Skip to main content

Kesan

Petang ini bila saya santai-santai memandu, mata saya tertumpu pada seorang tua yang mundar mandir macam tanpa arah dan tujuan. Saya silap sebenarnya. Dia bertujuan rupanya bila sesekali saya lihat dia akan membongkok dan mengutip sesuatu yang mencuri perhatiannya sepanjang dia berjalan kaki itu. Mungkin sampah yang dipungutnya. Ia boleh jadi pembalut gula-gula, kertas tisu dan apa sahaja yang menyemakkan mata memandang.

Saya mengkagumi apa yang dibuat oleh lelaki yang mungkin pada pandangan mata orang lain tidak siuman atau macam sudah tidak ada kerja yang lebih berfaedah itu untuk dilakukan. Saya sangat tidak bersetuju bila Haziq memperlekehkan perlakuan lelaki itu. Malah saya juga tidak bersetuju bila Diko yang turut sama dalam kereta bersama kami mengatakan bahawa kerja itu biar sahaja dilakukan oleh mereka yang diberikan amanah untuk melakukannya, pekerja majlis perbandaran misalnya. Ia membawa maksud tidak perlulah sesiapa pun termasuk juga lelaki itu buat sesuatu yang tidak sepatutnya dia buat. Kedua-duanya silap dalam melihat sesuatu. Mungkin memang begitu cara Generasi Y berfikir.

Saya ceritakan kepada Haziq dan Diko sebuah kisah yang pernah saya dengar dahulu dan saya kira ada kaitan dengan apa yang kami lihat itu.

Ia kisah seorang budak yang mencampakkan Tapak Sulaiman (starfish) yang terdampar di pantai ke lautan. Niat dia memang murni iaitu dia ingin menyelamatkan nyawa ikan-ikan tersebut. Bukan sedikit jumlahnya malah ratusan ribu yang terdampar dan ia bukan kerja yang cukup senang untuk dilakukan seorang diri. Tetapi, perlu kah dia melakukannya pun?

Kemudian lalu seorang lelaki yang memang pelik melihat perbuatan budak itu lalu bertanya kenapa dia perlu melakukan kerja yang orang lain tidak fikir pun hendak buat itu.


"Saya kesiankan tapak sulaiman ini, jadi saya ingin menyelamatkan mereka, sebab itu saya mencampakkannya ke dalam laut semula"

Namun lelaki itu tidak berfikir begitu malah mengatakan bahawa budak itu melakukan sesuatu yang amat membazir dan sia-sia.Ini mengecewakan budak lelaki itu walapun dia mengakui dalam hati kecilnya ada benarnya kata-kata lelaki itu bila melihat banyaknya tapak sulaiman yang perlu dilempar semula ke laut.


Pun begitu dia terus mengambil seekor lagi tapak sulaiman untuk balingan terakhir sebelum pulang..Ketika hendak mencampakkan tapak sulaiman terakhir itu, dia terfikir..dan dia meluahkan apa yang dia rasa pada lelaki itu.

"Saudara, saya mungkin tidak dapat menyelamatkan semua, tapi setiap tapak sulaiman yang saya telah selamatkan besar maknanya. Kerana saya orang kecil tidak bermakna saya tidak mampu membantu tapak sulaiman ini, selagi saya terdaya, saya akan mencampakannya. supaya ada tapak sulaiman terus selamat,tidak dibiarkan mati begitu sahaja. Sekurang-kurangnya saya melakukan sesuatu untuk menyelamatkan ikan ini", katanya.


Apa pun yang kita lakukan walaupun sebesar zarah sekali pun ia tetap memberi kesan!

Pena Tumpul - Sedar bukan blogger yang hebat tetapi sedar juga tetap memberi kesan

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...