Thursday, August 29, 2013

Tersasar

Sesekali melayani cebisan kisah lawak yang singgah di laman maya seronok juga. Kisah lucu menghilangkan sedikit tekanan. Benar tidaknya kisah ini bukanlah penting kerana yang lebih penting ia menghiburkan dan mampu buat kita senyum kalau pun tidak sampai ketawa berdekah-dekah.

Kisah ini terjadi di sebuah kem tentera. Sepasukan penembak tepat sedang berlatih di lapang sasar. Salah seorang dari ahli pasukan tersebut, merupakan sorang penembak yang paling lemah. Dari 10 tembakan yang dibuat, sekali pun tidak pernah mengenai sasarannya.

"Satu pun tak kena??? Argghhh!!! sakit jiwa  aku macam ni, apa nak jadi dengan kau ni???",sergah Kapten pasukan."Sorry tuann!!! tersasar tuan!!!" balas penembak tu. "Takpe... takpe... saya akan dekatkan sikit sasaran tu ke jarak 5 meter, kalau tak kena juga, tinggalkan sahaja lapang sasar ini dan jangan datang-datang lagi" bentak Kapten.

Walaupun jarak tembakan di dekatkan, sasaran penembak malang ini masih tidak mengena.  Dengan muka selamba, penembak tu pun meminta maaf,  "Sorry tuann!!!! tersasar lagi tuan!!!". Kapten yang sudah mula berang itu menyergah "Kalau macam ni baik kau pergi jahanam!!!. Pergi belakang berek tu dan bedil kepala kau sekarang jugakkk!!", jegil Kapten itu.

Justeru patuh dengan arahan, penembak tersebut pun pergi ke belakang berek. Kemudian terdengar bunyi tembakan dilepaskan. Seketika kemudian penembak tadi pun keluar lalu menuju ke arah tuannya. "Sorry tuannn!!!!! tersasar lagi tuannnn!!!!! 

Malangnya si Kapten, dia ditembak oleh penembak itu yang tersasar lagi tembakannya!

Pena Tumpul - Kalau bab menembak yang satu lagi, dalam gelap pun tidak tersasar

Wednesday, August 28, 2013

Pertunangan

Kak Long bakal membawa masuk menantu kedua dalam keluarganya tidak sampai setahun dari sekarang. Beberapa hari yang lepas berlangsung majlis bertunang. Pasangan yang bertunang nampak tenang dan girang bukan kepalang.Khabarnya kos hantaran mencecah lima angka. Mahalnya kos kahwin sekarang. Saya melihat bukan kos kahwin itu yang mahal tetapi gayanya yang mahal. Kalau mahu nampak dan dikatakan lebih bergaya upacaranya maka banyaklah wang yang dileburkan.

Adakalanya saya tertanya-tanya perlukah kita bertunang sebelum melangsungkan perkahwinan? Bertunang itu pentingkah atau ia sekadar adat sebelum kedua pasangan di ijab kabulkan. Saya sendiri kurang pasti dengan persoalan itu. Zaman sekarang ini, kebanyakan orang jarang bertunang. Mereka terus melangsungkan akad nikah, ringkas dan cepat katanya. Namum itu semua atas hak masing-masing. Ada juga yang mengikat tali pertunangan hingga bertahun-tahun tetapi akhirnya putus.

Saya mencari maklumat mengenai pertunangan dan menjumpai beberapa fakta mengenai pertunangan mengikut ajaran Islam. Bertunang atau 'Khitbah'  dalam bahasa Arab adalah permulaan bagi az-zawaj iaitu nikah kahwin. Ini bermakna bertunang itu umpama 'pra-kahwin' sebelum kedua pasangan benar-benar sudah bersedia untuk melangsungkan pernikahan, cuma semasa di alam pertunangan tidak dibenarkan tinggal sebumbung kerana mereka bukan muhrim. Pertunangan umpama satu situasi dimana kedua-dua pasangan memasuki proses 'berkenalan'. Itu sebenarnya yang dimaksudkan dalam Islam. Khitbah juga yang dimaksudkan dalam Islam ialah 'melamar' wanita untuk dijadikan bakal isteri. Melamar juga bertujuan untuk mendapatkan persetujuan wanita untuk dijadikan isteri kepada pihak lelaki.

