaskan tangan Hafiz yang ada di dalam vas itu. Lepaskan mainan tu.Luruskan telapak tangan Hafiz macam ini. Ikut ayah buat" kata si ayah sambil menunjukkan telapak tangannya.

"Kemudian tarik keluar." kata ayahnya.

Mendengar begitu makin kuat rengekan Hafiz. Saya hairan malah semua pelik melihat Hafiz begitu. Katanya, "tak nak ayah! Hafiz tak boleh ikut apa ayah suruh nanti kereta mainan Hafiz jatuh lagi.

Sebenarnya ramai dari kita yang bertingkahlaku seperti Hafiz. Kita begitu sibuk menggenggam sesuatu yang tidak begitu berharga namun rela mengorbankan kebebasan kita. Sekiranya kita dapat segera melepaskan hal-hal tertentu dari hati dan fikiran kita, akan terbentanglah jalan yang selama ini tertutup di mana kedamaian menjadi istananya dan kejayaan bertakhta di sana.

Bebaskanlah diri kita!

Pena Tumpul - Akhirnya vas juga yang terpaksa dipecahkan

Wednesday, February 10, 2010

Persamaan


Kata Dr Fazillah Kamsah pasangan suami isteri berada dalam kedudukan yang cukup baik dan serasi kalau memiliki sekurang-kurangnya 12 persamaan. Saya melihat diri sekiranya ada persamaan saya dan isteri setelah 19 tahun hidup bersama. Pastinya ada, kalau tidak masakan boleh bertahan sampai sekarang. Hobi yang hampir sama walau tidak sepenuhnya sama. Kesukaan terhadap benda yang sama. Menggemari makanan yang hampir hendak sama juga. Kalau ada benda yang tidak disukai dilakukan pun, ia juga menjurus pada benda yang sama. Mempunyai cita-cita untuk sebuah masa depan yang juga sama.

Ringkasnya sebarang perbezaan kalau ada pun amat minimal. Perbezaan pandangan dan pendapat terhadap sesuatu perkara pastinya tidak dapat dielakkan. Namun akhirnya menuju kepada satu titik persamaan juga. Tentulah amat luar biasa kalau suami dan isteri dilihat serba sama. Kata orang perbezaan juga perlu dalam menerbitkan "keriuhan" dalam sebuah rumahtangga. Lalu, selalunya yang terjadi pasangan ditemukan berlawanan karakternya. Yang banyak cakap selalunya dijudukan dengan yang agak pendiam. Sekiranya dua-dua pendiam bayangkanlah kesunyian dan kesuraman yang bakal menyelubungi sebuah rumah Begitu juga harubirunya pasangan yang sama banyak mulut dan tidak reti hendak beralah.

Kata pakar motivasi ini lagi kuota perkataan lelaki dan perempuan juga berbeza. Kalau lelaki cuma melontarkan sekitar 7,000 patah kata sehari, isteri sampai bisa menjangkau 30,000 patah! Bagi suami, mulutnya di hati sedang si isteri hati itulah mulutnya. Justeru itu, ketika suami lebih banyak diam dan menyimpannya di hati, isteri pula meluahkan segala yang terbenam di hati dan memaculkannya di mulut!

Pena Tumpul - Kadang-kadang muka suami dan isteri pun hampir sama!




Tuesday, February 09, 2010

Telur

Ada ketikanya kita sering menjadi "buta" dengan yang begitu sangat hampir dengan diri kita. Orang yang paling hampir selalu sahaja dipinggirkan, namun bila orang itu sudah tiada, baru pula terasa kehilangannya. Kita sebenarnya sering terlepas pandang benda yang paling dekat dengan kita. Cerita di bawah ini yang saya cedok dari majalah Solusi isu 16 amat menarik untuk direnungi.

