Skip to main content

Zikir

"Zikir itu pelita hati"
Bagaimanakah cara berzikir dan berwirid selepas solat menurut as-Sunnah? Kebiasaannya, masyarakat kita hari ini hanya mengikut amalan yang kita warisi dari orang-orang terdahulu dan kita tidak pernah bertanya dari mana sumbernya.
Masyarakat kita juga sering berfikir bahawa asalkan amalan tersebut nampak baik maka tidak ada salah ianya dilakukan. Namun begitu, elok juga kita melihat beberapa dalil dan pandangan para ulama’ mengenai isu ini bagi tujuan menilai semula amalan kita sama ada ia benar-benar menepati maksud al-Qur’an dan hadis Rasulullah (sallahu’alaihi wasallam).

Firman Allah (subhanahu wata’ala) yang maksudnya;

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang yang lalai.”

(Surah al-A’raaf, ayat 205)

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.”

(Surah al-A’raaf, ayat 55)

“Wahai manusia! Kasihanilah diri kamu kerana bukanlah engkau menyeru kepada Zat (Tuhan) yang pekak lagi jauh. Sesungguhnya engkau sedang menyeru kepada Zat yang Maha Mendengar lagi dekat bersama kamu”

(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)

Banyak riwayat menunjukkan Rasulullah (sallahu’alaihi wasallam) ada berzikir dan berdoa’ selepas solat tetapi ia TIDAK dilakukan dengan cara beramai-ramai (berjemaah) secara berkekalan dan ianya dilakukan mengikut adab yang betul. Imam as-Syafi’i (rahimahullah) ada menyebut perkara ini yang di antara lain menyatakan bahawa:

“Saya (Imam Shafi’i) memandang baik bagi imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah selesai daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir, kecuali jika dia (imam) mahu mengajar orang lain. Maka imam mengeraskan suaranya, sehingga dia melihat orang telah mempelajari daripadanya. Kemudian dia merendah (memperlahankan) suaranya.”

(Kitab al-Umm, Jilid 1)

Imam an-Nawawi (rahimahullah), ketika mengulas kaedah-kaedah berzikir selepas solat berjemaah, juga bersetuju dengan kesimpulan Imam as-Syafi’i (rahimahullah). Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhadzab.

Imam al-Baihaqi (rahimahullah) ada menyebut bahawa:

“Bahawa zikir dan doa’ sesudah solat harus disirrkan (perlahankan) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dijaharkan (dikuatkan) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa’ itu harus disirrkan (diperlahankan).”

(Kitab Zikir dan Doa’-Doa’ Rasulullah (sallahu’alaihi wasallam), Sunan al-Kubra)

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani (rahimahullah) juga menyebut perkara yang sama bahawa:

“Tidak disukai mengeraskan suara waktu berzikir dan berdoa’. Demikianlah juga pendapat golongan salaf dari para sahabat dan tabi’en (orang selepas sahabat).”

(Kitab Fath ul-Baari, syarah Sahih Bukhari)

Kesimpulannya, para ulama’ bersetuju bahawa berzikir/berwirid selepas solat adalah secara bersendirian dan dilakukan secara perlahan-lahan. Berzikir secara beramai-ramai dengan suara yang kuat boleh menimbulkan gangguan kepada jemaah lain yang sedang bersolat iaitu bagi mereka yang masih meneruskan solat kerana terlewat (makmum masbuq) dan juga bagi mereka yang sedang solat sunat selepas itu (sunat ba’diah.

Pena Tumpul - Peringatan untuk diri sendiri

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...