Skip to main content

Kelawar


Akhirnya saya menemui jalan penyelesaian kepada masalah kelawar yang semakin banyak berkampung di atap rumah. Pertindihan antara kepingan atap genting menghasilkan sebuah lubang yang memberi kebebasan untuk kelawar atau pun burung masuk. Lubang-lubang inilah yang perlu ditutup. Ada hampir 200 buah lubang yang perlu ditutup.

Tiba-tiba saya terpandang cawan isi dadih yang saya buang. Saya nampak ia boleh digunakan untuk menutup lubang itu. Saya renyok-renyokkan dan satu demi satu lubang saya tutup. Pun begitu saya tidak sangat yakin akan ketahanannya. Lambat laun ia akan peroi juga. Saya dapat idea yang lebih baik. Genting lawannya genting juga. Saya nampak serpihan-serpihan genting yang sudah lama tersadai dikandung tanah. Saya ambil dan sumbatkan dicelah lubang. Ternyata ia lebih baik daripada cawan-cawan plastik itu.

Manusia tidak pernah puas termasuk juga seorang saya. Saya pasti ada cara yang lebih dan lebih baik dari itu. Saya singgah di sebuah kedai bahan binaan rumah dan bertanyakan sesuatu yang boleh membantu saya menutup lubang-lubang itu. Saya tidak dikecewakan. Ah Meng menunjukkan jaring yang dicipta khas oleh pengeluar atap genting Monier. Kata Ah Meng, produk ini masih sangat baru di pasaran. Tidak hairanlah harga sekeping bernilai RM7.00. Saya memerlukan hampir 50 keping jaring untuk melengkapkan misi penutupan lubang itu. Saya tidak punya pilihan. Saya membelinya!

Maka bermulah kerja-kerja penjaringan. Langkah berikut mengusir keluar kelawar-kelawar itu dan ia bukan sangat mudah!

Pena Tumpul - Buat sendiri lebih baik daripada mengupah orang yang hampir mencecah 1K

Comments

Popular posts from this blog

Mirip

Biasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu sahaja. Yang lain-lain itu kala…

Seluar

Seorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar
untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat.

Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang.

Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan.

Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat sembahya…

Klang

Saya selalu percaya pengajaran dan pembelajaran tidak hanya terhad dalam lingkungan bilik kuliah semata-mata. Sesekali para pelajar perlu diberi ruang dan peluang untuk mengembangkan sayapnya dan meluaskan pandangannya. Sekaligus menterjemahkan apa yang diperoleh dalam kelas dalam bentuk amalan dan tindakan di lapangan.

Saya berkesempatan turun padang bersama lebih 100 orang pelajar menawarkan khidmat tenaga secara sukarela di Majlis Perbandaran Klang (MPK). Aktiviti yang dilakukan memang menyeronokkan. Kami sama-sama menanam bunga di Pengkalan Batu selain daripada mengecat gerai-gerai yang disewakan oleh MPK.

Saya lihat ada juga yang kekok memegang cangkul. Malah tidak tahu buat batas juga. Ini tidaklah menghairankan sangat kerana remaja kini bukan macam zaman remaja kita. Mereka mungkin tidak pernah ada peluang untuk "menanam" di laman rumah. Barangkali tiada laman atau semuanya dilakukan oleh tukang kebun. Mereka tidak boleh disalahkan kerana mereka lahir ketika aktiviti …