Seorang penjual telur sedang sibuk di kedainya. Seorang pelanggannya yang sedang memilih telur ingin menguji kebijaksanaan si penjual telur. Dalam diam dia mengambil sebiji telur dan digenggamnya di dalam tangannnya. "Jika awak bijak, cuba teka apa yang ada di dalam tangan saya ini?" kata pelanggan itu menunjukkan genggamannya. "Cuba berikan aku bayangan", pinta penjual telur.

"Benda ini bentuknya seperti telur", ujar pelanggan itu lagi. "Lagi?" "Warnanya seperti telur".
"Lagi?" rayu penjual telur itu lagi. Pelanggan tersebut menggelengkan kepalanya lantas berkata"Belum cukup lagi? Baiklah jika dimasak rasanya seperti telur. Ia cair dalam keadaan biasa tetapi bila di panaskan ia menjadi pepejal".

Penjual telur masih terpinga-pinga. "Tolong berikan lagi pembayang yang lebih hampir." "Di dalamnya ada cecair yang berwarna putih mengelilingi warna kuning", ujar pelanggan lagi. Setelah berfikir panjang, penjual telur menjerit: "Aku tahu jawapannya, ia sejenis kuih!"

Pelanggan menggeleng-geleng kepala. Lantas membuka genggamannya. Ya, hanya sebiji telur!

Pena Tumpul - Sesekali berlauk telur itik gulai lemak berkunyit





Monday, February 08, 2010

Tanah


Sikap pemilik tanah yang besar kepala menghadang jalan sering sangat kita dengar dan lihat. Semalam perjalanan saya sedikit tersangkut dek perbuatan tidak bertamadun ini. Pemilik tanah ini secara sedar dan sengaja menyusahkan orang lain yang menggunakan jalan di depan rumahnya. Jalan yang baru diturap dan muat untuk sebuah kereta sengaja di belah menjadi parit sehingga betul-betul menyusahkan orang lain. Saya melaluinya dan berasa begitu payah. Sebelum ini saya melihat pelbagai struktur binaan di buat sehingga pengguna rasa disusahkan dan tidak selesa untuk melalui jalan itu. Lecak dan sengaja dilecakkan.

Khabarnya orang kampung meminta ia diturap untuk sebuah keselesaan. Dan permintaan mereka ditunaikan. Kata kawan yang saya kunjungi itu dan penduduk tetap kampung ini, pemilik tanah ini tidak puas hati kerana tanah miliknya dijadikan laluan awam, sedangkan tiada pampasan untuknya. Itu sebab paling biasa. Katanya lagi kekecohan ini telah menarik perhatian orang-orang surau. Nasihat mereka tidak diambil endah langsung.

Saya melihat tidak ada siapa pun yang boleh mendakwa bahawa tanah melata ini miliknya. Tetapi milik Tuhan dan semua orang sepatutnya punya hak sama rata ke atasnya. Saya rasa semua orang tahu itu. Sebab itu saya bersyukur kerana saya tidaklah cukup kisah sangat bila sejalur tanah "milik" saya diambil untuk menghubungkan jalan besar dan balairaya. Juga tidak sangat saya kisah untuk budak-budak kampung melatam setiap petang di sebuah dataran berumput juga "milik" saya. Mereka bebas bermain bola di atasnya. Namun saya cukup kisah kalau tanah ini jadi dataran sampah mereka. Saya amat tidak selesa bila itu berlaku. Mainlah sepuasnya tetapi hargailah!

Pena Tumpul - Akhirnya kita tidak perlukan banyak tanah pun

Sunday, February 07, 2010

Five


While at the park one day, a woman sat down next to a man on a bench near a playground.“That’s my son over there,” she said, pointing to a little boy in a red sweater who was gliding down the slide.“He’s a fine looking boy” the man said. “That’s my daughter on the bike in the white dress.”

Then, looking at his watch, he called to his daughter. “What do you say we go, Melissa?”"Melissa pleaded, “Just five more minutes, Dad. Please? Just five more minutes.”The man nodded and Melissa continued to ride her bike to her heart’s content. Minutes passed and the father stood and called again to his daughter. “Time to go now?”Again Melissa pleaded, “Five more minutes, Dad. Just five more minutes.”The man smiled and said, “OK.”

