Skip to main content

Kemuliaan

Masjid baru Gudang Garam dirasmikan dengan solat Jumaat hari ini. Lebih selesa berbanding masjid lama dahulu dan mampu memuatkan lebih kurang 300 jemaah. Khutbah menyentuh persoalan dalam mencari kemuliaan. Tidak dinafikan semua orang memburu kemuliaan. Semua orang ingin dipandang mulia. Cuma persoalannya apakah nilai kemuliaan itu.

Memiliki pangkat yang tinggi sering dikaitkan dengan kemuliaan. Mereka yang berpangkat selalunya dipandang tinggi dan mulia di mata orang ramai. Pelbagai cara dilakukan untuk mendapatkan pangkat yang diidamkan, tidak kira cara yang betul atau sebaliknya. Ada yang berusaha gigih dari bawah memajukan diri dan akhirnya berjaya memperolehi pangkat yang diimpikan. Tidak kurang yang main kotor menggunakan jalan pintas dengan mengorbankan orang lain asalkan cita-citanya tercapai.

Berpangkat tinggi dilihat mulia sekiranya pangkat yang dimiliki tidak sampai disalahgunakan untuk menindas orang yang di bawah. Pangkat bukan tiket untuk kita mengharuskan segala tindakan yang menyebabkan orang bawah rasa dianiaya dan diperlekehkan semahunya. Kalau sewaktu berpangkat kita lupa diri, tidak mustahil bila kita sudah tidak berada di kedudukan itu lagi, orang akan melupakan kita. Masa itu barulah kita sedar bahawa pangkat yang kita miliki selama ini tidak menjadikan diri kita dilihat mulia pun kalau tidak kena caranya.

Ada yang mencari kemuliaan dengan memburu dan mengumpul harta serta wang ringgit. Tidak dinafikan orang yang berharta sentiasa dipandang tinggi dan mulia dalam masyarakat. Namun memiliki harta semata-mata bukan ukuran mutlak kemuliaan. Memiliki harta akan dilihat mulia kalau kita sedia berkongsinya dengan orang lain. Mempunyai harta dipandang mulia kalau kita tidak sayang menderma. Selalunya bila harta sudah tiada lagi, orang akan mula menjauhkan diri dari kita kecuali kalau masa berharta dulu kita tidak lokek harta untuk membantu mereka yang memerlukan.

Pena Tumpul - Cadang nama AlIkhwan untuk masjid baru

Comments

Popular posts from this blog

Kuasa

B ila memandu di lebuhraya, keinginan untuk memandu laju melampaui had yang ditetapkan cukup membuak-buak. Sesekali ada peluang kereta dipecut semahunya. 110km sejam yang ditetapkan bagai tidak diendah lagi. Tidak terfikir lagi tentang perangkap laju yang mungkin tersorok di mana-mana menunggu mangsa. Kuatnya pengaruh kuasa. Saya memotong kereta satu demi satu tanpa gusar dan ragu.Namun momentum terus bertukar perlahan sebaik sahaja memotong sebuah kereta Waja. Kereta ini benar-benar mempengaruhi saya supaya tidak terus memandu laju. Sebabnya mudah sahaja. Kereta yang saya potong itu ada logo Polis di belakangnya. Walaupun saya tahu bukanlah satu kesalahan pun untuk memotong mana-mana kereta berlogo begitu namun pengaruh logo itu memang cukup kuat. Begitu juga kesan daripada warna baju hijau memantul cahaya yang selalu dipakai polis. Terpandang sahaja kelibat baju hijau ini dari jauh, tali pinggang yang sengaja tidak dipakai akan bergolot dipakai. Akhirnya tertipu sendiri bila ...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...