Skip to main content

Turi


Kata orang sedap tidaknya masakan bergantung kepada siapa yang memasaknya. Tengahari ini ketika bersembang dengan isteri, emak dan Kak Long di dapor sempat saya berbicara tentang masakan siapa yang paling sedap. Antara masakan emak, Kak Long dan isteri. Tentunya tidak adil untuk membandingkan masakan isteri dengan Kak Long apatah lagi dengan emak sendiri. Namun masing-masing punyai kehebatan sendiri.

Masakan emak tanpa ragu amat sedap pada saya. Sentuhan tangan emak tidak pernah mengecewakan. Emak juga cukup mengerti masakan kegemaran anaknya. Emak tahu saya penggemar masakan berkari. Gulai kari daging lembu emak sampai kini tiada tolok bandingnya. Kuih bakar emak juga paling sedap. Begitu juga mee kari yang sesekali emak buat bila diminta. Cukup menyelerakan. Kak Long tiada tandingan pada mee hailamnya. Pagi tadi habis satu loyang kami kerjakan kuih kosui yang dia buat. Saya, isteri, emak, Haziq dan Luqman menghabiskan kuih ini bagaikan orang kemaruk.

Tiba-tiba Haziq mencelah, "Paprik mama sedap. Mana-mana kedai makan pun tak boleh lawan!" Haziq tidak mahu mamanya dicicirkan dari senarai "tukang masak" yang sama hebat seperti atoknya dan maklongnya. Kak Long menghulurkan sepinggan ubi rebus. Makan ubi rebus lebih nikmat apabila dicicah dengan sambal tumis cili hijau digoreng kering-kering sampai mersik. Saya teringat pada Mak Itam yang sambal tumisnya yang sampai kini masih berada di tangga paling atas. Kata Kak Long, sambal peria cili padi masakan Mak Ngah cukup sedap sehingga setiap kali berkunjung ke rumah Mak Ngah, masakan yang satu ini tidak pernah tertinggal di meja makannya. Dua minggu yang lepas bila ke rumah Mak Utih, saya dan isteri tidak dihampakan dengan gulai ayam masak berkunyit campur serai. Memang itu pun kehebatan Mak Utih. Saya jarang berpeluang merasai masakan Mak Andak dan Mak Usu. Namun yang pasti, masakan emak-emak saudara ini memang sedap dan memenuhi selera orang kampung seperti saya.

Tengahari ini ada urap pucuk ubi kayu dan masak lemak putih pucuk turi masakan emak. Alahai, sedapnya!

Pena Tumpul - Tidak pandai masak


Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...