Justeru, saya melihat bertunang itu memang perlu dan wajar kerana dalam tempoh bertunang itu kita dapat mengenali dan memahami pasangan kita.Jika sesuatu berlaku, sekurang-kurangnya kita masih sempat berpatah balik jika berlaku perselisihan faham dengan pasangan dan merasakan tidak sesuai berkahwin dengannya. Bayangkan jika ita terus berkahwin, jika berlaku sebarang pertengkaran, akan mudah terjadinya penceraian. Bertunang dan berkahwin adalah saat yang paling indah dalam carta kehidupan setiap insan.

Bertunang tidaklah perlu lama, sekurang-kurang 5-7 bulan atau paling lama pun setahun. Tidaklah perlu menunggu sehingga 2 atau 3 tahun. Pun begitu, memang tidak dapat dinafikan berlakunya bertunang lama-lama ini kerana belum cukup bajet. Saya melihat sekarang ibu bapa meletakkan wang hantaran yang terlalu tinggi sehingga membebankan pihak lelaki. Saya rasa majlis lebih afdal jika dibuat secara sederhana saja, tidak perlu terlalu meriah sehingga memaksa kita berhutang. Bagi keluarga yang mampu membuat majlis secara besar-besaran, itu hak masing-masing.

Pena Tumpul - Ada pasangan yang berkongsi hantaran untuk ringankan beban

Wednesday, August 21, 2013

Malas

Saya suka untuk berkongsi kesah yang menarik dan melucukan ini. Pada masa dahulu, ada sebuah kampung di mana semua rakyatnya amat rajin belaka tidak ada yang malas. Jadi pada suatu hari, rajanya membuat pengumuman hendak mencari seorang yang malas.

Semasa perhimpunan itu, adalah seorang lelaki mengaku, katanya, “Patik adalah yang paling malas.” Raja pun bertanya, “Apa tahap malas tuan hamba?” Lalu jawab lelaki tersebut, “Kalau patik hendak makan, ada orang yang suapkan patik.”

Tiba-tiba datang seorang lelaki lagi lalu berkata, “Patik lebih malas lagi daripada dia tuanku.” Tuanku pun bertanya kepadanya, “Sampai mana pulak tahap malas tuan hamba?” Maka jawabnya, “Kalau patik makanpun, sampai ada orang tolong kunyahkan.”

Maka raja pun terdiam seketika. Tanpa disangka-sangka datang seorang budak lelaki kepadanya sambil berkata, "Patik adalah yang paling malas tuanku.” Raja pun bertanya, “Bagaimana pula tahap kemalasan kamu? ” Budak itu pun menjawab, Nak cerita pun malas.


Pena Tumpul - Ketawa sendirian

Tuesday, August 20, 2013

Menunggu

Menunggu lama di lampu isyarat jalan adakalanya memang membosankan. Untuk mengelakkan lampu isyarat yang tiba-tiba bertukar merah, ada ketikanya saya sampai sanggup mengambil jalan lain walaupun relatif lebih jauh. Alasannya kerana tidak mahu menunggu lama di lampu isyarat. Sepatutnya jika sabar menunggu untuk tempoh 2 minit itu, perjalanan yang jauh itu tadi menjadi dekat sahaja. Dalam menghadapi keadaan yang tidak dapat di elakkan ini, keberadaan lampu isyarat sering dipersalahkan dan dilihat menyusahkan walaupun tujuan sebenarnya untuk menyenangkan para pengguna jalanraya.

Pemaparan nombor secara "countdown" pada lampu isyarat sekarang pada hemat saya menyentak perasaan tidak sabar pengguna untuk meluru laju bagaikan seorang pelumba yang mahu mencecahkan kaki ke garis penamat dalam lumba lari. Dalam ketergesaan itu, pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Misalnya, baru-baru ini di depan mata saya melihat seorang penunggang motosikal terbabas lalu terbaring d tengah jalan justeru bergegas mencanak ke lampu isyarat.

Isunya, lampu trafik tidak boleh dipersalahkan.Bukan juga dia satu masalah sebenarnya.Rasa bosan menunggu di lampu isyarat yang merah itulah sebenarnya masalah. Capai sahaja bahan yang boleh dibaca. Mungkin buku, akhbar atau sekadar sekeping risalah. Ia cukup berkesan untuk membunuh kebosanan menunggu dan tanpa kita sedari masa berlalu begitu pantas sehingga kita perlu dikejutkan oleh bunyi hon yang datang dari kereta di belakang kita.

Saya melakukannya dan menunggu lampu merah bertukar hijau tidak lagi membosankan!

