Monday, December 14, 2015

Umpan

Hadif di umpan dengan gula-gula sebelum berjaya dipujuk oleh ibunya untuk mandi petang tadi. Dia menangis semahunya sambil menolak ibunya. Namun dia tewas juga dengan umpanan ibunya. Hafiz yang berusia 4 tahun pula diumpan oleh ayahnya dengan mainan setiap kali dia enggan diajar mengaji. Ikan di air diumpan dengan cacing dan berakhir dengan mulutnya tesangkut pada mata kail yang tajam milik si pengail. Ayam kampung yang liar tewas dengan umpan jagung yang tidak seberapa sebelum menyaksikannya disembelih untuk gulai kari yang enak. Seorang anak yang malas belajar di umpan oleh ayahnya dengan sebuah motosikal untuk sebuah keputusan cemerlang dalam peperiksaan . Hari ini saya diminta oleh isteri untuk menyumbangkan dua hamper untuk hadiah cabutan bertuah bagi mengumpan ibubapa supaya hadir dalam mesyuarat agung PIBG sekolahnya.

Umpan pelbagai bentuknya. Kata-kata dari mulut yang manis pun boleh jadi umpan yang cukup berkesan. Namun umpan wang ringgit dilihat paling kerap digunakan. Orang akan mudah gelap mata sekiranya wang dijadikan umpan. Yang malas akan segera bertukar rajin andai wang umpannya. Sewaktu rewang, yang lesu tidak bermaya cepat sahaja berubah pantas dan segar bila diumpan dengan beberapa kotak rokok oleh tuan rumah.

Umpan juga boleh dilihat sebagai insentif. Sebagai insentif ia selalunya begitu positif sifatnya dan pencetus motivasi yang cukup berkesan. Bonus hujung tahun dijadikan insentif yang menanti pekerja yang rajin dan cemerlang. Ada juga yang menawarkan percutian untuk seisi keluarga di tempat peranginan. Bagi si isteri yang baik budi dan pandai menambat hati pastinya ada insentif yang menanti di hari ulangtahun kelahiran.

Pandai-pandailah mengumpan kerana ada ketikanya umpan habis namun yang di umpan tidak juga dapat-dapat.

Pena Tumpul - Umpan jinak di air tenang

No comments:

Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...