Skip to main content

Pengajaran

Saya ditarik untuk menonton drama buatan tempatan di TV3 malam ini. Sudah lama saya tidak terpanggil untuk menonton drama. Sebabnya mudah- jalan cerita drama Melayu sama sahaja dulu sampai sekarang. Jadi, menontonnya macam membuang masa sahaja. Namun kali ini tajuk ceritanya sangat kuat mengajak saya untuk menontonnya. Promonya juga sedikit membantu saya untuk mengetahui apa yang ada dalam cerita ini.

Drama Di bawah Langitmu ini adalah sentuhan pengarah Raja Ahmad Alauddin, pensyarah yang pernah mengajar saya kira-kira 30 tahun lalu semasa di UKM. Faktor pengarah juga mendorong saya menonton drama ini hingga ke hujungnya. Hasil tangan Raja Ahmad Alauddin pada saya tidak pernah mengecewakan.

Drama yang baik perlu ada pengajaran. Drama bukan setakat hiburan sahaja atau setakat menempelkan pelakon-pelakon yang kacak dan cantik. Dan drama ini ada pengajarannya. Walaupun Osman hampir gagal memiliki An sebagai teman hidupnya setelah menjadi tunangan orang, akhirnya An menjadi isterinya juga. Pengajaran paling berguna di sini bahawa jodoh itu di tangan Tuhan. Jodoh itu milikNya. Kata orang kalau bukan jodoh kita dan hak kita, dalam genggaman pun boleh terlepas.

Siapa pun suami kita, baik atau buruk, isteri perlu mendahuluinya lebih daripada orang lain. Faktanya, Allah paling teratas, kemudian Rasulullah, kemudian suami dan diikuti ibu dan bapa. An faham itu. Dia tidak menelanjangkan keaiban suaminya yang kerap menderanya pada orang lain kerana sayangnya dan taatnya pada suaminya. Hanya dengan rahmat Allah, tembelang suaminya terbongkar juga. An terlepas dari penderitaan yang ditanggungnya bersama suaminya kian lama.

Selain itu, kerana tekanan rumah tangga boleh berantakan. Rumahtangga yang diawalnya sangat bahagia bertukar lara bila Osman ditipu rakannya dan lesap wangnya, Osman tertekan dan menjadikan isteri yang disayanginya dulu sebagai mangsanya. Pengajarannya, janganlah sampai wang membuat kita hilang pertimbangan. Juga, jangan mudah sangat percaya kepada seseorang, walaupun rakan yang kita sangka baik, kerana selalunya kawan jugalah yang selalu makan kawan.

Cuma, saya kurang selesa dengan pengakhirannya. Menembak dan membunuh orang bukan budaya Melayu. Ia tidak boleh diterima langsung!

Pena Tumpul - Drama adalah kisah hidup kita

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

LailatulQadr

S aya melihat sekeliling saya orang sibuk bercakap fasal Lailatul Qadr. Di sepuluh malam terakhir ini memang itu pun fokus kita selain terus menjalankan ibadah puasa. Semua tahu bahawa di bulan ini, Allah anugerahkan kita umat Muhamad dengan satu malam yang super hebat. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia menyamai tempoh kita beribadat lebih 83 tahun. Hebat kan! Pagi ini lewat corong radio seorang Ustaz bercerita kenapa umat Muhammad Allah kurniakan malam yang bernilai 83 tahun ini. Katanya, Rasulullah saw. pernah bercerita bahawa beliau mendapat wahyu dari Allah tentang seorang laki-laki Bani Israil yang berjihad di jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah saw. sangat kagum, lalu beliau berdoa, "Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan sedikit amalan." Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah saw. dengan memberikan Lailatul Qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan ole...