Saturday, February 26, 2011

Saman



Saya membayar saman hari ini. Ia mesti dibayar sebagai denda kerana melanggar undang-undang jalanraya. Namun, yang tidak enaknya saya perlu membayar denda yang tidak saya lakukan pun.

Keadaan begini memang biasa berlaku bila kereta yang sudah berpindah tangan secara fizikal tetapi teknikalnya tidak begitu. Saya membayar saman untuk kesalahan dari sebuah kereta yang pernah saya miliki dulu. Bila pertukaran pemilik tidak berlaku secara rasmi atas kertas ketika kesalahan trafik dilakukan, pemilik asallah yang menanggung akibatnya walaupun yang melakukan kesalahan itu sebenarnya pemilik baru kenderaan terbabit.

Di kaunter bayaran saman trafik, saya melihat sesaknya seolah-olah di kaunter bayaran pasar raya yang sedang mengadakan jualan murah. Ramainya yang ingin menjelaskan saman trafik mereka. Ini fenomena biasa orang kita bahkan termasuk saya. Melakukan sesuatu di saat-saat akhir.

Begitu juga insentif diskaun 50% turut menyumbang kepada ramainya yang membanjiri kaunter sehingga melimpah ke jalanraya. Saya melihat ini kaedah terbaik untuk menggalakkan pesalah trafik menjelaskan saman dan wajar dilakukan secara berkala.

Khabarnya ada yang mempunyai saman tertunggak sehingga mencecah sekitar RM11,000 hingga RM 12,000. Banyaknya!

Pena Tumpul - Pakai talipinggang keledar kerana takut kerana saman

Friday, February 25, 2011

Malang


"Bukan semua yang disukai memberikan kesukaan akhirnya"

Banyaknya yang kita suka sangat ingin buat dalam hidup ini kerana ia memang menyukakan dan menyeronokkan. Kalau diikut kata hati mahu sahaja kita buat segala yang terlintas di kepala dan tergerak dihati. Namun akal yang waras sentiasa berada di samping mengingatkan bahawa tidak semua yang kita suka hendak buat akan berakhir dengan kesukaan dan rasa seronok selamanya.

Begitu banyak pengalaman dalam hidup ini sebenarnya memberikan mesej yang jelas bahawa ada perkara yang disukai dalam hidup ini, namun membawa kepada kemusnahan dan kehancuran. Pun begitu adakalanya tidak ramai antara kita yang menyedarinya dan kalau pun sedar, ia tenggelam dalam lautan keseronokan yang sedang dikecapi.

Ia ibarat cerita sekawan monyet malang yang binasa akibat terlalu taksub dengan apa yang suka dibuatnya. Cerita ini memang menyayat hati.

Monyet-monyet ini rela menanggung kesakitan dibelasah hingga mati oleh sekumpulan penduduk kampung daripada melepaskan makanan yang ada dalam genggaman tangannya. Monyet-monyet ini terperangkap dalam jerat yang dibuat oleh orang kampung. Jeratnya amat mudah.

Ia cuma sebuah kotak yang dibuatkan lubang sekadar muat untuk lolosan tangan seekor monyet. Di dalam kotak diletakkan makanan untuk memancing monyet-monyet yang bodoh ini.
Meloloskan tangan masuk ke dalam kotak begitu mudah tanpa sebarang benda dalam genggaman. Meloloskannya keluar itulah yang sukar apabila banyaknya makanan yang ada dalam genggaman.

Monyet-monyet ini pastinya terselamat kalau ia melepaskan apa yang disukainya itu - keluarkan tangan dengan tangan kosong. Ia tidak mampu dilakukan oleh monyet-monyet yang cuma memikirkan tentang kesukaan daripada kehancuran yang bakal ditempa. Dan akhirnya mati.

Ketika monyet malang ini enggan melepaskan pisang dalam genggamannya manusia malang pula enggan melepaskan keseronokan dalam hidupnya!

