Sunday, December 30, 2012

Jutawan

Khabarnya, pihak mempelai lelaki yang saya hadiri ini membelanjakan sekitar RM 22,000 untuk jamuan makanan sahaja. Itu belum termasuk kos khemah dan juga andaman yang mungkin boleh menjangkau ribuan ringgit lagi. Tingginya kos menganjurkan majlis perkahwinan sekarang.  
Kata seorang rakan saya, belanja kenduri makan sebanyak itu sesuai bagi ibu bapa pengantin ataupun pengantin yang bertaraf jutawan. Memang ada benarnya katanya itu.

Kita ada pilihan sebenarnya sama ada untuk berbelanja tinggi atau sebaliknya. Saya selalu percaya setiap apa yang dilakukan wajar sekali mengikut kemampuan kita sendiri. Bak kata pepatah, ukur baju ikut badan sendiri. Jangan pula besar kerak dari nasi atau besar pasak dari tiang. Tidak perlulah ikut orang dan fikir sangat apa orang lain kata nanti. Ikut kemampuan dan keselesaan sendiri adalah lebih baik lagi. Kata orang tua lagi, ikut kata orang terjum masuk lubuk. Sudah tahu diri tidak pandai berenang, mengapa mahu terjun juga dalam lubuk itu. Ia cuma memudaratkan diri sendiri sahaja.
Rakan saya itu memberitahu lagi, untuk majlis perkahwinan anaknya nanti, dia berusaha akan membuat kenduri kesyukuran yang paling mudah. Tiada pelamin, tiada makan beradab, tiada bunga telur, tiada barang hantaran kecuali mas kahwin. Cukup sekadar menjemput ahli keluarga terdekat, jiran tertangga terdekat dan orang-orang miskin untuk menikmati sedikit jamuan. Cadangan yang baik dan sangat-sangat menjimatkan.

Saya juga selalu berfikir begitu tetapi saudara mara, ipar duai, mentua taya, kaum kerabat bersetujukah? Mereka tentu akan kata " Nama pun raja sehari, apalah salahnya berbelanja besar sekali seumur hidup"
Pena Tumpul -  Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul
 

Friday, December 28, 2012

Saf

Tiba-tiba soal saf solat jadi masalah ketika saya solat Jumaat di sebuah masjid di sebuah kampung. Sekonyong-konyong ketika para jemaah di kaki lima masjid sedang berkira-kira untuk memulakan solat, mereka ditegur oleh seorang AJK Masjid. Katanya, adalah salah untuk membentuk saf di kaki lima masjid. Saya tidak nampak di mana salahnya. Selagi masih dalam bangunan masjid, ia masih dikira ruang solat yang sah untuk didirikan solat.

Saya tidak mahu terus di dalam keraguan. Saya bertanyakan masalah ini kepada Jabatan Mufti Negeri Johor untuk mendapatkan pencerahan. Sah, tiada apa yang salah. Tidak salah untuk membentuk saf di luar masjid asalkan masih dalam bangunan masjid. Kata Ustaz yang ditanya, inilah akibatnya kalau kurang ilmu dan tidak mahu bertanya dan suka ikut-ikut orang.


Pena Tumpul - Malu bertanya sesat jalan


Thursday, December 27, 2012

Babi

Saya dapat maklumat baru terus dari mulut hari ini. Maklumat ini tidak diperolehi dari mana-mana buku pun. Babi dikatakan musuh tanaman yang paling mememingkan kepala. Binatang ini suka memakan anak-anak getah dan juga sawit yang baru ditanam.

Memagar kawasan tanaman bukanlah cara terbaik menghindarkan babi ini kerana ia masih boleh mengorek tanah dan menyusup masuk dengan mudah ke dalam kawasan tanaman. Jahatnya babi ini.

Khabarnya, babi ini ada kelemahannya. Ini kata Khairi yang sangat masak dengan kerenah babi. Saya mengupah Khairi untuk membuat pagar mengelilingi kawasan tanaman getah. Katanya, kelemahan babi di hidungnya. Binatang ini cukup berhati-hati dengan hidungnya. Jadi, kalau mahu buat pagar pastikan pagar itu menganggu hidungnya. Binatang ini tidak kisah dengan badannya walau menempuh pagar berduri andai hidungnya masih terselamat daripada pagar itu.