“My, you certainly are a patient father,”
the woman responded.The man smiled and then said, “Her older brother Tommy was killed by a drunk driver last year while he was riding his bike near here. I never spent much time with Tommy and now I’d give anything for just five more minutes with him. I’ve vowed not to make the same mistake with Melissa.She thinks she has five more minutes to ride her bike. The truth is, I get Five more minutes to watch her play"

Life is all about making priorities, what are your priorities? Give someone you love 5 more minutes of your time today!

Pena Tumpul - Students often ask for take five

Friday, February 05, 2010

Impian

Seorang pensyarah meluahkan impiannya kepada Dato' Naib Canselor. Beliau hendak melihat kolam renang, bowling alley dan hotel di UiTM Johor. Impian beliau pastinya berasas. Sebagai sebuah pusat pengajian tinggi, UiTM perlu menyediakan atmosfera yang paling kondusif untuk warga akademik dan pelajarnya. UiTM perlu jadi tempat yang cukup selesa untuk penjanaan dan percambahan intelektual. Namun kekangan kewangan tidak memungkinkan segala impian yang dilakar menjadi realiti sekurang-kurangnya untuk satu tempoh yang tertentu. Impian ini bakal jadi kenyataan juga. Buat masa ini biarlah ia tersangkut di peringkat angan-angan dulu. Kata Dato' tidak salah berangan seperti Mat Jenin.

Kalau ditanya kepada pelajar pula, impian mereka lebih berwarna-warni. Mereka mahukan restoran makanan segera, pusat karaoke, kompleks sukan serba lengkap malah sebuah pusat beli belah juga. Impian mereka cukup melampau. Pun begitu, saya melihat prasarana yang serba lengkap boleh mengekang budaya balik kampung di kalangan pelajar pada setiap hujung minggu. Kampus ini lebih menolak mereka untuk balik daripada menarik mereka untuk bertahan lebih lama.

Pena Tumpul - Pernah belajar dalam hutan Bangi dan hutan Sintok






Thursday, February 04, 2010

Anonymous

Ledakan teknologi maklumat membuka ruang yang seluas-luasnya kepada setiap individu untuk melontarkan pelbagai pandangan. Ketika langit menjadi begitu amat terbuka dan dunia bagaikan sebuah perkampungan global yang tidak punya sempadan, asakan maklumat yang datang dari pelbagai sudut bukanlah mudah untuk ditangkis dan ditepis. Sebaran dan capaian maklumat memacu pantas sepantas jari-jari bermain di papan kekunci komputer dan telefon bimbit. Amat mudah dan semudah-mudahnya.

Blog antara medium paling popular kini. Blog berbeza fungsinya di tangan mereka yang mengemudinya. Secara umum media bentuk baru ini menjadi pentas untuk menyebar maklumat dan sekaligus mengongsinya dengan khalayak pembaca. Blog menjadi medan paling terbuka kepada "blogger" untuk menyatakan pandangannya, berkongsi cerita suka dan duka, menterjemahkan rasa hatinya di persada maya. Kandungannya juga berbeza. Blog diolah mengikut cenderung dan tujuan. Lantas lahirlah blog yang pelbagai - ada yang berbicara tentang diri, keluarga dan hari-hari dengan pelbagai peristiwa yang dilalui. Tidak kurang blog yang menjurus kepada politik, agama, fesyen, hobi dan pelbagai lagi. Ada blog yang meraih ramai pengikut. Ada blog yang boleh buat duit juga. Blog ternyata bermacam fungsi dan tujuannya.

Saya melihat penulis blog yang memiliki laman blog sebagai orang yang amat berani malah sangat jujur. Berani kerana bersedia untuk membiarkan samada secara terbuka atau senyap laman blognya diakses dan dibaca oleh orang lain. Cukup berani juga kerana mendedahkan tentang diri sebenar kepada orang lain. Jujur kerana tidak menyorok diri di belakang tabir.

