Skip to main content

Sayu

Emak menyatakan rasa sedih dan sayunya sebaik sahaja kami selesai berbuka puasa malam tadi. Kesedihan emak bersebab kerana Ramadan semakin hampir untuk berlalu dan mengucapkan selamat tinggal. Hari-hari yang berbaki untuk berpuasa semakin menguncup. Tetamu yang mulia ini akan pergi dan pasti akan kembali lagi.

Setiap kali Ramadan berarak pergi, setiap kali itulah emak begitu sejak beberapa Ramadan yang lalu. Emak kata, arwah ayah yang sudah 10 tahun meninggalkan kami juga selalu sedih begitu setiap kali Ramadan berada di penghujungnya.

Emak tidak keseorangan sebenarnya.Saya juga berkongsi rasa dengan emak. Malah sesiapa pun yang merasai kelazatan berpuasa akan berasa sayu begitu. Seperti kata Ustaz, kalau terbit rasa sayu bukan kepalang untuk berpisah dengan Ramadan itu tanda peningkatan iman berlaku dalam diri.

Seperti seorang kekasih, Ramadan memang selalu diharap-harap kedatangannya. Rasanya tak ingin berpisah sekalipun cuma sedetik. Begitulah Ramadhan seperti digambarkan sebuah hadits yang diriwayatkan Ibnu Khuzaimah, "Andaikan tiap hamba mengetahui apa yang ada dalam Ramadhan, maka ia bakal berharap satu tahun itu puasa terus."

Ramadan ini akan pergi, namun yang pergi giliran purnama; bukan rasa dan maknanya. Semoga semuanya masih di jiwa yang sentiasa merindui barakah dan maghfirahnya.

Pena Tumpul - Apakah kita berjaya atau sekadar menumpang gembira di pinggiran kebesaranNya?

Comments

Popular posts from this blog

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Kuasa

B ila memandu di lebuhraya, keinginan untuk memandu laju melampaui had yang ditetapkan cukup membuak-buak. Sesekali ada peluang kereta dipecut semahunya. 110km sejam yang ditetapkan bagai tidak diendah lagi. Tidak terfikir lagi tentang perangkap laju yang mungkin tersorok di mana-mana menunggu mangsa. Kuatnya pengaruh kuasa. Saya memotong kereta satu demi satu tanpa gusar dan ragu.Namun momentum terus bertukar perlahan sebaik sahaja memotong sebuah kereta Waja. Kereta ini benar-benar mempengaruhi saya supaya tidak terus memandu laju. Sebabnya mudah sahaja. Kereta yang saya potong itu ada logo Polis di belakangnya. Walaupun saya tahu bukanlah satu kesalahan pun untuk memotong mana-mana kereta berlogo begitu namun pengaruh logo itu memang cukup kuat. Begitu juga kesan daripada warna baju hijau memantul cahaya yang selalu dipakai polis. Terpandang sahaja kelibat baju hijau ini dari jauh, tali pinggang yang sengaja tidak dipakai akan bergolot dipakai. Akhirnya tertipu sendiri bila ...