Babi ini pun khabarnya sangat pantang dengan rambut manusia. Justeru itu, meletakkan rambut-rambut sekeliling anak-anak getah boleh menghindarkan babi ini. Ada yang sudah melakukannya pun dan ia memang berhasil. Kedai gunting rambut memang banyak dan hampir setiap hari ada orang yang gunting rambut, dan mendapatkan rambut bukanlah satu masalah.

Adakah cara yang lebih baik untuk menghindarkan babi ini?

Pena Tumpul - Mahu cari rambut



Wednesday, December 26, 2012

Merokok

"Perempuan merokok?"

Saya dengar Haziq memaculkan kenyataan itu bila dia terpandang seorang wanita dalam lingkungan usia 30an ketika melepasi sebuah cafe kopitiam di sebuah pasaraya. Saya tahu dia terkejut. Saya pun terpandang juga namun tidaklah terkejut kerana melihat perempuan merokok bukanlah luar biasa lagi sekarang. Pun begitu, saya sedikit tergamam kerana wanita ini anggun penampilannya, berkebaya hijau pucuk pisang sedondon dengan warna tudungnya. Berkulit cerah. Gayanya bagai seorang eksekutif. Imejnya yang bertudung itulah yang buat saya terkejut.

Wanita ini kelihatan selamba sahaja menghisap rokok di depan teman lelakinya. Anehnya lelaki itu tidak pula merokok.Keadaan sudah terbalik. Saya lihat ramai juga yang mencuri pandang ke arah wanita ini. Mungkin sukar untuk percaya dengan apa yang dilihat di depan mata.

Ketika orang lain mungkin merasa malu melihat gelagatnya, ironisnya wanita ini tidak pun rasa malu dengan apa yang sedang dilakukannya. Alangkah indah imej wanita Melayu Islam bertudung litup cantik tanpa nampak seurat rambut, diseri pula oleh amalan budaya yang turut sama indahnya!

Pena Tumpul - Tertanya-tanya kenapa perempuan merokok




Monday, December 24, 2012

Keldai

 وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ

“Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai.”  (Lukman: 19).

Adakalanya kita berdepan dengan mereka yang suka meninggi-ninggikan suaranya bila berbicara. Malah lebih teruk daripada itu yang menjadi kebiasaan mereka untuk menjerit dan memekik sehingga menggangu orang lain. Perlu diingat bukan semua orang rasa selesa dengan keadaan begini. Saya sendiri pun tidak pernah rasa selesa kalau berurusan dengan mereka yang bercakap meninggi suara begini.

Dalam hubungan ini Allah mengumpamakan mereka yang buruk suaranya seperti keldai. Keldai disebut dalam al-Quran sebagai binatang yang mempunyai suara yang kuat dan hodoh. Seorang pengkaji Arab dalam buku Al-Hayawan fil Quran menyebut bahawa dapatan kajian sains menunjukkan suara keldai paling lantang iaitu 35 Hz.Memang kalau kita dengar keldai suaranya selalu keras dan tinggi. Kita sendiri kekadang geli hati mendengarnya

Tujuan Islam menuntut kita memperelokkan suara ialah kerana intonasi suara yang baik boleh mempengaruhi bentuk perhubungan sesama manusia. Cuba bayangkan jika seseorang datang berjumpa dengan kita dan dengan suara yang tinggi dan keras bercakap dengan kita sehingga orang sekeliling memandang kita apa perasaan kita pada ketika itu. Sudah tentu kita berasa kurang senang dan malu. Begitu juga perasaan orang lain jika kita menegur dengan intonasi suara yang sebegitu. Suara yang lunak didengar akan mendamaikan orang lain. Sebab itu Rasulullah SAW menganjurkan kita agar berlagu ketika membaca Al-Quran. Intonasi suara yang lembut juga memudahkan kerja dakwah dalam Islam. hati akan mudah tersentuh. Seseorang akan lebih mudah patuh jika cara intonasi suara dalam berdakwah berjaya menyentuh hati seseorang itu.