Pena Tumpul - Suka tidak selamanya suka kerana adakalanya diakhiri dengan duka

Thursday, February 24, 2011

Husnal-zan


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" (AlBaqarah: 216)

Saya berkesempatan menziarahi seorang kawan lama. Rumahnya agak teruk dilanda banjir baru lalu. Kesan akibat banjir masih dapat di lihat. Dalam juga tenggelamnya rumah yang didiaminya itu. Katanya setiap kali banjir berlaku rumahnya tidak pernah terlepas dari badaian bencana ini. Saya nampak dia cukup tenang bila bercerita tentang musibah yang bagaikan sudah lali dalam hidupnya itu. Tidak terdengar sebarang keluhan, rungutan apa lagi rasa kemarahan yang meluap-luap.

Saya amat tertarik bila dia kata tidak ada musibah atau pun tuah. Katanya, yang ada hanyalah ketentuan Allah. Kita menyebutnya sebagai musibah atau tuah kerana mengukurnya dengan keinginan dan pengetahuan kita yang sangat sempit dan terhad. Katanya lagi, apabila kita renung dalam-dalam sifat-sifat kesempurnaan dan maha luas pemilikan Allah, apa yang kita sebut sebagai musibah hakikatnya ialah tuah. Amat menarik.

Dia turut menyebut perlunya kepada berbaik sangka (husnal-zan) kepada setiap ketentuan Allah. Sempat juga dia bercerita sebuah kisah yang saya kira sangat indah dan elok dijadikan iktibar.

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Hafiz ibn Abi al-Dunya dalam kitab al-Ridha 'Anillah, daripada seorang ulama tabiin di Kufah bernama Masruq bin Ajda.

Di sebuah desa pendalaman, terdapat sebuah keluarga yang hanya memiliki seekor ayam, seekor keldai dan seekor anjing, ketiga-tiga haiwan ini amat mereka sayangi; ayam untuk membangunkan solat, keldai untuk mengambil air dan anjing untuk menjaga rumah.

Suatu hari, ayam milik keluarga itu telah menjadi mangsa kepada musang. Seisi keluarga menjadi sangat sedih. Namun si ayah berkata: "Tidak mengapa. Insya-Allah ini mungkin ada kebaikan untuk kita sekeluarga." Beberapa hari kemudian, seekor serigala pula membunuh keldai mereka. Seluruh ahli keluarga kembali bersedih, namun si ayah tetap berkata: "Tidak mengapa. Insya-Allah ini mungkin ada kebaikan untuk kita sekeluarga." Selang beberapa waktu berlalu, anjung mereka pula mati secara tiba-tiba. Seluruh ahli keluarga kembali lagi bersedih. Si ayah kembali berkata perkara yang sama: "Tidak mengapa, insya-Allah baik untuk kita."

Pada suatu pagi, sebaik terbangun daripada tidur mereka dapati seluruh penduduk desa telah ditawan dan dibawa pergi oleh sekumpulan perompak pada malam tersebut. Hanya ahli keluarga ini sahaja yang selamat, sebab perompak-perompak itu hanya mendatangi rumah-rumah yang terdengar bunyi suara haiwan di dalamnya sahaja.

Dan sabar dalam berdepan ujian ini bukannya mudah diraih oleh setiap orang.

Pena Tumpul - Biar pahit di dunia tetapi manis di akhirat


Wednesday, February 23, 2011

Hati


"Hati itu bolak-balik sifatnya. Bagaikan kuah yang sedang mendidih atau menggelegak. Simpang siur dan turun naiknya begitu unik."
Menariknya metafora hati mengikut pandangan seorang ustaz ini yang didengar lagi berbicara lewat tazkirah ringkasnya. Hati kita ini memang begitu asal kejadiannya. Kekadang ia sihat dan baik. Sesekali bertukar kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.

Tidaklah sukar sangat pun untuk mengesan hati yang sakit. Kita mungkin mengalaminya namun seolah tidak menyedarinya. Ketika mengerjakan solat tidak dirasa lazat, membaca AlQuran tidak manis, segala makanan rohani yang enak dan lazat di tolak, ketika itulah hati kita sedang sakit sebenarnya.

Ia tidak berbeza pun bila kita menolak makanan yang disuakan kepada kita ketika badan menanggung sakit. Ketika tekak pahit tidak ada satu apa pun yang dilihat berselera. Sirap yang manis itu pun dirasa pahit.