Pena Tumpul - Menunggu hujan turun membasahi bumi yang makin gersang

Saturday, August 17, 2013

Celaan


"Celaan itu ubat, pujian itu racun"


Usai sahaja perlawanan futsal malam tadi, Haziq menerima pujian bertalu-talu dari rakan -rakannya.Dia memberi kemenangan besar kepada pasukannya. Khabarnya Haziq menyumbat empat gol dan sekali gus muncul sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang pertandingan. Haziq berhak untuk pujian-pujian itu. Cuma saya sedikit gusar dia akan tenggelam dalam sorak sorai pujian itu. Saya mengharapkan akan ada juga suara yang mencelanya namun tidak kedengaran pun. Barangkali ia larut ditelan pujian yang menggegak gempita.

Saya tidak memujinya langsung. Dalam hati memuji tetapi tidak saya lafazkan. Sebaliknya saya mencela corak permainannya yang paling teruk pernah saya lihat. Empat gol yang membolosi pintu gol lawan hasil sepakannya bukan kerana dia hebat pun. Dia bernasib baik sebab barisan pertahan lawan dilihat amat lemah selain penjaga gol yang amat tidak bermaya untuk menahan sepakannya yang tidak sekuat mana pun. Saya lihat Haziq agak kecewa. Saya pasti dia mengharapkan saya akan memujinya melambong langit. Tetapi dia tidak dapat pun pujian itu dari saya.


"Tak apa, kita akan main lebih baik lagi dalam perlawanan akan datang dan akan sumbat lebih banyak gol lagi", dia bersuara semangat. Saya berjaya dalam misi saya. Saya tidak mahu ia terbiasa mendengar pujian kerana natijahnya nanti hatinya akan semakin tertutup daripada kebenaran. Bila itu berlaku nanti, dia tidak akan pernah tersedar daripada kekurangan dirinya apatah lagi bergerak untuk mengubah dan memperbaikinya.


Saya beritahunya kisah Abu Jaafar seorang tokoh Islam yang bangun dari celaan seseorang. Akibat dicela oleh bapa saudaranya kerana banyak melakukan kesilapan dalam membaca kitab fiqah. Beliau tidak terduduk pun namun sebaliknya bangkit dan berusaha memajukan dirinya. Akhirnya selepas beberapa tahun, Abu Jaafar muncul sebagai ulama terkemuka.


Seperti kata Imam Ghazali, sering kali manafaat yang kita dapat daripada celaan orang yang memusuhi kita lebih banyak daripada manafaat yang kita dapat daripada teman-teman yang selalu memuji kita!


Pena Tumpul - Antara peria yang pahit dan gula yang manis nilaikanlah sendiri manafaat dan mudaratnya

Friday, August 16, 2013

Kayakah?

Kita bukanlah kaya sebenarnya. Orang kaya merasa dirinya kaya kerana ada orang lain yang kurang kaya daripadanya. Kaya itu relatif. Juga subjektif. Hakikat kaya tidak sama pada semua orang. Ada yang melihat kekayaan itu dengan banyaknya harta yang dilonggokkan. Rumah besar dan kereta besar. Hidup mewah dan apa yang dihajati semua boleh didapati dengan mudah. Wang bukanlah masalah pun pada orang yang dikatakan kaya ini. Namun tidak semua orang melihat kekayaan dalam bentuk begitu.

Seorang bapa yang begitu bangga dengan kekayaan yang diraihnya selama ini mahu menunjukkan kepada anak lelaki tunggalnya bahawa mereka cukup kaya berbanding orang lain. Dibawanya anaknya bersiar di dalam kereta mewahnya melalui kawasan kampung. Rata-rata orang-orang kampung ini hidup cuma bergantung kepada tanah pertanian yang di usahakan saban hari. Mencari rezeki untuk hidup di bawah panas matahari.

"Tengok betapa kayanya kita kan. Lihat aja rumah mereka yang buruk tu. Motor buruk pun tak ada. Pakaian anak-anak pun buruk dan lusuh", kata orang kaya itu dengan nada angkuh memberitahu anaknya.

Ayah menjangkakan anaknya bersetuju dengannya. Namun jangkaannya meleset. Dia mendengar sesuatu yang tidak sepatutnya dia dengar malah amat memeranjatkannya.

"Ayah silap besar. Pada saya orang kampung itu lebih kaya daripada kita. Mereka tidaklah teruk dan miskin sangat seperti yang ayah fikirkan", kata anaknya. Ayahnya dibungkam hairan menyangat.

