Sunday, May 30, 2010

Wujud

Hari ini tidak semena-mena Haziq bertanya tentang kewujudan Allah. Satu soalan yang agak berani keluar dari mulutnya, "Kenapa Allah tidak boleh dilihat'? Saya tahu dia tidak berniat hendak menafikan kewujudan Allah. Dia cuma ingin sangat tahu jawapan kepada persoalan yang mungkin sudah lama bermain di kepalanya. Saya percaya Haziq bukan sendirian berdepan dengan persoalan ini. Malah ada yang berhujah bahawa setiap benda yang wujud, sepatutnya boleh dilihat. Berdasarkan premis mudah itu, Allah juga sewajarnya boleh dilihat kerana Allah wujud.

Saya katakan pada Haziq bahawa bukan semua benda yang wujud boleh dilihat. Sebagai contoh, kuman dan bakteria wujud, namun kita tidak boleh melihat kewujudannya dengan mata kasar sehinggalah mikroskop dicipta. Begitu juga dengan angin dan udara termasuk kentut yang bangar baunya itu. Kewujudannya tidak dinafikan namun tidak pula bermakna kita sampai boleh melihatnya. Itulah hakikatnya yang perlu kita terima.

Saya ceritakan kepadanya sebuah kisah yang pernah saya baca berkaitan dengan persoalan kewujudan ini. Saya kira cerita ini wajar dijadikan pengajaran. Kisahnya tentang seorang freethinker bertanya soalan ini kepada orang ramai dalam satu majlis dialog. "Percayakah kamu jika kita boleh lihat, maka benda itu wujud, dan jika tidak boleh dilihat, maka dikira benda itu tidak wujud?" Maka disebutkannya segala benda yang ada di dalam dewan itu seperti meja, kerusi, papan kenyataan, pembaris, pen dan sebagainya. Semua hadirian menjawab bahawa benda-benda tersebut wujud. Sebabnya kerana semua benda tersebut boleh dilihat.

"Oleh kerana Allah tidak boleh diilhat, maka dikira Allah tidak adalah", katanya. Semua bagaikan bersetuju dengan agenda jahat freethinker kecuali seorang yang bingkas bangun dan bertanya, "Dimana letaknya otak tuan?" "Ada dalam kepala tetapi tidak boleh dilhat", katanya. "Oleh kerana otak tuan tidak boleh dilihat maka tidaklah salah kalau saya katakan bahawa tuan tiada otak!"

Hakikat yang perlu kita fahami ialah Allah memang wujud dan boleh dilihat. Cuma masanya bukan di dunia tetapi pada hari akhirat nanti. Apa yang perlu kita fikirkan bukan tentang zat Allah itu tetapi fikirkanlah tentang makhluk ciptaanNya.

Haziq dilihat puas hati dan faham dan saya gembira kerana berjaya membuat dia faham.

Pena Tumpul - Peringatan buat diri sendiri

Saturday, May 22, 2010

Titik

Saya mengambil "marker pen" dan meninggalkan satu titik di atas papan "whiteboard" Saya tanyakan kepada Haziq apa yang dilihatnya. Jangkaan saya dari awal tidak silap. Haziq kata dia nampak titik hitam. Saya mengharapkan dia memberitahu saya bahawa dia nampak "whiteboard" dan bukannya titik hitam yang amat kecil itu. Haziq tidak keseorangan. Saya juga akan nampak titik hitam itu lebih daripada "whiteboard" itu sendiri. Kita selalunya lebih nampak yang kecil-kecil daripada yang besar. Sesuailah kata pepatah lama, "Kuman seberang laut boleh pulak kita nampak, tetapi gajah yang tertonggok depan mata buat-buat tak nampak aja".

Selalunya juga apabila benda-benda baik yang kita buat jarang sangat hendak di tonjolkan. Tabiat orang kita agaknya lebih tertarik untuk menggembar gemburkan benda-benda yang tidak elok walaupun ia cuma perkara kecil sahaja. Kita lebih berminat untuk memfokuskan minda kepada sisi negatif sampai mengkesampingkan soal-soal positif yang sebenarnya lebih penting itu. Kalau seorang itu malas, sifat malasnya sahaja itulah yang kita nampak tak habis-habis. Sedangkan sama ada kita sedar atau tidak, di sebalik sifat malas itu, dia juga mungkin ada sifat-sifat positif dan murni yang tidak pernah kita beri peluang untuk ditampilkan. Yang malas akan terus dilihat malas sampai bila-bila. Yang jahat akan terus dilihat jahat tanpa kesudahannya. Langsung tidak diberi peluang untuk mempamerkan sisi baiknya.

