Monday, February 01, 2016

Masak

"Ayah tak payahlah belajar masak. Nanti mama lagilah rilek"

Itu reaksi paling spontan Haziq bila saya menyuarakan hasrat untuk belajar memasak. Haziq tahu kalau ayahnya sudah tahu memasak, ada potensi mamanya akan mendelegasikan seluruh tugas rumahtangga kepada saya sepenuhnya termasuk memasak. 

Sebenarnya saya tidak nampak pun mengapa saya perlu tahu masak. Selama ini pun isteri yang memang pandai memasak sentiasa menyediakan sajian terbaik untuk saya anak beranak. Idea supaya saya belajar memasak dicetuskan oleh isteri ketika menikmati hidangan makan tengahari di rumah Kak Long. Kebetulan Kak Long tiada di rumah dan paling pasti suaminyalah yang memasak. Kami tahu Abang Usop memang boleh, tahu dan pandai memasak. Sesekali terbit juga rasa cemburu kerana saya tidak dianugerahkan kebolehan apatah lagi kemahiran untuk memasak.

Kata isteri, memasak bukanlah sukar sangat pun. Ia kemahiran yang cukup mudah untuk dipelajari. Dia memang mengalu-alukan kalau saya memang betul-betul berminat untuk belajar memasak. Paling tidak, tugas untuk memasak sudah boleh dikongsi dengan saya pula atau paling ekstrim digalaskan di bahu saya sepenuhnya selepas ini. Terfikir juga betapa seronoknya kalau saya juga boleh memasak seperti Abang Usop dan Along (adik ipar saya). Sudah lama saya menyimpan keinginan begitu. 

Hasrat untuk belajar memasak masih saya simpan walaupun isteri cukup teruja mempelawa saya menjadi pemerhati melihatnya memasak di dapor dan sekaligus mencabar saya menyediakan satu masakan yang agak berat dan dia menjadi jurinya. Namun, saya masih belum cukup bersedia. Biarkanlah aktiviti memasak terus menjadi tugas rutin isteri saya dulu. Saya lebih selesa menikmati masakan air tangannya dan cukup selesa membuat kerja rumah yang lain tetapi bukan memasak!

Persoalannya, perlukah lelaki tahu memasak?

Pena Tumpul - Ingin masak kormak ayam sebagai resipi sulung

50sen

D ulu sekitar 70an, saya cuma dibekalkan 50 sen sahaja sebagai belanja sekolah. Waktu itu harga makanan dan minuman di kantin tidaklah sa...