Ketika kita perlunya merawat badan yang sakit, hati juga menuntut kepada keperluan yang sama. Cuma merawat hati yang sakit pastinya tidak sama dengan merawat badan yang sakit. Ubatnya berbeza. Doktornya juga berbeza. Ia memerlukan doktor-doktor rohani.

Antara doktornya ialah Imam Al-Ghazali yang memberi panduan ini. Kita disaran mencari hati pada tiga tempat. Mulakan mencari hati sewaktu bangun membaca al-Quran. Jika tidak ditemui disini, cari pula ketika solat didirikan. Kalau masih gagal dijumpai, duduklah bertafakur ketika mengingati mati. Dan jika terus juga gagal menemuinya kita disaran berdoa kepadaNya meminta hati yang baru kerana mana tahu kita memang sudah tidak punyai hati lagi.

Berhati-hatilah menjaga hati, jangan sampai kita kehilangannya!

Pena Tumpul - Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu

Monday, February 21, 2011

Cengkerik


Petang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing.

Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan.

Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya.

Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa.

Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar wang cuma untuk beli tangsi dan juga mata kail. Itu sahaja. Seronoknya memancing dulu-dulu. Sungai masih bersih dan tidak tercemar. Bermacam-macam jenis ikan yang ada. Tapah, bujuk, kaloi, baung memang lumayan. Tidak seperti sekarang ikan-ikan banyak yang sudah tiada. Hendak dapatkan lais pun bukanlah mudah lagi seperti dulu. Kena tunggu berjam-jam tepi tebing.

Pena Tumpul - Guna umpan duit untuk pancing ikan di pasar

Tuesday, February 15, 2011

Panahan


"Dengan rasa amat gembira, Hassan pun membuka kotak itu. Alangkah terkejutnya apabila di dapati dua biji mata yang berlumuran darah"

Saya berkesempatan mendengar ceramah agama Maulidur Rasul pagi ini. Ustaz Shamsudin yang menyampaikannya pada saya berjaya menarik minat yang hadir untuk terpaku tidak berganjak selama dua jam.

Ceramah yang berkesan memerlukan adunan penyampai yang baik dan juga isi yang sama baik. Paling penting adanya cerita-cerita yang boleh dijadikan iktibar. Dan ustaz ini walaupun baru pertama kali didengar bicaranya, memiliki keistemewaan ini.

Ustaz ini kaya dengan cerita-cerita yang boleh dikongsi dan itulah kekuatan penyampaiannya. Dua jam berlalu dirasa amat pantas edarannya. Namun saya amat tertarik dengan cerita tentang Hassan al basri ini. Ia tentang Hasan yang terpesona dengan kecantikan sepasang mata seorang wanita.

Dikisahkan sewaktu remajanya, Hasan adalah seorang bangsawan yang mewah dan suka berfoya-foya. Suatu hari ketika berjalan-jalan di kota Basrah, dia terpandang seorang wanita cantik dengan sepasang mata yang sangtt menarik. Datanglah rasa ghairahnya sehingga tanpa sedar kakinya terus mengekori si cantik itu.

Wanita itu sedar ada orang mengekorinya,lalu menoleh kepadanya; “Tuan terus mengekori saya, apakah tuan tidak malu?”

Hassan pun menoleh kiri dan kanan dan mendapati tiada siapa di situ. “Nak malu pada siapa?Bukan ada orang melihat!.” katanya.

"Tetapi Allah sentiasa memerhatikan kita!, kata wanita itu.
Hassan terkedu mendengarnya tetapi kerana tidak mampu melawan nafsunya, dia tetap mengekori perempuan itu.

"Mengapa tuan masih mengikuti saya?”, tanya wanita itu lagi.

“Saya tertarik dengan dua matamu yang cantik”, balas Hasan.

“Baik, tuan tunggulah di sini. Biarlah saya pulang dahulu dan akan saya hantarkan apa yang tuan mahu” kata wanita itu.

Hassan pun menunggu dengan rasa berdebar-debar. Tidak lama kemudian, datang seorang pembantu wanita tadi menghulurkan suatu kotak berbalut saputangan. "Tuan , ini tuan saya kirimkan untuk tuan.” , katanya.