Pena Tumpul - Selalu sedar bahawa diri tidak pernah sempurna

Friday, May 21, 2010

Pakaian

"Ada jugak yang pakai t-shirt datang ke majlis malam ni".

Begitu kata-kata tersebut di dengar dilontarkan dari sebuah mulut sebaik sahaja saya, isteri dan Haziq melewati sekelompok orang yang dilihat lengkap berbaju Melayu dan kemas bersongkok. Saya amat sedar saya tidak berbaju Melayu seperti kebanyakan mereka yang hadir malam terakhir tilawah AlQuran di Dataran Segamat. Kata orang saya ini disifatkan tidak mengikut masbuk orang. Sepatutnya saya juga berbaju Melayu seperti yang lain. Saya seharusnya tahu menyesuaikan diri dengan keadaan.

Saya cuba bersetuju dengan lontaran suara tadi. Bak kata orang, "masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang harimau kenalah kita mengaum". Atau kata pepatah Inggeris "When in Rome, do as Roman do" Namun di lihat dari sisi lain, saya boleh sahaja untuk memilih tidak ambil peduli dengan apa orang lain kata. Justeru bukanlah sangat soal pakaian yang perlu dititikbengikkan. Saya hadir dengan niat untuk menghayati bacaan ayat suci AlQuran yang diperdengarkan dalam majlis tilawah peringkat negeri itu. Lalu, sama ada saya perlu berpakaian baju Melayu atau pun tidak, tidak perlu untuk saya fikirkan pun. Namun, apa yang kita fikir betul tidak pula semestinya betul pada fikiran orang lain.

Teringat saya kisah yang pernah diceritakan oleh Cikgu Zaidan tentang pakaian ini. Sangat menarik untuk dijadikan renungan. Ia tentang seorang yang miskin di undang ke majlis kenduri namun hadir dengan pakaian yang sudah lusuh dan buruk. Lalu ia dihalang daripada masuk ke balai makan. Dengan perasaan kecewa dia pulang ke rumah dan hadir semula dengan pakaian yang baru dan menarik. Kali ini dia dibenarkan untuk duduk bersama dengan tetamu jemputan yang lain menikmati hidangan yang sudah tersedia. Dia mengejutkan semua yang hadir apabila tiba-tiba dia menyapukan segala makanan pada pakaiannya. Secara selamba dia berkata di depan mereka yang kelihatan pelik dan bingung" Apa nak dihairankan sangat, betullah apa yang saya lakukan ni, kerana pakaian inilah yang sepatutnya diberikan makanan ini, kerana bila saya berpakaian buruk dan lusuh tadi, saya dihalau. Bila saya berpakaian baru dan cantik, saya dibenarkan untuk duduk bersama kalian".

Begitulah sekelumit tabiat orang kita. Menilai orang dari pakaian yang dipakai.

Pena Tumpul - Pakai biasa-biasa aja

Monday, May 17, 2010

Hikmah

Selalu orang berkata setiap apa yang berlaku baik atau buruk pasti ada hikmahnya. Sebagai orang mukmin kita sewajarnya tidak perlu mempersoalkan apa yang berlaku. Kalau baik yang datang kita sepatutnya bersyukur. Sebaliknya kalau buruk yang kita dapat, anggaplah ia sudah ketentuan dariNya yang mungkin berpunca dari kelemahan kita juga. Yang penting kita bersabar menerima apa sahaja yang berlaku. Setiap yang berlaku ada baik dan buruknya.Orang yang beriman sentiasa melihat sisi baik daripadanya.Mereka menerima yang buruk dengan sabar,namun dalam hati sentiasa mengharap kebaikan di sebaliknya daripada Allah. Banyak kejadian dalam hidup kita yang memperlihatkan soal hikmah ini. Kita mungkin sedar atau buat-buat tidak sedar.

