Skip to main content

Acuan

Khabarnya 599  pelajar mendapat A+ dalam semua matapelajaran  dalam peperiksaan SPM tahun lalu. Pencapaian ini dikatakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun. Terbaik di kertas barangkali. Terbaik di kertas tidak semestinya juga terbaik di lapangan. Untuk jadi terbaik di kertas tidaklah sukar sangat bagi pelajar-pelajar yang memang gemar membaca dan jangan lupa kuat menghafal juga. Kemahiran menghafal dan kemahiran mengaplikasi apa yang dipelajari adalah dua perkara yang sangat berbeza. Justeru itu kalau ada pelajar yang memperolehi A+ dalam Bahasa Inggeris misalnya, belum tentu dia juga seorang penutur bahasa tersebut sebaik A+ yang diperolehinya itu.Saya pernah menulis tidak lama dahulu bahawa kalau gejala ini yang berlaku, sistem pendidikan yang kita ada sekarang tidak lebih hanya sekadar melahirkan pelajar spesis "kakak tua".

Saya tertarik dengan anekdot yang dicoretkan oleh Sayed Munawar di laman Facebooknya yang saya cedok bulat-bulat ini, "Saya teringat anekdot daripada seorang bekas pengarah MSD menemubual calon pelajar TESL ke Australia yang mandapat 8A namun gagal menjawab soalan dalam medium Inggeris dengan tatabahasa yang betul. Bila ditanya bagaimana dia boleh mendapat A dalam 'composition' dia menjawab 'saya menghafal 150 karangan Inggeris'.. Ini kes terpencil namun.. elok direnung

Saya rasa ia bukan kes terpencil lagi. Ia sudah jadi kes yang menjalar dan melata. Indikatornya mudah. Saksikan sendiri persembahan mereka dalam kelas-kelas tutorial di pusat-pusat pengajian tinggi. Lihat juga hasil tulisan dalam tugasan mereka. Tatabahasa yang masih cungkang kelalak. Jangan salahkan mereka. Mereka lahir dari acuan yang kita sendiri buat. Acuan turun temurun. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Acuan kita mahu dia jadi pelajar yang cemerlang peringkat tertinggi di atas kertas. Jadi, mereka bekerja keras berdasarkan acuan itu. Ibu bapa terheret sama dalam memenuhi kehendak acuan itu. Anak-anak dihantar ke pelbagai kelas tuisyen siang dan malam seolah-olah apa yang disumbat selama lebih kurang 30 jam seminggu di sekolah tidak cukup. Di kelas tuisyen pelajar yang sudah sedia tepu di pudat lagi dan lagi dengan makanan kognitif. Makanan emosi bagaimana, begitu juga makanan rohani, psikomotornya tidak sama pentingkah?


Pemburuan kertas atau "paper chase" tidak akan ada titik noktahnya selagi acuan yang sudah sangat lama kita gunakan itu terus kekal di situ. Perlu acuan baru barangkali. Kuih dari acuan lama sudah tidak nampak cantik dan molek lagi.

Acuan yang lama perlu diganti tetapi bila?


Pena Tumpul - Harap Falsafah Pendidikan Negara tidak sekadar falsafah sahaja tetapi perlu diterjemahkan secara tuntas di lapangan

Jangan lahirkan pelajar 'kakaktua'


ISU jumlah subjek yang perlu diambil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibincang begitu hangat dan tidak kurang membangkitkan reaksi yang pelbagai. Cetusan Menteri Pelajaran baru-baru ini sebenarnya dilihat mampu mengubah senario sistem pendidikan negara yang begitu menjurus kepada peperiksaan dan melahirkan klon pelajar "kakaktua".

