Tuesday, June 16, 2015

Taranum

Saya diminta oleh Mak Mentua mewakili Kampung Gudang Garam untuk menyertai Tilawah AlQuran anjuran sebuah parti politik. Saya tidak mampu menolaknya kerana setiap kampung perlu menghantar seorang wakil. Saya tidak cukup bersedia sebenarnya. Mahu tidak mahu saya menerima dengan berat hati.

Menyertai tilawah tidaklah sangat merisaukan saya pun kerana di peringkat sekolah lagi saya sering menyertainya dan sesekali di peringkat terbuka anjuran daerah.Saya sedar kelemahan saya paling ketara ialah berlagu bila mengalunkan bacaan ayat suci Quran. Saya tidak pernah mendapat latihan atau bimbingan secara khusus dalam bacaan alQuran.Masalah tajwid mungkin boleh diatasi dengan mudah melalui pembacaan dan belajar secara sendiri melalui bahan media yang berlambak di pasaran.Pun begitu aspek taranum bukanlah mudah untuk diperolehi kemahirannya dengan belajar sendiri-sendiri. Untuk mahir bertaranum perlu berguru.

Tanpa sebarang asas taranum yang kukuh saya menyertai tilawah ini dan berlagu sendiri.Tiada Hijaz, tiada ras,tiada nahwan dan apa-apa pun.Saya sedar saya tewas di taranum.Ketika qari-qari yang lain mempesona pendengar dengan taranum yang sedap didengar, saya pula seronok dengan lagu sendiri.

Saya cuma mampu meraih tempat ke enam daripada lapan peserta yang ada. Pun begitu, soal menang kalah tidaklah penting pun. Membaca ayat-ayat suci itulah yang lebih penting lagi!

Pena Tumpul - Ingin belajar taranum juga nanti

Sunday, June 07, 2015

Romantis


Saya ingin berkongsi kisah yang sangat menarik ini. Sepasang suami isteri berjalan bersama-sama, sambil memegang tangan di sebuah zoo. Di satu  kandang, keduanya melihat ada seekor kera jantan yang asyik bercengkarama dengan pasangannya. Melihat pemandangan itu si isteri pun terkedu: “Alangkah romantisnya cinta mereka."
 

Di kandang bersebelahan, mereka melihat ada seekor singa jantan membisu, sementara singa betina bergolek tidak jauh darinya. Si isteri pun berkata, “Alangkah hambarnya kisah cinta mereka" 

Suaminya tersenyum, dan berkata, “Isteriku, saya akan cuba melempar botol plastik kosong ini ke arah singa betina. Mari kita lihat apa yang akan terjadi"  Maka tatkala botol itu dilempar ke arah singa betina, dengan tangkas, singa jantan berdiri tegak, mengaum dan meraung, dan bersedia membela singa betina.

Kata suami: “Sekarang, mari kita cuba lemparkan botol kosong ke arah kera betina pula. Kita lihat apa yang akan dilakukan oleh kera jantan itu" Ketika botol itu dilempar, si kera jantan terkejut dan terus lari menjauhkan diri, meninggalkan kera betina pasangannya itu.

Siapa yang lebih romantik?  Jangan teruja atau tertipu, dengan romantiknya pasangan di jalan-jalan, atau ketika menunggang motosikal, atau di tempat-tempat hiburan kerana kemesraan suami isteri bukan untuk dipertontonkan!


Romantis itu tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing bukan sekadar mempamerkan cumbuan mesra yang mungkin sekadar lakonan!

Pena Tumpul - Apa guna romantis kalau tiada pitis 

Tuesday, June 02, 2015

Minum

Sering kita dengar orang kata tidak elok minum berdiri. Dalam Islam pun memang tidak dianjurkan minum sambil berdiri. Secara lahiriahnya memang tidak manis dilihat kalau minum sambil berdiri lebih-lebih lagi kalau wanita. Junjungan Nabi kita melarang umatnya minum sambil berdiri. Namun kita tidak bertanya lebih dari itu mengapa kita tidak digalakkan minum berdiri. Pun begitu, bila Islam mensyariatkan sesuatu kepada penganutnya, pasti ada hikmahnya. 


