Skip to main content

Sasterawang

Sasterawan atau sasterawang? Persoalan yang sangat menarik untuk dibincangkan. Ia tercetus dalam forum bicara sastera hari ini. Saya sempat bersama mengikuti forum ini yang disertai oleh panelis yang tidak kurang hebatnya. Ada pemuisi Shapiai Ramly, penggiat teater Rahimah Muda dan juga Cikgu Talib novelis Saga. Zaid Aktar yang cukup popular dengan Salju Sakinahnya juga ada.

Mengapa sasterawang? Ia tentunya sangat berkait dengan motif keterlibatan kita ke dalam kancah sastera. Mengapa kita berkarya, adakah ia didorong oleh rasa cinta kita kepada sastera itu sendiri. Atau mungkin kita menulis untuk wang. Kalau menulis semata-mata untuk wang, indikatornya sangat jelas. Nilai sastera di dalam sesebuah karya dikesampingkan asalkan nilai komersialnya berada di kedudukan nombor satu. Justeru bila melihat lambakan karya-karya yang bagaikan cendawan tumbuh di musim hujan kini, timbul keraguan kenapa ia dihasilkan. Sesekali berkesempatan membelek novel-novel yang sangat banyak judulnya di kedai-kedai buku, nilai estetikanya macam dibenamkan. Temanya juga tidak lari dari soal cinta yang diolah dalam pelbagai bentuk dan rupa. Khalayak sasar pembacanya bukan mengira sangat soal harganya asalkan ia menyentuh tema cinta yang pastinya sangat dekat dalam kehidupan mereka, selain tema yang berkisar kebobrokan rumah tangga. Usah dicari soal kemanusiaan sejagat dalam novel-novel seperti ini, kita tidak akan menjumpainya seperti kita membaca novel-novel seperti Keluarga Gerilya, Ranjau Sepanjang Jalan dan sebagainya. Pembaca sekarang lebih terdodoi dengan tema-tema segar dan wangi, bukan tema yang menyelinap daerah-daerah hanyir dan gersang.

Karya yang bagus bukan lagi kerana nilai sasteranya yang tinggi lagi. Karya yang bagus ialah karya yang diulang cetak berkali-kali justeru tingginya permintaan dari pembaca. Karya sastera yang semurni mana pun nilai estetikanya akan berkulatlah di pelosok rak menunggu pembaca.

Sasterawan berkaryawan, sasterawang pula  berkaryawang!

Pena Tumpul - Baca Desa Pingitan karya Ibrahim Omar berkali-kali



Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...