Skip to main content

Jutawan

Khabarnya, pihak mempelai lelaki yang saya hadiri ini membelanjakan sekitar RM 22,000 untuk jamuan makanan sahaja. Itu belum termasuk kos khemah dan juga andaman yang mungkin boleh menjangkau ribuan ringgit lagi. Tingginya kos menganjurkan majlis perkahwinan sekarang.  
Kata seorang rakan saya, belanja kenduri makan sebanyak itu sesuai bagi ibu bapa pengantin ataupun pengantin yang bertaraf jutawan. Memang ada benarnya katanya itu.

Kita ada pilihan sebenarnya sama ada untuk berbelanja tinggi atau sebaliknya. Saya selalu percaya setiap apa yang dilakukan wajar sekali mengikut kemampuan kita sendiri. Bak kata pepatah, ukur baju ikut badan sendiri. Jangan pula besar kerak dari nasi atau besar pasak dari tiang. Tidak perlulah ikut orang dan fikir sangat apa orang lain kata nanti. Ikut kemampuan dan keselesaan sendiri adalah lebih baik lagi. Kata orang tua lagi, ikut kata orang terjum masuk lubuk. Sudah tahu diri tidak pandai berenang, mengapa mahu terjun juga dalam lubuk itu. Ia cuma memudaratkan diri sendiri sahaja.
Rakan saya itu memberitahu lagi, untuk majlis perkahwinan anaknya nanti, dia berusaha akan membuat kenduri kesyukuran yang paling mudah. Tiada pelamin, tiada makan beradab, tiada bunga telur, tiada barang hantaran kecuali mas kahwin. Cukup sekadar menjemput ahli keluarga terdekat, jiran tertangga terdekat dan orang-orang miskin untuk menikmati sedikit jamuan. Cadangan yang baik dan sangat-sangat menjimatkan.

Saya juga selalu berfikir begitu tetapi saudara mara, ipar duai, mentua taya, kaum kerabat bersetujukah? Mereka tentu akan kata " Nama pun raja sehari, apalah salahnya berbelanja besar sekali seumur hidup"
Pena Tumpul -  Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul
 

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...