Misalnya, petang ini Haziq merungut kerana tidak boleh bermain bola seperti mana biasa hanya kerana diminta mama untuk mengulangkaji bagi menghadapi peperiksaan minggu depan. Dia didengar mengomel sendirian dan membaca dalam keadaan yang terpaksa. Lewat petangnya, Pak Dom yang kebetulan lalu di kawasan semak berhampiran padang ternampak seekor ular tedung. Itulah hikmahnya.

Namun cerita yang saya petik dari Majalah Solusi amat menarik.

Tok penghulu dengan anaknya membela seekor kuda.Mereka amat menyayangi kuda itu.Satu hari,kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran.Orang kampong yang mengetahui hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu, “Kami simpati atas kehilangan kuda kesayangan Tok.Tentu Tok sedih....”

Sebaliknya, Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, “Tak apalah.Mesti ada hikmahya.” “Apa hikmahnya Tok?”

“Tok pun tidak tahu.Tapi pasti ada hikmahnya.”
Beberapa minggu kemudian,kuda kesayangan Tok Penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar. Orang kampong sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba.Sudah rezekinya.

“Tok bertuah.Untung.”Begitulah kata mereka.
Tok Penghulu sebaliknya berkata,”Belum tentu lagi.Tapi Tok yakin tentu ada hikmahnya.”
Anak lelaki Tok Penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya.Setiap hari dia menunggang kuda kesayangnnya sambil menggembala kuda-kuda liar yang lain.Begitu sibuk dan tangkas sekali.Entah bagaimana pada suatu petang, anak Tok Penghulu itu jatuh daripada kudanya lalu patah tangan kanannya.

Orang kampong tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu.Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar. “Malang benar nasib Tok Penghulu itu.Baru dapat nkmat sekarang ditimpa bala pula,”kata mereka.

Tok Penghulu tersenyum dan berkata: “Ini ujian Allah.Tentu ada hikmahnya.”
Tidak lama kemudian,kampong mereka didatangi oleh pegawai-pegawai atasan tentera Negara itu. Orang kampong semuanya bimbang kerana raja mereka terkenal zalim dan tidak perikemanusiaan.

“Raja memerintahkan semua anak lelaki dikumpulkan!Negara memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!”arah ketua tentera.

Semua ibu-bapa kampong itu risau dan sedih terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka. Para remaja lelaki dibariskan di hadapan ketua tentera,termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.

“Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!”kata ketua tentera sambil menunding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.

Pada ketika itu,dalam hati orang kampong terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka” Mesti ada hikmahnya."

Pena Tumpul - Menerima seadanya

Wednesday, May 12, 2010

Cinta

Haziq baru sahaja tamat belajar sebagai seorang doktor di UK. Masih bujang dan tercari-cari seorang isteri sebagai teman hidup. Pada suatu hari, ketika sedang minum di sebuah kedai kopi berdekatan dengan sebuah ma'had tahfiz di Lembah Beringin bersama seorang rakannya yang hafaz Quran, dia terpandang seorang gadis yang sungguh cantik. Dengan wajahnya yang tenang dan penampilan solehah, gadis itu sungguh menawan. Si doktor dan si gadis bertentangan mata, tetapi dengan segera kedua-duanya mengalihkan pandangan mereka. "Astaghfirullah", bisik doktor itu perlahan. Dia sedar itu panahan syaitan.

Si gadis sedang minum-minum bersama dua orang rakannya. Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah ini! Secara tiba-tiba si doktor menjadi gugup, berdebar-debar dan serba tidak kena. Ingin sahaja dia menyunting gadis ini sebagai isterinya. Doktor tersebut berbisik kepada rakannya yang hafaz Quran itu,"kau kenalkah gadis itu?" “Kenal. Dia sungguh berbudi bahasa.Dan masih belum berpunya lagi”, jawab rakannya sambil tersenyum memahami. Aduh, bertambah guguplah doktor muda ini! Tiba-tiba, datang pelayan meminta order, dan dia secara spontan berkata "Berikan saya kopi masin!" Semua orang memandang dan melihat aneh kepadanya, termasuklah rakannya, pelayan dan gadis tersebut. Mukanya mendadak menjadi merah, tetapi dia tetap tidak mengubah pesanannya.

