Skip to main content

Peranan

Pagi ini saya sempat berceloteh sedikit dengan pelajar saya tentang perempuan yang tidak tahu, tidak boleh dan malas memasak. Bukan luar biasa sekarang, kalau ada perempuan yang memilih untuk tidak memasak walaupun sudah bergelar isteri. Bila perkara ini dibangkitkan, pelajar perempuan segelintirnya melenting. Saya kata, perempuan begini tidak wajarlah dijadikan isteri. Saya memprovokasi mereka sebenarnya. Saya mahu mereka mempertahankan hujah mereka tetapi tidak sampai menegakkan benang yang basah.

Kata mereka, kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Mereka mengalih perhatian. Kata mereka lagi, kalau lelaki tak boleh jadi imam, kita kata okay saja. Tidak boleh pula  diperbesarkan nanti mereka terasa hati.  Mana boleh begitu.

Ada betulnya juga kata-kata kaum Hawa ini. Mereka mula membela diri dan saya mendengar penuh teliti. Kata seorang pelajar perempuan, mungkin mereka tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Sementelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya. Ada betulnya juga.


Memang tidak dinafikan ramai juga lelaki yang meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai. Kalaulah itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup. Tidak kiralah, jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya, dia mesti boleh dan tahu memasak.


Ada seorang pelajar perempuan menyuara rasa tidak puas hati. Dia berpandangan syarat yang diletakkan kepada wanita perlu juga diletakkan kepada lelaki juga. Maksudnya, kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, lepas itu boleh pula mengimam satu taman perumahan juga. Sibuk suruh perempuan handal memasak, sedangkan mereka bolehkah jadi imam. Saya dengar dengus beberapa pelajar perempuan yang lain. Sekali lagi, betul juga.

Mereka lebih berani dengan mempersoalkan berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawap tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam. Kata mereka lagi, isu ini sepatutnya  diberatkan seperti mana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa queen control. Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apalah salahnya lelaki juga disuruh belajar.

Akhirnya, sama-sama berpakat untuk belajar. Saya setuju.

Pena Tumpul - Beruntung kerana isteri memang pandai dan rajin memasak.

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w