Skip to main content

Kebah

Hari ini baru terasa sedikit kebah selepas tiga hari demam ditambah dengan jangkitan tonsil yang begitu memeritkan. Kata doktor demam berpunca dari jangkitan tonsil itu. Sejak beberapa tahun yang lalu doktor menyarankan agar pembedahan dilakukan untuk mengelak jangkitan berulang. Saya tidak sangat bersetuju justeru saya boleh bertahan dan doktor pun berkata ia tidaklah begitu serius. Saya cuma perlu berjaga-jaga dalam soal makanan. Pastinya menjauhi makanan pedas dan berminyak yang berlebihan. Dan paling penting kurangkan minuman berais dan kalau boleh hentikan terus. Ia begitu mudah tetapi cuaca panas gagal menyekat keinginan untuk mengambil ais secara berlebihan. Dan saya dilanda sakit tekak lagi.

Saya mendatangi dua doktor yang berbeza. Pandangan dan jenis ubat yang diberi juga berbeza. Lantas impaknya turut berbeza.Lazimnya saya tidak akan beralih arah pada mana-mana doktor selain setia pada doktor yang pertama ini. Namun selepas 3 hari tanpa sebarang tanda pemulihan, isteri menyarankan agar mencuba nasib di klinik yang agak asing bagi kami. Asing kerana dua sebab. Ia bukan klinik panel dan tidak pula tersenarai pun dalam kepala kami berdua. Kendatipun begitu sudah ramai yang berkata khidmat dan rawatannya begitu mengesankan. Saya teruja. Tidak salah untuk mencuba yang luar dari biasa dan sesekali mengongkosi sendiri ubat dan rawatan. Doktor ini saya temui dan ternyata begitu berbeza pendekatannya. Lebih teliti dan tidak begitu ala kadar dalam pemeriksaannya. Dia turut menyentuh tentang kualiti ubat yang berbeza di lain-lain klinik. Bekalan ubat boleh datang dari pelbagai negara malah termasuk India, Indonesia dan Thailand. Ubat yang murah dibekalkan oleh tiga negara ini. Kemujaraban ubat dalam mengubat penyakit banyak bergantung kepada kualiti ubat yang diambil. Tidak susah untuk saya faham mengapa ubat di klinik pertama tidak berkesan.

Dengan penjelasan lebih setengah jam darinya dan beberapa jenis ubat yang kelihatannya luar dari biasa sakit tekak saya pulih tidak sampai dua jam. Menakjubkan. Dan hari ini saya sudah tidak susah-susah lagi hendak telan nasi dan tidak lagi perit hendak bersuara. Namun di atas segala-galanya pastinya kurniaanNya yang menurunkan penawar kepada setiap penyakit. Kitalah yang perlu pandai mencari ubat dan doktor yang sesuai.

Pena Tumpul - Berbaloi



Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...