“Perempuan yang tuan ekori tadi ialah majikan saya. Dia berpesan, dia tidak mahu memiliki mata yang membawa fitnah atas orang lelaki. Dia mengrirm mata ini agar tuan boleh menikmati dan terbebas dari godaan itu. Ambillah tuan.”

Menggigil tubuh Hassan Basri dengan peristiwa menyayat hati ini. Semalaman dia menangis bertaubat kepada Allah.

Keesokkan harinya,Hassan pun pergi ke rumah perempuan tadi untuk meminta maaf tetapi menurut jiran berdekatan, perempuan itu talah meninggal kerana terlalu sedih akan dosanya.

Hassan Basri pula menginsafi dirinya. Beliau akhirnya dikenali sebagai wali yang zuhud, taat dan termasyur kerana memilki budi pekerti yang mulia.

Begitulah sejarah mempamerkan kehebatan wanita yang beriman. Takut dengan murka Allah, maka sanggup di leraikan dunia yang membawa fitnah ke atas kaum lelaki.

Pena Tumpul - Ceramah yang sarat dengan ilmu dan iktibar dan berbaloi

Sunday, February 13, 2011

Baik



"Semua yang ditetapkan oleh Allah adalah baik"

Saya mendengar kisah yang amat menarik ini disampaikan oleh seorang ustaz lewat corong radio pagi ini. Mesejnya cukup jelas, iaitu anjuran supaya sentiasa bersangka baik. Meyakini bahawa setiap yang berlaku dalam kehidupan ada 'baik'nya.

Ini ibarat cerita berbingkai. Cerita atas cerita. Ustaz bercerita tentang Ibn Taimiyah yang bercerita tentang seorang menteri yang selalu menjawab ‘baik’ setiap kali ditanya pendapatnya tentang sesuatu. Suatu hari menteri ini menghadiri acara makan malam bersama raja. Ketika sedang memotong buah, raja dengan tidak sengaja telah mencederakan jari telunjuknya sendiri. Pisau yang digunakan untuk memotong buah telah menyebabkan jari telunjuknya terpotong dan merasa sakit.

Bila ditanya oleh raja tentang jarinya yang terpotong itu, menteri itu cuma kata baik sahaja.Raja sangat marah dengan jawapan itu. Mana mungkin jarinya yang luka parah seperti itu dianggap menterinya sebagai hal yang baik? Maka raja memerintahkan menteri itu ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Kemudian raja mengunjungi menterinya di penjara dan bertanya padanya soalan yang sama tetapi jawapannya tetap tidak berubah iaitu baik tanpa ragu pun.

Raja menjadi semakin marah dan segera meninggalkan menterinya sendirian dalam penjara. Beliau merasa menterinya itu sangat bodoh dan keterlaluan dalam memberikan pendapat. Beberapa hari kemudian, raja pergi berburu di dalam hutan dan ditemani menterinya yang lain kerana menteri yang biasa menemaninya telah dipenjarakan. Mereka pun berangkat dengan kuda menuju ke hutan. Oleh kerana menteri yang baru tidak biasa denga cara raja menunggang kuda, akhirnya dia tertinggal jauh di belakang. Mereka terpisah dan raja sendiri akhirnya tersesat di dalam hutan… dan bukan itu saja, raja juga ditangkap oleh sekumpulan penyembah berhala yang tinggal di dalam hutan itu.

Raja ditahan oleh para penyembah berhala dan ditetapkan sebagai korban untuk berhala mereka. Mereka melakukan upacara selama tujuh hari dan pada hari ketujuh mereka membawa raja ke tempat persembahan. Saat raja sudah siap untuk dikorbankan, mereka melihat jari telunjuk raja telah terpotong, lalu mereka menjadi ragu untuk mengorbankan raja. Persembahan untuk berhala mesti baik dan cukup sifatnya sedangkan raja tadi sudah cacat anggotanya- tiada satu jari.

Raja dilepaskan tersebut dan beliau kembali ke kerajaannya dengan perasaan gembira. Selang beberapa hari selepas kejadian itu, raja teringat akan kata-kata menteri yang telah membuatnya marah ketika jarinya terpotong. Raja segera ke penjara dan mengaku akan kebenaran jawapan "baik" menterinya itu.


