Skip to main content

Kalau

"Kalaulah aku ada sayap macam burung"
"Kalaulah aku kaya, aku akan melancung seluruh dunia". "Kalaulah tidak hujan setiap petang kan bagus.."

Saya percaya dalam kehidupan ini, tidak ada yang terlepas daripada menyebut perkataan kalau. Kalaulah begini dan bukan begitu. Kalaulah saya kaya, kalaulah saya banyak duit, kalaulah saya cantik dan kalau dan kalau dan kalau. Begitulah kalau diungkapkan seolah-olah kita tidak menerima dengan redha apa yang kita ada dan apa yang berlaku pada kita. Kita macam menyesali apa yang telah ditentukanNya.

Soal kalau ini bukan remeh sebenarnya. Tidak ada perkara yang boleh dianggap kecil walaupun nampak macam kecil dan tidak penting. Tambahan pula bermula dari yang kecil-kecillah akan membiak menjadi besar. Api sebesar sebatang mancis yang sangat kecil itulah yang akan melarat dan marak membakar. Nabi sendiri dalam khutbah terakhirnya ada bersabda, "Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga- jagalah dalam perkara-perkara yang kecil"

Ingin saya berkongsi sebuah kisah yang disampaikan oleh seorang ustaz lewat bicara paginya. Sangat menarik bila menyentuh tentang kalau berkalau ini. Katanya,pada suatu hari, sedang Syeikh Sundu Efendi mengajar, beliau bertanyakan satu soalan kepada anak-anak muridnya, "Wahai anak-anak muridku,kalaulah kamu diberi kesempatan untuk mentadbir dunia ini, apa yang akan kamu buat?"

Menyedari soalan ini tidak pernah ditanya oleh syeikh sebelum ini, anak-anak muridnya, begitu teruja menjawabnya. Ada yang menjawab, "Kalau saya mentadbir dunia ini, saya akan hapuskan semua penjahat-penjahat" Seorang yang lain pula menjawab, "Kalau saya mentadbir dunia ini, saya akan menghukum semua pemabuk-pemabuk.."Begitulah seterusnya, semua mereka teruja menjawab soalan yang diajukan oleh syeikh tadi.

Dalam keriuhan mereka menjawab, seorang sahaja anak murid beliau yang tertunduk diam, mukanya pucat. Semua mata tertumpu padanya. Syeikh bertanya, "Mengapa engkau tidak menjawab wahai muridku?" Pelajar itu mangangkat kepala dan bersuara, "Maafkan saya syeikh, saya tidak mampu menjawab soalan "kalau" saya mentadbir dunia ini, kerana apabila saya menjawabya, seolah-olah saya lebih pandai dari ALLAH yang mentadbir alam selama ini, dan seolah-olah olah saya mempertikaikan pentadbiran ALLAH selama ini.."

Mendengar jawapan muridnya itu, Syeikh Sunul Efendi tersenyum dan berkata, "Engkau benar wahai muridku"

Lantas berhati-hatilah kalau berkalau, yang mungkin menggelincirkan akidah kita.

Pena Tumpul - Suka lagu "Kalau berkalau" dendangan Anita Serawak

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...