Skip to main content

Makanan

Rencana ini pernah disiarkan di Utusan Malaysia 21Feb2007

“SUDAH rasa produk terbaru Mc Donald’s ke belum, yang sedang hebat ditayangkan iklannya kat televisyen tu. Boleh tahan gak, cubalah.” Begitulah kata-kata yang terhambur dari mulut seorang kawan yang memang pencinta makanan segera.

Sayangnya, saya bukan kalangan peminat makanan segera. Begitulah kuatnya pengaruh iklan kepada orang ramai.

Memang tidak dapat dinafikan akan kehebatan iklan dalam mempengaruhi pengguna membuat keputusan untuk membeli produk atau perkhidmatan.

Antara yang menarik perhatian pengguna ialah iklan makanan segera di media cetak dan elektronik. Berbanding dengan kesan di media cetak yang mungkin tidak begitu hebat, pemaparan iklan makanan segera di media elektronik dilihat begitu kuat mempengaruhi pengguna.

Justeru itulah, syarikat-syarikat yang menerajui empayar makanan segera tidak teragak-agak membelanjakan jutaan ringgit ke atas iklan, penajaan dan promosi untuk menawan hati orang ramai akan kehebatan produk mereka.

McDonald’s, gergasi makanan segera umpamanya membelanjakan AS$ 1.8 bilion setahun untuk promosi dan iklan di Amerika Syarikat sehingga hampir semua kanak-kanak seawal dua tahun sudah mula mengenali watak Ronald Mc Donald’s arka emas.

Menariknya arka emas ini dipaparkan sebagai syurga yang menjamin hidup yang selamat, ceria dan penuh dengan keseronokan khususnya kepada kanak- kanak.

Restoran makanan segera dipaparkan sebagai tempat yang menarik bukan sahaja untuk menjamu selera malah sekali gus medan santai untuk seluruh keluarga terutamanya kanak-kanak yang turut disediakan kemudahan untuk bermain gelongsor dan sebagainya.

Dengan pengenalan produk-produk baru ditambah pula dengan ungkapan kata-kata yang cukup menarik, para pengguna yang taksub akan mudah terjerat dalam kemelut makanan segera. Untuk menambat hati golongan kanak- kanak pula, pemberian hadiah berupa permainan dijadikan umpan yang cukup berkesan.

Justeru, bagi ibu bapa yang sememangnya tidak berminat untuk ke restoran makanan segera mudah sahaja tewas dengan pujuk rayu si anak yang mengidamkan hadiah permainan yang ditawarkan itu.

Justeru cadangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek untuk menghentikan iklan makanan segera yang disifatkan sebagai pembunuh senyap itu dan kesediaan Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menghentikan penyiarannya adalah satu langkah yang amat bijak dan perlu dilaksanakan segera bagi membantu masyarakat negara ini mengamalkan gaya hidup sihat.

Umum mengetahui bahawa makanan segera ini tidak mengandungi zat pun kecuali kandungan lemaknya yang tinggi di samping MSG yang menjadikannya begitu enak dan menerbitkan rasa ketagih di kalangan penggemarnya.

Namun pengetahuan terhadap mudarat makanan segera tidak berupaya membendung kegilaan orang ramai terhadap makanan segera yang kian bermaharajalela kini walaupun pelbagai masalah kesihatan yang berkaitan dengan pemakanan ini seperti obesiti, darah tinggi dan sebagainya.

Peranan yang dimainkan oleh persatuan pengguna seperti CAP dan FOMCA misalnya melalui penerbitan buletin pengguna, risalah-risalah yang acap kali mengutarakan bahaya yang terkandung dalam makanan segera seolah-olah dipandang sepi oleh sebahagian besar daripada kita.

Ini mungkin kerana tidak ada endorsement daripada pihak yang berkuasa seperti Kementerian Kesihatan berhubung kesahihan dakwaan tersebut selain daripada tiadanya kesan serta-merta yang dialami ekoran pengambilan makanan tersebut.