Menteri juga berkongsi rasa yang sama kerana dengan jawapan "baik' itu dia dipenjarakan dan tidak turut serta dalam rombongan berburu raja itu. Andainya ia pergi bersama raja sudah pasti ia yang akan jadi korban berhala justeru ia tidak cacat seperti raja.


Hebatnya kerja Allah!

Pena Tumpul - Baik punya

Saturday, February 12, 2011

Mata


"Ada motor nak keluar kat simpang tu."

Selalunya malah dalam banyak keadaan, ketika saya memandu saya disergah dan disedarkan oleh "co-pilot" di sebelah saya. Beliau tentunya bukan orang lain kecuali isteri saya.Sedikit sebanyak ia menggugat tumpuan saya ketika memandu. Saya tidak nampak mengapa saya perlu di"latih" lagi untuk memandu setelah lebih 20 tahun saya dinobatkan sebagai pemandu yang terlatih untuk beraksi di jalanraya.

Namun hari ini bila saya membaca satu artikel pendek saya mendapatkan jawapan mengapa isteri tidak boleh tutup mulut bila saya memandu. Informasi berkaitan "neuroscience" dalam pemanduan ini memang ada nilainya dan wajar untuk sama-sama dikongsi.

Rupa-rupanya dalam konteks pemanduan, wanita dianugerah sepasang mata yang boleh menjangkau ruang penglihatan yang lebih luas berbanding lelaki. Justeru kadang-kadang kita sebagai lelaki terlepas pandang apa yang ada di depan, di sisi terutamanya apatah lagi yang di belakang.Kaum wanita ini nampak apa yang kita tidak nampak. Dalam bahasa sainsnya, wanita dikatakan memiliki perisian otak yang memberinya keistemewaan untuk menerima 45 darjah penglihatan paling jelas meliputi kedua-dua belah kiri dan kanannya dan sekaligus di atas dan dibawah hidungnya. Fantastik. Mata lelaki tidak dicipta begitu.

Paling menarik, lingkungan penglihatan wanita boleh menjangkau sehingga 180 darjah dan ini sebenarnya menjadikan wanita memandu dengan cukup efektif pada waktu siang.

Mata lelaki relatif lebih besar dan otak nya membantunya untuk melihat lebih jelas dalam jarak yang lebih jauh dengan lebih tepat di depannya. Mata lelaki bagaikan "binoculars" sebenarnya. Namun disebalik kelebihan itu, apa yang berlaku di sisi sering terlepas pandang.

Di waktu malam pula, adalah tidak praktikal untuk membiarkan wanita memandu. Dalam keadaan agak gelap begitu, wanita didapati agak sukar untuk membezakan sebarang objek yang datang dari depan. Rabun malam begitu. Lelaki pula dikurniakan sepasang mata yang cukup berkesan untuk menjadikannya seorang pemandu di waktu malam yang lebih baik.

Bagai siang dan malam, aur dengan tebing, adam dan hawa sentiasa saling memerlukan!

Pena Tumpul - Lebih suka memandu sendiri

Friday, February 11, 2011

Kepentingan

Saya belajar sesuatu yang amat penting hari ini. Sudah dua hari Pak Timan bertandang di rumah. Pak Timan memang jarang benar keluar dari "sarang"nya. Dia tinggal di sebuah kampung pendalaman dan amat selesa ditemani tinggal di pondoknya ditemani burung-burung tekukurnya. Memang hobi Pak Timan sejak lama memikat burung tekukur.Saya pernah sekali berkunjung dan bermalam di pondoknya. Saya akui saya langsung tidak dapat tidor kerana gangguan pelbagai bunyi yang menusuk telinga.

Setelah beberapa kali mencuba dapat juga saya mengajak Pak Timan bermalam di rumah.

Saya mengajaknya jalan-jalan di bandar dan singgah sebentar di warung membasah tekak yang haus. Suasana memang hingar bingar. Bunyi kenderaan yang lalu lalang dan suara orang ramai yang makin memekakkan telinga. Juga sesekali tangisan kanak-kanak dari kedai-kedai berhampiran. Begitu juga hilai tawa turut memberantakkan keadaan yang sudah sedia bising.