 "Saya tengok mereka ada sungai yang tentunya besar daripada kolam renang rumah kita. Kita mungkin boleh berbangga dengan lampu-lampu mahal yang diimport untuk menerangi rumah kita, tetapi mereka ada banyak bintang di langit. Laman kita tidak seluas laman mereka yang tiada bertepi. Kita ada orang gaji yang buat segala kerja untuk kita tetapi mereka buat kerja dan tolong orang lain. Kita banyak duit dan kita beli makanan yang kita inginkan, tetapi mereka tanam sendiri. Kita ada pagar tembok yang tinggi untuk lindung kita, tetapi mereka ada ramai kawan untuk membantu mereka", kata anaknya panjang lebar.

Ayahnya termangu-mangu. Dia tidak kaya pun!

Pena Tumpul - Pernah makan nasi berperisakan ajinomoto sahaja  suatu ketika dulu

Thursday, August 15, 2013

Paip

Untuk kesekian kalinya dalam bulan ini bekalan air paip ke rumah tersekat-sekat macam air kencing dan adakalanya terputus terus. Sejak bulan puasa lalu pun selang dua tiga hari paip sering tidak berair. Ia memang menyusahkan lebih-lebih lagi ketika bekalan air amat-amat diperlukan untuk memasak, mandi dan berwuduk.

Tidak ada pihak yang lebih berhak untuk dipersalahkan kecuali SAJ. Setelah berulang-ulang kali masalah berlaku, SAJ tidak pernah untuk belajar mengambil tindakan yang benar-benar berkesan. Kebocoran demi kebocoran dikesan berlaku pada paip bawah tanah sepanjang laluan yang sama. Saya mengesan lebih kurang 10 kebocoran berlaku sepanjang laluan yang sama. Dibaiki yang bocor, esok lusa diikuti pula dengan kebocoran yang lain.

Dalam perjalanan pulang ke rumah tengahari ini, saya mengesan lelehan air membasahi jalan dan pastinya berlaku lagi kebocoran. Tidak hairanlah awal pagi tadi, titisan air dari paip bagaikan air kencing yang amat menyakitkan hati. Isteri sudah mula merungut kerana hasratnya untuk mencuci kain terbantut. Amat menghairankan tiada sebarang tindakan yang diambil dalam tempoh tersebut. Lembab!

Guna paip buluh agaknya!

Pena Tumpul - Teringat guna perigi batu masa di kampung dulu, lebih mudah

Wednesday, August 14, 2013

Selera

Saya tidak pernah rasa terpanggil untuk menonton drama-drama di tv yang memenuhi slot drama hampir setiap saluran tv saban hari. Kalau pun menonton saya sangat berkira tentang beberapa perkara. Saya sangat memilih sebenarnya. Saya mahu drama yang saya tonton itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam seusai sahaja menontonnya. Mesej cerita mesti kuat dan jelas. Jalan cerita perlu juga kemas, ketat dan mantap. Bukan longgar ceritanya. Saya juga berkira tentang siapa pengarah dan siapa pelakon.

Pada saya, lambakan drama TV tempatan sekarang antara punca mengapa drama kurang mendapat sambutan. Saya ingat ketika tv era hitam putih dulu, kemunculan drama tv dinanti dengan tidak sabar. Sekarang, drama tv sudah tidak menarik perhatian lagi. Orang ramai sudah jelak dengan drama yang  jalan ceritanya  terus-terusan stereotype dan hambar.


Malam ini, setelah sekian lama tidak terpaku di depan tv melayan drama Melayu, hati saya terbuka kembali untuk menonton drama Melayu hingga ke penghujungnya. Sebabnya mudah sahaja. Ramuan drama "Ijab dan Kabul" membuka selera saya yang sudah lama tertutup. Ceritanya tidaklah menarik sangat pun namun sedikit lain daripada cerita-cerita yang pernah disajikan sebelum ini. Pelakonnya juga tidaklah hebat sangat dan luar biasa pun tetapi garapan cerita yang menarik menjadikan pelakonnya hebat dan sekaligus lakonannya juga turut menyerlah. Ia berkisar tentang cinta yang pada mulanya jual-jual mahal tetapi diakhiri dengan ijab dan kabul. Cerita ini jadi menarik kerana pengarahnya juga. Raja Ahmad Alaudin, pensyarah saya dulu memang hebat pengarahannya dan sebab itu jugalah saya terdorong untuk menontonnya pun. Penulis skripnya juga bukan kepalang orangnya. Ramuan inilah yang melahirkan hidangan yang sangat menarik untuk dinikmati.

Lebih menarik dan memilukan kedua-dua pasangan suami isteri ini mengakhiri hidupnya bersama!

