Skip to main content

Raya

Pagi ini dalam kelas "Creative Thinking" saya membiarkan sebebasnya pelajar-pelajar saya untuk mengeluarkan buah fikiran mereka apa sahaja tentang hari raya. Hasilnya terpacullah beberapa idea yang bunyinya gila-gila namun tidaklah mustahil untuk diterima malah dipraktikkan.

Sambutan hari raya dkatakan semakin berkurang meriahnya berbanding dulu. Khabarnya sambutan raya dulu-dulu lebih berkesan di hati. Amalan kunjung mengunjung dilakukan dengan penuh semangat kekeluargaan. Kalau dalam sebuah kampung, lepas satu rumah, satu rumah akan dikunjung. Tuan rumah tidak perlu fikir sangat tentang duit raya. Kalau pun ada duit raya tidaklah dikisahkan sangat jumlahnya. Ia mungkin 10 sen, 20 sen dan kanak-kanak yang menerimanya tidak juga banyak soal berapa jumlahnya.

Kuih-kuih yang pernah popular dahulu kian pupus dan tidak lagi disajikan di meja-meja hidangan. Kuih baulu, kuih ros, penganan atau dodol sangat sukar ditemui sekarang. Ketupat daun kelapa sudah diganti dengan ketupat segera yang mudah didapati di kedai-kedai sekarang. Air sirap sudah diambil alih tempatnya oleh air-air botol yang pelbagai perisanya dan jenisnya.

Saya tertarik dengan cadangan para pelajar supaya seluruh ahli keluarga dan sanak saudara balik kampung sama-sama rewang menyediakan juadah untuk hari raya. Anyam ketupat bersama, masak lauk sama-sama dan sebagainya. Pasti hebat dan meriah seisi rumah malah segenap pelusuk kampung. Orang tua yang sesekali dapat bersama dengan anak-anak pulang kampung pasti tersenyum lebar dan riang bukan kepalang. Lepas itu sebelah malamnya pula sama-sama pasang pelita buluh dan main bunga api.

Untuk lebih meriah lagi, ada yang mencadangkan supaya cuti raya diisytiharkan selama sebulan!

Pena Tumpul - Terkenang sagun arwah atok yang sudah tidak ditemui lagi di mana-mana rumah pun 


Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...