Kopinya sampai, dia terus meminumnya. Kehairanan, rakannya bertanya "Mengapa kopimu mesti masin, sahabatku?" "Saat aku masih kecil, aku tinggal di tepi laut. Aku sangat suka bermain-main di laut, di situlah tempatnya aku dapat rasakan air laut....masin dan pahit. Sama seperti rasa kopi ini" jawab doktor muda itu.

Tanpa disedari, gadis cantik yang duduk di meja bersebelahan, mendengar kata-kata si doktor tersebut. Gadis ini terharu. Itu adalah hal yang sungguh menyentuh hati. Perasaan yang begitu dalam dari seorang lelaki yang mengungkap kerinduan akan kampung halamannya. Dia pasti seorang yang menyintai dan begitu mengambil berat akan rumah dan keluarganya. Dia pasti mempunyai rasa tanggungjawab akan tempat tinggal dan orang tuanya. Jika dia seorang abang, pastinya dia seorang yang sanggat menyayangi adik-adiknya. Bertuahlah siapa yang menjadi isterinya.

Setelah peristiwa tersebut, si doktor ini meminta rakannya merisik gadis tersebut. Pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah mengetahui rombongan merisik adalah mewakili lelaki yang ditemuinya di kedai kopi tempohari, si gadis yang pada ketika itu hampir tamat pengajian di ma'had tahfiz, menerima si doktor ini sebagai teman hidupnya dengan hati terbuka. Seperti kisah cinta yang indah, Allah mengurniakan ketenangan di dalam rumah tangga mereka. Mereka hidup bahagia, saling menyanyangi antara satu sama lain, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Cinta yang berputik setelah perkahwinan, terus kembang mekar seiring dengan ketaatan mereka kepada Yang Maha Pencipta. Dan setiap kali si isteri membuatkan secawan kopi buat suaminya, dia tidak lupa membubuh sedikit garam di dalamnya, kerana dia tahu, itulah kesukaan suaminya.

Setelah 40 tahun hidup bersama, si suami meninggal dunia. Dia meningalkan sepucuk surat buat isterinya. "Sayangku, sepanjang tempoh kehidupan kita bersama, abang telah sentiasa jujur terhadapmu, tetapi maafkan abang untuk satu perkara. Maafkan kebohongan yang telah abang buat sepanjang hidup abang. Inilah satu-satunya kebohongan abang kepadamu - tentang kopi masin. Kamu ingatkah di saat kita pertama kali bertemu? Pada ketika abang sedang minum kopi dengan Ustaz Syakir, di maahad? Abang sangat gugup pada ketika itu. Sebenarnya abang inginkan kopi manis. Tetapi abang telah tersebut kopi masin. Waktu itu abang ingin batalkannya, tetapi abang terlalu gugup di hadapanmu ketika itu, maka abang biarkan sahaja. Abang tidak pernah menyangka itu akan menjadi awal perkenalan kita. Abang telah mencuba untuk mengatakan hal yang sebenarnya kepadamu..abang telah mencuba beberapa kali sepanjang hidup abang...tetapi abang tak sanggup melukakan hatimu.. Sekarang saat kamu membaca surat ini, abang sudah tiada. Tidak ada lagi yang perlu abang bimbangkan, maka abang akan menyatakan ini kepadamu: Abang tidak menyukai kopi masin. Tapi sejak mengenalimu, abang selalu minum kopi masin yang kamu buatkan sepanjang hidup abang. Dapat berada di sampingmu adalah kebahagiaan terbesar dalam hidup abang. Jika abang punya kesempatan untuk menjalani kehidupan sekali lagi, abang akan tetap berusaha mengenalimu dan menjadikanmu sebagai isteri abang walaupun abang harus minum kopi masin sekali lagi."

Sambil membaca, air matanya membasahi surat itu. Suatu hari, seseorang telah bertanya kepadanya,"Bagaimana rasa kopi yang masin?" Dia dengan pastinya menjawab,"Rasanya manis sekali" Begitulah kisah bahtera cinta yang antara dua insan, Dalam pelayaran menuju cinta Tuhan. Wallahu a’lam.