Pena Tumpul - Suka cerita Mat Sentol yang lain macam kelakarnya


Pena Tumpul- Peminat cerita Mat Sentol

Tuesday, August 13, 2013

Raya

Pagi ini dalam kelas "Creative Thinking" saya membiarkan sebebasnya pelajar-pelajar saya untuk mengeluarkan buah fikiran mereka apa sahaja tentang hari raya. Hasilnya terpacullah beberapa idea yang bunyinya gila-gila namun tidaklah mustahil untuk diterima malah dipraktikkan.

Sambutan hari raya dkatakan semakin berkurang meriahnya berbanding dulu. Khabarnya sambutan raya dulu-dulu lebih berkesan di hati. Amalan kunjung mengunjung dilakukan dengan penuh semangat kekeluargaan. Kalau dalam sebuah kampung, lepas satu rumah, satu rumah akan dikunjung. Tuan rumah tidak perlu fikir sangat tentang duit raya. Kalau pun ada duit raya tidaklah dikisahkan sangat jumlahnya. Ia mungkin 10 sen, 20 sen dan kanak-kanak yang menerimanya tidak juga banyak soal berapa jumlahnya.

Kuih-kuih yang pernah popular dahulu kian pupus dan tidak lagi disajikan di meja-meja hidangan. Kuih baulu, kuih ros, penganan atau dodol sangat sukar ditemui sekarang. Ketupat daun kelapa sudah diganti dengan ketupat segera yang mudah didapati di kedai-kedai sekarang. Air sirap sudah diambil alih tempatnya oleh air-air botol yang pelbagai perisanya dan jenisnya.

Saya tertarik dengan cadangan para pelajar supaya seluruh ahli keluarga dan sanak saudara balik kampung sama-sama rewang menyediakan juadah untuk hari raya. Anyam ketupat bersama, masak lauk sama-sama dan sebagainya. Pasti hebat dan meriah seisi rumah malah segenap pelusuk kampung. Orang tua yang sesekali dapat bersama dengan anak-anak pulang kampung pasti tersenyum lebar dan riang bukan kepalang. Lepas itu sebelah malamnya pula sama-sama pasang pelita buluh dan main bunga api.

Untuk lebih meriah lagi, ada yang mencadangkan supaya cuti raya diisytiharkan selama sebulan!

Pena Tumpul - Terkenang sagun arwah atok yang sudah tidak ditemui lagi di mana-mana rumah pun 


Tuesday, August 06, 2013

Tulisan


Sekumpulan pelajar meminta saya mengadakan kelas tambahan. Mereka perlukan beberapa tip berguna sebelum berdepan dengan kertas tersebut esoknya. Saya tidak menolak permintaan itu malah cukup gembira pelajar ada kesedaran begitu.

Saya kata pada mereka tidak sukar untuk "memikat" saya. Selain daripada kualiti jawapan yang baik dan tidak merapu saya mudah dipancing dengan tulisan tangan yang cantik. Bila saya memeriksa kertas jawapan pelajar, sebahagian besar pelajar tidak melihat aspek tulisan ini penting. Lalu tercoretlah di atas kertas jawapan pelbagai bentuk tulisan yang amat menyakitkan mata. Ada yang halus sehingga sukar hendak dibaca. Tidak kurang yang bagai cakar ayam.

Seperti kata Dr Fadzilah Kamsah bentuk tulisan menggambarkan peribadi kita juga. Seseorang yang menulis dengan kuat tekanannya sehingga berbekas di bahagian belakang kertas misalnya digambarkan sebagai berkarakter sihat, cergas, pantas dan sedikit agresif. Manakala yang
menulis dengan lembut dan ringan serta tidak berbekas, dikatakan kurang bertenaga, kurang sihat dan mudah sakit. Betul kah begitu? Mungkin ada kebenarannya juga.


Saya kata pada mereka kalau kepingin lima markah percuma tulislah dengan baik. Berilah saya keselesaan membaca dan jangan bunuh konsentrasi saya dengan tulisan yang menyakitkan mata. Itu saja.


Pena Tumpul - Kerana tulisan cantik selalu jadi jurutulis cikgu masa sekolah dahulu

Monday, August 05, 2013

Kampung

"Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain"

Tanyalah sesiapa pun, hari raya tidak akan seronok tanpa balik kampung. Balik kampung begitu sinonim dengan hari raya khususnya di kalangan orang Melayu. Lonjakan hati untuk balik ke kampung juga sebenarnya turut dikongsi bersama oleh yang bukan Melayu juga. Buktinya setiap kali musim perayaan tiba, jalan raya akan penuh sesak dengan kenderaan yang berduyun-duyun menuju pulang ke kampung meninggalkan kota dalam keadaan lengang.