Teringat saya kepada wasiat ketujuh al-Syahid Imam Hassan al-Banna rahimahullah dari sepuluh wasiatnya yang menjadi pegangan para pendakwah Islam selepasnya. Beliau menegaskan supaya kita tidak bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

Bagaimana suara kita ketika bercakap dengan ibubapa, guru-guru, anak-anak, dan teman-teman kita. Bukankah kadang-kadang kita terjerit-jerit, tengking menengking ketika berhadapan dengan mereka seolah-olah hebatnya kita berbanding orang lain. Sesungguhnya salah satu tanda takabburnya seseorang itu ialah dia suka meninggikan suara ketika bercakap.

Suara keldai dipilih bagi menggambarkan betapa hinanya suara seseorang yang meninggikan suaranya. Sudah menjadi amalan Arab jahiliyah menurut Imam Al-Qurtubi rahimahullah dalam tafsirnya bahawa mereka sangat berbangga dengan suara yang kuat. Suara yang kuat melambangkan kehebatan (‘izzah) manakala suara perlahan melambangkan kehinaan (azal). Jadi Allah menghina mereka dengan diumpamakan suara yang keras itu dengan suara keldai.

Pun begitu, jangan sampai bercakap macam berbisik dan merunum  hingga sukar difahami!

Pena Tumpul - Suka suara Ustaz Pahrol bila berbicara, lembut namun sangat mengesankan


Sunday, December 23, 2012

Taubat

Selalu kita dengar ungkapan pintu taubat sentiasa terbuka selagi ruh belum berada di kerongkongan atau matahari terbit dari barat. Allah memang sentiasa membuka pintu taubat untuk hambanya yang diketahuinya tidak pernah terlepas dan terlalai dari membuat dosa kecil atau besar.

Ustaz Zaharuddin dalam Tanyalah Ustaz hari ini membawa kisah yang sangat menarik dan tidak pernah saya dengar sebelum ini dalam bicaranya tentang taubat pagi ini. Ia tentang seorang remaja bernama Tha'labah.

Tha'labah ialah salah seorang daripada para sahabat Nabi SAW. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung, terang lagi jelas. Tiada suatu pun yang mampu membuatkan matlamat hidupnya goyah sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Tha’labah merupakan pemuda yang begitu hebat di zaman Rasulullah SAW. Nama sebenarnya ialah Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun.

Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikuti Rasulullah SAW mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah SAW akan khabarkan kepada Tha'labah dan Tha’labah akan menunaikannya.

Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam pencarian barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui beberapa deretan buah rumah.

Entah bagaimana salah sebuah rumah yang dilaluinya itu pintu belakang rumahnya tiba-tiba terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu bilik air rumah tersebut juga turut sama terkuak lebar. Ketika itu Tha'labah dengan tidak sengaja terpandangkan ke arah bilik air tersebut lalu terlihatlah akan dia seorang perempuan sedang mandi.

"A'uzubillah (Aku berlindung kepada Allah)! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah SAW! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah ...Begitulah rintihan Tha'labah sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang di puncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis.

Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal yang amat sangat dengan dosanya itu. Walhal segala apa yang berlaku itu bukanlah disengajakannya.

Pada masa yang sama, Rasulullah SAW menantikan kepulangan Tha'labah. Sudah beberapa hari berlalu, namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan Syaidina Umar r.a untuk mencari Tha'labah.

Akhirnya Syaidina Umar al-Khatab berjumpa Tha'labah di tempat persembunyian di puncak bukit itu.

Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."

"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku? Sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah? Aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka," kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.

Oleh kerana Tha'labah sudah teramat lemah, lalu Syaidina Umar r.a memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarahi Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.

Tetapi Tha'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"

"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.

"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"

"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"


"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"

"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."

Lalu Rasulullah SAW berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."

Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.

Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW pun datang tetapi agak lewat. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Sungguh pun begitu, Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan perlahan dan seperti tersekat-sekat.

Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"

Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."

Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandangkan perempuan yang sedang mandi. Hingga menyebabkan beliau begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menghembus nafas terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan.

Lihatlah dari kisah remaja bernama Tha’labah ini, betapa dengan hanya terpandangkan wanita mandi itu pun dirasakan ia sudah berdosa besar dan tidak layak diribai oleh Nabi. Bagaimana pula dengan kita?

Layakkah kita?

Pena Tumpul - Terima Kasih  Ustaz

Friday, December 21, 2012

Kifarah

Isteri saya yang hampir tiga minggu mengidap batuk-batuk akhirnya beransur pulih. Sepanjang tempoh itu,lepas satu klinik, satu klinik dikunjungi dengan pelbagai jenis ubat yang ditelan, namun batuk tetap tidak reda. Suara pun hampir hilang dan kalau bercakap bagaikan itik nila atau penyanyi rock angkatan lama. Saya katakan padanya bahawa sakit yang kita hidapi adalah kifarah.Sebagai seorang hamba kita perlu menerimanya dengan redha dan bersabar dengan ujian itu.

Kata Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman,sakit atau musibah yang terkena kepada seseorang adalah datangnya daripada Allah.Tujuannya pelbagai dan mempunyai banyak hikmah untuk direnungi. Menurutnya, bagi seorang yang pendosa, musibah atau sakit yang ditanggungnya merupakan salah satu jalan untuk Allah menghapuskan setiap dosa hambaNya. Bahkan ia seharusnya dilihat sebagai satu terapi untuk menggugurkan kesalahan dan noda pada diri anak Adam.
  
Memang tidak boleh dinafikan pun sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak.Dosa yang kita lakukan itu sebenarnya cuma menjauhkan diri kita dengan Allah dan perlu dihapuskan. Jadi ditimpa sakit adalah salah satu caranya.

Kata Ustaz lagi, ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah yang bermaksud:
"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya"
 (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bahkan di dalam satu lagi riwayat, Rasulullah bersabda bahawa dengan hanya tertusuk duri sekalipun, Allah bersedia untuk meninggikan darjat seseorang itu dan menghapuskan satu kesalahan dirinya. Justeru itu kita tidak seharusnya memandang sakit itu sebagai penderaan dan tidak mudah berburuk sangka kepada Allah. Bahkan sebaiknya kesakitan atau musibah itu dipandang sebagai nikmat untuk Allah membersihkan diri kita daripada segala dosa dan noda.

Bila sudah batuk, kurang bercakap, dan bila sudah kurang bercakap, kurang pula buat salah!

Pena Tumpul - Teringat kisah Saidiina Abu Bakar memasukkan batu ke dalam mulutnya untuk kurangkan bercakap



Wednesday, December 19, 2012

8A

Nur Adila aka Diko membuktikan bahawa usaha dan kerja keras akan membuahkan kejayaan. Dia juga membuktikan sekali gagal tidak juga bererti untuk gagal lagi selepas itu. Prestasinya dalam peperiksaan percubaan PMR sangatlah mengecewakan. Guru-gurunya juga tidak menaruh sebarang harapan pun padanya untuk dinobatkan sebagai pelajar cemerlang sekolahnya dalam peperiksaan ini. Dia juga diperlekehkan oleh orang-orang di sekelilingnya termasuk Tok Maknya sendiri kerana sikap acuh tidak acuhnya dalam menyiapkan dirinya untuk menghadapi PMR ini. Dia dilihat malas mengulangkaji pelajarannya. Dia sering menjadi bahan marah kerana lebih banyak menghabiskan masa dengan laptop dan telefon bimbitnya berbanding berkepit dengan bukunya. Dia tidak diberi harapan pun.

Saya juga kurang yakin dengan kemampuannya bergaya cemerlang lantas sangat berani menawarkannya RM100 andai dia dapat mempersembahkan 8A kepada saya. Saya tidak yakin dia akan dapat pun 8A kerana dia tidak dilihat gigih untuk mendapatkannya.

