Skip to main content

Doa

"Doa orang tua untuk anaknya bagaikan doa nabi untuk umatnya."
                                                                                                     (Hadis direkodkan oleh ad-Dailami)

Buku Dahsyatnya Doa Ibu sudah berkali-kali saya belek dan baca setiap kali berkunjung ke kedai buku. Namun tidak cukup kuat auranya menarik saya untuk membelinya. Saya ke perpustakaan pagi ini dan suasana agak lengang. Peluang untuk saya "menggeledah" semahu-mahunya buku-buku yang dikira agak baru terdampar di rak. Satu demi satu buku baru saya pegang dan belek sambil baca sepintas lalu, namun tiada sebuah buku pun yang benar-benar menarik hati saya untuk membaca sesantainya. Barangkali kesan menonton drama Melayu "Hilangnya doa seorang Ibu" masih kuat terasa, mata saya terpaku kepada buku ini. Saya capai, pinjam dan baca tanpa henti. Sangat menarik. Sangat menginsafkan. Sarat dengan pengajaran buat anak-anak yang cukup sedar yang dirinya masih punya seorang ibu.

Saya sangat terpaut dengan sebuah kisah yang dipaparkan dalam buku dan ingin saya kongsikan di sini. Ia memberitahu kita betapa dahsyatnya doa ibu. Sangat dahsyat.

Ada dua orang adik-beradik iaitu Amin (abang) dan Adi (adik). Amin sangat baik sejak kecil sehingga dewasa. Dia tidak pernah melakukan sebarang perkara jahat mahupun maksiat. Ibu bapa, keluarga serta masyarakat sangat menyayangi Amin.Adi pula sangat nakal sejak kecil. Apabila dewasa Adi menjadi individu yang jahat. Dia pernah dipenjarakan tetapi tidak pernah insaf. Hidupnya sering bergelumang dengan maksiat. Melihat perangai Adi yang teruk ini, ibunya sering berdoa agar Allah memberikan Adi hidayah dan kembali ke jalan lurus. 

Suatu hari, Adi memberitahu ibu dan Amin yang dia ingin memulakan perniagaan. Dia meminta sebahagian harta peninggalan arwah ayahnya. Ibunya dan Amin berasa lega kerana mereka sangka Adi sudah berubah dan ingin bertaubat. Rupa-rupanya tidak, Adi ingin membuka sebuah rumah pelacuran. Ibu dan abangnya enggan memberikan dokumen harta pusaka tersebut.Pada waktu malam, Adi cuba mencuri dokumen itu tetapi dihalang oleh ibunya. Adi menendang ibunya. Dalam kesakitan, ibunya berdoa lagi agar Adi kembali ke jalan yang diredhai Allah. Tanpa bantuan ibu dan abangnya, Adi berjaya juga membuka sebuah rumah pelacuran. 

Lain pulanya yang berlaku pada Amin. Selepas kejadian itu, Amin tiba-tiba mendengar satu suara halus yang membandingkan dirinya dengan Adi. Suara itu berkata: "Sejak kecil sehingga sekarang, engkau asyik beribadah, tidak pernah merasai nikmat dunia. Lihat adik kamu, sentiasa ada wanita sekeliling pinggang. Apa kata kamu kunjungi rumah pelacuran adikmu. Sekali sahaja. Selepas itu, bertaubatlah. Allah pasti menerima taubatmu kerana Allah Maha Penyayang." Amin berazam untuk pergi ke rumah pelacuran adiknya pada malam itu selepas solat Maghrib.

Dalam masa yang sama, Adi yang berada di rumah pelacurannya mula terfikir: "Sampai bila aku perlu hidup dalam maksiat. Semua orang membenci aku. Jika berterusan begini, pasti aku akan masuk neraka dan abangku sudah tentu akan masuk syurga. Aku tak masuk terus hidup dalam maksiat. Aku perlu berubah. Malam ini juga, aku akan ke masjid untuk solat bersama-sama abangku."

Pada malam itu, Amin dan Adi meneruskan niat masing-masing. Disebabkan mereka tidak melalui jalan yang sama, mereka tidak berselisih.Adi pun meninggalkan rumah pelacurannya. Amin pula selepas pulang dari solat Maghrib, terus menyalin pakaian dan menuju ke rumah pelacuran. Tiba di sana, dia tidak berjumpa dengan adiknya. Semua orang tidak tahu di mana Adi. Akhirnya, Amin berjumpa dengan Mira, seorang pelacur yang pernah menggodanya dahulu. Mira menyambutnya dengan mesra dan akhirnya mereka berdua tenggelam dalam maksiat. Sementara itu, Adi yang telah tiba di masjid tercari-cari abangnya. Dia tidak menemui Amin. Malahan semua orang di masjid tidak tahu di mana Amin. Adi pun terus mendirikan solat dan melakukan wirid kerana benar-benar ingin bertaubat.

Tiba-tiba berlaku satu gempa bumi yang kuat. Semua orang dalam masjid itu bertempiaran lari keluar kecuali Adi yang begitu kusyuk berwirid.Banyak bangunan yang runtuh akibat gempa bumi itu. Keesokan harinya, orang ramai sibuk mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan. Mereka terjumpa mayat Adi sedang memeluk Al-Quran. Di runtuhan rumah pelacuran pula, mereka terjumpa mayat Amin serta Mira dalam keadaan yang memalukan. Orang ramai kehairanan melihat Adi yang mati di masjid dan Amin pula di rumah pelacuran.Ibu mereka menangis melihat keadaan anak-anaknya, lebih-lebih lagi keadaan mayat Amin. 

Barulah dia tersedar, selama ini dia tidak pernah mendoakan Amin kerana menganggapnya anak yang soleh dan tidak memerlukan doanya lagi. Dia silap sebenarnya.

Pengajarannya, wahai ibu doakanlah kesemua anak-anakmu. Kalau ada 10 orang anak, doakan untuk kesemuanya. Walaupun perangai anak-anak ada yang baik dan ada yang buruk, janganlah lupa mendoakan mereka. Doakanlah yang terbaik untuk anak-anak. Dan jika marahkan anak-anak, berhati-hati dengan ayat yang keluar dari mulut kita. Apa yang kita katakan adalah doa. Jangan sampai tersalah doa, buruk padahnya!

Pena Tumpul - Sangat sedar emak memang sentiasa mendoakan saya dan semua anak-anaknya juga

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w