Saya tidaklah perlu bersusah-susah hendak balik kampung. Saya memang tidak pernah berganjak jauh dari kampung saya dilahirkan. Jadi, pertelagahan untuk balik kampung suami atau isteri tidak pernah jadi isu pun. Saya beraya di kampung hari ini. Melawat atok yang masih ada yang sudah agak uzur di usia 90annya. Bila bertemu Udin, rakan sepermainan dulu katanya sudah ramai yang tiada. Yang tua-tua yang dahulunya pernah dikenali dulu satu persatu di jemput Ilahi.

Suasana raya macam dulu yang pernah saya lalui sudah tidak kelihatan lagi. Saya tidak nampak kanak-kanak berbondong-bondong lepas satu rumah ke satu rumah. Lengang seolah-olah tiada hari raya.

Masa merubah segalanya. Saya merindui saat-saat yang dulu yang sedikit demi sedikit  hilang ditelan zaman!

Pena Tumpul - Teringat ketika beratur di masjid menunggu duit 20 sen selepas solat raya 4 dekad lalu

Sunday, August 04, 2013

Kuasa

Bila memandu di lebuhraya, keinginan untuk memandu laju melampaui had yang ditetapkan cukup membuak-buak. Sesekali ada peluang kereta dipecut semahunya. 110km sejam yang ditetapkan bagai tidak diendah lagi. Tidak terfikir lagi tentang perangkap laju yang mungkin tersorok di mana-mana menunggu mangsa.

Kuatnya pengaruh kuasa. Saya memotong kereta satu demi satu tanpa gusar dan ragu.Namun momentum terus bertukar perlahan sebaik sahaja memotong sebuah kereta Waja. Kereta ini benar-benar mempengaruhi saya supaya tidak terus memandu laju. Sebabnya mudah sahaja. Kereta yang saya potong itu ada logo Polis di belakangnya. Walaupun saya tahu tidaklah satu keslahan pun untuk memotong mana-mana kereta berlogo begitu tetapi pengaruh logo itu memang cukup kuat.

Begitu juga kesan daripada warna baju hijau memantul cahaya yang selalu dipakai polis. Terpandang sahaja kelibat baju hijau ini dari jauh, tali pinggang yang sengaja tidak dipakai akan bergolot dipakai. Akhirnya tertipu sendiri bila bukan polis trafik yang ditakuti tadi, tetapi pekerja JKR yang sedang menurap jalan akibat banjir.

Banyak kali tertipu dek mereka yang pakai baju warna hijau ini!

Pena Tumpul - Tahu kenapa ramai yang sangat gilakan kuasa

Saturday, August 03, 2013

Cinta

"Jika tepat masa,ketika,keadaan dan SIAPA,cinta adalah kuasa luar biasa yang tiada bandingannya."

Kata Ustaz Pahrol penulis buku ini, dia menunggu selama tujuh tahun sebelum buku yang ditulisnya ini meletup di pasaran. Dia ingin menyampaikan mesej penting kepada saya dan beberapa orang peserta yang menyertai bengkel penulisan buku umum dan Islami supaya tidak berputus asa kalau karya kita dipandang sepi oleh penerbit atau pun kalau diterbitkan tidak pula mendapat perhatian pembaca. Kata Pahrol buku ini ditolak penerbit dahulu kerana diri penulis yang bukan lagi remaja cuba mengupas isu cinta remaja. Itu sahaja isunya.

Khabarnya buku ini amat sangat laris di pasaran sekarang dan begitu popular di kalangan remaja IPTA. Di ulang cetak berulang-ulang kali bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Saya teruja untuk membaca buku yang pernah saya pegang-pegang dan belek-belek tidak lama dulu namun tidak pula terdorong untuk membacanya. Mungkin tajuknya yang tidak begitu menarik minat hati saya.

Petang ini saya menemukan buku ini di perpustakaan dan nasib saya baik. Ada senaskah dan saya sambar terus. Membaca helaian demi helaian memang sarat dengan kekuatan. Isi yang penuh nasihat dan panduan. Saya ingin mengatakan bahawa buku ini memang menarik untuk dibaca terutama bagi golongan remaja yang masih mencari-cari apa erti cinta sejati.

Cinta adalah fitrah setiap insan.Dikurniakan ALLAH setiap manusia itu perasaan ingin dicintai dan mencintai.Namun cinta bagaimanakah yang sebenarnya menurut syariat Islam? Bolehkah bercinta sebelum berkahwin?