(sumber dari : http://www.iluvislam.com)

Pena Tumpul - Suka kopi 434

Saturday, May 08, 2010

Ibu

Saya berpeluang menonton drama televisyen sempena Hari Ibu lewat TV3. Kisah anak- anak yang tidak sepakat dan ibu yang naif. Klise dan stereotaip. Naskhah Rashid Sibir berjudul "Serapuh Arang" gagal menyajikan tema yang mengangkat darjat seorang insan bernama ibu. Seperti biasa Rashid bermodalkan tema yang melankolik disulam dengan lagu mendayu dendangan Kartina Dahari untuk meraih simpati penonton dan sekaligus mengundang rasa sebak.

Seorang ibu yang gigih, lakonan Khatijah Tan, telah bekerja selama 30 tahun di sebuah kilang arang untuk menyara dua orang anak lelakinya setelah kematian suami. Anak sulung, Yusuf sanggup berhenti kerja di bandar untuk menemani ibunya sambil bekerja di kilang arang yang sama. Anak kedua, seorang kontraktor yang kerjanya hanya menuruti kemahuan isteri, bekas penari kelab malam.Si abang menyerahkan wang gajinya untuk disimpan oleh si ibu sebagai persediaan perkahwinan dengan Nor, teman sekerja di kilang arang.. Malangnya, secara diam-diam, si ibu telah menyerahkan sebahagian wang berkenaan kepada si adik kononnya atas dasar pinjaman.

Konflik berlaku apabila tarikh perkahwinan kian hampir dan Yusuf mempersoalkan tindakan si ibu.Elemen kebetulan selalu sahaja digunakan bagi mewujudkan konflik. Nor, tunangan Yusuf, ialah bekas kekasih si adik, manakala Maria, isteri si adik, pernah menjalin hubungan dengan Yusuf. Si adik memiliki banglo dan kereta mewah, tetapi hanya tahu balik kampung memerah wang si ibu dan si abang yang hanya pekerja kilang!

Si ibu yang naif hanya berulang-ulang kali melafazkan bahawa dia memberi kasih sayang sama rata , walhal dia sekadar mahu melindungi perangai buruk si adik. Si abang yang banyak berkorban berasa tidak diumpamakan. Si adik terus mengambil kesempatan.

Klimaks drama bermula apabila si adik termakan hasutan isterinya hingga tergamak hendak membunuh abang kandungnya. Malangnya tusukan senjata terkena si ibu. Sekali lagi kebetulan berlaku, si isteri terpijak benda bergolek, lalu tertusuk senjata yang sama. Penghujung begini memang sudah dijangka dalam drama Melayu. Sesuatu yang bagaikan dibuat-buat. Namun tak apalah, ia tetap berjaya meraih simpati penonton walaupun memualkan. Cumanya mesej Hari Ibu yang sepatutnya menjulang peranan seorang ibu hilang entah ke mana. Ibu tidak sepatutnya dipaparkan mati dalam keadaan yang tragis begitu. Ibu perlu dilihat sebagai insan yang amat istemewa di mata anak-anaknya. Bukan disakiti hatinya apatah lagi sampai dibunuh begitu.

Pena Tumpul - Kasih terhadap ibu tidak pernah luntur dan rapuh

Friday, May 07, 2010

Bakti

Ustazah Siti Norbahyah yang digandingkan dengan Ustaz Kamarudin dan Ustaz "favourite' saya Ustaz Zahazan dalam Forum Perdana Ehwal Islam TV1 bercakap tentang hikmah berbakti kepada ibubapa. Dia memaparkan sebuah kisah yang cukup menarik untuk dijadikan tauladan.

Kata Ustazah, Nabi Sulaiman pernah memerintahkan jin Ifrit menyelam ke dalam lautan hingga sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan. Dengan pertolongan Allah, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya dia begitu melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya. Nabi Sulaiman kehairanan.

Pemuda itu menceritakan riwayatnya sehingga memperolehi karamah dari Allah boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan menggendongnya ke mana jua dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya. Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan supaya anaknya diberi rezeki dan perasaan puas hati. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.Ketika dia meyusuri pantai pemuda itu melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata.Dia mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga masuk ke dalamnya.

Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali, dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Begitulah berkat berbakti kepada orang tua.