Ini ditambah pula dengan iklan melampau tentang makanan segera yang berupaya dengan mudahnya mengheret orang ramai terjebak dalam kegilaan makanan segera.

Rasanya, seketul ayam goreng KFC misalnya yang dikatakan sarat dengan lemak (hampir 60 peratus kalori diperoleh dari lemak) dan mengandungi begitu banyak garam.

Selain daripada kandungan MSG dan pewarna kimia tidak berupaya menyekat kegilaan orang ramai untuk menolak hidangan yang dipromosikan sebagai satu “kesedapan sehingga menjilat jari” Begitu juga pelbagai resipi menarik untuk memancing orang ramai yang dipaparkan secara berlebih-lebihan melalui iklan dilihat berjaya membuat penggila makanan segera untuk tidak mempercayai bahawa segelas kola misalnya amat kaya dengan gula sehingga mencecah 14 sudu teh gula selain daripada pewarna kimia dan kafein yang nilai makanan sebenarnya kosong!

Malah pakar-pakar pemakanan seluruh dunia berpendapat bahawa makanan segera memang memudaratkan. Misalnya Big Mac produk Mc Donald’s mengandungi 28 gram lemak tepu selain daripada pelbagai bahan yang memudaratkan kesihatan.

Apabila soalan ini diajukan kepada Mc Donald’s, mereka berkata, mereka tidak menjual zat makanan dan orang ramai datang ke Mc Donald’s bukan untuk zat makanan.

Lebih mengejutkan lagi apabila pakar kanser Mc Donald’s sendiri Dr. Sydney Arnott mengakui bahawa dia tidak keberatan untuk menghebahkan kepada umum bahawa makanan yang mengandungi lemak, garam dan gula yang tinggi tetapi kurang serat, galian dan vitamin dalam makanan segera Mc Donald’s memang ada kaitan dengan kanser sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Makanan segera sebenarnya sudah lama ditolak oleh masyarakat antarabangsa yang prihatin dengan kesihatan. Pada tahun 1990 misalnya, London Greenpeace telah mengedarkan risalah enam muka surat yang bertajuk “Apa yang tidak baik tentang Mc Donald’s - sesuatu yang Mc Donald’s tidak ingin anda mengetahuinya”.

Antara lain menjadikan isu bahaya makanan segera kepada kesihatan manusia sejagat selain daripada kesan terhadap ekosistem bukan manusia melalui penebangan hutan untuk mewujudkan ladang-ladang ternakan lembu seperti di Brazil justeru permintaan yang semakin meningkat untuk pasaran hamburger di Asia. Untuk itu United Kingdom dilaporkan mengorbankan 12,000 ekor lembu setahun dan bilangan ini pasti meningkat seiring kegilaan orang ramai terhadap makanan segera ini.

Justeru itu, amat malang sekiranya ketika kebanyakan negara lain di dunia sudah menolak makanan segera, kita di Malaysia masih lagi dibuai kenikmatan makanan segera yang sudah jelas lebih banyak mengundang mudarat daripada kebaikan!

Pun begitu kita masih belum terlambat untuk menyelamatkan generasi kita daripada bahana penjajahan melalui jenama yang didagangkan atas nama globalisasi ini. Menghentikan penyiaran iklan yang dilihat terlalu berlebihan terhadap mempromosikan budaya makanan segera sehingga melunturkan rasa cinta terhadap makanan Timur merupakan langkah amat bijak dan perlu disusuli dengan langkah seterusnya.

Untuk meyakinkan orang ramai terhadap bahaya makanan segera, persatuan pengguna perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Pelajaran dan juga Kementerian Penerangan melalui gerakan bersepadu supaya kegilaan terhadap makanan segera ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. Lebih banyak klip video yang memaparkan mudarat makanan segera perlu disiarkan melalui televisyen.

Di sekolah pula, kanak-kanak perlu dididik agar tidak terlalu cenderung kepada makanan segera sehingga mereka lebih mengenali french fries dari kerepek ubi dan menggemari smashed potatoes daripada ubi ketuk!


Pena Tumpul - Sudah lama tidak menulis untuk akhbar

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w