Buku ini mengupas segala persoalan tentang CINTA dengan begitu menarik,ringkas dan padat.Juga ditambah dgn lukisan kartun,madah-madah puisi dan mutiara kata menjadikan pembacaan lebih releks dan santai.

"Cinta kalau bahasanya hati...itulah cinta hakiki.
Kasih jika dasarnya Rabbi....itulah kasih sejati"

Pena Tumpul - Mencadangkan buku ini kepada pelajar saya yang rata-ratanya sedang mencari cinta dan mereka sangat suka

Friday, August 02, 2013

Inovatif

Budak Melayu memang inovatif dan kreatif namun tidak pada tempatnya. Sejak beberapa malam yang lalu, malam di sekitar saya sudah tidak hening lagi. Saban malam gegendang telinga ini diganggu oleh bunyi meriam yang entah dari mana datangnya. Haziq tidak berhenti merungut kerana hasratnya untuk menumpukan perhatiannya dalam mengulangkaji pelajarannya tergugat. Memekakkan.

Kami tidak mampu berbuat apa-apa. Memang itulah kelazimannya setiap kali Syawal menjelang. Pada mereka kemeriahan raya perlu disemarakkan dengan dentuman meriam tanpa memikirkan hak orang lain yang amat memerlukan ketenangan untuk beribadat di bulan yang mulia ini. Kalau bunyi meriam tidak cukup kuat, mereka akan menjadikannya lebih kuat. Kalau nasib tidak baik, keseronokan yang dicari, padah pula yang menimpa. Malah inilah yang berlaku pada setiap musim perayaan. Mangsa korban mercun buatan sendiri sudah biasa sangat dikaitkan dengan orang Melayu. Tidak pernah serik dan tidak pernah ingin belajar daripada apa yang berlaku pada masa lalu. Saya masih ingat bagaimana waktu budak-budak dahulu menyaksikan rakan-rakan yang membakar mercun dan dihimpit dengan tin susu. Malang tidak berbau tin susu melompat liar lalu menghentam muka. Kesian!

Tengahari tadi saya digemparkan dengan berita sudah ada yang tercedera dek penangan meriam. Berdentum lagikah bunyi meriam malam ini?

Pena Tumpul - Main bunga api sahaja

Thursday, August 01, 2013

Pandangan



"Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka, tatkala mereka mendengar Al Qur'an dan mereka berkata: "Sesungguhnya ia (Muhammad) benar-benar orang yang gila". (Surah Al-Qalam:51)

Ustaz Zahazan di dengar dicorong radio berbicara tentang ayat di atas pagi ini.
Kupasannya tentang pandangan mata amat menarik selain stail penyampaiannya yang juga memikat seorang saya. Beliau mengkisahkan hal dua orang sahabat Amir bin Rabi'ah dan Sahl bin Hanif ra. tentang kuasa pandangan mata dan ia amat menarik. Kisah yang diceritakan ini mengheret saya untuk pencarian seterusnya kerana saya selalunya tidak berhenti di situ sahaja. Saya ingin tahu lebih dari itu. Saya mencari dan menjumpainya di sini. Banyak yang tidak saya tahu tentang 'ain ini rupanya. Betullah kata seorang alim: "Semakin bertambah ilmuku, aku semakin kenal akan kebodohanku".

'Ain
diambil daripada kata kerja `ana ya`inu apabila menyakiti dengan matanya. Asalnya adalah kekaguman terhadap sesuatu oleh orang yang melihat ('aa-in)nya. Kemudian diiringi sifat jiwanya yang jahat, selanjutnya dia menggunakan media pandangan untuk melaksanakan niat jahatnya tersebut kepada orang yang menjadi sasarannya. Adakalanya seseorang melakukan hal ini secara sedar dan kadang pula diluar kehendaknya. 'Ain kadang-kadang bersumber dari seorang yang shalih kerana kekagumannya terhadap sesuatu. Sebagaimana terjadi dalam kisah Amir bin Rabi'ah, seorang sahabat mulia ketika menimpakan 'ain kepada Sahl bin Hanif ra. Kisah tentang hal ini dituturkan oleh Abu Umamah, putra Sahl bin Hunaif:

Amir bin Rabi’ah pernah melewati Sahl bin Hunaif yang sedang mandi, lalu ia berkata, ‘Aku tidak pernah melihat seperti hari ini dan aku tak pernah melihat kulit seperti kulit wanita yang dipingit.’ Tidak berapa lama, Sahl terjatuh. Kemudian dia didatangkan ke hadapan Nabi. Orang-orang pun mengatakan kepada beliau, ‘(Wahai Rasulullah), segera selamatkan Sahl, ia telah terbaring.’ Nabi bertanya, ‘Siapa yang kalian tuduh dalam hal ini?’ Mereka menjawab, ‘Amir bin Rabi’ah.’ Beliau pun berkata, ‘Atas dasar apa salah seorang di antara kalian hendak membunuh saudaranya? Apabila seseorang melihat sesuatu yang menakjubkan dari diri saudaranya, hendaknya ia mendoakan kebaikan padanya.’ Kemudian beliau meminta air dan memerintahkan ‘Amir untuk berwudhu’, maka ‘Amir pun membasuh wajahnya, kedua tangan hingga sikunya, kedua kaki hingga lututnya, serta bagian dalam sarungnya. Lalu beliau memerintahkan untuk menuangkan air itu pada Sahl.”

Adalah dituntut pula bila seseorang melihat sesuatu yang mengkagumkan hendaknya segera mendoakan kebaikan padanya, kerana doanya itu merupakan ruqyah (pengubatan) baginya. Beliau juga menyatakan bahwa ‘ain yang menimpa seseorang dapat mengakibatkan kematian.

Rasulullah menjelaskan tentang keberadaan ‘ain ini, sebagaimana disampaikan oleh ‘Abdullah bin ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “’Ain itu benar adanya. Seandainya ada sesuatu yang dapat mendahului takdir, tentu akan didahului oleh ‘ain. Apabila kalian diminta untuk mandi, maka mandilah.”

‘Ain dapat terjadi dari pandangan yang penuh kekaguman walaupun tidak disertai perasaan dengki (hasad). Demikian pula timbulnya ‘ain itu tidak selalu dari seseorang yang jahat, bahkan boleh jadi dari orang yang menyukainya atau pun orang yang soleh.

Ibnul Qayyim berkata: "`Ain itu laksana anak panah yang meluncur dari pelakunya, adakalanya mengenai sasaran dan adakalanya tidak. Maka jika secara kebetulan dia dalam keadaan terbuka, tanpa perisai pasti anak panah itu melukainya, dan jika dia dalam keadaan waspada lengkap dengan senjata yang tidak meninggalkan celah bagi anak panah, niscaya tidak akan melukainya dan boleh jadi anak panah-anak panah itu akan berbalik ke arah pembidiknya".

Sabda Nabi Muhammad SAW, maksudnya:
"Kebanyakan orang yang mati dari umatku setelah kerana ketetapan dan takdir Allah adalah sebab tertimpa `ain." (HR Al-Bukhari)

Diceritakan pula oleh Jabir bin ‘Abdullah ketika Rasulullah menyuruh agar anak-anak Ja’far bin Abu Thalib diruqyah:

Nabi berkata kepada Asma’ bintu ‘Umais, “Mengapa aku lihat anak-anak saudaraku kurus-kurus? Apakah kerana kekurangan?”. Asma’ menjawab, “Bukan, akan tetapi mereka cepat terkena ‘ain.” Beliau pun berkata, “Ruqyahlah mereka!”. Asma’ berkata: Maka aku serahkan urusan ini kepada beliau, lalu beliau pun berkata, “Ruqyahlah mereka.” ( HR. Muslim)

Bahkan Jibril pernah meruqyah Rasulullah ketika beliau sakit dengan doa:
بسم الله أرقيك، من كل شيء يؤذيك من شر كل نفس أو عين حاسدٍ الله يشفيك، بسم الله أرقيك
“Dengan nama Allah aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang menyakitkanmu dan dari setiap jiwa atau pandangan yang dengki. Semoga Allah menyembuhkanmu, dengan nama Allah aku meruqyahmu.”( HR. Muslim )

Tanda-tanda terkena`ain diantaranya muka berwarna kekuningan dan pucat disertai sesak nafas dan nyilu di bawah punggung serta bahu, rasa pening yang berpindah-pindah, nyilu di hujung-hujung jari yang disertai banyak keluar peluh dan sering buang air kecil, panas rusuk dan sukar tidur pada malam hari. Juga perubahan emosi yang tidak lazim seperti sering marah dan meledak-ledak, mudah menangis tanpa sebab dan jantung berdebar-debar.

Ustaz Zahazan mengakhiri bicara dengan nasihat ini: janganlah terlalu takjub dengan ciptaan Allah SWT. Seandainya timbul perasaan itu, cepat-cepatlah meminta perlindungan daripada Allah SWT. Sebutlah "MassyaAllaah, laa quwwata illaa billaah."

Pena Tumpul - Dari mata turun ke hati

Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...