Saya hairan bukan kepalang di tengah-tengah hiruk pikuk itu, Pak Timan menyatakan kepada saya yang dia terdengar suara burung tekukur yang entah dari mana datangnya. Saya tidak dengar langsung pun. Amat mustahil untuk dengar pun dengan kebisingan tahap tinggi itu. Pak Timan meyakinkan saya yang dia memang dengar bunyi burung itu. Dia menarik tangan saya sehingga kami berjumpa dengan dua ekor burung tekukur di celah-celah rimbunan pohon tidak jauh dari tempat kami minum tadi.

"Hebatnya telinga Pak Timan.Saya langsung tak dengar apa pun. Telinga bionik ni," saya mengusik Pak Timan. "Telinga kita sama sahaja. Cuma yang membezakannya apa yang kita dengar dan apa yang kita lebih penting nak dengar" kata Pak Timan. "Hebat juga orang tua ni", hati saya berkata.

"Ambil duit 50 sen ni dan jatuhkan atas kakilima di celah-celah orang yang lalu-lalang tu" arah Pak Timan kepada saya. Saya buat apa yang disuruh. Sekonyong-konyong wang siling itu dijatuhkan kelantai, setiap yang lalu bagaikan terkejut dan saling berpandangan sesama sendiri ingin tahu duit siling siapa yang jatuh tadi.

"Tengok, betul tak kata Pakcik tadi, semuanya bergantung kepada apa yang penting pada kita" jelas Pak Timan. Saya akur.

Pena Tumpul - Kadang-kadang benda-benda yang tidak penting menusuk gegendang telinga

Wednesday, February 09, 2011

Sedekah (Revisited)

Saya amat bersetuju dengan Pak Itam bila dia bercakap tentang sedekah. Sedekah tidak perlu banyak dan tidak perlu juga dicanang-canang. Malah tidak perlu juga kita begitu berkira kepada siapa pula yang hendak berikan sedekah. Kalau sudah ada niat yang terbit dari hati yang ikhlas bersedekahlah. Pak Itam bukanlah cukup senang dan juga terlebih wang untuk bersedekah banyak-banyak. Namun Pak Itam senang dengan amalan bersedekah yang dibuatnya. Cukup mudah sedekahnya. Dia cuma perlu membawa sepinggan ubi rebus untuk dinikmati bersama beberapa orang anak muda kampung di sebuah warung yang cuma menyediakan minuman. "Kadang-kadang Pak Itam bawa mee goreng, mee bandung, ikut apa yang ada." Menyediakan makanan itu bukan masalah kepada Pak Itam kerana Pak Itam memang pandai memasak. Ramai yang mencadangkannya buka sahaja warung namun Pak Itam enggan.

Saya kongsi kisah ini dengan Pak Itam. Bahawa bersedekah itu ada manafaatnya. Ada ganjarannya. Dia mungkin tidak semerta namun pasti berbalas juga. Seperti yang berlaku kepada seorang hamba Allah yang bersedekah ini.

Suatu ketika Rasulullah sedang duduk bersama para sahabat. Lalu melintaslah seorang yang memikul kayu. Tiba-tiba Rasulullah berkata kepada para sahabat, “Orang ini akan meninggal pagi esoknya .” Lewat petang ketika Rasulullah duduk bersama para sahabat, melintaslah orang tersebut. Maka dipanggillah orang tersebut oleh Rasulullah dan ditanya, “Aku diberitahu (malaikat) bahwa kamu akan menemui ajal pagi tadi namun kulihat kamu masih segar bugar. Apa yang telah kamu lakukan?” Kemudian orang itu berkisah bahwa pagi tadi dia membawa sedikit bekalan makanan. Lalu di tengah jalan bekalan itu dia sedekahkan kepada orang yang memerlukannya. Selanjutnya, kata orang itu, apabila kayu-kayu diletakkan tiba-tiba keluar seekor ular hitam dari celah-celahnya. Rasulullah kemudian menjelaskan bahawa ular itulah yang sepatutnya akan mematuk orang tersebut, namun dia berpindah takdir kerana sedekahnya menghindarkan dia dari bahaya tersebut.