Hari ini Diko membuatkan ramai orang tercengang dan termangu-mangu. Tok Maknya paling tidak dapat menerima berita itu pagi ini. "Betulke Diko dapat 8A, macam tak percaya aja", tanyanya kepada Mama Longnya untuk meraih kepastian berita. Takut salah orang barangkali. Sangat sukar untuk percaya bahawa Diko yang cuma mampu meraih 2A dalam cubaannya lalu, berjaya menggapai 8A! Ia bukan mimpi, bukan juga lamunan bukan juga berita palsu. Ia fakta.

Diko tidak lupa janji yang pernah saya buat padanya. Dia mendapatkan saya dan menuntut RM100nya. Saya tumpang bangga sebenarnya, malah sangat bangga dengan pencapaiannya. Dari dulu lagi, saya sudah dapat mengesan bahawa Diko memang boleh melakukannya dan memang boleh pergi lebih jauh.

Khabarnya, anak dara Yako ini hampir saban malam mengadu dan meminta begini kepadaNya, "Ya Allah berilah aku 8A, Ya Allah"

Tahniah Diko!


Pena Tumpul - Tahu Haziq juga bakal buat kejutan

Monday, December 17, 2012

Menurun

Kereta pertama saya 1989
"Masa saya kerja dulu, harga sebiji kereta baru cuma tujuh ribu saja"

Saya duduk semeja dengan seorang yang tidak pernah saya kenal pun sebelum ini bila bersarapan pagi ini. Dia dalam lingkungan usia emas. Dia bercakap tentang harga sepinggan nasi lemak yang padanya amat mahal sekarang. Selepas itu dia tidak berhenti-henti bercakap tentang kos hidup yang semakin meningkat berbanding zamannya dulu. Saya mendengar sahaja, cuma sesekali mencelah bila ada ruang. Seronok juga mendengar bebelannya.

Katanya, di zaman 70an, ketika dia mula-mula bekerja sebagai penjawat awam dulu, taraf hidup lebih baik berbanding kini. Kenaikan harga barang tidak pernah meningkat lebih tinggi kadarnya daripada kenaikan gaji.

Dulu, seorang lepasan universiti yang menyertai perkidmatan awam walaupun gajinya sekitar RM750 sebulan, tidak kiralah doktor, jurutera atau pegawai tadbir, gaji yang diperolehi mampu menampung kos hidup malahan boleh pula menyimpan. Sekarang, seorang lepasan universiti yang bergaji RM2,400 (3 kali ganda lebih banyak) berhempas pulas untuk hidup kerana segalanya meningkat.

Dia bercerita tentang harga kereta waktu dulu juga. Katanya, sebuah kereta buatan Jepun berharga sekitar  RM7,000.berbanding kini sebuah kereta nasional yang sekelas dengannya paling kurang pun RM50,000 (kenaikan 7 kali ganda) sementara kereta Jepun pula antara RM70,000 hingga  RM80,000 (lebih 10 kali ganda kenaikannya).

Nasi campur dulu boleh didapati dengan harga 60 sen sahaja. Hari ini, tidak kurang RM6.00 sepinggan. Peningkatan 10 kali ganda dan memang mahal! Bagaimana dengan pakaian? Dulu, sehelai kemeja lengan panjang cuma RM5 sahaja kalau buatan Malaysia dan sekitar RM9 kalau buatan luar. Hari ini, harganya tentu 10 kali ganda lebih dari harga 40 tahun dulu.

Tidak dinafikan dalam tempoh tersebut kuasa beli berasaskan RM telah menurun 10 kali ganda. Kesan peningkatan harga yang lebih pantas berbanding kenaikan pendapatan sebenarnya telah menurunkan taraf hidup rakyat Malaysia secara umumnya dalam tempoh itu. Akibatnya, bilangan mereka yang berada dalam kategori pendapatan pertengahan semakin mengecil sementara bilangan yang dijerumuskan ke dalam kelompok pendapatan rendah semakin melebar. Dulu lepasan universiti di kelaskan sebagai kelas menengah kini sudah digolongkan dalam kelas pendapatan rendah pula!

Lantas, fenomena meminjam dari bank malah Ah Long bukan lagi asing sekarang. Untuk hidup yang lebih baik, mereka tiada pilihan!

