Skip to main content

Lahiriah


"Ayah, kenapa ayah tak pakai serban besar macam orang tu. Pakai jubah lagi. Tengok janggut dia pun panjang, lebat. Alim kan, mesti dalam ilmunya."
Haziq mengajukan pertanyaan itu bila dia nampak beberapa orang berpakaian begitu waktu solat di masjid. Mereka adalah kumpulan "tabligh" yang singgah untuk solat Maghrib. Saya sedar Haziq sedang ditarik perhatiannya dengan apa yang sedang dipandangnya. Dia terpesona dengan lahiriah.Dan dia menilai dalaman berdasar lahiriah itu. Sebab dia berserban dan berjubah dan berjanggut maka alim dan wara' lah dia


Haziq tidak keseorangan. Saya dan saya kira ramai yang lain juga pantas menilai orang dengan melihat kulit sebelum melihat isinya. Kalau kulit baik, isinya pasti baik. Ia mungkin betul dan mungkin juga tidak. Adakalanya baik di luar tidak semestinya baik di dalam. Walapun tanda-tanda lahiriah juga penting sebagai petanda baik atau buruknya peribadi seseorang , namun sikap terlalu pantas menerima atau menolak seseorang hanya berdasarkan pakaian, kelulusan, gelaran atau lain-lain ukuran fizikal dan material , bukanlah selalunya tepat.

Pernah saya mendengar sebuah cerita sufi dari Turki – seorang yang bernama Nuruddin Khoja. Dia yang berserban dan berjubah besar pada suatu ketika menaiki keldai memasuki sebuah kampung. Orang kampung mengalu-alukan kedatangannya dan melaung, “ulama, ulama, ulama… ulama sudah datang. Mari kita belajar daripadanya.” Dia hairan lalu bertanya, “mana kamu semua tahu yang aku ini ulama?” Orang kampung itu menjawab, “daripada serban dan jubah yang kamu pakai.” Lalu Nuruddin meletakkan serbannya di atas kepala keldainya dan berkata, “ayuh, belajarlah daripada keldai ini.”
Orang kampung kehairanan dan bertanya, “mengapa kami perlu belajar dari keldai ini?” Nuruddin secara selamba menjawab, “bukankah kamu semua beranggapan bahawa aku seorang ulama hanya kerana aku berserban? Jika demikian keldai ku sekarang telah berserban, maka kamu belajarlah daripadanya.”

Sindiran sinis daripada Nuruddin ini sesungguhnya membuktikan bahawa pakaian luaran bukan petunjuk kepada nilai diri kita. Nilai ulama pada ilmu dan akhlaknya, bukan pada serban dan jubahnya. Tetapi begitulah selalunya, nilaian orang terhadap kita dan nilaian kita terhadap diri kita sendiri.

Pakaian hanyalah umpama topeng yang kita pakai. Tidak salah memakai topeng yang baik tetapi kita kena pasti bahawa kita perlu lebih baik daripada topeng yang kita pakai itu!

Pena Tumpul - Saya seadanya dan selesa

Comments

Popular posts from this blog

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...