Kisah itu menunjukkan keutamaan sedekah yang berupaya menghindarkan diri dari bahaya, sekaligus menunjukkan bahawa Tuhan membalas sedekah yang kita lakukan dalam bentuk yang tidak kita jangka pun. Wallahu 'aklam.

Pena Tumpul - Biar sedikit sedekah yang diberi namun yang kanan tidak sedar yang kiri memberi

Tuesday, February 08, 2011

Peluang


"Simpan yang buruk untuk diri sendiri dan berikan yang baik kepada orang lain sebagai sedekah"

Bencana banjir yang melanda ada sisi baiknya. Itulah yang cuba saya terapkan apabila berbincang dengan pelajar hari ini. Ketika ada yang menerima kesan buruk, ia pula baik untuk yang tidak terjejas dengannya. Banjir menyediakan ruang dan peluang untuk kita menderma dan bersedekah. Tidak perlu banyak dan besar jumlahnya. Tidak juga semestinya dalam bentuk wang ringgit dan harta benda semata-mata. Barang terpakai janganlah dijadikan sedekah. Tidak elok begitu. Kalau ingin diberikan juga, anggaplah ia sebagai pemberian atau sumbangan sahaja. Jangan dicemari amalan mulia bersedekah itu dengan barangan begitu.


Bantuan tenaga juga dikira memadai kalau itulah sahaja pun yang termampu oleh kita. Saya terserempak dengan seorang kawan lama di sebuah kedai perabot. Keretanya tenggelam dalam banjir. Saya menawarkan bantuan membawa perabot yang dibelinya. Saya amat gembira dapat membantunya walau pun sedikit. Kegembiraan juga terbit dari hatinya.


Seorang ustaz pernah bercerita agar jangan teragak-teragak untuk memberi justeru dibimbangi Allah akan menahan rezeki untuk kita nanti. Kalau pun ada cuma RM10 yang tinggal di dalam poket ketika datang seorang miskin kepada kita, berilah semuanya kepadanya.


Pena Tumpul - Cadangkan RM10 ditolak dari gaji setiap pekerja awam dan swasta dan disalurkan kepada mangsa banjir merentasi batasan kaum dan agama

Monday, February 07, 2011

Jokes


A cowboy rides up to a saloon on his horse. He goes in, orders a drink, then leaves. His horse is gone. He goes back to the saloon, and asks, "Where's my horse?"

No one replies. So he says, "I'll order one more drink, and then if my horse isn't outside, I'll have to do what i did in Texas and I don't like doing that."

So the locals hurry around, and when he leaves, his horse is outside.

As the stranger gets on his horse, the bartender asks, "What did you do in Texas?" to which the cowboy replies, "I had to walk home."

Pena Tumpul - Laughter sometimes is the best medicine

Sunday, February 06, 2011

Pelajaran

Bencana banjir yang kesannya masih terasa sampai sekarang memberi beberapa pengajaran yang perlu diberikan perhatian. Tragedi yang pernah berlaku pada 2006 sepatutnya boleh menjadi pelajaran yang cukup berguna oleh semua pihak yang terbabit.

Melihat banyaknya perabut yang ranap dihentam air banjir saya melihat kepada perlunya memiliki perabot yang mesra banjir. Perabot plastik barangkali. Atau kalau berlebihan duit lebih elok untuk berpindah ke perabot jati. Atau tidak perlu punya perabot langsung. Suatu bentuk perabot yang sesuai untuk menghadapi banjir wajar difikirkan.

Seorang apek tua yang pernah mengatakan bahawa banjir tidak akan menyerang Segamat dalam tempoh 40 atau 50 tahun dari banjir 2006 dulu cuma menggeleng kepala dan menelan semula pernyataannya yang cukup yakin itu dulu. Telahannya sebagai penduduk asal dan paling lama ternyata meleset. Dia cuma kedengaran menyebut "Selamat tinggal Taman Mida". Saya tahu dia benar-benar kecewa. Dengan fenomena pemanasan global dan tindakan manusia sendiri yang begitu rakus "mencederakan" bumi adalah tidak mustahil banjir bisa berlaku tanpa diduga pada bila-bila masa pun.