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita melihat semacam satu kecenderungan di kalangan sesetengah pelajar berlumba-lumba mengambil begitu banyak subjek dalam peperiksaan khususnya SPM.
Bermula dengan Amalina yang menggegarkan dunia pendidikan negara apabila berjaya meraih 17A1 dalam SPM 2004 dan yang paling terbaharu kejayaan paling cemerlang Nik Nur Madihah anak nelayan dari Kelantan merangkul 20A1 diikuti pula dengan sanjungan dan pujian melangit serta tawaran yang menggunung.
Masyarakat mula membuat persepsi bahawa pelajar yang terbaik ialah mereka yang mampu mengumpul sebanyak-banyak A dalam peperiksaan. Memperoleh sekadar 5A atau 7A apatah lagi 1A tidak lagi dilihat gah berbanding beberapa tahun dulu - ketika pelajar cukup berpuas hati dengan mengambil setakat tujuh atau lapan subjek dalam SPM. Adakah memperolehi 15A dan 20A itu mewajarkan bahawa pelajar itu lebih cemerlang berbanding dengan pelajar yang sekadar mampu meraih 1A? Realitinya tidak begitu.
Berdasarkan maklum balas yang diperolehi daripada IPTA, IPTS dan juga kolej-kolej swasta, begitu ramai pelajar yang cemerlang dalam kertas sebenarnya gagal mempamerkan kemampuan setimpal dengan apa yang mereka perolehi.

Dalam subjek-subjek teknikal misalnya, mereka terpaksa bertungkus lumus di peringkat tahun pertama pengajian sebelum benar-benar dapat menguasai subjek yang ditawarkan kepada mereka.
Sesuatu yang amat kita takuti berlaku selama ini ternyata terjadi. Lantas apalah sangat 15A yang disanjung-sanjung dalam SPM itu kalau ia sebenarnya sekadar A yang tidak menyumbang apa-apa pun dalam pengembangan minda pelajar.

Tidak hairanlah kalau sistem pendidikan kita sering dimomok-momokkan sebagai satu sistem pendidikan yang cuma berjaya melahirkan spesies 'kakaktua' saban tahun.
Secara logiknya, dengan ratusan subjek yang telah dipelajari dan dicerna selama enam tahun di sekolah rendah, kemudiannya lima tahun lagi di sekolah menengah, ditambah lagi beberapa tahun di pusat pengajian tinggi, seorang lepasan universiti sepatutnya boleh bertingkah tutur penuh yakin di depan panel penemu duga. Namun realitinya tidak begitu.

Selalu kita dengar graduan gagal mempamerkan kehebatan mereka setanding dengan kehebatan mereka mengumpulkan sedemikian banyak bilangan A di kertas. Justeru sejak dari dulu lagi penulis selalu percaya gah di kertas tidak semestinya gah di hamparan.
Ketaksuban kita dalam memberi penekanan kepada belajar untuk lulus dan cemerlang dalam peperiksaan mengalpakan kita kepada keperluan yang lebih penting - pembinaan personaliti, penjanaan dan pembentukan minda pelajar supaya mampu berfikir secara kritis.
Kita sibuk menyumbatkan sekian banyak input dan data dalam minda pelajar untuk dihafal yang pada akhirnya menghasilkan pelajar yang tidak lebih seperti seekor kakaktua yang cukup terlatih.

Pastinya belum cukup terlambat untuk menilai semula dan meletakkan sistem pendidikan kita di atas landasan yang betul dan mengemudinya ke arah satu hala tuju yang bukan sahaja berupaya menghasilkan klon pelajar yang bijak dan berilmu. Juga mampu menjana minda selain berakhlak mulia dalam mendepani tekanan dan cabaran yang semakin kompleks kini.

Tujuan dan matlamat pendidikan itu sendiri perlu difahami dengan jelas dan seharusnya dilihat dalam konteks pembinaan pelajar yang diharapkan dan tentunya seperti yang dihasratkan secara jelas dalam Falsafah Pendidikan Negara iaitu penekanan kepada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Pendidikan tidak lagi wajar dilihat dari sudut yang sempit - subjek apa yang perlu diajar dan berapa banyak subjek yang perlu diambil oleh pelajar untuk peperiksaan. Sebaliknya pendidikan itu sepatutnya bertujuan untuk mendidik dan menghasilkan manusia yang sempurna.

Cukup-cukuplah mendewa-dewakan seorang dua pelajar yang merangkul sederet A saban tahun ketika keputusan SPM diumumkan. Sebaliknya sama-sama kita menggembleng tenaga untuk melahirkan pelajar-pelajar yang dapat kita pertaruhkan tanggungjawab untuk mewarisi sebuah negara bangsa masa depan.

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...