Dulu lain, sekarang lain mana boleh sama.

Pena Tumpul - Kereta pertama saya 1989 dibeli dengan harga 12 ribu sahaja

Sunday, December 16, 2012

Punca

Telefon bimbit dikatakan punca kepada permsalahan sosial yang berlaku secara berleluasa di kalangan remaja sekarang. Walaupun tidak dinafikan faktor-faktor penyumbang yang lain seperti latar belakang keluarga, kurangnya didikan agama, pengaruh rakan sebaya dan juga media massa seperti televisyen dan sebagainya, namun telefon bimbit mengatasi segalanya. Dapatan ini didedahkan oleh seorang Ustaz yang diundang memberi ceramah di depan ratusan pelajar baru-baru ini.

Saya tidak terperanjat pun dengan kenyataan ini kerana realitinya memang begitu. Gajet ini mampu dimiliki oleh sesiapa pun sekarang tidak mengira umur dan latar belakang. Kanak-kanak sekolah seawal Darjah 1 pun memilikinya, apatah lagi mereka yang lebih berusia daripada itu. Adakalanya bukan satu, tetapi dua atau tiga buah mampu mereka miliki. Telefon bimbit bukan lagi mahal sekarang berbanding ketika ia mula-mula diperkenalkan di pasaran dulu. Dulu telefon bimbit cuma untuk buat panggilan dan hantar SMS sahaja.Kini fungsinya sudah lebih dari itu dan pelbagai sifatnya. Telefon bagaikan layar tv yang boleh dibawa ke mana-mana. Klip-klip video mudah sahaja dimuat turun dan kemudiannya ditonton tanpa batas sendiri-sendiri. Laman-laman sesawang yang memberikan kemudahan memuat turun ini bukan juga sedikit dan bukan juga mudah untuk kita mengawalnya. Di sinilah puncanya bila segala-galanya sangat mudah dengan telefon bimbit. 

Mampukah kita menyekatnya?

Pena Tumpul - Hebatnya tengok remaja sekarang yang boleh tulis SMS sambil tunggang motor


Tuesday, December 11, 2012

Puteri

Masa kita kecil-kecil dulu kita sering mendengar lagu 10 budak hitam. Saya sendiri pun tertanya-tanya siapakah watak 10 budak hitam itu. Apakah agaknya mesej yang terkandung dalam lagu 10 budak hitam itu. Pun begitu lagu yang pernah dinyanyikan oleh A. Romzi sudah jarang kedengaran lagi. Hari ini, ketika menyampaikan ceramahnya tentang permasalahan belia Islam masa kini, seorang Ustaz ini menyajikan 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan, namun ia cuma bait-bait senikata tanpa melodi. Namun, ia sangat sarat dengan mesej dan pengajaran.
 
10 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Bertemasya di Pantai Sri Pengkalan
Satu kena rogol beramai-ramai
Tinggal lagi Sembilan.


9 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta seks - video lucah di apartmen
Satu sempat dicekup pencegah maksiat
Tinggal lagi lapan.


8 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Pergi ke konsert Jom Heboh
Satu hilang ikut jantan
Tinggal lagi tujuh.


7 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi GRO di Kelab Nilam
Satu dibawa pulang oleh pelanggan dan dibunuh
Tinggal lagi enam.


6 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta arak dan karaoke di kota
Satu terus jadi pelacur
Tinggal lagi lima.


5 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Satu disuruh seludup dadah dan ditangkap
Tinggal lagi empat.

  
4 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Bercinta dengan Mat Hitam Uganda
Satu sudah murtad hendak kahwin
Tinggal lagi tiga.

  
3 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Terjebak dengan kumpulan bohsia
Satu ditangkap bunuh bayinya
Tinggal lagi dua.


2 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi Minah Rempit bersama Mat Kutu
Satu mati eksiden ketika lumba haram
Tinggal lagi satu.