Saya tidak pernah tahu apa kebaikan di sebalik larangan itu sehinggalah saya menemukan maklumat ini. Khabarnya dari sudut perubatan, dalam tubuh kita terdapat penapis yang berfungsi sebagai penyaring.Saringan ini dikatakan hanya boleh terbuka ketika kita duduk, dan tertutup ketika kita berdiri. Air yang kita minum sebenarnya belum 100% bersih untuk di olah oleh badan. Bila kita minum sambil berdiri, maka air tidak tersaring oleh penyaring ini  kerana ia tertutup. Air yang tidak tersaring oleh penyaring ini akan terus masuk ke pundi kencing, yang pada akhirnya boleh mnyebabkan penyakit  ginjal.

Maklumat ini juga menarik dan bermanafaat. Mungkin kita sudah mengetahuinya namun adakalanya kita tidak sangat memberikan perhatian lantas mengabaikannya. Khabarnya lagi, minum dua gelas air setelah bangun tidur dapat membersihkan organ-organ dalaman. Minum segelas air 30 minit sebelum makan dapat membantu fungsi seluruh pencernaan dan baik untuk ginjal. Selain itu, minum segelas air sebelum mandi dapat menurunkan tekanan darah. Seterusnya, minum segelas air sebelum tidur dapat mencegah stroke dan serangan jantung. 



Ilmu tanpa amal ibarat pohon rendang tetapi sayang tidak berbuah!


Pena Tumpul - Suka cendol pulut

Monday, June 01, 2015

Lahiriah


"Ayah, kenapa ayah tak pakai serban besar macam orang tu. Pakai jubah lagi. Tengok janggut dia pun panjang, lebat. Alim kan, mesti dalam ilmunya."
Haziq mengajukan pertanyaan itu bila dia nampak beberapa orang berpakaian begitu waktu solat di masjid. Mereka adalah kumpulan "tabligh" yang singgah untuk solat Maghrib. Saya sedar Haziq sedang ditarik perhatiannya dengan apa yang sedang dipandangnya. Dia terpesona dengan lahiriah.Dan dia menilai dalaman berdasar lahiriah itu. Sebab dia berserban dan berjubah dan berjanggut maka alim dan wara' lah dia


Haziq tidak keseorangan. Saya dan saya kira ramai yang lain juga pantas menilai orang dengan melihat kulit sebelum melihat isinya. Kalau kulit baik, isinya pasti baik. Ia mungkin betul dan mungkin juga tidak. Adakalanya baik di luar tidak semestinya baik di dalam. Walapun tanda-tanda lahiriah juga penting sebagai petanda baik atau buruknya peribadi seseorang , namun sikap terlalu pantas menerima atau menolak seseorang hanya berdasarkan pakaian, kelulusan, gelaran atau lain-lain ukuran fizikal dan material , bukanlah selalunya tepat.

Pernah saya mendengar sebuah cerita sufi dari Turki – seorang yang bernama Nuruddin Khoja. Dia yang berserban dan berjubah besar pada suatu ketika menaiki keldai memasuki sebuah kampung. Orang kampung mengalu-alukan kedatangannya dan melaung, “ulama, ulama, ulama… ulama sudah datang. Mari kita belajar daripadanya.” Dia hairan lalu bertanya, “mana kamu semua tahu yang aku ini ulama?” Orang kampung itu menjawab, “daripada serban dan jubah yang kamu pakai.” Lalu Nuruddin meletakkan serbannya di atas kepala keldainya dan berkata, “ayuh, belajarlah daripada keldai ini.”
Orang kampung kehairanan dan bertanya, “mengapa kami perlu belajar dari keldai ini?” Nuruddin secara selamba menjawab, “bukankah kamu semua beranggapan bahawa aku seorang ulama hanya kerana aku berserban? Jika demikian keldai ku sekarang telah berserban, maka kamu belajarlah daripadanya.”

Sindiran sinis daripada Nuruddin ini sesungguhnya membuktikan bahawa pakaian luaran bukan petunjuk kepada nilai diri kita. Nilai ulama pada ilmu dan akhlaknya, bukan pada serban dan jubahnya. Tetapi begitulah selalunya, nilaian orang terhadap kita dan nilaian kita terhadap diri kita sendiri.

Pakaian hanyalah umpama topeng yang kita pakai. Tidak salah memakai topeng yang baik tetapi kita kena pasti bahawa kita perlu lebih baik daripada topeng yang kita pakai itu!

Pena Tumpul - Saya seadanya dan selesa

Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...