Pena Tumpul - Suka lagu Kasihnya Ibu

Thursday, May 06, 2010

Tiang

Saya cuba diyakinkan berkali-kali oleh Edy bahawa adalah cukup selamat tanpa meletakkan tiang tengah di antara dua batang tiang berjarak 30 kaki itu. Namun saya melihat sebaliknya. Dalam jarak yang agak luas begitu saya khuatir kalau "beam" di atasnya tidak mampu menampung beban kayu dan atap yang bukan kepalang beratnya nanti. Ada kemungkinan "beam" itu akan melendut dan akhirnya runtuh. Ia mungkin tidak berlaku dalam jangka pendek tetapi dalam jangka panjang kemungkinan itu pasti ada. Saya dan isteri memang dari awal yang meminta agar tiada tiang tengah kerana ia dilihat mengganggu, tetapi antara yakin dan tidak yakin pula. Namun, apabila Edy kata besi yang lebih besar saiznya di gunakan khas untuk "beam" tersebut barulah saya berpuas hati bahawa adalah cukup selamat tanpa tiang tengah itu. Begitulah, ada kalanya sesuatu bangunan itu perlu di lihat cukup selamat di mata orang ramai. Ia perlu dilihat amat kukuh dan tidak sampai membahayakan orang. Pentingnya peranan tiang pada sebuah bangunan. Bercakap tentang tiang ini, teringat saya satu cerita rakyat zaman dahulu kala yang pernah diceritakan secara lisan oleh Cikgu Zaidan dalam kelas Bahasa Melayunya.

Ia sebuah kisah yang cukup simbolik tentang bagaimana perkakas dalam sebuah rumah saling melihat bebanan yang ditanggung olehnya, dan merasakan bahawa yang lain tidak seteruknya. Kisah bermula bilamana atap merasa dialah yang paling berat menanggung bebanan berbanding yang lain, dia terpaksa menahan hujan, panas, dia terpaksa berjemur ditengah-tengah panas, peritnya tak terkira, demikian juga bila hujan turun, dialah yang terpaksa berhadapan dengan hujan ribut ini. Perasaan kecewa dan sedih bertambah bilamana atap tengok tiang yang dirasakan lebih rehat dari dia, tak kena panas dan tak kena hujan, lalu ia merungut:

“Sedapnya jadi tiang, tak kena jemur di terik panas mentari, dan tak payah susah payah menahan hujan ribut, alangkah seronoknya kalau boleh jadi tiang”.

Mendengarkan kata-kata atap, lalu tiang menjawab: “Kamu tak tahu betapa setiap saat aku terpaksa memikul bebanan beratnya atap, kayu alang dan kayu lain yang berat di atas bahu aku. Engkau atap, lebih senang, tak payah pikul bebanan berat macam aku,” rungut tiang.

Kata tiang terkadang aku cemburu tengok dinding, dia tak kena panas, dan tak kena pikul bebanan berat macam kita. Sedang mereka berbual, rupanya dinding mendengar, lalu menyampuk: “Jangan kamu fikir yang panas dan berat saja. Aku lagi susah, nak kena jaga keliling rumah ni, aku kena lindung semua isi rumah, akulah benteng menutupi aib dalam rumah, akulah penyimpan rahsia mereka, tapi aku jugak kena ketuk bilamana nak tampal, nak sangkut apa-apa. Sebenarnya aku rasa yang senang, bukan aku, tapi tangga.”

Mendengar kata-kata dinding itu, tiba-tiba tangga pun mengeluh: “Kamu jangan tengok hujan panas, bebanan saja. Tapi aku rasa aku nilah yang paling berat antara semua perkakas rumah ni. Aku terpaksa kena hujan panas, aku terpaksa pikul babanan orang pijak aku bila nak naik, bila nak turun, dan lebih malang lagi mereka pijak aku dengan kekotoran yang mereka bawa. Tapi bagi aku kalau ini yang telah ditakdirkan aku redha, biarlah aku berkhidmat semampu aku, sebelum semua kita rebah menyembah bumi semuanya.”

Kisah tersebut ternyata ada pengajarannya. Kita biasanya hanya nampak susah kita, sehingga tidak pernah fikir susah orang lain. Dan yang lebih penting tidak perlulah kita sibuk-sibuk nak jadi benda lain. Kita harus jadi kita, kerana itulah amanah yang diberi kepada kita. Payahnya bila atap nak jadi tiang, tiang pula nak jadi dinding dan dinding pula nak jadi tangga.

Saya menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Edy.