1 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Sangat-sangat susah hati
Termenung-menung seorang diri
Bagai ayam mabuk tahi
Rasa hidup sunyi sepi
Berkurung dalam bilik setiap hari
Ibu bapa tak ambil peduli sibuk ke sana sini
Lalu terjun dari pangsapuri
Langsung diapun mati


Beginikah realiti remaja kita hari ini? Sangat menakutkan.

Pena Tumpul - Suka puteri mandi dan bubur pulut hitam



 

 

Friday, December 07, 2012

Sujud


Tilawah ertinya bacaan. Maka Sujud Tilawah bererti sujud bacaan iaitu sujud kerana membaca atau mendengar ‘ayat-ayatSajadah’ dari pembacaan Al-Quran yang kebiasaannya boleh dikenali pada ayat-ayat tersebut dengan ditandai garis atau simbol kubah dan tertulis perkataan sajadah.
.
Disunat bersujud dengan niat Tilawah bagi pembaca atau pendengar ‘ayat Sajadah’. Selain dari ‘Sujud Tilawah’ sujud ini juga dikenali sebagai Sujud Sajadah’.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda: Apabila anak Adam membaca ayat Sajadah, lalu ia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, “Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak, maka untukku neraka.”   (HR Bukhari dan Muslim.)
.
Hukum Sujud Sajadah adalah sunat mu’akad, atau sunat yang amat digalakkan.Dari Umar r.a; Pada suatu hari Jumaat, Rasulullah SAW membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, Baginda lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah 

Baginda SAW bersabda: Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi sesiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan sesiapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa. (HR Bukhari)
.
Di dalam Al-Quran terdapat 15 ayat-ayat sujud sajadah iaitu:
1. Surah 7 (Al-A’Raaf) Ayat 206
2. Surah 13 (Ar-Ra’d) Ayat 15
3. Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50
4. Surah 17 (Al-Isra’) Ayat 109
5. Surah 19 (Maryam) Ayat 58
6. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18
7. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77
8. Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60
9. Surah 27 (An Naml) Ayat 26
10. Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15
11. Surah 38 (Shaad) Ayat 24
12. Surah 41 (Fushshilat) Ayat 38
13. Surah 53 (An-Najm) Ayat 62
14. Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21
15. Surah 96 (Al-’Alaq) Ayat 19
.
Dalam Sujud Tilawah dianjurkan membaca:
Sa-ja-da  waj-Hi-ya  lil-la-dziy  kho-la-qo-hu  wa-shaw-wa-ra-Hu  wa-syaq-qo  sam-’a-Hu  wa-ba-sho-ro-Hu  bi-hau-li-hi  wa-quw-wa-ti-Hi  fa-ta-baa-ro-kaL  Laa-Hu  ah-san-ul  khoo-li-qiyn .
“Aku bersujud kepada Allah yang menjadikanku, memberikan pendengaranku dan penglihatanku dengan Kekuasaan-Nya dan Kudrat-Nya. Maka Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta kejadian.”

Sujud Tilawah ini disunatkan dilakukan baik dalam solat atau di luar solat. Ketika tiba pada ayat-ayat Sajadah, disunatkan berniat sujud untuk Tilawah, mengucapkan Takbir lalu terus sujud sekali dan membaca tasbihnya, kemudian berdiri semula tanpa perlu mengangkat tangan dan menyambung baki bacaan ayat tersebut serta teruskan solat seperti biasa sehingga salam. Terbatal solat jika melakukan sujud bersendirian pada ketika Imam tidak melakukannya. Sekiranya imam tidak melakukannya, maka makmumnya juga tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan imam.

Sujud Tilawah sunat dilakukan di luar solat iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam solat.
.
Berniat dalam hati, di samping itu disunatkan juga melafazkan niatnya :
 “Daku melakukan Sujud Tilawah kerana Allah Ta‘ala”
.
  1. Ketika membaca Al-Quran dan apabila bertemu ‘tanda sujud’, maka hendaklah bertakbiratul-ihram sambil berniat ‘Sujud Tilawah’ untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya.
  2. Takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah.
  3. Tidak perlu berdiri atau membaca Fatihah dan rukuk. Terus saja bersujud dan membaca ‘Tasbih Tilawah’.
  4. Adalah sunat memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga diletakkan dahi ke tempat sujud.
  5. Begitu juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula. kemudian kembali duduk dan memberi salam.
  6. Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar solat ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud. (At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)
  7. Jika tidak bersujud, kerana tidak memenuhi syarat atau berhalangan, maka sebagai gantinya bacalah ayat:
   
