Skip to main content

Pagar

Saya selalu melihat anak-anak sekolah adalah bagaikan padi yang perlukan perlindungan dari guru-gurunya. Dalam konteks ini saya melihat guru pula bagaikan pagar yang sewajarnya melindung padi-padi yang sedang menghijau ini daripada ancaman anasir-anasir yang tidak diperlukan. Ia adalah musuh-musuh yang bakal merosakkan padi-padi ini.

Malangnya, adakalanya apa yang berlaku, bukannya musuh dari luar itu yang dikhuatiri dan ditakuti tetapi pagar itu sendiri petualangnya.Anak-anak sekolah yang tidak tahu apa-apa diheret perasaannya dan dimanipulasi semahunya!

 Kata peribahasa Melayu, harapkan pagar, pagar makan padi. Malangnya nasib padi sekiranya pagar yang diharapkan dapat melindunginya dari sebarang angkara, sebaliknya pula menjadi ancaman yang tidak pernah terduga oleh padi-padi yang tidak punyai kekuatan apa-apa. Rumpun-rumpun padi yang menghijau meliuk-liuk ditiup angin saujana mata memandang begitu mengharapkan pagar yang mengelilinginya mampu membentenginya dari sebarang ancaman musuh yang sentiasa menunggu peluang untuk meratah batang tubuhnya dan keenakan buahnya.

Pagar-pagar perlu menjadi perisai paling utuh daripada dinodai oleh pipit-pipit durjana, babi-babi yang menggila dan pelbagai seteru yang tidak dijangka. Padi-padi tersenyum gembira melihat diri yang lemah dan naif dinaungi oleh pagar-pagar yang dibina dari kayu yang kukuh lagi perkasa. Dari jauh kelihatan sang petani tersenyum lebar dan bersyukur memiliki pagar yang dapat dipertanggungjawabkan untuk melindungi padi-padinya sehingga ranum di hujung musim.

Namun, di satu sudut kelihatan pula seorang petani tua yang meratapi nasib malangnya menyaksikan padi-padinya terkulai layu dek tingkah durjana pagar-pagarnya sendiri.

Elok dicantas sahaja pagar yang makan padi ini kerana ia menyusahkan dan meloyakan!

 Pena Tumpul - Terkilan kerana tersalah pilih pagar

Comments

kamarularifin said…
This comment has been removed by a blog administrator.

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w