Pena Tumpul - Suka tiang bulat yang tidak dimakan zaman

Wednesday, May 05, 2010

Tempelak

"Inilah kerja anak orang 'baik-baik', naik motosikal tanpa lesen dan langgar anggota kita yang sedang melakukan tugas."

Itu kata Musa Hasan ketika ditemui selepas melawat seorang anggota trafik, Sarjan Roslan Bachik, 49, yang patah kaki kanannya akibat dirempuh dalam sekatan jalan raya kelmarin, di Hospital Serdang hari ini. Saya faham perasaan Ketua Polis Negara itu. Ia pastinya ada kaitan dengan insiden seorang remaja berusia 15 tahun yang ditembak polis beberapa hari yang lalu dan mendapat perhatian yang luar biasa. Ia mungkin satu tempelak kepada para ibu bapa bahawa anak-anak mereka baik dan tidak boleh disalahkan. Saya sendiri amat simpati dan sedih dengan kematian itu dan tentunya apatahlagi perasaan yang di alami oleh ibu dan bapa remaja berkenaan. Kematiannya memang meraih simpati ramai orang. Namun untuk menyalahkan pihak polis bukanlah satu tindakan yang adil. Pun begitu usaha untuk menyiasat kes ini untuk berlaku adil kepada keluarga mangsa memang tepat.

Cadangan untuk tidak membenarkan golongan remaja ini berada di luar rumah selepas 11 malam juga dilihat baik. Sekurang-kurangnya ia tidak mengundang mereka untuk tidak terjebak dalam kejadian yang tidak diduga seperti itu. Malah saya tidak nampak pun mengapa di usia belasan tahun begini mereka masih lagi berada di luar rumah dan tidak di dalam rumah bersama keluarga mereka. Di rumah, pergerakan anak-anak adalah tanggungjawab kita sebagai ibu bapa. Di luar rumah mereka sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat dan di atas kapasiti yang sama, sudah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa seperti polis untuk memantau pergerakan mereka sekiranya mencurigakan.

Anak-anak di bawah umur 17 tahun tidak sepatutnya dibenarkan memandu kereta sendiri apatah lagi tanpa lesen memandu yang sah. Mereka sepatutnya ditemani oleh ibu bapa. Saya selalu percaya membenarkan anak-anak seawal usia 17 tahun memandu sendiri bukanlah satu tindakan yang wajar dilakukan oleh ibubapa walau apa pun sebabnya.

Pena Tumpul - Songkok pesok dek lonjak kita sendiri bukan lonjak orang lain

Sunday, May 02, 2010

Drama

Saya menonton drama yang boleh dikatakan menarik lewat TV2. Kebun Getah Tok Ayah membawa tema cerita yang sudah biasa sangat di angkat dan dipaparkan cuma pendekatannya dilihat menarik dan berkesan. Suasana kampung menguatkan lagi drama ini. Ia mengisahkan suami berusia terpikat dengan wanita muda hingga mengabaikan keluarga. Ia bukanlah isu baru pun dalam masyarakat kita.

Meskipun sedar impak yang bakal diterima atas tindakan mereka itu namun sang suami nekad untuk mengecap bahagia bersama isteri muda yang belum tentu menjamin kebahagian berkekalan lama.Keseronokan mengulit bahagia bersama teman baru ‘membutakan mata’ mereka soal tanggunjawab terhadap isteri dan anak-anak yang terbiar tanpa pembelaan. Malah terus luput daripada ingatan tentang kenangan manis yang pernah dilalui bersama.

Kisah bermula dengan babak-babak ketenangan hidup Tok Ayah sekeluarga bersama isteri dikenali sebagai Lijah dan anak tunggalnya, Adam. Begitu pun situasi tenang mula berkocak setelah kehadiran ibu tunggal bernama Hawa dan anak-anaknya, Kamal dan Jamal.

Setelah bertembung kali pertama, Tok Ayah terpesona dengan kecantikan Hawa yang kemudiannya diambil menjadi isterinya. Sejak itu Tok Ayah mula berubah dan mengabaikan terus perhatian dan kebajikan terhadap keluarganya sendiri.