Sub-haa-naL-Lah  wal-ham-du-lil-lah  wa-laa  i-laa-ha  il-laL-Laa-hu  waL-La-hu  ak-bar,  wa-laa  haw-la  wa-laa  quu-wa-ta  il-laa  biL-Laa-hil   ‘A-liy-yil  ‘A-ziym.
Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar; Tiada suatu daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Sujud tilawah juga boleh ditangguhkan. Contohnya, ketika sedang dalam perjalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah. Maka, tidak diharuskan sujud seketika itu juga kerana untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.

Pena Tumpul - Sujud padaNya

Thursday, December 06, 2012

Kalau

"Kalaulah aku ada sayap macam burung"
"Kalaulah aku kaya, aku akan melancung seluruh dunia". "Kalaulah tidak hujan setiap petang kan bagus.."

Saya percaya dalam kehidupan ini, tidak ada yang terlepas daripada menyebut perkataan kalau. Kalaulah begini dan bukan begitu. Kalaulah saya kaya, kalaulah saya banyak duit, kalaulah saya cantik dan kalau dan kalau dan kalau. Begitulah kalau diungkapkan seolah-olah kita tidak menerima dengan redha apa yang kita ada dan apa yang berlaku pada kita. Kita macam menyesali apa yang telah ditentukanNya.

Soal kalau ini bukan remeh sebenarnya. Tidak ada perkara yang boleh dianggap kecil walaupun nampak macam kecil dan tidak penting. Tambahan pula bermula dari yang kecil-kecillah akan membiak menjadi besar. Api sebesar sebatang mancis yang sangat kecil itulah yang akan melarat dan marak membakar. Nabi sendiri dalam khutbah terakhirnya ada bersabda, "Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga- jagalah dalam perkara-perkara yang kecil"

Ingin saya berkongsi sebuah kisah yang disampaikan oleh seorang ustaz lewat bicara paginya. Sangat menarik bila menyentuh tentang kalau berkalau ini. Katanya,pada suatu hari, sedang Syeikh Sundu Efendi mengajar, beliau bertanyakan satu soalan kepada anak-anak muridnya, "Wahai anak-anak muridku,kalaulah kamu diberi kesempatan untuk mentadbir dunia ini, apa yang akan kamu buat?"

Menyedari soalan ini tidak pernah ditanya oleh syeikh sebelum ini, anak-anak muridnya, begitu teruja menjawabnya. Ada yang menjawab, "Kalau saya mentadbir dunia ini, saya akan hapuskan semua penjahat-penjahat" Seorang yang lain pula menjawab, "Kalau saya mentadbir dunia ini, saya akan menghukum semua pemabuk-pemabuk.."Begitulah seterusnya, semua mereka teruja menjawab soalan yang diajukan oleh syeikh tadi.

Dalam keriuhan mereka menjawab, seorang sahaja anak murid beliau yang tertunduk diam, mukanya pucat. Semua mata tertumpu padanya. Syeikh bertanya, "Mengapa engkau tidak menjawab wahai muridku?" Pelajar itu mangangkat kepala dan bersuara, "Maafkan saya syeikh, saya tidak mampu menjawab soalan "kalau" saya mentadbir dunia ini, kerana apabila saya menjawabya, seolah-olah saya lebih pandai dari ALLAH yang mentadbir alam selama ini, dan seolah-olah olah saya mempertikaikan pentadbiran ALLAH selama ini.."

Mendengar jawapan muridnya itu, Syeikh Sunul Efendi tersenyum dan berkata, "Engkau benar wahai muridku"

Lantas berhati-hatilah kalau berkalau, yang mungkin menggelincirkan akidah kita.

Pena Tumpul - Suka lagu "Kalau berkalau" dendangan Anita Serawak

83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...