Skip to main content

Mulut

Kata orang tua-tua, kerana pulut santan binasa; kerana mulut badan binasa. Ia membawa mesej yang sangat jelas iaitu berhati-hatilah dalam menggunakan mulut nikmat Tuhan ini. Mulut selalunya dikaitkan dengan percakapan dan tutur bicara. Ada orang yang cakap lepas ikut sedap mulut tanpa mengambil kira perasaan orang yang menerima atau mendengarnya.

Pelbagai istilah yang dikaitkan dengan mulut ini. Antara yang kerap sangat didengar ialah mulut laser, mulut longkang dan tidak sayang mulut. Ia tentunya merujuk kepada aspek negatif mulut. Mulut laser yang tidak berhenti bercakap dan bisa panahannya bagaikan laser. Begitu juga mulut yang berbau longkang juga merujuk kepada mulut yang gemar menghamburkan kata-kata kurang baik dan tidak enak didengar atau lebih tepat mulut busuk. Bagi mereka yang sangat celupar ini dan tidak berkira-kira dalam melontarkan kata-kata sering disindir dengan ungkapan tidak sayang mulut.

Malam ini saya berjaya dipaksa untuk terpaku di depan tv menonton sebuah drama Melayu. Memang saya sangat selektif dalam menonton rancangan tv lebih-lebih lagi drama Melayu. Kalau tiada mesej yang kuat dan berimpak tinggi, saya tidak akan membuang masa hampir dua jam begitu sahaja di perbodohkan oleh pengarah dan pelakon-pelakonnya. Saya sangat tertarik dengan jodol cerita ini. Hilangnya doa seorang ibu memang ada pengajarannya. Saya kira jodol Mulut lebih sesuai untuk drama ini kerana memang mulut isu pokoknya.

Ia berkisar kisah seorang usahawan wanita yang sangat berjaya. Juga seorang yang taat solat, suka berderma juga. Cuma wanita yang berwatak Laila ini agak bongkak dan suka menghina abang, adik malah suaminya sendiri justeru kedudukannya itu. Mulutnya bagaikan tidak terkawal memaculkan kata-kata yang mengguris hati insan-insan penting dalam hidupnya ini. Kekayaan wang ringgit yang dimilikinya bagaikan tiket untuknya mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati. Untuk meminjam wangnya, abang dan adiknya perlu dimaki hamun dahulu olehnya.

Roda tidak selalunya di atas. Ada masanya akan ke bawah juga. Keceluparan mulutnya membawa padah.Tuhan maha kaya. Tuhan ingin menyedarkannya. Secara tiba-tiba dia diserang penyakit misteri. Mulutnya terkunci. Bernanah. Busuk. Balasan Tuhan pastinya.

Doa ibu memulihkannya. Dasyatnya doa seorang ibu. Boleh jadi baik dan buruk juga. Jadi, jangan sakiti hati ibu. Jaga mulut juga!

Pena Tumpul- Tahu doa ibu memang hebat

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...