Struktur dan reka bentuk bangunan juga perlu lebih mesra banjir. Perlu lebih tinggi dari biasa sekurang-kurangnya untuk begitu teruk ditenggelami air. Bertiang tinggi dan membiarkan dibawahnya untuk lowongan air mengalir bebas tanpa sekatan. Ruang kosong ini boleh menjadi tempat letak kenderaan dan sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan ruang letak kereta.

Bila saya sama-sama memerah tenaga membersihkan sebuah sekolah yang teruk dilanda banjir lima hari berturut-turut, semuanya tertanya-tanya, "Di mana wakil rakyat"?

Yang pasti muka disua ketika ria namun ketika lara bersembunyi entah di mana?

Pena Tumpul - Kadang-kadang perlu berfikir gila-gila

Thursday, February 03, 2011

Bencana


"Kami membahagikan manusia di dunia ini menjadi beberapa golongan. Ada antaranya orang-orang yang soleh dan ada yang tidak. Kami menguji mereka dengan kenikmatan yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk supaya mereka kembali kepada kebenaran" (Al-Araf, ayat 168)

Melihat bencana banjir yang menimpa terbit persoalan adakah alam sudah tidak lagi mesra kepada kita sebagai penghuninya? Kalau pun memang tidak mesra ia tentunya bersebab. Tuhan tidak mungkin menurunkan bencana tanpa sebab-sebab yang munasabah. Juga mustahil sebab-sebab itu adalah daripada Tuhan sendiri. Kelihatannya sebab-sebab itu berbalik kepada kita juga. Menyalahkan alam kerana menurunkan bencana itu bukannya pemikiran yang bijaksana. Menyalahkan Tuhan pula adalah perkara yang sangat tidak elok. Bukankah lebih elok kalau diri sendiri yang disalahkan.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan kerakusan manusia memang menyumbang kepada bencana. Misalnya, Segamat tidak pernah dilanda banjir seteruk 2006 dan 2011 sebelum ini. Kalau pun berlaku tidaklah sampai melumpuhkan hampir seluruh bandar dan memusnahkan banyaknya harta benda. Namun sejak Bandar Utama dibangunkan, ekologi bagai digugat. Pokok-pokok ditebang wewenangnya lantas memusnahkan kawasan tadahan air semula jadi. Air hujan yang turun hilang tujuan lantas merempuh hutan-hutan batu sebagai ganti. Membujur lalu, melintah patah.

Alam hanya memuntahkannya kepada kita dan Allah menurunkannya sahaja. Kita pula adalah para pelakon sejati yang menyebabkan bencana.

Pena Tumpul - Perlu difikirkan tentang perlunya bandar mesra banjir


Wednesday, February 02, 2011

Pulih

Berat mata yang memandang bahu yang memikul pastinya terasa lebih lagi beratnya. Taman Segar dan taman-taman lain sekitarnya merupakan kawasan paling teruk dilanda banjir. Saya melihat dengan belas "kesakitan" mangsa banjir. Saya tidak mampu untuk berbuat lebih dari itu selain daripada "memakai kasut mereka". Mereka tiada pilihan. Mahu tidak mahu mereka perlu menerima hakikat bahawa rumah mereka berpalit lumpur dengan banyaknya barang yang musnah. Dari dalam kereta saya melihat kekuatan semangat mereka menerima dugaan ini. Rasa simpati saya merentas warna kulit dan kepercayaan.

Bukannya mudah untuk menelan ujian seberat itu untuk kali kedua dalam tempoh lima tahun. Luluhnya hati melihat timbunan perabot yang musnah di depan setiap rumah yang sempat saya lalui petang ini. Sebelumnya hampir sehari suntuk saya meringankan tulang empat kerat saya setakat mampu membersihkan Sekolah Rendah Convent yang turut terjejas teruk dilanda banjir.

Pastinya banyak kerugian yang ditanggung. Mereka tidak pernah meminta ini semua berlaku namun kuasa Maha Pencipta mengatasi segala-galanya dan semua perlu akur dengan kudrat dan iradatNya.

Berulang-ulang kali saya memanjatkan rasa syukur kepadaNya.


Pena Tumpul - Penat tetapi puas dapat memberi "sedikit" bantuan

83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...