Malangnya, Tok Ayah telah dipaksa oleh Hawa menghantar Lijah ke rumah orang tua atas alasan lebih mendapat perhatian dan jagaan yang sempurna. Sementara itu Adam telah dihalau lebih awal oleh Tok Ayah angkara nafsu jahat Hawa. Segala-galanya dilakukan Hawa untuk memastikan harta milik Tok Ayah tumpas ke tangannya.

Sejak itu sedikit demi sedikit Hawa memasukkan jarum dalam hidup Tok Ayah bagi memenuhi hajatnya membolot harta Tok Ayah. Namun lama-kelamaan, Hawa mula mengabaikan Tok Ayah dan berkawan dengan teman lelaki yang lebih muda, Joey. Baginya keseronokkan hidup hanya apabila meluangkan masa bersama Joey bukan lelaki tua seperti Tok Ayah yang kahwininya kerana harta semata-mata.

Hukum karma berlaku kerana tanpa disedari Hawa, Joey juga berniat jahat terhadap ‘kekasih gelapnya’ itu dan mahu mengikis harta Hawa yang mabuk cinta dengan lelaki muda sepertinya. Pada masa sama, Jamal dan Kamal tidak mampu bersuara kerana seluruh harta Tok Ayah diuruskan oleh Hawa.

Cerita diakhiri dengan kematian Tok Ayah yang menyayat hati dan Hawa yang mengalami tekanan jiwa duduk di rumah orang tua dihantar oleh kedua anaknya. Hawa menerima balasannya "tunai" di dunia lagi. Allah maha adil.

Pena Tumpul - Boko



Saturday, May 01, 2010

Kasi

Di Dewan Negara, seorang senator mencadangkan supaya bapa (?) kepada bayi yang di buang oleh si ibu dikasi sebagai hukuman di atas perbuatan tidak bertanggungjawabnya itu. Ia diharap dapat memberi pengajaran kepada lelaki lain supaya tidak wewenangnya lepas tangan hasil daripada perbuatannya. Tentunya tidak adil untuk meletakkan beban di atas batu jemala pihak perempuan semata-mata sedangkan "keseronokan" dinikmati bersama. Kalau karam berdua, basah pun semestinya bersama juga.

Secara logiknya tindakan mengkasi memang boleh memandulkan si lelaki dan sekaligus tidak mengizinkan untuk sebarang kehamilan terjadi. Lalu tiada bayi dan natijahnya tiada pembuangan bayi. Cukup mudah. Bapa (?) yang tidak bertanggungjawab seandainya mahu berkahwin, dia pastinya sudah dapat menjangkakan dia tidak akan berupaya memperolehi anak pun. Namun ia perlu juga dilihat dari sudut yang lain yang sebenarnya bakal mengundang perlakuan yang lebih hodoh daripada sekadar gejala pembuangan bayi itu. Lelaki yang dikasi berkemungkinan besar akan mengambil kesempatan bertindak lebih ganas memperdaya wanita berbekalkan "kekurangan" yang dimilikinya itu. Akan semakin membiaklah persundalan.

Walaupun saya melihat tindakan mengkasi ini agak kejam namun kalau ia boleh memberi pengajaran dan mencegah penularan buang bayi ini apa salahnya ia dilaksanakan. Cuma kita tidak mahu mencegah yang satu akan menelurkan satu yang lain yang tidak kurang bobroknya nanti. Lagipun, dalam menangani soal ini, bukan perkara-perkara picisan begini yang perlu diberikan perhatian sehingga kita terlepas pandang punca sebenarnya. Ibarat mematikan sebatang pokok kita perlu mencari akar umbinya, bukan batangnya, bukan juga rantingnya apatah lagi daunnya. Soal akidah dan pegangan agama itulah yang perlu dimantap dan diperkemaskan. Soal kepatuhan kepada Tuhan itulah yang patut dititikberatkan. Soal gentar kepada hukuman Tuhan itulah juga yang wajar dipasakkan terlebih dahulu. Ibarat mendirikan sebuah rumah, kalau kuat pasaknya. maka kukuhlah segenap ruang rumah itu. Soal-soal inilah yang kurang atau mungkin tiada langsung dimiliki oleh anak-anak muda remaja ini sehingga nafsu bisa sahaja menguasai akal dan fikiran mereka.

Pena Tumpul - Teringat cadangan pelik seorang DUN dari Batu Pahat sekitar 70an dulu supaya perempuan pakai cawat besi untuk elak permukahan

83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...