Skip to main content

Sempit

Kita selalu mendengar ungkapan jauh berjalan luas pandangan. Sebaliknya kalau kurang berjalan pandangan pastilah sempit. Pemikiran juga tidak berkembang. Kalau pun untuk berjalan jauh itu di luar kemampuan kita ia boleh ditampung dengan cara menambah ilmu. Dengan membaca misalnya, banyak ilmu baru yang boleh kita perolehi.   Malah Islam menyuruh kita menambah ilmu setiap hari agar banyak yang kita tahu, dan akal boleh berfikir dengan betul. 

Lazimnya, pemikiran yang tidak berkembang berpunca dari ilmu dan maklumat yang terhad dan tidak bertambah. Namun ilmu menjadikan kita seseorang yang berbeza dengan orang lain, bahkan dengan diri kita sendiri dahulu yang banyak tidak tahu.

Saya suka untuk berkongsi kisah yang menarik ini tentang perlunya ada ilmu. Tentang seorang asli yang terhimpit dalam pandanganya yang sempit dan cuma tahu tentang kampungnya. Padanya, dunia luas ini seluas kampungnya sahaja. Jadi, bila dia dibawa keluar dari kampungnya bersiar-siar ke bandar satu hari, dia tidak ubah bagai rusa masuk kampung. Dalam perjalanan yang jauh itu Mbonoh asyik bercerita tentang kampung halamannya sahaja. Dalam kereta dia tidak boleh duduk diam tercangak-cangak melihat bangunan tinggi di Bandar Sydney. Dia benar-benar rasa teruja dengan pandangan baru ini. Dia dibawa ke kota besar ini oleh David seorang penyelia program pendedahan masyarakat orang asli dengan kehidupan moden.

“Di kampung, paling menakutkan kami, ada seorang tukang sihir perempuan yang boleh menukar orang menjadi seekor katak menggunakan sebuah kotak ajaib…”katanya bercerita.


Dia bercerita lagi bersungguh-sungguh, mungkin membandingkan keadaan kampungnya yang kuno dan Sydney yang hebat. Apabila sampai di sebuah hotel, David menguruskan daftar masuk sedang Mbonoh memilih duduk di kerusi di hadapan lift. Dia melihatnya dengan penuh hairan dan kaget sekali. Apabila proses daftar masuk selesai David mengajak Mbonoh naik ke tingkat dua puluh dengan menaiki lift. Mbonoh bermati-matian tidak mahu naik lift.
“Tidakkk!!”“Tidakkk!!” “Ampun..Jangan paksa saya .”jerit Mbonoh
“Kenapa ni ?” Tanya David.
“Saya ingat di kampung saya sahaja ada kotak sihir.”
“Kenapa ?” Tanya David lagi kehairanan.
 

”Mana mungkin saya nak masuk dalam kotak besar ni !!” Sambil menuding ke arah lift.
”Tadi saya lihat ada seorang budak muda masuk lepas tu pintu kotak ni tertutup bila terbuka kembali dia keluar saya tengok dia dah jadi tua bertongkat. Lepas tu masuk seorang perempuan pintu tertutup lepas tu keluar dia jadi lelaki. Lebih saya takut masuk dua orang lelaki tapi bila pintu terbuka kembali, seorang jadi lelaki lain dan kawannya tu jadi seekor anjing!” Mbonoh menjelaskan apa yang dia tengok sebentar tadi
 

”Tak nakkk.. tolong bawa saya balik kampung!", rayunya.
 

David tersenyum..Kesian Mbonoh, dia fikir lift itu adalah kotak sihir seperti di kampungnya.

Pena Tumpul - Sesekali macam rusa juga

Comments

Popular posts from this blog

Kuasa

B ila memandu di lebuhraya, keinginan untuk memandu laju melampaui had yang ditetapkan cukup membuak-buak. Sesekali ada peluang kereta dipecut semahunya. 110km sejam yang ditetapkan bagai tidak diendah lagi. Tidak terfikir lagi tentang perangkap laju yang mungkin tersorok di mana-mana menunggu mangsa. Kuatnya pengaruh kuasa. Saya memotong kereta satu demi satu tanpa gusar dan ragu.Namun momentum terus bertukar perlahan sebaik sahaja memotong sebuah kereta Waja. Kereta ini benar-benar mempengaruhi saya supaya tidak terus memandu laju. Sebabnya mudah sahaja. Kereta yang saya potong itu ada logo Polis di belakangnya. Walaupun saya tahu bukanlah satu kesalahan pun untuk memotong mana-mana kereta berlogo begitu namun pengaruh logo itu memang cukup kuat. Begitu juga kesan daripada warna baju hijau memantul cahaya yang selalu dipakai polis. Terpandang sahaja kelibat baju hijau ini dari jauh, tali pinggang yang sengaja tidak dipakai akan bergolot dipakai. Akhirnya tertipu sendiri bila ...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...