Ada penulis blog yang tidak cukup berani dan tidak juga cukup jujur untuk mempamer diri. Ketika dia cukup bebas untuk singgah di laman blog orang lain, adalah amat tidak adil kita tidak pula diberi peluang pun untuk menjengok lamannya. Paling mengecewakan, memualkan dan memulaskan apabila pengunjung blog begini seronok-seronok mencicirkan komen destruktif, berniat jahat, bermotif serong, beragenda tersembunyi di laman blog yang disinggahinya. Saya lihat mereka ini tidak lebih sebagai penulis paling pengecut malah lebih pengecut daripada mereka yang lari dari medan perang.

Saya melihat penulis yang berselindung di sebalik nama ANONYMOUS ini bermaharajalela sebuas-buasnya menghentam dan membelasah orang lain tanpa perasaan. Pagi ini saya sempat melayari beberapa laman blog dan menjumpai komen-komen yang dilemparkan oleh golongan tidak bernama ini: aku cukup menyampah tgk si bini xxxxxx bodoh tu...dia ingat dia tu segak sgt ke...mata terbeliak mcm nak terkeluar jer...eeeee geli lah aku nengoknya...koorg pon rasa mcm aku gak kan...BENCI SGGUH AKU DGN xxxxxxx TUUUU

This is the type of annimal xxxxx keeps in his stable and hope to succeed in his 1MALAYSIA doctine. One wonders how xxxxx with all his intelligence have such annimals. Since ISA is still not removed perhaps xxxxx should consider using it on this annimal. Or is it not applicable to some people ????
Disgusted
Nota: XXXXX itu merujuk kepada nama seseorang yang tidak cukup tergamak untuk saya paparkan di sini.

Bukan tidak ada "Anonymous" yang baik komennya tetapi adalah lebih baik untuk lebih bertanggungjawab dengan setiap komen yang dilontarkan.

Pena Tumpul - Paling tidak suka mereka yang lempar batu sembunyi tangan



Wednesday, February 03, 2010

Melintas


Seorang pejalan kaki mengambil tindakan yang amat betul apabila dia teragak-agak untuk melintas di persimpangan lampu isyarat pagi ini. Dia boleh sahaja untuk terus melintas tanpa ragu kerana lampu hijau memang memberinya laluan untuk berbuat begitu. Namun saya lihat dia tidak pantas melintas. Tindakannya betul dan menyelamatkannya kerana saya melihat sebuah kereta meluncur laju dari arah bertentangan melepasi lampu merah tanpa menyedari bahawa seorang pejalan kaki ini sedang berkira-kira untuk melintas. Saya tidak dapat membayangkan kecelakaan yang bakal menimpa pejalan kaki ini sekiranya dia mengambil keputusan untuk melintas tadi.

Saya sendiri selalu tidak yakin bila berada di persimpangan lampu isyarat begini kerana saya sedar ada segelintir pemandu yang tidak boleh kita harapkan sangat untuk mematuhi peraturan lampu isyarat ini. Mereka boleh sahaja bertindak sesuatu yang tanpa kita jangka dan sekaligus membahayakan pengguna jalanraya lain yang cukup berhati-hati.

Sudah memang begitu sikap sebahagian besar pemandu kita. Cukup patuh kepada peraturan bila ada "mata" yang melihat. Tidak sangat tentang keselamatan diri tetapi tentang jumlah wang yang dapat diselamatkan andainya tidak disaman kerana melanggar peraturan jalanraya.

Pena Tumpul - Sesekali mengelabah terserempak sekatan jalanraya sedangkan talipinggang keledar tidak dipakai

Terkenang-kenang

T eringat satu ketika dulu di kampung bila Ramadan tiba. Ramadhan disambut penuh meriah. Ketika zaman kanak-kanak. Berbuka di surau bersa...